Sabtu, 19 Disember 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Moga 'Perkahwinan' Umno & PAS Kali Ini Kekal...

Posted: 19 Dec 2015 01:04 AM PST

Bekas pemimpin Umno berharap, 'perkahwinan' yang bakal berlaku antara PAS dengan Umno akan kekal kali ini selepas melihat kecenderungan itu akan berlaku selepas Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia.

Tamrin Tun Ghafar yang merupakan mantan ahli Umno selama kira-kira 40 tahun itu berkata, perpaduan tersebut diharapkan berpanjangan dengan kemungkinan tawaran jawatan kabinet kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pengikut-pengikutnya.


"Semoga perkahwinan ini berkekalan ke anak cucu serta Najib dan Hadi mempunyai kekuatan baru. Apa agaknya jawatan kabinet yang akan Hadi dan anak-anak buahnya dapat nanti?" sindirnya dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Menurut mantan Ahli Parlimen Batu Berendam itu, kerjasama antara Najib dan Hadi merupakan padanan yang sesuai memandangkan latar belakang masing-masing yang berkaitan dengan Arab.

"Seorang bekas murid Arab (Universiti) Al-Azhar dan seorang lagi bekas pelanggan Arab Malaysian Bank. Satu kombinasi yang mantap," katanya merujuk kepada latar belakang pengajian Hadi dan kontroversi membabitkan Najib yang sebelum ini didedahkan oleh Wall Street Journal memiliki sejumlah USD700 juta iaitu kira-kira RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya di bank Arab Malaysian.

Ujar anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu, 'perkahwinan' Umno dan PAS juga memberi isyarat selamat tinggal kepada 12 lagi parti komponen BN serta hukum hudud yang ditekankan PAS sebelum ini.

"Bye bye MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak. Bye bye juga hukum hudud yang PAS perjuangkan selama ini,"
katanya lagi.

Mengulas lanjut kedudukan politik Najib dan situasi semasa Umno, Tamrin menyifatkan Perdana Menteri itu dan pengikut-pengikutnya akan tersungkur seperti berlaku pada pemimpin di dunia antaranya Ghadaffi, Saddam dan Soerharto yang akhirnya tumbang.

"Percayalah janji Allah kepada pemimpin-pemimpin dan mereka yang bersekongkol dengan mereka dalam membolot harta rakyat, zalim dan menipu rakyat.

"Sebenarnya Umno sedang kepanasan. Kita semua tidak boleh lari daripada mati. Dunia ini hanya sementara saja. Bertaubatlah," ujarnya lagi.

Semalam, Najib dan Hadi hadir dengan pakaian warna sedondon di majlis perasmian Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur.

Secara berdepan Najib sekali lagi menawarkan kerjasama kepada PAS yang dipimpin Hadi namun tidak dijawab dengan pasti oleh pemimpin PAS itu.

Menurut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, usaha untuk menyatukan PAS dan Umno sudah lama beliau lakukan termasuk dalam pertemuan beliau dengan Najib dan Hadi sebelum ini. -malaysiadateline

Tiada ulasan: