KUALA LUMPUR,  Kes tiga pesawat komersial jumbo yang ditinggalkan di ruang parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menimbulkan pelbagai tanda tanya, termasuk di kalangan pakar penerbangan.


Menurut seorang individu dalam industri itu yang enggan dikenali, nasib pesawat pengangkut bernilai jutaan dolar itu tersadai mungkin disebabkan salah urus tadbir, walaupun pemiliknya masih belum dapat dikenal pasti.

"Saya tidak dapat bayangkan mana-mana pemilik pesawat komersial sanggup meninggalkan dan membiarkannya tersadai selepas membelinya, kerana ia tidak masuk akal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, walaupun pesawat itu telah bertukar tangan dan mengalami susut nilai selepas tersadai di KLIA, pemiliknya masih boleh mengambil langkah menjualnya mengikut bahagian-bahagian pesawat berkenaan.

Tambahnya, harga untuk enjin sahaja boleh mencecah AS$1.5 juta hingga AS$2 juta setiap satu, manakala keseluruhan pesawat itu bernilai antara AS$7 juta dan AS$10 juta, bergantung kepada keadaan pesawat tersebut.

Mengenai operator KLIA, iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak berjaya menghubungi pemilik terakhir, 'pakar' berkenaan menegaskan, ia tidak menghairankan sama sekali.

"Mereka mungkin tidak tahu ia milik siapa dan saya tidak bersetuju dengan mereka, kerana ia bukan keperluan mereka untuk tahu pihak yang dapat menggunakan ruang parkir berkenaan dan apabila mereka tidak bayar, maka MAHB perlu ambil tindakan," katanya.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali yang dipetik Bernama berkata, proses mengesan pemilik dan meminta pemiliknya mengambil pesawat itu mengikut undang-undang sedia ada, rumit.

Ujarnya lagi, untuk mengesan pemiliknya sebenar adalah sukar, kerana pesawat itu boleh bertukar tangan beberapa kali dan kadang-kadang ia dihantar ke Malaysia untuk pembaikan.

Berikutan kegagalan mengesan pemilik tiga pesawat Boeing 747-200F itu, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd telah mengeluarkan notis di akhbar The Star semalam, yang memaparkan gambar pesawat dan meminta pemilik menuntut pesawat itu dalam tempoh 14 hari.

Nombor model "F" di pesawat berkenaan 'menunjukkan tiga adalah model kapal pengangkut Boeing 747-200 yang biasa digunakan untuk kargo.

Nombor pendaftaran tiga pesawat komersial itu adalah TF-ARM, TF-ARN and TF-ARH.