Sabtu, 26 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Jika DAP menang 56 kerusi parlimen, ia tidak dapat membentuk kerajaan Pusat.

Posted: 26 Dec 2015 06:56 AM PST

sakmongkol.blogspot.my



Malas betul nak komen pasal PAU 2015. Apa nak jadi kepada parti itu, siapa peduli. Ianya sudah jadi parti Najib Tun Razak. Sudah sampai masanya orang Melayu sedar , UMNO bukan segalanya.


Setakat ini, tidak ada orang yang boleh mengubah opinion saya mengenai kepimpinan Dato Najib. Cakap macam mana pun, opinion saya mencukupi untuk saya, kecuali ada orang boleh memberi penghujjahan yang meyakinkan bahawa Najib seorang pemimpin baik. Dia bukan. 


Saya sikitpun tidak percaya bila Presiden UMNO kata, memartabatkan Islam dekat dihatinya; atau dia keturunan pahlawan Bugis. Cakap mengenai kepahlawanan Bugis ini hanya sejak akhir2 ini sahaja. Di Pekan dahulu, Dato Najib tak pernah sebut pun hal keturunan Bugis ini. Dan saya percaya orang terkejut pahlawan Bugis takut untuk meneruskan sessi nothing to hide bila tahu Dr Mahathir hadhir atau takut untuk menerangkan perihal RM2.6 billion. 


Realiti nya. dia seorang pemimpin yang lemah. Kalau hendak cakap mengenai hal ini, sampai kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik pulang petang pun tidak habis. 40 tahun pengalaman buat kerja serupa, tidak berguna. Pemotong rumput yang ada 40 tahun pengalaman pun boleh bercakap serupa tapi pengalaman nya ialah dalam hal ehwal memotong rumput. 


Tidak ada orang yang ada sedikit inteligence  dengan kuasa yang dia ada, tidak boleh lakukan apa yang Najib canangkan untuk negara ini. Jika Dato Najib boleh jadi PM, sesiapa sahaja yang ada kelayakan seperti saya sebut diatas boleh. 


Najib miss satu important point; orang Melayu bukan hendak suruh dia jaga kebajikan dan masa depan kita. Najib tidak faham- orang Melayu bukan hendak suruh dia membapakan dan mengibukan kita sepanjang masa. Orang Melayu mahu bertanggung-jawab mengenai masa depan mereka sendiri. Dan ini memerlukan kemerdekaan minda bukan bergantung harap kepada orang seperti Najib atau pemimpin UMNO yang lain.  


Yang orang Melayu mesti sedar ialah, masa depan kita, ialah tanggunjawab kita sendiri. Jika kita serahkan tanggungjawab kita pada orang yang tidak amanah, maka kiamat akan tiba. Bila sahabat tanya Rasul Allah bagaimana kiamat tiba bila amanah disia2kan- maka nabi menjawab sia2kan itu berlaku bila kita serah kuasa kepada bukan yang ahli dalam urusan nya. 


Jelas kepada kita, kita tidak boleh amanahkan perbendaharaan kita kepada Najib. Dia tidak boleh menjawab mengapa lebih dari USD1 billion di benarkan dipindah kedalam akaun cina Jho Low. Dan dia tidak dapat jawab isiu RM2.6 billion dalam akaun peribadi nya. Mana baki RM2 bilion dari RM2.6 bilion tersebut? Ahmad Maslan, Sahrir Samad, Mas Ermiyatie, bekas pelakun presiden MCA, semua dapat wang. Meraka sekarang menjadi pembela kepada Najib.  


Dalam Islam, kita diajar supaya menolak mereka yang berperangai mendua- double face character. depan kita kata jaga kebajikan agama, bangsa dan negara, tapi dibelakang kita, melakukan segala kerosakan. 


Jangan cakap banyak hendak bersaing dibawah TPPA; hendak bersaing dengan bangsa Cina di Malaysia, orang Melayu UMNO sudah hilang akal. Bercakap depan penyokong dan dalam kumpulan sendiri tentulah menyeronokkan;  semua orang boleh melakukan nya. 


Tidak ada orang yang waras akan percaya ungkapan kata2 Presiden UMNO ketika ucapan penggulungan mengenai berlapang dada, berjiwa besar konon bersedia berkompromi untuk kepentingan parti. Sebagai seorang yang pernah mengetahui pemikiran ketua bahagian UMNO Pekan ini dari dekat, berlapang dada dan berjiawa besar bermaksud,  penentang mesti tunduk kepada nya. Walau apa pun keributan yang dilakukan, asal kedudukan nya jangan diganggu gugat, Najib sedia berlapang dada dan berjiwa besar. 


Orang Melayu mesti kembali kepada prinsip2 pertama seperti yang disarankan oleh pemikir seperti Pendita Zaaba. Kita mesti cultivate diri sendiri, keluarga, masyarakat. barulah negara, agama dan bangsa jadi cermerlang. Merdekakan minda kita dari bergantung harap kepada orang tengah yang memperkudakan agama, bangsa dan negara untuk kepentingan kekal berkuasa dan mengambil kesempatan diatas kepercayaan yang kita beri.  


Objektif kita ialah bukan mempunyai seorang individu mengambil alih tanggungjawab menjaga masa depan kita; objektif kita ialah mengadakan perskitaran dan iklim dimana, kita sendiri menentukan masa depan kita. Orang Melayu bukan hendak Najib jaga masa depan mereka; orang Melayu mahu ambil alih tanggunjawab itu sendiri. 

Kalau orang Melayu tidak sedar lagi, kita tak tahu nak cakap apa lagi dah; semua lapisan masyrakat dari Raja Melayu kepada rakyat biasa, kondem Najib dan kepimpinan nya. 

Kalau presiden UMNO bercakap hanya kepada audiens UMNO, kita tidak ambil perhatian sangat. Tapi bila apa2 kenyataan dan pengistiharan yang UMNO buat melibatkan orang Melayu secara keseluruhan , maka kita kena komen. terutama bila orang Melayu ditipu dan dibohongi. Pendirian kita ialah sementara kita akui UMNO mewakili sebahagian suara orang Melayu, ia tidak mewakili keseluruhan. 

Sejarah menunjukkan bangsa Melayu bersatu bila ada ancaman dari luar; dalam tahun 1946, bangsa Melayu sedia bersatu sebab keutuhan bangsa Melayu diancam oleh idea Malayan Union. Konsep Malayan Union dilihat sebagai akan membawa bencana kepada semua Melayu. Mereka akan dianiayai dan dizalimi. 


Jadi mereka bersatu. Mereka menyerahkan kepercayaan dan keyakinan kepda sebuah parti yang bernama UMNO. kepercayaan dan keyakinan itu, jika kita halusi, ialah suatu yang bersyarat. yakni perpaduan dan penyatuan berlaku, bila ada ancaman dari luar.


Tapi dalam keadaan sekarang, adakah ujud ancaman dari luar? 


Saya tidak faham bagaimana pemimpin UMNO boleh bersikap munafik. Mereka kondem orang Cina itu dan ini; tapi rakan perniagaan mereka semua nya Cina. Parti2 berasaskan Cina dalam BN semua nya membisu dalam perkara ini. Sikap ini membuat masyarakat Cina tidak ada keyakinan kepada parti2 seperti MCA dan Gerakan. 


Kenapa DAP mahu dijadikan bogeyman dan beg tumbukan? UMNO kalah dalam kawasan tertentu diganti dengan orang Melayu juga. DAP secara keseluruhan nya, menang dalam kawasan dengan menewaskan calun bangsa Cina. Bagaimana kepentingan orang Melayu UMNO terjejas? 


UMNO kalah pada calun PAS dan PKR semua nya Melayu. maka janganlah single out DAP sebagai penyebab UMNO kalah. UMNO kalah sebab parti itu dilihat sebagai parti pemimpin yang rasuah, tidak pedulikan rayat, menjalankan dasar yang menguntungkan suatu kumpulan yang istimewa. Hak istimewa orang Melayu hari ini dilihat sebagai hak2 golongan istimewa. 


Nasihat saya, berhentilah ahli UMNO yang rasional dibodohkan oleh pemimpin mereka. 


Jika DAP menang 56 kerusi, bolehkah mereka menubuhkan kerajaan pusat? Ilmu hisab apa yang pemimpin UMNO gunakan? Semasa kecil dahulu, suruh mahir matematik, pemimpin UMNO malas. 

Kita tahu game yang dimainkan oleh UMNO. Kerana mahu menutup kerosakan yang UMNO lakukan, parti yang sah seperti DAP dipersalahkan. Pemimpin UMNO, laki betina, tua dan muda, semua menjadikan DAP sebagai beg tumbukan. Mereka berbohong pada ahli UMNO dan kepada orang Melayu. Masaalah orang Melayu ialah disebabkan oleh pimpinan Melayu sendiri. 


DAP bukan kerajaan persekutuan. DAP tidak ada kena mengena dengan dasar2 yang UMNO laksanakan. bukan DAP yang menyebabkan ptanggungan 1MDB yang sudah menjangkau RM50billion; bukan DAP yang menerima derma RM2.6 billion; bukan nya DAP yang menyebabkan skendal RM250 juta NFC; bukan DAP yang menjalankan transaksi menjual tanah2 milik kerajaan pada harga yang sangat rendah kepada 1MDB. 

Hari ini DAP mempunyai 37 kerusi parlimen. Katalah maksima nya, DAP ada 56 kerusi parlimen. Bolehkah DAP membentuk kerajaan secara sendirian?

Jawab nya tidak boleh kecuali DAP bergabung dengan parti2 lain untuk membentuk kerajaan. Jumlah kerusi yang diperlukan ialah 112 kerusi. Pemimpin UMNO ingat ahli UMNO tidak tahu kira kah?
Kemudian- DAP bertanding melawan calun Cina dari mca. Yang kehilangan kerusi ialah orang Cina. 


Dalam kawasan melayu, DAP akan menawarkan calun Melayu dan jika menang, yang menang ialah MP Melayu. Dari segi jumlah, MP Melayu tetap serupa atau bertambah- hanya mereka bukan UMNO. Yang orang Melayu nak obsess sangat berkeras mahukan Melayu UMNO apa pasal? Saya sebagai MP dari DAP merasakan semangat membantu orang Melayu tidak kurang dari semangat MP UMNO. 


Orang Melayu dalam UMNO mesti berlajar melihat gambaran yang lebih luas. Jika secara keseluruhan, jumlah MP dan ADUN majority nya ialah Melayu, itu sudah baik. Orang Melayu sepatutnya sudah lama berlajar berinterraksi dengan semua warga negara Malaysia.  

Kepada saya, sebagai orang Melayu- kalau orang Melayu bertanding dalam mana2 kawasan dan menang, ianya bererti bertambah seorang MP berbangsa Melayu. ia tidak semesti nya Melayu dari UMNO. Kalau dari UMNO tapi dia rasis, rasuah, bongkak, kesemua itu tidak membawa keuntungan kepada orang Melayu. 

UMNO jangan bongkak bersangkaaan hanya mereka ada monopoli keatas menjuarai kepentingan Melayu- semua orang Melayu mempunyai sentimen yang serupa tidak kira parti apa pun.

UMNO memberi kredit yang keterlaluan kepada DAP. Dap merupakan pilihan pertama masyarakat Cina kerana ia memberi keyakinan kepada masyarakat Cina dan masyarakat Cina bersedia memberi amanah kepada DAP.

UMNO sepatutnya membalun MCA yang gagal mendapatkan keyakinan dan kepercayaan masyaraat Cina. 

Saya masih ingat seorang menteri senior UMNO yang terkenal berani dan lantang, memberitahu saya bahawa dia lebih mempercayai DAP dari MCA yang sentiasa menikam UMNO dan orang Melayu dari belakang. 

Bayangkan ini, jika DAP  dengan 37 kerusi parlimen, mengalahkan semua 7 AP MCA, mengalahkan 2 Gerakan, DAP hanya ada 46 kerusi. Katalah ia boleh menang 10 lagi kerusi palimen, DAP hanya ada 56 kerusi. 

Sampai bila2 pun, DAP tidak akan dapat membentuk kerajaan pusat kecuali bergabung dengan parti Melayu dan bukan Melayu yang progresif. 


Sementara itu, ahli UMNO merdekakan minda anda dari pemasongan pemimpin yang hanya mahu mengekalkan kuasa.  


LKIM tolak projek tambak laut

Posted: 26 Dec 2015 06:48 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY


Alasan meneruskan projek tambakan laut itu hanya kerana mahu membina pengangkutan awam di kawasan itu adalah tidak boleh diterima



The Fisheries Development Board (LKIM)


GEORGE TOWN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini memberi jaminan akan mempertahankan kawasan nelayan di Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Teluk Kumbar daripada sebarang aktiviti tambakan laut.

Pengerusinya Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya semua cadangan projek penambakan laut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang di kawasan itu yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada golongan nelayan di situ.

Beliau berkata cadangan kawasan tambakan laut itu meliputi kawasan seluas 809.73 hektar dan pembinaan tiga buah pulau buatan yang dipercayai akan merosakkan ekosistem sekaligus menjejaskan sumber pendapatan 1,700 nelayan dari kawasan Teluk Kumbar, Gertak Sanggul, Sungai Batu dan Permatang Damar Laut.

"Rasionalnya (projek tambakan laut) saya lihat banyak menjurus kepada pengkorporatan dan pengkomersilan, tapi rasional untuk menjaga kebajikan golongan bawahan ini saya tidak nampak.

"Ini saya lihat penting kerana sebagai pengerusi LKIM saya ingin memastikan sumber ikan sentiasa ada terutama sekali ikan segar. Yang paling penting kita nak kurangkan kebergantungan kepada import ikan kerana Balik Pulau ini antara tempat sumber ikan yang paling banyak khususnya di Pulau Pinang mahupun di kawasan Selat Melaka.

"Jadi, janganlah musnahkan segala bentuk sumber ekonomi yang ada termasuk juga kehidupan nelayan yang telah menjadi warisan di kawasan ini sejak berkurun lamanya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan, di Dewan Nelayan Unit Sungai Batu, Teluk Kumbar dekat sini.

Para nelayan membuat bantahan secara aman di perairan pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar terhadap cadangan tambakan laut di sekitar Permatang Tepi Laut, Sungai Batu Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul
Yang turut hadir Anggota Parlimen Balik Pulau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Irmohizam berkata LKIM mewujudkan pasar nelayan di kawasan Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Pulau Betong bagi membolehkan nelayan menjual ikan segar terus kepada pelanggan yang mampu memberi pendapatan sehingga mencecah RM4 juta setahun dan jika cadangan itu diteruskan ia akan mempengaruhi hasil jualan nelayan di negeri ini.

Katanya kerajaan negeri seharusnya memikirkan nasib golongan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah dan bukan hanya memikirkan kepentingan ekonomi pelabur luar yang belum tentu dapat memberikan faedah kepada kerajaan negeri.

Ditanya jika kerajaan pusat meluluskan projek tambakan laut yang dicadangkan oleh kerajaan negeri itu, Irmohizam berkata: "Kami tetap menolak projek ini. Pada hemat saya yang paling penting sekali ialah suara rakyat di kawasan ini, sudah tentunya saya menyokong pandangan itu".

Sementara itu, Dr Hilmi berkata alasan kerajaan negeri mahu meneruskan projek tambakan laut itu hanya kerana mahu membina pengangkutan awam di kawasan itu adalah tidak boleh diterima dan tidak munasabah.

"Kos pembinaan pengangkutan itu memang tidak akan mampu dibuat oleh mana-mana kerajaan negeri, termasuk Pulau Pinang. Apabila siap dibina, nak selenggara pula memerlukan kos yang tinggi.

"Memang di mana-mana di dunia pun pengangkutan awam tak boleh dibuat secara ini, memerlukan dana yang lain. Bukan dapatkan dana tempatan nak bina pengangkutan awam ini memang satu perkara yang tak logik, tak masuk akal," katanya.

Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai 'isu gimik' oleh kerajaan negeri yang akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat di negeri ini.

"Jadi, bila kerajaan pusat tolak cadangan ini (nanti), mereka (kerajaan negeri) akan kata tengok kami nak bina tapi kerajaan pusat tolak, ia akan jadi isu politik … akan menimbulkan kemarahan rakyat Pulau Pinang," katanya.– BERNAMA

Berbalah ‘Merry Christmas’ hingga terlupa rakyat tertindas

Posted: 26 Dec 2015 06:43 AM PST

Oleh Sahril Mahmuddin
 

Dalam perbezaan yang bermusim ini, kita sebagai umat Islam sering terlupa titik persamaan kita. 


Chrismats Malaysia



Setiap kali menjelang perayaan Hari Natal yang disambut oleh segenap teman-teman yang beragama Kristian, pastinya timbul satu isu yang hangat diperdebatkan setiap tahun. Dipersoalkan sama ada boleh atau tidak kita mengucapkan selamat atas perayaan Hari Natal ini.

من تشبه بقوم فهو منهم

"Sesiapa yang menyerupai satu-satu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka".
Hadis diatas menyokong pandangan bahawa haram mengucapkan selamat bagi perayaan agama lain.

Terdapat beberapa ulama yang berpendapat mengucapkan selamat adalah sebahagian daripada syiar agama mereka dan ini adalah bentuk tasyabbuh (menyerupai) yang dimaksudkan dalam hadis. Apabila berkisar mengenai penyerupaan agama lain, sudah pasti ia merupakan masalah yang berkait dengan aqidah.

Namun demikian, terdapat juga fatwa kontemporari yang menyokong keharusan mengucapkan selamat ke atas perayaan agama lain seperti yang diputuskan oleh Lembaga Fatwa dan Penyelidikan Eropah.

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu."

Mereka yang melihat keharusan ucapan selamat tidak melihat ini sebagai isu aqidah dan melibatkan pengiktirafan kekufuran agama lain. Sebaliknya melihat ia sebagai bentuk kebajikan selagi mana tidak melanggar syarak.

Perbezaan pendapat yang disokong hujah dan dalil yang kuat ini sepatutnya diraikan.

Namun, perkara sebaliknya berlaku kerana terdapat golongan yang ekstrim dengan pendapat mereka. Ini tidak selari dengan konsep berlapang dada yang dianjurkan dalam menghadapi perbezaan. Saban tahun perbalahan yang kita dengari, hinggakan mereka yang menyokong pendapat boleh mengucapkan selamat untuk perayaan ini dilihat sebagai golongan yang salah.

Dari sisi pandang lain pula, keadaan ini tidak ubah seperti perang apabila pihak yang dikecam dengan pendapat mereka membalas dengan melemparkan label yang tidak disenangi seperti jumud dan sebagainya.

Dalam perbezaan yang bermusim ini, kita sebagai umat Islam sering terlupa titik persamaan kita.

Persamaan yang bersifat Qat'ie atau jelas yang telah disyariatkan dan wajib kita perjuangkan bersama.

Dalam berbeza, kita lupa kita masih inginkan hidup dalam keharmonian dengan kepelbagaian agama di negara yang kita cintai ini.

Dalam berbeza, kita lupa kita sama-sama perlu menolak kezaliman dan penindasan terhadap golongan yang tidak terbela.

Dalam berbeza kita lupa kita sama-sama perlu membela nasib rakyat miskin yang dizalimi kerana semakin ditekan oleh kos hidup tinggi hasil dari tidak telusnya pemerintahan negara.

Dalam berbeza, kita lupa kita masih lagi beriktiqad dengan pegangan aqidah yang sama.

Ini semua syariat yang perlu kita perjuangkan bersama.

Saya menyeru agar semua mahasiswa Islam agar mengharmonikan perbezaan yang bersifat khilaf, rapatkan saf dan perjuangkan perkara yang jelas disyariatkan.

Sahril Mahmuddin adalah Presiden Kelab Sahabat Al Hikmah UMSKAL (Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan)






PTPTN perjelas potongan gaji penjawat awam Isnin ini

Posted: 26 Dec 2015 06:39 AM PST

 
Sidang media itu dibuat bagi menjelaskan berkenaan pemotongan gaji penjawat awam sehingga kadar maksimum bayaran balik hutang PTPTN


PTPTN


KUALA LUMPUR: Satu sidang media khas dijangka diadakan Isnin ini oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk menjelaskan berkenaan pemotongan gaji penjawat awam sehingga kadar maksimum bagi bayaran balik hutang pembiayaan PTPTN.

Bagaimanapun, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, PTPTN akan membuat penjelasan tersebut setelah meneliti semua dasar, atau jika perlu satu kenyataan akhbar mengenainya akan dikeluarkan oleh pihak PTPTN.

"Kami (PTPTN) akan mengadakan sidang media mengenai ini pada Isnin depan atau saya akan bagi kenyataan media kalau tak sempat PC (sidang media), kerana ada beberapa dasar yang perlu diteliti," katanya, lapor Bernama.

Pada Selasa lepas, Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, akan menarik balik kebenaran terhadap agensi itu untuk membuat pemotongan gaji penjawat awam, sekiranya mereka masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya, Datuk Azih Muda juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan agensi itu serta menganggapnya sebagai tidak wajar kerana ia hanya akan membebankan kedudukan kewangan penjawat awam yang terbeban dengan kos sara hidup.

"Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN," katanya.

Dalam pada itu, Azih turut mendedahkan hampir 3,000 penjawat awam telah dikenakan pemotongan gaji antara 30 peratus dan 100 peratus bagi pembayaran balik hutang tersebut.

"Sepatutnya buatlah pemotongan gaji mengikut kemampuan mereka. Potong RM100 sebulan hingga 10 tahun ke, ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya," katanya.

YaPEIM sahkan dakwaan NOW beli simulator golf

Posted: 26 Dec 2015 06:35 AM PST

 
Walaubagaimanapun, tujuan yayasan berkenaan untuk mempunyai simulator golf masih lagi tidak jelas. 





PETALING JAYA : Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Datuk Abibullah Samsudin pada Jumaat mengesahkan dakwaan Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) bahawa yayasan berkenaan membeli simulator golf.

Pengarah NOW, Akmal Nasir bagaimanapun mempertikaikan tujuan pembelian simulator golf itu, yang padanya, masih tidak jelas.

"Kini Ketua Pegawai Eksekutif mendakwa simulator golf itu adalah untuk hotel empat bintang milik YaPEIM yang masih lagi belum wujud.

"Perkara ini bertentangan dengan dengan fakta daripada Bajet 2013 YaPEIM yang menyatakan Pusat Latihan Latihan INPUT Golf atau Simulator Golf dibuat untuk Sukan Korporat YaPEIM," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan dengan itu, Akmal mengulangi persoalan mengapa YaPEIM membeli mesin tersebut kerana penyumbang yayasan berkenaan dan orang ramai berhak mengetahuinya.

"Berapa banyak mereka membayar untuk memperoleh dan mengekalkan simulator itu," soalnya.

Menurutnya, ini disebabkan apa sahaja pendapatan YaPEIM yang dijana harus diserahkan kembali untuk aktiviti amal jariah, selaras dengan objektif yayasan itu.

Semalam, YaPEIM menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa yayasan itu membeli simulator golf menggunakan sumbangan jariah orang ramai.

Abibullah berkata, sebaliknya simulator itu dibeli hasil daripada pendapatan perniagaan yayasan itu.

Beliau berkata, simulator golf yang kini ditempatkan di bangunan sembilan tingkat milik YaPIEM di Petaling Jaya juga akan dijadikan pusat kecergasan dalaman apabila bangunan itu dinaik taraf kepada hotel bertaraf empat bintang kelak.

Rakit terbalik, bayi 10 bulan antara korban

Posted: 26 Dec 2015 06:35 AM PST

Rakit terbalik, bayi 10 bulan antara korban
Usaha mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari mangsa yang masih hilang.


JOHOR BAHRU – Malang buat sebuah keluarga apabila rakit yang dinaiki bersama 10 ahli keluarga lain terbalik ketika menyeberang Sungai Bekok, Jalan Yong Peng Chaah, Batu Pahat kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Akibat insiden itu, seorang bayi lelaki 10 bulan antara yang ditemui mati lemas bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki berumur dua tahun, manakala dua lagi wanita berumur 55 tahun bersama kanak-kanak lelaki sembilan tahun turut dikhuatiri lemas.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Ibnul Kasim Ahmad berkata, tiga anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang.

Menurutnya, 10 ahli keluarga berkenaan difahamkan ingin menyeberang sungai berkenaan untuk melihat ternakan kambing di seberang sungai dengan menaiki rakit.

"Rakit yang dinaiki dikatakan terbalik ketika berada di tengah sungai kerana tidak mampu menampung muatan yang berlebihan.

"Enam ahli keluarga yang berumur antara dua tahun hingga 58 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala dua lagi ditemui mati lemas dan dua lagi juga dikhuatiri lemas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.

Ibnul Kasim berkata, operasi menyelamat dan mencari dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan sehingga jam 5 petang.

"Seorang bayi dan kanak-kanak cuba diselamatkan ahli keluarga lain, namun sebaik dibawa ke tebing sungai mereka sudah meninggal dunia.

"Usaha mencari dua lagi mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan," katanya.


PRN Sarawak: Paling kurang 11 kerusi Pas

Posted: 26 Dec 2015 04:48 AM PST

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah


KOTA BHARU - Merupakan satu keperluan bagi Pas untuk bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi Dun Sarawak, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, keperluan tersebut diperoleh daripada kajian yang dilakukan pihaknya dan sekaligus ia menjadi parti alternatif kepada mana-mana pengundi yang tidak mahu mengundi DAP dan Umno.

"Samada kalah atau menang, itu bukan keutamaannya. Itu isu lain. Sejak dari dulu lagipun kita memang bertanding di Sarawak dan kerusi semakin bertambah. Kajian juga telah membuktikan satu keperluan untuk kita bertanding di sana,"katanya kepada media di sini.

Mohd Amar berkata, Pas tidak memandang kemenangan secara menyeluruh sebagai faktor utama, namun apa yang penting ialah penglibatan pemimpinnya bersama masyarakat melalui ceramah dan kempen.

Warga emas berkhemah depan rumah kena lelong

Posted: 26 Dec 2015 04:45 AM PST

Warga emas berkhemah depan rumah kena lelong
Keadaan tempat tinggal mangsa.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas di Alor Setar berkhemah di hadapan rumahnya sejak 21 Disember lalu gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan bank melelong rumahnya.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata, pihaknya sedang berusaha menyelesaikan masalah wanita berusia 60 tahun itu selepas menerima aduan tentang kes tersebut tiga hari lalu.

"Wanita itu berkhemah di hadapan rumahnya di Titi Gajah kerana enggan meninggalkan rumah yang ditinggalkan bekas suaminya.

"Dia yang kematian suami sejak tahun 1999 mendakwa diarah keluar rumah oleh individu yang membida itu pada Mei tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Rosland berkata, 4PM bagaimanapun meragui cara bank melelong rumah wanita tersebut kerana dia memaklumkan rumah berkenaan dibeli oleh bekas suaminya.

Katanya, pihak bank sepatutnya menyelesaikan tuntutan insurans rumah berkenaan berdasarkan syarat `Mortgage Reducing Term Assurance' memandangkan pembeli rumah itu sudah meninggal dunia.

Sehubungan itu, katanya, 4PM sedang menyiasat perkara berkenaan dan pihaknya akan mendapatkan keadilan untuk Salmah jika pihak bank didapati sengaja mengabaikan aspek insurans dalam kes tersebut.

Sementara itu, beliau menyelar sikap segelintir pembida rumah lelong yang bertindak menghalau penghuni asal sebelum tempoh 120 hari.

Kata beliau, pemilik asal perlu diberikan tempoh yang mencukupi untuk mengeluarkan barangan mereka dan mencari rumah lain.

"4PM terima beberapa aduan pemilik asal dihalau keluar oleh pembida hanya beberapa jam selepas rumah mereka dilelong. Ini sangat tidak berperikemanusiaan," katanya.

Orang ramai yang memerlukan bantuan 4PM diminta melayari laman web www.ppppmalaysia.weebly.com atau laman Facebook Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).


Mahkamah 2015: Dari kes Altantuya hingga bekas bos imigresen

Posted: 26 Dec 2015 04:40 AM PST

BERNAMA


 


Berikut adalah kronologi kes yang menarik perhatian awam dan perkembangan dalam sistem undang-undang yang berlaku pada tahun 2015:

JANUARY:

13 Jan - Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 43, terhadap tuduhan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati mereka bersalah membunuh wanita itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

21 Jan - Majalah mingguan gereja Katolik, Herald, dilarang daripada menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan apabila ia gagal dalam percubaan terakhirnya mengggunakan saluran perundangan, untuk Mahkamah Persekutuan mendengar semula permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.

FEBRUARI:

10 Feb - Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitannya meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar bekas Anggota Parlimen Permatang Pauh kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

MAC:

6 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

18 Mac - Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali diarah membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka berhubung artikel berkaitan 'Projek IC Sabah'.

20 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily, Taufek Yahya berhubung isu dana 1MDB.

30 Mac - Lima lelaki termasuk dua beradik didenda RM2,500 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur kerana merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, pada 7 Dis tahun lepas.

APRIL :

1 April - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas dia didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac.

17 April - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak.

30 April - Restoran Hameeds Corner di Seksyen 16, Shah Alam menjadi yang pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 sejak GST dilaksanakan 1 April.
 
 MEI

12 Mei - Kerajaan bersetuju untuk membayar RM600,000 sebagai ganti rugi kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sebagai penyelesaian dalam saman kecuaian yang difailkan oleh keluarganya terhadap kerajaan dan 13 yang lain atas kematian Teoh, selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan saman itu.

JUN:

12 Jun - Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,000 atau tiga bulan penjara terhadap empat pelancong Barat kerana melakukan perbuatan lucah di Gunung Kinabalu.

15 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming atas dakwaan memuat naik gambar berunsur fitnah mengenai mereka berdua dalam akaun Facebook Nga pada Mac.

18 Jun - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dikemukakan oleh PAS, DAP dan PKR untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 di kesemua 222 kawasan Parlimen.

30 Jun - Penjual tembikai, Murad Halimmuddin, 49, dihukum penjara 18 tahun manakala anak lelakinya, Abu Daud, 25, dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terlibat dengan aktiviti keganasan.

JULAI:

3 Julai - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membayar ganti rugi RM500,000 kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar Datuk Jahara Hamid kerana memfitnahnya dengan gelaran 'nenek rasis'.

28 Julai - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab-sebab kesihatan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa pada tarikh sama.

OGOS:

17 Ogos - Kes saman aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir terhadap presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan 12 lagi selesai selepas wakil ISMA melahirkan kekesalan menyiarkan artikel yang mengaitkan Marina sebagai dalang dalam aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango).

25 Ogos - Mahkamah Persekutuan memutuskan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah tidak berhak menerima bayaran komisen RM20 juta daripada Merong Mahawangsa Sdn Bhd untuk khidmatnya mendapatkan projek 'Jambatan Bengkok' di Johor Baharu.

SEPTEMBER:

3 Sept - Tiga rakan dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang budak lelaki warga Belanda, di hadapan Mont Kiara International School, tiga tahun lalu.

7 Sept - Bekas pembantu rumah Nirmala Bonat menerima ganti rugi RM349,496 bagi tuntutan sivil beliau terhadap bekas majikannya untuk kecederaan dan kesakitan yang dialami semasa diambil bekerja 11 tahun lalu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan.

8 Sept - Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan tujuh lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana menyertai protes jalanan #KitaLawan pada 28 Mac.

9 Sept - Seorang arkitek Mohd Syafrien Rasid, 27, dan juruteknik Mohamad Yusoffe Ishak, 27, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kesalahan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan IS.

11 Sept - Penganggur, Nazirul Abidin Thalha, 24, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memiliki bahan penerbitan berkaitan perlakuan pengganas.

21 Sept - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang menggantung sementara penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dalam tindakan undang-undang ke atas artikel mengenai 1MDB yang diterbitkan The Edge.

28 Sept - Enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu.

29 Sept - Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo atas kesalahan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

OKTOBER:

5 Okt - Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang mendakwa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook milik beliau.

6 Okt - Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta Hasutan 1948, undang-undang praMerdeka, ialah undang-undang yang sah dan boleh dikuatkuasakan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Panel itu membuat keputusan dalam kes Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan.

8 Okt - Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Enakmen Syariah Negeri Sembilan yang menghukum lelaki berpakaian wanita tidak melanggar perlembagaan.

8 Okt - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri itu sebagai sebuah pertubuhan haram.

9 Okt - Bekas penceramah bebas, Zulqarnain Ghaz Ab Ghani, 31, dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memasuki Syria bagi menyokong perbuatan pengganas, tahun lepas.

12 Okt - Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

20 Okt - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tiga anggota Parti Gerakan Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee and Chung Mon Sieto bagi kebenaran untuk mencabar perlembagaan undang-undang hudud Kelantan selepas memutuskan bahawa mereka gagal membuktikan bahawa mereka akan terjejas oleh undang-undang berkenaan.

21 Okt - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan dua yang lain bagi kebenaran merayu terhadap arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar parti itu mengadakan pemilihan semula selepas memutuskan perkara itu bersifat akademik. Dengan keputusan itu, arahan RoS dikekalkan dan Datuk Seri S. Subramaniam diperakui sebagai Presiden MIC yang sah.

28 Okt - Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang didakwa atas tuduhan memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas beliau memohon maaf secara terbuka kepada perdana menteri.

29 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat ke atasnya.

30 Okt - Lelaki warga India yang menampar imam Masjid Negara semasa solat Jumaat pada 18 Sept, didenda RM12,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

NOVEMBER:

3 Nov - Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan bahawa Malaysia perlu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman keganasan, tetapi ia bergantung bagaimana ia ditafsirkan dan dilaksanakan.

3 Nov - Seorang bakal pengantin, Azlee Md Salleh, 30, terpaksa meringkuk di penjara selama sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas tuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi gambar bendera kumpulan pengganas IS.

3 Nov - Penganjur Perhimpunan Bersih 4.0 Maria Chin Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan gagal memberi notis pemberitahuan kepada polis berhubung penganjuran perhimpunan itu pada Ogos lepas.

18 Nov - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pertuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

19 Nov - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memfailkan saman fitnah di Mahkamah tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berhubung dakwaan menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

20 Nov - Peguam Da-tuk V.K. Lingam yang terlibat dalam salah laku berhubung klip video berkaitan pelantikan ha-kim, dilarang daripada mengamalkan undang-undang berikutan keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara yang menggugurkannya daripada jawatan itu.

24 Nov - Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat.

25 Nov - Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas pemandu trak tunda, Koong Swee Kwan kerana membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi.

26 Nov - Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengulangi bahawa mendiang Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais tidak terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan menolak dakwaan bahawa pembunuhannya ada kaitan dengan kes itu.

DISEMBER:

7 Dis - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman bekas anggota Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Anina Saadudin berhubung pemecatannya daripada parti itu yang memutuskan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara berhubung pertikaian dan hal ehwal parti politik.

15 Dis - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 31 Dis untuk keputusan terhadap permohonan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja Datuk Ab Rauf Yusoh untuk membatalkan saman bekas anggota UMNO Langkawi Anina Saadudin berhubung isu derma RM2.6 bilion.

15 Dis - Ketua kerani perangkaan, Poziah Harun, 42, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah melindungi suaminya, pengganas di Syria.

16 Dis - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don kerana menerima rasuah untuk mempercepat kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh, tujuh tahun lepas.- Bernama


Pemberhentian pekerja bukan penyelesaian

Posted: 26 Dec 2015 04:33 AM PST

Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar


 


ULASAN Dalam masa kurang seminggu lagi, kita akan melangkah masuk ke tahun 2016.
Semua petunjuk ekonomi menjangkakan keadaan ekonomi yang lebih mencabar sepanjang tahun yang akan datang ini.

Malaysia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila kesan kejatuhan harga minyak mentah diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai mata wang, hilangnya keyakinan pelabur akibat krisis politik dan kenaikan mendadak kos operasi kesan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bank Negara Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya 8,690 orang pekerja telah diberhentikan sepanjang Januari hingga September 2015 melalui pelbagai skim akibat daripada keadaan ekonomi yang semakin parah.

Setakat September 2015, seramai 461,000 orang terpaksa menganggur, peningkatan sebanyak 22 peratus atau 84,000 orang berbanding bilangan penganggur pada September 2014.

Apa yang lebih membimbangkan, industri petroleum adalah antara industri yang teruk terjejas dan terpaksa memberhentikan khidmat ramai pekerja.

Kesan kehilangan kuasa beli daripada pekerja-pekerja industri petroleum, yang rata-rata bergaji lebih tinggi jika dibandingkan dengan industri lain tidak boleh dipandang remeh.

Mengikut kajian yang dilakukan Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2014, purata isi rumah rakyat Malaysia berbelanja sebanyak RM3,578 sebulan.

Purata perbelanjaan bulanan bagi isi rumah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah jauh lebih tinggi iaitu RM5,559 dan RM5,627 dengan peratus peningkatan masing-masing sebanyak 12.1 peratus dan 12.7 peratus setahun.

Kajian yang sama juga mendedahkan bahawa 23.9 peratus daripada jumlah tersebut dibelanjakan untuk kediaman dan bil-bil utiliti, 18.9 peratus untuk kos makan minum dan 14.6 peratus untuk pengangkutan.
RM9 juta keluar dari KL

Dengan anggapan kadar pertumbuhan kekal seperti tahun 2014, kita boleh menganggarkan purata perbelanjaan bulanan isi rumah pada tahun 2015 untuk Kuala Lumpur adalah sebanyak RM6,232 dan RM6,342 untuk Putrajaya.

Jika kita mengandaikan sepertiga daripada jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang 2015 itu tinggal di sekitar Kuala Lumpur, dan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan sebanyak 50 peratus apabila terpaksa menganggur, Kuala Lumpur akan hilang lebih RM9 juta jualan barang dan perkhidmatan setiap bulan.

Kehilangan jualan ini akan memberi impak terutamanya kepada peniaga-peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) dan mungkin akan menyebabkan kehilangan lebih banyak pekerjaan.

Justeru, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan pemberhentian pekerja secara beramai-ramai ini tidak menjadi bertambah buruk.

Kerajaan boleh memperkenalkan beberapa inisiatif yang tidak menelan belanja yang tinggi untuk membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan ini seperti membenarkan pengeluaran simpanan KWSP untuk menampung perbelanjaan bulanan.

Pengeluaran ini boleh dihadkan kepada satu jumlah bersamaan 6 bulan gaji terdahulu untuk memastikan simpanan pesaraan yang mencukupi bagi pekerja tersebut.

Kerajaan juga boleh memperkenalkan insentif khas kepada bank-bank dan institusi-institusi kewangan yang sedia memberikan payment holiday atau penangguhan bayaran ansuran pinjaman kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan ini.

Insentif ini boleh berupa pelepasan cukai ke atas kadar bunga atau keuntungan yang dikenakan sepanjang tempoh penangguhan tersebut.

Kaedah ini juga akan membantu pihak bank menguruskan portfolio pinjaman mereka kerana ia mengelakkan akaun pembiayaan tersebut daripada diklasifikasikan sebagai non-performing loan (NPL).

Cara mudah, tapi paling mahal 

Di sebelah yang lain pula, pihak majikan perlu sedar bahawa memilih pemberhentian pekerja hanyalah patut dilakukan sebagai langkah terakhir.

Walaupun sekali lihat, langkah mengurangkan pekerja tampak sebagai cara paling mudah untuk mengurangkan kos operasi, namun ia sebenarnya adalah langkah yang paling mahal.

Selain terpaksa mengeluarkan kos pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, syarikat juga terpaksa menanggung kos kehilangan aset-aset berupa kemahiran, pengalaman, pengetahuan dan jaringan kenalan pekerja tersebut.

Selain itu, andai keadaan kembali pulih nanti, syarikat terpaksa mengeluarkan kos tambahan pula untuk mencari pekerja baru dan melatih mereka.

Sebaiknya, syarikat memilih untuk memperkemas operasi, mengawal ketirisan dan membentuk budaya kerja yang lebih efisien untuk menjimatkan kos.

Kos-kos bukan keperluan seperti majlis makan malam tahunan, hari keluarga, perkuisit mewah kepada pengurusan tertinggi boleh dibekukan untuk sementara waktu.

Syarikat juga boleh berunding untuk menstruktur semula bayaran balik pinjaman-pinjaman bank sedia ada untuk membantu aliran tunai syarikat.

Syarikat juga boleh memilih untuk menguruskan kapasiti lebihan (excess capacity) dengan menghantar pekerja-pekerja mengikuti program-program latihan yang disediakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dengan kos minimum.

Ringkasnya, tindakan pemberhentian kerja selalunya adalah tindakan penyelesaian jangka pendek yang akan membawa kerugian jangka panjang.

Kerajaan dan pihak swasta harus berganding bahu bagi mengelakkan lebih ramai pekerja diberhentikan dan bagi membela nasib pekerja-pekerja yang telah dibuang.

SHEIKH KHUZAIFAH SHEIK Abu Bakar ketua biro ekonomi dan hal ehwal korporat Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan, merangkap pengarah komunikasi pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan. Penulis boleh dihubungi melalui khuzaifah.bawazeer@gmail.com.


Bagaimana mahasiswa melawan lapar

Posted: 26 Dec 2015 04:20 AM PST

Anne Muhammad  





Kos sara hidup yang tinggi masa kini menyebabkan ada di kalangan mahasiswa terpaksa berlapar kerana tiada wang untuk membeli makanan.

Keadaan lebih meruncing ketika akhir semester kerana kehabisan wang pinjaman, seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Enggan menunggu bantuan mana-mana pihak, beberapa kumpulan dan kepimpinan pelajar universiti awam tampil dengan idea kreatif membantu rakan mereka.

Dinamakan "suspended meals" (hidangan tergantung), penderma boleh membelikan makanan secara prabayar untuk rakan mereka yang kurang bernasib baik.

Seperti diamalkan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), penderma akan diberikan kupon makanan untuk digantung di sebuah papan kenyataan, untuk diambil kemudiannya oleh pelajar yang memerlukan.

"Ada kawan-kawan saya bagi tahu yang mereka ada kawan di asrama yang susah, tidak ada duit untuk makan dan makan sekali sehari, tapi malu mahu beritahu, jadi kami buat program macam ini.

"Kami buat program macam ni atas dasar kepercayaan, kalau mereka ambil kupon itu saya percaya mereka susah," kata Penyelaras Kebajikan Asasi UIA, Abdullah Mohd, 22.

Difahamkan universiti awam lain yang memiliki program itu ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Berkongsi usaha mulia mereka itu, Abdullah (gambar) berkata, di UIA, program tersebut telah dilaksanakan selama dua semester.

Katanya, para pelajar yang ingin menderma boleh membeli kupon bernilai RM2 dan RM4 di sebuah kaunter khas di kafe asrama UIA dan melekatkannya di papan kenyataan disediakan.

Atas dasar kepercayaan, tiada semakan dibuat terhadap penerima kupon itu.

"Program ini berdasarkan kepercayaan seratus peratus," katanya sambil berkata pihak luar turut terlibat menderma melalui sumbangan terus ke akaun penganjur.

Usaha bersama universiti, siswa, masyarakat
Sementara itu, di Universiti Putra Malaysia (UPM), walaupun kaedah berbeza tetapi mereka turut sama mengedarkan makanan percuma kepada pelajar yang kurang memerlukan.

Di pusat pengajian itu, ia dilakukan melalui usaha sama pihak universiti dan pelajar serta menerima sumbangan daripada orang ramai.

Pegawai Pejabat Pendaftar UPM Rafidah Sadarudin berkata, pihaknya turut memulakan program yang dikenali sebagai "Makanan percuma untuk mahasiswa".



Sebanyak 100 bungkus makanan telah diagihkan dalam program yang telah berlangsung selama dua kali itu.

Jelasnya, program ini diadakan kerana kos sara hidup yang semakin meningkat dan tujuan utamanya bagi meringankan bebanan mahasiswa.

"Objektif utama sebab ingin bantu ringankan beban pelajar dan kami harap ia dapat diteruskan secara berkala, namun semuanya bergantung kepada sumbangan orang ramai," katanya.

Pihak yang ingin menderma boleh berhubung terus dengan penganjur di universiti masing-masing.

Berkaitan: Hati terusik bila siswa makan sehari sekali

Peniaga di Plaza Kota Raya kini sukar dapat pelanggan

Posted: 25 Dec 2015 11:17 PM PST

Insiden kekecohan beberapa hari lalu menyebabkan peniaga semakin sukar mendapat pelanggan baru


kota raya


KUALA LUMPUR: "Lagi 20 (ringgit saya bayar esok ya," kata seorang pelanggan kepada Nira (bukan nama sebenar), pekerja di sebuah kedai telekomunikasi di Kompleks Kota Raya.

Cuti umum selama dua hari sedikit sebanyak merancakkan kembali perniagaan di kompleks itu, yang lengang ekoran kekecohan pada 20 Disember lalu.

Menurut Nira, selepas hampir seminggu insiden kekecohan oleh sekumpulan lelaki berlaku di situ, majikannya semakin sukar mendapat pelanggan baru.

"Sekarang yang datang hanya pelanggan tetap. Biasanya mereka beli kad tambah nilai dan aksesori lain.
"Sudah sukar untuk dapat pelanggan baru, apatah lagi untuk beli telefon," katanya yang merupakan pekerja warga Indonesia.

Sementara itu, pelanggan yang datang ke tempat dia bekerja itu yang juga merupakan warga Indonesia berkata, dia sudah biasa berurusan di kedai tempat Nira bekerja dan Telefon bimbit yang digunakan turut dibeli di kedai berkenaan.

"Telefon pun masih dalam keadaan baik. Jadi kalau ada apa-apa, datang sini sahajalah," katanya lagi.

Suasana di Kota Raya petang Jumaat kembali sesak dengan pengunjung yang datang kebanyakannya warga asing.

Rakan Nira yang bekerja di kedai bersebelahan pula mengharapkan, aktiviti perniagaan di plaza berkenaan akan kembali pulih seperti sedia kala.

"Memang tak ramai orang ke sini sebelum ini, tetapi keadaan menjadi lebih teruk sepanjang minggu ini.

"Ramai yang datang adalah mereka yang sudah biasa berkunjung dan kebanyakannya warga asing. Susah juga kalau bergantung kepada pelanggan tetap sahaja," katanya lagi.

Dalam pada itu, dia menyambut baik langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuka kaunter aduan di kompleks itu.

"Saya harap tindakan itu akan dapat hilangkan rasa rakut orang ramai kerana sikap segelintir penjual, kami semua turut terjejas," katanya yang sudah tujuh tahun bekerja di situ.

KPDNKK membuka kaunter aduan di tiga lokasi, iaitu Kompleks Kota Raya, Kompleks Pertama dan Plaza Low Yat sehingga 27 Disember ini bagi membolehkan mangsa penipuan membuat aduan.

Najib makin tidak popular

Posted: 25 Dec 2015 11:03 PM PST

 
Ia berdasarkan respon orang ramai kepada ucapan Maulidur Rasul dan Hari Krismas di media sosial


shahbuddin,najib,muhyiddin


PETALING JAYA: Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin merosot berbanding bekas Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat semakin popular.

Perbandingan itu dibuat berdasarkan respon orang ramai terhadap ucapan Maulidur Rasul dan Hari Krismas di laman sosial yang dibuat kedua-dua pemimpin nombor satu dan dua parti UMNO itu.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Hussin menulis, untuk Maulidur Rasul, Najib memuatnaik tulisannya sejak Rabu dan sehingga petang Jumaat lalu, jumlah "likes" yang diperolehinya hanyalah sebanyak 3,990 sahaja manakala Muhyiddin yang memuatkan tulisannya sejak Khamis telah mengumpul "likes" sebanyak 29,852.

Untuk Krismas pula, Najib hanya mendapat 'likes' sebanyak 904 sejak memuatnaik posting pada Khamis sementara Muhyiddin dalam tempoh tidak sampai sejam telah memperoleh 'like' sebanyak 2,620.

"Menurunnya populariti Najib di hati rakyat sebenarnya bukan lagi sekadar andaian atau jangkaan semata-mata. Ia adalah realiti yang semakin nyata serta boleh dilihat di mana-mana.

"Kekal berkuasa dan penyokongnya pula bangga kerana konon kepimpinannya masih mampu mengaut derma beribu-ribu juta, hakikatnya populariti beliau semakin ketara menurunnya," tulisnya di blog shahbudindotcom.blogspot.my.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mengumpul 'likes' yang jauh lebih mengecewakan.

"Malah, jika 'likes' yang diperoleh Najib dicampurkan dengan 'likes' Zahid, ia masih lagi tidak mampu menandingi jumlah yang diperoleh Muhyiddin.

"Masihkah tidak mahu memahami isyarat ini?, soalnya.

#ShutdownJalanDuta tetap diteruskan – Shazni Munir

Posted: 25 Dec 2015 10:36 PM PST

 
Khalid sepatutnya menyedari kenaikan sara hidup pada tahun depan bukan saja menimpa seluruh rakyat malah anggota-anggota polis di bawahnya


Shazni-Munir,khalid


PETALING JAYA: Protes bagi membantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016 `#ShutdownJalanDuta' tetap akan diadakan meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.

Pengerusi Penganjur, Jawatankuasa Bertindak #ShutdownJalanDuta, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, setelah berbincang panjang, pihaknya telah bersetuju untuk tetap meneruskan protes sebagaimana yang telah dirancang.

Katanya, amaran yang diberi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai risiko yang akan dikenakan jika tetap menganjurkannya telah diambil maklum oleh pihak jawatankuasa bertindak.

"Walaupun pihak jawatankuasa telah berusaha sehabis baik untuk mematuhi peruntukan bawah Akta Perhimpunan Aman dan akhirnya tetap juga mahu diambil tindakan oleh pihak polis, hal ini pada hakikatnya jauh lebih besar daripada itu.

"Protes #ShutdownJalanDuta ialah cerita periuk nasi rakyat dan survival hidup yang perlu ditempuh sehari-hari. Simbol perlawanan rakyat untuk menuntut kembali hak keselesaan hidup yang telah dirampas oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Protes langsung terhadap kecurangan tadbir urus negara hingga rakyat sekali lagi akan menanggung kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan 8 tol bermula tahun hadapan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Shazni menegaskan, Khalid sepatutnya perlu menyedari bahawa kenaikan kos sara hidup pada tahun hadapan akan menimpa seluruh rakyat yang susah, termasuklah anggota-anggota polis di bawah jagaan beliau.

Katanya, rakyat yang mengundi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan juga akan turut mengalami kesan besar jika kenaikan itu berlaku.

"Rakyat susah di kampung-kampung, kawan-kawan miskin bandar yang bergelut meneruskan hidup, itu semua menjadi sebab besar mengapa protes ini perlu juga berlangsung," tegasnya.

Tetap pertahan kerusi, walaupun terbuka berbincang dengan PKR, PAN - PAS Sarawak

Posted: 25 Dec 2015 10:02 PM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Meskipun terbuka untuk berbincang bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, PAS tetap bertegas untuk meletakkan calonnya di kerusi-kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini.
 
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata demikian mengulas kesediaan PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) untuk berunding dengan PAS, bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
 
Menurut Jofri lagi, pertikaian berhubung pembahagian kerusi itu hanya melibatkan beberapa kawasan sahaja.
 
"Jika mereka bersedia untuk berunding dengan kita (PAS), kita boleh. 
 
"Namun kita tetap dengan keputusan supaya tempat yang kita bertanding dahulu tidak akan diserahkan kepada parti lain, (walaupun) kita terbuka dengan rundingan. 
 
"Kerusi yang ada pertindihan hanya di beberapa kawasan sahaja. Jadi tiada masalah untuk dibawa berunding kerusi-kerusi itu," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Jofri baru-baru ini mengumumkan bahawa PAS Sarawak akan bertanding lebih dari sepuluh kerusi DUN pada PRN ke-11 akan datang.
 
Antara kerusi yang bakal ditandingi PAS dalam PRN itu termasuklah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi yang sedang dipertimbangkan.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata PH tidak akan menghalang PAS untuk turut meletakkan calon, namun perbincangan perlu diadakan selepas PAS tidak lagi sebahagian daripada pakatan pembangkang.
 
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga senada dalam hal itu sambil menambah, PAS perlu mengakui bahawa tidak mudah untuk parti itu menang di Sarawak.
 
Malah Ahli Parlimen Pandan itu berkata, apa sahaja keputusan perlu mengambil kira pandangan parti gabungan di dalam Pakatan Harapan.
 
Untuk rekod, pada PRN yang lalu, PAS gagal memenangi semua kerusi DUN yang ditandinginya iaitu Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.
 
Sementara itu ketika ditanya sama ada hal perebutan kerusi memberi kelebihan kepada PAS untuk menang pada PRN kali ini, Jofri menyatakan keyakinannya dengan merujuk jumlah sokongan pada pilihan raya yang lalu.
 
"Di Betong Baro (dalam kawasan Kuching), kita ada majoriti dalam 300 undi (PRN lalu). Kita rasa insya-Allah, jika kita bekerja keras lagi, tidak mustahil untuk menang di kerusi-kerusi kita bertanding dahulu," tegasnya.
 
 
 

Masyarakat Kristian bimbang arah perundangan M'sia

Posted: 25 Dec 2015 09:46 PM PST

Kow Gah Chie


 


Masyarakat Kristian dikatakan bimbang dengan arah perundingan di Malaysia, termasuk kelulusan undang-undang keselamatan kontroversi baru-baru ini.

"Kami bimbang berkaitan undang-undang yang diperkenal dan tanpa perbahasan cukup dan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

"Malah undang-undang keselamatan menjadi kebimbangan kami, kerana ia menjejaskan kebebasan rakyat biasa," kata Ng Moon Hing daripada Persatuan Bible Malaysia.

Walaupun tidak merujuk secara langsung, beliau dipercayai merujuk kepada rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Rang undang-undang itu, yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara, diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember lalu.

Aktivis hak asasi manusia dan pembangkang menolak undang-undang itu atas alasan berlaku pemusatan kuasa yang besar terhadap perdana menteri.

Pasaran getah diniaga berhati-hati minggu depan

Posted: 25 Dec 2015 09:44 PM PST

BERNAMA





Pasaran getah Malaysia diramal diniaga secara berhati-hati minggu depan, dipengaruhi pergerakan ringgit serta sentimen bercampur-campur di pasaran serantau.

Peniaga berkata, Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) ditutup pada Rabu sempena hari keputeraan maharaja Jepun, manakala harga komoditi di Bursa Hadapan Shanghai dilihat merosot selepas meningkat baru-baru ini.

"Pasaran hadapan TOCOM, yang menetapkan nada untuk harga tayar getah di Asia Tenggara, mungkin akan lebih lengang minggu depan kerana peniaga sudah mula mengambil cuti akhir tahun," tambahnya.

Pada asas Jumaat ke Rabu, pasaran tempatan diniaga bercampur-campur sepanjang minggu yang pendek disebabkan cuti, dengan harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 meningkat sembilan sen kepada 498.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 6.5 sen kepada 353.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada jam 5 petang untuk SMR 20 menambah enam sen
 kepada 499.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal jatuh enam sen kepada 353 sen sekilogram.

Pasaran ditutup pada Khamis dan Jumaat sempena cuti umum dan akan dibuka semula pada Isnin.
- Bernama


Syarat guna akhbar bungkus makanan ditetapkan

Posted: 25 Dec 2015 09:39 PM PST

BERNAMA


 


Kementerian Kesihatan menetapkan beberapa syarat dalam membenarkan pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar untuk membungkus dan menyediakan makanan dan kegagalan mematuhi syarat itu bakal berdepan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua tahun.

Kementerian mengambil maklum bahawa masih terdapat pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar yang bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk membungkus makanan, menutup makanan atau untuk menyerap minyak daripada makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara syarat ditetapkan termasuk hanya membenarkan surat khabar digunakan sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan yang sedia dimakan dan tidak bersentuhan secara langsung dengan makanan.

"Bahan pembungkus seperti plastik (lutsinar) atau daun pisang hendaklah digunakan sebagai lapisan pertama yang melindungi sepenuhnya makanan tersebut daripada bersentuhan secara langsung dengan kertas surat khabar," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata pembungkusan makanan sedia dimakan dengan surat khabar sebagai lapisan kedua juga hendaklah dikendalikan dengan kaedah yang dapat mengelakkan pencemaran dakwat daripada kertas surat khabar kepada makanan tersebut melalui apa jua cara.

"Contohnya, pencemaran boleh terjadi melalui tangan pengendali makanan yang telah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiannya menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung," katanya.

Dr Noor Hisham berkata kertas surat khabar hendaklah tidak digunakan bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk menutup makanan atau menyerap minyak daripada makanan bergoreng.

Katanya, semua perkara tersebut tertakluk di bawah Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu seseorang pengendali makanan hendaklah mengendalikan makanan dan menggunakan perkakas dan bekas makanan tanpa bersentuhan secara langsung dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh mencemarkan makanan itu.

Beliau menjelaskan menurut Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan yang menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual hendaklah memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran.

"Pengendali makanan juga harus memastikan pembungkus makanan menyediakan perlindungan yang secukupnya untuk hasil makanan bagi meminimumkan pencemaran dan mengelakkan kerosakan kepada hasil makanan itu.

"Mereka juga harus memastikan bahan pembungkus makanan bukan toksik dan cukup kuat untuk menahan koyak dan bocor. Kegagalan untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun," kata beliau.

Beliau berkata, aduan boleh dibuat kepada Kementerian Kesihatan sekiranya pengguna mendapati mana-mana pengendali makanan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan itu melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau Facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.- Bernama


Presiden PAS dapat layanan istimewa Utusan

Posted: 25 Dec 2015 09:37 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Di tengah-tengah kehangatan isu kerjasama Umno-PAS, Utusan Malaysia tampil memberi layanan istimewa kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akhbar milik Umno itu hari ini menyiarkan kenyataan penuh Hadi, yang antara lain mempertahankan peranan parti itu sebagai pembangkang yang menasihati kerajaan.

Malah, kenyataan anggota Parlimen Marang itu turut diketengah di muka depan akhbar itu.

Manakala kenyataan penuh Hadi dimuatkan di halaman ke-12 dengan tajuk "Fahami konsep Nasihat PAS"
Jarang Utusan memberi ruang sebegitu kepada pemimpin pembangkang selama ini.

Akhbar web PAS Haakahdaily turut memuatkan kenyataan penuh Hadi semalam.

Masih tidak jelas sama ada layanan istimewa Utusan itu akan menjadi isyarat bahawa Umno terus berusaha untuk 'melamar' PAS, yang kini bersendirian selepas perpecahan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Dalam artikel itu, Hadi antaranya berkata kesediaan PAS itu untuk menjadi penasihat kerajaan bukan kerana pangkat tetapi untuk menjadi penyelamat.

Malah, katanya, konsep nasihat sangat penting untuk umat Islam dan termaktub dalam al-Quran dan sunah yang menjadi dasar tertinggi PAS.

Beliau pada masa yang sama menyelar pihak yang "lemah iman" dan tidak istiqamah dengan "mahu menjadi pembangkang semata-mata atau terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi".

Isu kerjasama kedua-dua parti terbesar di Malaysia itu kembali disemarakkan selepas perkongsian pentas Hadi dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam sebuah acara alumni Universiti al-Azhar, Mesir baru-baru ini.

Kemesraan mereka, selain pakaian sedondon merah jambu, mereka juga menjadi perhatian lensa jurugambar, yang terus mencetuskan perbahasan awam.


Krisis IS: Pas ada penawar terbaik

Posted: 25 Dec 2015 09:30 PM PST

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
 
 
SHAH ALAM - Pas mempunyai penawar bagi mereka yang bersimpati dan terpengaruh dengan doktrin keganasan militan IS di negara ini.

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik berkata, kemampuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan demokrasi merupakan sistem paling hampir dengan Islam perlu dihayati oleh mereka yang mula terpengaruh dengan IS.

"Umum mengetahui bahawa mereka yang cenderung dengan IS bermula dengan penolakan mereka terhadap demokrasi dan juga sistem perubahan seacara aman.

"Mereka sering mengemukakan hujah-hujah yang difahami secara literal dan bias di dalam menolak sistem demokrasi yang dianggap sebagai sistem kufur dan tidak Islamik. Malangnya hujah-hujah mereka itu dapat dipatahkan oleh Abdul Hadi di dalam karya-karya beliau, dan juga menerusi penglibatan beliau dan Pas secara langsung dengan sistem demokrasi yang ada di negara ini," katanya menerusi kenyataan.

Menurut Maszlee, Abdul Hadi telah membuktikan bahawa pemahaman Islam berteraskan tauhid tiga  (Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyan dan Tauhid Asma wa Sifat) boleh menerima demokrasi.

"Pas komited dengan prinsip tersebut. Bahkan gerakan-gerakan Islam yang mendukung Tauhid tiga ini tidak menjadikan mereka pengganas, sebaliknya banyak menyumbang ke arah perkara-perkara positif, keabadian sejagat, dan juga unsur-unsur kebajikan di dalam ruang demokrasi di dalam negara," ujarnya.

Justeru itu, pihak berkuasa perlu bersikap inklusif dan profesional dalam menangani isu IS secara serius.

Kepakaran dan juga pengkhususan gerakan-gerakan Islam sederhana pro-demokrasi perlu diintegrasikan dengan usaha-usaha sedia ada.

"Kelebihan gerakan-gerakan tersebut ialah keupayaan mereka untuk mempengaruhi massa dan masyarakat sivil untuk menghayati Islam yang sederhana dan menghormati sistem yang ada.

"Usahlah kawan di sangka lawan, ia hanya akan menggadaikan usaha baik tersebut dan mensia-siakan tenaga dan bakat yang ada. Lebih malang lagi, penolakan terhadap usaha sama gerakan-gerakan Islam sederhana pro-demokrasi itu juga ditakuti akan membawa kepada kesan slippery slope (keterbabasan) yang membawa akhirnya kepada fenomena Islamophobia di dalam negara," katanya.

Caj kes rasuah: Cabaran, kekangan SPRM

Posted: 25 Dec 2015 09:28 PM PST

SPRM
SPRM

MASYARAKAT sering kali tersalah anggap bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah rasuah.

Hakikatnya, tidak begitu. Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia mengamalkan prinsip pengasingan kuasa.

Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan pembahagian kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Peranan SPRM adalah menjalankan siasatan manakala keputusan untuk menuduh atau tidak dibuat oleh Peguam Negara.

Keputusan sama ada tertuduh bersalah atau tidak akan ditentukan oleh mahkamah.

Prinsip Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pihak yang menjalankan siasatan membuat keputusan sendiri untuk menuduh seseorang suspek di mahkamah.

Dalam kes SPRM, setelah siasatan selesai, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM untuk keputusan.

Kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut, "Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera."

Pendakwaan kes rasuah

Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM sentiasa memastikan kualiti kes-kes yang didakwa di mahkamah.

Harus diingat bahawa bukan semua kes yang disiasat akan berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.
Sesuatu maklumat akan dibuka kertas siasatan apabila ada asas mengenai sesuatu pelakuan rasuah itu telah berlaku.

Kes yang selesai disiasat, suspek sama ada akan: didakwa di mahkamah; dikemukakan Laporan SPRM kepada jabatan (untuk tindakan tatatertib jabatan); atau tiada tindakan ke atas suspek kerana tiada keterangan/bukti.

Seseorang suspek akan didakwa di mahkamah setelah wujud segala keterangan dan bukti yang mencukupi hasil daripada siasatan yang dijalankan. Pendakwaan tidak akan dibuat akibat tekanan mana-mana pihak atau atas dasar 'dendam peribadi' terhadap suspek.

Ada kes, tidak semestinya ada keterangan

"Mengapa si polan tidak dituduh di mahkamah? Ada kes tu." Itu antara kenyataan yang sering kedengaran apabila seseorang yang disiasat SPRM tidak didakwa di mahkamah.

Sebenarnya, terdapat perbezaan yang besar di antara 'ada kes' dan 'ada keterangan'. Tidak semestinya kes yang kita anggap 'ada kes', individu terbabit mesti dihadapkan ke mahkamah.

Tetapi, kes yang mempunyai keterangan yang cukup, sudah pasti akan dituduh dan dibicarakan. Dengan kata lain, pendakwaan terhadap pelaku rasuah hanya akan dibuat apabila 'ada keterangan' yang kukuh mengenai jenayah yang dilakukan.

Contohnya, seorang pemandu lori yang memberi rasuah sebanyak RM100 kepada anggota agensi penguat kuasa bagi mengelak disaman, telah melaporkan perbuatan itu kepada SPRM.

Dalam konteks ini, memang jelas 'ada kes' rasuah berlaku. Namun persoalannya, adakah dengan hanya bergantung kepada keterangan pemandu lori itu sudah mencukupi untuk mendakwa anggota terbabit di mahkamah?

Untuk membuat pertuduhan, SPRM memerlukan keterangan dan bukti yang mencukupi.

Keterangan dan bukti yang baik dalam kes rasuah adalah seperti saksi yang melihat transaksi rasuah, rakaman audio video, penemuan wang rasuah pada tertuduh, dokumen berkaitan transaksi rasuah dan sebagainya. Jika ini semua tiada, sekuat mana pun kita menganggap 'ada kes', amat sukar untuk pertuduhan dibuat, apatah lagi untuk menyabitkan tertuduh.

Keberkesanan kes pendakwaan dapat dilihat menerusi sabitan kes-kes rasuah di mahkamah.
Selepas tahun 2009, kadar sabitan kes-kes rasuah di mahkamah bicara meningkat dan berada pada tahap yang membanggakan.

Kadar sabitan bagi tahun 2009 adalah 54 peratus dan pada tahun 2014 78.3 peratus.

Mengambil kira kompleksiti dan kesukaran dalam pendakwaan kes rasuah, kadar sabitan melebihi 75 peratus boleh dianggap amat baik.

Punca kekalahan kes rasuah

SPRM tidak boleh memberi jaminan sabitan 100 peratus bagi setiap kes yang dituduh di mahkamah.
Kekalahan kes di mahkamah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Beberapa punca kekalahan telah dikenal pasti, antaranya:

a. Faktor kes rasuah itu sendiri - saksi kes rasuah berbeza dengan saksi bagi kes jenayah yang lain seperti bunuh, rogol, rompak dan sebagainya. Dalam kes bunuh atau rogol, saksi terdiri daripada mangsa atau keluarga mangsa yang benar-benar marah kepada pesalah.

Oleh sebab itu, saksi berkenaan akan memberikan keterangannya yang paling baik di mahkamah bagi memastikan pesalah mendapat hukuman setimpal atas perbuatannya.

Namun bagi kes rasuah, 'tiada mangsa' yang benar-benar menjadi mangsa kepada pesalah rasuah. Jenayah rasuah melibatkan dua pihak yang saling mendapat keuntungan daripada pelakuan rasuah tersebut.

Dalam kes permintaan atau penerimaan rasuah, kebanyakan pengadu adalah individu yang mula-mula melakukan perkara yang salah (jenayah) di sisi undang-undang dan seterusnya diminta wang rasuah oleh penjawat awam agensi penguatkuasaan terbabit.

b. Keterangan saksi tidak konsisten - oleh kerana saksi kes rasuah ini berbeza berbanding saksi bagi jenayah yang lain, maka keinginan saksi untuk menghukum penjenayah rasuah juga dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh.

Faktor ini seterusnya menjejaskan komitmen saksi-saksi berkenaan dalam memberikan keterangan semasa perbicaraan.

Akibatnya, mereka cenderung memberi keterangan yang tidak konsisten dan seringkali berubah-ubah.
Keadaan yang sama berlaku apabila sesuatu kes mengambil masa yang lama untuk dibicarakan.

Sehingga pada satu peringkat, saksi-saksi sudah hilang minat terhadap kes tersebut. Saksi juga boleh jadi tidak dapat mengingati dengan baik insiden yang berlaku berkaitan transaksi rasuah dan sebagainya.

Ada juga saksi yang berasa bersalah dan bersimpati kepada orang yang dituduh (tertuduh).

Secara sedar atau tidak sedar, mereka telah membantu tertuduh semasa memberi keterangan di mahkamah.

c. Saksi berpaling tadah - saksi dianggap 'berpaling tadah' apabila keterangan yang diberikan semasa di mahkamah adalah bercanggah dengan keterangan awal yang dibuat kepada pegawai SPRM semasa peringkat siasatan.

Selain saksi memberi keterangan yang bercangggah, saksi berpaling tadah atau sering disebut sebagai hostile witness juga bermaksud saksi enggan bekerjasama semasa perbicaraan kes.

Contohnya, saksi tidak hadir ke mahkamah, menghilangkan diri apabila dikehendaki memberi keterangan, enggan memberi keterangan dan sebagainya.

Kebanyakan saksi utama dalam kes rasuah adalah individu yang diminta untuk bekerjasama memberikan keterangan dan bukannya tampil secara sukarela.

Mereka juga boleh dikategorikan sebagai 'rakan sejenayah'.

Ada juga pengadu yang membuat aduan rasuah kerana berasa marah terhadap tertuduh.

Contohnya, apabila tertuduh telah meminta wang rasuah lebih banyak daripada sepatutnya. Ataupun, setelah tertuduh menerima wang rasuah, balasan yang diharapkan tidak diperoleh.

Maka aduan dibuat terhadap tindakan tertuduh.

Namun, lama-kelamaan perasaan marah itu semakin pudar dan diganti dengan perasaan kasihan terhadap tertuduh.

Tambahan pula, apabila saksi dipujuk rayu oleh keluarga dan rakan-rakan tertuduh.

Faktor kemanusiaan menyebabkan saksi enggan memberi kerjasama dalam perbicaraan.

Saksi-saksi kes rasuah juga kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan tertuduh. Oleh itu, saksi menjadi pihak yang amat berkepentingan dengan tertuduh.

Saksi sebegini mempunyai potensi untuk berpaling tadah atau enggan bekerjasama yang amat tinggi dalam perbicaraan.

Kadang-kadang saksi juga adalah rakan sekerja, pegawai bawahan atau rakan perniagaan kepada tertuduh.
Saksi mungkin berasa takut kerana keterangannya boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap diri dan mata pencariannya.

Ada juga kes saksi memberi keterangan tidak benar di mahkamah akibat dipengaruhi atau diajar oleh penguam bela tertuduh sendiri.

d. Saksi hilang - terdapat banyak saksi kes rasuah adalah pendatang asing sama ada pendatang dengan izin. Contohnya, seorang PATI atau pihak ketiga (mungkin kawannya yang terdiri daripada pendatang yang sah) membuat aduan kepada SPRM mendakwa telah diminta bayar duit sogokan.

Kes sebegini banyak berlaku di bandar-bandar yang mempunyai ramai pendatang asing yang bekerja di restoran-restoran, sektor pembinaan, perladangan atau perkilangan.

Bagi pendatang asing, sudah semestinya mereka akan pulang ke negara masing-masing.

Sekiranya masih menetap di negara ini, selalunya mereka tidak mempunyai penempatan yang tetap di sesuatu tempat.

Ada juga kes di mana saksi warganegara Malaysia sendiri yang menghilangkan diri untuk mengelakkan daripada hadir ke Mahkamah. Contohnya, mereka keluar negara sama ada secara sah atau tidak sah.

Masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang melakukan rasuah dihukum.

Peranan masyarakat bermula dengan membuat laporan berhubung sesuatu pelakuan rasuah.

Seterusnya membantu dalam siasatan dan seterusnya semasa kes dibicarakan di mahkamah.

Masyarakat juga tidak perlu gentar kerana SPRM akan sedaya upaya melindungi saksi dan pemberi maklumat.

Perlindungan ini adalah seperti diperuntukan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Paling penting, pemberi maklumat dan saksi memaklumkan sebarang ancaman yang mereka terima kepada SPRM.

Anda boleh lakukan perubahan, perangi rasuah!

Penulis adalah Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM


Pegawai kerajaan curi sumbu badak milik Muzium Diraja

Posted: 25 Dec 2015 09:23 PM PST

Pegawai kerajaan curi sumbu badak milik Sultan
Wan Ahmad Najmuddin (tengah) menunjukkan gambar sumbu badak yang dicuri Oktober lepas.


JOHOR BAHRU - Seoraang pegawai kanan kerajaan Johor ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, kira-kira jam 9 malam semalam kerana disyaki mencuri sumbu badak milik Muzium Diraja Johor pada 21 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, penelitian kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pegawai tinggi kerajaan itu mengambil sumbu badak yang sedang dijemur di Pejabat Penyimpanan Barangan Muzium Diraja ketika selesai mesyuarat bersama Jabatan Pelancongan Negeri di Bukit Timbalan, di sini kira-kira jam 2.30 petang hari berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya sumbu badak berkenaan telah dikembalikan semula oleh pemandu pegawai itu selepas beberapa hari menyimpan di pejabatnya.

"Pegawai yang baru bertukar dari ke negeri ini telah kita reman untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Ia tidak sepatutnya berlaku kerana sumbu badak yang berusia lebih 100 tahun itu merupakan hak milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diwarisi daripada keturunan baginda sejak berzaman," katanya pada sidang media, di sini, pagi tadi.


Tiada ulasan: