Jumaat, 25 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Hati terusik bila siswa makan sehari sekali

Posted: 25 Dec 2015 04:51 AM PST

Muhamad Aiman Mohd Nahzeri


 


Umum sedia maklum tahap kos sara hidup kini di Malaysia sudah menjangkau tahap membimbangkan.

Majoriti anggota masyarakat mengeluh akan kesempitan yang semakin menghimpit, hasil dari pelbagai jenis kenaikan sama ada harga bahan mentah dan pengangkutan awam.

Golongan mahasiswa turut tidak terkecuali merasai sedikit sebanyak keperitan hidup dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil kini.

Sebagai ketua mahasiswa di universiti, kadangkala hati terusik bila mendapat khabar dari pengusaha makanan bahawa ada mahasiswa yang makannya sehari sekali, itu pun nasi putih bersama telur dan kuah.

Permohonan wang zakat di peringkat universiti juga semakin meningkat akibat daripada wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) tidak lagi cukup untuk menampung perbelanjaan.

Malah, lebih sedih lagi bila mengetahui ada mahasiswa yang menghantar sebahagian wang PTPTN ke kampung untuk belanja keluarga yang juga tidak mampu menampung kos sara hidup.

Jadi tidak hairanlah persatuan mahasiswa seperti Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) pernah mengeluarkan kenyataan untuk turun berdemonstrasi bersama NGO tertentu untuk membantah kos sara hidup mahasiswa yang membebankan.

Ini kerana mereka yang berada bersama-sama dalam kalangan mahasiswa cukup faham dan turut merasai tempias situasi semasa kini.

Enggan terus mengharapkan simpati mana-mana pihak, beberapa persatuan dan majlis perwakilan pelajar universiti awam (UA) mula melakukan program 'suspended meals' iaitu program penyediaan makanan percuma secara prabayar oleh peserta yang ingin menderma untuk mahasiswa memerlukan.

Antara UA yang memiliki program ini ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan niversiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Usaha murni seperti ini harus dipuji dan patut dicontohi persatuan-persatuan mahasiswa yang lain agar dapat meringankan bebanan mahasiswa yang kurang berkemampuan.

Kerajaan digesa untuk memandang serius situasi kos sara hidup tinggi yang dihadapi mahasiswa.

Walaupun kerajaan menerusi menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berjanji tiada kenaikan yuran pengajian untuk tahun 2016, ini tidak bermakna mahasiswa boleh terus menarik nafas lega.

Kenaikan tambang LRT dan KTMB hampir seratus peratus yang diumumkan pada awal Disember 2015 misalnya turut memberikan kesan kepada para pengguna termasuklah mahasiswa.

Harga bahan mentah dan makanan yang kian meningkat termasuk harga makanan di dalam kampus turut membuatkan mahasiswa tidak senang duduk, belum lagi dikira pening kepala pemimpin mahasiswa mencari dana untuk program pembangunan mahasiswa pada tahun hadapan selepas hampir kesemua UA ditolak peruntukannya.

Sebagai wakil mahasiswa, saya turut menggesa pihak kerajaan untuk hadir dengan penyelesaian bagi mengeluarkan mahasiswa daripada keadaan yang menggusarkan pada ketika ini.

Saya memuji usaha kerajaan dengan pemberian kad siswa dan baucar buku.

Namun, sesuatu perlu dilakukan seperti pemerkasaan kad siswa yang boleh digunakan sebagai kad diskaun secara lebih meluas.

Fungsi kad siswa ini seolah makin hilang seiring pergerakan waktu.

Pemberian baucar buku, BB1M juga harus diperhalusi waktu pemberian dan skop penggunaannya.

Adalah lebih baik jika ia tidak terhad kepada buku dan alat tulis sahaja, malah boleh diperluaskan kepada barang keperluan mengikut bidang seperti pembelian stetoskop untuk mahasiswa perubatan.

Ini demi memastikan golongan pewaris negara ini lebih tenang dan tidak tertekan dalam memberikan fokus kepada mencapai kecemerlangan akademik dan seterusnya membentuk diri menjadi graduan yang holistik.

MUHAMAD AIMAN MOHD NAHZERI yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM).


Badi PRU 2004 berulang di Kelantan?

Posted: 25 Dec 2015 04:41 AM PST



Oleh Nazri Noor

Orang Kelantan sering dikaitkan dengan sangat berahi (passionate) dengan politik. Ditambah lagi dengan perangai orang Kelantan yang sering dilihat membawa sentimen anti establishment, tidak takut mengambil risiko dan suka menukar kerajaan setiap 3 atau 4 penggal, percaturan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nampaknya lebih mencabar dan mengancam. Terpulang kepada di pihak mana anda berada. Sembilan PRU, 4 kali bertukar kerajaan.

Barisan Nasional (BN) (Parti Perikatan ketika itu) diberi mandat untuk mentadbir Kelantan pada PRU yang pertama pada 1955, tetapi bertahan satu penggal, setelah bertukar tangan pada PRU 1959 kepada PAS yang bertahan 4 penggal (18 tahun). BN berjaya merampas Kelantan pada PRU 1978, akibat krisis dalam politik PAS. Krisis perpecahan dalam Umno pula menyaksikan PAS (bersama S46, parti serpihan Umno) berjaya merampas kembali pada PRU 1990. Umno tewas pada penggal ketiga.

Pada 2004, setelah 14 tahun memerintah, PAS melalui pertarungan paling getir dalam sejarah memasuki penggal ketiga pada PRU11. Secara logik, mengambil kira Terengganu yang lumpuh (selepas diberi peluang memerintah bermula pada PRU 1999), dan juga aura Pak Lah yang menyapu 90% kerusi Parlimen, Kelantan secara rasionalnya dilihat bertukar tangan pada PRU 2004.

Aura Tuan Guru Nik Aziz, dan calon PAS menang 2 undi di DUN Kemuning, dan 34 undi di DUN Kota Lama menyaksikan PAS bertahan dengan 24 kerusi, berbanding 21 untuk Umno. Yang menyelamatkan Kelantan daripada bertukar tangan adalah 36 pengundi!

Tidak lama kemudian, PAS kalah di kerusi Pengkalan Pasir, menjadikan PAS memerintah Kelantan dengan majoriti 1 kerusi. Kelantan terselamat fenomena bertukar kerajaan buat kali kelima. Sehingga saat ini.

Persoalannya, apakah Kelantan bakal menyaksikan pertukaran kerajaan untuk kali kelima dalam sejarah politiknya?

Artikel ini cuba melongkar polemik ini, dan membuat telahan mengambil kira faktor berikut; PRU14, badi 3 penggal; Krisis keyakinan, pusat dan negeri; Anak muda dan pengundi terapung; Amanah, pemain politik baharu.

PRU 2018, badi 3 penggal

PRU14 adalah penggal ketiga selepas PAS melalui saat getir pada PRU11 (2004). Jika PRU diadakan pada 2018, genaplah tempoh 14 tahun, sama kitarannya dengan PRU 1990-2004. Secara logiknya, kemungkinan bertukar kerajaan adalah tinggi.

Krisis keyakinan, pusat dan negeri

Sudah menjadi pengetahuan umum, Dato Seri Najib Razak kini berdepan segala macam persepsi rakyat bukan saja terhadap beliau, malah Umno dan kerajaan BN juga terpalit.

Tetapi, jangan dilupakan, di sebalik krisis keyakinan terhadap Najib dan Umno, kerajaan Kelantan juga berdepan dengan persepsi yang sama, keyakinan rakyat tidak begitu positif.

Kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu banjir yang juga dikaitkan dengan isu balak, imej parti yang dilihat tercalar, boleh menjejaskan kedudukan PAS pada PRU14 nanti.

Anak muda dan pengundi terapung

Umum mengetahui, penentu kejayaan (atau kegagalan) kerajaan Kelantan terletak di tangan anak muda, pengundi pertama kali, dan juga pengundi terapung (floaters) yang tidak semestinya penyokong dan pengundi tegar mana-mana parti baik Umno atau PAS.

Rekod menunjukkan, asas pengundi tegar kedua belah parti PAS dan Umno di Kelantan sebenarnya sama kuat, dan sering memberi saingan hebat antara satu sama lain. Pada PRU 2004, beza antara pengundi PAS dan Umno seluruh Kelantan cuma 4,000 orang, kurang 1% daripada jumlah pemilih di Kelantan.

Untuk PRU14, dianggarkan pengundi tegar PAS dan Umno masing-masing 32%. Dan dianggarkan sejumlah 300,000 termasuk dalam kategori pengundi terapung yang belum tentu mengundi PAS atau Umno. Mereka ini terdiri pengundi pertama kali pada PRU14 nanti, serta pengundi pertama kali pada PRU13 lalu, dan sejumlah generasi reformasi, menjadikan mereka 36% daripada pengundi, satu angka yang cukup signifikan, dalam konteks politik Kelantan.

Angka 36% yang bakal memberi impak besar, sama ada kerajaan sedia ada kekal, atau sebaliknya.
Amanah, pemain politik baharu

Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah), hasil serpihan bekas ahli PAS dan gabungan badan atau individu yang tidak terikat dengan mana-mana parti sebelum ini, dilihat membawa sedikit kelainan di arena politik negara, khasnya di Kelantan. Dilihat kepada respons pengundi muda, progresif serta membawa slogan Islam, terutama keahlian terbesar parti setakat ini datangnya dari Kelantan, tidak mustahil parti baru ini akan memberi impak kepada landskap politik Kelantan.

PRU14: PAS 13, Umno 12, Amanah 11, 9 rebutan semua

Kajian awal Strata Centre menggambarkan senario sengit untuk PRU14. Umno dijangka kekal dengan 12 kerusi (hilang 3 kerusi, ditambah 3 kerusi baharu, kekal 12), manakala 13 kerusi PAS adalah selamat daripada rebutan mana-mana parti. Yang selebihnya 20 kerusi akan ditentukan pengundi muda, pengundi pertama kali dan pengundi terapung.

Hasil kajian juga membayangkan tidak mustahil Amanah bakal bertapak di Kelantan dengan 11 kerusi, manakala 9 kerusi selebihnya bakal menyaksikan rebutan 3 penjuru yang sengit.

Jadi, kemungkinan PAS 13 kerusi, Umno 12 kerusi, Amanah 11 kerusi dan 9 kerusi lagi bakal direbut oleh sesiapa saja, adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Yang pasti, landskap politik Kelantan bakal berubah. Kita tunggu dan lihat.

* Penulis ialah penganalisis politik di Strata Centre.

Anak kedua Anwar dimasukkan ke hospital

Posted: 25 Dec 2015 04:32 AM PST

Nurul Nuha Anwar
Nurul Nuha Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM – Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha disahkan dimasukkan di hospital swasta di Kota Damansara, sejak semalam.

Perkara itu disahkan oleh ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Menurut Wan Azizah, Nurul Nuha yang kini mengandungkan anak ketiga terjatuh di rumahnya dan terpaksa ditahan di hospital untuk pemantauan lanjut.

"Tak ada apa-apa. Nurul Nuha bukan stress, cuma sibuk dengan anak-anaknya yang masih kecil.

"Pagi itu (hari kejadian) Nurul Nuha nak cepat kerana anak kedua Nurul Nuha asyik menangis," katanya ketika ditemui Sinar Online, hari ini.

Kata Wan Azizah lagi, apa yang berlaku tidak memberi kesan kepada kandungan Nurul Nuha.

"Dia terjatuh dan hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala," katanya lagi.


Sudah kukuh, Perkasa tidak perlu tubuh parti

Posted: 25 Dec 2015 04:30 AM PST

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya
Abu Bakar


SHAH ALAM - Tidak ada keperluan bagi Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk berdiri sebagai sebuah parti politik.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, ini kerana Perkasa mempunyai tapak dan pengaruh yang kukuh untuk kekal sebagai NGO.

Tambahnya lagi, suara Perkasa sebagai NGO masih didengar oleh pihak kerajaan.

Bagaimanapun perkara tersebut terpulang kepada ahli dan pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.
"Tidak perlu bagi Perkasa untuk bertukar kepada sebuah parti.

"Jika mereka mahu Perkasa menjadi sebuah parti, jadi kita akan tubuhkan parti," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan beberapa pihak yang menyarankan Perkasa menjadi parti politik.


'Mayat itu adik saya'

Posted: 25 Dec 2015 04:28 AM PST

SINAR HARIAN


Mayat mangsa lemas ditemui terdampar di pantai Marang
Ketua Polis Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali (kiri sekali) turut berada di tempat kejadian. - Foto Sinar Harian


MARANG - Mayat yang ditemui di Pantai Rhu Muda dekat Kelulut sekitar  jam 12.00 tengah hari tadi disahkan sebagai Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, Isnin lalu.

Pengecaman mayat mangsa dibuat oleh kembar mangsa, Muhammad Wafiy, 17, berdasarkan pakaian yang dipakai Allahyarham.

"Sah memang adik saya. Syukur alhamdulillah, ALLAH  makbulkan doa kami sekeluarga yang tidak henti sejak kejadian," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ ) Kuala Terengganu, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat mangsa lemas ditemui di pantai Marang]

Katanya, walaupun ditemui dalam keadaan kaku, dia dan adik-beradik serta bapa, Mohd Noor Ismail, 58, dan ibunya, Zabedah Kamdan, 55, bersyukur mayat adiknya ditemui meskipun pada jarak lebih 70 kilometer dari tempat kejadian.

"Saya menerima berita penemuan mayat sebelum solat Jumaat dan bergegas ke hospital bersama keluarga selepas selesai solat Jumaat," katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), penduduk kampung, nelayan dan mereka yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak dalam usaha mencari adiknya.

Jenazah Muhammad Wafiq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bengkal, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor sebaik tiba malam ini.


Bekas Isteri Datuk K Milik Rayyan

Posted: 25 Dec 2015 04:22 AM PST


Oleh: NURUL AIN MOHD HUSSAIN




Rayyan menunjukkan cincin yang disarungkan ke tangan isterinya, Tengku Zawyah pada majlis membatalkan air sembahyang. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN.
Rayyan menunjukkan cincin yang disarungkan ke tangan isterinya, Tengku Zawyah pada majlis membatalkan air sembahyang. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN.
 
 
KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz bekas isteri Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa, Datin Tengku Zawyah Tengku Izham kini sah bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan, Datuk Rayyan Joseph King pada majlis pernikahan mereka yang diadakan di Hotel Royale Chulan di sini, Khamis.

Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 11.06 pagi oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali yang juga merupakan wali hakim kepada pihak pengantin perempuan.

Pada majlis yang serba ringkas tetapi meriah itu, Tengku Zawyah yang anggun mengenakan busana rekaan Calvin Thoo berwarna putih gading menerima mas kahwin sebanyak RM501 beserta lima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan berbalas tujuh dulang.

Antaranya, set wangian, seutas gelang bertahta berlian, sepasang persalinan kain lace, al-Quran, sejadah, sirih junjung, coklat serta sebentuk cincin pada upacara membatalkan air sembahyang.
 
Tengku Zawyah turut menerima wang hantaran sebanyak RM38,888.88 yang merupakan angka kegemarannya.

Kedua mempelai yang berusia pertengahan 40 an ini telah mengikat tali pertunangan pada 26 Februari lalu.
 
"Alhamdullilah, saya bersyukur semuanya berjalan lancar. Kami sangat serasi bersama kerana kami punya banyak persamaan.

"Pada masa yang sama kami juga sukakan aktiviti luar seperti main paintball bersama.

"Bagi saya Rayyan seorang yang sangat bertanggungjawab ringkas dalam banyak perkara, sangat merendah diri dan kacak," katanya kepada pemberita sebaik selesai upacara akad nikahnya.
 
Lebih mengharukan pasangan ini adalah, apabila keluarga kedua belah pihak menyambut baik harapan mereka untuk berumah tangga.

"Keprihatinan Rayyan terhadap anak-anak saya menjadikan dia amat disenangi oleh mereka," katanya.

Bercerita mengenai keistimewaan isterinya, Rayyan yang berasal dari Pulau Pinang berkata, Tengku Zawyah adalah seorang wanita yang sangat bertimbang rasa, berbudi bahasa dan pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.

"Saya sangat bertuah kerana dapat memilikinya. Dia seorang yang ceria dan cantik di mata saya," katanya.

Bercerita tentang percutian bulan madu, pasangan ini memilih untuk bercuti ke negara, Switzerland kerana kedua-duanya suka bermain ski.

Rayyan yang juga seorang bapa tunggal kepada dua orang anak memeluk Islam pada awal bulan lepas.

Perkenalan kedua pasangan ini bermula sebagai teman biasa, namun mula serius pada hujung tahun lalu dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi selepas wujud keserasian antara mereka.

Majlis resepsi kedua pasangan mempelai ini akan diadakan malam ini di Taman Mahsuri, hotel yang sama bertemakan 'garden wedding' pada pukul 8 malam.

Antara tetamu kenamaan yang dijangka hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, isteri baginda, Tengku Azizah Aminah Sultan Iskandar, Menteri Dalam Negeri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah serta kerabat diraja Pahang.

Tengku Zawyah yang juga kerabat diraja dari Kedah pernah mendirikan rumah tangga dengan Khalid atau Datuk K yang kini merupakan suami penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Kedua-duanya bercerai pada 2005 dan hasil perkahwinan selama 20 tahun, Tengku Zawiyah dan Khalid dikurniakan empat orang cahaya mata lelaki Muhammad Anas Zawawi, 24, Muhammad Adib, 21, Muhammad Asyraf, 19 dan Muhamad Aazief, 13.














Daripada Seorang Gelandangan Kepada Teman Seja

Posted: 25 Dec 2015 04:12 AM PST

Oleh: VIJENTHI NAIR
 
 
KUALA LUMPUR: Tidak ramai gelandangan yang bertuah seperti Low Saw Piow yang telah bertemu dengan seorang teman sejati, R.Rajagopal.

Menjadi salah seorang daripada 10 pemenang anugerah Star Golden Hearts yang julung kali diadakan, dia yang lebih dikenali sebagai Gopal tanpa berfikir panjang telah membawa Saw Piow pulang ke rumahnya apabila melihat lelaki tua itu memerlukan bantuan.

"Saya bertemu Low beberapa tahun lalu," kata Gopal yang kini berusia 52 tahun.

Ketika itu, Saw Piow bekerja dengan kontraktor yang memasang kabel telefon di hadapan bank di mana Gopal bekerja.

"Kami menyapa antara satu sama lain dan ia berlalu begitu sahaja."

Pada tahun 2004, dia terserempak dengan Saw Piow di Cheras dalam keadaannya yang sangat sedih.

Saw Piow memberitahu Gopal dia telah bersara dan hilang semua wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akibat ditipu ketika mahu membeli rumah. Tuan rumah telah menghalaunya keluar kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayar sewa dan dia hidup merempat.

"Dia beritahu bahawa dia sudah dua minggu tidak makan dengan betul dan hanya makan sayur-sayuran dari pasar berdekatan yang dibuang," kata Gopal.

Simpati dengan nasibnya, Gopal telah membelikan makan tengah hari untuk Saw Piow dan membawanya pulang.

"Low berkata dia tak berkahwin dan tak ada adik-beradik jadi saya putuskan untuk bawa dia ke rumah saya. Keputusan itu dibuat spontan dan saya akan melakukannya untuk sesiapa sahaja," katanya.

Gopal menjelaskan keadaan Saw Piow kepada isteri dan anak perempuannya dan mereka menerimanya masuk ke apartmen tiga bilik tidur di mana dia telah diberikan bilik sendiri.

"Dia seperti ahli keluarga," kata Gopal.

"Kami berkongsi makanan dan bermain karom bersama. Jika tidak memasak, terdapat restoran dekat rumah saya di mana saya mengaturkan supaya dia boleh makan bila-bila dan apa saja yang dia mahu.

"Saya akan membayar bilnya pada setiap bulan. Dari masa ke masa, kawan-kawan saya menjadi kawan-kawannya.

"Ramai orang di kawasan kejiranan saya kenal dengannya dan akan beri wang kepadanya atau menawarkan untuk membayar makanannya. Setiap kali Tahun Baru Cina, dia pasti mendapat pakaian baharu dan ang pow daripada seorang lelaki budiman di kawasan saya.

"Apabila dia memerlukan cermin mata, ada yang menyumbang wang tunai dan saya akan mengeluarkan duit saya untuk membelinya jika wang yang ada tidak cukup," katanya.

Pada Jun, Saw Piow disahkan menghidap denggi dan dimasukkan ke hospital. Gopal berkata, kakitangan hospital sering bertanya mengenai hubungannya dengan sahabatnya itu.

"Apabila saya beritahu mereka bahawa saya adalah penjaganya, ramai yang terkejut."

Saw Piow meninggal dunia pada 29 Jun pada usia 67.

"Hospital ini enggan melepaskan mayatnya kepada saya dan saya terpaksa menghubungi adik Low yang tinggal di Klang," kata Gopal.

Kakaknya cuba mengesan Saw Piow beberapa tahun lalu untuk menyelesaikan urusan berkaitan pemilikan sebuah rumah.

"Kakak dan adiknya menuntut mayatnya dan menyerahkannya kepada kami," kata Gopal.

Dia dan kawan-kawannya mengatur upacara pengebumian dan Saw Piow telah dibakar pada hari berikutnya.

Gopal menghantar mesej kepada orang-orang yang telah banyak membantu Siaw Pow untuk memberitahu mereka tentang pemergiannya dan beberapa orang daripadanya telah menyumbang untuk perbelanjaan pengebumian.

Hasrat Pensyarah UiTM Derma Organ Tercapai

Posted: 25 Dec 2015 04:08 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Contoh kad ikrar penderma organ.
 
 
KANGAR: Hasrat seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menderma organ tercapai apabila beliau meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada pagi Ahad lepas.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM Negeri Perlis, Mohd Nor Akmal Nordin, 26, terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal menuju kampusnya.

Menurut bapanya Nordin Md Akhir, 53, anak keduanya itu menyuarakan hasrat tersebut kepada adiknya Akram, 22, setelah Mohd Nor terbabit dalam kemalangan dan dibawa ke Klinik Kesihatan sebelum ke hospital.

"Saya dan keluarga tidak menyangka dia akan meninggal dunia empat hari selepas dia menyuarakan hasrat itu kepada adiknya. Kalau dilihat pada kecederaan yang dialaminya, ia tidak seteruk mana, sekadar luka di kepala sahaja, katanya.

"Sebelum dia koma pada petang kemalangan itu, kami sempat juga bawa dia ke Klinik Kesihatan Arau untuk mencuci luka di kepalanya," kata Nordin.

Beliau berkata anaknya juga pernah berikrar untuk menderma organ pada tahun 2011 ketika anaknya masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor.

"Dan apabila dia balik ke kampung, dia menunjukkan kad ikrar penderma organ kepada saya dan ibunya. Kami agak terkejut dan sukar menerima hasratnya, namun apabila dia menerangkan kepada kami yang tindakannya itu sebagai menyediakan saham akhirat untuknya, kami faham dan berasa bersyukur," katanya.

Nordin berkata mereka juga memaklumkan hasrat anaknya kepada doktor yang merawatnya di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas mereka sekeluarga dimaklumkan bahawa harapan anaknya untuk pulih agak tipis disebabkan pendarahan dalam kepalanya yang agak kritikal.

"Ketika itu kami dimaklumkan semula oleh Akram yang abangnya mahu mendermakan semua organnya untuk dimanfaatkan semula oleh orang memerlukan," katanya.

Difahamkan pembedahan untuk mengeluarkan buah pinggang dan jantung Mohd Nor Akmal berlangsung di Dewan Bedah HTF pada jam 11 pagi Khamis dan berakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Organ-organ tersebut kemudiannya diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). -Bernama

Guru Terjatuh Bot Ditemui Mati Lemas

Posted: 25 Dec 2015 04:04 AM PST


MSTAR ONLINE
 
 

IPOH: Seorang guru sekolah menengah di TelukIntan yang terjatuh dari bot semasa memancing di Sungai Bidor petang Khamis,ditemui mati lemas petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mayatZainal Abidin Abu Yamin, 52, dari Taman Melor ditemui kira-kira 500 meter dari tempat beliau dipercayai terjatuh.

"Mayatnya ditemui dalam keadaan baik dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat," katanya.

Zainal Abidin pergi memancing bersama seorang rakannya dengan bot berasingan sebelum rakannya itu menyedari mangsa tidak kelihatan di dalam botnya ketika mereka dalam perjalanan pulang.-Bernama

MKN: Tiada wakil Sabah, Sarawak; Perjanjian Malaysia 1963 bakal dicabuli?

Posted: 25 Dec 2015 02:14 AM PST

sabah_sarawak_malaysia_600
Oleh Fatih Hassan Nordin


SARAWAK : Ahli Parlimen Stampin, Tan Kok Ping kesal tiada wakil dari Sabah dan Sarawak yang mengganggotai Majlis Keselamatan Dalam Negera (MKN) walaupun kuasanya melangkaui kedua-dua negeri itu.

"Jika Sarawak diisytihar sebagai kawasan keselamatan, siapa yang akan pertahankan kepentingan rakyat negeri ini jika kerajaan Persekutuan cuba mengunakan MKN untuk menindas mereka?" katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) MKN diluluskan Dewan Negara kelmarin dan pelaksanaannya bakal menyaksikan pemberian kuasa yang luas kepada Perdana Menteri dalam mengisytihar kawasan keselamatan termasuk membuat tangkapan.

Ketiadaan wakil Sarawak dan Sabah dikhuatiri berlaku pencabulan Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kuasa automoni untuk mentadbir sedangkan kuasa MKN meliputi kedua-dua negeri itu.

Kok Ping menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengatakan tiada keperluan wakil dari Sarawak dan Sabah, seolah-olah memperkecilkan kemampuan rakyat negeri itu.

Pada kenyataan media, beliau yang bimbang kedaulatan Sarawak terancam jika MKN disalah guna, kesal kerana Shahidan memberi alasan anggota MKN dilantik berdasarkan kemahiran dan bukannya perwakilan rakyat setempat.

"Ia penghinaan terhadap kemampuan rakyat Sarawak dan Sabah kerana menganggap mereka tidak mahir atau tidak sesuai untuk diterima dalam MKN," katanya yang turut mengecam perbuatan 25 Ahli Parlimen Sarawak BN yang menyokong usul RUU itu.

"Ahli Parlimen BN Sarawak seolah-olah langsung tidak kisah atau ambil serius mengenai RUU itu. Mereka tidak berasa perlu untuk sekurang-kurangnya ada wakil dalam hal melibatkan kuasa Persekutuan," katanya.

Apatah lagi, kata Kok Ping, kandungan RUU itu tidak menjelaskan setepatnya mengenai kawasan keselamatan sekaligus memudahkan penyalahgunaan kuasa apabila RUU itu benar-benar dilaksanakan

Low Yat, Low Yat 2 Dan Kota Raya Beroperasi Seperti Biasa

Posted: 25 Dec 2015 01:00 AM PST

Oleh: TASHNY SUKUMARAN
 
 
Seorang peniaga di Mara Digital Mall membuat isyarat 'peace' ketika tinjauan dilakukan.
 
 
KUALA LUMPUR: Walaupun berlaku kekecohan baru-baru ini, tiga kompleks beli-belah - Plaza Low Yat, Low Yat 2 dan Kota Raya tetap beroperasi seperti biasa.

Dengan cuti panjang pada hujung minggu dan menjelangnya cuti akhir tahun, rakyat Malaysia dan warga asing dilihat berkongsi ruang itu dengan baik.

Di Low Yat, seorang lelaki berpakaian seperti Santa Claus telah memberikan gula-gula kepada kanak-kanak, tanpa mengira kaum. Begitu juga dengan pengunjung, mereka tiada masalah menerimanya.

"Saya hanya berjalan-jalan dan memberikan gula-gula. Semua kanak-kanak gembira," kata Wilson Tow, yang memakai janggut putih dan baju merah.

advertisement
Pekerja bank Dian Shukri, 42, sedang makan tengah hari bersama isteri dan anak-anaknya apabila mereka diberi gula-gula.

"Untuk menolaknya hanya kerana ia pemberian Santa adalah mentaliti kolot. Isu utama yang kita hadapi sekarang adalah pemimpin yang mempolitikkan beberapa perkara. Kami tak percaya dengan isu-isu perkauman. Rakyat Malaysia secara amnya tak kisah...tengoklah keadaan sekitar.

Katanya terdapat perkara yang lebih penting berbanding isu perkauman, seperti kos sara hidup yang meningkat.

Di restoran di mana Dian sedang makan, terdapat ramai pelanggan pelbagai kaum dan peringkat umur.

Sementara itu, di Mara Mall Digital atau lebih dikenali sebagai Low Yat 2, perniagaan semakin berkembang.

"Saya menggunakan cuti umum untuk membeli sebuah komputer riba baru," kata pelajar Sara Rahman, 25.

Ditanya sama ada adakah dia datang ke Low Yat 2 kerana isu-isu perkauman, dia ketawa.

"Tidaklah! Saya datang ke sini kerana ia lebih dekat dengan rumah saya. Memandu ke Bukit Bintang pada cuti umum adalah satu perkara gila!"

Di Kota Raya, warga asing dan penduduk tempatan kelihatan datang membeli-belah dan ada juga yang hanya melepak.

Emby, ahli perniagaan dari Nigeria berkata, dia berada di sana untuk melihat keadaan sekitar kompleks bersama rakan-rakannya.

"Kami banyak membaca tentang pusat beli-belah ini dalam berita. Oleh itu, kami  datang untuk tengok-tengok. Tetapi ia aman dan normal," katanya.

Walaupun terdapat booth Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan beberapa kedai yang ditutup, secara keseluruhannya situasi telah kembali normal.

Seorang pesara, Chong, 76, berkata dia berpendapat peristiwa baru-baru ini di Kota Raya di mana berlaku pergaduhan adalah dikesali, tetapi hidup mesti diteruskan.

"Tengok, saya di sini untuk membeli sarung telefon. Saya tak kisah membelinya daripada peniaga Melayu atau Cina, selagi dia jujur ​​dan sopan antara satu sama lain.

"Itu sahaja yang penting," katanya, sambil menambah ketika zaman mudanya, rakyat Malaysia telah ambil tidak timbul isu perkauman.
 
 

AKAR UMBI PAS TAK TERUJA KERJASAMA DENGAN UMNO

Posted: 25 Dec 2015 12:57 AM PST



Jika sepuluh ahli akar umbi Pas ditanya mengenai kerjasama yang sedang diusahakan oleh sesetengah pihak antara parti itu dengan UMNO, barangkali agak sukar untuk mendapatkan lebih daripada seorang yang bersetuju dengannya.

Yang seorang itu pun, jika kelihatan seperti bersetuju bukanlah pula setuju dalam erti kata yang sebenarnya, persetujuan itu tetap tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi UMNO terlebih dahulu.

Kadang-kadang yang seorang yang nampaknya macam bersetuju itu pula hanya tersenyum penuh makna apabila diajukan pertanyaan. 

Majoritinya, sama ada sembilan daripada sepuluh atau semua sepuluh orang yang ditanya itu, terang-terang menolak dan tidak teruja dengan jalinan kerjasama dengan UMNO itu.

Sejak beberapa hari lepas, saya mengambil kesempatan membuat tinjauan secara rambang dengan menghubungi beberapa kenalan dan saudara mara yang diketahui sebagai penyokong dan ahli Pas mengenai kerjasama itu.

Di kampung saya di Perak, saya juga berjumpa dengan ramai kenalan dan ahli keluarga yang lebih dekat untuk bertanya tentang perkara yang sama.

Kesimpulannya, tidak terlekat langsung dalam hati mereka dengan kerjasama yang menjadi dambaan Najib Razak UMNO yang cuba diusahakannya dengan tiba-tiba mahu berbaik dan melobi Presiden Pas, Hadi Awang itu.

Yang agak terbuka, terang-terang menolak kerjasama itu berdasarkan ideologi politik dan sejarah masa lalu UMNO yang menyakitkan bagi mereka. Secara umumnya mereka tetap menganggap UMNO sebagai musuh yang perlu ditumbangkan sebagaimana yang berlaku Kelantan serta Selangor dan pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini.

Ramai juga yang mencebikkan muka apabila ditanya mengenai hasrat UMNO tentang kerjasama itu, malah ada juga yang sama sekali tidak percaya Hadi Awang akan membawa Pas ke arah tersebut. 

Kata mereka, Hadi Awang bukanlah pemimpin yang mudah terpedaya dengan janji manis atau apa saja yang cuba dilakukan oleh Najib terhadapnya kerana ketinggian ilmunya akan sentiasa memeliharanya.

Walaupun mereka mengikuti segala perkembangan yang diheboh-hebohkan, terutama melalui propaganda televisyen dan media kerajaan, hakikatnya  ahli akar umbi Pas tidak mengurangkan darjah permusuhan mereka dengan UMNO dengan perkembangan terbaru ini.

Secara tidak langsung, ini menunjukkan perang saraf yang cuba dilakukan Najib untuk membentuk persetujuan terhadap kerjasama itu boleh dikatakan gagal serta  tidak berkesan. Najib dan UMNO tetap dilihat tidak baik dan tidak boleh dipercayai di mata ahli-ahli Pas.

Mereka tetap menganggap Najib dan UMNO sebagai musuh yang perlu dijauhi dan dijatuhkan melalui pilihanraya. Ternampak bahawa yang ghairah dan seperti sedang asyik mahsyuk bercinta dengan UMNO hanyalah dua tiga kerat pemimpinnya di peringkat atasan saja.

Di peringkat bawahan dan akar umbi, selain tidak teruja, majoriti ahli Pas adalah bersama pendirian dengan Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua Naib Presidennya, Iskandar Samad serta Idris Ahmad yang terang-terang menolak dan meletakkan beberapa syarat jika kerjasama itu benar-benar mahu dijayakan.

Memaafkan perlakuan dan sejarah silam UMNO dalam beberapa aspek juga tidaklah mudah bagi mereka atau boleh dilupakan begitu saja.

Bagi ahli akar umbi Pas, menolak kerjasama itu bukan disebabkan tidak mahukan perpaduan atau menjauhi kebaikan, tetapi kerana nawaitu UMNO dan Najib mengenainya terlalu jelas hanya untuk menyelamatkan dirinya saja.

Mengalahkan atau membiarkan UMNO kalah,  bagi mereka, lebih banyak afdal dan kebaikannya lagi untuk negara ini


Sah bergelar isteri, Nabila Huda tersenyum manis

Posted: 25 Dec 2015 12:53 AM PST

Astro Gempak
 
Sah bergelar isteri, Nabila Huda tersenyum manis
Nabila yang juga merupakan anak sulung kepada vokalis kumpulan Search, Amy kelihatan begitu anggun mengenakan busana berona putih sambil tersenyum manis. - Foto Instagram
 
 
Dengan sekali lafaz, pelakon Nabila Huda selamat bergelar isteri kepada pengurus restoran Kulcats, Mohd Izwan Johar, 32, sebentar tadi.

Menurut BH Online, majlis pernikahan tersebut berlangsung di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah pada jam 9.20 pagi.

Nabila yang juga merupakan anak sulung kepada vokalis kumpulan Search, Amy kelihatan begitu anggun mengenakan busana berona putih sambil tersenyum manis.

Akad nikah tersebut disempurnakan sendiri oleh bapanya, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman dengan disaksikan jurunikah.

Mohd Izwan menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM300 beserta lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.

Walau bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan oleh pasangan tersebut.

Majlis pernikahan Nabila dan pasangan berlangsung secara sederhana dan dihadiri oleh keluarga serta teman rapat.

Sebelum ini Nabila pernah mendirikan rumah tangga dengan Zaidy Zailani pada tahun 2008 sebelum berpisah tiga tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila yang kini berusia lima tahun.

Tetap pertahan kerusi, walaupun terbuka berbincang dengan PKR, PAN - PAS Sarawak

Posted: 25 Dec 2015 12:44 AM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Meskipun terbuka untuk berbincang bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, PAS tetap bertegas untuk meletakkan calonnya di kerusi-kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini.
 
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata demikian mengulas kesediaan PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) untuk berunding dengan PAS, bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
 
Menurut Jofri lagi, pertikaian berhubung pembahagian kerusi itu hanya melibatkan beberapa kawasan sahaja.
 
"Jika mereka bersedia untuk berunding dengan kita (PAS), kita boleh. 
 
"Namun kita tetap dengan keputusan supaya tempat yang kita bertanding dahulu tidak akan diserahkan kepada parti lain, (walaupun) kita terbuka dengan rundingan. 
 
"Kerusi yang ada pertindihan hanya di beberapa kawasan sahaja. Jadi tiada masalah untuk dibawa berunding kerusi-kerusi itu," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Jofri baru-baru ini mengumumkan bahawa PAS Sarawak akan bertanding lebih dari sepuluh kerusi DUN pada PRN ke-11 akan datang.
 
Antara kerusi yang bakal ditandingi PAS dalam PRN itu termasuklah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi yang sedang dipertimbangkan.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata PH tidak akan menghalang PAS untuk turut meletakkan calon, namun perbincangan perlu diadakan selepas PAS tidak lagi sebahagian daripada pakatan pembangkang.
 
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga senada dalam hal itu sambil menambah, PAS perlu mengakui bahawa tidak mudah untuk parti itu menang di Sarawak.
 
Malah Ahli Parlimen Pandan itu berkata, apa sahaja keputusan perlu mengambil kira pandangan parti gabungan di dalam Pakatan Harapan.
 
Untuk rekod, pada PRN yang lalu, PAS gagal memenangi semua kerusi DUN yang ditandinginya iaitu Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.
 
Sementara itu ketika ditanya sama ada hal perebutan kerusi memberi kelebihan kepada PAS untuk menang pada PRN kali ini, Jofri menyatakan keyakinannya dengan merujuk jumlah sokongan pada pilihan raya yang lalu.
 
"Di Betong Baro (dalam kawasan Kuching), kita ada majoriti dalam 300 undi (PRN lalu). Kita rasa insya-Allah, jika kita bekerja keras lagi, tidak mustahil untuk menang di kerusi-kerusi kita bertanding dahulu," tegasnya.
 
 

Peluang kedua untuk pelajar dibuang sekolah

Posted: 25 Dec 2015 12:39 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Terlibat dalam aktiviti tidak sihat tidak seharusnya menjadi penghujung kehidupan bagi pelajar sekolah.

Melihat potensi yang masih ada pada golongan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini akan berusaha memberikan peluang kedua kepada mereka.

Malah, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, ini termasuk pelajar yang telah dibuang sekolah, lapor Bernama.

"Kami masih bagi peluang kedua, melainkan kesalahan melibatkan mahkamah kena pergi sekolah pemulihan akhlak.

"Soal kesalahan pelajar yang melampaui kesalahan biasa, tak kira kes melibatkan khalwat, gangsterisme, buli, ia bukan saja bergantung semata-mata di sekolah, bergantung juga kepada ibu bapa dan masyarakat," beliau dipetik sebagai berkata.


'Terpulang jika k'jaan nak dedah maklumat penderma RM2.6b'

Posted: 25 Dec 2015 12:38 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, walaupun pihaknya telah bertemu dengan "penderma" RM2.6 bilion, namun perkara itu akan diserahkan kepada pihak kerajaan sama ada ingin mendedahkannya atau tidak.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim‎ Mohamed mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa SPRM telah berjumpa saksi berkaitan dan pihak yang dikatakan sebagai penderma.

Ini berhubung siasatan berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, kata Abu Kassim, maklumat terperinci berhubung pertemuan bersama saksi dan penderma tidak boleh didedahkan kerana terikat dengan undang-undang.

"Lebih pada itu tidak boleh diterangkan lagi kerana saya terikat dengan undang-undang yang ada tapi sekadar memaklumkan beberapa orang saksi sudah diambil kenyataan, berapa keterangan dan masa yang kita perlukan dalam siasatan dan sebagainya, itu adalah perkara yang boleh kita buat hebahan kepada umum.

"Tetapi pihak yang ditemui yang dikatakan penderma itu memberi kerjasama baik dan kita telah pun mendapat kerjasama daripada mereka menjelaskan perkara yang kita perlu tahu.

"Saya tidak boleh bagi secara terperinci berhubung penderma itu, satu hari nanti kita akan serahkan kepada pihak Peguam Negara dan sekiranya pihak kerajaan ingin mendedahkan atau menjelaskan kepada rakyat, itu terpulang. Tetapi kerja kita cuba dapatkan keterangan berkaitan," katanya dalam temubual bersama Sinar Harian.

Selain itu, dalam temubual tersebut Abu Kassim turut meminta agar pegawai-pegawainya mempercepatkan siasatan kes yang perlu disiapkan pada tahun ini tanpa mengabaikan kualiti dan merit yang ditetapkan.

Memandangkan kini sudah memasuki penghujung tahun, beliau berharap agar tiada kes yang disiasat dibawa ke tahun hadapan.

Malah, Abu Kassim juga berkata, para pegawai juga perlu bersiap sedia bagi cabaran akan datang memandangkan SPRM turut terkesan dengan pemotongan bajet bagi tahun depan.

"Ini sudah masuk kepada penghujung tahun dan saya minta pegawai-pegawai mempercepatkan kes yang perlu disiapkan pada tahun ini tanpa mengabaikan kualiti dan merit ditetapkan. Kalau boleh, saya tidak mahu kes yang disiasat sekarang dibawa ke tahun hadapan.

"Itu keutamaan hujung tahun ini dan juga kita memberi hala tuju kepada pegawai untuk tahun hadapan.

Tahun hadapan SPRM dan kebanyakan agensi lain mengalami pemotongan bajet yang agak besar, iaitu sebanyak RM42 juta, berbanding pada tahun ini kita dapat RM297 juta.

"Penurunan ini agak memberi kesan kita perlu bersiap sedia untuk berdepan cabaran akan datang," katanya.

Abu Kassim turut menyentuh kejadian yang menimpa SPRM pada Ogos lalu apabila terdapat dua pegawainya ditukar ke Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, ketika perkara itu berlaku, beliau tiada di pejabat kerana kesihatannya tidak mengizinkan dan perlu melakukan pembedahan secepat mungkin walaupun ketika itu sibuk menjalankan siasatan.

Walaupun tiada semasa kejadian, namun Abu Kassim bersyukur kerana siasatan masih dapat diteruskan serta mendapat kerjasama dengan mengenal pasti saksi terlibat dan mendapatkan dokumen berkaitan.

"Seperti dinyatakan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tunku Aziz semasa memberi maklum balas,
apa juga hujahan, penjelasan kepada tindakan yang diambil ke atas pegawai SPRM, perkara yang nyata ialah terdapat satu persepsi, sama ada benar atau tidak, itu perkara kedua tetapi satu persepsi seolah-olah ada satu tindakan untuk menjejaskan perjalanan siasatan.

"Saya tidak mengiyakan perkara tersebut, tetapi ini apa dinyatakan Pengerusi Lembaga Penasihat semasa beliau mengulas perkara itu.

"Tetapi bagi pegawai-pegawai SPRM, kita dapat mengembalikan perjalanan siasatan dan sejak hari itu perjalanan siasatan kita diteruskan sampailah ke hari ini dengan mendapatkan kerjasama dan mengenalpasti saksi-saksi terlibat, dan mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan," katanya.


NGO pertikai pesalah rogol dibenar ikat jamin

Posted: 25 Dec 2015 12:31 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Kumpulan hak kanak-kanak hari ini menyatakan rasa tidak senang dengan keputusan membenarkan seorang pegawai polis, yang disabit kesalahan merogol kanak-kanak, diikat jamin.

Kumpulan itu, PS The Children berhujah, pegawai kanan polis yang dihukum penjara 100 tahun dan 15 sebatan itu masih membahayakan orang awam dan kanak-kanak lain.

"Membenarkan ikat jamin boleh mengundang risiko tinggi terhadap kehidupan kanak-kanak dan boleh mendedahkan kanak-kanak lain dalam masyarakat kepada penganiayaan," kata presiden kumpulan itu Che Nariza Hajjar Hashim.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata tindakan mahkamah itu tidak kena sama sekali dengan mengambil kira jenis kesalahan dilakukan, Deputi Superintenden Rohaizat Abd Ani.

NGO itu berkata mahkamah juga tidak harus berlembut dalam menghukum walaupun itu kesalahan pertama bekas ketua unit kongsi gelap, maksiat dan perjudian (D7) di ibu pejabat kontinjen Sabah itu.

Tindakan lembut, kata Che Nariza, hanya akan menghantar mesej salah kepada masyarakat kononnya tidak mengapa menganiaya kanak-kanak untuk kali pertama.

Rohaizat dilapor dibenar menangguhkan hukuman sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Dia dibenar ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasportnya kepada kepada mahkamah.

Rohaizat juga diarah melapor ke ibu pejabat polis Bukit Aman setiap 1 dan 5 hari bulan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Rohaizat dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas lima pertuduhan merogol serta meliwat seorang remaja yang ketika kejadian berusia 13 tahun, tiga tahun lalu.

Dalam keputusannya, Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjelaskan, hukuman itu sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua agar menjauhi perbuatan itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim turut bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya, Azeezi Nordin bahawa sebagai pegawai kanan polis, dia harus menjadi penjaga kepada orang ramai dan bukan sebaliknya.

Mayat mangsa lemas ditemui terdampar di pantai Marang

Posted: 25 Dec 2015 12:28 AM PST

Mayat mangsa lemas ditemui terdampar di pantai Marang
Ketua Polis Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali (kiri sekali) turut berada di tempat kejadian. - Foto Sinar Harian


MARANG - Mayat sudah mereput ditemui terdampar di Pantai Rhu Muda di sini, tengahari tadi dipercayai mayat Muhamad Wafiq Mohd Noor, 17, yang dikhuatiri lemas selepas berenang di Pantai Rhu 10, Setiu pada Isnin lalu.

Difahamkan, mayat remaja malang dalam keadaan meniarap itu ditemui orang awam kira-kira jam 12 tengah hari selepas mereka terhidu bau busuk ketika melalui kawasan pantai peranginan berkenaan lalu menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian itu bagaimanapun berkata, identiti mayat itu masih belum dapat dikenal pasti namun tidak menolak kemungkinan itu.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 12.15 tengah hari sebelum sekumpulan anggota polis tiba di lokasi kajian tidak lama kemudiannya.

"Mayat akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat serta pengesahan sama ada mayat ditemui itu ada kaitan dengan pelajar yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu itu," katanya.

Isnin lalu, sekumpulan 10 orang yang terdiri daripada dua orang guru dan lapan pelajar dari pelbagai sekolah menengah di Johor, yang datang ke negeri ini untuk menghadiri majlis agama, telah melawat pantai Rhu 10 di Setiu.

Mereka juga dikatakan telah berenang di pantai berkenaan namun tujuh daripada kumpulan itu telah naik ke darat meninggalkan tiga yang lain apabila ketiga-tiga mereka tiba-tiba dilihat bertarung dengan ombak dan arus deras.

Salah seorang daripada mereka, Ahmad Izzat Shahruddin, 17, berjaya diselamatkan ahli kumpulan yang lain manakala mayat Mohd Naim Adnan dari Kampung Seri Bengkal, Baru Pahat, Johor ditemui terapung di Pantai Rhu 10, Setiu pada Rabu lalu.

Penemuan terbaharu di Pantai Rhu Muda, Marang ini dikatakan ada hubung kait dengan mangsa terakhir kejadian berkenaan iaitu, Muhamadd Wafiq Mohd Noor, 17, namun pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat.


RM1 juta bantu PFA

Posted: 25 Dec 2015 12:23 AM PST

BERNAMA

 

PFA
Wang menerusi dana bola sepak negara disalurkan atas persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung PFA.


ARAU,  Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mampu bernafas lega untuk sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan mendatang apabila menerima suntikan RM1 juta bagi persiapan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2016.


Wang menerusi dana bola sepak negara disalurkan atas persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung PFA yang kembali bersaing di Liga Perdana musim depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata walaupun bantuan itu tidak besar, ia mampu meringankan beban PFA untuk tempoh tiga atau empat bulan ini.

"Bantuan itu akan disalurkan dalam minggu ini, tapi Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman harus mencari tajaan lain untuk mengharungi musim depan.

"Memang diakui perbelanjaan untuk bersaing dalam Liga Perdana memang mahal, sedangkan wang yang diberikan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak seberapa," katanya yang juga bekas Presiden PFA.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Kembali Ke Sekolah anjuran Pergerakan Wanita Umno Bahagian Arau di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau di sini hari ini.

Shahidan turut mahukan skuad Perlis menjuarai Liga Perdana musim depan bagi memastikan dapat kembali ke saingan utama bola sepak tempatan Liga Super 2017.

"Kita menaruh harapan tinggi kepada pasukan di bawah bimbingan jurulatih Dollah Salleh dan harap mereka dapat kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis dengan kembali beraksi di Liga Super 2017," katanya.

Reman suspek bakar kenderaan dilanjutkan

Posted: 25 Dec 2015 12:21 AM PST

A AZIM IDRIS

 

Amcorpsp
Suspek dijangka akan direman sehingga Isnin untuk membantu siasatan selepas Majistret Mahkamah Petaling Jaya membenarkan lanjutan reman itu hari ini. Foto Fail TRP 


KUALA LUMPUR,  Suspek yang dipercayai terbabit dalam kebakaran yang memusnahkan enam kenderaan berhampiran Stesen LRT Taman Jaya minggu lalu akan direman tiga hari lagi.


Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, suspek dijangka akan direman sehingga Isnin untuk membantu siasatan selepas Majistret Mahkamah Petaling Jaya membenarkan lanjutan reman itu hari ini.

Mohd Zani berkata, suspek juga dijangka akan didakwa selepas tamat tempoh reman.

Suspek berusia 20-an yang berasal dari Pantai Dalam, dipercayai dalang utama insiden itu.

Dalam kejadian pada 20 Disember lalu, enam kereta musnah selepas seorang penunggang motosikal bertindak membaling bom petrol ke arah salah sebuah daripada kereta terbabit.

Motif kejadian dipercayai akibat cemburu selepas isteri suspek dikatakan mempunyai hubungan dengan penjaga parkir di situ.

Suspek juga dikatakan dalam proses penceraian dengan isterinya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dengan melakukan perbuatan khianat.

Jangan pentingkan golongan atasan dalam isu bauksit – Mufti Perlis

Posted: 25 Dec 2015 12:19 AM PST

IKHWAN HAZWAN

 

dr-asri_M_140715
Datuk Dr Asri Zainal Abidin menegaskan bahawa kejadian membakar lori-lori bauksit di Kuantan itu satu petanda yang perlu dipandang serius.


KUALA LUMPUR,  Kerajaan tidak boleh mementingkan golongan atasan sehingga menyebabkan rakyat bawahan menderita dan merasa diri mereka tidak terbela dalam isu bauksit yang berlaku di Kuantan, Pahang


Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin menegaskan bahawa kejadian membakar lori-lori bauksit di Kuantan itu satu petanda yang perlu dipandang serius.

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut berterusan dan merebak maka satu negara tidak terkawal lagi.

"Saya bimbang rakyat mula hilang keyakinan dengan sistem keadilan dalam negara sehingga mereka mula bertindak sendiri.

"Rakyat bawahan akan berkeyakinan bahawa hanya mengambil undang-undang di tangan sendiri sahaja yang dapat membela diri dari dizalimi," katanya menerusi akaun Facebooknya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan nekad penduduk di Kuantan yang membakar lori bauksit gara-gara kecewa dengan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah itu di Pahang baru-baru ini.

Tambah Asri, setiap pihak berhak untuk berniaga dan membuat keuntungan dengan syarat tidak menzalimi pihak yang lain.

Jelasnya, sikap mementingkan keuntungan sendiri sehingga menyakiti pihak lain adalah satu kezaliman.

"Simpati saya kepada penduduk Kuantan, juga mereka yang terkesan dari keuntungan bauksit yang diperolehi oleh pihak tertentu. Orang lain membuat untung, rakyat bawahan mendapat derita.

"Penguasa hendaklah sedar bahawa urusan pengurusan di dunia ini tidak berakhir di sini, tetapi akan dibawa ke mahkamah Allah pada Hari Kiamat kelak dan oleh itu kerajaan wajib bertindak segera mengatasi masalah ini," tegasnya.

Anggerik Mall perlu identiti baru

Posted: 25 Dec 2015 12:18 AM PST

SM AMIN

 

gs anggerik2
Rata-rata peniaga yang ditemui menyambut baik cadangan Datuk Seri Ismail Sabri untuk menjadikan Anggerik Mall sebagai pusat IT. Foto usblogabout.blogspot.com


SHAH ALAM,  Peniaga-peniaga di Anggerik Mall menyambut baik cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan pusat beli-belah itu sebagai pusat Teknologi Maklumat (IT).


Siti Afifah, 23, ketika ditemui The Rakyat Post berkata, kehadiran pengunjung di Anggerik Mall agak berkurangan jika dibanding dengan tiga kompleks beli-belah berhampiran iaitu, Kompleks PKNS, SACC Mall dan Plaza Alam Sentral.

Kata Afifah, keadaan itu menyebabkan tidak banyak kedai yang beroperasi di Anggerik Mall dan pusat beli-belah untuk memerlukan satu identiti baru untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Siti Afifah
Siti Afifah
"Anggerik Mall macam sunyi sedikit. Kalau boleh buka kedailah. Tengok di tingkat atas, tidak hidup, hanya kedai di bawah dengan kedai makan sahaja. Kalau hidupkan kedai-kedai di sini boleh tarik lebih ramai pengunjung lagi.

"Bila ada cadangan untuk buka Mara Digital rasanya boleh tarik lebih ramai orang. Di sini ada empat kompleks beli belah berdekatan dan bersaing sesama sendiri. Jadi Anggerik Mall perlu ada identiti sendiri," katanya.

Bagi Noor Amanina Zakaria, 24 yang bekerja di agensi pelancongan pula, sepanjang bekerja di situ, beliau mendapati pengunjung hanya ramai apabila waktu rehat tengahari hari bekerja.

Keadaan itu disebabkan terdapat medan selera di Anggerik Mall yang menjadi pilihan orang ramai kerana menyediakan masakan Melayu yang sedap dengan harga yang murah jika dibanding dengan kawasan sekitar.
Noor Amanina
Noor Amanina
"Pengunjung ramai bila waktu tengahari sebab sini orang kata banyak masakan Melayu dan harganya sangat murah. Kalau hendak jadikan pusat IT memang sangat sesuailah.

"Plaza Alam Sentral besar, Anggerik Mall ini kecil dan kalau hendak banding dengan Kompleks PKNS dan SACC Mall, sini paling kecil. Kompleks lain ada macam-macam," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fata Abd Hamid, 29 yang sudah enam tahun berniaga aksesori barang kemas dan cincin di Anggerik Mall menyifatkan cadangan itu akan menjadikan pusat beli-belah itu sebagai tumpuan terutamanya generasi muda.

Kata Fata, suasana di Anggerik Mall agak lengang ketika hujung minggu dan beliau bergantung kepada pelanggan tetap dan juga jualan online.

"Kalau hari cuti Sabtu Ahad, Sabtu terutamanya pengunjung sangat kurang. Kalau Mara ada buat aktiviti, adalah pengunjung datang tetapi bukan setiap minggu, bermusim. Macam pertandingan atau program bersama anak yatim, baru orang ramai datang.
Mohamad Fata
Mohamad Fata
"Mungkin kurang promosi aktiviti itu, orang tidak tahu apa ada di sini. Orang yang tahu sahaja datang. Kalau dibanding dengan PKNS, SACC sana lagi ramai walaupun sini ada acara," katanya.

Bagaimanapun kata Fata, tahun kebelakangan ini keadaan ada nampak berubah sedikit apabila Tabung Haji membuka cawangannya di Anggerik Mall selain daripada pejabat Mara yang sudah lama berada di situ.

"Selain itu bila cuti sekolah pun boleh tahan sebab ada cawangan Tabung Haji di sini dan pejabat Mara. Contoh lepas UPSR, ramai orang datang ambil borang. Kalau buat Mara Digital akan tarik lagi lebih ramai orang," ujarnya.

Ismail sebelum ini berkata, cadangan untuk mewujudkan Mara Digital Mall di pusat membeli-belah Anggerik Mall masih dalam peringkat perbincangan berikutan pusat beli-belah itu mempunyai keluasan yang agak terhad untuk menempatkan ruang jualan gajet dan telefon bimbit.

#ShutdownJalanDuta: Polis akan ambil tindakan undang-undang

Posted: 24 Dec 2015 08:48 PM PST

Surat makluman bagi memohon permit itu dihantar selepas waktu pejabat dan telah menyebabkan ia ditolak



showdawn


PETALING JAYA: Polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang merancang mahu mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak `#ShutdownJalanDuta', Shazni Munir Mohd Ithnin mengenai surat makluman yang dihantar oleh pihaknya pada jam 6.30 petang telah ditolak oleh polis atas alasan dihantar di luar waktu pejabat.

"Janganlah buat alasan berbagai..undang-undang kata perlu beri notis. Patuhilah. Kenapa pilih 6.30 petang baru nak hantar.

"Kenapa tak hantar sebelum tu..Jika mereka engkar, tindakan akan diambil…Berani buat beranilah tanggung," katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh Shazni bahawa pihaknya akan meneruskan tunjuk perasaan membantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016 tanpa surat makluman kepada polis.

Shazni berkata, pihak jawatankuasa penganjur cuba membuat serahan surat makluman berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 6.30 petang Selasa, tetapi ditolak atas alasan ia dihantar di luar waktu pejabat.

Shazni turut mendakwa bahawa usaha untuk memohon permit merupakan tindakan sia-sia, kerana polis boleh menyalahguna kuasa mereka untuk menghalang perhimpunan daripada diadakan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, sekiranya pihak #ShutdownJalanDuta mematuhi undang-undang, polis tidak akan menghalang perhimpunan yang akan diadakan.

"Kalau patuhi undang-undang, kenapa pula kita nak halang. Dia saja cari alasan ni..buatlah dan bersedia hadapi undang-undang," tegasnya.

#ShutdownJalanDuta merupakan gabungan aktivis anak muda, reformis dan mahasiswa yang merancang untuk menyambut tahun baru 2016 di perkarangan Plaza Tol Jalan Duta bagi membantah kenaikan kos sara hidup dibawah pentadbiran Barisan Nasional.

Demostrasi dijadualkan bermula pada jam 9 malam, 31 Disember.

Amy Search nikahkan anak sendiri

Posted: 24 Dec 2015 08:40 PM PST

 
Nabila sah menjadi Isteri kepada Mohd Izwan dengan sekali lafaz


amy-search


PETALING JAYA: Aktres terkenal, Nabila Huda yang merupakan anak kepada penyanyi rock, Amy Search selamat bergelar sebagai isteri orang selepas dinikahkan dalam satu majlis yang berlangsung jam 9.20 pagi tadi.

Sinar Harian Online melaporkan, Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 31, sah menjadi isteri kepada Mohd Izwan Johar, 32, dengan sekali lafaz.

Nabila dinikahkan oleh bapanya sendiri, Amy, dengan mas kahwin yang diterima daripada Izwan sebanyak RM300.

Majlis pernikahan itu diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Pada majlis itu Izwan memberikan lima dulang hantaran kepada Nabila dengan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.

25 maut, lebih 100 cedera hospital terbakar di Arab Saudi

Posted: 24 Dec 2015 08:38 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
RIYADH: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan 107 cedera dalam kebakaran sebuah hospital di selatan Arab Saudi hari ini, kata agensi pertahanan awam. 
 
Agensi sama yang mengumumkan dalam Twitter berkata, kebakaran berlaku di bilik rawatan rapi dan wad bersalin di Hospital Besar Jazan, selatan Arab Saudi. 
 
Dalam tweet terbaharu, agensi sama mengumumkan bahawa "Kebakaran Hospital Jazan sudah berakhir dan siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian," katanya.
 
Ketika ini, tiada maklumat lanjut diperoleh. 
 
Sementara itu, pada Ogos lalu, 10 orang terkorban dan 259 cedera dalam kebakaran di kompleks kediaman yang disewa syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco di wilayah timur negara itu. 
 
Kebakaran terbabit disebabkan litar pintas di kawasan tempat letak kereta bawah tanah di mana kira-kira 130 kereta berada di situ. - AFP
 
 

Tiada ulasan: