Khamis, 24 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Berita Terkini WSJ : 1MDB Masuk Duit RM3.7 Bilion atau US$850 Juta Ke Akaun Ala-ala Syarikat Pak Arab? Respon 1MDB?

Posted: 24 Dec 2015 06:58 AM PST



Berita Terkini WSJ : 1MDB Masuk Duit RM3.7 Bilion atau US$850 Juta Ke Akaun Ala-ala Syarikat Pak Arab? Respon 1MDB?

berita terkini wsj


Berita Semasa pasti dan yakin, tidak ramai yang ambil peduli dengan Berita Terkini ini yang bukan sahaja mengegarkan Malaysia malahan dunia semalam selain daripada pengumuman kenaikan Federal Reserve.

Masakan tidak berita terkini 1MDB telah keluar sekali lagi di portal perniagaan terkemuka di dunia Wall Street Journal WSJ.
Wall Street Journal telah campak satu lagi "bom jangka" melibatkan isu yang telah melilit skandal 1MDB yang belum nampak berpenghujung untuk dijawab. Kelihatan Wall Street Journal tidak gentar dengan amaran saman yang akan, akan, akan…. dikemukakan kepada mereka.

Malah Wall Street Journal telah tambah satu lagi dakwaan yang mengatakan 1MDB telah masuk sejumlah US$850 juta ke dalam satu akaun yang ala-ala syarikat Pak Arab. Ermmm…..

Ok Baik, Berita Semasa ingin ringkiskan di sini apa yang terjadi disebalik dakwaan laporan berita terkini Wall Street Journal WSJ mengenai 1MDB ini :

 

Ringkasan Laporan Berita Terkini WSJ Mengenai Tindakan 1MDB VS Respon 1MDB?

  1. Berdasarkan laporan berita Wall Street Journal, WSJ mengatakan yang syarikat 1MDB telah masuk duit RM3.7 bilion atau US$850 juta ke dalam akaun nama seakan-akan nama syarikat Pak Arab.
  2. Bertambah pelik lagi, syarikat Arab tersebut menafikan yang mereka tidak ada mengena dalam hal ini.Errrmmm…..
  3. Manakala 1MDB pula mengatakan yang mereka sememnganya ada hubungan pernigaan yang erat dengan syarikat Pak Arab
Dan persoalan yang bermain di fikiran Berita Semasa sekarang ini, jikalau bukan pak arab punya, siapa pula gerangan empunya akaun itu?

Entahlah, tiba-tiba terdetik di fikiran Berita Semasa yang sebenarnya Wall Street Journal WSJ tahu, tetapi masih disimpan lagi.

P/S : Berita Semasa harap 1MDB segera saman Wall Street Journal. Mungkin boleh memilih hari lain, disebabkan Datuk Seri Najib sudah memilih hari Selasa untuk saman dakwaan RM2.6 bilion sebelum ini, walaupun ianya masih tergantung tindakan mereka sekarang ini.

PP/S : Nampaknya Wall Street Journal telah campakkan satu homework baru untuk 1MDB dan yang lain-lain untuk mempertahankan dakwaan WSJ dengan jawapan yang lebih bernas dan berasas. Bukan asal jawab sahaja. Butirannya laporan berita mengenai ini ada dikongsikan gambar-gambar di bawah…






Mahkamah sita barangan rumah bekas pemimpin Umno

Posted: 24 Dec 2015 06:46 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menyita barangan rumah milik bekas pemimpin Umno Datuk Hamidah Osman, selepas beliau gagal membayar ganti rugi kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang memenangi kes saman fitnah terhadapnya.

Hamidah baru-baru ini telah dipecat dari Umno berhubung kritikannya terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Menurut portal The Star, pegawai mahkamah menyita barangan di rumahnya di Kampung Tersusun, Jalan Gopeng, Batu Gajah pagi ini.

Bekas ADUN Sungai Rapat itu pada April lalu diperintahkan membayar Khalid RM200,000 sebagai ganti rugi berhubung penerbitan artikel yang bertajuk "Umat Islam Perlu Bersatu" di dalam blognya pada Januari 2010.

Dalam artikel tersebut, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi.

Pernyataan tuntutan Khalid, yang difail pada 23 Disember 2011, mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seolah-olah seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.

Hamidah menafikan beliau menuduh ahli parlimen AMANAH itu sebagai murtad mahupun mengedit imej berkenaan.


MRT Corp disaran tangani banjir lumpur di Kpg Bkt Dukung

Posted: 24 Dec 2015 06:41 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyarankan supaya MRT Corp mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah banjir lumpur yang menjejaskan Kampung Bukit Dukung, Kajang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia susulan arahan kementerian supaya JAS melawat tapak projek aliran transit massa (MRT) di kampung itu bagi mengenal pasti punca kejadian.

Antara saranan JAS kepada MRT Corp ialah supaya membuat perparitan untuk mempertingkat keberkesanan kawalan aliran air hujan dan memulakan segera pembinaan kolam takungan air hujan.

"Pemasangan penahan kelodak dan lumpur di kawasan rumah-rumah terlibat juga boleh dibuat selain menanam penutup bumi di kawasan tanah terdedah," kata Wan Junaidi dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, mesyuarat penyelarasan kerja-kerja langkah pencegahan banjir lumpur dijadual berlangsung pada hari Isnin.

"JAS akan membuat pemantauan di tapak projek berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kejadian banjir lumpur tidak berulang," katanya.- Bernama


Exco: Ayam murah di Dungun ada sijil halal

Posted: 24 Dec 2015 06:40 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ayam yang dijual dengan harga murah di sebuah pasar raya di Dungun sejak beberapa bulan lepas disahkan mempunyai sijil halal dan diimport dari China.

Ini disahkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu yang membuat siasatan terhadap aduan pengguna yang meragui status dan tahap keselamatannya.

Berikutan itu, Exco Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi, dan Kepenggunaan Negeri Roslee Daud berkata perkara tersebut dianggap selesai dan terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan sama ada ingin membeli ayam berkenaan atau ayam tempatan dengan harga kawalan yang ditetapkan.

"Memang kita ada dapat aduan daripada pengguna yang ragu-ragu dengan status ayam dijual terlalu murah kerana risaukan mengenai status halal dan tahap keselamatannya apabila dimasak.

"Bayangkan harga runcit ayam diproses yang ditetapkan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) pada RM7.30 dan harga borong RM6.60 sekilogram tetapi peniaga tertentu menjual ayam itu dengan harga RM4 hingga RM4.50 sekilogram.

"Dari segi peraturan, peniaga itu tiada apa-apa masalah kerana jika diimport dari China, mungkin harga yang diperoleh adalah murah. Namun pada masa sama kita akan tetap meneruskan pemantauan berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aduan pengguna mengenai penjualan ayam terlalu murah di negeri ini yang dijual di beberapa tempat termasuk di sebuah pasar raya di Dungun.

Mengulas lanjut, Roslee berkata pihaknya juga memuji tindakan pantas pengguna yang memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan segera dijalankan, sekali gus merungkai keraguan pengguna berhubung perkara itu.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015 di sebuah pasar raya besar di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah PPDNKK negeri, Azlan Abdul Samad.

Sempena sambutan Krismas pada tahun ini, KPDNKK menetapkan 12 jenis barangan di bawah kawalan harga yang ditetapkan. Antaranya daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan daging kambing biri-biri import tanpa tulang.

"Setiap barangan di bawah kawalan harga KPDNKK mempunyai tanda harga berwarna merah jambu dan skim kawalan harga itu bermula hari ini hingga 27 Disember ini," katanya.- Bernama


5 lelaki dikhuatiri sesat ketika berburu di Grik

Posted: 24 Dec 2015 06:37 AM PST

MALAYSIAKINI

Lima lelaki yang melakukan aktiviti berburu di Hutan Kampung Bongor dekat Gerik di sini sejak Isnin lepas dikhuatiri sesat apabila dilaporkan masih tidak pulang ke rumah sehingga hari ini, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad.

Katanya mereka dikenal pasti sebagai Rosli Supiyan, 42, Zakaria Mokhtar, 28, Husaini Rafei, 20, Zulfazli Abd Majid, 36, dan Mohd Zahid Mohd Maznan, 19, dikatakan masuk ke kawasan hutan untuk memburu burung.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan dari pihak polis kira-kira pukul 11.30 malam tadi bagi membantu operasi mencari mereka.

"Setakat ini pihak bomba telah menghantar 10 anggota ke kawasan berkenaan bersama-sama dua anggota polis dan 22 anggota pasukan Rela untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Kawasan pencarian dalam 500 kilomter persegi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mangsa lemas ditemui

Sementara itu di Johor Bahru, dua remaja lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Desaru, dekat Kota Tinggi lewat petang semalam, ditemui mati lemas di pantai itu hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata mangsa adalah Albar Donar dan Misran Osman, kedua-duanya berusia 16 tahun.

"Mayat Albar ditemui berhampiran pantai itu pada pukul 10.34 pagi manakala mayat Misran pula pada 12.15 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi.

Mohd Fadli berkata sebaik menerima laporan kejadian itu pada 7.24 malam 17 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air dihantar untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat mulai 8 malam tadi.

Kedua-dua mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya..- Bernama


Suhakam: Banyak lagi perlu dilakukan lindungi wanita dari keganasan

Posted: 24 Dec 2015 06:32 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Merujuk secara khusus terhadap ancaman serangan seksual terhadap jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin sebagai contoh, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk melindungi wanita daripada keganasan dan ancaman di negara ini.

"Tiada tolak ansur wajar diberikan terhadap ancaman seperti ini atau ditangani tanpa dikenakan sebarang hukuman," kata Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan semalam.

Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) yang mana Malaysia merupakan pegara pihak sejak tahun 1995, menyeru untuk penghapusan semua jenis diskriminasi, prejudis dan tanggapan stereotaip yang bersifat gender dalam menegakkan hak asasi dan kebebasan wanita, termasuk kebebasan daripada keganasan.

"Suruhanjaya mengulangi Deklarasi PBB mengenai penghapusan keganasan terhadap Wanita yang diterima pakai pada 20 Disember 1993, bagi mengukuh dan melengkapkan CEDAW dalam penghapusan keganasan terhadap wanita.

"Dalam konteks rantau ini, kerajaan-kerajaan ASEAN telah menegaskan pendirian mereka berkenaan penentangan keganasan terhadap wanita apabila mereka menerima pakai Deklarasi mengenai Penghapusan Keganasan terhadap Wanita dan Penghapusan Keganasan terhadap Kanak-kanak di ASEAN," kata kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya itu juga bimbang dengan siasatan yang sedang dijalankan terhadap Datuk Noor Farida Ariffin dan seorang lagi anggota G25 di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya baru-baru ini.

"Pendapat yang berbentuk kritikal terhadap kerajaan dan dasarnya tidak harus dilihat sebagai menghasut," kata suruhanjaya itu lagi.

Menurutnya, orang awam seharusnya dapat menikmati hak asas kepada kebebasan bersuara yang terjamin dan termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

'Dekati ahli Umno, bukan Umno'

Posted: 24 Dec 2015 06:25 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad menyarankan supaya ahli-ahli parti Islam itu mendekati ahli-ahli Umno dan bukannya parti tersebut.

Iskandar yang merupakan antara pemimpin yang tidak bersetuju cadangan kerjasama PAS-Umno berkata, mereka perlu mendekati ahli Umno supaya dapat menarik mereka menyertai PAS.

"Ramai dari mereka telah mulai kecewa dengan parti mereka (Umno) dan adalah menjadi tugas ahli-ahli PAS untuk menarik mereka ke dalam PAS.

"Oleh itu tawaran persahabatan yang dihulurkan adalah kepada ahli-ahli Umno.

"Saya yakin ramai dari mereka yang tertunggu-tunggu untuk keluar dari Umno dan PAS mesti membuktikan mereka adalah alternatif yang meyakinkan," kata ADUN Cempaka itu dalam kenyataan.

Selain itu, pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, di negeri itu, hampir 6,000 orang memohon untuk menjadi ahli PAS dalam masa tiga minggu dan satu kempen yang sama akan dilancar pada Januari tahun depan.

Justeru itu, beliau berkata, PAS perlu menunjukkan kemampuan sebagai sebuah parti masa depan dan menjadi pencetus inisiatif politik baru dan tidak sekadar menjadi pengikut di belakang.

"Masa untuk Umno telah berlalu. PAS mesti menunjukkan kemampuan sebagai parti masa depan. Menjadi pencetus inisiatif politik baru dan bukan sekadar menjadi pengikut di belakang," katanya lagi.

PAS kini dilihat sebagai sebuah parti yang "mesra" dengan Umno selepas Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 minggu lalu bagi merintis jalan ke arah kerjasama dua parti Melayu terbesar itu.

Malah, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, parti itu hanya bekerjasama dengan Umno dalam beberapa perkara melibatkan kepentingan Islam, masyarakat serta negara, dan bukannya menyertai BN sebagai parti komponennya.


M'sia kekal No 5 aliran keluar wang haram tertinggi

Posted: 24 Dec 2015 06:23 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Malaysia sekali lagi tersenarai antara lima negara yang mencatatkan purata aliran kewangan haram tertinggi sepanjang dekad ini.

Menurut laporan tahunan terbaru Global Financial Integrity (GFI), yang beribupejabat di Washington, Malaysia telah kehilangan jumlah terkumpul sebanyak AS$418.542 bilion (RM1.8 trilion) sejak tahun 2004.

Pada tahun 2013 sahaja, Malaysia kehilangan sejumlah AS$48.25 bilion, kata pemerhati kewangan global itu.

Aliran keluar modal haram, kata laporan itu, berpunca daripada pengelakan cukai, jenayah, rasuah, dan aktiviti haram lain.

Malaysia juga kekal pada kedudukannya sebagai antara lima negara dengan aliran keluar kewangan haram tertinggi.

Selepas menduduki tempat kedua paling teruk pada tahun 2010, kedudukannya "bertambah baik" dengan berada di tempat keempat pada 2011 dan kekal di tempat kelima sejak 2012.

Bagi tahun 2013, Malaysia sekali lagi berada di kedudukan di belakang China, Russia, Mexico dan India.

Jangan tabur kebencian kepada Pas dan Umno

Posted: 24 Dec 2015 06:19 AM PST

Md Alwi Che Ahmad
Md Alwi Che Ahmad 
 
 
KOTA BHARU – Ketua Penerangan BN Negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad mempersoalkan motif tindakan sesetengah pihak yang menabur kebencian supaya Pas dan Umno saling membenci, sekali gus tidak bersatu dalam semua perkara.

Menurutnya, politik tidak memerlukan kebencian, walaupun wujud perbezaan pendapat di kalangan parti pemerintah dan parti pembangkang.

"Saya yakin, arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak mengajar (Pas) untuk membenci parti lawan. Tok Guru hanya bercakap mengenai perbezaan ideologi sahaja, bukannya soal kebencian.

"Saya tidak faham kenapa orang Islam tidak mahu tengok orang Islam bersatu. Bersatu bukan bermakna duduk dalam satu parti, tetapi, ada sesetengah isu yang memerlukan kita bersatu,"katanya kepada media di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan besar penyokong Pas dan Umno yang tidak bersetuju dengan idea penyatuan tersebut keluar dan meninggalkan parti menjelang PRU14 ini

Nik Abduh: Siapa kata Pas sekarang retak?

Posted: 24 Dec 2015 06:17 AM PST

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz


SHAH ALAM – "Siapa mengira berlaku keretakan dalam kepimpinan utama Pas hari ini, dia seperti sang dahaga yang menggoyang batang kelapa untuk mendapatkan air kelapa muda," demikian ujar Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Menyanggah dakwaan terbabit, beliau berkata, Pas sebaliknya berada di bawah kepimpinan yang betul dan bergerak di landasan tepat.

"Pas kini bergerak di antara kecenderungan tinggi untuk menggali nas-nas ugama dan budaya 'fact and figure' di dalam menentukan hala tuju dan strategi politik dan perjuangannya.

"Sekarang, yang paling ditunggu adalah majlis mesyuarat dan pertemuan di antara kami. Gabungan mantap antara orang lama yang berpengalaman penuh ketenangan dan kumpulan muda yang berinspirasi penuh motivasi turut mencetuskan rasa ukhuwah yang kukuh," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, ramai pihak mahukan keretakan berlaku di dalam Pas kerana mereka tidak memiliki apa yang Pas ada.

"Jangan percaya fitnah. Sesungguhnya politik Islam menolak fitnah dan mengiranya sebagai jalan-jalan menuju kemusnahan negara dan umat.

"Mari perangi musuh utama yang merosakkan negara iaitu rasuah, salah guna kuasa, pembaziran dan pemborosan wang rakyat, pemujaan terhadap golongan kaya dan cukai ke atas golongan miskin," katanya lagi.


Khalil perlu guna politik berhikmah

Posted: 24 Dec 2015 06:15 AM PST

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi


SHAH ALAM – Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi disarankan mengguna pakai pendekatan politik berhikmah berbanding mengikut jejak 'orang-orang tua' dalam politik yang gemar berbalah antara satu sama lain.

Naib Ketua (Politik) Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata sikap yang ditunjukkan anak kepada Presiden Pas itu hanyalah tindakan ke belakang sekaligus menjauhkan anak-anak muda dari politik.

"Apa perasan Khalil jika ada orang menuduh Pas sebagai 'keldai tunggangan' perompak nombor satu rakyat Malaysia? Apa pula perasaan Khalil jika orang menuduh Pas bersekongkol dengan manusia yang sepatutnya didakwa bawah hudud kerana merompak wang rakyat dalam terang?

"Jangan ditambah lagi jarak (politik) dan prejudis tersebut dengan meneruskan kaedah dan cara berpolitik seperti itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Khalil hari ini yang menuduh Amanah terikat dengan DAP dan parti serpihan Pas itu hanya akan mendengar dan mengikut telunjuk DAP.

Khalil juga berkata jika Pas dan Amanah perlu bekerjasama, pihaknya akan meneliti hasrat tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Perkara itu menjadi hangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenakan pakaian sama atau sedondon ketika menghadiri Multaqa Serantau  Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, pada Khamis lalu.

Pertemuan dua pemimpin utama Melayu Islam itu menunjukkan Pas semakin positif terhadap pelawaan Najib untuk menghulurkan "tali silaturahim" kepada parti Islam itu untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.


Pas akan hilang undi simpati jika bersama Umno

Posted: 24 Dec 2015 06:12 AM PST

Pas


SHAH ALAM - Pas akan kehilangan undi simpati daripada masyarakat sekiranya mengambil keputusan untuk bergabung dengan Umno.

Ini kerana menurut penganalisis politik Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis, persepsi masyarakat terhadap Pas adalah lebih baik berbanding Umno.

"Sekarang, tanggapan masyarakat terhadap Pas sedang meningkat naik ekoran daripada keciciran Pas daripada Pakatan Harapan. Pas dianggap sebagai mangsa.

"Sikap DAP yang berterusan 'membuli' Pas (selepas tertubuh Pakatan Harapan) dengan cara menekan PKR untuk menyingkirkan Pas menyebabkan ramai yang kasihan dengan Pas," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Muhammad Shamsinoor yang juga merupakan Ketua Kluster Politik dan Polisi bagi Institut Kajian Sosial Selangor, Universiti Selangor berkata demikian ketika mengulas mengenai isu penggabungan kedua parti politik berkenaan yang menjadi topik hangat negara pada hari ini.

Sebaliknya, katanya, bagi Umno, penggabungan dengan Pas pula akan memberikan kelebihan besar kepada parti keramat itu.

"Untuk bergabung sepenuhnya dan bukan hanya sekadar kerjasama, itu beri kelebihan pada Umno. Sekarang Umno dianggap lemah kerana kepimpinannya dikritik," ujarnya.

Beliau berkata, keduanya tidak akan mempunyai sebarang masalah sekiranya meneruskan kerjasama demi kepentingan rakyat.


Kerjasama boleh hentikan sengketa Melayu-Islam

Posted: 24 Dec 2015 06:11 AM PST

Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
 
 
SHAH ALAM - Persengketaan orang Melayu dan Islam sesama sendiri kerana perbezaan fahaman politik hanya boleh dihentikan penyatuan dua parti terbesar antara Umno dan Pas.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata kerjasama politik itu juga boleh menstabilkan politik negara daripada pertelagahan yang tidak berkesudahan.

"Pemimpin kita tidak fokus untuk merancang pembangunan ekonomi negara bagi mengatasi masalah rakyat.

"Kerjasama itu perlu bagi membolehkan rakyat melihat politik bukan lagi dari kaca perkauman, tetapi keagamaan yang lebih menyeluruh," katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun Mohammad Agus berkata, kerjasama itu hanya akan berjaya jika mempunyai satu asas dan prinsip yang jelas serta dipersetujui bersama.

"Kerjasama ini hendaklah dilihat rakyat sebagai bukan untuk memenuhi kepentingan elit parti semata-mata.

"Ia perlulah menghasilkan produk politik yang diharapkan rakyat seperti keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi, pemimpin berintegriti dan lainnya," ujarnya.

Beliau berkata lagi, kerjasama Umno dan Pas perlu menghormati prinsip Persekutuan Malaysia.

"Hak negeri di bawah pemerintahan Pas seperti royalti minyak perlulah ada penyelesaian menang-menang," katanya lagi.


Pengusaha cadang semakan harga minyak mingguan

Posted: 24 Dec 2015 06:01 AM PST

 
Timbalan Menteri Kewangan berkata syarikat minyak mengambil kesempatan dari sistem semakan bulanan


Johari Abdul Ghani


PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya menyemak harga minyak secara mingguan mengikut harga pasaran, dengan perbezaan harga maksima 5 sen.

Timbalan Menteri Kewangan Johari Abdul Ghani dalam satu kenyataan yang diterima FMT pada Khamis berkata persatuan menemui beliau baru-baru ini dan mengadu mengenai sistem pengapungan harga sedia-ada yang dibuat secara bulanan.

Dibawah sistem sekarang, syarikat-syarikat minyak menggunakan kesempatan dengan menghantar bekalan minyak kepada pengusaha-pengusaha minyak dengan menghantar bekalan pada kuantiti yang banyak setiap hujung bulan jika mereka jangkakan harga runcit akan jatuh pada bulan seterusnya.

Sebaliknya, jika harga runcit dijangkakan akan naik, mereka akan mengurangkan bekalan minyak pada setiap hujung bulan seterusnya.

"Perkara ini jika tidak dikawal ianya akan menyebabkan lebih 3200 pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian, dimana 70 peratus pengusaha ini terdiri daripada pengusaha stesen minyak Bumiputra yg dilantik oleh syarikat-syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Caltex, Petron dan BHP," kata Johari.

Menurut Johari, sekiranya cadangan PDAM digunapakai, perubahan harga minyak tidak menjadi terlalu ketara dan akan memanfaatkan pengguna, pengusaha dan syarikat minyak dalam keadaan harga naik atau turun.

Buktikan penipuan kami, kata SR kepada pembantu khas AG

Posted: 24 Dec 2015 05:46 AM PST

 
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berkata beliau ada bukti menunjukkan Mabel Muttiah menghantar pesanan teks untuk 'membuli dan merasuah' ahli keluarga mendiang Kevin Morais.


Clare Rewcastle-Brown


PETALING JAYA: Sarawak Report (SR) hari ini mencabar pegawai khas Peguam Negara Mabel Muttiah untuk menafikan dakwaan bahawa beliau menulis teks pesanan ringkas yang dipetik laman itu dalam satu laporannya 20 Disember lalu.

"Apa sebenarnya 'penipuan' dalam artikel saya itu?" soal editor SR Clare Rewcastle-Brown dalam responnya terhadap kenyataan Muttiah bahawa ia 'penuh dengan penipuan'.

Dalam artikel tersebut, SR mendakwa berlaku perbuatan khianat (foul play) dalam penyiasatan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais.

Artikel itu juga mendakwa terdapat percubaan untuk "membuli dan merasuah" keluarga Morais bagi membolehkan jenazah mendiang dibakar sebelum autopsi kedua dilakukan.

Ketika dihubungi FMT, Muttiah menafikan dakwaan yang dibuat SR dan menyifatkannya sebagai "kewartawanan rendah" (substandard reporting).

FMT juga difahamkan yang beliau telah membuat laporan polis terhadap SR Selasa lalu.

Dalam responnya terhadap penafian Muttiah, Clare mendakwa beliau hanya membuat kenyataan yang tidak jelas.

"Adakah dia mendakwa yang dia bukanlah penulis kepada pelbagai teks pesanan yang kami petik? Jika ya, dia sepatutnya berkata demikian, bukannya hanya berkata laporan kami sebagai 'penuh penipuan'," katanya menerusi emel.

"Jika dia yang menulisnya (dan saya dapat membuktikannya) maka saya berhak untuk bertanya; mengapa dia menekan keluarga mendiang dan pejabatnya menawarkan wang kepada adik-beradik mendiang?

"Dan mengapa dia berhubung dengan seseorang yang menggelar dirinya sebagai 'gangster' untuk mengeluarkan mayat dari rumah mayat tanpa kebenaran ahli keluarga lain?"

'Gangster' yang dimaksudkan Brown adalah adik kepada Morais yang menurut SR telah mengingkari hasrat ahli keluarga lain dengan membakar mayat Kevin.

Dalam kenyataannya Isnin lalu, Muttiah berkata bahawa SR tidak pernah menghubunginya untuk mengesahkan maklumat yang diperolehi sebelum menerbitkannya.

Brown membalasnya dengan berkata, "Hak itu juga tidak diberikan kepada saya oleh media rasmi Malaysia yang telah membuat tohmahan kepada saya tanpa cuba mendapatkan kenyataan daripada pihak saya."

"Adakah dia menyangka saya akan mematuhi peraturan yang tidak diikuti media kawalan kerajaan Malaysia?

"Saya ingin sekali melihat salinan laporan polisnya, memandangkan mungkin ia ada butiran tentang apa yang dia katakan sebagai 'penipuan' itu," katanya lagi.

#ShutdownJalanDuta diteruskan tanpa makluman kepada polis

Posted: 24 Dec 2015 05:43 AM PST

 
Penganjur umum 17,000 bakal turun ke himpunan itu nanti


#ShutdownJalanDuta


PETALING JAYA: Tunjuk perasaan bantah kenaikan kos sara hidup pada malam Tahun Baru 2016 akan diteruskan tanpa surat makluman kepada polis, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak #ShutdownJalanDuta Shazni Munir Mohd Ithnin.

"Kita telah mencuba untuk menemui pihak polis dan kita tidak akan menghantar (surat makluman perhimpunan) lagi," kata Shazni ketika dihubungi FMT.

Pihak jawatankuasa cuba membuat serahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 6.30 petang Selasa, tetapi ditolak atas alasan ia dihantar di luar waktu pejabat.

"Alasan ini langsung tidak boleh diterima! Akta Perhimpunan Aman (APA) langsung tidak menyatakan bahawa pemakluman perlu dilakukan dalam waktu pejabat," katanya.

Shazni berkata mereka akan cuba menarik penyertaan seberapa ramai orang yang mungin dan menambah setakat ini seramai 17,000 orang mengesahkan kehadiran.

"Kita mempunyai 17,000 orang yang menandatangani petisyen online dan mereka ini yang akan turun (ke perhimpunan aman)," katanya.

Beliau, yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan tunjuk perasaan mereka adalah sah kerana APA menyatakan permit tidak diperlukan untuk berhimpun, sekadar memaklumkan kepada polis sebelum ia dianjurkan, dan menambah mereka akan memaklumkan kepada polis secara lisan.

Shazni berkata usaha untuk memohon permit merupakan tindakan sia-sia, kerana polis boleh menyalahguna kuasa mereka untuk menghalang perhimpunan daripada diadakan.

"Polis akan mengaku terima permohonan kita dari tarikh yaqng dihantar dan itu memberi masa kepada mereka untuk mencari alasan untuk menyekat kita," katanya.

#ShutdownJalanDuta merupakan gabungan aktivis anak muda, reformis dan mahasiswa yang merancang untuk menyambut tahun baru 2016 di perkarangan plaza tol Jalan Duta bagi membantah kenaikan kos sara hidup dibawah pentadbiran Barisan Nasional.

Demo dijadualkan bermula pada jam 9 malam, 31 Disember.

2 suspek ditahan kes serangan Timbalan Presiden MIC

Posted: 24 Dec 2015 05:40 AM PST

 
 
Kedua-dua suspek itu yang berusia 28 dan 29 tahun ditahan di Jalan Ampang pada pukul 4 pagi hari ini. 


Datuk Zainuddin Ahmad


KUALA LUMPUR: Polis telah menahan dua suspek yang dikaitkan dengan kes serangan terhadap Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S. K. Devamany di ibu pejabat parti itu Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata kedua-dua suspek itu yang berusia 28 dan 29 tahun ditahan di Jalan Ampang pada pukul 4 pagi hari ini.

"Kesemua mereka kini direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut dan kita akan melakukan kawad cam esok," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan punca Devamany ditumbuk adalah daripada perbalahan dan kekalahan dalam pilihan calon.

Beliau berkata polis sentiasa menyiasat kes itu dengan telus dan siasatan terhadap suspek akan diteruskan bagi mengenalpasti punca mereka menyerang mangsa.

Semalam, Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menggesa Polis Diraja Malaysia supaya segera menyiasat dalang di sebalik serangan terhadap timbalannya itu.– BERNAMA

Tuan Ibrahim Man,Idris Ahmad dan Iskandar Samad tolak kerjasama dengan Umno

Posted: 23 Dec 2015 08:42 PM PST



OLEH ZULKIFLI SULONG 


Seorang demi seorang pemimpin kanan PAS bangkit menentang usaha membawa parti mereka mendekati Umno seperti presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun dalam pelbagai nada, antara kerjasama dan bergabung, namun jelas sekurang-kurangnya 3 pemimpin kanan PAS sudah mula kelihatan dalam menentang arus yang cuba dibawa untuk bersama dengan Umno.

Nada penolakan kerjasama ini bermula dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sentiasa bertegas, tidak akan ada gabungan antara parti Islam itu dengan Umno.

 Kenyataan Tuan Ibrahim disokong naib presiden yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad.

Terbaru, seorang lagi Naib Presiden PAS Idris Ahmad bangkit dengan kenyataan paling panas iaitu menghalau mana-mana pemimpin atau ahli keluar parti itu jika mahu bergabung dengan Umno.

"Heboh di media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.

"Ingin saya tegaskan PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulama, AJK PAS Pusat dan muktamar.

"Pandangan peribadi tidak boleh dipakai. Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu saja yang pergi," kata ahli Parlimen Bukit Gantang itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sehingga kini, siapakah yang disasarkan Idris tidak dapat dikenal pasti.resi

Apakah presiden PAS sendiri yang memakai baju Melayu sedondon dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di Multaqa Alumni Al Azhar Malaysia?

Atau pihak yang berusaha dan menjadi dalang kerjasama antara Umno dan PAS ini.

Kenyataan Idris selari dengan kenyataan bekas mursyidul am PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hayatnya yang marah dengan usaha untuk bekerjasama dengan Umno.

"Umno kena buang kebangsaan dan terima Islam dulu. Sudah lama saya cakap macam ini, sikit lagi ada orang Umno cari PAS, saya akan ludah muka orang itu, kalau kamu hendak bersatu, buang kebangsaan ambil semangat Islam, tidak kena di mana Islam?" kata Nik Aziz sebagaimana dilaporkan akhbar milik Umno, Utusan Online pada 8 Mei, 2013.

Sejak awal, Tuan Ibrahim yang kebetulan anak saudara kepada isteri Nik Aziz, antara pemimpin PAS kini yang paling tidak senang dengan kerjasama dengan Umno.

Apabila media melaporkan beliau merestui kerjasama antara PAS dan Umno ekoran kenyataannya yang dilihat lembut selepas pertemuan antara Najib-Hadi, beliau bangkit menafikannya secara bertulis.

"PAS tidak akan bergabung dengan Umno. Malah kini, PAS sedang merangka strategi mempertahankan kerajaan Kelantan, menguasai kerajaan Terengganu dan menguasai 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Umno di Selangor dan menambah kerusi Parlimen di tempat berlawan dengan Umno," kata Tuan Ibrahim menafikan laporan media beliau kini setuju PAS bekerjasama dengan Umno.

Bahkan dalam kenyataan itu, beliau menegaskan kenyataannya pada 14 Disember lalu yang antara lain menyebut, "PAS tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada agama".

Katanya, lebih 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Islam secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.

Iskandar yang juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor pula bertegas, dosa Umno terhadap PAS terlalu besar untuk dimaafkan akar umbi parti Islam itu.- themalaysianinsider.comf 

Jantina Bugis Ada Lima

Posted: 23 Dec 2015 08:16 PM PST


TERIMA kasih banyak-banyak kepada para pembahas kerana mendalami, menokok tambah dan memperbetulkan hujah saya.

Dengan izin, saya mohon mengulang cetak sepenuhnya komen pembahas Paine (1.41pm) dengan sedikit pindaan untuk memudahkan pembacaan. Kata belia: 


"Salam Dato,

Selalu Dato sebutkan fasal Pahlawan Bugis. Kebetulan baru2 ini sahabat saya ceritakan bahawa dalam masyarakat Bugis terdapat 5 jantina.

Saya pun buat research dan mendapati berita itu benar dan menarik (Boleh di rujuk dalam Wikipedia,Youtube dan http://yayasanhajiabuukkusu.blogspot.my/.)

Oroane ertinya lelaki, biasanya jenis jantina ini maskulin dan mampu menjalin hubungan dengan perempuan.

Makkunrai ertinya wanita atau perempuan. Mereka feminin, dan bersedia menikah dengan lelaki, mempunyai anak dan mengurusnya serta wajib melayani suami.

Calalai sebagai gender ketiga, ini perempuan yang berpenampilan seperti laki-laki. Calalai biasa juga disebut perempuan maskulin/tomboy.

Calabai merupakan salah satu dari 5 jenis jantina dalam kebudayaan Bugis. Calabai adalah laki-laki yang berpenampilan seperti perempuan.

Bissu, sebagai gender kelima berbeda dengan 4 gender yang lain. Mereka adalah golongan yang disebut 'bukan lelaki bukan pula perempuan'.


Bissu atau kelompok orang mistik. Dalam budaya Bugis mereka memiliki posisi yang sangat penting. Pada setiap upacara adat Bugis, mereka bertindak sebagai 'pendeta' atau 'pemangku adat'.

Mereka masih menjaga teguh tradisi dan peranan serta kebiasaan turun temurun nilai-nilai budaya bugis klasik dan diilustrasikan sebagai manusia setengah dewa yang mempunyai kekuatan Supranatural.

Mereka memanfaatkan hubungan dengan dunia ghaib dan bertindak sebagai mediator dari roh yang memasukinya.

Bissu yang konon dalam tradisi adat dan budaya Sulawesi mendapat tempat terhormat dan seringkali dimintai nasihat ketika "persetujuan tertentu" dari kekuasaan dunia batin (spiritual) diperlukan.

Si Pahlawan Bugis Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone jatuh dalam kategori jantina mana?

Mengikut pengikutnya, ianya dipilih tuhan dan suci daripada segala dosa.


Bissu mungkin ke?



Bissu Bugis sedang melakukan ritual "sembanhyang"

Sebab itu kot orang Melayu yang ada mentaliti feudal dan percaya kepada tahyul menganggapnya sebagai suci dan perlu di patuhi tanpa syarat.

Tetapi bagi orang Melayu si Bisu adalah orang yang tak boleh bercakap…mungkin itu sebabnya fasal RMM2.6 Billion ia tak boleh bercakap dan disuruh Si Calalaidan Si Calabai saja memberikan penjelasan."


Terima kasih pembahas Paine.

Gelaran Bugis Bukan Rekaan Saya

 

Saya kerap merujuk kepada "kepahlawanan" dan kebugisan Mohd Najib kerana beliau sendiri yang mencanangkannya. Ia bukan sekali-kali cerita yang saya reka.

Gelaran "Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone" yang beliau terima pada tahun 2005 itu adalah pengesahan taraf aristokrasi beliau dalam masyarakat Bugis Nusantara.  

Pada bulan April lalu, ketika berucap di pembentangan laporan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) 2014, beliau bercerita mengenai asal usul Bugis beliau.

Kata beliau: "Hatta dilanda badai, patah kemudi dan terkoyak layar dan biar seribu kapal ditelan lautan adalah lebih mulia bertahan dan meneruskan perjuangan daripada berpatah balik ke pelabuhan."

Kemudian pada pada 30 Ogos lalu, beliau dipetik sebagai berkata: "Saya ingin mengulangi, setelah layar telah dikembangkan, apabila sauh telah dilabuhkan, pantang ketua kapal dan anak-anak kapal menoleh ke belakang." 

Agaknya kerana tersilap teknik pelayaran – melabuhkan sauh setelah menaikkan layar – maka bahtera merdeka kita kini terumbang ambing tanpa arah dan tujuan.

Berkenaan dalam kategori mana beliau berada mengikut kebijaksanaan Bugis, saya serahkan kepada para pembahas menilainya.

Wallahuaklam





Tamrin silap, Abdul Hadi tak akan ditolak ahli Pas

Posted: 23 Dec 2015 08:13 PM PST

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang


KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan ditolak oleh ahli Pas sebagaimana ahli Umno menolah Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana menurut Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Abdul Hadi merupakan pemimpin yang bebas daripada kontroversi.

‎"Apa yang berlaku dalam Umno adalah kerana krisis dalaman parti yang melibatkan presidennya sendiri. Krisis tersebut juga berpunca daripada beberapa isu.

"Apa yang berlaku dalam Pas pula adalah berkenaan pendirian presiden yang berasaskan politik matang. Kita melihat penyelesaian kepada masalah dalam negara adalah kembali kepada Islam," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan ‎bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Tun Ghafar ke atas Abdul Hadi.

Semalam, Tamrin mendakwa bahawa ahli Pas akan menolak Abdul Hadi sebagaimana ahli Umno menolak Najib.

[ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi bakal ditolak seperti Najib

Muhammad Khalil dalam pada itu turut menyifatkan pandangan Tamrin sebagai perbandingan yang tidak tepat.

"Itu perbandingan yang tidak ada asas sebenarnya. Kenyataan dia itu tidak tepat," katanya lagi.


Pakatan Harapan buka pintu untuk Pas

Posted: 23 Dec 2015 08:11 PM PST


SALAHUDDIN AYUB
SALAHUDDIN AYUB


SHAH ALAM – Pakatan Harapan sentiasa membuka pintu buat Pas bagi sebarang perbincangan berhubung dengan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak April depan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata, Pas berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan Dun yang dikehendaki memandangkan parti itu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

"Dulu ketika dalam PR, semua keputusan yang dibuat adalah secara bersama tapi bila Pas bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Harapan, mereka (Pas) berhak untuk bertanding di mana sahaja yang mereka kehendaki.

"Namun begitu, kita (Pakatan Harapan) sentiasa buka pintu buat Pas bagi mengadakan sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi di PRN Sarawak nanti,"  katanya ketika dihubungi Sinar Harian bagi mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee yang menyatakan parti itu akan bertanding di lebih 10 kawasan Dun Sarawak pada PRN Sarawak ke-11.

Jelas Salahuddin lagi, Pas berhak meletakkan calon di mana-mana kawasan Dun Sarawak memandangkan parti itu bukan lagi termasuk dalam gabungan parti pembangkang yang mahu berdepan BN.

"Kita (Pakatan Harapan) tak pernah halang mereka (Pas) kalau mereka nak bertanding walaupun Pakatan Harapan sendiri meletakkan matlamat untuk pertembungan satu lawan satu supaya rakyat nampak dengan lebih jelas gabungan ini," katanya.

Maulidur Rasul disambut dua kali tahun in

Posted: 23 Dec 2015 08:04 PM PST

SINAR HARIAN


Othman Mustapha
Othman


KUALA LUMPUR - Umat Islam seluruh dunia meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul dua kali tahun ini, iaitu pada 3 Januari lalu bagi tahun 1436H dan esok bagi tahun 1437H.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, berkata persiapan majlis sambutan peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang berjalan lancar dengan raptai penuh diadakan pagi ini.

"Persiapan sudah berada pada tahap 90 peratus dan kami juga sudah menyediakan sebanyak 12,000 buah kerusi yang akan diletakkan di dalam dewan untuk 125 kontinjen daripada pelbagai badan awam dan swasta.

"Tahun ini kita ada kira-kira 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang akan turut menyertai perarakan kita sambil berselawat. Kami harap ini akan  menarik orang ramai untuk ikut serta," katanya ketika dihubungi.

Othman berkata sambutan yang biasanya diadakan di masjid ditukar lokasinya ke dewan yang lebih besar untuk mengelak kesesakan.

"Sebelum ini bila kita adakan sambutan di masjid, banyak kontinjen yang tidak boleh masuk dan banyak antara mereka terpaksa berkumpul di luar," katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, dijadual berangkat ke majlis itu, katanya.

Upacara itu akan disiarkan secara langsung di RTM TV1 dan disambung siar di  TV Al-Hijrah.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatan terbaru dalam laman blog beliau www.najibrazak.com memohon umat Islam memanjatkan kesyukuran di atas sambutan Maulidur Rasul berganda tahun ini. 

"Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW begitu besar kepada kita umat Islam. Baginda bersama para Sahabat telah menanggung pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam serta membina ummah ini," kata Najib.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya berkata sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun ini akan diadakan di Masjid Al-Mukhlisin, Cheras, pada malam ini.

"Program kami akan bermula selepas solat maghrib dengan ceramah khas maulidur rasul yang akan disampaikan oleh (Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia).

"Sambutan Maulidur Rasul kali ini juga turut menyediakan 11 kategori anugerah khas maulidur rasul yang melibatkan individu dan organisasi. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan trofi," katanya.

Beliau berkata lebih 1000 orang dijangka hadir terdiri daripada wakil pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan masjid-masjid serta orang awam. - Bernama


Amanah boleh gugat Kerajaan Kelantan

Posted: 23 Dec 2015 07:57 PM PST

Mohd Amar
Mohd Amar
 
 
KOTA BHARU - Pas tidak menolak keputusan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di negeri akan memberi kesan termasuk boleh menyebabkan Kerajaan Pas Kelantan tergugat.

Timbalan Menteri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keputusan Amanah untuk bertanding di negeri ini akan memberi kelebihan kepada BN kerana akan memecahkan undi.

"Kalau nak bertanding Kelantan, Amanah kena jelaskan alasannya, sebab bila bertanding di sini, jelas dia ingin bantu Umno, kita tak boleh nak halang sebab negara demokrasi, bertandinglah, menang atau kalah kita serah pada ALLAH.

"Kemungkinan Kelantan jatuh ada, Malaysia jatuh pun ada, semua kemungkinan tu ada, jangan pelik," katanya selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang tidak menolak kemungkinan wujud saingan tiga penjuru antara Amanah, Pas dan BN di Kelantan pada PRU14 nanti.

Mohamad Sabu berkata, perkembangan semasa mengenai sambutan masyarakat di Kelantan terhadap Amanah akan menjadi penentu kepada percaturan politik pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Amanah perlu melihat kembali kenyataan mereka sebelum ini yang tidak mahu menjatuhkan Kerajaan Kelantan.

"Kita tak sekat siapa pun yang ingin bertanding di Kelantan, tetapi Amanah kena ingat, mereka sudah keluarkan kenyataan tidak akan kacau Kelantan, itu janji yang dibuat sebelum ini.

"Malah Pengerusi Amanah negeri, Datuk Wan Rahim pun pernah mengatakan mereka tidak akan kacau Pas di Kelantan sebaliknya bersama- sama mempertahankan negeri ini dari Umno," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama antara parti itu dan Umno, Mohd Amar yang juga Naib Presiden berkata, Pas tidak mungkin digigit dua kali kerana pernah mempunyai pengalaman pahit ketika bersama BN suatu ketika dahulu.

"Tak ada keperluan untuk bergabung, kita pernah masuk BN dan ada pengalaman pahit, jadi tidak ada dalam fikiran untuk bersama, 'memaafkan' itu isu lain, bagaimanapun pendirian Pas dari dulu memang terbuka dan boleh bekerjasama dalam perkara yang  menyentuh kepentingan orang ramai" katanya.

Pas: Amanah hanya akan dengar cakap DAP

Posted: 23 Dec 2015 07:55 PM PST

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
 
 
SHAH ALAM – Agak sukar bagi Parti Amanah Negara (Amanah) adalah untuk menyertai kerjasama Pas dan Umno kerana  Amanah parti yang terikat dengan DAP dan hanya akan mendengar pandangan daripada DAP.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya Pas dan Amanah perlu bekerjasama, pihaknya akan meneliti tujuan kerjasama tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Amanah ini terikat dengan DAP. Mereka hanya akan dengar cakap DAP sahaja. Jika DAP mahu mereka senyap, mereka akan senyap. Kalau DAP mahu mereka buat bising, jadi bisinglah mereka.

"(Kalau) Nak kerjasama, kita akan teliti terlebih dahulu bentuk kerjasama itu. Kalau ia dibuat demi kebaikan dan kepentingan rakyat, Pas tak ada masalah," katanya ketika dihubungi Sinar Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas, Umno perlu bersama demi orang Melayu]

Sebelum ini, penganalisis politik, Prof Madya Dr Fuad Othman berpendapat, kerjasama antara Pas dan Umno bukan sahaja dihulurkan kepada Pas, malah sepatutnya turut disuakan kepada Amanah dan juga PKR.

Ia perlu dilakukan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Khalil, sebagai parti politik, Pas bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja atau mana-mana parti untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

"Kami sentiasa menerima apa sahaja cadangan yang dibuat demi kepentingan negara, rakyat dan agama.

"Oleh kerana itu, bila adanya pelawaan daripada Umno untuk bekerjasama dengan Pas, kami mengambil sikap positif dan kami melihat apakah bentuk kerjasama tersebut. Kalau bentuk kerjasama itu dibuat demi membantu Kelantan dan agama, kita bersedia," katanya.

RUU MKN: Agong tiada kuasa isytihar darurat

Posted: 23 Dec 2015 07:53 PM PST

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. - Foto Bernama


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendakwa Yang di-Pertuan Agong akan  kehilangan kuasa untuk isytiharkan darurat apabila Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan Dewan Negara, semalam.

Beliau berkata walaupun sebelum ini baginda akan meminta nasihat daripada Perdana Menteri, namun sebaik sahaja undang-undang itu diluluskan, perkenan Agong tiada kuasa isytihar darurat.

"Sekarang ini tidak, dengan undang-undang ini, baginda tidak terlibat, hanya Perdana Menteri yang isytiharkan.

"Kalau pindah kuasa ini ke tangan Perdana Menteri,ini adalah tindakan secara tidak langsung mengetepikan kuasa Agong," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, Dewan Negara telah meluluskan RUU MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada jam 8.20 malam sambil berkata undang-undang itu diluluskan berdasarkan undian suara dengan lebih ramai yang menyokong berbanding yang membantah.

Rang itu telah dibahas begitu hebat oleh 37 senator baik daripada BN mahupun daripada pembangkang sepanjang persidangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu Perdana Menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.

Mengulas lanjut,Tian Chua selaku Naib Presiden PKR juga mempertahankan kebimbangan pemimpin pembangkang sebelum ini bahawa RUU itu boleh mengundang penyalahgunaan kuasa.

"Dalam keadaan sekarang, tafsiran pula sangat longgar dan kabur, ia boleh digunakan untuk kepentingan politik dan ini tidak wajar.

"Sungguhpun penyokong BN yakin terhadap Perdana Menteri sekarang, tapi kita tak boleh pastikan ada ahli-ahli politik akan datang berkemungkinan menggunakannya untuk mempertahankan kedudukan peribadi," ujarnya.

Beliau berkata, penggunaan istilah kabur dalam RUU itu sebenarnya untuk memindahkan kuasa mengisytiharkan kuasa darurat kepada MKN.

"Sungguhpun kawasan keselamatan tidak dinamakan darurat, tapi semua kuasa yang ada kepada MKN itu ialah kuasa darurat.

"MKN berhak mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan, maksudnya kawasan darurat lah. Dia boleh main dengan istilah dengan mengatakan ini kawasan keselamatan, tapi maksudnya sama," dakwanya lagi.


Tiada ulasan: