Isnin, 23 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pakatan Harapan diramal 'berkubur' sebelum PRU14

Posted: 23 Nov 2015 03:24 PM PST


Mohd Zuhdi Marzuki
Mohd Zuhdi Marzuki


SHAH ALAM - Jangka hayat Pakatan Harapan dijangka hanya mampu bertahan menjelang PRU14 susulan parti komponennya masih gagal menguruskan konflik dalaman secara berkesan.

Pusat Penyelidikan Pas (PPP) berkata, Pakatan Harapan juga dijangka tidak dapat bertahan lebih lama berbanding Pakatan Rakyat.

Pengarahnya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pihaknya tidak menolak pakatan pembangkang itu akan berakhir lebih awal sebelum PRU14.

"Kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU 14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul.

"Sehingga hari ini, Pakatan Harapan masih belum mempunyai keputusan bersama terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) walaupun setelah hampir sebulan dokumen perjanjian tersebut didedahkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zuhdi dakwa Husam mahu 'kocak' solidariti Pas]

Mohd Zuhdi juga berkata, keadaan semakin buruk apabila DAP didakwa lebih cenderung untuk menyokong perjanjian TPP.

"PKR sehingga hari ini masih berdiam meskipun sebelum ini mereka mahu menunggu sehingga dokumen itu didedahkan.

"Amanah pula hanya segelintir pimpinan pemudanya kelihatan membantah, manakala pimpinan utamanya masih tunggu dan lihat," jelasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Setahu saya, DAP tidak tolak TPP']

Mohd Zuhdi berkata lagi, kegagalan tiga parti pembangkang untuk menentukan pendirian mereka dalam isu tersebut mendedahkan kerapuhan Pakatan Harapan.

"Berbanding Pas secara konsisten membantah keras keputusan kerajaan untuk terlibat dengan perundingan perjanjian TPP, apatah lagi menyertainya kelak.

"Pas telah memberi komitmen kuat bersama-sama dengan NGO dan NGI dalam Kongres Rakyat menentang perjanjian TPP," ujarnya.

Dalam pada itu, PPP turut mengunjurkan bahawa Pakatan Harapan tidak dapat mengulangi kejayaan yang dilakukan oleh PR dalam PRU 13.

"Ini disebabkan mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu secara besar-besaran.

"Mereka juga dijangka tidak dapat meraih sokongan pengundi India, disebabkan tiada tokoh-tokoh besar kaum India di dalam Pakatan Harapan hari ini," katanya lagi.


Kenaikan kadar tol secara automatik dimansuh

Posted: 23 Nov 2015 03:20 PM PST

SINAR HARIAN


Tol


KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menambah baik terma-terma perjanjian berkenaan kenaikan kadar tol dengan syarikat konsesi lebuh raya sedia ada, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.

Antara terma yang ditambah baik itu ialah memansuhkan kenaikan kadar tol secara automatik walaupun sudah ditetapkan tempoh masa tertentu bagi kenaikan dalam perjanjian sebelum ini.

"Setiap kali ada permohonan (dari syarikat konsesi) untuk kenaikan tol, kita akan melihat dan kaji balik semua kenyataan syarikat. Adakah mereka mencapai anggaran aliran trafik yang melalui kawasan itu.

"Kalau aliran trafik (di lebuh raya) mencapai seperti yang dianggarkan, maka kita tidak akan benarkan kenaikan tol," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya jika aliran trafik di lebuh raya berkenaan tidak mencapai anggaran sepatutnya, kerajaan mungkin membenarkan kenaikan kadar tol kerana komitmen kewangan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat konsesi.

Fadillah berkata, kadar tol sesuatu lebuh raya ditentukan oleh kos pembinaan dan anggaran aliran trafik, dan kenaikannya dikaji semula setiap tempoh masa tertentu seperti yang termaktub dalam perjanjian.

Beliau berkata, terma lain yang ditambah baik ialah kerajaan boleh menamatkan perjanjian lebih awal dari tarikh yang dipersetujui dalam perjanjian jika syarikat konsesi mencapai keuntungan yang tertentu.  

Menurutnya kerajaan dari semasa ke semasa mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi, pemegang bon dan pembiaya projek lebuh raya mengenai kadar tol.

"Kita kena mengimbangi beberapa perkara seperti kemampuan kerajaan, kepentingan syarikat konsesi dan kepentingan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya menegaskan kerajaan akan perlu menanggung pembiayaan beratus bilion ringgit jika bercadang mengambil alih semua lebuh raya di negara ini, dan langkah itu bukanlah tindakan yang wajar.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama


Ada Orang Kata, PM Tak Malu

Posted: 23 Nov 2015 05:01 AM PST



SAYA tertarik dengan petikan dari pakar hadis Ibnu Hibban yang pembahas "Aku" tempek (tampal) dalam komen dia (10.40) bila bincang tajuk "Cerita Arul Kanda Untuk Yang Percaya".
 
Kata Ibnu Hibban: "Sesungguhnya seseorang apabila bertambah kuat rasa malunya maka ia akan melindungi kehormatannya, mengubur dalam-dalam kejelekannya, dan menyebarkan kebaikan-kebaikannya. Siapa yang hilang rasa malunya, pasti hilang pula kebahagiaannya; siapa yang hilang kebahagiaannya, pasti akan hina dan dibenci oleh manusia; siapa yang dibenci manusia pasti ia akan disakiti; ....Tidak ada obat bagi orang yang tidak memiliki rasa malu; tidak ada rasa malu bagi orang yang tidak memiliki sifat setia; dan tidak ada kesetiaan bagi orang yang tidak memiliki kawan. Siapa yang sedikit rasa malunya, ia akan berbuat sekehendaknya dan berucap apa saja yang disukainya."

Petikan di atas sangat tepat bila kita bincang sikap Perdana Menteri, (Datuk Seri 

Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak.
Ramai pembahas blog ini dan orang yang bersembang dengan saya berkata, Mohd Najib tak ada rasa malu dan bersalah.

Saya rasa tak macam tu. Hanya orang tak siuman, nyanyuk dan terencat akal saja tak ada rasa malu. Manusia berakal pasti ada perasaan malu.

Tapi setelah memerangkap dirinya sendiri dengan 1MDB dan SRC International serta "derma Arab" RM2.6 bilion, dia tak ada pilihan melainkan buat muka tebal dan tunjuk berani.

Kita tak boleh salahkan dia. Kita pun salah juga. Kitalah yang takut-nakutkan dia. 

Ada yang kata sumbat dia dalam penjara.

Sebab itulah saya rela kena kutuk dan kena caci dengan buat cadangan agar kita bagi dia "laluan selamat" (safe passage) untuk berundur tanpa ancaman tangkap, bicara dan penjara.

Mustahil Mohd Najib tak rasa malu

Ada sumber yang rapat dengan orang yang akrab dengan Mohd Najib kata, Perdana Menteri "sedia" menimbangkan cadangan itu tapi ada kuasa yang lebih kuat daripada dia yang nak lawan dan yakin menang.

Masakan Mohd Najib Tak Malu?

Saya yakin dia malu dan takut sebab dia tahu tindakan dia salah.
Kalau dia tak takut, tak malu dan tak ada apa-apa nak disembunyi, pasal apa tarik diri daripada dialog "Nothing2Hide" di PWTC pada 5 Jun lalu?

Malah mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan dibuat di Parlimen esok pun adalah contoh rasa malu dan takut beliau.

Mengapa di Bangunan Parlimen tidak di Menara Tun Hussein? (Tidak sesuai Bangunan Parlimen digunakan untuk kegiatan politik parti. Alasan Parlimen bersidang dan ramai ahli MT adalah Ahli Parlimen remeh.

Mengapa mesyuarat itu dipercepatkan daripada 27 November kepada 24 November?

Adakah kerana hendak ambil  kesempatan daripada ketidakberadaan Timbalan Presiden, (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin, dan Naib Presiden, (Datuk Seri) Shafie Apdal, di dalam negara?

Apakah agenda sulit mereka tak boleh jalan kalau Muhyiddin dan Shafie ada?
Khabar angin kencang mengatakan yang mesyuarat itu akan pecat ahli-ahli yang tentang Mohd Najib, termasuk Tun Dr Mahathir. Saya tak jangka mereka bodoh sangat sampai nak pecat Dr Mahathir. Nak keluarkan surat tunjuk sebab pun rasanya susah. Tapi orang tersepit akan buat apa saja.

Ada sumber kata, mesyuarat itu tak dibuat di Menara Tun Hussein kerana tak mahu libatkan ibu pejabat. Apa pasal macam itu? Saya tak faham.

Atau boleh jadi juga ada bomoh, sami, tukang tilik dan pawang buaya kata jangan dibuat di Menara Tun Hussein sebab ada tanda-tandanya tak baik?

Satu lagi bukti Mohd Najib malu dan takut ialah pemberhentian sidang akhbar. 

Saya bertanya seorang pengarang akhbar Melayu pada 16 November lalu: "Saudara, adakah betul PM tak lagi bagi PC (sidang akhbar) lepas majlis macam dulu? Adakah tanda-tanda dia cuba elak PC?"

Jawabnya: "Both questions betul. Jangan "quote" (petik) saya."

Mengadakan sidang akhbar dan bercakap kepada wartawan selepas sesuatu majlis adalah tradisi semua PM Malaysia.

Jelas Mohd Najib malu dan takut berdepan dengan wartawan kerana takut diaibkan dengan soalan-soalan yang susah nak jawab macam 1MDB, SRC International, "derma Arab" RM2.6 bilion, besan guna nama ugut pekedai di New York, pemecatan Muhyiddin dan Shafie, saman ke atasnya oleh Anina Saaduddin, kegagalan dia memulakan saman ke Wall Street Journal dan banyak lagi soalan-soalan sensasi.

Lagi pun, masakan dia tak malu? Dia bukan anak buluh betung atau anak orang tanpa nama macam kebanyakan kita. Dia anak Tun Abdul Razak dan cucu (Tan Sri) Mohammad Noah Omar aka Noh Beirut. Abdul Razak Perdana Menteri dan Mohammad Noah Speaker pertama Dewan Rakyat.

Masalahnya, sama ada Mohd Najib malu atau tidak, takut atau berani tak bermakna lagi. Dia sudah hilang kewibawaan. Majoriti rakyat jelata dah tak yakin lagi kepada dia. Dunia pula makin skeptikal.

Sebelum skandal 1MDB meletup, dunia luar sudah pun anggap rasuah di negara kita teruk. Sekarang dengan skandal 1MDB yang babitkan Perdana Menteri sendiri, tak hairanlah kalau dunia percaya kita memang korup.

Kajian rasuah Asia-Pasifik 2013 oleh firma audit antarabangsa Ernst & Young mendapati Malaysia sebagai antara negara paling korup bersama China di dunia. 

(Baca di sini) 

Kita Pula Berasa Malu

Katakanlah Mohd Najib tak malu dan tak takut. Tapi kita sebagai rakyat Malaysia yang ada agama dan ada nilai moral berasa malu.

Orang asing sudah mula tanya macam mana negara yang ada agama dan yang pemimpinnya bersumpah atas nama Allah boleh lakukan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan berlaku kejam?

Kita perlu rasa takut kerana akibat perbuatan segelintir pembesar kita, keyakinan terhadap ekonomi kita merudum. Pelabur lari dan nilai duit kita jatuh teruk.

Kehidupan kita makin hari makin sempit kerana segala masalah terbeban di bahu kita.

Apakah pembaca dan pembahas tahu bahawa kerajaan telah umumkan penghapusan subsidi ke atas beras jenis ST15 yang dimakan oleh rakyat miskin? Sekarang ia akan dijual pada harga pasaran. Beras ST15 adalah beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur. Ini bermakna tak ada lagi subsidi RM7.50 sekampit.

Satu demi satu jaring keselamatan yang mengelak rakyat jelata, khususnya golongan miskin, jatuh tersepuk ditarik balik kerana kewangan kerajaan makin hari makin lemah, hutang kerajaan dah sampai ke siling dan ekonomi lempap.

Wallahuaklam.

Isu Yapeim dan Kes Skandal Yapeim. Jamil Khir Saman Akmal NOW

Posted: 23 Nov 2015 04:49 AM PST

BERITA SEMASA


Isu Yapeim dan Kes Skandal Yapeim. Jamil Khir Saman Akmal NOW

isu yapeim


Berita Semasa tertarik dengan salah satu persoalan yang dilontar oleh Syed Munawar, hos rancangan landskap yang disiarkan siaran TV1 RTM, yang bagi Berita Semasa tidak disambut dan dibalas dengan jawapan yang meyakinkan.

Apa kata Syed Munawar dalam rancangan landskap yang membincangkan isu Yapeim dan kes skandal Yapeim yang terus menjadi buah mulut muslim di seluruh Malaysia?
  • Syed Munawar : Persoalan supaya dibentangkan segala perbelanjaan yang telah diaudit dan didedah dan dikongsikan kepada umum
  • DG Yapeim : Tidak perlu katanya. Sebab akaun YAPEIM telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara
  • Bentak Berita Semasa dalam hati : Ermmmm….
  • Kemudian DG Yapeim tanya semula kepada hos : Apakah kita tak percaya pada Audit Negara?
  • Jawapan Syed Munawar : Audit ini untuk mengesahkan dari segi undang-undang tetapi belum tentu dari segi moral
Yang orang ramai mula pertikaikan dan persoalkan kredibiliti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia disebaik isu Yepeim ini apabila melibatkan :

 

Isu Yapeim : Persoalan Orang Yang Potong Gaji Untuk Yapeim?

  1. perbelanjaan yang terlampau tinggi
  2. diberikan peruntukan untuk program dan aktiviti sampingan yang tidak ada kaitan dengan tujuan asal Yapeim
  3. apakah keperluan mendesak Yapeim sehingga perlu "membangunkan program perkahwinan pelajar di Paris" dan dirasmikan oleh menteri?
P/S : Jikalau dipihak Berita Semasa sendiri, ada kemungkinan bertindak menghentikan potongan gaji untuk diberikan kepada Yapeim. Masih banyak lagi saluran yang boleh dilakukan untuk membantu ummah Islam daripada segi ekonomi. Lebih puas apabila nampak dengan mata kepala sendiri bantuan sampai ke tangan si penerima yang "benar-benar memerlukan" untuk tujuan yang benar-benar konkrit

PP/S : Semasa belajar di UK dulu. Dulu…..banyak sangat kelas agama yang diadakan di Malaysia Hall. Ustaz pun ada untuk memberikan nasihat dan panduan mereka kepada adik-adik pelajar semasa berkelana di sana. Setakat kursus kahwin, bila-bila masa sahaja boleh diadakan. Lagipun, di Paris hanya ada 100+ pelajar sahaja. Terdesak sangatkah untuk dibelanjakan setengah juta ringgit Malaysia di Paris?

PKR Turut Tidak Puas Hati Terhadap DAP Selain PAS

Posted: 23 Nov 2015 04:44 AM PST

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Isu lima wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang yang berkecuali dalam proses pengundian usul dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini memperlihatkan parti itu turut tidak berpuas hati terhadap DAP selain PAS, kata Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon.

Beliau berkata, tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terhadap kelima-lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR itu jelas menunjukkan keangkuhannya.

"Nampak sangat keretakan di dalam Pakatan Harapan selepas pergaduhan antara DAP dan PAS. Kini PKR juga menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap DAP.

"Sudah jelas di depan mata bagaimana keangkuhan Guan Eng selepas mendapat sokongan padu di Pulau Pinang menjadikan beliau seorang yang tak boleh terima kritikan atau komen," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Guan Eng pada Sabtu dilaporkan berkata PKR mesti menilai dengan teliti keputusan lima Adun parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian usul dikemukakan pembangkang pada sidang DUN, Jumaat lalu.

Guan Eng berkata berdasarkan pendirian itu, lima wakil rakyat PKR itu disifatkan 'bersama Umno'.

Jumaat lalu, sidang DUN Pulau Pinang menolak usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan supaya semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.

Speaker Datuk Law Choo Kiang menolak usul itu selepas 23 anggota dewan menentang, 10 menyokong dan lima berkecuali.

Usul itu juga disokong anggota DAP Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah).

Lima Adun yang berkecuali ialah Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (PKR-Batu Uban).

PAC Buat Pusingan 'U', Adakan Sidang Media

Posted: 23 Nov 2015 04:41 AM PST

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Isnin membuat pusingan 'U' apabila mengadakan sidang media walaupun sebelum ini memutuskan untuk tidak berbuat demikian selepas mendapat pelbagai kritikan susulan kenyataan "cari makan" oleh pengerusinya.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin berkata, sidang media diadakan berikutan ahli-ahli jawatankuasa itu bertanggungjawab terhadap Parlimen.

"Kami ahli-ahli PAC bertanggungjawab kepada Parlimen dan Parlimen bertanggungjawab kepada rakyat.

"Dan adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai ahli PAC untuk menjelaskan dari semasa ke semasa tentang perkara-perkara yang dibincangkan oleh PAC," katanya pada sidang media berhubung pembentangan Laporan Ketua Audit Negara siri 3/2014 di Parlimen di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa PAC masih mengadakan sidang media walaupun jawatankuasa itu pada Khamis lalu telah mengumumkan ia hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas ini.

Isu kenyataan 'cari makan' timbul pada Rabu lalu semasa Hasan mempengerusikan mesyuarat PAC pertama dan topik yang dibincangkan adalah mengenai kelewatan projek lebuhraya pantai timur II dan kelemahan projek akuakultur yang dikendalikan Pihak berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga penasihat syarikat itu akan dipanggil PAC berkaitan isu 1MDB, Hasan dilaporkan berkata, "Saya pun cari makan".

"Tidak perlu panggil Perdana Menteri. Janganlah, saya pun cari makan," katanya.

Menerusi kenyataannya pada Khamis lalu, Hasan berkata, walaupun beliau meminta wartawan supaya tidak menyiarkan kenyataannya itu, kerana katanya ia sekadar gurauan, tetapi masih ada yang menyiarkannya.

"Sehubungan itu, mulai 23 November (Isnin), PAC tidak akan adakan sebarang sidang media," kata Hasan sambil menambah bahawa sebarang maklumat akan disampaikan menerusi kenyataan rasmi.

Banjir Pahang: 97 Mangsa Di Raub Ke Pusat Pemindahan Banjir

Posted: 23 Nov 2015 04:37 AM PST

MSTAR ONINE
 
 
Gambar fail banjir.
 
 
KUANTAN: Banjir mula melanda Pahang apabila 97 mangsa daripada 28 keluarga dari empat kampung di daerah Raub mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas kediaman mereka dinaiki air sejak pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Pahang Zainal Yusoff berkata seorang wanita warga emas berusia 70-an menjadi mangsa pertama dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Tok Machang pada pukul 7 pagi tadi.

"Dua pusat lagi yang dibuka ialah Dewan Gali Tengah yang dibuka pada 9.50 pagi dengan menempatkan 75 mangsa daripada 20 keluarga manakala 21 orang daripada tujuh keluarga lagi ditempatkan di Masjid Kuala Temau.

"Kesemua mangsa terbabit dipindahkan selepas kediaman mereka di Kampung Padang Manggis, Masjid Gali, Gali Hilir dan Kuala Temau dinaiki air," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Katanya sebuah lagi pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Kampung Ajai juga baru dibuka petang ini, namun jumlah mangsa terlibat yang ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan masih belum diketahui.

Banjir Perak: Mangsa Banjir Di Perak Meningkat Kepada 365 Orang

Posted: 23 Nov 2015 04:36 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Keadaan rumah penduduk yang ditenggelami air di Lorong Mesra Batu 7.
 
 
IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 365 orang daripada 94 keluarga dengan dua lagi pusat pemindahan di buka di Sungai Siput, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madif.

Beliau berkata mangsa banjir terbaru di Sungai Siput membabitkan 18 orang daripada empat keluarga dari Kampung Lasah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah manakala 50 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Tok Sirat, ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat.

"Kampung-kampung tersebut dilanda banjir awal pagi tadi berikutan hujan lebat dan menyebabkan rumah mereka dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 0.5meter," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir di daerah Bagan Serai pula membabitkan Kampung Changkat Lobak, Kampung Matang Tengah dan Air Hitam masih kekal dengan 63 orang daripada 15 keluarga.

Kesemua mereka masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, katanya.

Beliau berkata 51 orang daripada 16 keluarga dari Bukit Merah Batu 38 dan Batu 40 di daerah Bagan Serai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

Di daerah Hilir Perak, Yahya berkata seramai 73 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8 masih berada di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

"Sementara itu, seramai 27 orang daripada enam keluarga membabitkan penduduk di Parit 7, Teluk Intan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara," katanya.

Sementara itu, mangsa tanah runtuh dari Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu di Pantai Remis masih kekal 83 orang daripada 22 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Katanya agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

87.6 peratus tanah wakaf di Selangor tidak diwarta

Posted: 23 Nov 2015 04:28 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY


LKAN mendapati tanah wakaf yang didaftar di bawah MAIS tidak lengkap dan tidak dikemaskini


tanah-wakaf


SHAH ALAM: Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 mendapati pengurusan hartanah wakaf di Selangor adalah kurang memuaskan dengan 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang didaftarkan sebagai hak milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak diwartakan.

Laporan itu menyebut, pengauditan yang dijalankan antara April hingga Julai 2015 mendapati, tanah wakaf di negeri itu tidak dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti selain terdapat kes pencerobohan.

Ketua Audit Negara turut mendapati, daftar hartanah wakaf di Selangor tidak lengkap dan tidak dikemaskini di samping kelewatan dalam melaksana serta menyelesaikan istibdal.

"Sebanyak 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS," kata laporan audit itu.
Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal wakaf di Selangor supaya melengkapkan data hartanah wakaf serta menyelesaikan peletakan hak sebagai hak milik MAIS dan seterusnya mewartakan hartanah wakaf setiap tahun.

PWS juga disyorkan mengadakan perancangan yang spesifik dan menyeluruh bagi memastikan hartanah wakaf dibangun serta dimanfaatkan sejajar dengan niat pewakaf selain memantapkan pemantauan terhadap keseluruhan hartanah wakaf.

Mengikut maklum balas yang diterima daripada PWS, hartanah wakaf lewat didaftarkan hak milik atas nama MAIS kerana kelulusan permohonan pindah hak milik di Pejabat Daerah dan Tanah, pelepasan hak sekatan di Pihak Berkuasa Negeri dan pengecualian duti setem di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengambil masa untuk diselesaikan.

Sementara itu, laporan audit yang dijalankan ke atas PNSB Development Sdn Bhd (PDSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mendapati, secara keseluruhan, prestasi kewangan PDSB bagi tahun 2012 hingga 2014 adalah tidak memuaskan dan perlu dimantapkan.

Ia menyebut hasil laporan audit yang dijalankan Mei hingga Julai 2015 mendapati, kerugian sebelum cukai PDSB meningkat secara mendadak pada tahun 2014 iaitu sejumlah RM19.94 juta (621.2 peratus) berbanding tahun 2013 selain mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM10.74 juta pada tahun 2014.

"Mengikut penyata kewangan beraudit PDSB bagi tahun berakhir 2014, syarikat ini mencatatkan liabiliti semasa melebihi aset semasa dengan sejumlah RM62.64 juta dan juruaudit bertauliah telah menyuarakan kewujudan ketidakpastian yang ketara terhadap keupayaan syarikat ini untuk beroperasi secara berterusan," kata laporan itu.

Justeru, PDSB disyorkan menambah baik prestasi pelaksanaan aktiviti pembangunan hartanah dengan memastikan projek diuruskan dengan lebih cekap serta memberi pulangan dalam tempoh ditetapkan bagi menjamin keupayaan kewangannya.

PDSB juga diseru mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan tadbir urus korporat syarikat bagi memastikan kecemerlangan operasi syarikat selain, dapat menambah baik prestasi kewangan dan memberi pulangan yang berterusan kepada PNSB serta Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Laporan audit bagaimanapun menyebut, hasil audit yang dilaksanakan antara Mac hingga Julai 2015 mendapati, pelaksanaan perolehan di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah memuaskan daripada segi proses pemilihan dan lantikan kontraktor serta pembekal.

Persidangan UMNO akan dibuat secara tertutup -Tun M

Posted: 23 Nov 2015 04:25 AM PST

 
Dr Mahathir mendakwa perwakilan telah diberi amaran supaya tidak menghebohkan perkara berkenaan


Tun M


PETALING JAYA : Perwakilan Mesyuarat Agung UMNO pada bulan hadapan dikatakan dilarang daripada membahaskan perkara-perkara tertentu khususnya yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam dakwaannya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, persidangan parti itu juga akan dibuat secara tertutup kepada orang ramai di mana tidak semua dari ucapan perwakilan akan disiarkan.

"Hanya ucapan Presiden sahaja akan disiar. Sepatutnya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden akan membuka persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Amaran sudah diberi supaya ahli UMNO tidak akan bercakap berkenaan perkara ini. Apakah jenis Mesyuarat Agung UMNO ini," soalnya dalam entri terbarunya di blog chedet.cc.

Kata Dr Mahathir lagi, usaha gigih juga sedang dijalankan untuk menyekatnya daripada berjumpa dengan ahli UMNO serta orang ramai.

"Dewan di mana mesyuarat boleh diadakan yang dihadiri oleh saya tidak boleh didapati kerana semua pemilik takut didera oleh kerajaan.

"Ada iklim ketakutan yang menghalang segala kegiatan yang bersangkutan dengan mengkritik kerajaan. Ia seolah-olah menjadi jenayah yang tidak tertulis.

"Tetapi dakwaan dibuat kononnya ini negara demokrasi. Sesiapa yang cuba sabotaj demokrasi Malaysia boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun. Tetapi sebenarnya yang mensabotaj demokrasi Malaysia ialah kerajaan sendiri," tegasnya.

Menurutnya, pelbagai jenis tekanan telah digunakan secara tidak demokratik terhadap mereka yang mengkritik parti dan kerajaan.

"Ada yang disoal siasat oleh polis. Ada yang dimasuk dalam tahanan tanpa berasas kepada undang-undang. Ada yang diugut akan kehilangan kontrak dan lain-lain.

"Kata pepatah berani kerana benar; takut kerana salah. Apakah kerana salah yang takut sangat 1MDB dan RM2.6 bilion dibincang," sindirnya.

MT UMNO: Tolak 1, tolak 7 atau tolak ansur?

Posted: 23 Nov 2015 04:14 AM PST

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
MT UMNO: Tolak 1, tolak 7 atau tolak ansur?
MT UMNO: Tolak 1, tolak 7 atau tolak ansur? - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: DEBARAN keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO terakhir sebelum Perhimpunan Agung UMNO Disember depan tidak akan berhenti selagi ia belum selesai sekaligus menjawab persoalan apakah ada tokoh dalam parti yang akan diambil tindakan selepas didapati mengeluarkan kenyataan yang tidak patut 'dibuat di khayalak' akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menolak spekulasi ada pemecatan atau penggantungan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini boleh dikira memberi kelegaan kepada ahli parti sendiri.

Natijahnya, pasti ada perkara negatif, pergolakan dan sentimen menentang dari ahli dan penyokong pemimpin berkenaan seandainya ada penggantungan atau pemecatan kepada dua tokoh parti paling lama untuk orang Melayu ini.

BACA: Tengku Adnan tolak spekulasi motif mesyuarat MT UMNO diawalkan

Tentu sekali situasi akan mula ribut di Johor seandainya pemimpin kesayangan ahli parti negeri itu digantung atau dipecat kerana tindakan lantangnya bercakap terutama mengenai isu 1MDB serta derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di dalam propaganda, kelantangan Muhyiddin ini boleh diumpamakan seperti strategi perang saraf di bawah teknik 'pembesar suara' yang bermatlamat mencari pengaruh atau memujuk individu lain dengan penyampaian maklumat menggunakan medium berskala besar seperti media atau berucap di dalam himpunan masyarakat.

Pengulangan isu 1MDB oleh Muhyiddin di dalam kebanyakan ucapannya boleh diumpamakan seperti istilah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Darussalam Abu Bakar yang mengumpamakan propaganda sebagai sebahagian daripada proses komunikasi yang disampaikan secara berulang-ulang kepada sesuatu pihak dengan harapan menarik perhatian kelompok atau orang yang disasarkan.

Jelas Dr Darussalam lagi, ia juga seerti dengan proses pemujukan namun tetap memerlukan bantuan media sebagai alat penyebaran.

Bagaimanapun Dr Darussalam dilaporkan menganggap Muhyiddin sebagai pemimpin yang tidak dialu-alukan dalam pentadbiran Najib kerana sikapnya yang vokal dan mengkritik selari bukanlah budaya UMNO selama ini.

Isunya kembali kepada kenyataan yang mengatakan tidak ada yang akan tersingkir pada mesyuarat MT terakhir sebelum Perhimpunan Agung UMNO Disember nanti.

BACA: Kertas siasatan 7 'anai-anai UMNO' siap - Ku Nan

Bagaimana mungkin tidak ada satu atau tujuh 'anai-anai' UMNO akan 'terbuang' selepas Ku Nan sendiri mengakui kertas siasatan berhubung beberapa pemimpin sudah siap?

Apakah Lembaga Disiplin UMNO masih belum menyelesaikan siasatan dan rujukan laporan yang harus diserah kepada MT untuk keputusan akhir?

BACA: 'Tekan 1 jika anda sokong Muhyiddin...'

Jika tidak ada penyingkiran, benarkah Muhyiddin akan diberi peluang untuk merasmikan sayap-sayap parti dan meneruskan serangannya dalam isu 1MDB di hadapan wakil Wanita, Pemuda atau Puteri UMNO dengan lebih lantang lagi?

BACA: 'Muhyiddin bebas lakukan apa sahaja yang dia suka' - Tengku Razaleigh

Jika semuanya benar, maka Perhimpunan Agung UMNO tahun ini boleh diandaikan paling meriah dalam sejarah walaupun tanpa pemilihan parti yang ditangguhkan selama 18 bulan selepas dijadual diadakan tahun hadapan.

Bagaimana tidak, Muhyiddin yang digugurkan daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri atas alasan kepentingan negara selain mengambil kira pertimbangan politik semasa tetap diberikan peluang untuk berucap di hadapan perwakilan sayap UMNO pada Disember nanti, ajaib bukan?

BACA: "Akar umbi kenal siapa penyamun, siapa pemimpin" - Syed Ali

Selain Muhyiddin dan Shafie, nama-nama lain yang hangat dilabel sebagai anai-anai dalam UMNO adalah Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos.

Dalam pada itu, pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berpendapat, keputusan untuk mengekalkan Muhyiddin membuktikan sikap tolak ansur UMNO sendiri kepada pemimpin mereka.

Katanya, tidak ada salahnya Muhyiddin dalam lantang berkata-kata selain mahu ahli parti menghargai sikap kritikalnya dalam mengambil berat terhadap isu semasa dan usahanya yang mahu melihat UMNO itu sendiri bersih.
Dr. Zainal turut berpendapat Muhyiddin tidak pernah menentang UMNO dan mahu persepsi ahli serta pimpinan lain tidak risau kepadanya untuk terus berucap semasa perasmian sayap pada Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Dengan penuh yakin Dr. Zainal menambah, Muhyiddin tidak akan melakukan perkara negatif yang akan memalukan parti secara keseluruhannya.

Pada masa ini ada benarnya disemak semula kenyataan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang menegaskan bahawa sebarang usaha menyingkir atau menggugurkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO adalah perbuatan yang tidak mengikut Perlembagaan parti.

Jelas Mustapha, mengikut Fasal 9.12 Perlembagaan UMNO jelas menyatakan: jawatan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dilucutkan atau Majlis Tertinggi dibubarkan oleh Perhimpunan Agung Khas dengan undian tidak kurang daripada 2/3 daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir.

BACA: Jangan tangguh pemilihan UMNO 2016, kata Muhyiddin

Jika semuanya berjalan lancar, impian Muhyiddin supaya UMNO tidak menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum seperti yang dilakukan sebelum ini sebaliknya menjalankan pemilihan tersebut mengikut masa yang ditetapkan oleh perlembagaan parti menjadi mungkin menjadi kenyataan.

Sekurang-kurangnya, harapan Muhyiddin agar Perlembagaan UMNO dipinda untuk membolehkan barisan pelapis muda memainkan peranan dan memberi khidmat lebih besar kepada parti itu bukan lagi impian semata-mata. 
 
 

Lebih ramai calon wanita akan bertanding wakili PKR pada PRU14 - Zuraida

Posted: 23 Nov 2015 04:07 AM PST

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Lebih ramai calon wanita akan bertanding merebut kerusi Parlimen dan DUN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mewakili PKR, demikian kata ketua sayap itu Zuraida Kamaruddin.
 
Selain itu beliau juga menegaskan sayap itu juga akan memastikan kerusi yang ditandingi calonnya pada pilihan raya umum lalu dikekalkan.  
 
"Ya, insya-Allah akan bertambah dan kita sudah meminta serta memastikan bahawa kerusi yang ditandingi wanita pilihan raya umum yang lepas tetap dikekalkan sebagai kerusi wanita.
 
"Kita juga akan ada tambahan kerusi untuk wanita, kali ini kita dapat mencungkil beberapa calon muda untuk ke depan dan bertanding dalam PRU14," katanya kepada Antarapos.
 
Untuk rekod, medan perjuangan politik kini menjadi pilihan kepada golongan wanita selepas seramai 168 orang atau lapan peratus daripada keseluruhan 1,900 calon yang bertanding sama ada mewakili Barisan Nasional (BN), pembangkang mahupun Bebas di seluruh negara pada PRU13 lalu.
 
Daripada jumlah itu, sebanyak 56 wanita bertanding di kerusi Parlimen manakala 112 calon di kerusi DUN.
 
Selain BN yang menampilkan sebanyak 22 calon wanita di Parlimen dan 49 di DUN, pembangkang turut tidak ketinggalan mengetengahkan golongan wanita mewakili parti mereka.
 
PAS misalnya, menampilkan sebanyak 25 calon wanita, PKR sebanyak 30 calon, DAP (22 calon) manakala selebihnya mewakili pelbagai parti politik lain.
 
Mahu tampil calon dari pelbagai latarbelakang dan umur
 
Mengulas kriteria calon, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata individu itu perlu seorang yang berkaliber selain memahami dan menjiwai dasar perjuangan parti.
 
"Memandangkan dalam keadaan sekarang ini masanya memerlukan mereka yang berkelayakan, berkaliber tidak kira daripada akar umbi ataupun luar.
 
"Tapi haruslah mempunyai sekurang-kurangnya penerapan atau penjiwaan dari segi gerak kerja parti dan matlamat perjuangan parti," katanya.
 
Beliau menambah PKR bakal mewarnai pentas PRU14 dengan menampilkan calon-calon muda yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang.
 
"Yang keduanya semestinya calon-calon itu dari segi kelayakan akademiknya berbeza-beza dan kali ini ada peguam.
 
"Ada anak-anak muda yang baru tamat pengajian tinggi yang dah memang bersama dengan PKR dan kali ini sudah bersedia ke depan untuk menjadi calon," katanya.
 
**Wanita PKR mahu calon mampu depani arus politik negara**
 
Ujar wakil rakyat penggal kedua ini, selain calon muda pihaknya turut akan mengetengahkan ahli-ahli yang sudah lama dengan parti selain mempunyai keupayaan mendepani arus politik tanah air.
 
"Tapi bagi mereka yang kurang kelayakan dari segi pendidikan seperti tiada ijazah namun mereka adalah penggerak akar umbi. 
 
"Maka atas dasar itu pun dengan pengalaman mereka, mengikut isu semasa dan mereka mampu membawa isu-isu ini di DUN atau Dewan Rakyat sekiranya mereka menang," katanya.
 
Justeru Zuraida berkata pihaknya masih dalam proses pencarian calon dan sesiapa sahaja boleh dipilih mewakili PKR pada PRU14 nanti. 
 
"Tidak bukan pendidikan sahaja, memang kita perlu itu juga terutama sekali di kalangan anak muda tapi di kalangan mereka yang sudah lama dengan parti atau yang sudah veteran kita mengambil kira bukan sahaja kelayakan.
 
"Bermakna kelayakan menjadi perkara kedua tapi perjuangan mereka dalam parti, mereka lebih menjiwai, faham, mereka mengikut peredaran politik semasa dan mereka faham pergolakan yang berlaku.
 
"Itu boleh melayakkan mereka menjadi calon," katanya.
 
Untuk rekod, Pada pilihan raya umum 2008, seramai 120 calon wanita bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dun terdiri daripada 61 (BN), 18 (DAP), 24 (PKR), 13 (PAs), 3 (Bebas) dan seorang (Bersekutu).
 
 

Berintergritikah Amanah bila tawarkan diri ganti wakil PAS di P. Pinang - Azman Shapawi

Posted: 23 Nov 2015 04:02 AM PST

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PAS mempersoalkan kesediaan Parti Amanah Negara (Amanah) menawarkan diri bagi mengisi kekosongan jawatan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mewakili PAS yang dipecat di Pulau Pinang.
 
Selain itu, Pengerusi Lajnah Dakwah PAs Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani juga menganggap parti baru diterajui bekas pimpinan PAS masih belum diuji serta tiada jasa dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
 
"Kalau dia betul-betul berintergriti dia tidak menawarkan diri malah dia sepatutnya merasakan bangga dengan kawan-kawan mereka yang berjuang penuh istiqamah dengan PAS ini meneruskan khidmat di Pulau Pinang.
 
"Sepatutnya dia tidak menawarkan diri sebab jasa Amanah itu tidak ada lagi di Pulau Pinang, biarlah orang yang ada jasa buat kerja," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau diminta mengulas kenyataan pemimpin Amanah yang bersedia menggantikan ahli JKKK yang dipecat baru-baru ini kerana enggan menyokong Pakatan Harapan di negeri itu.
 
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata parti itu sudah pun memiliki calon yang dipilih oleh Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa bagi menyertai kekosongan dalam kerajaan negeri itu. 
 
Ujar Azman Shapawi lagi, langkah menawarkan diri oleh Amanah itu dilihat tidak bijak meskipun berada dalam pakatan yang serupa dengan DAP.
 
"Sebab walaupun mereka ini asalnya orang PAS, itu peribadi...sekarang ini atas nama parti, kita berjuang dalam pilihan raya atas nama parti bukan peribadi.
 
"Jadi sepatutnya Amanah tidak boleh menawarkan diri begitu sahaja kepada kerajaan Pulau Pinang semata-mata untuk dia ganti tempat PAS," katanya.
 
Beliau menambah kejayaan pentadbiran DAP itu dalam pilihan raya umum yang lalu hasil kerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat bukan Amanah yang baru ditubuhkan.
 
"Tidak patut begitu sebab kejayaan itu di bawah PAS bukan bersama dengan Amanah," katanya.
 
 

PAS ada sebab tidak sokong usul undi tidak percaya - Zuhdi Marzuki

Posted: 23 Nov 2015 03:58 AM PST

 Oleh Sharifah Azmawatie Syed Abd Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mempunyai sebab mengapa enggan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
 
Ujarnya, jikapun undi tidak percaya itu berjaya menggulingkan Najib ia tidak bermaksud kerajaan baru akan dibentuk.
 
Besar kemungkinan perdana menteri baru akan dilantik, tetapi Umno Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah negara.  
 
"Kalau buat undi tidak percaya apa yang akan berlaku? Apakah dengan bubar Parlimen? Ada perdana menteri baru? Atau pun akan ada pentadbiran sementara dan sebagainya.
 
"Kalau tiada penjelasan tentang itu, kita akan mencipta masalah baru yang akan lebih menyebabkan ketidakstabilan, bukan bermakna kita sokong Datuk Seri Najib, tidak.
 
"Tetapi dalam keadaan sekarang, kita perlu berfikir, kalau hendak menyelesaikan masalah, apakah tindakan itu betul-betul akan menyelesaikan masalah? Atau pun penyelesaian itu akan mencetus masalah baru?," katanya ketika ditemubual secara ekslusif Antarapos, baru-baru ini.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengutarakan pandangan yang sama bahawa undi tidak percaya tidak menjanjikan pembangkang akan membentuk kerajaan di Putrajaya.
 
Hadi juga berkata PAS lebih berminat untuk menukar kerajaan dengan cara yang lebih berkesan  dan tidak mendatangkan huru hara iaitu melalui pilihan raya. 
 
Zuhdi dalam pada itu turut menjelaskan rasional mengapa PAS tidak menyokong usul untuk menolak bajet 2016 sepertimana dibuat PKR, DAP dan Amanah, minggu lalu.
 
"Kalau kita tolak bajet, apa yang akan berlaku? Bajet tidak diluluskan, gaji penjawat awam pada 1 Januari siapa yang hendak bayar? Peruntukan-peruntukan untuk kontraktor siapa yang hendak bayar?
 
"Dia akan menyebabkan negara berlaku lebih banyak masalah, jadi bukan itu cara hendak menyatukan kerajaan, jatuhkan kerajaan dengan cara ini akan menyebabkan masalah lebih besar," tegasnya. 
 
Justeru, wakil rakyat PAS perlu bertindak lebih rasional dan tidak mengutamakan kepentingan politik parti semata-mata melebihi kepentingan negara.
 
"Itu yang PAS mahu lihat perkara ini menjadi ahli-ahli politik yang bersifat negarawan memandang kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti-parti politik," katanya.
 
Bajet 2016 yang dibentangkan Najib diluluskan dengan 128 ahli Parlimen menyokong sementara 74 menentang, sekaligus menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan undi tidak percaya ke atas perdana menteri.
 
Ketika udian dibuat ahli Parlimen PAS mengambil sikap berkecuali, kecuali tiga ahlinya.
 
Tiga ahli Parlimen itu Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena), Ahmad Baihaki Atiqullah (Ahli Parlimen Kubang Kerian) dan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Ahli Parlimen Pasir Puteh).
 
 

Guan Eng angkuh, dakwa Pemuda MCA

Posted: 23 Nov 2015 03:54 AM PST

 Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terbukti seorang yang angkuh dan tidak boleh menerima kritikan, dakwa Ketua Pemuda MCA, Ching Sin Woon.
 
Ching berkata demikian merujuk kontroversi terbaru melibatkan Lim yang secara semberono menuduh lima ADUN PKR Pulau Pinang 'bersama' Umno Barisan Nasional (BN) hanya kerana bersikap berkecuali dalam isu projek tambak laut di negeri itu.
 
"Sudah jelas di depan mata bagaimana keangkuhan Guan Eng selepas mendapat sokongan padu di Pulau Pinang menjadikan beliau seorang yang tak boleh terima kritikan atau komen," katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Rakyat, pagi tadi.
 
Lim minggu lalu menuduh lima ADUN PKR menyokong Umno BN apabila bersikap berkecuali selepas ADUN Betong, Muhammad Farid Saad meminta projek tambak laut itu dibatalkan kerana ia akan menjejaskan habitat hidupan laut selain memberi kesan tidak ekonomik kepada nelayan. 
 
Projek untuk tujuan pembangunan itu dilaporkan melibatkan tanah seluas 2,600 hektar.
 
Lima ADUN itu adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), T Jayabalan (Batu Uban) dan  Lee Khai Loon (Machang Bubuk).
 
PKR sehingga hari ini tidak menjelaskan apakah alasan lima ADUN berkenaan bersikap berkecuali dalam isu itu.
 
Pemuda PKR George Town bagaimanapun 'menghantar mesej' kepada Lim berhubung kekesalan mereka terhadap tuduhan Setiausaha Agung DAP itu.
 
Ujar mereka Lim tidak sepatutnya dengan mudah melabel ADUN PKR di negeri itu yang selama ini menyokong pemerintahannya, sejak 2008.
 
Ketidakbersamaan PKR dalam isu projek tambak laut bukan kayu ukur kepada kesetiaan PKR terhadap DAP di Pulau Pinang, tegas Pemuda PKR itu lagi.
 
Mengulas lanjut, Ching juga menyifatkan DAP yang dipimpin Lim kini mahu menguasai PKR selepas berjaya menyingkirkan PAS dalam pakatan pembangkang.
 
"Keangkuhan beliau menunjukkan prinsip dalam politik itu sama, kuasa yang beliau ada memusnahkan segalanya. Itu yang saya nampak pada Guan Eng
 
"Nampak sangat keretakan di dalam Pakatan Harapan selepas pergaduhan antara DAP dan PAS. Kini PKR juga menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap DAP," ujarnya.
 
DAP sebelum ini bertindak memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Presiden PAS itu bertegas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
 
DAP juga mengumumkan Pakatan Rakyat sudah terkubur biarpun PAS dan PKR masih menjalinkan hubungan utuh dalam pakatan itu

PAS Selangor ikrar tidak akan beri laluan mudah untuk DAP

Posted: 23 Nov 2015 03:51 AM PST

 Oleh Sharifah Azmawatie Syed Abd Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM:  PAS Selangor berikrar tidak akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan (PH) diiktiraf di negeri itu.
 
Amaran itu ditegaskan Setiasauaha PAS Selangor, Mohd. Khairuddin Othman selepas bekas Ketua Dapsy Kebangsaan, Teo Kok Seong membidas negeri itu kerana sehingga kini tidak mengiktiraf penubuhan PH sepertimana negeri-negeri lain.
 
"Pendirian kita (PAS) jelas yang kita tidak akan keluar daripada Selangor.
 
"Apa pun dia (DAP) cuba buat dan kata, kita akan kekal sebagai kerajaan dalam Selangor, itu pendirian kita," kata Khairuddin ketika dihubungi Antarapos.
 
Khairuddin dalam pada itu berkata, DAP sewajarnya tidak mencampuri segala urusan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
 
Tindakan DAP itu katanya hanya mahu mengeruhkan lagi keadaan selain dilihat mahu mengamalkan budaya 'memaksa'.
 
"Saya sudah sebutkan budaya yang timbul sekarang ini ialah budaya paksa supaya orang perlu terima pandangan dia (DAP), budaya paksa.
 
"Jadi kalau Pulau Pinang sudah menjadi negeri Pakatan Harapan, Selangor ini kita serahkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) untuk tentukan.
 
"Jadi kalau Dapsy tidak bersetuju dengan Pakatan Rakyat sekarang ini, jadi dia boleh fikir-fikirkan balik kedudukan dia," katanya lagi.
 
Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki pula berpendapat tindakan DAP yang berterusan mendesak agar PH diiktiraf di Selangor mungkin kerana mahu rakan komponennya, Parti Amanah Negara (Amanah) diterima rakyat.
 
Pengiktirafan Amanah itu penting sebagai persediaan untuk PH mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
 
Jika peranan Amanah tidak diiktiraf, parti serpihan PAS itu akan terkubur begitu sahaja, dakwa Zuhdi.
 
"Saya nampak ianya ada kaitan juga dengan nasib Parti Amanah Negara (Amanah). Amanah ini walaupun dia menyokong kerajaan negeri Selangor, tetapi dia tidak dapat apa-apa portfolio dalam kerajaan negeri.
 
"Jadi mereka ini melalui DAP dan Amanah ini, mereka mendesak supaya Menteri Besar sekarang memberikan ruang kepada Amanah untuk berperanan dalam kerajaan.
 
"Apabila menghadapi PRU14, keadaan mereka jika mereka mempunyai kedudukan dalam kerajaan, maka kedudukan mereka akan lebih kuatlah, itu andaian saya.
 
"Kalau dia jadi kerajaan (Pakatan Harapan) di Selangor, jadi dia (Amanah) dilihat berpotensi untuk menang dan sebagainyalah," ujarnya lagi.
 
Buat masa ini Selangor masih digerakkan oleh Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.
 
Namun PAS menegaskan parti itu hanya bekerjasama dengan PKR, begitu juga dengan DAP (hanya bekerjasama dengan PKR).
 
Hubungan PAS dan DAP tamat sebaik sahaja Setiausaha Agung DAP mengumumkan putus hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
 

Tiada ulasan: