Khamis, 12 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Vape meletup dibibir

Posted: 11 Nov 2015 03:45 PM PST

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
GOPENG: Seorang pengguna vape di sini terpaksa menerima enam jahitan di bibir selepas alat itu meletup ketika hendak disedut, Khamis lalu. 
 
Berikutan kejadian itu, peniaga, Salleh Awang Hat, 33, serik untuk terus menggunakan vape. 
 
"Saya dan saudara terdekat sudah tidak lagi menghisap vape selepas kejadian vape meletup hingga terpaksa menerima enam jahitan, " kata Salleh atau lebih dikenali sebagai Lan ketika ditemui di sini, petang semalam. 
 
Insiden letupan vape membabitkan Lan itu viral di laman sosial malah mengundang pelbagai kritikan.
 
Sehubungan itu, Lan minta supaya orang ramai tidak membuat andaian sendiri mengenai kejadian yang menimpanya dan menasihatkan pengguna vape supaya lebih berhati-hati meneliti komponen vape sebelum menggunakannya. 
 
Lan berkata, dalam kejadian itu kira-kira jam 9 malam Khamis lalu, dia menghidupkan vape untuk disedut, tetapi ia meletup sebelum sampai ke bibir. 
 
"Vape itu meletup dan hujung vape (bahagian penyedut) itu tercabut ibarat peluru ditembak tetapi mujur tidak kena pada muka. Hanya belerang yang meletup dan terbakar di muka dan bibir saya. 
 
"Nasib saya baik kerana belum sempat menyedutnya kalau tak ibarat meletak pistol ke dalam mulut. Saya juga bersyukur kerana tidak buta," katanya. 
 
Katanya, insiden itu terjadi selepas sehari menimang cahaya mata pertama dan bersyukur kerana vape itu meletup sebelum dia menyedutnya. 
 
Lan berkata, dia tidak membuat sebarang ubahsuai pada vape dan alat itu bukan dibeli dengan harga murah yang menyebabkannya meletup. 
 
"Saya sudah lama memakai vape itu memang tiada masalah sebelum ini. Saya sendiri tidak tahu apa punca sebenar ia meletup tapi saya difahamkan ia mungkin berpunca daripada bateri. 
 
"Saya harap komen di laman sosial tidak membuat andaian sendiri dan mengaibkan saya kerana ia memaparkan gambar saya yang turut dikenali oleh saudara dan rakan. Saya harap orang ramai faham dengan situasi saya," katanya. 
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan kejadian itu. 


300 penduduk di Baling dipindahkan akibat banjir

Posted: 11 Nov 2015 03:42 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
BALING: Kira-kira 300 penduduk membabitkan 70 keluarga di sekitar daerah ini dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara berikutan banjir yang melanda sejak lewat petang semalam. 
 
Antara kampung terbabit ialah Carok Bendang, Tanjung Pari, Batu 60, Bukit Sebelah, Weng Dalam , Weng Luar, Banggol Derom, Kampung Siput, Lahar, Seri Ketengga, Haji Abas, Kampung Baru dan Kampung Lalang. 
 
Banjir kedua yang melanda kawasan terbabit dalam tempoh seminggu itu berlaku selepas paras air di Sungai Ketil meningkat mendadak mulai jam 6 petang, susulan hujan lebat selama dua jam. 
 
Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling berkata sehingga kini sembilan pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Surau Weng, Surau Kampung Baru, Dewan Risda Kampung Tanjung Pari, Surau Kampung Seri Ketengga, Dewan Banggol Derom, Dewan UMNO Batu 60, Rumah Mesra Rakyat Kampung Siput, Surau Kampung Lahar dan Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Lalang. 
 
Pasukan penyelamat membabitkan pelbagai agensi turut digerakkan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahana Awam Malaysia (JPAM), RELA, polis dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat untuk membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan bot.
 

Malaysia perketat saringan di pintu masuk, keluar negara - Zahid

Posted: 11 Nov 2015 03:41 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
LONDON: Sistem saringan di pintu masuk negara akan diperketatkan mengikut piawaian antarabangsa bagi membendung jenayah rentas sempadan, termasuk yang membabitkan individu dalam senarai syak dan dikehendaki. 
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu merangkumi saringan senarai nama mereka yang merentas sempadan atau memboloskan diri menggunakan nama yang berbeza dengan sistem biometrik; saringan mereka yang dalam senarai syak dan saringan senarai yang dikehendaki oleh Interpol atau agensi penguatkuasaan lain. 
 
Beliau berkata, pelaksanaan itu bukan sahaja perlu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen, malah semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan, membabitkan pintu masuk udara, laut dan darat. 
 
"Ini yang kita pelajari daripada Pusat Sasaran Sempadan Nasional (NBTC) United Kingdom (UK). Mereka menggunakan kaedah pemantauan dan analisis data 'Advance Passenger Information' (API) dan 'Passenger Name Record' (PNR) bagi menyaring kemasukan penumpang udara ke UK, merangkumi semua perjalanan antarabangsa, termasuk dalam kalangan negara Eropah. 
 
"Sehingga kini, 427 juta data API dan 55 juta data PNR telah diproses untuk penumpang udara yang masuk dan keluar dari negara itu. 
 
"Saringan menggunakan data API dan PNR ini juga dapat mencegah dan membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan di pintu masuk dan keluar negara," katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan perbincangan dengan pihak NBTC, di sini, sebentar tadi.
 
 

Kes saman fitnah Anwar terhadap Nallakaruppan ditangguh esok

Posted: 11 Nov 2015 03:37 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Datuk Seri S Nallakaruppan ditangguhkan kepada esok. 
 
Saman itu berhubung dakwaan bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian. 
 
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menangguhkan kes itu selepas mahkamah diberitahu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Nallakaruppan bercuti sakit. 
 
Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Nallakaruppan yang juga Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) pada 25 Ogos 2008. 
 
Anwar selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya berkata, defendan pada 23 Ogos tahun sama, mengeluarkan kenyataan yang membawa kepada penerbitan artikel dalam akhbar Mingguan Malaysia bertajuk `Didakwa terima RM60 juta' dan akhbar Sinar Harian bertajuk `Anwar terima RM60 juta.'
 
 

Ingat mudah kalahkan PAS di Kelantan - Ahmad Yaakob

Posted: 11 Nov 2015 03:36 PM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob menyifatkan hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri PAS itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang umpama 'bermimpi di siang hari'. 
 
Beliau yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas kematian bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata seeloknya parti itu 'mengukur baju di badan sendiri' sebelum membuat kenyataan sedemikian.
 
"Ia begini sebagai mana-mana parti politik apabila ia sudah rasmi sebagai parti politik ia mahu mengecapi kemenangan, mana-mana parti pun.
 
"Tapi kenyataannya bagi Kelantan ini saya yakin rakyat amat matang dalam berpolitik, dia akan lihat ke arah mana hala tuju dan apa motifnya," katanya kepada Antarapos.
 
Menurut Ahmad, pihaknya yakin rakyat mempunyai kematangan dalam membuat penilaian di mana Amanah dilihat masih baru sebagai parti politik yang dibentuk selepas muktamar tahunan PAS yang dianggotai bekas-bekas pemimpin parti Islam itu yang kecewa. 
 
"Kalaulah dia (Amanah) nak perjuangkan Islam sebagai mana tuntutan daripada dakwah, saya rasa PASlah yang sepatutnya berjuang pada hari ini.
 
"Kalau berasaskan kepada isu semasa saya rasa PKR telah pun perjuangkan isu semasa dan ini menjadi perhatian rakyat Kelantan walaupun kita tahu di Kelantan ini realitinya politik terbuka di mana rakyat akan lihat apa matlamatnya dan tujuan," katanya.
 
Beliau mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menyebut parti itu bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada PRU14.
 
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Nik Aziz.
 
"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima Amanah). Kalau sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu (untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di Pasir Mas kelmarin.
 
Mat Sabu berkata pada masa ini, Amanah akan memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan PKR.
 
Bukan mudah untuk Amanah ambil alih pentadbiran PAS di Kelantan
 
Mengulas lanjut Timbalan Mursyidul Am PAS ini, percubaan Amanah yang menampilkan imej Islam adalah sebuah pendekatan yang telah digerakkan parti berteraskan Islam itu menambah rakyat Kelantan tidak akan terpengaruh dengan gerakan parti baru itu.
 
"Nak mengambil alih itu saya rasa bukan semudah kita nak pisahkan sesuatu barang ke satu tempat lain.
 
"Di mana orang Kelantan ini sudah ada latarbelakangnya mereka matang dalam berpolitik dan politik itu mesti politik yang ke arah politik Islam, yang dilihat amalkan Islam dan yang dilihat apakah masa depan Islam," katanya.
 
Menurut Ahmad lagi, PAS Kelantan bersedia berhadapan dengan apa jua kemungkinan pada PRU14 nanti dan berkeyakinan corak pentadbiran Islam yang diamalkan akan terus disokong serta didokong rakyat khususnya pengundi di negeri berkenaan.
 
"Jadi saya rasa tidak semudah yang disebut saudara Mat Sabu, tidak semudah itu tetapi dia boleh sebutlah sebagai sebuah parti politik baru untuk menjadi pendekatan dia.
 
"Bagi saya bukan satu perkara mudahlah sebab saya yakin dengan dasar membangun bersama Islam yang telah kita buat selama ini sebagai pendekatan kita dan rakyat melihat serta merasa.
 
"Amanah ini sebagai sebuah parti baru yang mana rakyat Kelantan memang akan lihat ke mana nak pergi, apa tujuannya, pada dasarnya dan sebagainya," katanya.
 
 

Bas Rapid terbakar di Petaling Jaya

Posted: 11 Nov 2015 03:32 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Sebuah bas RapidKL terbakar di Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya hari ini.
 
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Mustada Silong, berkata kejadian berlaku 7.30 pagi ketika kira-kira 20 penumpang berada di dalam bas.
 
Penumpang bagaimanapun selamat.
 
"Kebakaran bermula di bahagian enjin sebelum merebak ke bahagian lain. Namun kebakaran dapat dikawal 20 minit kemudian," katanya.
 
Jurucakap Prasarana berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di bahagian enjin.
 
 

Bomba sahkan dua kenderaan terperangkap

Posted: 11 Nov 2015 03:31 PM PST



Bomba sahkan dua kenderaan terperangkap
Kelihatan dua kenderaan yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh itu. - Foto Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia.


BENTONG - Terdapat dua kenderaan dilaporkan terperangkan dalam kejadian tanah runtuh telah berlaku di Kilometer 52.5 Jalan Lentang - Bukit Tinggi sekitar jam 7.04 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik mengesahkan terdapat dua buah kenderaan iaitu MPV jenis Toyota Estima dan sebuah lori tangki terperangkap ekoran kejadian tanah runtuh berkenaan.

"Keduanya hanya terperangkap ketika kejadian itu," katanya.

Beliau turut memaklumkan jalan lama Karak (jalan lama Kuala Lumpur - Bentong melalui Genting Sempah) turut tidak boleh digunakan.

"Pengguna jalan terbabit terpaksa membuat pusingan semula," katanya.

Difahamkan juga kakitangan yang tinggal di Kuaters Jabatan Perhutanan Bentong turut terputus hubungan ekoran kejadian itu.

Pihak bomba sedang berusaha mengeluarkan kesemua mereka yang terlibat.


Tanah runtuh: JKR hantar pakar forensik

Posted: 11 Nov 2015 03:26 PM PST

SINAR HARIAN


Tanah runtuh: JKR hantar pakar forensik
Kejadian tanah runtuh berlaku di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi pada 7.18 malam tadi. Anid Berhad dalam satu kenyataan berkata laluan di kedua-dua arah ditutup sebagai langkah keselamatan. Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dari Kuantan keluar ke Persimpangan Bentong manakala dari Kuala Lumpur keluar ke Persimpangan Genting Sempah. - Foto Bernama


KOTA KINABALU - Kementerian Kerja Raya akan menghantar pasukan pakar forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meninjau keadaan kawasan tanah runtuh di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, esok.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pada masa ini, JKR sudah berada di lapangan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan yang dijangka siap pagi esok.

"Apa yang penting (sekarang), walaupun pembersihan sudah dibuat, kita nak pastikan laluan itu selamat untuk dilalui. Pada masa ini, pengguna sama ada yang tersadai atau ingin melalui jalan itu, hubungi Bilik Gerakan JKR untuk mendapatkan maklumat tepat.

"Jangan bersandarkan kepada media sosial melainkan saluran sahih termasuk rangkaian berita nasional," katanya pada sidang media, di sini malam ini.

Fadillah juga menasihatkan pengguna agar menangguhkan perjalanan atau menggunakan jalan alternatif kerana pihaknya tidak akan membuka jalan berkenaan berikutan laporan awal mendapati pergerakan tanah masih berlaku.

"Kita hanya membuka jalan berkenaan setelah disahkan bahawa cerun tanah itu sudah berada dalam keadaan stabil untuk memastikan keselamatan orang ramai," katanya.

Sebahagian laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup kepada pengguna ekoran kejadian tanah runtuh di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 7.18 malam tadi. - Bernama

Amanah tidak tumpang kekuatan Pas

Posted: 11 Nov 2015 03:24 PM PST


Amanah tidak tumpang kekuatan Pas
Mat Sabu (kiri) menyampaikan ceramah pada program Pelancaran Pakatan Harapan Pasir Puteh, malam kelmarin.


TUMPAT – "Saya juga punca Pas kuat tetapi Amanah (Parti Amanah Negara) tidak menumpang kekuatan Pas," kata Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, beliau adalah antara individu di sebalik kejayaan Pas kerana pernah bersama Pas dan membina parti Islam Pas sejak 37 tahun.

"Kita tak tumpang Pas, kejayaan Pas selama ini kejayaan bersama.

"Saya baru tinggalkan Pas empat bulan, jadi selama ini 37 tahun saya bina Pas, kejayaan Pas selama ini kami yang buat," katanya selepas program Santai Pagi Bersama Presiden di Dataran Wakaf Bharu bersebelah Pasar Wakaf Bharu, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan Amanah seperti ingin menumpang apa yang telah dibina oleh Pas selama ini berikutan kenyataannya bahawa parti itu sedia menggantikan Pas mentadbir Kerajaan Kelantan pada PRU14.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu menyifatkan keyakinan Amanah mampu menggantikan Pas Kelantan sebagai realistik berikutan sokongan rakyat.

"Tak mimpi. Kami akan melihat perkembangan sokongan, setakat ini sokongan sangat hebat," katanya.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden Pas itu bersarapan bersama rakyat sebelum berucap dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung Pasar Wakaf Bharu.

Mat Sabu memperkenalkan Amanah kepada orang ramai dan menjelaskan matlamat parti Amanah ditubuhkan.

"Kenapa ada parti Amanah, sebab demo (Pas) tak serupo dulu, kalu demo (Pas) supo dulu, tak adalah parti Amanah ini," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya di PASIR PUTEH kelmarin, Mohamad Sabu menegaskan Amanah bukan sahaja akan menentang Umno pada PRU14, malah menentang mana-mana pihak yang membantu parti itu.

Katanya, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengatakan kekuatan Umno terletak pada 'tongkatnya' iaitu MCA dan MIC.

"Ertinya kalau nak tumbangkan Umno, mesti patahkan tongkat itu, sekarang MIC hidup segan mati tak mahu, MCA hilang entah ke mana dan Gerakan, kuburnya tidak bertanda.

"Tapi bila Umno hilang tongkat, Pas memberi tongkat baharu, ingat, tongkat itu kita akan patahkan dalam Pilihan Raya Umum nanti," katanya.

Menurutnya, Pas tidak lagi boleh diharapkan kerana pemimpinnya mengambil sikap berkecuali apabila ada usaha untuk menolak bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas kelantangan Datuk Husam Musa mengkritik Kerajaan Kelantan, beliau berkata, Pas sepatutnya berbincang mengenakan tindakan disiplin jika Husam terbukti menabur fitnah.


Industri vape dikhuatiri bakal malap - Penasihat MEBA

Posted: 11 Nov 2015 03:19 PM PST

Nurulhana Ismail, Astro Awani
Industri vape dikhuatiri bakal malap - Penasihat MEBA
Realitinya, dengan berlaku penguatkuasaan yang dilakukan kerajaan terhadap perusahaan vape akan menyaksikan industri itu terhenti. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan yang dilakukan kerajaan terhadap perusahaan vape dikhuatiri akan menyaksikan industri itu terhenti serta-merta berikutan kebanyakan pengusaha vape merasakan ketetapan yang dikenakan sukar dipatuhi.

Menurut Penasihat Persatuan Pengeluar Cecair Vape Malaysia (MEBA), Syazwan Abdul Razak, 95 peratus pengusaha mengeluarkan modal sendiri dan membuat pinjaman bagi memulakan perniagaan.

"Industri vape di negara ini, pada hari ini kelihatan malap kerana garis panduan yang ada ketika ini terlalu sukar dipenuhi.

"Kami terdiri daripada pengusaha kecil ataupun industri dari rumah, belum pun sampai tahap IKS (industri kecil dan sederhana) lagi," ujarnya.

Jelas Syazwan, bagi memulakan perusahaan itu, modal yang terlibat boleh mencecah sehingga RM500,000.

Tambahnya di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja terdapat  200 ke 300 pengusaha vape berdaftar yang menjalankan perniagaan

Beliau berkata, pihaknya serta kumpulan pengusaha vape lain tidak pernah dipanggil bagi sesi dialog mahupun rundingan sebelum penguatkuasaan itu dilaksanakan dan sentiasa terbuka dan bersedia untuk berunding demi manfaat semua pihak.

Selain itu katanya beliau merayu agar kerajaan mempertimbang untuk tidak meletakkan (cecair) vape di bawah Akta Dadah dan Kosmetik kerana katanya langkah itu hanya akan menggalakkan pasaran gelap.

"Akta Dadah dan Kosmetik adalah untuk industri besar. Mungkin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mempertimbangkan agar industri ini diselia di bawah akta khas seperti Akta Kawalan Ubat-Ubatan Tradisional," ujarnya.
Justeru katanya kawal selia yang berkesan perlu dijalankan semua pihak baik dari pengelur cecair vape, pekedai dan gabungan pengguna bagi memastikan langkah kawalan lebih berkesan.

Sejak beberapa tahun lalu, industri vape mencatatkan peningkatan dengan bilangan pengguna mencecah dua juta orang. 
 
 

Tiada ulasan: