Ahad, 1 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Subsidi beras Super Tempatan ST15 dimansuhkan

Posted: 01 Nov 2015 02:59 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memansuhkan program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) berikutan terdapat banyak masalah ketirisan berkaitannya.

Setiusaha Bahagian Industri Padi dan Beras MOA, Samsuddin Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata, kajian mendapati antara masalah yang berlaku ialah beras yang sepatutnya dikeluarkan untuk rakyat Malaysia berpendapatan rendah boleh dibeli oleh bukan warganegara.

"Ada juga laporan mendapati terdapat tempat yang tidak mendapat bekalan mencukupi manakala ada tempat yang mempunyai bekalan berlebihan," katanya.

Beliau berkata walaupun beberapa tindakan telah diambil kementerian termasuk menghentikan lesen pihak terbabit tetapi masalah berkenaan masih timbul.

"Sejak dua bulan lalu, kami telah mencari jalan terbaik bagi memikirkan mekanisme baru yang akan memastikan bantuan yang diberikan lebih menepati golongan sasaran dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat termiskin," katanya.

Samsuddin berkata pengagihan beras ST15 bermula pada 2008 adalah program sementara untuk golongan termiskin membeli beras pada harga paling rendah.

Beras ST15 adalah beras tempatan yang mempunyai kandungan 15 peratus beras hancur yang kualitinya sedikit rendah berbanding beras tempatan biasa ST5 dibeli oleh majoriti pengguna dengan kandungan lima peratus beras hancur.-Bernama

PM: Yang penting setia bukan saiz parti komponen BN

Posted: 01 Nov 2015 02:55 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan saiz sesebuah parti yang menjadi rakan kongsi dalam BN bukan keutamaan sebaliknya yang lebih penting ialah kesetiaan dan komitmen parti-parti komponen terhadap BN.

Perdana Menteri berkata atas prinsip berkenaan yang dipegang BN selama ini, membolehkan BN terus berkuasa sehingga Malaysia mampu mengharungi apa juga dugaan sama ada dalam masa susah dan senang.

"Saya sebagai Pengerusi BN bukanlah (melihat sangat) pada saiz (parti). Bagi saya saiz tidak penting, apa yang penting ialah kesetiaan dan komitmen anda. Di atas prinsip inilah negara kita mengorak langkah ke hadapan. Kita telah berjaya sama ada dalam keadaan yang memberangsangkan atau dalam keadaan yang mencengkam.

"Tetapi BN terus membuktikan bahawa inilah parti di mana rakyat boleh bergantung harap, melindungi kepentingan semua kaum, tidak kira kumpulan etnik ataupun agama. Payung BN bersifat inklusif dan komprehensif," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di Kota Kinabalu hari ini. Turut hadir Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Justeru, Najib meminta kesemua 13 parti yang bergabung dalam BN agar terus mempertahankan prinsip berkenaan yang menuntut semua komponen berinteraksi untuk mencari pemuafakatan dan persefahaman serta bekerjasama bagi mencapai objektif utama BN iaitu menubuhkan kerajaan yang kuat.

Katanya dalam berhadapan apa-apa isu atau permasalahan, semua komponen BN perlu menentukan bahawa mereka tidak lari daripada objektif utama penubuhan gabungan itu kerana tidak ada pertimbangan lebih besar dan penting selain daripada membentuk kerajaan BN yang kuat.

"Pertimbangan dari segi kepentingan yang terlalu sempit, pertimbangan yang bersifat parokial, pertimbangan yang bersifat terlalu melihat ke dalam diri, sehingga menjejaskan kepentingan utama, kita perlu ketepikan kerana kalau kita tidak ada kuasa politik, tidak ada apa yang bermakna sama sekali bagi kita.

"Lebih baik kalau kita terpaksa berkorban sedikit asalkan kuasa itu di dalam tangan parti BN. Jadi kalau kita ada kuasa, maka perjuangan boleh diteruskan walaupun kita tak mungkin dapat semua yang kita kehendaki," katanya.

Najib mengakui bahawa masih ada permintaan daripada parti-parti komponen BN yang belum dipenuhi namun percaya semua anggota BN berhadapan situasi yang sama dan ruang untuk mempertimbangkan permintaan parti-parti komponen berkenaan tetap ada dan boleh dilakukan dalam semangat kekeluargaan BN.

"Saya sebagai Pengerusi BN berpegang pada prinsip bahawa saya perlu adil kepada semua parti komponen BN dan berlaku adil kepada semua kaum, termasuk suku kaum di bandar, di luar bandar, miskin ataupun mempunyai kemampuan atau sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera atau Bumiputera bukan Islam walaupun kumpulan minoriti," tegas Najib.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan membuat keputusan menghapuskan ruang 'lain-lain' dalam borang rasmi kerajaan kerana kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak menyenangi mereka dikategorikan sebagai 'lain-lain' dalam borang berkenaan.

Mengenai kebimbangan penganut agama Kristian di Sabah mengenai penukaran agama ke agama lain, Najib menjelaskan dari segi kerajaan tidak ada dasar atau polisi yang boleh memaksa sesiapapun untuk menganut agama Islam dan Islam sendiri tidak memaksa orang lain untuk menganut agama berkenaan.

"Dan kita dari segi kerajaan, kita pegang prinsip tidak ada paksaan dalam Islam. Dalam Islam sendiri ada ayat yang mengatakan 'Tidak ada paksaan Islam. Bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku'. Ini bererti tiada paksaan dalam Islam.

"Ya, kalau dia nak memeluk Islam, tetapi tidak ada paksaan dalam Islam," tegas Najib.

Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berpegang kepada prinsip berkenaan dan sekiranya berlaku unsur paksaan untuk menganut Islam, itu bukan dasar kerajaan sebaliknya atas perlakuan individu tertentu dan pihak berkenaan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Hadi: PAS berkecuali cadangan tolak Bajet 2016

Posted: 01 Nov 2015 02:53 AM PST

MALAYSIAKINI


 


PAS mengambil langkah berkecuali daripada rakan pembangkang yang lain dalam cadangan penolakan usul Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober lalu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kesemua ahli parlimen PAS sebulat suara bersetuju dengan langkah tersebut, lapor Sinar Harian hari ini.

"Dalam soal tolak usul bajet, kita berkecuali dan tidak akan undi bagi pembangkang secara mutlak kerana dasar parti kita akan sokong perkara-perkara positif untuk rakyat dan akan membantah perkara-perkara negatif.

"Ada benda yang kita tidak setuju tetapi tidak mungkin kita akan sertai saranan untuk saranan bantah usul Belanjawan (Bajet) 2016," kata Hadi seperti dilaporkan akhbar itu.

Hadi mengulas kenyataan MP Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menyarankan kesemua ahli parlimen pembangkang menolak usul bajet sebagai salah satu protes menolak kepimpinan Najib.

Dalam pertentangan bajet bulan lalu, MP pembangkang menyambut pembentangan belanjawan 2016 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mempamerkan plakad bertulis "Mana 2.6 bilion?"

Ia bertujuan menyindir isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib yang juga menteri kewangan.

Bagaimanapun, berdasarkan gambar dikongsi di Internet, kelihatan beberapa anggota parlimen dari PAS tidak mengangkat plakad itu.


Format berita Mandarin RTM dipinda lepas 'hukuman' ditarik

Posted: 01 Nov 2015 12:59 AM PDT

MALAYSIAKINI

 


Berita Mandarin di stesyen berita RTM kembali normal seperti sediakala.

Program berita mereka tengahari ini, berita visual termasuk kapsyen berbahasa Cina berserta tajuk utama dikembalikan.

Bagaimanapun terdapat sedikit perubahan kecil dalam program berkenaan.

Pembaca berita kini membaca kini duduk di tengah skrin dan tidak lagi memasukkan paparan slaid berita yang sedang dibaca.

Perubahan ini hadir selepas arahan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk mengembalikan berita Mandarin kepada 'format asal' semalam.

Sejak tiga hari lalu, pembaca berita Mandarin terpaksa menyampaikan berita tanpa sebarang visual sokongan kononnya satu 'hukuman' yang dikenakan oleh pihak pengurusan RTM kerana menyiarkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama hiasan grafik berkaitan 1MDB yang dikatakan tidak sesuai.

Gambar itu dipaparkan apabila pembaca berita RTM Mandarin melaporkan kejayaan Najib berjaya dalam tuntutan mahkamah berkaitan saman PKR terhadapnya kerana didakwa melanggar peraturan perbelanjaan pilihan raya umum.

Arul pembahas lagenda-Rafizi

Posted: 01 Nov 2015 12:51 AM PDT

Arul pernah mengetuai pasukan debat dan pernah memenangi Piala Perdana Menteri (PPM) pada 1990-an.


rafizai-ramli-arul-kanda


PETALING JAYA: Presiden dan juga 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bukan sembarangan pendebat.
Kehebatannya diakui sendiri Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang berkongsi keterujaan dengan kelebihan yang dimiliki orang penting syarikat pelaburan kerajaan itu.

Katanya, Arul pernah mengetuai pasukan debat yang berkali-kali memenangi Piala Perdana Menteri (PPM) pada 1990-an.

Ahli Parlimen Pandan menyatakan perkara ini dalam posting blog beliau bertarikh 1 September 2010, di mana dia telah memberi penghormatan kepada Allahyarham rakannya Adlan Benar Omar, atau Ben.

"Dalam era 90-an, PPM dimenangi berulang kali oleh Maktab Tentera Diraja (RMC) yang diterajui oleh seseorang yang bernama Arulkanda Kandasamy," katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

"Selepas itu, kami bertemu ketika kami bertiga di UKEC (United Kingdom & Eire Council of Malaysian Students) di UK – dan Arulkanda (lagenda di kalangan pembahas Malaysia) seringkali mengagumi kehandalan Ben berbahas," tulis Rafizi.

Dalam sidang akhbarnya pada Sabtu, Arul telah menyatakan persetujuan tanpa syarat untuk bersemuka di televisyen dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya bagi menjawab skandal 1MDB.

Juara Piala AFC: JDT bukti kehebatan

Posted: 01 Nov 2015 12:46 AM PDT

 
Kemenangan itu menjadi dorongan kepada pasukan tempatan untuk memberi saingan di arena antarabangsa.


jdt


PETALING JAYA: Kemenangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyuntik semangat baru kepada pasukan itu untuk mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, keupayaan itu juga membuktikan pasukan tempatan mampu memberi saingan di arena antarabangsa.

"Ia juga dapat menjadi pendorong kepada pasukan bolasepak tempatan untuk mengorak langkah ke arah mencipta kejayaan yang sama," katanya.

Katanya, selain hasil usaha dan semangat kental daripada para pemain, doa dan sokongan yang diterima daripada rakyat Malaysia turut menyumbang kepada kemenangan itu.

Mohamed Khaled turut menyaksikan perlawanan akhir itu di Stadium Central Republican Dushanbe, Tajikistan.

Debat 1MDB:Apa alasan Tony Pua ingin jadi moderator?

Posted: 01 Nov 2015 12:45 AM PDT

 
Pengerusi DAP Selangor itu sepatutnya melihat latar belakang Arul yang merupakan seorang tokoh pidato hebat ketika di RMC sebelum membuat cabaran


tony-pua_arul-kanda_1mdb_600


PETALING JAYA:Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dianggap sebagai seorang pencecut selepas menukar pendirian dalam cabaran debatnya Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kandasamy.

Pengerusi DAP Selangor itu yang pada mulanya lantang mencabar debat diadakan, dikatakan enggan menjadi pendebat sebagaimana sebelum ini.

Sebaliknya menawarkan diri menjadi moderator.

Penulis blog Zabidi Saidi menyifatkan keputusan terbaru Tony Pua sebagai seorang yang bacul.

"Buat apa jadi moderator. Terimalah cabaran berdebat. Arul Kanda bukan orang politik. Takkan nak berdebat dengan orang profesional pun takut Tony.

"Buat malu DAP. Lain kali sebelum cabar Arul Kanda berdebat, periksa dahulu latar belakang Arul Kanda yang merupakan tokoh pidato di kolej RMC.

"Dengan Arul Tony takut berdebat, jangan sampai Arul masuk politik lawan Tony Pua pula," katanya menerusi blog www.catatanzabidi.blogspot.my pada Ahad.

Zabidi berkata, sekiranya Tony Pua hanya mahu bertanyakan soalan adalah lebih baik sekiranya dia menunggu sidang oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kerana dia merupakan salah seorang anggota dalam jawatankuasa itu.

Rasuah: 'Kita belum berkuasa boleh cakaplah'

Posted: 01 Nov 2015 12:28 AM PDT

Abdul Mu'izz Muhammad
Abdul Mu'izz Muhammad
 
 
SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mengingatkan ahlinya agar tidak terlalu bermain politik meskipun dilihat agak ketinggalan berbanding Pakatan Harapan.

Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Abdul Mu'izz Muhammad berkata, ahli-ahli Pas perlu mengakui bahawa penyertaan mereka dalam Pas mempunyai misi bukan kerana terlalu menyukai politik.

"Kita kena akui bahawa kita masuk politik bukan kerana suka sangat dengan politik tapi sebab kita nak ubah keadaan.

"Jangan terlalu main politiking nanti orang bosan walau kita dilihat ditinggalkan berbanding Pakatan (Harapan) sebab kita berpegang pada asas halal haram di mana kita tidak mengharamkan yang halal dan tidak menghalalkan yang haram," katanya Forum Integriti dan Pencegahan Rasuah Bersama Pemimpin Politik Pas Selangor,  di sini, hari ini.

Menurutnya, manusia diuji ALLAH ketika berkuasa dan Pas juga tidak terlepas dari ujian tersebut.

"Nabi kata rasuah itu dibudayakan sebab apa? Kerana asas pemerintahan itu tidas bersandar pada dasar Islam. Apabila jadi begitu, kamu akan mendapati pemimpin dalam kalangan kamu hanya bekerja untk keuntungan mereka...tidak berkhidmat untuk kamu. Ini yang berlaku. Sekiranya kamu taat, kamu sesat dan sekiranya kamu lawan kamu akan dibunuh.

"Ini yang berlaku ke atas kita. Tak boleh nafikan, ia berlaku. Rasuah ini sebab orang tak tahu asas dosa dan pahala. Ini satu pesanan kepada kita dan pesanan kepada orang yang berkuasa. Kita belum berkuasa lagi, boleh sembang. Tapi ALLAH uji, ketika kita ada kuasa," katanya.

Katanya, asas utama iaitu dosa dan pahala tetap menjadi perjuangan Pas meskipun dianggap sebagai jumud mahupun ortodoks.

"Hari ini dalam sebarang sektor sekalipun, kalau kita sebut dosa dan pahala, tidak berapa laku. Orang anggap kita jumud, ortodoks dan macam-macam. Sebab apa? Terlalu beragama.

"Ada pula istilah terlalu beragama kan? Mana ada istilah itu. Beragama memang kena terlalu. Itu yang menjadikan orang bertakwa," katanya.

Beliau sempat meminta agar ahli-ahli Pas dijauhkan daripada terlibat dengan rasuah.

"Kadang-kadang orang lawan rasuah ini sebab dia tak dapat. Apabila dia dapat, dia senyap. Kalau kita terlibat dengan politik, kita tahulah kan? Benda ini memang betul-betul wujud.

"Minta jauhkanlah ada orang Pas (terlibat). Kalau ada orang Pas yang buat perangai begitu pun, dia dah masuk Amanah," katanya.


Tiada ulasan: