Isnin, 26 Oktober 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Amanah: Bukan Bidangkuasa Azmin Tolak Penubuhan PH Di Selangor

Posted: 26 Oct 2015 01:03 AM PDT

Kenyataan Azmin Ali bahawa pentadbiran Pakatan Harapan tidak diperlukan di Selangor dilihat terlalu awal kerana beliau bukan presiden PKR, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub seperti laporkan oleh portal themalaymailonline.

Salahuddin berkata bahawa apa-apa ketetapan sepatutnya datang dari pucuk pimpinan pakatan pembangkang yang baharu dalam usaha untuk memutuskan apa yang diperlukan bagi meredakan soalan orang ramai mengenai peranan Pakatan Harapan di negeri tersebut.



"Azmin adalah Timbalan Presiden sahaja walaupun dia adalah Menteri Besar Selangor. Oleh kerana PKR adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan, dia tidak boleh memberikan kata putus itu, ia mungkin hanya pendapat peribadinya sahaja," kata Salahuddin.

"Kami tidak mahu mengulangi apa yang telah berlaku dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, jadi apa sahaja yang Azmin katakan, kami di Majlis Presiden perlu membincangkan perkara ini."

Beliau mengesahkan bahawa kerjasama Amanah dengan kedua-dua pihak Pakatan Harapan lain - PKR dan DAP - tidak terjejas dengan kenyataan Azmin pada hari Khamis lalu.

Pada hari Khamis lalu, Azmin berkata wujud perbezaan senario politik di antara Selangor dan Pulau Pinang itu bermakna kerajaan Pakatan Harapan tidak diperlukan di nerinya.

Beliau juga dilaporkan telah mengesahkan bahawa Majlis Tertinggi PKR telah memutuskan dua minggu lalu untuk bekerjasama dengan semua parti-parti pembangkang persekutuan termasuk PAS, PSM dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP dan tidak mahu turut serta dalam pakatan pembangkang yang baharu iaitu Pakatan Harapan, termasuk ppecahan parti PAS iaitu Amanah.

Ketika dihubungi, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pula berkata, kenyataan Azmin sudah dijangka dan ia tidak menghairankan melihat kepada komposisi semasa Dewan Undangan Negeri Selangor.

Beliau bersetuju dengan bacaan Azmin bahawa perbezaan antara Selangor dan Pulau Pinang, menunjukkan bahawa memanglah terdapat satu lompang yang agak besar jika merujuk kepada perbezaan bilangan ahli parlimen PAS di negeri Plau Pinang berbanding Selangor.

"Kita boleh lihat ada perbezaan yang besar. Kami memahami dilema yang dihadapi Azmin, jadi sejauh yang kami tahu, ia bukanlah satu masalah besar, apa yang penting ialah memperkukuhkan Amanah dan Pakatan Harapan, "kata Khalid.

PAS hanya ada satu kerusi negeri DUN di Pulau Pinang, manakala parti itu mempunay 13 kerusi DUN di Selangor berbanding DAP 15, PKR 13, Barisan Nasional 12, Amanah 2 dan wakil rakyat Bebas 1.

"Saya fikir penyelesaian yang terbaik di Selangor adalah wujud kerjasama diantara PAS dan Pakatan Harapan di negeri tersebut," kata Khalid, yang mengesahkan bahawa cadangan beliau itu telah dinyatakan di dalam mesyuarat Amanah, namun mengakui masih perlukan perbincangan yang serius mengenainya.

Cadangan tersebut adalah untuk memastikan kerajaan yang stabil di Selangor dapat diwujudkan kerana ini akan akan menyelesaikan masalah kedudukan PAS dan Pakatan Harapan di dalam pentadbiran negeri berkenaan, katanya.

"Kalau boleh pemimpin-pemimpin negeri itu perlu menubuhkan Pakatan Harapan di Selangor dengan segera dan mengesahkan hubungan diantara Pakatan Harapan dan PAS sebagai sebuah kerajaan campuran di Selangor," kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

ULASAN GB

Azmin dan PKR tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dengan menolak penubuhan Pakatan Harapan di Selangor.

Ini kerana bilangan kerusi DUN diantara PKR, DAP dan PAS adalah hampir sama, malah jika dilihat komposisi kerusi DAP paling banyak iaitu 15. Di atas kompromi, DAP telah menyerahkan kerusi MB kepada PKR.

Jadi untuk menolak penubuhan Pakatan Harapan di Selangor adalah langkah yang tidak wajar dilakukan Azmin.

Ia seperti menafikan terus suara parti-parti lain yang ada hak di dalam DUN Selangor.

Menurut pemerhatian kita, jika Azmin kekal dengan sikapnya untuk menolak penubuhan PH di Selangor, rakyat negeri itu sudah bersedia untuk menolak Azmin dan PKR di dalam pilihanraya yang akan datang kerana momentum sokongan rakyat terhadap PH adalah tinggi di seluruh negara dan sebarang parti yang menolak PH akan ditolak oleh rakyat demi untuk mengalahkan kerajaan UMNO BN.

PKR & DAP Bantah Dakwaan PAS Kononnya Pakatan Rakyat Masih Hidup

Posted: 25 Oct 2015 06:27 PM PDT

Pakatan Rakyat sudah lama berkubur, kata PKR kepada PAS

Pakatan Rakyat (PR) sudah mati, demikian kata seorang pemimpin PKR hari ini selepas timbalan presiden PAS mengatakan gabungan pembangkang itu masih hidup walaupun hanya mempunyai 2 ahli.

Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, tidak lagi mempunyai dasar rangka kerja, mahupun Majlis Presiden yang membuat keputusan bersama, begitu juga urusetia yang menyelaraskan program dan aktiviti pakatan itu.



Semua itu wujud selepas PR ditubuhkan pada 1 April, 2008 berikutan pilihan raya umum tahun itu, dengan dasar rangka kerja bersamanya disediakan pada 19 Disember, 2009.

"Hari ini semuanya itu tidak lagi wujud dan ini bermakna PR tidak lagi berfungsi," kata Saifudin yang juga bekas setiausaha agung PKR.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi yang PR masih hidup seperti mana terbukti melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan.

"PR tanpa DAP adalah platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini. PR masih lagi wujud," katanya.

Timbalan presiden parti Islam itu berkata, PAS dan PKR mengadakan pertemuan minggu lalu dan mereka bersetuju menyusun semula kekuatan antara mereka.

Tetapi Saifuddin hari ini berkata, pemahaman Tuan Ibrahim mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu mungkin berbeza.

Saifuddin berkata, PKR mengadakan 4 pertemuan dengan PAS setakat ini, dan semuanya diketuai Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, tidak ada satu pun mesyuarat itu yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun, tiada sebarang keputusan politik pernah dibuat ketika mesyuarat itu melainkan sekadar bertukar-tukar pandangan perihal isu semasa, kata Saifuddin, sambil menambah, menjadi dasar PKR mengekalkan pendekatan terbuka dan inklusif dengan semua parti yang bertekad menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Pernah dalam satu pertemuan yang saya turut hadir, PKR mencadangkan PAS dapat bersetuju dengan 'formula satu lawan satu' dan perwakilan PAS meminta untuk kembali membincangkan idea itu dalam mesyuarat pimpinan utama parti.

"Idea ini, jika dipersetujui PAS, boleh dilaksanakan melalui satu 'electoral pact' dan bukannya Pakatan Rakyat, seperti yang Tuan Ibrahim fahami,"
katanya.

Saifuddin berkata, Pakatan Harapan kemudiannya ditubuhkan sebagai sebuah gabungan baharu di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), sebuah parti serpihan diterajui pemimpin PAS progresif yang ditewaskan pada pemilihan parti pada Jun lalu.

"Rasional penubuhannya ialah berlaku kelompangan yang perlu diisi segera demi memberikan pilihan alternatif kepada rakyat. PAS turut dijemput menganggotainya tetapi masih belum bersedia ikut serta,
" katanya.

PAS enggan menyertai pakatan baharu itu, mengatakan ia tidak lagi boleh bekerja dengan DAP selepas memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya itu, dan kerana pemimpin Amanah adalah "pengkhianat" kerana meninggalkan PAS.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, keutamaan sekarang ialah memperkemaskan Pakatan Harapan dan hasilnya semakin dapat dilihat.

Mesyuarat pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan pada 19 Oktober lalu, disusuli pengumuman belanjawan alternatif mereka oleh Dr Wan Azizah selaku ketua pembangkang pada 21 Oktober.

Kenyataan bersama pimpinan Pakatan Harapan juga dibuat, menyentuh pelbagai isu semasa, manakala jelajah Pakatan Harapan ke seluruh negara dilancarkan di Labis Johor pada 9 Oktober, 2015.

"PKR komited dengan usaha Pakatan Harapan untuk turun menemui rakyat dan menerangkan pelbagai perkembangan isu yang membabitkan kepentingan rakyat terbanyak.

"Pada masa sama 'engagement' dengan PAS diteruskan kerana sedar pentingnya seluruh tenaga dan potensi parti pembangkang, termasuk dari Sabah dan Sarawak, digembleng ke arah menumbangkan pemerintahan BN," katanya.

Sehingga itu, katanya, satu-satunya pakatan politik yang PKR terlibat memeterai perjanjian ialah Pakatan Harapan, dan perundingan ke arah melaksanakan 'formula satu lawan satu' dengan BN membabitkan parti lain termasuk PAS akan diteruskan. -TMI


Panggil mesyuarat Pakatan, tengok siapa datang, kata Pua

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua hari ini mencadangkan satu mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat (PR) diadakan, bagi menamatkan perdebatan mengenai sama ada pakatan pembangkang itu masih wujud atau tidak.

Beliau menafikan dakwaan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi yang PR masih hidup walaupun ia hanya dianggotai PKR dan parti Islam itu sendiri.

"Pendirian DAP sama sampai mati, PR tidak lagi wujud.

"Kalau PR masih hidup, mungkin sesiapa boleh mengadakan mesyuarat majlis presiden PR dan lihat siapa yang akan hadir.

"Mungkin hanya PAS yang akan muncul. Jadi, jika itu yang berlaku, maka ia tidak wujudlah," kata Pua kepada pemberita selepas merakamkan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Menegaskan semuanya kini berakhir, beliau berkata sebarang kerjasama antara PKR dan PAS ketika ini tidak ada kena mengena dengan PR sebagai satu pakatan rasmi seperti sebelum ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata malam tadi, PR masih hidup dan dianggotai PAS dan PKR, seperti yang dibuktikan melalui sokongan dan kerjasama politik antara mereka di Selangor dan Kelantan.

Tetapi Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PR sudah lama terkubur dan satu-satunya perikatan politik yang dianggotai PKR ialah Pakatan Harapan, yang turut dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara, parti PAS serpihan.

Saifuddin berkata, empat mesyuarat yang diadakan antara PAS dan PKR setakat ini hanya menyaksikan kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa, kerana menjadi dasar PKR mengekalkan pendekatan terbuka dan inklusif.

Ditanya mengenai pertemuan antara PAS dan PKR yang dilihat agak kerap, Pua hari ini berkata, bukan hak DAP menghalang dua parti itu dari bermesyuarat.

"PKR boleh bercakap dengan mana-mana pihak yang ia mahu bercakap, kerana ia parti yang lain, ia bukan DAP," katanya.

Tetapi, beliau berkata, jika PAS menyertai Pakatan Harapan, parti itu mesti bersetuju dengan platform dasar bersama gabungan itu yang diumumkan sebaik ia dilancarkan.

"Mana-mana pihak – saya fikir sudah dinyatakan sebelum ini – yang menerima platform dasar bersama kami dan boleh bekerja dalam rangka kerja gabungan itu serta bersetuju dengan perjanjian gabungan itu, boleh menyertai Pakatan Harapan," katanya.

PAS enggan menyertai pakatan baharu tersebut, mengatakan ia tidak lagi boleh bekerjasama dengan DAP selepas memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya itu, dan menganggap pemimpin Amanah "pengkhianat" kerana meninggalkan PAS.

PKR, dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat pada 11 Oktober lalu memutuskan, keanggotaan Pakatan Harapan akan diperluaskan untuk cuba dan memasukkan PAS serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyertai mereka. –TMI


ULASAN GB

PAS nampaknya semakin kalut dan karut. Dahulu komain mengnhentam PKR, sekarang terpaksa menyembah PKR untuk bersamanya sehingga menyatakan Pakatan Rakyat masih wujud sedangkan PASlah yang menguburkannya melalui resolusi muktamar 2015 yang memutuskan supaya PAS membatalkan kerjasama dengan DAP.

Tidak ingatkan pemimpin-pemimpin PAS mengherdik PKR?


Rakyat mengingati kesemuanya itu sekalipun PKR dilihat seperti bersetuju untuk berbaik dengan PAS semata-mata untuk survival politiknya yang khuatir dengan ugutan PAS akan meletakkan calon-calonnya di kerusi-kerusi PKR yang bakal menyebabkan pertandingan 3 penjuru.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Kita lihat nanti keputusan di dalam pilihanraya akan datang apakah kesudahan semua adegan drama ini.

Tiada ulasan: