Jumaat, 9 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Ibu kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi Gua Musang, gembira dalam tangisan

Posted: 09 Oct 2015 05:00 AM PDT

Muhafandi Muhamad, Astro Awani
Ibu kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi Gua Musang, gembira dalam tangisan
Midah Angah langsung tidak menyangka mimpi yang dialaminya beberapa hari lalu kini menjadi kenyataan. - Astro AWANI
 
 
GUA MUSANG: Tiada apa yang mampu menggambarkan perasaan Midah Angah, ibu kepada salah seorang murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi, Noreen Yacob yang ditemui selamat selepas 48 hari hilang.

Badannya lemah dan terkejut selepas melihat anaknya itu dibawa turun dari ambulans Jabatan Perkhidmatan Awam di Hospital Gua Musang petang tadi.

Dia langsung tidak menyangka mimpi yang dialaminya beberapa hari lalu kini menjadi kenyataan.

''Saya mimpi ada orang tua datang cakap, ini bukan anak awak, ini orang lain.

''Dia kata anak saya hidup dalam hutan dan ada buah (untuk makan) tetapi tinggi dan tidak boleh panjat (pokok),'' katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, dia juga hairan bagaimana anaknya itu dapat bertahan cukup lama di dalam hutan walaupun tanpa makanan.

''Mungkin dia cuma makan tanah dan rumput,'' ujarnya.

Namun, keresahan Midah belum reda kerana dia masih mengharapkan seorang lagi anaknya Haikal, 8, dijumpai selamat.

Midah kehilangan suaminya lapan tahun lalu ketika dia mengandungkan anaknya Haikal.

noreen

BACA: Kronologi kes kehilangan misteri 7 pelajar Orang Asli dari Pos Tohoi, Gua Musang

Kehilangan tujuh murid SK Pos Tohoi dilaporkan berlaku pada 23 Ogos lalu.

Murid terbabit ialah Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yacob, 10; Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7.

Semalam dan kelmarin, pasukan mencari dan menyelamat menemui dua mayat dengan salah seorang daripadanya disahkan sebagai Sasa Sobrie berdasarkan pengecaman oleh ahli keluarga.
Sementara itu, hari ini, satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan bersama dua mangsa yang dijumpai selamat.

Ini menjadikan lima daripada tujuh mangsa dengan dua daripadanya terselamat, sudah ditemukan setakat ini.

Sementara itu, usaha mencari dua lagi murid yang hilang masih diteruskan oleh semua pihak yang terlibat.
 
 

Bekas setpol Dr Mahathir cabar penahanan bawah Sosma

Posted: 09 Oct 2015 04:51 AM PDT



Peguam Matthias Chang yang pernah bertugas sebagai setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad akan mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.Peguam Matthias Chang yang pernah bertugas sebagai setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad akan mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Peguam Matthias Chang akan mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata peguamnya Haniff Khatri.

Haniff berkata, pihaknya akan membuat permohonan itu pada tarikh sama dengan cabaran yang akan difailkan anak guam Chang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang kini turut ditahan di bawah Sosma.
 
"Ya, kami sedang menyiapkan dokumen, kami akan siapkan afidavitnya esok dan fail di mahkamah seawal pagi Isnin depan apabila mahkamah dibuka.

"Dan kami akan cuba dapatkan ia disebut pada hari sama dengan permohonan Khairuddin tetapi kita tidak pasti tentangnya kerana ia bergantung pada budi bicara mahkamah," katanya kepada pemberita selepas bertemu Chang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini. 
 
Penahanan Chang yang pernah bertugas sebagai setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah Sosma bermula hari ini.

"Kami jumpa Matthias, seperti biasa beliau bersemangat dan bekerjasama dengan polis selama ini," kata Haniff.

Sementara itu berkaitan kes Khairuddin, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata mereka belum menerima sebarang balasan daripada peguam negara.

"Sehingga sekarang, kami belum terima sebarang afidavit atau balasan daripada peguam negara atau responden dalam kes Khairuddin," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 13 Oktober depan bagi mendengar permohonan habeas corpus Khairuddin yang turut mencabar penahanannya di bawah Sosma.

Chang ditahan semalam sewaktu  melawat Khairuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Chang, ditahan di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang berkaitan sabotaj dan percubaan mensabotaj negara.

Turut hadir di Dang Wangi petang ini adalah Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru yang menegaskan pendirian Majlis Peguam yang mengutuk penahanan itu.

"Penahanan 28 hari adalah penahanan bagi tujuan siasatan dan apabila individu berkenaan bersedia bekerjasama, tiada keperluan untuk siasatan lagi. Dalam hal ini, ia bersifat menghukum," katanya.


Azmin nasihat Jamal buat perhimpunan di masjid

Posted: 09 Oct 2015 04:16 AM PDT

 
Perhimpunan itu boleh disertai program Qiamulail dan solat Hajat bagi membentuk keperibadian peserta supaya lebih baik.


azmin-jamal


PETALING JAYA: Mohamed Azmin Ali menasihatkan Datuk Jamal Yunos supaya mengadakan perhimpunan di masjid bagi membentuk akhlak yang mulia berbanding mengadakan perhimpunan haram.

Katanya, Jamal boleh mengadakan perhimpunan di masjid yang disertai dengan program Qiamulail dan solat Hajat untuk mengubah akhlak peserta supaya menjadi manusia lebih baik.

"Lebih baik buat himpunan di masjid. Saya cadangkan buat Qiamulail, solat Hajat di masjid bagi membentuk akhlak yang mulia," sindir Azmin.

Menteri Besar Selangor itu membuat nasihat itu ekoran rancangan Pengerusi Gabungan NGO Melayu untuk mengadakan perhimpunan di Bandar Baru Ampang pada 18 Oktober nanti.

Perhimpunan itu, kata Jamal, sebagai protes kegagalan kerajaan Selangor pimpinan Azmin yang gagal menyelesaikan isu masalah rakyat seperti masalah sampah dan bekalan air bersih.

Dua lagi murid SK Pos Tohoi ditemui, satu maut

Posted: 09 Oct 2015 04:12 AM PDT

murid orang asli
Dua lagi murid SK Pos Tohoi yang ditemui.


GUA MUSANG - Dua lagi kanak-kanak Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak  penghujung Ogos lalu ditemui selamat di Sungai Perias di sini, hari ini.

Kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Misudiar Aluj, 11 dan rakannya, Noreen Yakob, 10, ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak bermaya oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Dalam pertemuan itu juga, satu mayat turut ditemui bersama mereka, bagaimanapun identitinya tidak dapat dikenalpasti lagi.

Penemuan ketiga ini menjadikan lima mangsa keseluruhan ditemui daripada tujuh yang dilaporkan hilang

TH tetap subsidi kos ibadat haji

Posted: 09 Oct 2015 04:10 AM PDT

SINAR HARIAN



Tabung Haji


PASIR PUTEH – Tabung Haji (TH) akan terus mengeluarkan subsidi bagi kos mengerjakan ibadat haji kepada setiap bakal haji tahun depan walaupun ekonomi dunia tidak menentu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berkata rancangan itu selaras dengan penubuhan asal TH untuk membantu bakal haji bagi meringankan beban mereka hasil keuntungan pelaburan TH dari dalam dan luar negara.

Umat Islam di negara ini bernasib baik kerana menanggung kos menunaikan haji yang lebih rendah disebabkan mempunyai sebuah kerajaan yang sangat prihatin dengan tuntutan Islam. 

"Ia sangat berbeza dengan umat Islam di negara jiran, mereka terpaksa menanggung kos sebanyak RM20,000 seorang jika mahu menunaikan haji berbanding tidak sampai RM10,000 seorang yang perlu ditanggung oleh umat Islam di negara ini," katanya selepas merasmikan majlis graduasi kali pertama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising di sini, malam tadi. - Bernama


Dua pegawai kastam parah dirempuh tonto

Posted: 09 Oct 2015 04:07 AM PDT

Kastam parah
Gambar hiasan
 
 
PADANG BESAR - [DIKEMASKINI] Dua pegawai kastam dilaporkan parah selepas dilanggar sebuah kereta yang dipercayai tonto ketika melakukan operasi melibatkan sindiket penyeludupan minum keras jam 4 pagi tadi.

Difahamkan ketika mengekori tiga buah kenderaan yang disyaki membawa minuman keras menuju arah Kangar, sebuah kereta Proton Perdana telah mengarahkan mereka memberhentikan kenderaan berhampiran Titi Tinggi, Perlis kira-kira satu kilometer dari sekatan jalan raya yang dilakukan Unit Pencegahan Penyeludupan.

Bagaimanapun pegawai kastam yang memandu Honda Odyssey itu enggan mengikut arahan mereka dan terus meneruskan perjalanan.

Marah dengan keadaan itu, pemandu berkenaan kemudiannya melanggar berkali-kali kereta yang dinaiki pegawai kastam berkenaan membuatkan mereka terbabas.

Manakala tonto berkenaan melarikan diri ke arah Kangar.

Sementara itu, Pengarah Kastam Perlis, Kamarudin Jaafar mengesahkan kejadian dan berkata, dalam kejadian berkenaan tiga pegawainya dalam kereta berkenaan.

"Dua daripadanya parah akibat mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta manakala seorang lagi iaitu pemandu cedera ringan.

"Pegawai yang berumur 24 tahun itu dilaporkan koma," katanya.

Liong Sik belum jawab tuntutan Najib

Posted: 09 Oct 2015 04:05 AM PDT

SINAR HARIAN


 Tun Dr Ling Liong Sik
Tun Dr Ling Liong Sik
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik masih belum menjawab secara rasmi tuntutan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah terhadap perdana menteri.

Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata, Liong Sik masih mempunyai masa untuk berbuat demikian sehingga Isnin ini kerana tempoh yang diberi adalah selama tujuh hari.

Katanya, Ling berkemungkinan telah berunding dengan peguam dan pihaknya hanya akan melakukan tindakan seterusnya selepas tempoh tersebut.

"Kita tunggu sehingga tujuh hari. Kita tunggu hitam putih (secara rasmi). Kita hantar secara rasmi, kita tunggu jawapan rasmi. Saya yakin Ling akan balas.

Sehingga kini saya masih belum memperoleh apa-apa jawapan," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa di mahkamah, Liong Sik enggan mohon maaf]

Pada 5 Oktober lalu, firma guaman Messrs Hafarizam Wan & Aisha Mubarak diarahkan oleh Perdana Menteri supaya mengambil tindakan dan menuntut penarikan balik, permohonan maaf dan ganti rugi berhubung kenyataan yang diterbitkan menerusi artikel bertajuk 'MCA's Liong Sik Joins Call For Najib's Ouster For allegedly Putting People's Money in His Own Pocket'.

Artikel itu disiarkan Malay Mail online pada 3 Oktober lepas dan masih boleh dilayari masyarakat umum menerusi jaringan sejagat.

Najib memfailkan tindakan tersebut atas kapasiti peribadi dan surat tuntutan itu diserahkan di rumah Ling di Bukit Damansara. - Bernama


Segera bawa pelaku ke muka pengadilan'

Posted: 09 Oct 2015 04:01 AM PDT


'Segera bawa pelaku ke muka pengadilan'
Ahmad Razif yang ditemui di Klinik Kesihatan Bukit Payong di sini.


MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang ditemui di Klinik Kesihatan Bukit Payong di sini, amat terkejut dengan kejadian yang menimpa bekas Adun Alur Limbat, Alias Abdullah, 51, hari ini.

Bekas wakil rakyat BN itu, dikatakan ditembak dari jarak dekat oleh individu yang tidak dikenali ketika berada di bahagian dapur rumah mereka di Kampung Alur Limbat di Bukit Payong selepas solat Jumaat.

Pemimpin nombor satu negeri itu menyifatkan tindakan pembunuh terbabit adalah amat kejam dan meminta pihak polis dapat menyiasat kes berkenaan sehingga ke akar umbi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Adun Alur Limbat maut ditembak ]

Beliau juga berharap pihak berkuasa itu dapat mengenal pasti serta membawa orang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan agar perkara sedemikian tidak lagi berlaku di masa-masa akan datang khususnya di negeri berkenaan.

"Kita negara Malaysia ini adalah sebuah negara yang selamat. Apa yang berlaku ini adalah amat mengejutkan. Perkara ini, apa yang berlaku ini amat mengejutkan dan kita amat terkilan. Insya ALLAH, pihak kerajaan negeri akan memberi kerjasama.

"Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan untuk memastikan orang yang bertanggungjawab itu dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Allahyarham Alias yang turut memiliki firma guaman Alias Abdullah & Co dan dipilih sebagai Adun Alor Limbat sejak 2004 hingga 2008 itu kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum beliau disahkan meninggal dunia.


Akta Hasutan: Masukkan Perlembagaan Persekutuan ke dalam muzium, sindir Zunar

Posted: 09 Oct 2015 03:58 AM PDT

KEADILAN DAILY

Zunar King Derma


KUALA LUMPUR : Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan penggunaan Akta Hasutan adalah mengecewakan, tidak boleh diterima dan tidak demokratik.

Kartunis politik Zunar mengulas demikian berhubung keputusan mahkamah itu semalam dalam kes melawan Profesor Undang-Undang, Azmi Sharom bahawa Akta Hasutan adalah sah dari segi Perlembagaan.

Azmi sebelum itu mencabar keabsahan akta tersebut kerana ia bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

"Artikel 10 menyatakan dengan jelas bahawa "(a) Tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran; (b) Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata."

"Dengan itu, keputusan mahkamah ini jelas memperlekeh Perlembagaan dan bermotif politik. Sejak diperkenal dalam tahun 1948, Akta Hasutan digunakan sebagai senjata politik berkesan parti pemerintah untuk mengekang kebebasan bersuara," kata Zunar  atau Zulkiflee Anwar Al-Haque dalam kenyataan.

Lebih 200 aktivis terdiri dari mahasiswa, pensyarah, peguam, penulis, agamawan, pemimpin pembangkang dan kartunis telah disiasat, ditangkap, ditahan atau dibicarakan di bawah Akta Hasutan sejak tahun lepas.

"Saya sendiri sedang menghadapi 9 tuduhan di bawah Akta Hasutan yang membawa hukuman maksima secara matematik 43 tahun dan kes saya akan berlangsung pada 6 November depan," kata Zunar.

Dengan keputusan ini, kata Zunar lagi, mahkamah memberi lebih mandat kepada kerajaan untuk terus menggunakan Akta Hasutan terhadap pengkritik.

"Harapan untuk mendapat keadilan dari mahkamah telah musnah. Kes-kes Akta Hasutan yang tertangguh sebelum ini akan dibuka semula. Ia akan menyempitkan lagi ruang kebebasan bersuara dan berekspresi yang sudah sangat terhad di Malaysia. Malaysia sekarang sedang memecut ke belakang.

"Malah Perdana Menteri Najib Razak sedang menuju era 'Mugabe-risma'.

"Saya cadangkan Perlembagaan Persekutuan di masukkan ke muzium untuk dijadikan pameran barang antik," sindir Zunar.

Utusan gagal masukkan sabitan Fitnah II terhadap Anwar

Posted: 09 Oct 2015 03:51 AM PDT

Oleh: Ermizi Muhammad


KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad untuk memasukkan sabitan Fitnah II dalam prosiding pembelaan kes saman Ketua Umum KEADILAN Saudara Anwar Ibrahim terhadap akhbar milik Umno itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Peguam Utusan Melayu, Firoz Hussein Ahmad pada 6 dan 7 September lalu.

"Pertuduhan sabitan sebelum ini tidak boleh digunapakai dan diterima sebagai bukti yang boleh sah dalam kes ini," katanya.

Peguam Anwar, N Surendran sebelum ini menegaskan cubaan mengaitkan sabitan kes fitnah Anwar adalah tidak relevan dan tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kes ini.

Beliau dalam sesi penghujahannya sebelum ini turut merujuk keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei lalu yang memutuskan sabitan terhadap pertuduhan jenayah adalah tidak boleh digunapakai dalam kes sivil membabitkan Anwar Ibrahim.

"Mahkamah Tinggi tertakluk kepada keputusan Mahkamah Rayuan kerana ia adalah kuasa tertinggi yang ada di Malaysia," katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Serai.

Pada 2013, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham memutuskan Utusan Malaysia bertangungjawab memfitnah Anwar berhubung wawancara Anwar bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Namun tuntutan ganti rugi terhadap kes berkenaan belum diputuskan selepas peguam Utusan membangkitkan persoalan membabitkan sabitan kes liwat dalam penghujahannya.

Kes berkenaan difailkan Anwar pada tahun 2012 dengan menuntut ganti rugi dan perintah injuksi sebanyak RM50 juta terhadap Utusan Malaysia.

Pada 2 Julai tahun lepas, Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak memohon meminda kenyataan pembelaan mereka untuk memasukkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun itu, yang mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas bekas ketua pembangkang itu.

Mereka juga mahu memasukkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan. Hakim Hue menetapkan kes disambung semula pada 2.30 petang 19 Oktober 2015.

BNM batal pelaburan RM7.5 bilion 1MDB, gesa pendakwaan

Posted: 09 Oct 2015 03:49 AM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk pelaburan ke luar negara berjumlah AS1.83 bilion atau RM7.5 bilion.

Bank pusat itu turut mengeluarkan arahan bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan menggesa 1MDB membawa balik wang berkenaan.

Tindakan itu ekoran kenyataan Peguam Negara bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan berkenaan siasatan Bank Negara terhadap 1MDB.

Di bawah siasatannya, BNM berkata ia merumuskan bahawa kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negara adalah berdasarkan pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki BNM semasa membuat penilaian terhadap permohonan 1MDB itu.

"Sebagai pihak berkuasa siasatan, Bank Negara bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci.

"BNM menghendaki pendedahan maklumat yang tepat dan lengkap setiap masa apabila mempertimbangkan sebarang permohonan di bawah ECA," katanya.

Hasil daripada siasatan, BNM berkata, ia mencadangkan peguam negara melaksanakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB di atas kesalahan di bawah ECA.

"Perlu diketahui bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk memulakan sesuatu pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada peguam negara," katanya.

BNM berkata ia akan terus memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Tiada Wawasan 2020 Kerana Tadbir Urus Yang Buruk - Dr M

Posted: 09 Oct 2015 03:46 AM PDT

MSTAR ONLINE


Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 
PETALING JAYA: Malaysia tidak akan mencapai Wawasan 2020 kerana tadbir urus buruk yang berterusan, kata bekas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temubual bersama majalah hal ehwal semasa Asia Pasifik, The Diplomat, pada Khamis,  bekas perdana menteri itu mendakwa kegagalan Malaysia dilihat akan gagal untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 disebabkan setiap Perdana Menteri memainkan isu-isu lain dan tidak memberi perhatian kepada pertumbuhan ekonomi negara .

"Negara ini telah berkembang di bawah saya, hampir sepanjang masa.

"Terdapat kemerosotan. Tetapi (kemudian) negara ini terbantut kerana pengendalian yang tidak betul, kerana tumpuan tidak begitu banyak kepada pembangunan ekonomi, tetapi survival politik," katanya.

"Setiap Perdana Menteri mahu terus bertahan, dan mereka yakin mereka akan terus hidup dengan memainkan isu-isu lain daripada menumpukan kepada pembangunan ekonomi. Oleh itu pertumbuhan menjadi perlahan.

"Dan apabila terdapat ketegangan kaum, pentadbiran yang tidak baik, rasuah, dan sebagainya, ekonomi menguncup. Oleh itu, kami tidak akan mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya.

"Kami tidak akan mencapainya sekarang. Anda boleh lihat penyusutan mata wang, pasaran saham berada dalam keadaan tidak baik,  secara amnya ramai orang tidak berpuas hati," kata Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Mahathir memperkenalkan konsep Wawasan 2020 semasa pembentangan Rancangan Malaysia Keenam pada tahun 1991. Ia bertujuan untuk Malaysia mampu menjadi sebuah negara perindustrian pada tahun itu.
 
 

Pemandu teksi kepung pemandu Uber

Posted: 09 Oct 2015 03:44 AM PDT

 
Kejadian dikatakan berlaku berhampiran KLCC apabila sekumpulan pemandu teksi bertindak mengepung dan menyerang kenderaan yang digunakan untuk membawa penumpang menggunakan applikasi Uber


Pemandu-teksi_600


PETALING JAYA: Sekumpulan pemandu teksi yang bengang dengan kehadiran pemadu Uber di perkarangan KLCC mengambil tindakan sendiri.

Meskipun tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan, tindakan yang membelakangkan undang-undang itu menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak.

Mengulas mengenai tindak tanduk pemandu teksi berkenaan, Elton Poh meluahkan rasa kesalnya di Facebook dengan apa yang berlaku.

"Lebih teruk dari babarians, dan juga anjing.

"Ini ke contoh rakyat Malaysia yang kita mahu tunjukkan kepada pelancong?", tulisnya

Dalam video yang dimuat naik ia menunjukkan sekumpulan pemandu teksi mengepung kenderaan yang digunakan untuk membawa penumpang.

"Dengan itu janganlah anda membawa Grab Car atau Uber. Pesanan daripada pemandu-pemandu teksi semua," kata salah seorang lelaki yang muncul dalam rakaman video yang dimuat naik.

VIDEO LINK 1
VIDEO LINK 2

Ramesh Rao lapor polis Tun M fitnah Najib

Posted: 09 Oct 2015 03:42 AM PDT

 
Dia mahu Tun M disiasat dan didakwa kerana memfitnah dan menghasut rakyat membenci Perdana Menteri. 


Ramesh-Rao_najib_mahathir_600


PETALING JAYA: Ramesh Rao membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menghasut dan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu forum di Ampang pada Sabtu lalu.

Pengerusi Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) membuat laporan itu supaya polis menyiasat Dr Mahathir dan seterusnya menangkap dan mendakwa jika terbukti bersalah.

Dia berkata, banyak pihak yang meminta polis menangkap Dr Mahathir tetapi tiada siapa berani membuat laporan terhadap negarawan itu.

"Tidak cukup sekadar meminta polis menangkap Mahathir, Buat laporan dan biar polis ambil tindakan.
"Kita tak boleh arah polis dengan arahan mulut sahaja," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya.

Ramesh mengingatkan polis supaya bertindak dan tidak pilih kasih terhadap aduan yang dibuat itu.

"Kalau polis tak ambil tindakan, pembangkang akan persoal kenapa polis bersikap 'double standartd," jelasnya.

Remaja Tertusuk Besi Masih Simpan Cita-Cita Jadi Askar

Posted: 09 Oct 2015 03:34 AM PDT


Nadzif tertusuk di ketiak kirinya, tembus di pangkal leher sebelah kanan.
 
 
KUALA LUMPUR: Walaupun nyaris maut selepas lehernya tertusuk sebatang besi pemunggah sawit, pelajar berusia 15 tahun yang memasang impian untuk menjadi askar, masih trauma dengan insiden tersebut.

"Ia berlaku dengan panas. Saya tidak merasakan sebarang kesakitan, saya hanya berasa tidak selesa," kata remaja lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Nadzif ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada Selasa lalu, Nadzif sedang berdiri di atas traktor yang dipenuhi kelapa sawit sambil memegang sebatang besi sebelum tergelincir dan lehernya tertusuk besi tersebut.

Insiden berlaku di Jalan Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Besi tersebut tertusuk di ketiak kirinya, tembus di pangkal leher sebelah kanan.

Dia kemudiannya dikejarkan ke HKL untuk mendapatkan rawatan dan dipindahkan ke Hospital Umum Sabak Bernam pada Khamis.

Nadzif berkata dia belum pasti bila akan dibenarkan keluar hospital kerana doktor masih lagi memantau keadaannya.

Remaja lelaki itu berkata dia mungkin terpaksa menangguhkan atau menjawab peperiksaan PT3 di hospital.

"Impian saya adalah untuk lulus semua kertas peperiksaan. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang askar," katanya.

Nadzif, anak ketiga daripada tujuh beradik sedang membantu rakannya di ladang kelapa sawit dan bukan bekerja sepenuh masa di situ.

"Saya membantu rakan dan mahu mendapatkan sedikit wang. Saya sudah biasa bekerja," katanya yang bekerja sambilan sejak berusia 13 tahun.

Ibu bapanya pernah menasihatkan Nadzif untuk berhenti kerja tetapi dia tetap ingin bekerja kerana tidak mahu membebankan mereka.

Tak Ada Rancangan Pecat Rafizi - Azmin

Posted: 09 Oct 2015 03:30 AM PDT

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK


GOMBAK: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan kononnya Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli akan dipecat, sekali gus disingkir daripada kedudukannya sebagai setiausaha agung parti itu.

Menyifatkan khabar angin berkenaan sebagai spekulasi, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa PKR tidak berhadapan masalah dalaman membabitkan pemimpinnya.

"Tak ada (rancangan pecat Rafizi), PKR hari ini sebuah parti yang bertambah kuat dan kukuh.

"Tidak ada masalah seperti yang dinyatakan oleh wartawan tersebut atau individu berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek naik taraf Masjid Zakaria di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai laporan berhubung satu petisyen dikemukakan 25 anggotanya baru-baru ini yang mahu jawatan Rafizi sebagai setiausaha agung dilucutkan susulan pertembungan dalaman berhubung penubuhan Pakatan Harapan.

Nasib Rafizi dikatakan bakal ditentukan pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual diadakan pada Ahad ini.

Ditanya mengenai mesyuarat berkenaan, Azmin berkata: "Kita mesyuarat setiap hari."

Diminta mengulas sama ada beliau akan mempertahankan Rafizi sekiranya MPP berkemungkinan mengambil pendirian untuk memecat Rafizi, Azmin bagaimanapun cuba mengaitkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah.

"Kalau benda ini tak benar why you speculate. Jangan layan spekulasi dan budaya fitnah. Sebab itu baru-baru ini Dewan Diraja Selangor dan kerajaan negeri ambil tindakan keras terhadap Tan Sri Rahim Thamby Chik yang lemparkan fitnah.

"Hentikan budaya fitnah kerana ia akan menggugat demokrasi dan kedaulatan negara dan negeri," katanya.

Kedudukan Rafizi sebagai setiausaha agung PKR dalam bahaya

Posted: 08 Oct 2015 08:35 PM PDT



Nasib Rafizi Ramli sebagai setiausaha agung PKR akan ditentukan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Ahad ini yang dibuat ekoran satu petisyen dikemukakan 25 anggotanya baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015. Nasib Rafizi Ramli sebagai setiausaha agung PKR akan ditentukan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Ahad ini yang dibuat ekoran satu petisyen dikemukakan 25 anggotanya baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insider.  
 
 
Sekumpulan pemimpin PKR mahukan Rafizi Ramli dilucutkan sebagai setiausaha agung disebabkan pertembungan dalaman berhubung penubuhan Pakatan Harapan, kata sumber parti.

Sumber itu berkata, nasib Rafizi akan ditentukan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Ahad ini yang dibuat ekoran satu petisyen dikemukakan 25 anggotanya baru-baru ini.

"Pimpinan utama parti menerima mesej berbunyi 'I want blood' (saya mahukan darah) untuk menyelesaikan krisis ini," kata seorang pemimpin kanan PKR kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber memberitahu, dipercayai mesej itu dihantar kumpulan bertentangan untuk menekan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ekoran bantahan mereka terhadap pengumuman pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini. 
 
Menurut sumber, selain mahu melucutkan jawatan Rafizi sebagai setiausaha agung, mereka juga dikatakan mahu MPP meluluskan cadangan agar dibentuk satu pakatan lain dengan PAS di samping mengekalkan Pakatan Harapan.

"Jika ini diluluskan oleh MPP, dalam pilihan raya umum akan datang, PKR tidak akan bertembung dengan PAS tetapi PAS bebas meletakkan calon di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh rakan PKR dalam Pakatan Harapan iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah)," kata sumber itu.

Cadangan ini berbeza dengan bentuk kerjasama yang dikemukakan Amanah iaitu kerjasama Pakatan Harapan dan PAS agar tidak ada pertembungan sesama mereka.

25 pemimpin PKR membuat petisyen mendesak MPP mengadakan mesyuarat khas ekoran pengumuman Dr Wan Azizah mengenai pembentukan Pakatan Harapan selepas persidangan meja bulat parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa kehadiran PAS baru-baru ini.

Namun, menurut sumber, sehingga kini sekurang-kurangnya 7 anggota MPP yang menandatangani petisyen itu sudah menghubungi Dr Wan Azizah untuk memohon maaf.

Sumber berkata, mesyuarat khas pada Ahad ini juga dijangka akan berlaku pertembungan kuasa di antara penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokong Rafizi di samping menguji sejauh mana kesetiaan ahli MPP terhadap Dr Wan Azizah.

Difahamkan, pihak yang mahukan PAS menyertai gabungan baharu itu tidak berpuas hati dengan pengumuman Dr  Wan Azizah dan mendesak diadakan mesyuarat segera.

Desakan yang dibuat melalui petisyen menyebabkan mesej dihantar seolah-olah 25 anggota MPP daripada lebih 50 ahli melakukan undi tidak percaya kepada Dr Wan Azizah.

Bagaimanapun, petisyen dikemukakan itu tidak ada ada sebarang tuntutan yang jelas.

Sumber memberitahu, tuntutan itu akan dibuat semasa mesyuarat pada Ahad.

Akan tetapi bekas pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) Profesor Datuk Dr Redzuan Othman tidak merasakan pertembungan akan berlaku dalam mesyuarat khas tersebut.

"Ia hanya perbincangan biasa saja untuk menuntut penjelasan kenapa Pakatan Harapan diumumkan secara tergesa-gesa tanpa dibawa kepada parti terlebih dahulu," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui mendengar usaha sedang dilakukan untuk menyingkirkan Rafizi sebagai setiausaha agung dan digantikan dengan Datuk Kamaruddin Jaffar yang menyertai PKR baru-baru ini.

"Saya rasa mereka tidak berpuas hati dengan cara Rafizi menguruskan parti," kata Redzuan yang merupakan timbalan pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), sebuah badan di bawah kerajaan Selangor pimpinan Azmin sebagai menteri besar.


Zeti perlu telus dedah masalah dihadapi negara, kata majalah perniagaan

Posted: 08 Oct 2015 08:29 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz digesa bersikap telus mengenai situasi yang dihadapi negara yang kini turut mempengaruhi ekonomi seperti kejatuhan nilai ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz digesa bersikap telus mengenai situasi yang dihadapi negara yang kini turut mempengaruhi ekonomi seperti kejatuhan nilai ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu jujur ​​berkenaan isu-isu yang melanda negara, kata Euromoney dalam edisi Oktober, seperti ringgit yang terus jatuh dan ekonomi mula perlahan.

Majalah perniagaan dan kewangan itu berkata selama ini Zeti menggunakan perkataan seperti "faktor dalam negara" untuk menggambarkan masalah yang melanda Malaysia, daripada berkata kesusahan disebabkan syarikat sarat hutang milik negara 1Malaysia Development (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Zeti menunjukkan melalui 15 tahun perkhidmatan cemerlang yang beliau bukannya seorang yang cepat melatah di bawah tekanan politik.

"Sekarang bukan masanya untuk beliau mula berbuat demikian. Ia akan memberi makna BNM yang diterajuinya selama ini tidak ada kelebihan langsung. "Zeti boleh mencuba lebih keras terhadap apa yang benar-benar mendatangkan masalah kepada negara. Sebagai pegawai awam paling dipercayai di Malaysia, beliau mempunyai sesuatu yang ahli politik tiada – kuasa hormat dan moral" kata majalah itu.

Walaupun jaminan daripada Putrajaya asas ekonomi Malaysia adalah kukuh, kebimbangan terhadap ekonomi semakin meningkat dengan ringgit, mata wang Asia paling teruk sejak setahun lalu, kini mencapai aras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini dikaitkan dengan tinjauan global yang semakin teruk, kejutan penurunan nilai yuan China, kejatuhan harga komoditi dan skandal politik semasa dikaitkan dengan Najib berhubung sumbangan penderma tidak diketahui dari Timur Tengah, 1MDB berhadapan siasatan berhubung penyelewengan kewangan yang didakwa.

Bagaimanapun, Euromoney berkata Zeti, 68, yang bakal bersara April depan, meneruskan siasatan ke atas 1MDB walaupun penyiasatan lain seolah-olah dihentikan.

"Zeti bukan penentang Najib, sekurang-kurangnya tidak secara terbuka, tetapi kempen tersembunyi secara tiba-tiba menuduhnya rasuah adalah teruk," kata majalah itu.

Majalah itu berkata, jika Najib memecat Zeti, beliau mungkin mengeluarkan satu "halangan menjengkelkan" tetapi majalah itu memberi amaran akibat yang besar, menyifatkannya sebagai "tamparan amat buruk terhadap kredibiliti Malaysia".

"Sambutan pasaran terhadap penyingkiran beliau boleh membuatkan ringgit menjunam setakat ini, suatu tragedi kepada negara, dan membawa bersama jiran Asean.

"Selepas semua tempoh perkhidmatan cemerlang, ia adalah sesuatu menyedihkan jika ini menjadi latar belakang pemergian Zeti," katanya.

Bank Negara, yang menyiasat 1MDB berhubung pendedahan palsu yang didakwa, merayu kepada pendakwa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap pelabur negara.

Tetapi Jabatan Peguam Negara semalam mengesahkan tiada sebarang kesalahan yang berkaitan dengan pendedahan palsu.

Ia dalam satu kenyataan berkata, mempertimbangkan rayuan bank pusat itu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan memandangkan kekurangan bukti baharu.

Euromoney berkata, kelihatannya kejatuhan ringgit tidak akan berakhir dalam masa terdekat, memetik kebanyakan penunjuk utama Malaysia kini ke belakang.

Ia berkata Zeti tidak melakukan dengan baik apabila menegaskan ringgit yang merupakan antara 120 mata wang yang jatuh berbanding dolar AS dan pasaran "tidak adil" salah membaca perkembangan ekonomi Malaysia sebagai masih bergantung kepada komoditi dan bukan berkenaan kemungkinan kerajaan yang tidak mampu berfungsi, gangguan dan rasuah.

"Pasaran boleh menjadi tidak rasional, tetapi selepas 12-18 bulan intensifikasi skandal sekitar Najib dan 1MDB, pasaran tidak buta, tidak juga lalai," kata majalah itu.


TPPA: PAS akan adakan sidang meja bulat bersama NGO

Posted: 08 Oct 2015 08:24 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS bersama NGO akan mengadakan satu persidangan meja bulat bagi membincangkan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Seperti Kongres Rakyat, meja bulat ini akan memberi peluang kepada semua pihak mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata peluang wajar diberi bukan hanya kepada ahli Parlimen sahaja, sebaliknya semua pihak yang ingin memberikan pandangan.

"Negara kita mempunyai ramai pakar ekonomi dan strategik yang mampu menyumbangkan idea bernas bagi memuktamadkan pendirian negara sama ada menerima atau menarik diri dari perjanjian tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, tanpa sebarang maklumat, dan selepas 13 tahun rundingan, 12 negara yang mengawal 40 peratus ekonomi global akhirnya mengumumkan mereka sudah mencapai kata setuju terhadap TPPA.

"Asalnya ia cuma satu perjanjian perdagangan, namun kini keluasan kuasa TPPA amat menggerunkan kerana ia meliputi hak pekerja, alam sekitar, perlindungan harta intelek, kastam, e-perdagangan dan juga pelaburan.

"Apakah TPPA ini sudah muktamad? Tidak lagi. Ia masih jauh. Ia mungkin setahun lagi ataupun lebih lama, sebelum perjanjian itu ditandatangani dan ditutup dan dihantar ke semua negara ahli.

"Pergolakan politik di mana-mana negara akan menyebabkan ini tergendala. Bahkan di Amerika sendiri, Presidennya Barack Obama juga menghadapi tentangan Hillary Clinton yang menentang TPPA selain pihak Republican," tambahnya.

Tuan Ibrahin berkata, kini TPPA akan dibawa ke parlimen Temasing-masing untuk didebatkan sebelum sesebuah kerajaan menandatanganinya.

"Walaupun ahli politik tidak boleh mengubah kandungan TPPA, namun mereka boleh mengundi untuk mengubah mana-mana undang-undang tempatan, termasuk tarif dan hakmilik intelek bagi memenuhi kehendak TPPA.

"Perkara yang paling ingin diketahui kini – apakah faedah dan keburukan TPPA? Prestasi kabinet juga mengoyahkan rakyat apakah pimpinan hari ini boleh berunding dengan baik untuk mendapat kelebihan bagi Malaysia di TPPA," katanya.

Beliau mendakwa skandal yang menyelebungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tatkala TPPA mencapai persetujuan, juga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap rundingan TPPA dalam melindungi kepentingan negara dan rakyatnya.

Menurutnya, dengan duti eksport yang bakal dimansuhkan di dalam urusan perdagangan antara 12 negara ini, apakah impaknya pada perniagaan skala kecil dan sederhana negara tatkala rakyat boleh menikmati barangan import dengan murah dan juga caj perkhidmatan telefon antarabangsa yang lebih murah.

"Apakah yang akan berlaku pada industri tempatan - seperti Proton dan Perodua jika kereta Jepun dapat memasuki pasaran negara secara bebas?

"Oleh kerana tiada siapa yang tahu isi kandungan perjanjian tersebut, maka Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed perlu mengemukakan kesemua draf perjanjian yang telah dimuktamadkan minggu lalu.

"Rakyat terpaksa menunggu beberapa minggu lagi sebelum dapat mengetahui kandungan TPPA yang akan dipaparkan ke awam. Namun, PAS percaya banyak lagi kandungan yang akan terus dirahsiakan," tambahnya.


Jerebu semakin pulih di seluruh negara

Posted: 08 Oct 2015 08:19 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Keadaan jerebu di seluruh negara semakin pulih apabila hanya 38 kawasan termasuk Shah Alam, Kuala Lumpur dan Langkawi merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat 9 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), IPU bagi Shah Alam 77, Kuala Lumpur dan Langkawi, masing-masing 60.
 
Kawasan lain Nilai (61), Pelabuhan Klang (86) dan Seri Manjung, Perak (70).
 
IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
 
Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.- Bernama
 
 

Erma Fatima tarik balik permohonan cerai terhadap suami

Posted: 08 Oct 2015 08:07 PM PDT

Bernama
 
Erma Fatima tarik balik permohonan cerai terhadap suami
Peguam pasangan terbabit memberitahu pasangan berkenaan telah berbincang secara baik dalam tempoh tiga minggu dan telah mencapai persetujuan dan keputusan yang positif. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Erma Fatima hari ini menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya yang difailkan Mei lepas, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Jamal Mohd Lokman Sulaiman yang mewakili Erma Fatima selaku plaintif di hadapan Hakim Syarie Mohamad Zaid Abdul Aziz.

"Mahkamah sebelum ini mengarahkan kedua-dua mereka melantik anggota keluarga terdekat sebagai wakil jawatankuasa pendamai (JKP) dalam kes perceraian ini.

"Bagaimanapun plaintif (Erma Fatima) bersetuju untuk menarik balik permohonan cerai untuk memberi peluang kepada suaminya membetulkan kesalahan," kata peguam itu.

Bagaimanapun, Erma Fatima atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, dan suaminya, Bade atau Badaruddin Azmi, 51, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam itu memberitahu pasangan berkenaan telah berbincang secara baik dalam tempoh tiga minggu dan telah mencapai persetujuan dan keputusan yang positif.

Erma Fatima memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003.
Pasangan itu bernikah pada 30 Nov 1990 dan memiliki lima anak angkat. 
 
 

Harap GST dikecualikan dalam sektor pertanian

Posted: 08 Oct 2015 08:05 PM PDT

SINAR HARIAN


Kedah harap GST dikecualikan
Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika ditemui wakil media pada Program Bual Bicara bersama Menteri Besar Kedah itu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, malam tadi. - Foto Bernama


SERDANG - Kerajaan negeri Kedah memohon agar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas sektor pertanian‎ khususnya barangan dan    peralatan untuk proses penghasilan padi dikecualikan daripada GST semasa pembentangan Bajet 2016.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pengecualian itu akan membolehkan anggaran GST sebanyak RM41 juta setahun yang perlu dibayar kepada kerajaan persekutuan, digunakan untuk meningkatkan daya saing petani dalam penghasilan bekalan makanan itu.

"Kita telah membuat perkiraan...barangan serta perkhidmatan yang digunakan petani bagi aktiviti pembajakan, pembajaan, penuaian serta penggunaan jentera adalah termasuk dalam senarai yang dikenakan GST.

"Saya harap dalam Bajet 2016 perkara ini boleh dipertimbangkan kerana pengecualian itu akan membantu Kedah menyumbang kepada jaminan bekalan makanan tanpa bebanan kewangan yang lebih daripada kemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis bual bicara Menteri Besar Bersama Pelajar Universiti Awam dari Kedah di Dewan Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Kira-kira 300 pelajar anak Kedah dari UPM, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) hadir pada majlis itu.

Mukhriz berharap saranan itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekali gus bakal menggembirakan kira-kira 80,000 petani yang mengusahakan sawah padi di negeri itu ketika ini.  
Katanya beliau gembira apabila Perdana Menteri semasa mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini menyatakan komitmen untuk memberi perhatian khas kepada petani serta nelayan dan kenyataan itu amat bertepatan dengan situasi pekerjaan penduduk di Kedah. 

"Selain itu, saya juga mengharapkan kutipan GST oleh kerajaan persekutuan dapat dikongsi dengan kerajaan negeri agar negeri seperti Kedah yang pendapatannya terhad boleh diringankan beban kewangannya," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri sememangnya memberi tumpuan dalam menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada lepasan universiti yang cemerlang.

Beliau berkata bidang aeroangkasa serta pembangunan bandar raya getah di Padang Terap memerlukan kepakaran tertentu dan mahasiswa anak negeri perlu memanfaatkannya dengan memilih jurusan bersesuaian dan mempelbagaikan kemahiran bagi mengisi kekosongan dalam industri itu kelak.

"Menerusi dialog seperti ini kita dapat berkongsi maklumat tentang perancangan kerajaan sekali gus membantu pelajar merancang pemilihan jurusan di universiti supaya akhirnya mereka boleh kembali menyumbang kepada pembangunan di negeri sendiri," katanya. - Bernama


Mayat kedua dipercayai rakan Sasa ditemui

Posted: 08 Oct 2015 07:55 PM PDT

Mayat kedua dipercayai rakan Sasa ditemui
Sebahagian keluarga Sasa Sobrie hadir di Hospital Gua Musang hari ini bagi membuat pengecaman selepas penduduk kampung menemui mayat seorang budak perempuan yang reput dalam Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi pukul 7 malam semalam. - Foto Bernama


GUA MUSANG – Satu lagi rangka mayat dipercayai kanak-kanak Orang Asli yang hilang di Pos Tohoi ditemui jam 5.30 petang tadi.

Rangka mayat itu ditemui di tebing Sungai Periah, 800 meter dari penemuan mayat Sasa Sobrie, 8, yang dijumpai penduduk kampung petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, mayat berkenaan  ditemui oleh pasukan operasi penyelamat dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk pengecaman identiti.

"Bedah siasat akan dibuat untuk mengenalpasti identiti dan punca kematian," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Mayat disahkan kanak-kanak Orang Asli ]

Semalam, mayat kanak-kanak itu ditemui tersangkut di celah batu 500 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim mengesahkan kanak-kanak itu adalah salah seorang tujuh mangsa yang hilang sejak sebulan yang lalu.

‘Saya tetap ahli Pas sampai mati’‎

Posted: 08 Oct 2015 07:53 PM PDT

'Saya tetap ahli Pas sampai mati'‎
Muka depan Sinar Harian edisi Kelantan hari ini.
 
 
KOTA BHARU - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan kritikan, menegaskan beliau tetap setia dengan perjuangan Pas.

Adun Salor itu berkata, banyak tuduhan khususnya mengenai status beliau dalam Pas adalah fitnah dan ia berlaku sejak muktamar baru-baru ini yang menyaksikan dirinya gagal mengekalkan jawatan dalam parti.

"Saya Adun Pas...ini bukan soal keliru, sekarang ini orang memfitnah saya sebelum muktamar lagi. Siapa yang fitnah dan apa sikap parti terhadap orang yang memfitnah saya. Apa tindakan terhadap orang yang fitnah saya dan rakan-rakan lain. Fitnah inilah punca segala-galanya," katanya yang merujuk kepada perpecahan sedang berlaku dalam Pas.

Kenyataan itu, sekali gus menutup spekulasi terhadap Husam yang sebelum ini didakwa condong kepada Parti Amanah Negara (Amanah) pimpinan Muhamad Sabu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak penubuhan Amanah, khususnya di Pantai Barat kerana ia mampu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu.

Ditanya adakah beliau  akan kekal selamanya dalam parti itu, bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan yang  kini masih dalam proses menjalani rawatan kesihatannya berkata: "Sebolehnya saya mahu kekal dalam Pas sehingga mati."

Mengulas kritikan beliau terhadap Kerajaan Kelantan, Husam berkata, tidak pernah ada niat atau berkomplot dengan mana-mana pihak untuk menjatuhkan kerajaan negeri, sebaliknya teguran yang dibuat supaya pemimpinnya tidak lari dari perjuangan asal lebih-lebih lagi asas yang ditegakkan oleh bekas Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Apa yang saya tegur ini adalah kerana saya yakin Islam, Pas parti yang demokratik mengizinkan bahkan mewajibkan menegur yang makruf dan mencegah kemungkaran oleh siapa sahaja.

"Anggaplah secara positif ia boleh menguatkan Pas. Kalau Pas bertindak balas mengikut apa yang diajar oleh agama, iaitu kalau teguran itu benar, terima teguran. Jangan bila orang tegur, fitnah balik orang itu," kata bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu.

Beliau berkata, setiap teguran merupakan perkara yang  masih boleh diperbaiki dan Kerajaan Kelantan mempunyai banyak masa sebelum PRU14.

"Kerajaan Kelantan boleh betulkan kekurangan pada teguran itu untuk menjadi kuat di mata orang ramai.

"Jika tidak ada orang tegur, perkara ini berlaku berleluasa dari semasa ke semasa, menjelang pilihan raya perkara ini didedahkan musuh, pada masa itu Pas tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Tinggal lagi orang akan tanya  kenapa (teguran) dibuat secara terbuka, banyak jawapan kepada soalan ini. Satu perkara pada asalnya dibuat secara tertutup tetapi tidak mendapat perhatian sewajarnya, mungkin saya orang yang kecil, "katanya.

Husam berkata, perjuangannya dalam Pas bukan untuk mendapatkan jawatan, malah tidak menolak kemungkinan kali ini adalah penggal terakhir bergelar sebagai Adun.

"Saya tidak kisah sekiranya lepas ini Pas tidak lagi mencalonkan saya kerana saya masuk perjuangan ini bukan kerana mahu menjadi pemimpin. Saya masuk kerana idealisme dan gagasan perjuangan.

"Siapa sahaja yang membawa gagasan itu, saya akan sokong. Siapa yang mengkhianati gagasan itu saya akan tegur, sehingga saya jadi orang biasa  tidak ada apa-apa," katanya.

Sebelum ini, Husam mendedahkan beberapa dakwaan kepincangan dalam pengurusan Kerajaan Kelantan termasuk isu pembalakan luar kawasan di Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan isu Kompleks Perkayuan Kelantan, anak syarikat kerajaan negeri.

Amaran tindakan kepada air jampi komersial

Posted: 08 Oct 2015 07:50 PM PDT

Amaran tindakan kepada air jampi komersial
Laporan Sinar Harian 27 September lalu.
 
 
KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati menjual produk air jampi tanpa lesen dikeluarkan Kementerian Kesihatan secara komersial di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, produk air jampi dikategorikan sebagai air minuman berbungkus yang tertakluk kepada Peraturan 360B(1A), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurutnya, berdasarkan peraturan itu,  semua punca air minuman berbungkus bagi tujuan perdagangan atau perniagaan termasuk air jampi perlu dilesenkan sebelum dibotolkan dan dijual.

"Ia selaras dengan persetujuan di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya Kementerian Kesihatan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air jampi kerana ia di bawah bidang kuasa mereka," katanya.

Beliau mengulas isu  "Air Jampi Dijual Secara Berleluasa" yang dilaporkan akhbar Sinar Harian, 27 September lalu.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang serius terhadap isu penjualan sebahagian air jampi secara komersial di pasaran tempatan.

"Kita dapati pihak terlibat menggunakan pengaruh agama untuk  tarik pembeli sedangkan ia hanya air kosong sama," katanya.

Pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air jampi berdasarkan Seksyen 4 (1)(f), Akta Makanan 1983."Kegagalan pihak terlibat mematuhi peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Kita minta semua pihak termasuk pengilang, pengedar dan penjual tidak menjual produk air minuman berbungkus yang tidak dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Menurutnya, mereka juga tidak boleh memaparkan akuan kesihatan tanpa kebenaran di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pada label produk air itu.
 
 

Tiada ulasan: