Jumaat, 9 Oktober 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Bank Negara batal kebenaran, minta 1MDB pulangkan RM7.53 bilion ke Malaysia

Posted: 09 Oct 2015 07:40 AM PDT

Bank Negara Malaysia (BNM) membatalkan 3 kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk pelaburan di luar negeri sebanyak AS$1.83 bilion (RM7.53 bilion).

 Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata ia turut meminta 1MDB untuk membawa balik jumlah tersebut ke Malaysia dan mengemukakan kepada Bank Negara perancangannya berkaitan perkara itu.

 Di bawah siasatannya, Bank Negara berkata ia merumuskan kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negeri adalah berdasarkan pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki Bank Negara semasa membuat penilaian terhadap permohonan 1MDB itu.

 Bagaimanapun, didapati maklumat yang diberikan adalah sama ada tidak tepat atau tidak lengkap. 

"Sebagai pihak berkuasa siasatan, Bank Negara bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci. Bank Negara menghendaki pendedahan maklumat yang tepat dan lengkap setiap masa apabila mempertimbangkan sebarang permohonan di bawah ECA," katanya.

 Sebagai hasil daripada siasatan, Bank Negara berkata, ia mencadangkan peguam negara melaksanakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB di atas kesalahan di bawah ECA.

 "Perlu diketahui di bawah Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk memulakan sesuatu pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada peguam negara," katanya.

 Bank Negara berkata ia akan terus memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Bernama, 9 Oktober, 2015.~sumber

WAKAF TERNAK YDH

Posted: 09 Oct 2015 02:15 AM PDT

Seminggu dua lalu, saya dikunjungi seorang lelaki bersama adiknya untuk membeli biri-biri dari ladang kecil saya.

 Se ekor biri-biri penjantan berharga RM 1,000 menjadi idaman beliau.

 Dari perbualan spontan kami, saya dapat mengesan minatnya yang mendalam terhadap ternakan. Malangnya, beliau hanya bekerja sebagai tukang kebun persendirian berpendapatan kecil.

 Pengembangan ternakannya terhad kerana ketidakmampuan kewangannya.

 Dari pendapatannya yang sedikit, beliau berdikit-dikit mengumpul wang membesarkan usaha ternakannya. Beliau hanya akan mengambil biri-biri jantan yang diminatinya pada hari yang lain sementara wangnya mencukupi.

 Raut wajahnya, beliau seorang abid yang soleh. Se orang miskin yang cekal dan merendah diri. Beliau menyewa sebidang tanah di Bachok untuk tanaman rumput ternakannya. Luas 3 ekar, sewaan RM 50 sebulan.

 Beliau mendapat se ekor lembu pawah dari Kerajaan Negeri melalui YB Rohani, wakil rakyat Dun Tanjong Mas.

 Saya tertarik dengan kesungguhan dan minat beliau.

 Saya kurangkan harga biri-biri saya kepada RM 800 sahaja. Beberapa hari kemudian, beliau datang dengan wang RM 800 yang beliau berjaya kumpulkan.

 Saya berjanji pada beliau untuk membelikannya biri-biri Garut betina (Domba atau biri-biri baka besar dan istimewa dari Garut, Bandung, Indonesi) bila keadaan ekonomi saya mengizinkan pada satu masa, untuk membantu beliau membesarkan ternakannya.

Sepulang beliau, saya merenung panjang.

 Idea ternakan kambing (jamnapari hanya satu branding untuk popularkan) atau biri-biri atau apa sahaja jenis ternakan komersial yang lain - kembali menerjah fikiran saya.

 Idea ini saya kutip dari satu hadis Nabi s.a.w yang dimuat oleh Ibn Abi Dunya dalam kitabnya Islah al-Maal (Pembaikan Harta Benda)

 Satu keluarga yang diberikan kambing/biri-biri betina, Allah hapuskan kefakiran darinya.

 Kelantan dijoloki negeri berpenduduk miskin. Lalu saya cadangkan Kerajaan Negeri memberikan lima ekor kambing/ biri-biri bunting kepada keluarga miskin untuk membantu mereka bersama kandang pasang siap.

Rumputan tumbuh liar secara semulajadi boleh diberikan nilai ekonomi atau mereka boleh menabur benih rumputan lebih berkhasiat untuk tumbuh di tanah terbiar dan mengutipnya untuk ternakan mereka. Ini yang diajar oleh ekonomi Nabi Yusuf a.s iaitu semua perkara nampak terbuang diberikan nilai ekonomi.

Ia sebuah agenda yang baik.

Data rasmi menunjukkan, bekalan daging mentah dalaman negara kita sememangnya tidak memadai untuk memenuhi keperluan pasaran. Kita terpaksa bergantung 85% bekalan dari daging impot luar negara.

 Inilah juga asas justifikasi pihak kerajaan menyokong dan menyalurkan dana untuk projek National Feedlot Corporation (NFC), bertujuan menampung kekurangan bekalan ini.

 Inilah juga asas bagaimana projek ternakan kambing sebegini secara tidak langsung membantu mengurangkan masalah defisit bajet negara akibat terlalu bergantung kepada quota daging impot. Dan yang lebih utama ialah usaha untuk memperkasa industri ternakan mikro.

Bagaimanapun, atas apa jua sebab politik, idea ini diserang sekalipun pelbagai kesan positif telah menjelma dalam industri ternakan dan cita rasa masyarakat terhadap kambing/biri-biri, khususnya di Kelantan.

 Akhirnya ia terbantut.

 Bagi peserta yang dedikasi mereka kini telah menghasilkan puluhan ekor kambing dari induk yang diberikan.

 Ia adalah serangan ke atas idea yang saya sifatkan "sunnah".

 Kehadiran tukang kebun miskin dengan cita-cita menggunung mengubah kehidupannya melalui bidang ternakan, telah menyedarkan saya, di luar sana masyarakat miskin tetapi gigih sangat memerlukan "sunnah ternak" ini.

 Apa salahnya saya memulakan inisiatif paling kecil dengan menggerakkan "wakaf ternak" menerusi Yayasan Darul Hijrah (YDH) ini?



 Sumbangan wakaf dari anda boleh kita mulakan dengan membeli tiga ibu domba Garut untuk peserta pertama kita ini.

 Jika sumbangan wakaf meningkat boleh kita bersama kembangkan kepada peserta yang lain.

 Sumbangan wakaf anda boleh dihulurkan atas inisiatif # WAKAF TERNAK melalui Yayasan Darul Hijrah (YDH) di Akaun Maybank bernombor 5660 1060 9934  dan maklumkan setiap sumbangan wakaf ke talian 018-359 0403.

Husam Musa
8 Oktober 2015/ 24 Zulhijjah 1436

Kedudukan Rafizi sebagai setiausaha agung PKR dalam bahaya

Posted: 08 Oct 2015 05:35 PM PDT

OLEH ZULKIFLI SULONG
Sekumpulan pemimpin PKR mahukan Rafizi Ramli dilucutkan sebagai setiausaha agung disebabkan pertembungan dalaman berhubung penubuhan Pakatan Harapan, kata sumber parti.

 Sumber itu berkata, nasib Rafizi akan ditentukan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Ahad ini yang dibuat ekoran satu petisyen dikemukakan 25 anggotanya baru-baru ini. 

 "Pimpinan utama parti menerima mesej berbunyi 'I want blood' (saya mahukan darah) untuk menyelesaikan krisis ini," kata seorang pemimpin kanan PKR kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak dinamakan.

 Sumber memberitahu, dipercayai mesej itu dihantar kumpulan bertentangan untuk menekan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ekoran bantahan mereka terhadap pengumuman pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini.

 Menurut sumber, selain mahu melucutkan jawatan Rafizi sebagai setiausaha agung, mereka juga dikatakan mahu MPP meluluskan cadangan agar dibentuk satu pakatan lain dengan PAS di samping mengekalkan Pakatan Harapan.

 "Jika ini diluluskan oleh MPP, dalam pilihan raya umum akan datang, PKR tidak akan bertembung dengan PAS tetapi PAS bebas meletakkan calon di mana-mana kerusi yang ditandingi oleh rakan PKR dalam Pakatan Harapan iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah)," kata sumber itu.

 Cadangan ini berbeza dengan bentuk kerjasama yang dikemukakan Amanah iaitu kerjasama Pakatan Harapan dan PAS agar tidak ada pertembungan sesama mereka.

 25 pemimpin PKR membuat petisyen mendesak MPP mengadakan mesyuarat khas ekoran pengumuman Dr Wan Azizah mengenai pembentukan Pakatan Harapan selepas persidangan meja bulat parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa kehadiran PAS baru-baru ini.

 Namun, menurut sumber, sehingga kini sekurang-kurangnya 7 anggota MPP yang menandatangani petisyen itu sudah menghubungi Dr Wan Azizah untuk memohon maaf.

 Sumber berkata, mesyuarat khas pada Ahad ini juga dijangka akan berlaku pertembungan kuasa di antara penyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokong Rafizi di samping menguji sejauh mana kesetiaan ahli MPP terhadap Dr Wan Azizah.

 Difahamkan, pihak yang mahukan PAS menyertai gabungan baharu itu tidak berpuas hati dengan pengumuman Dr Wan Azizah dan mendesak diadakan mesyuarat segera.

 Desakan yang dibuat melalui petisyen menyebabkan mesej dihantar seolah-olah 25 anggota MPP daripada lebih 50 ahli melakukan undi tidak percaya kepada Dr Wan Azizah.

 Bagaimanapun, petisyen dikemukakan itu tidak ada ada sebarang tuntutan yang jelas.

 Sumber memberitahu, tuntutan itu akan dibuat semasa mesyuarat pada Ahad.

 Akan tetapi bekas pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) Profesor Datuk Dr Redzuan Othman tidak merasakan pertembungan akan berlaku dalam mesyuarat khas tersebut.

 "Ia hanya perbincangan biasa saja untuk menuntut penjelasan kenapa Pakatan Harapan diumumkan secara tergesa-gesa tanpa dibawa kepada parti terlebih dahulu," katanya.

 Bagaimanapun, beliau mengakui mendengar usaha sedang dilakukan untuk menyingkirkan Rafizi sebagai setiausaha agung dan digantikan dengan Datuk Kamaruddin Jaffar yang menyertai PKR baru-baru ini.

 "Saya rasa mereka tidak berpuas hati dengan cara Rafizi menguruskan parti," kata Redzuan yang merupakan timbalan pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), sebuah badan di bawah kerajaan Selangor pimpinan Azmin sebagai menteri besar. – 9 Oktober, 2015. - sumber

Tiada ulasan: