Jumaat, 23 Oktober 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bajet 2016 Cukai Naik Dan Juga BRIM 2016 Naik Antara RM100 Hingga RM150? Apa Kata Anda?

Posted: 23 Oct 2015 05:23 AM PDT

BERITA SEMASA
 
 
Bajet 2016 Cukai Naik Dan Juga BRIM 2016 Naik Lagi Antara RM100 Hingga RM150? Apa Kata Anda?


bajet 2016


Ringgit Malaysia sempat mengukuh sehingga RM4.09 bagi satu dolar Amerika pada 9 Oktober 2015 tetapi secara tiba-tiba menunjukkan trend ringgit Malaysia terus jatuh ke paras RM4.30 untuk setiap satu dolar Amerika sejak 12 Oktober 2015.

Apa sebabnya?
Ini semua gara-gara dapatan daripada kajian yang dilakukan sendiri oleh Maybank mengenai kemungkinan besar intipati Bajet 2016 Malaysia pada 23 Oktober 2015 ini antara lain terkandung pengumuman cukai bakal naik dan menjadi lebih tinggi untuk tujuan mengimbangkan semula kehilangan pendapatan negara disebalik kejatuhan harga minyak dunia pada ketika ini.

Walaubagaimanapun BIMB Security berdasarkan kajiannya merasakan cukup dengan pendapatan tambahan yang diperolehi kerajaan melalui pelaksanaan cukai GST 6 peratus disebalik kelembapan harga minyak dunia sekarang.

 

Jangkaan Maybank : Bajet 2016 Cukai dan BRIM Naik?

Berikut di bawah ini, Berita Semasa senaraikan lagi jangkaan intipati Bajet 2016 :
  1. Kemungkinan perbelanjaan pembangunan akan naik dari RM48.5 bilion kepada RM52 bilion
  2. Defisit fisikal akan dikurangkan daripada 3.5 peratus kepada 3.2 peratus
    Kerajaan akan mengumumkan sesuatu melibatkan beberapa projek berimpak tinggi termasuklah KVMRT2, LRT3, landasan berkembar Gemas-JB, Lebuhraya Pan Borneo, RAPID Penerangan, TRX, Kwasa
    Damansara, KL118 ataupun dikenali Warisan Merdeka, BB City Centre
  3. Najib akan umumkan kenaikan cukai?
  4. Butiran projek keretapi laju KL – Singapore tidak dibentangkan dan dijangka projek tersebut akan ditunda sehingga tahun 2018.
  5. Semakan pelaksanaan gaji minimum
  6. Akan memberikan tumpuan kepada projek-projek pembinaan rumah mampu milik di Malaysia
  7. Berita baik kepada penyokong BR1M dan bakal penerima seterusnya duit bayaran Brim, dijangka akan naik sejumlah antara RM100 hingga ke Rm150. Nantikan!
Lain-lain butirannya boleh anda semak melalui gambar-gambar di bawah ini berdasarkan kajian yang dilakukan sendiri oleh Maybank IB Research disebalik pembentangan Bajet 2016 Malaysia pada 23 Oktober 2015 ini.

 

Jerebu Dijangka Pulih November Ini - Jabatan Meteorologi

Posted: 23 Oct 2015 05:19 AM PDT

MSTAR ONLINE
 

 
 
 
KUALA LUMPUR: Masalah jerebu yang melanda negara dijangka berakhir November ini berikutan ketibaan angin monsun dari arah timur laut yang akan menolak udara tercemar ke selatan wilayah Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata monsun timur laut dijangka bermula pada minggu pertama atau kedua November dan akan berakhir pada minggu kedua Mac 2016.

"Mulai November, kita akan mengalami angin monsun timur laut...ini bermakna angin dari Laut China Selatan tidak akan bawa jerebu dari Indonesia dan pada waktu itu negara akan bebas daripada jerebu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi pembenihan awan oleh Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (Mosti) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, Jumaat.

Berkenaan operasi pembenihan awan (OPA), beliau berkata Mosti melaksanakan 29 OPA bagi mengurangkan kesan jerebu sejak Mac lepas.

Jelasnya, operasi itu akan diteruskan di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi tempoh 72 jam.

"Pembenihan awan telah berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan yang dilanda jerebu teruk termasuklah di Lembah Klang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai proses pembenihan awan itu, Che Gayah berkata bahan yang digunakan adalah garam masakan biasa yang dilarutkan bersama air sebelum disembur ke dalam awan.

Katanya, proses tersebut tidak mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan manusia ataupun alam sekitar.

"(Berhasil atau tidak) proses (pembenihan awan) bagaimanapun mengambil kira faktor keadaan awan, atmosfera yang sesuai dan stabil serta udara lembap di kawasan sasaran," katanya.

Kerajaan kutip RM39 bilion menerusi GST

Posted: 23 Oct 2015 05:12 AM PDT

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding jika kerajaan menerusikan SST yang hanya memberi pendapatan sebanyak RM18 bilion.


budget_gst_600


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan langkah yang tepat.

Perdana Menteri berkata, pendapatan kerajaan terus meningkat sejak GST diperkenalkan 1 April lalu berbanding jika kerajaan meneruskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Jika kita terus menggunakan SST, kita hanya mampu mengutip sebanyak RM18 bilion.

"Tetapi sejak memperkenalkan GST, hasil kutipan meningkat kepada RM39 bilion ringgit," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 di Parlimen pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Najib menjelaskan bahawa walaupun pelaksanaan GST bukanlah langkah populis tetapi demi menjamin kehidupan rakyat, kerajaan akan terus melaksanakan perkara yang betul.

"Bersyukurlah kerajaan yang ada merupakan kerajaan yang mempunyai iltizam untuk melaksanakan GST. Walapun ada pelbagai halangan," katanya lagi.

Pada masa sama, Najib juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pembangkang kerana menerima pelaksanaan GST.

"Terima kasih kepada penbangkang kerana faham kenapa kita hendak laksanakan GST.

"Tanpa GST, negara akan mengalami defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan sebanyak 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016," katanya yang merujuk Bajet Alternatif 2016 Pakatan Harapan.

Indonesia mohon bantuan atasi jerebu selepas usaha dalaman gagal

Posted: 23 Oct 2015 05:08 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PUTRAJAYA: Indonesia memohon bantuan luar menangani kebakaran selepas segala usaha memadam kebakaran dan operasi pembenihan awan tidak berhasil, sementara skala kawasan terbakar pula semakin melebar, kata Kaunselor Menteri di Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia, Freddy M Panggabean.

Beliau berkata, ia diputuskan selepas lebih 22,000 anggota keselamatan bersama 24 pesawat digerakkan bagi memadamkan kebakaran yang mengakibatkan jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara negara jiran itu.

Ditanya pemberita mengapa Indonesia mengambil masa sebelum meminta bantuan luar, selepas menghadiri Bicara Persada: Bernafas Dalam Jerebu Sampai Bila? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini hari ini, Freddy berkata setiap negara mempunyai polisi untuk mengawal bencana secara dalaman terlebih dulu.

"Ia tidak harus diertikan sebagai Indonesia tidak mahu menerima bantuan luar sebaliknya keputusan itu tentunya dibuat atas keyakinan aset dan keupayaan dalaman yang dimiliki mampu digunakan dalam melaksanakan operasi memadam kebakaran," katanya.

Selain Malaysia, Presiden Indonesia Joko Widodo secara rasmi turut meminta bantuan daripada Singapura, Russia dan Jepun. Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Malaysia tidak akan mengenakan sebarang bentuk tekanan kepada Indonesia dalam menangani gejala jerebu, Freddy berkata ia membuktikan wujud persefahaman antara dua negara berjiran.

Katanya, kenyataan itu juga jelas menyerlahkan keyakinan Malaysia terhadap usaha serta tindakan yang sedang dan akan dilakukan kerajaan Indonesia dalam menangani kebakaran hutan yang menyebabkan gejala jerebu.

Ahmad Zahid semalam dilaporkan berkata bahawa tidak adil untuk Malaysia mengenakan sebarang bentuk tekanan kepada Indonesia dalam menangani gejala jerebu rentas sempadan yang berpunca dari republik itu berdasarkan usaha bersungguh-sungguh negara itu untuk mengatasi kebakaran tanah gambut. – BERNAMA

Ahli Parlimen BN berhak tolak Najib

Posted: 23 Oct 2015 05:04 AM PDT

Ku Li


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li menyatakan, ahli Parlimen BN berhak menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, penolakan tersebut berdasarkan kepada isu-isu yang membelenggu diri Najib itu sendiri.

"Tetapi berdasarkan isu-isu tertentu, jika mereka fikir perlu untuk menentang perdana menteri tetapi bukan bajet, mereka berhak lakukannya," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, semalam.

Namun begitu, beliau berkata, ahli Parlimen BN tidak patut menolak Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Najib hari ini.

"Saya tidak fikir mereka (ahli Parlimen BN) akan memberi undi tidak percaya kepada belanjawan dibentangkan Najib," katanya.

Ketika ditanya pendiriannya mengenai perkara tersebut, katanya, beliau sentiasa berfikiran terbuka.
"Dengar apa kata mereka terlebih dahulu. Kita datang ke Parlimen dengan hati terbuka untuk mendengar hujah mereka," katanya.


Bajet 2016: Rakyat makin tertekan hari ini

Posted: 23 Oct 2015 05:01 AM PDT

Bajet 2016
Bajet 2016
 

ISI kandungan Bajet 2016 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen esok menjadi perdebatan di pelbagai lapisan masyarakat baik di media sosial mahupun di kedai kopi.
Malah tidak berlebihan jika Bajet 2016 ini dianggap sebagai kunci paling hampir kepada bebanan rakyat pada hari ini.

Namun, kunci itu mungkin kekal mengunci rakyat dalam kesempitan ataupun akhirnya membuka laluan untuk rakyat melepaskan diri dari belenggu bebanan sara hidup yang saban hari menekan ditambah dengan kenaikan kadar tol berganda-ganda yang diumumkan Khamis lalu.

Minyak naik, tol pun naik kemudian GST lagi tapi malangnya, pendapatan isi rumah tetap tak naik-naik. Rakyat yang berpendapatan rendah pasti sukar untuk bernafas ketika ini. Berjerebu di luar dan dalam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman mengimbau kembali janji kerajaan yang menyatakan bahawa hasil tambahan pendapatan yang diperoleh menerusi pelaksanaan GST akan digunakan untuk manfaat serta kebajikan rakyat dan negara.

"Sepatutnya kerajaan tidak ada masalah sangat (untuk bantu rakyat) kerana sudah mempunyai suntikan tambahan iaitu GST. Laporan media sebut, hasil GST itu setakat ini sudah mencecah RM23 bilion. Dulu dikatakan kutipan GST ini adalah untuk menampung perbelanjaan negara. Sepatutnya, inilah masa untuk menunjukkan balik kepada rakyat bahawa duit itu digunakan dengan sewajarnya.

"Kerajaan perlu menggunakan sebahagian hasil kutipan GST itu untuk menampung kenaikan-kenaikan baharu ini seperti tol. Dulu bolehlah kerajaan kata bahawa mereka terpaksa menanggung bayaran kepada syarikat konsesi, tapi sekarang ini duit sudah ada.

"Sepatutnya gunakan balik duit itu untuk menampung apa sahaja perbelanjaan tambahan kepada konsesi-konsesi lebuh raya itu. Malangnya kerajaan tidak mengambil pendekatan sedemikian," katanya kepada Sinar Online.

Malah beliau turut mengakui rakyat terutamanya yang berada di Lembah Klang semakin tertekan selepas kenaikan kadar tol yang akan memberi kesan kepada kos perkhidmatan dan harga barang.

"Walaupun kerajaan kata tak naik, hakikatnya sebelum-sebelum ini apabila tol naik, minyak naik, harga barang akan turut naik. Jadi, kerajaan kena prihatinlah pada masalah rakyat sekarang ini.

"Pada masa sama, kerajaan tidak menerangkan kepada rakyat ke mana hala tuju duit tambahan itu. Saya rasa kerajaan perlu memberitahu kepada rakyat nak guna duit tambahan itu di mana. Barulah rakyat faham dan boleh memberi sokongan kepada apa yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Sementara Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat, sekiranya kandungan Bajet 2016 mampu meredakan masalah dan kesengsaraan rakyat termasuk berkaitan kos sara hidup, ia mungkin bakal mengubati perasaan rakyat yang tidak cenderung dengan pemerintahan Najib.

"Saya fikir beliau akan mengambil kira bahawa Bajet 2016 ini penting untuk menentukan bagaimana persepsi dan sokongan rakyat terhadap beliau. Sudah tentu beliau akan mengambil langkah dan strategi-strategi yang dapat meredakan rungutan dan sungutan rakyat.

"Jika itu berlaku, sedikit sebanyak tidak akan menambah teruk lagi persepsi rakyat terhadap beliau," katanya.

Meskipun rakyat sedang 'kepanasan', namun beliau berkata, ia tidak dapat dinafikan bahawa rakyat tetap menanti kadar BR1M dinaikkan susulan daya beli mereka yang sudah menurun.

Katanya lagi, langkah terbaik yang kerajaan boleh ambil ialah mendengar rintihan rakyat dan mengambil tindakan konkrit dengan menyalurkan balik wang yang telah dikutip itu kepada rakyat bagi meringankan beban kehidupan mereka.

Manakala, Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berpendapat, rakyat lebih menantikan penyelesaian segera kerajaan terhadap kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menangani isu kejatuhan mata wang.

"Sekarang ini dengan keadaan tol naik, minyak naik, duit jatuh, perkara ini (pengagihan hasil GST) orang dah tak pandang dah.

"Mungkin ada segelintir yang pandang tapi ramai yang lebih risaukan keadaan sekarang ini. Daripada mengharapkan pulangan GST, mereka lebih berharap agar GST itu dihapuskan terus," katanya.


Pembangkang bantah sifar tol di Sarawak, Sabah

Posted: 23 Oct 2015 04:58 AM PDT

Najib Tun Razak
Najib memegang Buku X sambil diperhatikan oleh Ahmad Zahid semasa Pembentangan Bajet 2016 di Parlimen. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
KUALA LUMPUR - Perjalanan sidang Dewan di Parlimen hari ini terhenti sebentar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Lebuhraya Pan Borneo ‎bebas daripada sebarang bayaran tol.

Najib mengumumkan perkara tersebut semasa membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di Parlimen petang ini.

"Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1090km dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2021 dengan anggaran kos sebanyak RM16.1 bilion.

"Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini akan mula dibina pada tahun 2016 meliputi 706 kilometer bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos RM12.8 bilion.

"Sukacitanya saya berkongsi bahawa lebuhraya ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol," katanya.

Keadaan tenang beransur keruh apabila barisan ahli Parlimen pembangkang menyuarakan rasa tidak puas hati masing-masing.

Suasana Dewan yang semakin kecoh menyebabkan perjalanan pembentangan Bajet 2016 terhenti sebentar.

Najib mengambil masa beberapa ketika sebelum menyambung kembali pembentangan.

Pengurus Petronas didakwa bocor maklumat

Posted: 23 Oct 2015 04:57 AM PDT

Petronas
 
 
SHAH ALAM - Seorang Pengurus Projek Petronas ICT Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tiga pertuduhan menerima suapan RM31,880.70, dua tahun lalu.
 
Ali Amran Alias didakwa menerima suapan tersebut melalui cek Malayan Banking dan dua keping cek HSBC daripada Pengarah Urusan syarikat kontraktor, Ahmad Fauzan Hasim. 
 
Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat sebut harga bagi melayakkan syarikat Nera Infocom terpilih sebagai kontraktor pemasangan sistem radio UHF Bintulu Crud Terminal di Petronas ICT Tanjung Kidurung Bintulu.
 
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank, Seksyen 15 Shah Alam pada 10 Oktober 2013, 14 Mac dan 9 Mei 2014.
 
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mahamad Sukri Seman mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
 
Mahamad Sukri menawarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan.
 
Ali, 41, yang tidak diwakili  peguam merayu mahkamah membenarkan jaminan rendah dengan alasan menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.
 
Hakim, Sabariah Atan membenarkan jaminan RM21,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November untuk sebutan.
 
 

Sultan Selangor tarik ‘Datuk Seri’ Dr Khir Toyo

Posted: 23 Oct 2015 04:51 AM PDT

MALAYSIAKINI 


 


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri' daripada bekas Menteri Besar Dr Mohammad Khir Toyo.

Setiausaha kerajaan negeri merangkap pendaftar kerajaan negeri Selangor Datuk Khusrin Munawi berkata, perkara itu diputuskan setelah perundingan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan Dewan di-Raja Selangor.

"Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama pada 2001 kepada Dr Khir ditarik balik berkuatkuasa 30 September 2015," katanya dalam satu kenyataan media.

Tindakan itu susulan hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan kepadanya selepas disabitkan bersalah kerana menyalahgunakan kuasa pada 2007.

Sebelum ini, pada Januari 2011, gelarannya itu digantung selepas didakwa pada 6 Disember, 2010 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan menerima rasuah dalam bentuk dua plot tanah di Seksyen 7, Shah Alam.


Plakad 'mana 2.6 bilion?' tanda habis modal

Posted: 23 Oct 2015 04:46 AM PDT

Zulaikha Zulkifli





Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pembangkang mempamerkan plakad 'mana 2.6 bilion?' selepas pembentangan Belanjawan 2016 dilihat sebagai "kehabisan modal".

"Mungkin mereka kurang modal.

"Dah tak sentuh lagi mengenai belanjawan," katanya dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2016 di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pembangkang yang mempamer plakad bertulis "mana 2.6 bilion" selepas Najib selesai membentang Belanjawan 2016.

Pada tahun lalu, pembangkang mengangkat Buku Jingga selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selesai membentangkan belanjawan.


Penjawat awam dapat RM500, pesara RM250

Posted: 23 Oct 2015 04:39 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan akan memberikan pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebanyak 700,000 pesara kerajaan pula akan menerima bayaran khas RM250.

"Kedua-dua bayaran ini yang berjumlah hampir RM1 bilion akan dibuat pada bulan Januari 2016," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bersetuju menambah baik beberapa perkara bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kakitangan perkhidmatan awam.

Ini termasuk menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan yang akan memanfaatkan 60,000 penjawat awam, selain menambah baik 252 skim perkhidmatan yang bermanfaat kepada 406,000 penjawat awam.

"Kerajaan juga bersetuju menetapkan kadar pencen minimum RM950 sebulan yang melibatkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan," katanya.

Selain itu, Najib berkata, kerajaan akan memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred, yang akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam dengan peruntukan RM1.1 bilion.

Tambah beliau, pegawai lantikan 'Perkhidmatan Kontrak' yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam juga akan dilantik secara tetap.

Kesemua pelaksanaan itu dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion akan berkuat kuasa 1 Julai 2016, katanya.- Bernama


Tiada GST bagi ubat penyakit tak berjangkit

Posted: 23 Oct 2015 04:35 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas semua jenis ubat penyakit tidak berjangkit, merupakan antara tujuh langkah penambahbaikan layanan GST berkuat kuasa menjelang 1 Jan depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata penambahbaikan itu melibatkan semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A,B,C,D serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat 'boleh dibeli kaunter'.

"Ini meliput ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda daripada 4,215 kepada 8,630 jenama ubat," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertajuk 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata penambahbaikan kedua adalah melibatkan tiada GST dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan makanan dan masakan termasuk susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik.

Perdana Menteri berkata bagi membolehkan petani berskala kecil mendpat manfaat daripada Skim Kadar Rata di bawah GST, had jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawaj skim itu diturunkan kepada RM50,000 daripada RM100,000, yang merupakan penambahbaikan ketiga.

Najib berkata penambahbaikan keempat pula adalah syarikat-syarikat terlibat aktiviti penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih di dalam industri aeroangksapula akan dibenarkan menyertai 'Approved Trader Scheme' dan diberikan pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang.

Penambahbaikan kelima pula membabitkan pelepasan GST ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran, katanya.

Menurutnya, pelepasan GST juga diberikan kepada pengimportan semula peralatan dieksport secara sementara bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung.

Seterusnya, katanya pelepas GST turut diberikan untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.
Telefon bimbit

Selain pelepasan dan penambahbaikan tersebut, Najib turut mengumumkan pengguna telefon bimbit akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan pembayar mereka berkuat kuasa mulai 1 Jan hingga 31 Dis 2016.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar untuk manfaat penduduk pedalaman di Sabah, Sarawak dan Labuan turut dikecualikan GST.

Najib dalam pada itu memberitahu Dewan Rakyat, sehingga kini, terdapat hampir 400,000 jumlah syarikat yang telah berdaftar dengan GST dengan kadar patuh serahan mencapai lebih 90 peratus.

Malaysia mula melaksanakan GST pada 1 April lepas yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau Asia Tenggara yang menganggotai ASEAN.

Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN - kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial.

GST dilaksanakan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus yang diguna pakai sebelum pelaksanaan GST.- Bernama


Tiada lagi bantuan persekolahan RM100 kepada semua

Posted: 23 Oct 2015 04:31 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bermula tahun depan, bantuan awal persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 yang diberikan kepada setiap murid sebelum ini, akan hanya diberi kepada mereka yang ibu bapa atau penjaganya yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016 petang ini.

Najib juga mengumumkan pelepasan cukai bagi penjaga yang anak mereka belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM7,000 bermula 2016.

4.7 juta isi rumah terus dapat BR1M

Posted: 23 Oct 2015 04:30 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menyedari kenaikan kos sara hidup, kerajaan terus komited untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui penambahbaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurut laporan ekonomi 2015/2016 , sehingga Ogos 2015, seramai 4.7 juta isi rumah berpendapatan rendah dan 2.7 juta individu bujang menerima manfaat daripada BR1M berjumlah RM 3.5 billion.

Laporan itu menyebut pada tahun 2015, kerajaan menaikkan amaun BR1M daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah serta daripada RM450 kepada RM750 untuk isi rumah berpendapatan sederhana antara RM3,001 dan RM4,000 sebulan.

"Bayaran BR1M dibuat secara tiga kali iaitu pada bulan Januari, Mei dan September 2015. Di samping itu, BR1M untuk individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan di bawah RM2,000 telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

"Sementara itu, kerajaan menggantikan insurans takaful berkelompok (i-BR1M) dengan Skim Khairat Kematian bagi melayakkan waris penerima BR1M menerima RM1,000 sekiranya berlaku kematian," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, kerajaan juga terus komited untuk memastikan penyeragaman harga barang di seluruh negara melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (PCAP) 2011.

Lebih 1.5 juta pemeriksaan dijalankan di seluruh negara sehingga September 2015 melalui OPS CATUT bermula awal tahun ini untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi menghalang kenaikan harga berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Sebanyak 2063 notis dikeluarkan kepada peniaga di bawah Seksyen 21, Akta PCAP 2011 kerana disyaki mengambil untung berlebihan," kata laporan itu. Bagi mengawal dan memantau harga barangan, seramai 1,218 Pegawai Pemantauan Harga (PPH) ditugaskan untuk memantau lebih 500 barangan meliputi barangan runcit, perkakasan rumah dan makanan bermasak.

Menurut laporan itu, bagi mengukuhkan pemantauan harga, Skuad Pengguna terdiri daripada sukarelawan diwujudkan untuk membantu aktiviti pemantauan harga barangan dan perkhidmatan, dan sehingga Ogos 2015, sejumlah 233,243 sukarelawan yang terbabit.- Bernama


Antara intipati bajet 2016

Posted: 23 Oct 2015 04:24 AM PDT

MALAYSIAKINI

 


Berikut ialah antara intipati Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga menteri kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2016 bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat".

Bajet 2016 menggariskan lima tunjang utama iaitu memperteguh ketahanan ekonomi negara, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau, mempersiaga modal insan, memperkasa agenda bumiputera dan meringankan kos sara hidup rakyat.

* Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion, berbanding RM260.7 bilion peruntukan dipinda 2015.
* RM215.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM52 bilion untuk perbelanjaan pembangunan
* RM70.5 bilion untuk emolumen, RM36.3 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan
* Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan RM30.1 bilion
* Peruntukan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan dan kesejahteraan masyarakat RM13.1 bilion

* Peruntukan sektor keselamatan RM5.2 bilion
* Kutipan hasil kerajaan Persekutuan untuk 2016, diunjurkan RM225.7 bilion, meningkat RM3.2 bilion berbanding 2015.
* Defisit fiskal kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.
* Sasaran sumbangan pelaburan domestik kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi tahun 2016
* Pembangunan Malaysian Vision Valley dengan unjuran pelaburan permulaan RM5 bilion
* Pembangunan Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan RM11 bilion
* Pembangunan Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA dengan pelaburan RM7 bilion
* Pelaburan RM6.7 bilion oleh Khazanah Nasional dalam sembilan projek domestik berimpak tinggi
* Projek RAPID Complex Pengerang, Johor dengan pelaburan dianggarkan RM18 bilion
* Projek Rubber City di Kedah dengan peruntukan RM320 juta, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak (RM142 juta) dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah (RM20 juta)
* Elaun Pelaburan Semula Khas dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih bagi syarikat sedia ada
* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah
* Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Dis 2017
* Peruntukan RM107 juta untuk melaksanakan Pelan Induk PKS
* Peruntukan RM60 juta untuk Skim Anjakan Usahawan serta Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS
* Peruntukan RM200 juta untuk menubuhkan dana pinjaman SME Technology Transformation Fund di bawah SME Bank
* Membina dan menambah baik pengangkutan rel dan lebuh raya
* RM900 juta untuk projek penyuraian trafik Jalan Tun Razak
* Kajian pembinaan lebuh raya pesisiran pantai Masjid Tanah-Klebang-Jambatan Syed Abdul Aziz di Melaka
* RM42 juta untuk membina Lapangan Terbang Mukah, Sarawak, menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Baharu
* Kajian pembesaran landasan Lapangan Terbang di Batu Berendam, Melaka
* Projek sambungan LRT Ampang-Putra Heights siap Mac 2016, Kelana Jaya-Putra Heights siap pertengahan 2016
* Projek MRT Sungai Buloh-Semantan dapat digunakan pada Disember 2016, Semantan-Kajang pada pertengahan 2017
* Projek MRT II Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya bermula suku kedua 2016, siap 2022
* Projek LRT3 Bandar Utama, Damansara-Johan Setia, Klang mula dibina pada 2016, siap 2020
* Kerajaan teruskan rundingan High Speed Rail dengan Singapura
* Bus Rapid Transit KL-Klang, Kota Kinabalu akan dilaksanakan
* SKMM sediakan RM1.2 bilion untuk projek jalur lebar luar bandar, National Fiber Backbone Infrastructure, jalur lebar kelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut
* RM250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi tingkatkan kualiti audio visual dan beri nilai tambah kandungan tv
* RM1.4 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan luar bandar
* RM878 juta untuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar kepada 10,000 rumah
* RM568 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar kepada 3,000 rumah
* Kerajaan sasar 30.5 juta pelancong pada 2016, menyumbang RM103 bilion kepada ekonomi negara
* Permohonan visa secara dalam talian untuk China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada
* RM450 juta untuk pelbagai program pertanian berimpak tinggi
* RM190 juta kepada FAMA untuk Program Penurunan Harga untuk tambah 50 Pasar Tani dan wujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia
* Penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan
* RM235 juta untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi Eksport di bawah Matrade
* RM877 juta untuk pelbagai usaha teknologi hijau seperti bekalan air bersih
* RM515 juta untuk meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah
* RM41.3 bilion untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi 2016
* Pembinaan 30 sekolah rendah, 27 sekolah menengah, empat MRSM dan lima SBP
* RM135 juta untuk Program Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris
* Had maksimum amaun pelepasan cukai ke atas yuran pengajian dinaikkan RM7,000 daripada RM5,000 setahun- Bernama

Azizah dakwa punya sokongan majoriti undi tidak percaya pada Najib [TONTON VIDEO]

Posted: 22 Oct 2015 09:51 PM PDT

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR:Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mendakwa mempunyai sokongan majoriti Parlimen untuk menjayakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Presiden PKR itu mendakwa mempunyai sokongan beberapa ahli parlimen BN selain pembangkang untuk menjatuhkan Najib.
 
"Saya mempunyai sebab-sebab munasabah dan keyakinan bahawa majoriti (ahli) Dewan Rakyat seperti bukan sahaja 88 ahli Parlimen pembangkang tetapi juga (melibatkan) bilangan ahli Parlimen daripada BN yang mencukupi dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri untuk menerajui kerajaan," katanya dalam sidang medianya di lobi Parlimen hari ini.
 
Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh enggan menamakan siapakah wakil rakyat berkenaan sebaliknya berkata ia adalah 'suspen'.
 
"Tunggu dan lihat... suspen (kejutan)," katanya ringkas.
 
Beliau mengemukakan usul berkenaan sebentar tadi namun ia dijangka tidak akan dibahaskan pada sesi ini, kerana tidak memenuhi peraturan Dewan Rakyat.
 
"Saya baru hantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dengan kapasiti saya selaku Ketua Pembangkang, saya telah mengemukakan satu usul pada hari ini untuk mengambil ketetapan bahawa Dewan ini tidak ada lagi kepercayaan terhadap Yang Berhormat Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri," katanya lagi.
 
Azizah dan Pakatan Harapan (PH) memberitahu mereka nekad untuk menghantar notis itu meskipun jelas dengan penjelasan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
"Undi tidak percaya  tidak semestinya melalui  usul. Apabila bajet (bentang esok), jika pembentangan itu (Najib) kalah maka terpaksa seperti (dibuat) undi tidak percaya.
 
"Jadi kenapa harus isu (kemuka usul undi tidak percaya) terpaksa dibuat ketika ini (sahaja) ?," soal Pandikar kepada pemberita, pada Rabu.
 
Esok Najib dijadualkan membentangkan Bajet 2016 yang terpaksa mengimbangi perbelanjaan kerajaan dalam persekitaran ekonomi global yang suram.   
 
 

Usul undi tidak percaya tidak akan disokong ahli Parlimen BN

Posted: 22 Oct 2015 09:43 PM PDT

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic


SHAH ALAM: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan mendapat sambutan dikalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Malah menurut penganalisis politik, Datuk Azman Kling, usul yang dikemukan Ketua Pembangkang itu belum tentu mendapat sokongan penuh ahli Parlimen pembangkang.
 
Ini kerana, PAS sehingga hari ini masih belum menyatakan pendirian mereka berhubung usul tersebut.
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mendakwa mempunyai sokongan majoriti Parlimen untuk menjayakan usul tersebut.
 
"Harapan Pembangkang untuk menarik ahli-ahli di luar pembangkang dan ahli BN untuk meyokong mereka adalah tipis.
 
"Walaubagaimanapun mereka masih berharap untuk menggabungkan semua ahli pembangkang."
 
"Sekarang pun kita tidak pasti PAS menyokong atau tidak kerana PAS tidak setuju dengan DAP dan Amanah jadi di kalangan pembangkang sendiri pun mungkin tidak boleh mencapai tujuan itu. Hal ini barangkali adalah satu tindakan usul ini tidak berjaya ini adalah tindaka yang tidak mendatangkan hasil sebenarnya," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Julai lalu memberitahu parti itu hanya berminat untuk menukar kerajaan melalui cara yang sihat iaitu menerusi pilihan raya.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, secara dasarnya PAS menyokong usul itu memandangkan parti itu masih sebahagian daripada pembangkang.
 
Pun begitu, sebarang pendirian rasmi bersabit isu itu akan diumumkan selepas perbincangan di peringkat PAS Pusat.
 
Azman menambah, selain memperlihatkan sikap dominan DAP, usul itu turut mendedahkan betapa tiada koordinasi yang baik antara tiga parti kompenan dalam Pakatan Harapan (PH).
 
DAP sebelum ini memberi amaran tidak akan menyokong usul berkenaan jika ia dikemukakan wakil rakyat PKR, Hee Loy Sian (Ahli Parlimen Petang Jaya Selatan).
 
"Yang membawa usul berkenaan adalah ahli biasa. Jika seorang ahli biasa yang bawa maka mungkin tidak dapat sokongan yang kuat daripada ahli pembangkang dan harapan mereka untuk menarik sokongan daripada anggota kerajaan yang saya fikir tidak akan berlaku walaupun berlaku penentangan di kalangan kerajaan," katanya lagi.
 
Amaran DAP itu membawa kepada mesyuarat PH dan Azizah akhirnya akur untuk tampil mengusulkan usul undi tidak percaya kepada Najib.
 
 

Pro Canselor saran buka UiTM kepada bukan bumiputera

Posted: 22 Oct 2015 09:40 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Universiti Teknologi Mara (UiTM) disaran memberi peluang kepada golongan bukan Bumiputera mengikuti pengajian di peringkat tertinggi di universiti berkenaan bagi mengalakkan persaingan.

Pro Canselornya, Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata hasrat mewujudkan UiTM bukan sekadar untuk melahirkan 'jaguh kampung' tetapi ingin menampilkan lebih banyak golongan intelektual di persada antarabangsa.

Menurutnya sudah sampai masa untuk cadangan membuka peluang kepada bukan Bumiputera di universiti berkenaan dipertimbangkan memandangkan persaingan semakin mencabar di peringkat antarabangsa.

"Ini mengelak graduan universiti berkenaan sekadar menjadi 'jaguh kampung' dalam dunia yang kini semakin mencabar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi ketiga Persidangan Akademik Antarabangsa (IAC) 2015 di Kuala Terengganu semalam.

Beliau mencadangkan peluang untuk bukan Bumiputera perlu dibuka di peringkat Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PhD) dan bukan untuk pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

"Peluang kepada penuntut bukan Bumiputera melanjutkan pengajian di peringkat Masters dan PhD di UiTM mungkin dalam peratusan yang kecil dan ini akan mendorong pelajar Bumiputera bersaing di peringkat tertinggi," katanya.

"Bagaimanapun ia hanya membabitkan peringkat yang lebih tinggi kerana golongan Bumiputera masih memerlukan peluang dan sokongan di peringkat lebih rendah iaitu diploma dan ijazah selaras dengan dasar penubuhan universiti," katanya.

Pakatan terdesak dakwa ahli Parlimen BN sokong usul undi tidak percaya

Posted: 22 Oct 2015 09:38 PM PDT

Oleh Muhammad Asyraf Azlan & Syarifah Azmawati Abdul Aziz
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yakin Pakatan Harapan (PH) tiada sokongan majoriti untuk menjayakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa mendakwa sedemikian untuk menimbulkan rasa gusar dan bimbang di kalangan ahli Parlimen.
 
Ahli Parlimen Lenggong itu yakin, tiada wakil rakyat BN yang menyokong usul yang dikemukakan sebagaimana yang dicanang Azizah, hari ini.
 
"Saya percaya itu sebahagaian daripada provokasi yang cuba dibuat oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk menghidupkan usul yang kononnya akan dibuat oleh beliau pada sidang ini.
 
"Dari segi peraturannya sudah jelas bahawa usul itu sebenarnya tidak menepati aturan yang ditetapkan kerana sepatutnya sebarang usul dibawa mesti di kemukakan 14 hari sebelum sidang bermula bukannya waktu sidang," katanya ketika ditemui Antarapos di lobi parlimen.
 
Shamsul kemudiannya mencabar pembangkang untuk mendedahkan siapakah Ahli Parlimen BN yang menyokong usul berkenaan.
 
"Kalau betul dan benar sebagaimana yang dia sebut, saya hendak sebut kepada Wan Azizah bahawa usul itu tidak mungkin boleh dibentangkan dalam dewan kerana ia menyalahi peraturan jadi kalau ia tidak boleh dibentangkan dewan saya cabar Wan Azizah dedahkan siapa yang dia maksudkan," katanya.
 
Menurut Shamsul lagi, pembangkang terdesak untuk menampakkan betapa pentingnya usul kepada rakyat.
 
"Itu strategi beliau sahaja, dia kena ingat kita Barisan Nasional juga ada strategi kita tapi yang penting saya cukup yakin bahawa usul itu tidak akan dapat dibawa kerana ia menyalahi peraturan sidang dewan.
 
"Beliau sedar bahawa usulnya jika tidak diwar-warkan tidak dipublisitikan dia akan dilihat tenggelam begitu sahaja sebab itu saya percaya antara langkah dan tindakan yang cuba beliau buat untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa usul ini penting dan mendapat sokongan. 
 
"Maka dia membuat spekulasi kononnya beberapa orang ahli parliman Barisan Nasional akan menyokong usul tersebut saya masih lagi percaya bahawa tidak ada ahli parlimen Barisan Nasional yang akan mengikut usul tersebut kerana perinsip kita sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional kita ada kaedah dan cara bagaimana untuk kita menentu dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti," jelasnya.
 
Shamsul juga memberi jaminan sokongan ahli Parlimen Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan kuat berbanding sebelum ini. 
 
"Perdana Menteri ketika ini dan sebelum ini mengambil perhatian begitu berat kepada soal kebajikkan rakyat dan sebagainya ia dengan sendirinya memberikan kelebihan kepada Perdana Menteri dengan sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli parlimen ini begitu tinggi.
 
"Saya yakin apa yang dinyatakan oleh Wan Azizah hanya propaganda kononnya usul ini mendapat sokongan dan saya yakin ini tidak akan berlaku," ujarnya.
 
 

Pemandu teksi kena muhasabah diri, kata Syed Hamid

Posted: 22 Oct 2015 09:32 PM PDT

Zulaikha Zulkifli

  


Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar menasihatkan kepada segelintir pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan kewujudan teksi Uber dan Grabcar supaya "muhasabah" diri.

Beliau berkata, segelintir pemandu teksi sepatutnya bertanya pada diri sendiri mengapa orang ramai memilih untuk menaiki "kereta persendirian" yang ditawarkan Uber dan Grabcar berbanding teksi.

"Daripada menyalahkan semua orang, mereka (pemandu teksi) patut tanya soalan mengapa orang memilih kereta persendirian ini.

"Banyak kejadian dilaporkan mengenai perangai dan sikap pemandu teksi. Saya tak fikir ia golongan terbesar tetapi golongan yang kasar dengan pelanggan ini, walaupun sikit tetapi diingati. Mungkin tak ramai tetapi golongan ini yang orang ingat.

"Saya rasa mereka mesti berubah sikap. Kena tanya soalan, muhasabah, mengapa orang ambil kereta persendirian itu," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Selain itu, beliau menjelaskan, SPAD tidak boleh mengambil tindakan terhadap Uber dan Grabcar memandangkan ia sebuah aplikasi dan di luar bidang SPAD.

Bagaimanapun, katanya, pihak yang boleh mengambil tindakan terhadap aplikasi Uber atau Grabcar ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Malah, selain SPAD, pihak berkuasa lain yang boleh mengambil tindakan terhadap kereta persendirian pula ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, pihaknya juga telah mengambil tindakan terhadap lebih 100 pemandu "kereta persendirian".

"Kereta persendirian ini, untuk tahu sama ada mereka jadi teksi atau tidak, sangat sukar. Dia macam "teksi sapu", tak ada tanda. Tapi kita dah tangkap dan sita lebih 100 teksi persendirian ini.

"Macam Uber semua ini, mereka aplikasi, ia di bawah SKMM. Kalau SKMM ambil tindakan pun, mereka boleh guna server dari luar negara.

"Jadi, sepatutnya, bukan ambil tindakan terhadap Uber tetapi kereta yang digunakan tanpa lesen. Nak kesan susah. Sebenarnya pihak berkuasa yang boleh ambil tindakan juga ialah JPJ.

"Kenapa nak fokus pada kita sahaja? Kita tak boleh politikkan benda ini," katanya yang tidak bersetuju dengan segelintir pihak yang memanggil orang politik berhubung isu ini.

Selain itu, Syed Hamid berkata lagi, walaupun terdapat pihak yang mencadangkan supaya memberi lesen kepada "kereta persendirian" ini, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana ia akan membunuh industri teksi.

"Ada yang mempersoalkan kenapa tidak beri lesen kepada kereta persendirian ini supaya menjadi teksi. Kalau buat macam itu, habis industri teksi yang ada sekarang. Mati semua," katanya.

Selain itu, mengulas mengenai Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) yang akan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan rasa tidak puas hati pemandu teksi terhadap SPAD dan menggesa suruhanjaya itu diberi wajah baru, Syed Hamid berkata beliau tidak ada masalah sekiranya pihak persatuan itu ingin mengambil alih tempatnya.

"Lepas itu, suruh saya berhenti, kata saya ketua tak boleh buat kerja. Mereka nak ambil tempat saya, saya tak ada masalah. Mereka boleh ambil. Cubalah uruskan semua teksi-teksi ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai PERS1M, bekas ahli parlimen Kota Tinggi itu berkata, beliau mendapati kumpulan itu hanyalah suara dari pihak "kecil" jika dibandingkan dengan jumlah pemandu teksi yang ada di negara ini.

Beliau juga berkata tidak mengetahui mengenai kewujudan persatuan tersebut dan mempersoalkan sama ada ia sebuah persatuan yang berdaftar.

"Kumpulan ini tidak seberapa. Ini kumpulan yang saya sendiri tidak tahu besar mana kumpulan ini dan sama ada mereka berdaftar atau tidak.

"Kebanyakkan pemandu teksi sangat bagus, mereka bagus buat kerja. Tapi mereka tak bersuara.
Golongan yang bersuara ini kalau ambil secara keseluruhan dalam 6,000. Kita ada lebih daripada 100,000 pemandu teksi. Tapi golongan majoriti tidak bersuara," ujarnya lagi.


Mahkamah Persekutuan dengar cabaran Khairuddin bulan depan

Posted: 22 Oct 2015 09:27 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Persekutuan menetapkan 3 November untuk mendengar soalan perlembagaan yang ditimbulkan oleh bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Pendaftar menetapkan tarikh itu selepas menemui pihak pendakwaan dan peguam hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Masri Mohd Daud memberitahu pemberita mengenai keputusan itu selepas pertemuan dalam kamar hari ini.

Khairuddin dan Chang sedang ditahan berhubung laporan polis terhadap skandal 1MDB. Baca berita penuh


Bajet 2016: Rakyat makin tertekan hari ini

Posted: 22 Oct 2015 09:23 PM PDT

Bajet 2016
Bajet 2016
 
 
ISI kandungan Bajet 2016 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen esok menjadi perdebatan di pelbagai lapisan masyarakat baik di media sosial mahupun di kedai kopi.

Malah tidak berlebihan jika Bajet 2016 ini dianggap sebagai kunci paling hampir kepada bebanan rakyat pada hari ini.

Namun, kunci itu mungkin kekal mengunci rakyat dalam kesempitan ataupun akhirnya membuka laluan untuk rakyat melepaskan diri dari belenggu bebanan sara hidup yang saban hari menekan ditambah dengan kenaikan kadar tol berganda-ganda yang diumumkan Khamis lalu.

Minyak naik, tol pun naik kemudian GST lagi tapi malangnya, pendapatan isi rumah tetap tak naik-naik. Rakyat yang berpendapatan rendah pasti sukar untuk bernafas ketika ini. Berjerebu di luar dan dalam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman mengimbau kembali janji kerajaan yang menyatakan bahawa hasil tambahan pendapatan yang diperoleh menerusi pelaksanaan GST akan digunakan untuk manfaat serta kebajikan rakyat dan negara.

"Sepatutnya kerajaan tidak ada masalah sangat (untuk bantu rakyat) kerana sudah mempunyai suntikan tambahan iaitu GST. Laporan media sebut, hasil GST itu setakat ini sudah mencecah RM23 bilion. Dulu dikatakan kutipan GST ini adalah untuk menampung perbelanjaan negara. Sepatutnya, inilah masa untuk menunjukkan balik kepada rakyat bahawa duit itu digunakan dengan sewajarnya.

"Kerajaan perlu menggunakan sebahagian hasil kutipan GST itu untuk menampung kenaikan-kenaikan baharu ini seperti tol. Dulu bolehlah kerajaan kata bahawa mereka terpaksa menanggung bayaran kepada syarikat konsesi, tapi sekarang ini duit sudah ada.

"Sepatutnya gunakan balik duit itu untuk menampung apa sahaja perbelanjaan tambahan kepada konsesi-konsesi lebuh raya itu. Malangnya kerajaan tidak mengambil pendekatan sedemikian," katanya kepada Sinar Online.

Malah beliau turut mengakui rakyat terutamanya yang berada di Lembah Klang semakin tertekan selepas kenaikan kadar tol yang akan memberi kesan kepada kos perkhidmatan dan harga barang.

"Walaupun kerajaan kata tak naik, hakikatnya sebelum-sebelum ini apabila tol naik, minyak naik, harga barang akan turut naik. Jadi, kerajaan kena prihatinlah pada masalah rakyat sekarang ini.

"Pada masa sama, kerajaan tidak menerangkan kepada rakyat ke mana hala tuju duit tambahan itu. Saya rasa kerajaan perlu memberitahu kepada rakyat nak guna duit tambahan itu di mana. Barulah rakyat faham dan boleh memberi sokongan kepada apa yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Sementara Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat, sekiranya kandungan Bajet 2016 mampu meredakan masalah dan kesengsaraan rakyat termasuk berkaitan kos sara hidup, ia mungkin bakal mengubati perasaan rakyat yang tidak cenderung dengan pemerintahan Najib.

"Saya fikir beliau akan mengambil kira bahawa Bajet 2016 ini penting untuk menentukan bagaimana persepsi dan sokongan rakyat terhadap beliau. Sudah tentu beliau akan mengambil langkah dan strategi-strategi yang dapat meredakan rungutan dan sungutan rakyat.

"Jika itu berlaku, sedikit sebanyak tidak akan menambah teruk lagi persepsi rakyat terhadap beliau," katanya.

Meskipun rakyat sedang 'kepanasan', namun beliau berkata, ia tidak dapat dinafikan bahawa rakyat tetap menanti kadar BR1M dinaikkan susulan daya beli mereka yang sudah menurun.

Katanya lagi, langkah terbaik yang kerajaan boleh ambil ialah mendengar rintihan rakyat dan mengambil tindakan konkrit dengan menyalurkan balik wang yang telah dikutip itu kepada rakyat bagi meringankan beban kehidupan mereka.

Manakala, Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berpendapat, rakyat lebih menantikan penyelesaian segera kerajaan terhadap kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menangani isu kejatuhan mata wang.

"Sekarang ini dengan keadaan tol naik, minyak naik, duit jatuh, perkara ini (pengagihan hasil GST) orang dah tak pandang dah.

"Mungkin ada segelintir yang pandang tapi ramai yang lebih risaukan keadaan sekarang ini. Daripada mengharapkan pulangan GST, mereka lebih berharap agar GST itu dihapuskan terus," katanya.


Ummu Jah meninggal dunia malam tadi

Posted: 22 Oct 2015 09:21 PM PDT

Ummu Jah
Ummu Jah


JITRA - Balu kepada Allahyarham Ashaari Muhammad, Hatijah Aam dilaporkan meninggal dunia pada kira-kira jam 7.45 malam tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, berkata, Allahyarhamah menghembus nafasnya yang terakhir di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar.

Semasa hayatnya, Hatijah adalah Pengerusi Global Ikhwan Sdn Bhd  GISB dilaporkan meninggal dunia akibat serangan stroke.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ummu Jah dilapor tenat, alami kematian otak]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengikut al-Arqam penuhi ruangan ICU]


Beliau yang menerima rawatan di KMC sejak 16 Oktober  lalu dijangka disembahyangkan esok di Masjid Mustaqim, Bandar Darulaman,  di sini, sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Putat, Batu 20, Jalan Kodiang.

Pada 9 November 2013, Hatijah atau dikenali Ummu Jah bersama 300 pengikut GISB melafazkan taubat kerana melanggar arahan mufti yang mengharamkan ajaran kumpulan al-Arqam dalam satu majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Beliau melafazkan taubat dan menandatangani dokumen pengisytiharan taubat dihadapan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Shukur Hussein; Timbalan Mufti Jabatan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin.

al-Fatihah


Masa terbaik perkasa undang-undang rasuah

Posted: 22 Oct 2015 09:20 PM PDT

Rasuah
Sumber foto internet.
 
 
KENYATAAN dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang dan juga Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed baru-baru ini menyentuh, malah menarik perhatian saya.

Penzahiran mereka berdua membawa kepada keinginan saya untuk melakar tulisan kecil ini. Tan Sri Abu Zahar mahu kerajaan menyegerakan pelaksanaan beberapa syor yang dikemukakan bagi memperkukuhkan institusi pencegahan rasuah.

Abu Kassim pula memberi jaminan akan mempertahankan SPRM yang diberi amanah untuk mewujudkan persekitaran bebas rasuah. Bermakna kedua-dua mereka bagi kebebasan SPRM terus dipertingkatkan bagi menunaikan kepercayaan yang diletakkan.

Saya sudah lama bersara dari perkhidmatan pencegahan rasuah. Tetapi, hati nurani masih bersama SPRM, yang sebelum tahun 2009, dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Saya memerhatikan dengan rapat dan penuh bersemangat nasib yang melanda SPRM. Saya pernah menjawat jawatan pengarah siasatan ketika era BPR. Sektor operasi dan siasatan sebahagian daripada darah daging saya.

Sejak dinaikkan taraf tujuh tahun yang lalu, SPRM mendapat perhatian ramai. Selaku sebuah agensi penguat kuasa pencegahan rasuah negara,  SPRM tidak dapat lari daripada radar pemerhatian rakyat.

Keprihatinan yang diperlihatkan menunjukkan rakyat menyayangi SPRM, mencintai negara. Tujuh tahun lalu, BPR dinaikkan taraf sebagai sebuah suruhanjaya bebas susulan harapan rakyat.

Detik mencabar SPRM

Sepanjang tujuh tahun lalu, SPRM telah melalui beberapa detik yang mencabar perjalanan SPRM baru-baru ini. Bagaimanapun perkembangan sejak dua bulan yang lalu dilihat sebagai paling getir dalam sejarah SPRM.

Sesuatu yang tidak disangka dan diduga sama sekali. Ada yang positif. Ada yang tidak menyenangkan. Segala-galanya berligar sekitar tindakan SPRM menyiasat pemimpin tertinggi dalam kerajaan.

Sebagaimana disebutkan oleh Datuk Seri Zakaria Jaffar, mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) dalam ucapannya pada majlis persaraan pada 12 Oktober 2014, SPRM sedang menyiasat seorang yang paling berpengaruh dan berkuasa di Malaysia. SPRM atau BPR sebelum Januari 2009 pernah menyiasat pemimpin paling tertinggi peringkat kerajaan negeri.

Ini termasuklah beberapa Menteri Besar Selangor, pernah menyiasat Menteri Besar Kelantan, beberapa Ketua Menteri. Begitu juga menteri Kabinet Persekutuan dan Exco Kerajaan Negeri.

SPRM perlu bebas

Pada masa yang sama, rakyat mahu SPRM bertindak dengan lebih bebas, telus dan profesional. Harapan ini tidak dapat dielak lebih-lebih selepas SPRM beroperasi sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, badan yang dilahirkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.

Negara patut mengucapkan terima kasih kepada beliau atas komitmen serta wawasan beliau. Atas kapasiti sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, telus dan profesional, SPRM bertindak sebagai sebuah agensi yang dipantau oleh lima badan yang bebas yang dianggotai oleh 46 wakil dalam masyarakat: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Tiada agensi lain di Malaysia yang ada lima badan bebas.

SPRM satu-satunya badan yang ada sayap panel pemantau bebas seperti ini. Malah, SPRM satu-satunya agensi yang ada badan bebas ini. Terima kasih sekali lagi atas langkah Parlimen meluluskan sistem ini pada tahun 2008.

Pembaharuan-pembaharuan ini diperkenalkan susulan harapan rakyat yang mahu melihat sebuah agensi yang tidak terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Rakyat bersama SPRM

Hari ini, harapan yang sama diketengahkan oleh rakyat dari semua lapisan. Oleh itu, kita melihat apabila SPRM berhadapan dengan dugaan paling getir, rakyat datang memberi sokongan tanpa diminta, tanpa diajak dan tanpa diadakan kempen.

Ini semua hasil usaha kerajaan selama ini. Sokongan secara sukarela ini menunjukkan rakyat meletakkan harapan yang tinggi agar terus membolehkan SPRM bertindak sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas.

Tindakan pihak tertentu membuka akaun Facebook khususnya Rakyat Bersama SPRM dan beberapa akaun Twitter serta memuat naik video bagi menzahirkn pendirian mereka.

Selaku seorang bekas pengarah siasatan, saya menyedari perasaan pegawai-pegawai SPRM sama ada yang telah bersara ataupun yang masih berkhidmat. Apa yang kita dapat pelajari daripada episod yang menimpa SPRM sejak awal bulan ini?

Sejumlah pegawai SPRM ditahan dan dipanggil untuk siasatan polis. Ada pengarah diarah ditukar serta-merta, tetapi keputusan itu dibatalkan. Ada beberapa peristiwa lain yang turut membayangi SPRM.

Kesemua perkara itu sudah terpapar kepada umum menerusi media secara langsung dan secara tidak langsung. Maka, tidak perlu saya menghuraikan satu persatu. Cuma apa yang perlu dikatakan dan ditengahkan untuk perbincangan adalah moral cerita di sebalik kejadian, dugaan dan ujian yang menimpa SPRM.
 
Banyak perkara yang perlu dan boleh dipelajari.

Pertama, rakyat mahu kebebasan SPRM berfungsi sebagai sebuah suruhanjaya bebas dipertahanakan, jika tidak dapat dipertingkatkan. Rakyat mahu SPRM memperlihatkan kebebasan untuk menjalankan fungsi utama iaitu menjalankan siasatan.

Kedua, pegawai-pegawai SPRM perlu diuruskan oleh sebuah suruhanjaya perkhidmatan sendiri. Ketiga, SPRM perlu menyiasat dengan bebas dan profesional mana-mana individu tidak kira pangkat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009. SPRM perlu kelihatan bebas sepenuhnya.

Keempat, SPRM perlu terus meningkatkan tahap profesional dan integriti urusan siasatan. Kelima, SPRM perlu ada kuasa pendakwaan.
 
Langkah merugikan

Adakah langkah menjadikan BPR menjadi SPRM merugikan? Jawapannya tidak.
Selain menaikkan imej kerajaan, bilangan kes yang berjaya disabitkan di mahkamah rendah telah menunjukkan peningkatan daripada 54 peratus pada tahun 2009 kepada 78 peratus pada tahun 2014.

Laporan Tahunan 2014 menunjukkan kes-kes yang dapat selesai disiasat pada tahun yang sama telah mencecah paras 85 peratus.

Apa yang perlu dilakukan? Saya berharap kerajaan akan mempercepatkan penggubalan perkara-perkara berikut:

(i) Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah - syor agar dibentuk Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah iaitu yang khusus bagi SPRM merupakan antara syor yang diketengahkan oleh SPRM menerusi panel-panel bebas sejak tahun 2010.

Bagi membolehkan SPRM mendapatkan modal insan yang efektif, SPRM perlu mempunyai sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sendiri. Laporan JKMR 2010 dengan jelas menyebut bahawa "memandangkan pola jenayah rasuah kini yang merentasi sempadan, kompleks dan bersindiket", SPRM memerlukan pegawai-pegawai yang profesional, pakar dan kompeten dalam pelbagai bidang untuk berkhidmat dengan SPRM.

Ini bukan bermakna pegawai masa sekarang tidak profesional, tetapi kita mahu tahap profesionalisme ini ditingkatkan.  Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah dapat mencerminkan hasrat sebenar kerajaan dalam memastikan SPRM benar-benar bebas, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat dengan kelebihan pengambilan pegawai yang mempunyai kemahiran profesional, integriti dan kualiti yang tinggi di lakukan sendiri oleh SPRM.

Operasi siasatan terutama sekali yang melibatkan kes-kes jenayah rasuah dan penyelewengan yang kompleks juga dapat dikendalikan dengan lebih berkesan.

(ii) Pelantikan Ketua Pesuruhjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan - kini aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM terletak di bawah Seksyen 5 Akta SPRM 2009 iaitu pelantikannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Ini bermaksud Ketua Pesuruhjaya boleh diambil tindakan tatatertib termasuk penamatan perkhidmatan sepertimana penjawat awam yang lain.

Ada pihak yang beranggapan bahawa peruntukan semasa tidak mencerminkan ketelusan dan kebebasan jawatan Ketua Pesuruhjaya itu sendiri.  Justeru, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan wajar dinaikkan tarafnya setanding dengan jawatan-jawatan penting seperti Peguam Negara dan Ketua Audit Negara bagi menjamin ketelusan dan kebebasan SPRM.
Dengan cara ini, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dipengaruhi mana-mana parti politik yang memegang tampok pemerintahan negara.

(iii) Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 - Seksyen 23 Akta SPRM telah memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk memperoleh apa-apa suapan sama ada untuk diri, saudara atau sekutu seseorang.

Takrifan suapan adalah luas. Selain wang, derma, jawatan, apa-apa balasan berharga, apa-apa jenis perlindungan daripada apa-apa tindakan atau prosiding dan sebagainya, "suapan" melibatkan pemberian tender, projek, kontrak atau apa-apa perolehan termasuk tanah oleh seseorang penjawat awam termasuk anggota pentadbiran (ahli Jemaah Menteri dan Exco Negeri) bagi faedah dirinya, saudaranya atau sekutunya.

Senario yang berlaku pada hari ini, seseorang penjawat awam atau anggota pentadbiran sesebuah pentadbiran pusat atau negeri telah dapat mengeksploitasi kelompongan undang-undang ini yang mana menyebabkan SPRM sukar membuktikan kesalahan rasuah di bawah peruntukan ini.

Ini kerana keputusan pemberian sebarang projek, tender atau perolehan yang memihak kepada diri sendiri atau sekutunya dianggap sah dengan hanya seseorang itu mengisytiharkan kepentingannya dan keluar dari mesyuarat.

Perbuatan yang bersifat 'legally right but morally wrong' ini menyebabkan tindakan tidak dapat diambil walaupun seseorang anggota pentadbiran atau penjawat awam itu menganugerahkan projek kepada sekutu mereka dengan nilai projek atau harta yang berskala besar.

Ini telah menimbulkan stigma dan persepsi negatif di kalangan rakyat bahawa kerajaan telah mengamalkan 'selective prosecution' sedangkan hakikatnya adalah peruntukan undang-undang ini sudah dapat di kesan kelemahan-kelemahannya dan mudah dieksploitasi oleh pihak-pihak atau individu-individu yang berkuasa.

(vi) Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 - seksyen ini merupakan satu peruntukan untuk memperoleh maklumat berkaitan pemilikan harta seseorang individu berdasarkan penyiasatan yang telah dibuat oleh SPRM dan kemudiannya mempunyai alasan munasabah bahawa apa-apa jumlah wang atau harta benda yang dipegang oleh seseorang itu adalah merupakan kesalahan rasuah, maka barulah notis pengisytiharan harta boleh dikeluarkan.

Ini bermaksud bahawa SPRM tidak boleh secara terus meminta seseorang individu itu untuk mengisytiharkan kewangan atau harta benda mereka tanpa ada siasatan awal dibuat terlebih dahulu.

Masyarakat melihat isu ini sebagai satu kekangan kepada kerajaan dan SPRM untuk membanteras rasuah dengan berkesan kerana didapati terdapat sesetengah anggota pentadbiran ataupun penjawat awam mempunyai harta kekayaan yang berlebihan dan tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh.

(v) Dana politik - sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan cadangan SPRM untuk mewujudkan peruntukan mewajibkan sumbangan dana politik supaya sumbangan dana kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun parti, bukannya ke dalam akaun persendirian mana-mana pemegang amanah.

Sebagaimana ditekankan oleh SPRM dan panel-panel bebas yang memantau perjalanan SPRM, adalah penting bagi sesebuah parti politik untuk sentiasa membina persepsi positif di kalangan masyarakat.

Antara cara terbaik untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan mengisytiharkan apa jua punca kewangan sesebuah parti politik dan akaun parti tersebut juga hendaklah boleh di audit dengan juruaudit bertauliah pada setiap tahun kewangan berakhir atau pada bila-bila masa bagi tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa. Maka, pengumuman baru-baru ini oleh kerajaan bahawa sebuah panel pembiayaan politik berintegriti akan dibentuk adalah satu perkembangan positif. Kita berharap ia akan menjadi kenyataan selepas hampir lima tahun syor berkaitan dana politik diusulkan oleh SPRM.

Saya menyambut baik tindakan yang telah diambil oleh kerajaan di mana satu pengumuman mengenai pembentukan jawatankuasa telah dibuat pada Ogos lalu.

(vi) Peruntukan salah laku pegawai awam

Peruntukan satu undang-undang khas bagi menangani salah laku pegawai awam akan membantu mengikis persepsi bahawa setiap pelanggaran peraturan awam berkaitan dengan rasuah. Orang ramai sendiri membuat tanggapan umum dan kadangkala beranggapan bahawa SPRM tidak mengambil tindakan di bawah Akta SPRM sedangkan tidak semua kes pelangagran berakhir dengan dakwaan melibatkan rasuah. Keadaan ini membawa imej negatif ke atas agensi penguat kuasa pencegahan rasuah.

Justeru ada keperluan untuk mewujudkan undang-undang khas bagi menangani salah laku penjawat awam.

Jika terdapat undang-undang yang membolehkan sesetengah kes dibawa ke mahkamah sebagai salah laku ketika menjawat kedudukan awam sudah pasti ia akan memudahkan skop tindakan perundangan, dan pada masa yang sama akan meningkatkan kefahaman orang ramai termasuk anggota pentadbiran awam.

Perkara yang digariskan tadi hanya beberapa peruntukan terbaharu yang diperlukan untuk memperkukuhkan institusi pencegahan rasuah di negara. Kemungkinan ada banyak lagi perkara yang perlu diambil kira. Sudah tiba masa keperluan ini diberi pertimbangan mendalam sebagaimana dizahirkan oleh Tan Sri Abu Zahar.

JKMR berpandangan bahawa meskipun beberapa syor dan cadangan telah dikemukakan untuk penambahbaikan undang-undang pencegahan rasuah, tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan.

Perkara yang sama telah ditekankan oleh Tan Sri Abu Kassim ketika menerima Ijazah Doktor Kehormat (Undang-undang) daripada Universiti Teknologi Mara pada Mei yang lalu. Selaku bekas pegawai pencegahan rasuah saya telah berpeluang untuk berinteraksi dengan pegawai-pegawai SPRM ketika mereka sedang mengharungi krisis dan suasana paling getir ini. Saya dapat memahami emosi dan harapan mereka. Sebahagian besar berhadapan dengan kesan akibat krisis ini.

Kita perlu melakukan sesuatu. Semua pihak ada peranan dan tanggungjawab. Kita perlu mewujudkan satu jaminan bahawa SPRM ada peruntukan atau kemudahan khusus untuk menjamin kebebasan. Oleh itu, sudah sampai masanya beberapa peruntukan yang disyor dan dijanjikan oleh kerajaan dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 dilaksanakan. Kini masa untuk meningkatkan kebebasan dan tahap profesionalisme SPRM.

Saya pasti jika ia dilaksanakan ia tidak akan merugikan kerajaan. Sebaliknya akan membantu meningkatkan paras keyakinan dan kepercayaan. Maka, ambil segala langkah yang perlu untuk menjamin kebebasan penuh bagi SPRM jika kita hendak meninggalkan satu persekitaran bebas rasuah dan berintegriti demi generasi akan datang.

Sebagaimana sering ditekankan oleh JKMR dan empat panel bebas lain yang memantau SPRM, kerajaan wajar memikirkan secara serius untuk mewujudkan suatu mekanisme yang sewajarnya bagi mengatasi persepsi negatif ini.

* Datuk Razak Idris merupakan Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM

Bajet 2016: Nilai BB1M tidak dikurangkan - Idris Jusoh

Posted: 22 Oct 2015 09:14 PM PDT

Bernama |
 
Bajet 2016: Nilai BB1M tidak dikurangkan - Idris Jusoh
Idris dalam pada itu berharap agar sektor pendidikan tinggi akan terus diberi keutamaan dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan Jumaat ini. - Gambar Fail
 

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi menjangkakan insentif kerajaan kepada pelajar menerusi program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) tidak akan dikurangkan dalam Bajet 2016.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebaliknya, hanya sistem pengagihan BB1M akan ditambah baik berikutan kementeriannya mengesan terdapat beberapa pihak telah menyalahgunakan baucer itu sebelum ini.

"Sama ada nilai BB1M akan ditambah atau sebaliknya Perdana Menteri akan putuskan (dalam Bajet 2016) tetapi saya rasa tidak akan dikurangkan cuma sistem pengedaran baucer itu akan diubah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tadbir Urus 1 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Multisistem di sini, petang ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam bajet sebelum ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM325 juta menerusi program BB1M.

Idris dalam pada itu berharap agar sektor pendidikan tinggi akan terus diberi keutamaan dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

"Kita harap (yang) terbaik kerana kita tahu bajet ini agak sukar untuk kerajaan dengan kejatuhan harga minyak, kejatuhan komoditi serta ekonomi yang agak tenat di seluruh dunia.

"Bagaimanapun apa dijanjikan Perdana Menteri beliau akan cuba yang terbaik," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai ketiadaan arahan penangguhan kuliah di institusi pengajian tinggi berbanding sekolah yang diarah ditutup berikutan jerebu, Idris berkata situasi di kedua-dua institusi pendidikan itu adalah berbeza.

Beliau berkata sekolah menerima arahan daripada ketua pengarah pelajaran sementara pusat pengajian tinggi menerima arahan daripada naib canselor masing-masing.

"Universiti ada visi mereka sendiri dan kita telah beri kuasa pada setiap naib canselor untuk tentukan sama ada mereka boleh teruskan pengajian atau tidak.
"Bagaimanapun kita peka dengan perkara tersebut dan kita beritahu setiap naib canselor supaya tidak adakan aktiviti luar jika jerebu tinggi," katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Tadbir Urus 1 UiTM Multisistem, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada Program Transformasi universiti itu bersandarkan konsep 3K iaitu Kesedaran, Kemahiran dan Komitmen.

Idris berkata tadbir urus baharu itu akan membawa lebih kecemerlangan dan kejayaan kepada UiTM yang mempunyai 13 kampus di seluruh negara.


Tiada ulasan: