Isnin, 21 September 2015

.

.


Pas kian mendekati Umno di Kelantan

Posted: 21 Sep 2015 03:21 AM PDT

PENGAMATAN 

Mustapa: Perlu bersuara.
Semakin hari semakin dekat dan rapat Pas dengan Umno. Parti itu dilihat sedang mengadakan persiapan rapi untuk bergabung menjelang pilihan raya ke-14. Apa yang dilakukan Pas sekarang ini memberi kefahaman kepada ahli dan umum kenapa kedua-dua parti Melayu itu perlu bersatu. Mereka sedang membentuk keadaan mendesak untuk ke arah itu.

Walaupun Pas menafikan akan hakikat itu dan lebih rela bersendirian konon, tetapi gerak kerja yang dilakukan membawa ke arah itu. Kenyataan-kenyataan politik dan body language mencerminkan mereka akan "bersanggama". Ada beberapa petunjuk menjelaskan akan penggabungan itu akan berlaku dalam waktu terdekat ini.



Kenyataan ketua pemuda Pas yang dikutip mengakui Pas tidak mampu bersendirian memberi konotasi yang parti itu perlu bergabung dengan Umno. Sayangnya kenyataan ketua pemuda itu ditempelak balik kepada Pas oleh musuh-musuh Pas yang kurang cekap membaca permainan politik itu. Dianggap kenyataan ketua pemuda itu sebagai Pas seakan menyesal.

Sebenarnya tidak begitu, apa yang hendak diberitahu oleh ketua pemuda itu yang parti perlukan teman, dan teman itu sudah pun ada dalam koceknya.

Antara petunjuk lain menyerlahkan Pas ingin bersama ialah sikap Pas yang sudah berpatah arang dan berkerat rotan dengan DAP dan juga Amanah. Dalam masa sama bermain lidah, klu klik dengan PKR. Pas walaupun tidak ada kata putus, tetapi sebenarnya wajah yang ditunjukkan sudah putus.

Ketidaksediaan Pas untuk tidak bersama dalam Pakatan 2 menjelaskan perkara ini. Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan menjelaskan yang parti agama itu  juga tidak akan menyertai perundingan meja bulat bagi membentuk pakatan baru esok menjelaskan sikap dan pendirian Pas.

Begitu juga kenyataan keras dan bengis oleh "presideng" yang Pas tidak akan berkerjsama dengan pengkhiant memberi gambaran parti itu sudah tauhid dengan apa yang diyakini.

Sebelum ini Pas juga tidak menunjukkan minat kepada himpunan Bersih 4. Alasan yang digunakan Pas sangat dangkal, kerana parti itu tidak dijadikan kepala. Selain itu sikap Pas yang agak positif dengan himpunan baju merah, tambah menjelaskan apa yang sudah jelas.

Di peringkat Kelantan pula, indikatornya juga makin ketara. Beberapa penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan Kelantan sepatutnya mendapat perhatian dan kritikan Umno, namun ia tidak dilakukan apa-apa. Umno semacam tidak peduli dan membiarkan begitu sahaja segala kepincangan itu yang sebelum ini menjadi makanannya.

Apakah Umno tidak percaya. Tidak! Umno percaya tetapi masa dan keadaan menyebabkan parti itu harus mengunci mulut menjadi syaitan bisu kerana mereka menanti laba besar. Persefahaman secara TST di antara kedua parti itu sudah terjalin. Kunjungan dan pertemuan lebuh dua kali antara Ahmad Yaakub dengan Najib Razak adalah risikan pertunangan kerjasama berkenaan.

Demikian juga dengan sikap akhbar "PB" yang sebelum ini melihat Pas seperti "tahi lembu", kini sudah beralih angin, nampak parti agama itu sebagai sebungkah emas 99.9 yang sangat bernilai. Begitu nasib orang yang hendak tenggelam dan hanyut air akan melihat apa sahaja dihadapnya sebagai berharga hatta ia sebenarnya kayu mumuh.

Perubahan sikap dan pendirian Pas ini memberi nasib baik kepada Umno khasnya di Kelantan.

Semua petunjuk-petunjuk itu memberi gambaran ada persefahaman senyap antara Pas dengan Umno.
Baguslah kalau begitu. Ahli dan penyokong Pas jangan terkejut menerima hakikat ini dan mereka juga tidak perlu merasakan tertipu sebab mereka diberi isyarat lebih awal.

Pun begitu bagi, kalau benar hajat wujud gabungan itu, Umno tidak boleh senyap dengan penyelewengan yang berlaku kini. Jika ia senyap rakyat akan berasakan parti itu dua kali lima dengan Pas dan menegakkan amalannya selama ini melindungi keburukan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Umno tidak boleh diamkan melainkan harus bersuara memberi penjelasan terhadap apa yang berlaku.

Kalau beberapa penyelewengan didakwa itu maka Umno wajib ikut mendesak atau mengajar kerajaan memperbetulkan keadaan. Tindakan ini termasuklah menyegerakan penggabungan. Sebaliknya kalau ia tidak benar, harus mempertahankan kerajaan Kelantan dan kepimpinannya. Rakyat sedang memerhati dan menanti dimanakah peranan 12 orang wakil rakyat Umno dalam DUN Kelantan.

Ada beberapa isu mendesak di Kelantan yang Umno patut sama bangkitkan. Misalnya mengenai perkembangan dalam syarikat Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) yang dikatakan dalam keadaan parah sehingga memungkinan syarikat milik kerajaan itu bankrup. KPK kononya telah diperdayakan oleh pihak tertentu sehingga kilang papan itu kini dalam keadaan nazar dan tidak beroperasi lagi.

Pendapatan tahunan juga sudah berkurangan dari setahun ke setahun. Operasi juga dihentikan menyebabkan lebih 60 orang pekerjanya diberhentikan secara VSS dan hilang punca rezeki. Serentak itu segala kemudahan dan peralatan milik KPK, mesen dan sebagainya bernilai jutaan ringgit tidak berjalan. Kayu balak yang sudah ditebang juga bernilai jutaan ringgit dibiarkan buruk dan hilang begitu sahaja.

Kuaters pekerja terbiar begitu sahaja tanpa diguna lagi. Hanya berberapa rumah berfungsi apabila ia disewa oleh bekas pekerja. Pembaziran beberapa infastrukur milik KPK juga berlaku, seperti pejabat, pusat pameran dan sebagainya yang bernilai jutaan ringgit.

Apakah Umno tidak sedar dan peka hal ini atau mereka memekakan telinga kerana ada motif politik lain yang menguntungkan mereka? Umno tidak patut bersikap begitu membiarkan segala pembaziran itu berlaku kerana ia adalah hak rakyat Kelantan. Mustapa Mohamed sendiri selaku Pengerusi Umno Kelantan perlu berkokok. [wm.kl.11:57 am 21/09/15]

Amanah tidak perlu penasaran untuk berbaik dengan Pas?

Posted: 20 Sep 2015 07:09 AM PDT

BUAH FIKIR

Dua puak yang berbalah dalam Pas sehingga menyebabkan parti itu kini terbelah dua perlu bersiap sedia yang mereka tidak akan menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak secara bersama. Hakikat itu mereka harus fahami awal-awal lagi agar tidak terkilan dan menyesal dikemudian hari. Dua puak itu ialah yang kekal bersama Pas dan puak satu lagi yang keluar meninggalkan parti itu dan menubuhkan parti baru bernama Parti Amanah Negara (Amanah).

Walaupun pada asasnya mereka mempunyai nawaitu yang sama untuk menumbangkan BN, tetapi nawaitu itu kini tinggal angan-angan sahaja. Niat bersama yang dipasak dalam parti itu sejak berdekad lampau kini sudah relai dan terburai. Pas seakan sudah berpatah arang berkerat rotan dengan golongan bekas ahlinya itu jauh sekali sedia memenuhi pakatan atas tujuan untuk menumbangkan BN.  

Hari ini, setelah berada diluar Pas, bekas ahli Pas yang menyertai Amanah itu masih berharap mereka akan menjalani kerjasama dengan Pas untuk mencapai apa yang dihajatkan itu. Mereka mengajak Pas mengamalkan politik terbuka dan berpolitik secara profesional bukannya mendendami di antara satu sama lain. 

Ada kenyataan dan pelawaan ke arah itu dibuat oleh Amanah. Apa yang dinamakan pembentukan Pakatan 2 cuba hendak memanggil sama Pas agar berada dalam Pakatan itu apabila Pakatan Rakyat pertama kini sudah hancur. DAP telah mengistyharkan Pakatan Rakyat telah hancur apabila Pas berkeras untuk menerima usul agar memutuskan kerjasama dengan DAP. Bertindak dari usul itu DAP mengambil sikap balah dengan Pas.

Sebelum tindakan Pas itu, DAP terlebih dahulu mengesahkan yang mereka enggan bekerjasama dengan Pas atas alasan Pas bukan sebuah parti politik yang jujur dan ikhlas. Ini dirujuk kepada pemimpin tertinggi parti agama itu. DAP tidak mempercayai dan hilang keyakinan kepada ketua parti berkenaan. Tindakan DAP itu sangat memalukan ahli Pas.

Bergaduh dalam politik tidak akan sampai ke jalan mati. Bekas ahli Pas, PKR dan DAP masih berusaha untuk memperkukuhkan pembangkang. Mereka yakin BN tidak dapat dihancurkan dengan kekuatan dan kepaduan dalam pembangkang. Lantaran itu mereka masih menaruh harapan kepada Pas untuk bersama. 

Bagaimana pun pelawaan itu ditolak keras oleh Pas dengan menegaskan mereka akan bersendirian dan tidak akan bergabung dengan kumpulan yang mengkhianati perjuangan. Pas menyifatkan puak Amanah adalah puak yang mengkhianti parti tersebut dan mendesak agar mana-mana wakil rakyat Amanah meletakkan jawatan kerana mereka menang atas tikit Pas. 

Bukan itu sahaja isu bai'ah bidaan diungkit dan dimainkan oleh Pas secara meluas. Sampai kini Pas yang marah dengan tindakan ahli yang meninggalkan parti itu cuba menjatuhi hukuman terlebih awal daripada ketentuan Allah kepada mereka yang meninggalkan Pas itu.

Penolakan Pas untuk bergabung dengan pembangkang itu ditunjukkan dalam beberapa kenyataan oleh beberapa peimpinnya. Sikap Pas kini jelas mereka tidak mungkin bersama Pakatan lagi. Cadangan untuk diadakan meja bulat bagi membincang pembentukan Pakatan 2 tidak akan dihadiri oleh Pas.

Apa yang berlaku itu jelas. Justeru pihak Amanah tidak perlu menghabiskan air liur mempelawa Pas agar berkerjasama dan berada dalam Pakatan 2. 

Mungkin tindakan yang diambil oleh Pas itu dianggap politik babil dan bebal. Tetapi sebenarnya Pas ada motif tersendiri kenapa mereka bersikap demikian. Saya yakin dan percaya pimpinan Pas bukan semuanya bertaraf lembu politik semata-mata, tetapi ada yang bertaraf lebih baik dari itu.

Dalam hal ini saya nampak Pas sengaja mencipta sutuasi begitu kerana mengharap sesuatu atau pencapaian yang lebih baik dalam pilihan raya akan datang. Pas mahu tinggal kawan lama kerana mengimpikan menjelma dan hadir kawan baru. Apa yang dapat dirasakan disini Pas perlu menunjukkan pendirian dan sikap sebegitu untuk menyakinkan Umno. Kalau Pas tidak bersikap keras dan babil begitu menyebabkan Umno akan berfikiran lain.

Secara mudah sahaja kenapa Pas enggan bekerjsama dengan Amanah atau DAP, atas matlamat untuk menghancurkan BN, ialah kerana mereka sayang kepada BN. Pas kini sudah menyedari bahawa perlu mereka bergabung dengan Umno dan mengukuhkan BN. Dengan cara itu sahaja lah untuk Pas terus mengecapi sisa-sisa kemenangan yang dimiliki kini.

Adalah amat mustahil Pas akan menang sekiranya ia bertanding bersendirian. Usahkan untuk menambahkan kerusi yang sedia ada, untuk mengekalkan pun dilihat sukar. Pas menang dulu adalah kerana gabungan tenaga profesional yang banyak menggerakkan parti tetapi mereka kini sudah meninggalkan Pas. 

Ini kena difaham sebaik-baiknya oleh Amanah maupun PKR dan DAP. Pas bukan bodoh sangat untuk dia memecahkan sebuah persepakatan tanpa membina persepakatan lain. Mungkin para ustaz dalam Pas bersangka baik dan seronok dengan sikap Pas yang ingin mendapat keredaaan Allah, tetapi harus disedari dalam Pas masih ada tukang rancang (mater mind) yang dihantar oleh Umno menyelinap ke dalam parti tersebut.

Sekiranya ada pendapat mengatakan perpecahan dalam Pas ialah kerana dicatur oleh musuh, saya mempercayainya. Pas tidak akan mudah "bertanggal manggal" sesama sendiri kalau bukan dihasut oleh musuh. Orang yang beriman dan mukmim itu tidak akan berpecah kalau tidak ada orang ketiga di antara mereka. 

Makanya, baik Amanah dan orang-orang dalam Pas yang tidak menyedari apa yang sedang dicaturkan musuhnya, usaha berangan-angan untuk bersama lagi. Amanah perlu memperkuat dan memperbesarkan partinya bagi menghadapi pilihan raya kelak. Mengharap akan wujud kerjasama atau Pakatan 2, PKR, DAP, Amanah dan Pas samalah mengharapkan tanduk dari kepala kucing.

Amanah atau bekas Pas jangan sangat bernostalgia dengan parti lamanya itu sebab bimbang lama kelamaan boleh jadi meroyan. Gila. [wm.kl.10:08 pm 20/09/15]

Tiada ulasan: