Isnin, 21 September 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Parti Mana Sebenarnya Pengkhianat? PAS Atau AMANAH?

Posted: 21 Sep 2015 01:01 AM PDT

PAS tolak 'pengkhianat', tapi boleh khianat? Oleh YB Khalid Samad

ULASAN Saya sebenarnya amat tidak berminat untuk berbalah dengan PAS. Tetapi malangnya di sebalik kepincangan pentadbiran negara, isu perkauman yang semakin meruncing, isu 1MDB dan sebagainya; PAS kelihatan bagaikan tidak mampu bercakap mengenai perkara lain selain mengenai parti Amanah Negara. Kami terus difitnah dan digelar dengan gelaran yang menghina.

Dan apabila Presiden PAS sendiri mula menggelar AMANAH sebagai "pengkhianat", maka kami perlu menjawab. Dalam masa terdekat ini saya akan turut menjawab fitnahnya bahawa kami mahu jadikan PAS parti sekular dan sebagainya.

Walaupun adalah lebih wajar sekiranya PAS menumpukan pada usaha menjatuhkan Umno, tetapi memusnahkan AMANAH telah menjadi keutamaannya pada ketika ini.

Siapa pengkhianat?

Saya membaca dengan penuh tekun laporan The Malaysian Insider berhubung satu ucapan oleh Hadi Awang, presiden PAS. Beliau dilaporkan berkata bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan parti Amanah Negara yang beliau sifatkan sebagai "pengkhianat kepada perjuangan PAS".

Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, PAS bersedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak dengan pengkhianat.


Video ucapan presiden PAS ini telah turut disebar melalui FB dan WhatsApp oleh ahli PAS dan amat jelas sikap tegas beliau akan menjadi alasan untuk PAS tidak menyertai gabungan baru.

Saya turut menjangkakan bahawa kemungkinan besar AMANAH akan dipersalahkan kerana PAS tidak bersama dalam pembentukan Pakatan baru. Walhal, pada hakikatnya, presiden sudah tidak berminat dengan Pakatan dan lebih berminat untuk bekerjasama dengan pihak lawan.

Yang menjadi sedikit aneh pada saya adalah apabila sikap tegas dan tiada kompromi terhadap "pengkhianat" ini tidak mampu menghalang presiden PAS untuk mengkhianati Pakatan. Dan ini dilakukan beliau bukan sekali tetapi berulang kali.

Amat pelik bagi saya apabila seseorang mengutuk dan mengkritik sikap tertentu tetapi apabila dirinya sendiri melakukannya, terhadap rakan-rakannya sendiri, ianya seolah-olah tidak mengapa. Adakah ianya hanya satu kesalahan apabila PAS "dikhianati", tetapi tidak mengapa untuk PAS mengkhianati?


Adakah mungkin presiden PAS telah lupa mengenai peristiwa Kota Damansara? Di mana persetujuan telah tercapai di setiap peringkat sama ada kawasan, negeri dan pusat, bahawa itu adalah kerusi PKR?


Atas desakan tertentu, maka dibenarkan menantunya meletakkan rakannya sebagai calon PAS. Dan akhirnya calon Umno/BN menang hasil dari pengkhianatan PAS. Tidakkah itu satu pengkhianatan?


Tuduh Marxis, pil kuda


Atau ianya hanya khianat apabila PAS yang dilukai? Tetapi apabila ianya dilakukan oleh PAS maka ianya bukan pengkhianatan kerana khianat hanya boleh berlaku terhadap PAS?

Begitu juga dengan kata-kata kesat beliau terhadap calon PKR Kota Damansara yang diucapkannya sewenang-wenangnya, menghukum Dr Nasir sebagai manusia yang "mempertuhankan Marx"?

Sedangkan, Hadi tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan Dr Nasir. Tidakkah itu juga satu pengkhianatan? Sudah pasti kata-kata sebegitu telah menyumbang kepada kemenangan Umno/BN dan kekalahan PKR.

Sepertimana juga dengan tuduhan liar "pil kuda" tanpa dibawanya saksi ataupun bukti tetapi main cakap ikut sedap mulut semata-mata. Sedangkan PKR itu rakan. Bukankah meluahkan tuduhan sebegitu di khalayak umum juga satu pengkhianatan?

Saya tidak mahu menceritakan setiap satu peristiwa pengkhianatan yang telah berlaku terhadap rakan-rakan dalam PR. Tetapi ini sekadar untuk membuka mata mereka yang dengan mudah hendak menuduh orang lain "pengkhianat" seolah-olah diri mereka bersih dan bebas dari apa-apa salah laku.

Kesemua tindakan khianat ini terhadap rakan PR telah ditegur dan cuba diperbetulkan tetapi akhirnya kami pula dituduh lebih PR dari PAS. Walhal, usaha membetulkan perjalanan PAS adalah untuk kepentingan PAS. Namun, apakan daya kerana PAS dianggap boleh buat sesuka hatinya atas alasan bahawa dirinya sebuah parti Islam.

Tetapi usaha khianat yang terbesar yang tidak boleh dilupakan ialah apabila presiden PAS dengan sedar dan sengaja, bersekongkol dengan Umno untuk pertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor semasa krisis yang lalu.

Penubuhan kerajaan PAS-Umno

Melalui tindakan beliau, Khalid Ibrahim telah memecat semua exco PKR dan DAP. Kerajaan PAS-Umno dengan dipimpin Khalid telah berkuasa di Selangor untuk tempoh melebihi seminggu.

Akhirnya kerajaan PAS-Umno yang dipimpin Khalid itu telah dijatuhkan apabila dua ADUN PAS menyatakan mereka tidak menyokong beliau sebagai MB. Mereka berdua telah menandatangani Surat akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Wan Azizah sebagai MB bersama 28 ADUN yang lain dari PKR dan DAP.

Kemarahan presiden PAS begitu memuncak sehingga semasa muktamar PAS ke 59 beberapa bulan selepas itu beliau keluarkan tuduhan adanya "broker dan barua" serta tuduhan dua ADUN dibeli tanpa mengemukakan sebarang bukti mahu pun saksi.


Presiden PAS marah kerana 'dikhianati' 2 ADUN tersebut tetapi dia tidak nampak pengkhianatan yang telah dia sendiri lakukan terhadap PR dan pengundi Selangor.

Tidak memadai dengan itu, sebagai tindak balas, presiden PAS menawarkan kepada Azmin Ali jawatan MB sekiranya beliau masuk PAS bersama dua atau tiga ADUN PKR yang lain.


Ini akan dilakukan setelah Khalid Ibrahim memegang jawatan MB terlebih dahulu untuk tempoh enam bulan. Adalah jelas bahawa PAS akan hanya mampu mengekalkan Khalid Ibrahim sebagai MB untuk tempoh enam bulan dan menggantikannya dengan Azmin Ali sekiranya usaha PAS ini disokong Umno.

Ini kerana PAS hanya mempunyai 13 kerusi (tanpa dua ADUN yang pasti tidak akan sokong). Sekiranya dicampur dengan Khalid Ibrahim dan Azmin bersama tiga lagi ADUN PKR, jumlahnya hanya 18 kerusi ADUN.

Namun, mereka memerlukan 29 kerusi untuk membentuk kerajaan. Sudah pasti kekurangan ini tidak akan ditampung oleh PKR atau DAP. Maka ianya akan ditampung oleh Umno yang menguassai 12 kerusi DUN.

Sekiranya kerjasama tidak boleh diadakan dengan "pengkhianat" maka sudah pasti, pertama sekali, tidak boleh diadakan kerjasama adalah dengan PAS.

Bagi kami dalam AMANAH, kami dianggap pengkhianat kepada PAS kerana menentang pengkhianatan PAS terhadap PR. Yang menentang pengkhianatan dianggap pengkhianat dan yang mempertahankan pengkhianatan dianggap penyelamat.

Dengan sikap sebegitu, tidak salah untuk ditanya adakah masih ada tempat lagi bagi PAS dalam politik masa depan negara?









Yang Kerap Ponteng Parlimen Lebih Wajar Letak Jawatan & Baiah Taklik

Posted: 20 Sep 2015 08:22 PM PDT

Patut bai'ah cerai isteri jika ponteng sidang Parlimen – Amanah

Bai'ah cerai angkat martabat isteri dalam perjuangan Islam, kata bekas pemimpin parti Islam terdahulu kami.

Sesetengah menganggap lafaz bai'ah sebegitu kononnya mengangkat martabat isteri di sini agama.

Segelintir lain berpendapat lafaz sebegitu seakan lebih mempertahankan kepentingan partinya, berbanding kepentingan rakyat hatta kemuliaan Islam itu sendiri – Islam rahmat ke seluruh alam.

Sindir saya begini, jika parti Islam tersebut lebih mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak, patut lafaz bai'ah cerai talak isteri jika ponteng perbahasan di parlimen.

Ini kerana ponteng persidangan Dewan Rakyat ertinya mengabaikan kepentingan rakyat terbanyak.

Mengutamakan Islam ertinya mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak, berbanding kepentingan parti Islam terdahulu itu.

Kalau diri sendiri rajin ponteng sidang dewan rakyat di Parlimen, jangan pula lafaz bai'ah parti Islam berkenaan demi mengutamakan keserakahan politik melampau pemimpin parti Islam terbabit semata-mata.

Sesungguhnya Islam agama kasih sayang, maka pemimpin terbabit hatta parti Islam terdahulu elok jangan memperolok-olok kedudukan wanita atau agama Islam sendiri.

Islam memartabatkan institusi kekeluargaan atas rasa kasih sayang di antara suami, isteri dan anak-anak, bukanlah sebaliknya.

Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

Maksud:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." [Surah Ar-Room: 22]

Jangan keserakahan politik melampau peribadi diri sendiri sampai mahu meruntuhkan institusi kekeluargaan umat Islam yang lain.

Kalau 'negara Islam' sekecil keluarga ini pun mahu diruntuhkan atas serakah politik peribadi, bayangkan jika pemimpin melampau terbabit mentadbir negara.

"Islam rahmatan lil alamin."

* Penulis ialah Ketua Penerangan Amanah Pulau Pinang.

ULASAN GB

Sudah banyak kali GB ulas mengenai isu ponteng parlimen ini. Petikan ulasan-ulasan GB sebelum ini:

Presiden PAS menyatakan wakil rakyat yang tak letak jawatan akan dilaknat. Sebelum ini Mursyidul Am PAS, Dr.Haron Din mengeluarkan "fatwa"nya haram gaji dan elaun jika wakil rakyat PAS menyertai parti lain.

Memang pelik dan teruk sekali kenyataan-kenyataan berkenaan kerana jika demikian, kesemua wakil rakyat PAS kena letak jawatan sebab PAS sendiri telah khianat denagn rakan-rakan sepakatan sehinggan Pakatan Rakyat kini sudah hancur binasa. Kesemua gaji dan elaun wakil-wakil rakyat PAS yang masih kekal di dalam PAS itulah yang sebenarnya haram kerana rakyat mengundi mereka bukan kerana mereka PAS semata-mata tetapi adalah kerana pada pilihanraya rakyat mengundi di atas dasar mereka adalah calon Pakatan Rakyat.

Jika mengundi di atas dasar PAS semata-mata, cuba lihat di kerusi-kerusi dimana pertandingan tiga penjuru iaitu di

1) Dun Kota Damansara (Selangor)
2) Dun Sungai Aceh (Pulau Pinang)
3) Dun Panti (Johor)
4) Dun Kota Putra (Trengganu)
5) Dun Bukit Besi (Trengganu)
6) Dun Seberang Takir (Terengganu)
7) Parlimen Labuan.

Ketujuh-tujuh kerusi tersebut akhirnya terlepas kepada Umno/BN! Di Sungai Acheh PAS dengan calonnya Mohd Yusni Mat Piah TELAH HILANG DEPOSIT dengan hanya mendapat 690 undi. Jadi jangan lupa, dengan restu Hj Hadi, PAS telah mengkhianati tahalluf siyasi dengan rakannya sewaktu PRU-13 lepas dan PAS kecundang di tempat-tempat yang tidak dibantu rakan dari Pakatan Rakyat. Lagi mahu sembang kencang dan mahu tunjuk lagak.

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan dimana calon-calon PAS yang khianat dengan Pakatan Rakyat itulah yang bakal dihukum oleh rakyat. Gaji dan elaun merekalah yang lebih "syubhah".

Selain itu sebelum ini GB pernah menyatakan bahaimana pula wakil rakyat PAS yang gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat sepertimana yang diamanahkan? Mengapa Majlis Syura tidak mengeeluarkan hukum tentang gaji dan elaun yang diterimanya? Petikan:

Seorang yang berjawatan Presiden Parti Islam, seorang yang bertaraf "ulama dunia" tetapi tidak menjalankan amanahnya sebagai wakil rakyat untuk hadir di Parlimen begitu banyak kali.

Haji Hadi telah ponteng sebagai ahli parlimen sewaktu tiga undang-undang penting dibahas dan diluluskan secara undian belah-bahagi iaitu, Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Pindaan Akta Hasutan dan Undang-undang GST.

Dan yang paling teruk ialah semasa private bill disenaraikan di dalam agenda Dewan Rakyat kali kedua, YB Marang itu ponteng lagi malah ketika itu beliau berada di Jepun!

Kelmarin, sewaktu semua ahli parlimen pembangkang terpaksa berhimpun di Padang Kawad Menara Parlimen bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dakwaan penggunaan wang terbabit untuk kegunaan pilihan raya yang lalu, Haji Hadi ponteng lagi.

Rupa-rupanya beliau berada di Kelantan, mengeluarkan kenyataan dari sana akan memecat ahli PAS yang menyertai parti lain. Tidak uzur syarie.

Itulah sikap Ahli Parlimen Marang terhadap tanggungjawabnya sebagai seorang ahli parlimen! Apakah tidak berdosa jika tidak menunaikan amanah atau dalam ertikata lain KHIANAT sebagai seorang ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat? Apakah hukumnya memakan gaji buta itu? Beliau yang sepatutnya dipecat dari PAS kerana mengkhianati parti juga. Bukankah ahli parlimen juga ada mengangkat sumpah semasa ditabalkan menjadi seorang MP untuk berkhidmat dengan amanah dan jujur

Lepas tu hebat dan segera pula nak barua, celaka, mentololkan orang lain dan kini nak melaknat orang.

Kita menunggu hukum kebenaran dan keadilan yang akan terus berjalan untuk menghukum pimpinan tertinggi PAS dan PAS sendiri lantaran pengkhianatannya kepada rakyat. Nanti akan ketahuilah semua siapa yang barua, celaka, tolol dan terlaknat yang sebenarnya....

InsyaAllah, berani kerana benar!


Tetapi Presiden PAS sendiri tidak mengulas apa-apa mengenai apa hukumnya mereka yang mengkhianati amanah rakyat yang telah mengundi PAS di atas dasar Pakatan Rakyat dan apa hukumnya orang yang kerap ponteng parlimen dan tidak menjalankan amanahnya sebagai seorang wakil rakyat dengan baik. (Setiap wakil rakyat perlu mengangkat sumpah dengan memulai WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI" dihadapan speaker untuk menjalankan tugas dan tanggungjwabnya dan menjalankan kewajipan-kewajipannya sebagai wakil rakyat dengan jujur dan sedaya upayanya). Bukankah pengkhianatan terhadap kewajipan sebagai wakil rakyat itu dilaknat Allah dan Rasulnya?

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Kerana kerap ponteng parlimen, parlimen tidak akan terima dan akan mencampak mereka yang ponteng itu keluar dari parlimen di pilihanraya akan datang!












IKLAN BERBAYAR






Tiada ulasan: