Selasa, 11 Ogos 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Wanita disiasat polis kerana tampal pelekat kenderaan #TangkapNajib

Posted: 10 Aug 2015 10:45 PM PDT

 
Wanita terbabit menampal pelekat yang bertulis #TangkapNajib pada bahagian belakang kereta Hyundai Elantra miliknya.


polis_Hyundai-Elantra_600


PETALING JAYA: Gara-gara memasang peleket kenderaan yang bertulis `#TangkapNajib', seorang wanita di Kuching, Sarawak, disoal siasat oleh polis kerana dipercayai cuba menghasut.

Pelekat kenderaan itu ditampal pada cermin belakang kereta Hyundai Elantra warna putih milik wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, ACP Roslan Ahmad Bek dalam satu kenyataan mengesahkan yang pihaknya menyiasat wanita berusia 31 tahun itu.

"Lebih kurang jam 3 petang semalam (Isnin), sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Jalan Kulas, Kuching telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat perkataan #TangkapNajib berwarna putih dibelakang cermin kenderaan tersebut," katanya sambil menambah,hasil semakan lanjut mendapati pemilik kenderaan tersebut adalah seorang wanita.

Mengulas lanjut, Roslan berkata pemilik kenderaan tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Katanya, jika didapati bersalah wanita terbabit boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak mempamerkan pelekat yang seumpama itu dimana-mana bahagian kenderaan," tegas Roslan.

Siasatan polis terhadap wanita terbabit telah menjadi viral dengan beberapa buah blog berkongsikan cerita mengenainya.

KJ buat lawak bodoh – Faizal Tahir

Posted: 10 Aug 2015 10:42 PM PDT

 
Dia ternyata kurang senang dengan lawak itu dan menganggapnya tidak wajar bagi seorang Menteri membuat kenyataan seperti itu.


faizaltahir_comt_600



PETALING JAYA: Penyanyi dan juga komposer, Faizal Tahir menyifatkan kenyataan Khairy Jamaluddin yang berseloroh dengan mengatakan 'menyokong sokong Liverpool sama seperti menyokong Pas kerana mereka tidak pernah menang' sebagai lawak teruk dan bodoh.

Menerusi laman Instagram, Faizal meluahkan rasa terkilannya dan tidak puas hati terhadap Menteri Belia dan Sukan dan membuat beberapa pesanan buatnya.

Tambah Faizal lagi, dia sedar dan hormat akan kelab yang disokong Khairy namun lawak Ketua Pemuda UMNO itu tidak masuk akal.

"Mmm.. Tak cakap pun tak jadi. Pada saya 'lawak' dia jadi. Jadi bodoh. Please Sir, i believe we are better than this. We could all be better than this. Jangan biar anggota badan lain mengatasi akal," tulis Faizal.

Walaupun dia bukan penyokong Liverpool, Faizal ternyata kurang senang dengan kenyataan KJ itu.

Beberapa orang pengikut Faizal turut menyokong pendapatnya dan memberikan komen di Instagram yang rata-ratanya menghentam Khairy.

Khairy membuat kenyataan itu ketika sesi Hard Talk With Khairy Jamaluddin sempena Persidangan Pelajar Malaysia ke-9 pada Ahad.

"Saya minta maaf. Menyokong Liverpool sama seperti menyokong Pas, mereka tidak pernah menang," kata Khairy.

Lindungi Ringgit! Jangan balut kertas dengan api!

Posted: 10 Aug 2015 10:38 PM PDT

THE RAKYAT POST

 

ringgit650X360
Sebarang tindakan kerajaan yang mencemar dan menimbulkan curiga terhadap badan siasatan dikhuatiri menyebabkan kejatuhan nilai Ringgit dengan lebih teruk. Foto hiasan TRP 



KUALA LUMPUR, Pas hari ini mengeluarkan amaran tegas kepada kepimpinan kerajaan supaya tidak mengganggu badan siasatan dan membiarkan siasatan dijalankan secara telus dalam usaha mengembalikan keyakinan pelabur.


Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jika kerajaan melakukan apa-apa yang mencemar dan menimbulkan curiga terhadap badan siasatan khususnya Bank Negara dan Gabenornya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tanpa asas kukuh, dikhuatiri nilai Ringgit akan menjunam lebih teruk, mungkin melepasi paras krisis kewangan 1998.

"Fikir sebelum bertindak. Utamakan kepentingan rakyat dan negara. Apa yang diperlukan waktu ini ialah ketelusan dan siasatan diteruskan tanpa gangguan dan bukannya tindakan membalut kertas dengan api untuk mengembalikan keyakinan pelabur," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.

Tuan Ibrahim mendakwa akibat krisis hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelabur mula meragui integriti kepimpinan negara.

Katanya, keadaan bertambah parah selepas tindakan polis menjalankan siasatan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara selain sidang Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ditangguhkan tatkala siasatan 1MDB rancak dijalankan.

"Ura-ura rancak mengatakan seterusnya akan disasarkan kepada Bank Negara. (Mantan Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad juga dapat menghidunya," kata Tuan Ibrahim.

"Ia bermula sejak kemunculan blog-blog misteri sejurus pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri yang cuba membangkitkan keraguan terhadap Bank Negara dan Gabenornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hangat dipromosikan di sosial media."

Penjual kacang putih mungkin diberi peluang kedua

Posted: 10 Aug 2015 10:36 PM PDT

THE RAKYAT POST

 

FB_IMG_1439153556273
Gambar yang memaparkan S.Selvajanaki terduduk di perkarangan hospital dengan barangan jualannya berterabur di atas jalan. Foto FB 



KUALA LUMPUR, Wanita penjual kacang putih yang fotonya menjadi viral selepas barangan jualannya berterabur di perkarangan hospital mungkin akan diberi peluang kedua untuk meneruskan perniagaan.


Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria berkata, pihak majlis akan mengadakan pertemuan dengan wanita itu, S.Selvajanaki, 41 untuk berbincang tentang masalah yang dihadapainya, lapor The Star Online.

Beliau dalam satu sidang media semalam bagaimanapun berkata, pihak berkuasa tidak dapat membenarkan peniaga menjalankan perniagaan di kawasan hospital.

Selvanaki mendapat perhatian warga internet selepas fotonya yang terduduk di lantai dengan barangan jualannya berterabur tersebar di media sosial.

Gambar berkenaan yang dimuat naik di laman web Siakap Keli, dirakam oleh Ahmad Shuaib Ismail.

Kapsyen gambar terbabit turut menyatakan, dia sedih dengan nasib yang menimpa peniaga itu yang bukan sahaja tidak dibenarkan berniaga, malah barangan jualannya turut berterabur ke jalan raya.

"Jika dia tiada lesen, beri dia lesen, jangan baling barangan jualannya macam itu," katanya Ahmad Shuaib Ismail berdasarkan rakaman gambar terbabit.

Sementara itu, pelajar kolej, Nuruddin Abdul Mujid turut memuatnaik gambar wanita berkenaan dan menafikan pihak majlis bertindak tidak adil terhadap wanita berkenaan.

Nuruddin yang turut hadir pada sidang media itu dilaporkan berkata, Selvajanaki yang bertindak membaling barangan jualannya ke jalan raya.

Dalam pada itu, Selvajanaki turut mengesahkan pegawai pihak berkuasa tidak membaling barangan jualannya sebaliknya ia jatuh kerana berlaku pergelutan.

Pembayaran elektronik bermula 9 September

Posted: 10 Aug 2015 10:26 PM PDT

SINAR HARIAN


PLUS Expressways Bhd (PLUS)
PLUS Expressways Bhd (PLUS)


KUALA LUMPUR - Pembayaran tol di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Jitra, Bukit Kayu Hitam (Lebuhraya Utara Selatan), Lunas dan Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim) akan dilakukan secara elektronik  menggunakan kad Touch 'n Go dan Plusmiles serta SmartTag bermula 9 September ini.

Ketua Pegawai Operasi Plus Mohammad Fuad Khusairi berkata pengguna yang membayar secara tunai di lima plaza tol itu perlu berhijrah kepada sistem kutipan tol elektronik secepat mungkin.

"Untuk memudahkan pembelian dan pengisian semula kad PlusMiles dan Touch 'n Go, pengguna lebuh raya boleh membeli kad PlusMiles dan Touch 'n Go dengan nilai  sedia ada sebanyak RM5 (kad adalah percuma) di plaza tol berkenaan mulai sekarang hingga 31 Disember 2015, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna lebuh raya boleh juga membeli peranti SmartTag pada harga promosi RM96 (termasuk cukai barang dan perkhidmatan enam peratus)di kesemua lima plaza tol itu sehingga 30 September ini (selagi stok masih ada).

Mohammad Fuad berkata pengguna Kelas 1 yang membayar secara elektronik di plaza tol Jitra, Bukit Kayu Hitam, Lunas dan Kubang Semang juga akan menikmati 20 peratus rebet tol mulai 1 September hingga 31 Disember tahun ini.

Pengguna Jambatan Pulau Pinang yang menikmati diskaun 20 peratus sekarang ini tidak layak mendapat rebet tol 20 peratus itu.

Inisiatif pembayaran tol elektronik sepenuhnya itu berjaya dilaksanakan di Bangunan Sultan Iskandar (2008), Lebuhraya Linkedua (berperingkat sejak 2009), Plaza  Tol Kempas (2014), Batu Tiga dan Sungai Rasau (November 2014) serta Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Jun lepas. - Bernama


Sah! Karathu pula direhatkan

Posted: 10 Aug 2015 10:23 PM PDT

Datuk M Karathu
Datuk M Karathu
 

SAH! Teka-teki mengenai status Ketua jurulatih skuad Liga Super Perak, Datuk M.Karathu akhirnya terjawab apabila  Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Pasukan Liga Super Perak membuat keputusan 'merehatkan' pengendali berkenaan sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.

Mengesahkan perkara berkenaan,  Presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zaino Fadzi Paharuddin berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Team Liga Super Perak, semalam.

Justeru, menurut Zainol Fadzi, penolong jurulatih, Abu Bakar Fadzim bakal mengambil alih tugas Karathu buat seketika.

"Ya, dia (Karathu) memang direhatkan dan Burn (Abu Bakar Fadzim) akan ambil alih.

"Keputusan ini juga sekali gus menyaksikan Karathu tidak akan menyertai rombongan pemain ke Terengganu untuk aksi Liga Super malam esok," katanya kepada Sinar Harian.

Berdasarkan mesyuarat berkenaan Karathu direhatkan serta-merta selama 14 hari.

Bagaimanapun difahamkan, Pafa akan  menghubungi Karathu untuk perbincangan selanjutnya kelak.


Biarkan SPRM bebas siasat skandal 1MDB

Posted: 10 Aug 2015 10:18 PM PDT

Oleh: HAFIZAN TAIB


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewajarnya tidak diganggu polis dalam siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini kerana campurtangan pihak tertentu dalam siasatan berprofil tinggi membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pasti membuahkan keputusan tidak telus dan menjejaskan integriti SPRM sendiri.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan, berkata SPRM seharusnya diberi ruang secukupnya dalam perkara itu kerana kes itu membabitkan satu jumlah wang besar, RM 2.6 bilion, yang menjadi pertikaian rakyat masa kini.

Manivanan Gowin 4a"Campurtangan pihak lain seperti polis menjejaskan siasatan dan kita melihat tindakan ini sebagai sesuatu yang tidak wajar pihak berkuasa berkenaan.

"Tindakan dibuat itu dipercayai mahu melindungi pihak tertentu selain pertukaran kaki tangan SPRM secara serta merta yang menimbulkan tanda tanya," katanya kepada Selangor kini di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan SPRM menjalankan tanggungjawab diamanahkan rakyat dan kerajaan perlu menghormatinya tanpa mencampuradukkan perkara berkaitan politik.

Katanya, pembatalan pertukaran dua pengarah SPRM iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob ke Jabatan Perdana Menteri adalah tindakan wajar dan tepat.

"Memang sepatutnya mereka dikembalikan ke SPRM supaya boleh menjalankan amanah dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka," katanya.

SPRM kini menjalankan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.EZY


Rundingan turun kuasa beberapa jabatan bermula

Posted: 10 Aug 2015 10:16 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak sudah memulakan perbincangan untuk memberi lebih 'pemerkasaan' kepada beberapa jabatan kerajaan negeri, dengan menurunkan kuasa jabatan-jabatan tertentu kerajaan pusat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia susulan arahan beliau kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk mula berunding dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani mengenai perkara itu baru-baru ini.

Menurutnya hasil rundingan mengenai perkara itu kelak akan diumumkan oleh beliau sendiri dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, apabila ia dimuktamadkan.

"Banyak pertindihan (kuasa) boleh dielak, banyak sumber yang boleh diselamatkan kalau kita boleh perkemas kuasa antara (jabatan) kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak," katanya semasa berucap di majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Padang Merdeka di Kuching malam ini.

Beliau berkata inilah untungnya rakyat Sarawak kerana memiliki sebuah kerajaan negeri yang sealiran dengan kerajaan pusat, kerana banyak lagi kemajuan boleh diharapkan hasil keakraban ini.

Najib berkata apabila rakyat Sarawak mengambil keputusan untuk merdeka dengan bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963, mereka jelas faham mengenai kepentingan untuk menganggotai sebuah 'keluarga besar'.

Beliau berkata dengan menganggotai sebuah keluarga besar, ini bermakna seluruh kekuatan kerajaan persekutuan akan digunakan untuk mempertahankan kepentingan dan keselamatan rakyat Sarawak.

Katanya itulah sebabnya apabila ada segelintir rakyat yang menampilkan idea kononnya untuk membawa Sarawak keluar Malaysia, beliau menganggap ia sebagai sesuatu yang tidak logik, atau langsung "tidak masuk akal".

"Saya setuju dengan kata-kata ketua menteri Sarawak sebentar tadi, 'it is a stupid talk', sebab keputusan keramat Sarawak untuk merdeka dalam Malaysia membawa manfaat penuh kepada seluruh rakyat," katanya.

Perdana menteri bersama ketua menteri dan menteri-menteri kabinet persekutuan serta negeri kemudiannya meninggalkan majlis selepas upacara menaikkan bendera sebagai simbolik acara sambutan, namun lebih 10,000 pengunjung terus berada di Padang Merdeka untuk menikmati banyak lagi acara yang disediakan bagi memeriahkan sambutan.

Acara persembahan pentas dijangka berlarutan sehingga ke tengah malam dan akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api. - Bernama
 
 
 

Al-fatihah untuk APO? dan Ujang

Posted: 10 Aug 2015 10:13 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Seperti direnjat elektrik, seluruh peminat kartun dan komik tanah air terkejut dengan penutupan penerbitan majalah Ujang dan APO?.

Tanggal 6 Ogos 2015, MOY Publications menghentikan penerbitan dua majalah gergasi yang pernah menjadi jaguh pasaran tempatan sekaligus bermakna Ujang dan APO? turut menyertai arwah-arwah majalah kartun terdahulu.

Ujang dan APO? dimakamkan bersama Gelihati, Mat Jenin, Batu Api serta berpuluh majalah kartun tanahair yang pernah mewarnai industri kartun dan komik tanahair.

Sejarah ringkas

Majalah Ujang muncul di pasaran pada tahun 1993 di bawah Kharisma Publications. Dengan cogankata Majalah Lawak Antarabangsa, kartunis Ujang (Ibrahim Anon) yang telah mencipta kegemilangan di majalah Gila-Gila mengorak langkah menerbitkan majalah Ujang bersama kartunis popular seperti Gayour, Nik dan Aie.

Beberapa kartunis yang sedang mencipta nama dididik, diberi nama baru yang segar dan subur seperti Bijan, Sukun, Jering, Ubi, Duku, Halia dan Sireh (sekadar menyebut beberapa nama) juga penulis Azzam Supardi membentuk sebuah pasukan produksi yang mantap sehingga edaran setiap keluaran mencecah lebih 200,000 naskhah.

Maskot Din Beramboi menjadi fenomena sehingga direbut beberapa pihak. Peminat-peminat tidak sabar menanti kemunculan setiap isu untuk membaca kisah 'Abe', 'Bersama Selamanya', 'Aku Hidup Dalam Blues', 'Budak Hostel' dan lain-lain.

Watak kartun lerang (strip cartoon) seperti Murahguru Tandoori Payat, Pak Andak dan Angah, Bas Mini 222 mencuit hati. Majalah kartun sedia ada sedikit tergugat dan perlahan-lahan terikut juga corak persembahan Ujang.

Apabila kartunis Ujang (Ibrahim Anon) meninggalkan majalah tersebut, MOY Publications mengambilalih penerbitan majalah Ujang dan mengawal hakcipta dan harta intelek sehingga kartunis Ujang sendiri tidak dibenarkan berkarya menggunakan nama samaran Ujang.

Meskipun diboikot sebahagian besar peminat tegar kartunis Ujang (Ibrahim Anon), majalah Ujang di bawah MOY Publications terus menjuarai pasaran, melonjak dengan gabungan barisan kartunis asal dan muka baru.

Majalah APO? muncul empat tahun selepas majalah Ujang. Juga diterbitkan oleh MOY Publications dengan kartunis Petai teraju utamanya bersama kartunis Sireh, Rambai, Ah Liow dan Blue (sekadar menyebut beberapa nama).

APO? bermula dengan konsep gabungan komik lucu dan serius. Pelukis komik tanahair seperti Zoy, Fazrul Arhan dan Nizam Bachok turut memeriahkan keluaran awalnya. Edisi pengenalan APO? dipasarkan dengan harga murah gila, RM1 sahaja senaskhah.

Atas faktor keuntungan barangkali, konsep APO? kemudiannya ditukar menjadi seratus peratus humor atau menjadi majalah Ujang nombor dua. Keduanya bersaing sesama sendiri. Banyak juga majalah baru muncul dengan konsep seperti mereka tetapi gagal bertahan. Ujang dan APO? mengungguli pasaran selama dua puluh tahun.

Zaman kejatuhan

Entah di mana silapnya, majalah kartun bercorak ke-Malaysiaan perlahan-lahan tewas kepada komik manga terjemahan dari Jepun yang mula menyerang pasaran. Syarikat penerbitan majalah baru juga cenderung menerbitkan majalah kartun berbahasa Melayu berkonsepkan manga.

Penerbitan manga umpama virus yang menyerang antibodi majalah kartun beridentitikan kebangsaan. Ujang dan APO? juga dijangkiti virus ini sehingga terpaksa akur dan mengikut sedikit rentak mereka. Kartun online pula melancarkan serangan ke atas generasi baru.

Dengan menekan papan kekunci dan melayari internet, anak-anak tidak perlu lagi keluar mencari majalah di kedai. Baca sahaja di skrin komputer atau telefon pintar. Kemunculan permainan video seterusnya menjadi pelengkap kepada siri pembunuhan ini.

Cuba letakkan telefon pintar dan majalah kartun di atas meja, yang mana akan dipilih oleh anak kita? Majalah kertas tergugat. Kartunis yang berkarya dengan konsep keMalaysiaan tersudut apabila kisah bagaimana membuat gasing, mandi sungai, pergi mengaji tidak lagi menangkap imaginasi generasi hari ini. Jualan semakin menyusut.

Keruh di hulu, maka keruh di hilir

Seperti pepatah di atas, itulah yang diakui oleh orang kuat MOY Publications. Ekonomi yang tidak stabil, nilai matawang jatuh dan Government Service Tax (GST) menyebabkan kos operasi meningkat. Harga kertas naik, elektrik dan petrol mencanak sehingga mempengaruhi produksi.

Justeru, setelah segala kemunasabahan dihitung, bebanan yang tinggi dan tidak berbaloi, MOY Publications terpaksa akur dan menutup penerbitan majalah Ujang dan APO?. Untuk rekod, MOY Publications juga pernah menerbitkan majalah Era@MOY, Blues Selamanya dan sebuah majalah kartun bahasa Cina, Sot Sot tetapi tidak bertahan lama.

Meskipun majalah ditutup, MOY Publications khabarnya sedang berusaha membawa kartun dan kartunisnya berkarya di alam maya. Erti kata lain untuk menyedapkan hati ialah dunia kartun dan komik masih belum mati, cuma berpindah dunia dari alam kertas ke alam skrin.

Tetapi bagi peminat, kematian majalah adalah kematian industri. Seperti siri Battle Royal dalam sukan gusti, kesemua majalah telah tersingkir tewas dan hari ini cuma tinggal majalah Gila-Gila satu-satunya majalah beridentitikan kebangsaan, tanpa pengaruh manga, yang masih hidup. Sungguhpun edarannya kecil tetapi Gila-Gila terus bertahan untuk tahun ketiga puluh tujuh.

Berita terkini dari teman-teman, atas nama solidariti dan tidak ingin melihat khazanah kartun terkubur, kartunis Ujang (Ibrahim Anon) dan beberapa kartunis kembali berjuang membantu Gila-Gila meneruskan nafas.

Apakah Gila-Gila mampu mengharungi arus deras masa kini? Apakah nasib kartunis hanya duduk melukis karikatur di sudut pusat membeli-belah dan tidak berpeluang lagi bangun gagah mengangkat semula martabat kartun Malaysia?

Akan wujudkah kesedaran masyarakat terhadap hidup mati salah satu cabang seni lukis negara kita ini? Wallahua'lam. Buat masa ini, al-Fatihah untuk APO? dan Ujang.



RONASINA seorang kartunis dan penerbit. Tulisan ini pertama kali disiarkan di laman web jalantelawi.com.

Adenan: BN S'wak sudah sedia hadapi p'raya

Posted: 10 Aug 2015 10:07 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mendapat lima daripada 11 kerusi baru negeri bagi pilihan raya negeri akan datang kerana parti itu mampu memenangi semua kerusi itu.

"Kami sekarang mempunyai 35 kerusi yang kami tidak pernah gagal menyumbang kepada Barisan Nasional (BN). Saya pasti akan meneruskan tradisi ini," katanya ketika berucap dalam perjumpaan Aidilfitri anjuran PBB zon Kuching malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara tetamu yang hadir di majlis itu.

Adenan, yang juga presiden PBB, berkata BN negeri itu sudah bersedia menghadapi pilihan raya negeri yang boleh dipanggil pada bila-bila masa dalam tempoh 10 bulan dari sekarang,.

"Untuk sekarang, marilah kita memberikan tentangan sengit kepada pembangkang dan melemahkan mereka. Kemudian, barulah kita memanggil pilihan raya," katanya sambil berjenaka.

Untuk rekod, Sarawak sekarang mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Mahkamah Rayuan baru-baru mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung dengan persempadanan kawasan pilihan raya negeri dan memutuskan bahawa 11 kerusi baru yang dicadangkan boleh diguna dalam pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Adenan, PBB akan menambah kerusinya daripada 35 sekarang kepada 40 kerusi daripada 82 kerusi (71 + 11).

Mandat penuh DUN Sarawak akan berakhir pada Jun 2016.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib atas kepercayaannya melantik lapan orang wakil dari Sarawak menjadi menteri penuh dalam kabinet beliau.

"Ini belum pernah berlaku dalam sejarah negara dan satu penghormatan kepada negeri ini.

"Saya dengan ini menyeru kepada rakyat Sarawak supaya menolak calon pembangkang dalam pilihan raya negeri akan datang untuk membolehkan kita mengambil bahagian dan mengukuhkan pentadbiran negara," kata Adenan. - Bernama


 

Adik Zahid runding sistem urus 1.5j pekerja Bangladesh

Posted: 10 Aug 2015 10:02 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sebuah syarikat yang dimiliki oleh adik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berbincang dengan Dhaka dan Putrajaya untuk menyediakan satu sistem pengurusan bagi 1.5 juta pekerja Bangladesh, yang Malaysia berhasrat membawa masuk bekerja di negara ini.

Real Time Networking Sdn Bhd, di mana adik Zahid - Abdul Hakim Hamidi - adalah pengerusi eksekutifnya, mencadangkan penyediaan satu sistem dalam talian di mana, dengan bayaran, pekerja boleh didaftar dan dipantau dari Bangladesh dan Malaysia.

Zahid juga adalah menteri dalam negeri, dan kelulusan bagi pekerja asing ke Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sistem dalam talian Real Time - yang dikenali sebagai Workforce Management & Networking System (Workman) - adalah sama seperti yang disediakan oleh Bestinet, firma yang dimiliki oleh bekas menteri dalam negeri, Datuk Azmi Khalid.

Perjanjian Bestinet dengan kerajaan digantung pada awal tahun ini selepas bantahan agensi pekerjaan di negara penghantar, terhadap bayaran perkhidmatan yang tinggi.

Ketika dihubungi, Hakim mengesahkan perkara itu tetapi menekankan bahawa ia bukan satu kontrak kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah dengan kerjasama Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira).


"Kami mempunyai model sistem di mana kita akan mendapat bayaran untuk satu pakej (perkhidmatan) dan kita boleh menghantar orang (dari Bangladesh) untuk 60,000 taka Bangladesh (RM3,000), termasuk tiket penerbangan.

"Ini bukan kontrak kerajaan. Ya, kerajaan mereka perlu meluluskannya kerana ia melibatkan rakyat tetapi mereka hanya memantau," kata Hakim.

Jika diluluskan, agensi-agensi seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Manusia akan dihubungkan dengan sistem Real Time dan semua agen pekerjaan mesti melalui Real Time untuk menghantar pekerja ke Malaysia.

Beliau juga menafikan dakwaan berlaku nepotisme, dengan alasan bahawa beliau berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Abang saya seorang menteri tetapi saya seorang ahli perniagaan. Ini sebuah negara demokratik dan saya boleh buat apa-apa pun, selain daripada menjadi pengedar dadah," katanya kepada Malaysiakini.

"Di Malaysia ni susah sangat. Mereka kata jika abang saya seorang menteri, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka mahu kami semua jadi penganggur," kata beliau yang kini berada di Dhaka.
 
 

Lepas batalkan Najib, Semporna pilih Muhyiddin ganti

Posted: 10 Aug 2015 09:53 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Selepas membatalkan jemputan untuk Datuk Seri Najib Razak, Umno Semporna kini berharap dapat mendengar sendiri amanat dan penjelasan daripada timbalan presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber, keadaan itu juga didorong oleh sentimen ahli akar umbi yang berasa Muhyiddin serta ketua bahagian mereka, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, patut memberikan penjelasan sendiri berhubung isu yang melanda Umno.

"Tambahan pula Muhyiddin dan Mohd Shafie kini disekat daripada merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian yang sedang berlangsung sekarang," katanya.

Justeru, kata sumber dekat dengan Mohd Shafie itu lagi, wajar untuk Umno Semporna menjemput bekas timbalan perdana menteri itu untuk memberikan beliau platform seluas-luasnya memberikan penjelasan kepada parti.

Mohd Shafie dan Muhyiddin adalah dua menteri kanan Umno yang diketepikan dalam rombakan kabinet Najib pada 28 Julai lalu.

Pemecatan itu dikatakan berpunca daripada kelantangan mereka mempersoalkan cara Najib menguruskan isu skandal 1MBD.

Ahad lalu ketika menghadiri majlis rumah terbuka pegawainya di Kampung Kubang, Nilai Negeri Sembilan, Mohd Shafie sempat secara tersirat menyampaikan lagu Tak Ingin Sendiri kepada hadiri.

Menariknya, lirik lagu itu diubah suai Mohd Shafie menjadi:

Aku masih seperti yang dulu
Orang Umno sampai akhir hayatku
Kesetiaanku tak luntur
Hatiku rela berjuang
Oh kasih oh sayang

Sumber Umno berkata, desakan dan keresahan ahli akar umbi disampaikan kepada Mohd Shafie baru-baru ini.

Katanya, mereka mahu mendengar sendiri penjelasan daripada pihak yang terlibat secara langsung dalam krisis dalaman Umno sekarang.

"Warga Semporna tertunggu-tunggu kehadiran mereka," katanya.
 
 
 
 

Tun M: Pemulangan 2 pegawai SPRM tindakan positif

Posted: 10 Aug 2015 05:05 PM PDT

Dua pengarah SPRM diarah tukar serta merta
Bahri (kiri) dan Rohaizad ketika meninggalkan pejabat SPRM Putrajaya pada 6 Ogos 2015
 
 
KAJANG - Pembatalan perpindahan dua pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke agensi itu merupakan satu tindakan positif.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dua pegawai tersebut diharapkan dapat memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi penjelasan mengenai derma bernilai RM2.6 bilion diterima ke akaun peribadinya.

"Itu satu-satunya perkara yang positif setakat ini. Persoalannya, jika mereka dipindah balik adakah mereka akan panggil Najib untuk beri penjelasan.

"(Kerana) difahamkan mereka ditukar setelah mengumumkan mahu memanggil Najib dalam siasatan sumber derma ke akaun peribadinya. Jadi saya harap mereka akan panggil Najib untuk beri penjelasan," katanya dalam sidang media selepas Pesta Minda Malaysia ke-11, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua pegawai SPRM ditukar jumpa KSN hari ini]

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob dikembalikan ke jawatan asal masing-masing berkuat kuasa serta merta.

Katanya, kedua-dua pegawai itu telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan kenyataan media dalam satu pertemuan bersama beliau dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di Putrajaya, pagi tadi.

Jumaat lalu, Bahri dan Rohaizad ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri dan diarah melaporkan diri hari ini.


Dana politik hanya boleh masuk akaun parti

Posted: 10 Aug 2015 05:02 PM PDT

Paul Low Seng Kuan
Paul Low Seng Kuan


PUTRAJAYA -  Mana-mana dana politik hanya boleh dimasukkan ke dalam akaun parti bukan mana-mana akaun peribadi pemimpin parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, perkara itu penting dan ditekankan dalam perancangan untuk mewujudkan akta berkaitan dana politik di negara ini.

"Parti-parti politik boleh peroleh dana dengan pelbagai cara termasuk keahlian, kutipan derma, dana dari orang ramai dan dana dari korporat. Kita boleh benarkan syarikat korporat menyumbang kepada parti tapi ia mesti didedahkan kerana rakyat perlu tahu.

"Kita juga kena pastikan dana disalurkan bukan ke akaun peribadi ia mesti masuk ke akaun parti kerana jika masuk ke akaun peribadi, agak sukar untuk dipertanggungjawabkan (nanti)," katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr M: Obama pun tak dapat kumpul dana RM2.6b]

Menurutnya, mutakhir ini, ahli-ahli politik dan rakyat sudah bersedia untuk menerima perubahan itu kerana ia baik untuk negara.

"Ketika saya di TI (Tranparensi Antarabangsa Malaysia), kami cuba untuk usahakan peraturan dalam dana politik ini. Memang sukar, ada banyak masalah. Tapi hari ini, berdasarkan perbincangan dengan ahli-ahli politik dan juga orang awam menunjukkan mereka sudah bersedia.

"Jadi, kami kena teliti perkara ini. Bagi memastikan kami gubal rangka yang sesuai untuk membuat peraturan itu bagi memastikan dana-dana yang tidak sepatutnya tidak memasuki parti-parti politik," katanya.

Tegasnya, sumber-sumber dana politik perlu ditapis bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh ahli-ahli politik yang menerima dana daripada sumber yang menuntut 'bayaran balik'.

Katanya, kerajaan sedang meneliti dan berusaha untuk menyiapkan kajian bagi mewujudkan akta ini secepat mungkin dan dibentangkan di Parlimen.


Pemimpin tak amanah punca masalah, kata Hadi

Posted: 10 Aug 2015 05:00 PM PDT

Pemimpin tak amanah punca masalah, kata Hadi
Abdul Hadi bersama kepimpinan Dewan Himpunan Penyokong Pas Perak sempena Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan 5.0 di Manjoi, kelmarin.


IPOH – Malaysia kini bukan sahaja dihimpit masalah jenayah dan keruntuhan akhlak, tetapi yang lebih besar adalah masalah pemimpin yang tidak amanah apabila dipalit dengan pelbagai skandal.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selagi setiap pemimpin tidak memahami amanah sebenar yang dipukul, segala masalah tidak akan selesai termasuklah tindakan memecat pemimpin.

"Pecat timbalan perdana menteri tidak selesai juga masalah. Di mana silapnya? Pimpinan tidak tunai amanah dengan betul, jadi fahamilah amanah ini. Banyak skandal yang sudah kita lupa, ketika ini 1MDB, dahulunya skandal KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan sebagainya yang hampir kita lupa. Semuanya mencapai angka bilion.

"Kerana itu pentingnya kita kembali kepada amanah yang disebut dalam al-Quran dan Hadis, amanah memerintah negara itulah amanah paling besar," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan 5.0 di Jalan Pemimpin, Manjoi, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Nasaruddin Daud dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Beliau berkata, masyarakat Islam ketika ini khususnya orang Melayu melihat sifat amanah hanya berkisarkan kepada perkara-perkara tertentu, sedangkan amanah paling besar adalah amanah dalam memerintah negara dan ia melebihi segala-galanya.

"Semua kerajaan di seluruh dunia termasuklah negara ini tidak akan kekal selama-lamanya dan apabila sampai masanya mereka akan tumbang.

"BN tidak akan kekal dan semua kerajaan tidak akan kekal. Kerajaan di Indonesia, Jepun, India dan Amerika sendiri, kuasa pemerintahan silih berganti.

"Kita mahukan satu perubahan ke arah kerajaan yang amanah dan baik iaitu perubahan dengan Islam.
"Malangnya orang Melayu hanya melihat amanah itu berkaitan simpan duit dan kirim barang sahaja," katanya.


Umno harus berubah - Khairy Jamaluddin

Posted: 10 Aug 2015 04:57 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Umno harus menilai dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam sosiopolitik semasa kerana jika tidak akan kehilangan relevan di mata pengundi, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.  
 
Beliau berkata parti perlu merumuskan strategi dan dasar yang betul untuk beroperasi dalam senario sedemikian dengan mengambil kira kepentingan generasi muda hari ini, termasuk orang Melayu, yang lebih melihat bagaimana Malaysia dapat berkembang. 
 
"Semasa zaman awal (apabila Umno ditubuhkan), keadaan demografi adalah berlainan, perjuangan (Umno) lebih berkisar kepada peluang anak-anak muda untuk memasuki universiti, menjalankan perniagaan... perjuangan bagi memperkasakan masyarakat adalah penting. 
 
"Tetapi sekarang, keadaan berbeza untuk golongan muda dan berpendidikan,yang telahpun diperkasakan dari segi ekonomi dan ini menjadi cabaran unik kepada kita (untuk kekal relevan)," kata Khairy semasa menjawab soalan daripada hadirin semasa Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke-9, di sini pada Ahad. 
 
Sidang Kemuncak dua hari itu dianjurkan oleh Majlis Pelajar United Kingdom and Eire (UKEC) apabila sebilangan orang terkemuka akan berbincang dan berkongsi dengan penonton hasil dapatan mereka tentang isu-isu semasa.   
 
Sementara itu, Khairy berkata perubahan pesat dalam demografi dan sosiopolitik Malaysia adalah salah satu sebab penting mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk menangani krisis kepercayaan dan keyakinan yang dihadapi oleh parti itu. 
 
Beliau berkata, walaupun Umno dan BN amat 'beruntung' kerana Pakatan Rakyat berada di tengah-tengah ketidakstabilan, parti itu tidak harus bergantung kepada senario itu tetapi harus mencari formula yang tepat supaya orang ramai menaruh kepercayaan kepada parti.   
 
"Saranan untuk Umno sekarang ialah untuk mendekati rakyat Malaysia dan memberitahu mereka bahawa kita mentadbirkan negara ini dengan baik dan mereka boleh mempercayai kita. 
 
"Ada banyak perkara bagi kita lakukan untuk mengembalikan kepercayaan, untuk menangani krisis keyakinan, untuk membetulkan persepsi (negatif). Ia tidak lagi tentang sistem naungan apabila saya memberi kamu sesuatu dan kamu mesti menyokong saya (sebagai balasan)," katanya.      
 
Khairy, yang juga Pengerusi Pemuda BN, menambah jika tiada apa-apa dilakukan (bagi mengatasi krisis keyakinan dan tanggapan negatif), pengundi akan beralih kepada pakatan pembangkang.
 
Kepada soalan tentang mengapa pelajar dinafikan hak mereka untuk menyuarakantentang isu-isu semasa, Khairy menjawab bahawa kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang mencukupi untuk memastikan suara ini didengar dengan betul, termasuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 
 
Bagaimanapun, Khairy berkata ini tidak menimbulkan masalah kepada pelajaruntuk menyatakan pendapat mereka selagi ia dilakukan dengan betul dan tidak melanggar undang-undang. 
 
"Jika anda ingin menyumbang, jangan membuat tanggapan umum bahawa setiap anak muda Malaysia akan dihukum atau didakwa. 
 
"Kerana jika anda mahu menjadi sebahagian daripadanya, anda harus dibenarkan untuk berbuat demikian, tetapi jika anda melanggar undang-undang (ketika itu) tidak banyak yang boleh dilakukan," katanya.
 
 

DAP percaya Pakatan baru mampu tarik sokongan Melayu

Posted: 10 Aug 2015 04:55 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua percaya pakatan baru yang bakal ditubuhkan akan menarik sokongan orang Melayu di Johor, Melaka dan Perak meskipun Pakatan Rakyat sedang berdepan dengan krisis dalaman. 
 
Ujarnya dengan penyertaan Gerakan Harapan Baru (GHB), ia tidak menjejaskan pengundi Melayu kelas pertengahan di barat dan selatan Semenanjung, malah sokongan kepada pemimpin progresif Islam lebih baik ditunjukkan berbanding puak konservatif.
 
"Penyokong Umno mungkin juga sanggup mengundi progresif berbanding konservatif. PAS sendiri tidak cemerlang di negeri tersebut sejak berdekad lalu.
 
"Jadi dengan perikatan baru, kami harap akan melakukan lebih baik tanpa tentangan seperti dalam Pakatan Rakyat (PR).
 
"Kami mencari kemenangan ke Putrajaya melalui sokongan dari Johor, Perak dan Selangor," katanya yang dipetik The Malaysian Insider.
 
Kata Pua lagi, DAP tidak berhajat untuk memanjangkan langkahnya ke Kelantan atau Terengganu kerana pengundi di dua negeri itu cenderung menyokong puak konservatif PAS.
 
Kenyataannya itu berikutan perkembangan dalam PAS di mana sebahagian pimpinannya membentuk GHB dalam persediaan membentuk parti Islam baru.
 
GHB dibentuk pemimpin progresif PAS yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini.
 
Parti yang ingin ditubuhkan GHB dijangka bakal menggantikan PAS dalam perikatan pembangkang baru bersama DAP dan PKR selepas PR menamatkan kerjasamanya ekoran terputus hubungan PAS dan DAP.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberitahu GHB mungkin akan meletakkan calon mereka di Kelantan dan Terengganu walaupun mengetahui ia adalah keputusan yang berisiko.
 
"Kami mendapat respons positif kepada program yang diadakan di Kelantan dan Terengganu," katanya pada forum itu.
 
Tindakan itu dilakukan supaya rakyat boleh membuat keputusan samada mahu kekal dengan kerajaan lama atau memilih perikatan baru.
 
"Dalam pilihan raya akan datang, pengundi akan diberi pilihan di antara dua parti bertanding yang akan membentuk kerajaan persekutuan.
 
"Rakyat akan memilih untuk kerajaan baru atau kekal dengan yang lama. Jika PAS bersama BN, ia merupakan kerajaan lama.
 
"Jika PAS bersendirian, rakyat akan tahu ia akan tetap pembangkang kerana ia tidak mampu menjadi kerajaan sendiri," katanya.
 
 

Isu RM2.6 bilion: Najib berdepan dengan perang persepsi, kata Syed Hamid

Posted: 10 Aug 2015 04:52 PM PDT

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Isu dana politik yang dimasukkan ke dalam akaun  Datuk Seri Mohd Najib Razak mencetuskan kontrovesi  kerana ia turut dikaitkan dengan  kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kemudian diperbesarkan oleh media sosial, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar.
 
Menurut beliau, jika ia dimasukkan sebagai sumbangan untuk Umno, maka dana itu tidak akan menjadi isu besar kerana ia adalah urusan dalaman parti berkenaan.
 
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu berkata, situasi kini lebih berkisarkan kepada 'perang persepsi'   kerana pelbagai isu bercampur aduk dan saling berkaitan.
 
"Soal pembiayaan politik ini tidak menjadi masalah. Soalnya isu sekarang ini telah bercampur aduk dengan lain-lain isu dan tuduhan. 
 
"Kalau (berkisarkan) pembiayaan politik saja, saya fikir ia tidak patut menimbulkan apa-apa masalah. Keduanya, jumlah dana itu besar. Kemudian pula dikaitkan ia duit 1MDB. Dan kemudian mengikut ada pemimpin (Umno) mengatakan mereka tidak tahu dana parti, lagilah orang ramai penuh tanda tanya dan persoalan," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Syed Hamid menambah, 'kuasa' media sosial yang menjadi agen penyebar maklumat menghangatkan lagi isu berkenaan, dan ia sedikit berbeza dengan zaman presiden Umno sebelum ini. 
 
"Ia jadi bahan perbahasan. Ahli-ahli Umno pun sekarang macam berbeza..Saya tak pernah tengok pemimpin Umno, lagi-lagi yang tertinggi dipersoalkan semacam itu. Ia menjadi perdebatan di khalayak ramai. 
 
"Tidak seperti zaman sebelum ini, perkara seperti ini tidak ada siapa pun tahu. Bila sudah jadi macam ini, ahli persoal, mantan presiden persoal, tambah pulak ia bukan hanya mengenai pembiayaan politik tetapi dikaitkan dengan 1MDB.. Jadi ia bercampur aduk," katanya.  
 
Dana RM2.6 bilion dikaitkan dengan 1MDB oleh akhbar Wall Street Journal bulan lalu, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi yang menjadi modal untuk pembangkang dan pengkritik menyerang Najib.  Namun, selepas siasatan di jalankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan dana itu sumbangan pihak tertentu dari Timur Tengah dan bukan wang 1MDB.
 
Najib sudah pun memulakan tindakan undang-undang ke atas WSJ setelah memberi perakuan beliau tidak menggunakan wang itu untuk sebarang kepentingan peribadi. 
 
Ketika  merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang semalam, Najib menegaskan beliau tidak pernah mempersoalkan presiden Umno mengenai pembiayaan atau soal dana parti  sewaktu menjadi Timbalan Presiden mahupun Naib Presiden Umno. 
 
"Ini amalan dalam parti dan kita teruskan amalan parti,"  kata Najib yang seterusnya meminta ahli parti meyakini bahawa sebarang tindakannya adalah untuk kebaikan parti.     
 
Syed Hamid berkata  kenyataan Najib  perlu di susuli dengan satu lagi penerangan jelas mengenai dana RM2.6 bilion itu untuk meleraikan sebarang kekusutan di peringkat akar umbi parti dan rakyat. 
 
"Beliau kena jelaskan.  Kalau tidak jelaskan, lagi banyak persepsi dan andaian orang buat," kata Syed Hamid yang  menjadi ahli jemaah menteri di bawah teraju Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi sebelum dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. 


Eksklusif: Teman sepermainan kongsi pengalaman membesar bersama Anwar

Posted: 10 Aug 2015 04:50 PM PDT

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM: Umumnya masyarakat negara ini mengenali Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang tokoh politik yang memiliki daya juang tinggi dalam memperjuangkan keadilan dan memerangi rasuah sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik.

Menurut beberapa teman sepermainan Anwar di zaman kanak-kanak sempena ulang tahun kelahiran beliau ke-68 hari ini, kegigihan ditunjukkan Anwar hari ini bukan sesuatu yang baru tetapi sudah terserlah sejak beliau masih kanak-kanak lagi.
Anwar
Pak Tih, 68, atau nama sebenarnya Osman Ibrahim berkata, Anwar pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi seorang Perdana Menteri yang memperjuangkan nasib rakyat miskin semasa beliau bersekolah di tingkatan dua lagi.

"Suatu hari masa di tingkatan 2, ketika subjek Physical Training (PT) saya dan beberapa rakan lain bersiap sedia untuk ke padang untuk bermain sofbol, ragbi atau sebagainya.

"Saya tengok Anwar masih tak bersiap, 'dok' tekun baca buku. Saya ajak Anwar bermain sama, apa nak jadi 'hang' ni Anwar, tak nak bersukan, marilah kita main sama, kata saya.

"Anwar jawab, 'hang' mainlah. Aku nak baca buku sebab suatu hari nanti aku nak jadi Perdana Menteri, kata dia dan kami ketawa kerana kami tak tahu pun apa makna Perdana Menteri," kata Pak Tih kepada Selangor Kini.

Jelas beliu, Anwar bukan sahaja pernah menduduki kerusi nombor dua dalam hariki pentadbiran negara, malah pernah memangku jawatan Perdana Menteri.
11831733_616133311823282_2770055484438340919_n
Tambah Pak Tih, selain fokus terhadap apa yang diperjuangkannya, ketokohan Anwar juga sudah menyerlah berbanding kanak-kanak lain sehingga kerap menarik perhatian para guru.

"Dia kerap bertindak sebagai ketua semasa bermain. Contohnya kalau main pertandingan memasak dia akan jadi pengadil dan berusaha menyediakan hadiah yang biasanya berupa roti buku dan lain-lain.

"Dia juga cukup disayangi guru mengaji, ustaz, imam dan guru sekolah sehingga ada beberapa orang tua di kampung Cherok To'kun mengambil dia sebagai anak angkat," kata beliau lagi.

Salah seorang guru yang pernah mengajar Anwar, Allahyarham Zainal Abidin juga mempunyai pengalaman menarik seperti yang dikongsikan anaknya, Mohd Zainizam Zainal Abidin, 40.

"Bapa saya cerita masa di darjah 2 lagi dia dah kesan Anwar adalah seorang yang istimewa, lain dari budak lain.

"Contohnya tulisan Anwar. Masa tu maklumlah budak darjah dua punya tulisan memang teruk tetapi Anwar punya tulisan memang dah 'perfect', dah macam orang dewasa.

"Seperkara lagi, tanyalah dia apa sahaja soalan, memang dia boleh jawab sehinggalah pada suatu hari, bapa saya usap kepala Anwar dan kata pada Anwar, hang ni, suatu hari nanti hang jadi Menteri dan Anwar ingat kejadian ini sampai sekarang," kata Zainizam.

Zulkifly Saat, 57, yang juga sepupu kepada Anwar berkata, walaupun sama seperti budak kampung lain bermain, mandi kolam, mendaki bukit dan lain-lain Anwar cukup sensitif terhadap orang lebih dewasa terutama ibu, bapa dan guru.

"Beliau cukup marah kepada kami sekiranya kami tidak menghormati ibu bapa kami, guru-guru dan orang lebih dewasa. Salah satu tanda beliau sedang marah apabila telinganya jadi merah," kata Zulkifly.

lagi, Anwar juga memiliki keperibadian yang cepat meninggalkan kesan di hati orang yang mengenali beliau.

"Masa menuntut di Universiti Malaya (UM), ramai tak tahu Anwar pernah menjadi guru sementara di sebuah sekolah aliran Cina iaitu Sekolah Persendirian Jit Shin.

"Walaupun hanya mengajar selama dua bulan di sekolah itu tetapi beliau sentiasa diingati selepas meninggalkan sekolah itu.

"Kalau imam-imam di Kampung ini, macam emak bapak dialah. Kalau balik, dia cuba luangkan masa cari. Dia punya sentuhan peribadi dengan orang kampung memang hebat," kata Zulkifly lagi.EZY.


178 terima pingat Selangor hargai sumbangan

Posted: 10 Aug 2015 04:45 PM PDT

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM : Seramai 178 penerima bagi daerah Petaling dan Klang dianugerahkan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-69 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Istiadat pengurniaan pingat itu diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, dekat sini hari ini dan disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Daripada jumlah itu, seramai 21 orang menerima Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) yang dikurniakan kepada seseorang yang melakukan perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya di Selangor.

Penganugerahan pingat oleh Raja Muda Selangor di Dewan Jubli Perak (8)

Mendahului senarai penerima P.P.T adalah Sub Inspektor Hassan Mohamed.

Bagi Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C) pula, seramai 22 individu dipilih terdiri daripada pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan yang berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun dengan Kerajaan Negeri.

Mereka adalah kakitangan penjawat awam cemerlang dan mempunyai kelakukan terpuji.

Manakala seramai 125 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) atas ketekunan dan kebolehan istimewa serta mempunyai pekerti baik.

Selain itu, Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) diberikan kepada sepuluh penerima yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dengan Kerajaan Negeri.
Penganugerahan pingat oleh Raja Muda Selangor di Dewan Jubli Perak (ASRI)
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zain Azly Abdul Rahman, 45, melahirkan rasa terharu atas pingat P.J.K yang diberikan kepadanya.

Katanya beliau bersyukur khidmat baktinya sebagai penjawat awam diiktiraf Kerajaan Negeri.

"Saya bersyukur kerana menerima anugerah yang dianggap sebagai penghargaan setelah 22 tahun menabur bakti di MBPJ," katanya.

wani reporter the star aSeorang lagi penerima, Wani Muthiah, 52, yang merupakan Ketua Biro Shah Alam dan Klang bagi akhbar The Star menganggap pingat itu adalah penghargaan besar buat pengamal media.

"Ia membuktikan khidmat media itu dihargai terutama dalam menyampaikan berita kepada masyarakat, jadi saya amat gembira apabila terpilih untuk menerima pingat hari ini," katanya.EZY

DAP mahu pampasan adil untuk penduduk Kampung Mutiara

Posted: 10 Aug 2015 04:41 PM PDT

kg mutiara

Roketkini.com


GEORGE TOWN, 10 OGOS: DAP berdiri bersama penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menolak projek pembangunan di kawasan tersebut selagi pampasan adil dan setimpal tidak diberikan kepada orang kampung.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata beliau bersama Ahli Dewan Undangan
Negeri Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu yang menangani masalah itu menganggap pampasan bagi penduduk yang menetap di Lot 39 dan 40 di situ sejak lebih 50 tahun lalu adalah hak asasi yang wajib ditunaikan.

Menurutnya, penduduk kampung tersebut kini berhadapan dengan tindakan pengusiran berikutan penghakiman mahkamah bertarikh 3 Julai 2012, perintah bertarikh 20 April 2015, writ milikan bertarikh 25 Jun 2015, dan notis keluar bertarikh 9 Julai 2015.

Katanya, kemelut Kampung Mutiara, yang terdiri daripada lebih 90 unit rumah kampung telah bermula pada tahun 2007 apabila pemilik baru, Loke Leng Seak, telah membeli hartanah Lot 39 dan 40, Seksyen 1, Daerah Timur Laut, Bandar Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang berukuran seluas lebih kurang 3.5 ekar.

"Setahun kemudian, Encik Loke telah memulakan tindakan mahkamah untuk mengusir penduduk kampung tanpa sebarang pampasan kepada mereka.

"Walaupun tidak bercanggah dengan kanun tanah negara, tindakan ini merupakan tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan," kata Zairil dan Teh dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, di bawah garis panduan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana pelan pembangunan tidak akan diluluskan tanpa pampasan adil dan setimpal kepada penduduk di kawasan tersebut.

"Sebagai contoh, di Kampung Chetty, iaitu sebuah kampung berdekatan dengan Kampung Mutiara, pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah (LMC) telah diberi sebagai ganti rugi bagi setiap rumah yang dikosongkan.

"Ini adalah hasil rundingan antara penduduk dan pihak pemaju dengan Kerajaan Negeri sebagai pemudahcara. Namun begitu, dalam kes Kampung Mutiara, sampai sekarang tidak ada sebarang permohonan kebenaran merancang yang dibuat," katanya.

Dengan itu, menurutnya, Kerajaan Negeri memang tidak ada locus standi (hak sah di sisi undang-undang) untuk menolak atau menyekat tindakan mahkamah yang diambil oleh tuan tanah Loke.

Tetapi, katanya, ia tidak menghalang DAP untuk menuntut Kerajaan Negeri agar memastikan pampasan adil dan setimpal diberikan, dan sementara menanti pemberian pampasan itu, meminta pihak berkuasa tidak menjalankan sebarang projek pembangunan di situ.

Selain Zairil dan Teh, sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Pengerusi JKKK Batu Ferringhi, Ahmad Jasin; Pengerusi JKKKP Batu Ferringhi, Ismadi Abu Bakar dan wakil-wakil penduduk Kampung Mutiara.
Kehadiran Zairil dan Teh untuk berbincang serta mengadakan sidang akhbar di Dewan Giat Batu Ferringhi, Kampung Mutiara yang diuruskan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional menunjukkan kerjasama merentas parti boleh dijalin demi kebajikan rakyat. – Roketkini.com


Singkir Najib untuk selesaikan krisis negara, kata Dr Mahathir

Posted: 10 Aug 2015 04:30 PM PDT



OLEH MD IZWAN


Jalan paling mudah untuk menyelesaikan krisis negara ketika ini adalah dengan menyingkirkan individu yang menjadi punca kepada masalah tersebut iaitu Datuk Seri Najib Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir tidak mengatakan secara spesifik individu dimaksudkannya, bagaimanapun diketahui umum beliau paling lantang mengkritik Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pernah menggesa peletakan jawatannya.

"Penyelesaian kepada krisis ketika ini adalah mudah, buang orang yang bertanggungjawab buat semua ini.

"Tapi penyelesaian mudah sebegitu juga sukar untuk dilaksanakan," katanya semasa dialog di Universiti Tunku Abdul Rahman, Kajang hari ini.

Namun, Dr Mahathir berkata tidak mengetahui bagaimana untuk menyingkirkan pemimpin nombor satu negara itu.

"Masalahnya bagaimana nak lakukan? Bahagian itu saya tidak ada jawapan lagi," katanya.

Dr Mahathir semasa sesi soal jawab juga mempertikaikan kepimpinan negara yang tidak memberi contoh baik kepada orang ramai dengan mengaitkan dengan skandal RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Najib.

"Apa pendapat anda? Adakah pemimpin sedia ada memberikan contoh yang baik apabila pemimpin kita sendiri mencuri RM2.6 bilion?" soalnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, menggunakan kaedah ganas bukan jalan terbaik menyingkirkan Najib tetapi tiba masanya orang ramai memberitahunya sampai masanya untuk beliau letak jawatan.

"Kita perlu mengambil tindakan tapi bukan secara ganas, tapi kita perlu (beritahu) tiba masanya untuk kamu pergi (letak jawatan)," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini pengkritik lantang terhadap pentadbiran Najib, khususnya dalam isu membabitkan 1MDB yang terpalit dengan banyak skandal kewangan.

Beliau juga sebelum ini pernah menggesa supaya Najib melepaskan jawatannya, namun sebaliknya berlaku apabila Najib memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet dan menteri lain yang tidak sehaluan dengan pendiriannya dalam isu 1MDB.

Mengenai calon pengganti Najib, Dr Mahathir berkata, tidak semestinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baharu dilantik timbalan perdana menteri akan naik menjadi pengganti, tetapi sebaliknya ia mesti diputuskan parti sendiri.

"Itu untuk Umno buat keputusan, bukan sahaja untuk Zahid yang buat keputusan ataupun Najib buat keputusan.

"Umno perlu buat keputusan. Sebab Umno masih ada timbalan presiden yang dipilih, Zahid tidak terpilih menjadi timbalan," katanya.

Beliau sebaliknya mengatakan supaya tunggu sehingga Umno membuat keputusan terlebih dahulu dalam mencari pengganti Najib jika berlaku peletakan jawatan perdana menteri.

"Jadi kita kena tunggu, apa keputusan Umno nak buat," katanya.-The MalaysiaInsider

Mahu Raja-Raja Bersidang Segera Rungkai Krisis

Posted: 10 Aug 2015 04:26 PM PDT

Oleh Dato Mahfuz Omar

1. Krisis politik yang berlarutan dalam negara sekarang mengakibatkan fokus kepada membangunkan negara dan rakyat telah tersasar daripada kerangka matlamat pembanggunan negara.

2. Krisis ini telah menjadi krisis kepercayaan terhadap PM dan Kerajaan yang dilihat mahu melindungi jenayah politik dan ekonomi yang jelas merugikan rakyat dan negara. 


1MDB, pengumpulan kekayaan keluarga Najib serta sikap pak turut (Hang Setia) anggota kabinet dan pimpinan tertinggi Umno Bn serta Pegawai Tinggi Kerajaan khususnya PDRM bakal meruntuhkan negara.

3. Demi menyelamat dan melindungi rakyat dan negara, Majlis Raja-Raja Melayu perlu untuk bersidang segera bagi mengambil langkah dan perjalanan demi melindungi Rakyat dan Malaysia tercinta. Keseluruhan Kabinet Kerajaan yang ada tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Maka, sebuah Kabinet Kerajaan Peralihan perlu dibentuk sebelum mendapat mandat baru daripada rakyat dalam tempoh yang segera.

4. Saya percaya dengan penglibatan kebawah Duli-Duli Tuanku semua akan dapat merungkai permasalahan krisis yang dihadapi seterusnya melindungi dan menyelamatkan rakyat dan negara daripada keadaan yang lebih buruk.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA".

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

Tiada ulasan: