Jumaat, 21 Ogos 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


1MDB: Peguam Negara kambus lubang cacing, tak bagi SPRM masuk?

Posted: 21 Aug 2015 06:00 AM PDT

Perlu kita mengingati semula bahawa skop siasatan Pasukan Petugas Khas ("Special Task Force") yang dianggotai oleh SPRM, BNM, PDRM dan Peguam Negara adalah untuk menyiasat secara keseluruhan urusniaga 1MDB untuk memastikan tidak ada pecah amanah atau salah guna kuasa. 

Ini meliputi semua tuduhan yang dibawa sebelum ini termasuklah tuduhan wang 1MDB dipindahkan ke akaun milik individu yang rapat dengan Dato' Seri Najib Tun Razak seperti Jho Low; sehinggalah kegagalan 1MDB memenuhi komitmen kewangannya untuk membayar hutangnya yang telah mencecah RM42 bilion.


Setelah siasatan telah sampai ke suatu peringkat, dimana pejabat Peguam Negara dalam persediaan akhir menyiapkan waran pertuduhan ke atas Perdana Menteri Najib, dengan sekelip mata tiba-tina Tsunami melanda negara :

1) Gani Patail, Peguam Negara disingkirkan. 

2) Tan Sri Rashpal Singh, bekas penasihat SPRM ditahan untuk soal siasat.

3) Jessica Gurmit Kaur, seorang pegawai Jabatan Peguam Negara ditahan untuk soal siasat. 

4) Pasukan Petugas Khas peringkat tinggi kerajaan yang menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan SPRM, Polis, Bnak Negara dan Peguam Negara dibubarkan.

5) Seramai 9 Pegawai SPRM telah disoalsiasat oleh polis. Antaranya ialah:

i) Ahmad Sazilee Abdul Khairy, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pejabat dan rumahnya digeledah dan beliau ditahan polis pada 1.00 pagi untuk soal siasat.
ii) Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin 
iii) Timbalan Pengarah operasi khas SPRM Datuk Tan Kang Sai 
iv) Pengarah Komunikasi Strategik Datuk Rohaizad Yaakob 

Pegawai penyiasat SPRM itu disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, yang melibatkan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

6) Datuk Bahri Mohamad Zin dan Datuk Rohaizad Yaakob telah  ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri

Peguam negara kambus lubang cacing?

 Datuk Bahri Mohamad Zin tidak berselindung dalam menyatakan rasa kemarahannya dengan tindakan polis tersebut dengan meluahkan kata,"Demi Allah saya akan cari dalang dalang yang mengarahkan (penahanan) ini sehingga ke lubang cacing"!

Mungkin disebabkan itu, cacing-cacing yang telah kepanasan, tidak menjemput SPRM untuk bersama mereka lagi. Cacing-cacing tak mahu SPRM masuk ke lubang merekakah? Hahaha! Baca beritanya berikut:

Jabatan Peguam Negara telah menubuhkan Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (National Revenue Recovery Enforcement Team) untuk meneruskan siasatan pelbagai kes termasuk berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 Sinchew Daily melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun tidak menjadi sebahagian daripada pasukan baharu itu.

 Menurut akhbar itu, pasukan tersebut sebaliknya diketuai Jabatan Peguam Negara dan dianggotai Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 Tugas pasukan tersebut ialah memulihkan hasil cukai dan aset negara serta mempunyai skop tugas yang luas termasuk siasatan ke atas 1MDB.

 Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdul dalam temuramah melalui telefon dengan Sinchew Daily melahirkan rasa terkejut dengan penyingkiran SPRM daripada pasukan siasatan tetapi pada masa yang sama menyatakan beliau tidak kecewa.

 Mohd. Shukri tidak menafikan pasukan baharu itu ditubuhkan mungkin untuk menggantikan pasukan petugas khas 1MDB tetapi menegaskan bahawa siasatan oleh SPRM tidak terjejas.

 "Walaupun bukan sebahagian daripada pasukan baharu, SPRM akan terus menyiasat SRC International Sdn. Bhd. dan isu RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri.

 "Bagi saya, walaupun betul SPRM disingkirkan daripada pasukan baharu, ini bukan satu masalah. SPRM akan menjalankan tugas seperti biasa kerana kita badan bebas," katanya yang juga pemangku Ketua Pesuruhjaya SPRM.

 Menurutnya, dengan ketiadaan pasukan petugas khas yang asal, SPRM dapat mengumpul semua pegawai yang kini tersebar di tempat lain kerana menganggotai pasukan itu.

 Beliau turut sempat memberi nasihat kepada pasukan baharu supaya menyerahkan kes-kes rasuah kepada SPRM jika kejadian suapan dikesan berlaku.

 "Pasukan baharu mungkin lebih memberi perhatian kepada usaha memulih hasil kerajaan dan mereka mungkin berpendapat ini bukan tugas SPRM," katanya.

 Mohd. Shukri bagaimanapun berpendapat SPRM mempunyai peranan dalam menyelamatkan dana negara dan mengurangkan penyelewengan.

 "Rakyat mungkin tidak nampak peranan SPRM dalam memulihkan hasil negara, tetapi hakikatnya SPRM telah melancarkan banyak operasi penguatkuasaan dan pencegahan untuk menyelamatkan dana negara yang berjumlah besar.

 "Ini boleh dilihat dalam operasi melibatkan aktiviti penyelewengan berkaitan diesel, balak, pasir dan lain-lain. Kita membantu kerajaan menjimatkan hasil yang tidak terkira jumlahnya," katanya. ~ sumber

GHB tidak akan biar Pas kucar kacir - Ir. Izham

Posted: 21 Aug 2015 03:21 AM PDT

Gerakan Harapan Baru (GHB) Selangor memberi jaminan mana-mana pemimpin dan ahli jawatankuasa (AJK) Pas sama ada di peringkat pusat, negeri, kawasan mahupun cawangan yang hendak meletakkan jawatan tidak akan membiarkan parti itu dalam keadaan kucar kacir tanpa kepemimpinan.

 Pengerusinya, Ir. Izham Hashim (gambar) berkata, beliau telah mengarahkan kepada pemimpin berkenaan sekiranya mahu meletakkan jawatan kerana hendak menyertai wadah baharu, perlu menyerahkan tugas secara berhemah kepada rakan mereka.

 "Kita tidak mahu tinggalkan parti yang kita duduk begitu lama ini kucar kacir. Kita akan buat yang terbaik, kita adakan majlis perpisahan dengan cara baik dan berundur dari kawasan itu setelah jawatan kosong itu diisi atau ada pemangkunya.

 "Pas Kota Raja antara kawasan pertama menyahut seruan GHB apabila jawatan Yang Dipertua, timbalan, naib dan setiausaha kawasan yang dikosongkan sudah ada pemangkunya masing-masing.

 "Apabila sudah ada (pemangkunya), barulah kita keluar menyertai GHB. Kita masih berhemah dan ada budi bicara dalam hal ini," katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Shah Alam, kelmarin.

 Ir. Izham yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kelana Jaya berkata, beliau dimaklumkan ada beberapa kawasan dan cawangan Pas di negeri itu tidak dapat mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup korum.

 Katanya, bagi mengatasi masalah itu, GHB negeri akan menulis surat secara rasmi kepada Pas pusat dan negeri memaklumkan lebih awal berapa ramai AJK di setiap kawasan serta cawangan akan meletakkan jawatan.

 "Lepas ini terpulanglah kepada Pas pusat dan negeri untuk mengambil alih mana-mana kawasan dan cawangan yang tidak cukup korum itu melantik pemangku bagi membolehkan mereka bermesyuarat.

 "Saya juga harap Pas kawasan akan buat begitu, hantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pas Pusat dan salinannya kepada Setiausaha Negeri maklumkan kawasan, cawangan dan berapa ramai yang akan meletakkan jawatan," katanya.

 Ditanya berapa ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang secara rasmi meletakkan jawatan, beliau berkata, setakat ini dua ADUN dan tiga Ahli Parlimen.

 ADUN berkenaan ialah Shaari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), manakala tiga Ahli Parlimen ialah Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Mohamad Hanipa Maidin (Sepang).

 Kata Ir. Izham, ada lagi wakil rakyat Pas di Selangor akan mengikut jejak rakan mereka, tetapi tidak mahu menamakan siapa.

 "Mereka ini ada dua jenis, pertamanya, memang tidak akan bersama GHB dan keduanya, jenis yang hendak tengok dulu parti baharu ini macam mana. Saya tidak boleh beritahu siapa," katanya.--MalaysiaGazette

Bekas Pegawai Peguam Negara bakal dedahkan maklumat sulit kertas pertuduhan keatas Najib

Posted: 20 Aug 2015 10:31 PM PDT

Pegawai Pejabat Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur dijangka memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar perintah pengusiran yang dikeluarkan terhadapnya oleh Kementerian Dalam Negeri.

 Jessica sudah menetap di Malaysia selama lebih 20 tahun sebelum tindakan secara drastik dalam beberapa hari ini, yang bermula dengan siasatan pihak berkuasa terhadapnya dan bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Rashpal Singh berhubung dakwaan kebocoran kertas pertuduhan yang dikatakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

 Sumber memberitahu The Malaysian Insider peguamnya sedang menyediakan kertas mahkamah untuk semakan kehakiman atas alasan perintah itu tidak munasabah, arbitrari dan tidak adil.9

 "Dia tidak diberi hak untuk didengar," kata sumber dekat dengan peguam Jessica.

 Sumber itu berkata, tindakan terhadap Jessica sebenarnya adalah gangguan dan intimidasi terhadap kakitangan awam.

 "Dia berkhidmat dengan setia dan bersungguh-sungguh dalam perkhidmatan awam Malaysia dan tidak adil untuk mengusirnya ketika dia tidak melakukan kesalahan," kata sumber itu.

 Jessica juga dijangka memfailkan afidavit yang akan mendedahkan mengapa pihak berkuasa begitu mahu memberhentikan perkhidmatannya, lapor Malaysiakini.

 "Beliau akan memfailkan afidavit 'meletup' mendedahkan mengapa mereka melakukan perkara ini," kata sumber yang rapat dengannya kepada Malaysiakini.

 Jessica, seorang warga Singapura, dibatalkan jaminan polis pada Jumaat lepas dan permit pemastautin tetap anaknya juga dibatalkan, kata sumber kepada The Malaysian Insider malam tadi.

 Seorang peguam yang enggan namanya disiarkan mengesahkan perkhidmatan Jessica dengan Jabatan Peguam Negara ditamatkan minggu lepas tetapi berkata tidak mengetahui perintah pengusiran itu.

 "Saya terkejut bagaimana ia sebaliknya terjadi dan menjangka pihak berkuasa Malaysia akan menahannya di sini kerana beliau mempunyai banyak maklumat sulit," kata peguam itu.

 Beliau berkata Jessica tidak akan tertakluk kepada undang-undang Malaysia seperti Akta Rahsia Rasmi sebaik saja keluar dari negara ini.

 "Kita akan tunggu dan lihat apa yang berlaku selepas ini," katanya. – 21 Ogos, 2015. ~  themalaysianinsider

Najib sememangnya sudah cukup layak diheret ke muka pengadilan

Posted: 20 Aug 2015 06:00 PM PDT

Bekas Perdana Menteri Korea Selatan Han Myeong Sook dibicarakan atas tuduhan menerima 880 million won (RM3.1 juta) daripada seorang ahli perniagaan bagi membiayai kempen politik bagi mendapatkan pencalonan presiden. 

Tapi di negara 'Malaysia Boleh', menerima derma untuk parti politik tidak mengapa? Walaupun derma itu dimasukan ke dalam akaun peribadi seseorang?

 Bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, takrif suapan dalam Seksyen 50 termasuk derma. Seksyen ini menyatakan, sebarang bentuk suapan dianggap diterima sebagai rasuah, melainkan jika dibuktikan sebaliknya, katanya di sini 

 Setelah menafikan dengan pelbagai alasan, akhirnya SPRM dalam satu kenyataannya telah mengesahkan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib Tun Razak adalah sumbangan derma daripada pihak penderma yang berasal dari Asia Barat dan pihak berkaitan juga sudah mengesahkan mengenai derma berkenaan kepada SPRM.


  "Sumbangan derma RM2.6 bilion itu tiada kaitan langsung dengan 1MBD" Kata SPRM. Korang tak berasa pelikkah? Itu pasal mantan PM Mahathir sampai kata 'BULLSHIT'!

Borang perama sebut 'Partial Information
bukan 'donation'
Berdasarkan pendedahan Sarawak Report seperti borang pemindahan wang jelas menunjukan perkataan di bahagian "remittance information" ialah "Partial Payment" (separa bayaran) bagi borang yang pertama untuk kiriman pertama bertarikh 21 march 2013.

Bagi borang yang kedua di bahagian yang sama tercatit perkataan "Second Part For Final Payment" (bayaran akhir) untuk kiriman bertarikh 25 march 2013 ke akaun persendirian milik Najib di Aam Islamic Bank.

Nombor akaun AmPrivate Banking 2112022009694 tersebut didaftarkan atas nama "Dato 'Sri Mohd Najib Bin Hj (sic) Dan Razak" di AmIslamic Bank di Malaysia. 

Bukankah ini jelas, bahawa Najib telah menerima dana politik haram?

Dana RM2.6 bilion itu berapa kali ganda banyaknya kalau nak dibandingkan dengan jumlah derma RM3.1 juta yang diterima oleh bekas perdana menteri wanita pertama Korea Selatan  dari seorang ahli perniagaan. 

Najib memang lebih patut dan layak untuk diheret ke muka pengadilan!

Laporan berikut patut menjadi perangsang kepada rakyat Malaysia supaya Najib diadili di mahkamah.Apakah Najib tidak mampu untu percaya kepada mahkamah negara sendiri? 

Bekas perdana menteri wanita pertama Korea Selatan dipenjarakan selepas Mahkamah Agung mengekalkan sabitan 2 tahun hukuman penjara kerana menerima dana politik haram, lapor AFP.

 Han Myeong Sook, 71, berkhidmat selama setahun sebagai perdana menteri Korea Selatan dari April 2006 hingga 2007.

 Pada 2010, Han dibicarakan atas tuduhan menerima 880 million won (RM3.1 juta) daripada seorang ahli perniagaan bagi membiayai kempen politik bagi mendapatkan pencalonan presiden.

 Myeong Sook sebelum itu dibebaskan mahkamah daerah selepas mendapati keterangan ahli perniagaan itu tidak boleh dipercayai.

 Namun, pada 2013, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 2 tahun.

 Menurut AFP, hukuman tersebut menyebabkan Han secara automatik kehilangan kerusi di dalam Dewan Negara.

 Beliau merupakan wanita pertama yang memegang jawatan perdana menteri di Korea Selatan, dan kini menjadi bekas perdana menteri yang pertama dipenjarakan.

 Menurut agensi berita antarabangsa itu, Han menafikan menerima wang haram tersebut dan menuduh kerajaan menggunakan pendakwa raya negeri untuk mencemarkan reputasinya.

 "Saya tidak boleh menerima hakikat itu dan menjadi mangsa 'penindasan politik," katanya seperti dilaporkan agensi tersebut. – 20 Ogos, 2015.~ sumber

Tiada ulasan: