DUNGUN- Tindakan bijak seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, dekat sini, yang pantas memaklumkan kepada polis bantuan berhampiran di bazar Ramadan yang dikunjunginya, mengenai kebakaran di bilik kuliah universiti itu, menyelamatkan bangunan terbabit.

Difahamkan, pelajar terbabit sedang membeli juadah berbuka puasa di pasar Ramadan yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian, sebelum melihat kebakaran di bilik kuliah UiTM.

Beliau kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis bantuan berdekatan dan terus menelefon bomba.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad, berkata sebaik menerima panggilan, 10 anggota bomba bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, semua 200 pelajar berada di asrama masing-masing untuk berbuka puasa dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Api berjaya dikawal sepenuhnya sejam kemudian dan kami masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.