DIALOG RAKYAT |
- Mukhriz: Jangan 'tembak' walau tak suka
- Wartawan bersatu tolak penggantungan The Edge
- 'Negara lain juga siasat perjanjian 1MDB-PetroSaudi'
- Fadzil: Kami ikhlas cuci tandas awam
- Lucut dan turunkan pangkat ketua polis negara
- Calon ganti Khairul Anwar sudah dikenal pasti
- Sekat media buat orang lebih marah
- Jangan Tertekan Sampai Tak Lalu Makan
- Tiada bai'ah taklik talak tiga
- Penghantar surat ditahan bantu kes 1MDB
- 'Imam penjara' bina madrasah untuk pelajar miskin
- ADUN PAS sertai GHB kukuhkan DAP di Selangor - Noh Omar
- ABIM akan pertimbang hasrat PKR mahu jalin muafakat politik
- Pemilihan presiden MIC 6 September, penamaan calon 21 Ogos
- GHB dijangka 'tunduk' pada DAP - Nakhaie Ahmad
- Tindakan GHB tarik ahli PAS makan diri sendiri - Dewan Ulamak
Mukhriz: Jangan 'tembak' walau tak suka Posted: 26 Jul 2015 01:33 AM PDT MALAYSIAKINI Pemimpin dinasihat bersikap terbuka dan mendengar semua maklumat yang disampaikan walaupun ia tidak digemari. Kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tindakan yang betul apabila seseorang pemimpin menerima maklumat ialah bertindak mencari penyelesaian, bukannya 'menembak' (mempersalahkan atau menghukum) penyampai berita. Menurut Menteri Besar Kedah itu memang ada pemimpin yang tidak gemar menerima nasihat atau teguran. "Orang tu nak sampaikan berita, malangnya berita itu tak berapa sedap didengar. Jadi bukannya ada tindakan untuk mengatasi masalah yang dibangkitkan, sebaliknya orang yang menyampaikan mesej itu yang kena (diambil tindakan)," kata anak bekas perdana menteri itu. Berucap di majlis perasmian mesyuarat tahunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Cheras di Kuala Lumpur hari ini Mukhriz berkata keadaan itu sangat bahaya sekiranya sering berlaku. Ucap terima kasih kalau benar "Lama-lama orang tak berani nak cakap. Kalau timbul masalah biar dia (pemimpin) selesai sendiri," kata Mukhriz. Walaupun tidak membuat sebarang rujukan, ketika ini memang diketahui ramai bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara tokoh Umno paling lantang mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak. Tindakan Dr Mahathir itu menyebabkan beliau diberi liputan negatif secara langsung atau tidak dalam media arus perdana. Mukhriz menegaskan, pemimpin hanya akan memiliki kekuatan apabila pengikut dan penyokong beramai-ramai bersatu hati. "Janganlah pula tembak orang yang menyampaikan maklumat atau berita, sebaliknya selagi kita siasat dan kita dapati ia benar, sepatutnya kita ucap terima kasih kerana ada orang yang sayang (pemimpin). "Dia sampaikan maklumat yang kurang mengembirakan itu untuk menyelamatkan keadaan," kata Mukhriz. Peluang hingga akhir tahun Dalam perkembangan lain Mukhriz menyeru ahli Umno memberikan sokongan kepada seseorang hanya dengan alasan yang betul, bukannya membuta tuli hanya kerana seseorang itu berada di kedudukan pemimpin. Jika tidak, katanya, sikap begitu akan membinasakan parti. Pada masa sama, kata Mukhriz, adalah kesilapan besar jika pemimpin menganggap rakyat tidak mengetahui apa-apa. "Rakyat tak bodoh. Rakyat sangat faham apa yang berlaku di luar sana kerana mereka sendiri yang kena (merasai kesan atas sesuatu perkembangan). "Kalau kita buat suatu keputusan yang kita rasa tepat tetapi mungkin kurang popular, kita kena terangkan kepada rakyat agar mereka faham," tegurnya. Sementara itu, Ketua Umno bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee berharap kepimpinan Umno dapat menyelesaikan masalah 1MDB secepat mungkin. "Kepimpinan dah menyatakan (untuk menyelesaikan isu 1MDB) selewat-lewatnya akhir tahun ini. Jadi kita beri peluang . "Kalau akhir tahun ini tak dapat diselesaikan, maka kita kena buat sesuatu untuk kebaikan dan kepentingan parti," katanya. | |||||||||||
Wartawan bersatu tolak penggantungan The Edge Posted: 26 Jul 2015 01:03 AM PDT MALAYSIAKINI Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili dunia media massa akan menganjurkan protes terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan akhbar The Edge selepas mendedahkan dakwaan salah guna dana awam dalam 1MDB. Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Gerakan Media Marah (Geramm), Institut Wartawan (IoJ), Wartawan Sans Frontieres (RSF), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), dan Kelab Wartawan Asing Malaysia. "Susulan perkembangan mutakhir ini, kami selaku kumpulan mewakili bidang kewartawanan bersama mengecam keputusan KDN menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan yang berkuatkuasa 27 Julai ini. "Mungkin ada isu etika mengenai cara The Edge Media Group mendapatkan maklumat yang membawa kepada pendedahan berhubung operasi dana 1MDB, namun ia sama sekali tidak mengabsahkan arahan penggantungan tersebut," kata kenyataan itu. Gabungan berkenaan menyatakan, perhimpunan pada 8 Ogos ini disokong oleh masyarakat awam di sekitar Kuala Lumpur. Keluar dari belenggu Bagaimanapun lokasinya belum ditetapkan. Selain itu, sebagai menunjukkan kebersamaan wartawan dengan rakan setugas mereka di kumpulan media berkenaan, satu lagi perhimpunan solidariti akan diadakan di pejabat The Edge di Petaling Jaya pada jam 3 petang Jumaat ini. "Bagi media, ini adalah isu yang memberi kesan kepada kami semua. Kita semua #AtTheEdge. "Apa yang telah berlaku kepada Edge ini bukan sesuatu yang baru dan tidak akan menjadi yang terakhir, melainkan jika kita semua secara kolektif bersuara terhadap perbuatan itu," kata gabungan itu. Kenyataan sama menegaskan, isu etika ekoran pendedahan The Edge dalam isu 1MDB menunjukkan betapa perlunya media mendapat akses terhadap maklumat. "Inilah masanya untuk keluar daripada belenggu rejim Rahsia Rasmi dan menuju Kebebasan Maklumat apabila maklumat menjadi hak awam. "Kami juga menggesa agar tiada lagi campur tangan politik dalam media, dan akses terhadap maklumat yang melibatkan kepentingan awam tidak dihalang sama ada dengan undang-undang atau prosedur," jelasnya. | |||||||||||
'Negara lain juga siasat perjanjian 1MDB-PetroSaudi' Posted: 26 Jul 2015 12:50 AM PDT MALAYSIAKINI Sarawak Report mendakwa penguatkuasa undang-undang di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland kini sedang menyiasat kebocoran maklumat berhubung usaha sama syarikat pelaburan 1MDB dan PetroSaudi. Dalam kenyataan medianya semalam, Sarawak Report berkata, berdasarkan 'rantaian peristwa' selepas bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Justo membocorkan maklumat perjanjian itu pada Februari lalu, ia menunjukkan bahawa bahan itu secara berasingan diperolehi oleh penguatkuasa undang-undang di negara masing-masing. "Rantaian peristiwa menunjukkan mengapa Sarawak Report tidak mengusik material tersebut kerana pada masa sama ia telah diperolehi (oleh negara lain). Ia juga secara berasingan diberi kepada The Edge dan Sunday Times... Kemudian diserahkan kepada pengawal selia dan penguatkuasa undang-undang di Amerika Syarikat. "Material ini juga kini telah ditawarkan kepada pengawal selia dan penguatkuasa undang-undang di United Kingdom dan Switzerland. Ia juga ditawarkan oleh The Edge kepada penguatkuasa undang-undang di Malaysia," kata kenyataan itu. Sarawak Report juga mengakui telah memperkenalkan Justo kepada pengurus The Edge pada pertemuan mereka di Hotel Fullerton di Singapura, Februari lalu. Tiga salinan material berkenaan kemudian telah dibuat- satu diberi kepada Sarawak Report, satu lagi kepada The Edge dan satu lagi untuk simpanan keselamatan. | |||||||||||
Fadzil: Kami ikhlas cuci tandas awam Posted: 26 Jul 2015 12:43 AM PDT PASANGAN selebriti ini sememangnya menjadi tumpuan peminat seni rentetan kemesraan mereka yang ditonjolkan sejak bergelar suami isteri. Namun bukan kerana kehidupan mereka semata-mata, sebaliknya mereka sangat disenangi kerana keduanya mempunyai personaliti yang baik. Bagaimanapun, kali ini pelakon Yana Samsudin dan suaminya pengarah Fadzil Zahari menjadi bualan ramai apabila mereka bertindak membersihkan tandas di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak, Perak baru-baru ini. Ia mula menjadi sebutan selepas salah seorang pengunjung tempat itu telah memuat naik status berkenaan perkara itu dan memuji tindakan mereka. Menurut Fadzil, mereka sebenarnya bukan hendak meraih perhatian sesiapa sebaliknya rasa bertanggungjawab membersihkan tandas itu kerana keadaannya yang tidak selesa. "Kami ikhlas melakukannya, lagipun kami terkejut melihat tandas tersebut yang kotor. "Pada mulanya kami agak kecewa kerana bekalan air tiada dan ia tidak dibersihkan. "Jadi kami mengambil keputusan untuk membersihkannya," katanya yang dalam perjalanan pulang dari Kedah ke Kuala Lumpur pada hari raya ketiga ketika itu. Dimarahi pekerja Pada masa sama, Fadzil memberitahu, meskipun tindakan baiknya itu mendapat pujian banyak pihak tetapi mereka sebenarnya telah dimarahi pekerja stesen minyak tersebut. "Kami telah dimarahi kerana membersihkan tandas dengan menarik hos daripada luar. "Apa pun kami tidak kisah kerana niat kami baik," katanya bukan hendak menunjuk-nunjuk kebaikan yang dilakukan kepada orang lain. Tambahnya juga, mereka tidak menyangka apabila ada yang menceritakan tindakan mereka itu di laman sosial facebook sehingga menjadi viral. "Kami sendiri tidak memuat naik sebarang gambar yang berkaitan perkara ini dan ia membuktikan kami benar-benar ikhlas," katanya lagi. | |||||||||||
Lucut dan turunkan pangkat ketua polis negara Posted: 26 Jul 2015 12:37 AM PDT Saya terkejut dengan tindak tanduk Tan Sri Khalid Abu Bakar yang tidak memperlihatkan profesionalisme sebagai seorang ketua polis negara. Tindakan beliau yang membawa bersamanya 4 pegawai penyiasat dari Bukit Aman ke Thailand untuk menemui Xavier Andre Justo bagi menyoal siasat kes yang dikatakan pemalsuan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sesungguhnya suatu yang sangat memalukan. Apalah malang nasib Malaysia mempunyai ketua polis negara seperti beliau yang hanya selayaknya menjadi ketua Balai Polis Keroh Perak sahaja. Persoalannya, Khalid menghabiskan wang negara sedangkan hakikatnya mereka tidak pun berjaya berjumpa Justo. Sepatutnya Khalid boleh berhubung melalui telefon terlebih dahulu dengan pihak polis Thailand untuk mendapatkan kepastian apakah mereka bersedia memberi laluan kepada polis Malaysia berjumpa dan menyoal siasat Justo. Amat malang ketua polis negara melakukan kebodohan dan membawa kerugian pada negara setelah negara mengalami masalah kewangan yang kronik akibat skandal 1MDB. Kini, Khalid pula bertindak membazir dan menghabiskan kantung negara yang sudah sememangnya kempis. Saya meminta pihak bertanggungjawab dalam pelantikan beliau sebagai ketua polis negara agar segera melucutkan jawatan beliau dan diturunkan pangkat ke jawatan ketua balai sahaja. Malaysia memerlukan ketua polis negara yang lebih cekap, berwibawa dan berkemampuan serta telus dalam melaksanakan tugas. Selamatkan Malaysia! * Datuk Mahfuz Omar adalah ahli Parlimen Pokok Sena. | |||||||||||
Calon ganti Khairul Anwar sudah dikenal pasti Posted: 26 Jul 2015 12:32 AM PDT JOHOR BAHRU - Beberapa calon berpotensi sudah dikenalpasti untuk dipilih mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Johor. Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim berkata, calon berkenaan akan mengisi kekosongan jawatan itu yang dilepaskan Datuk Khairul Anwar Rahmat baru-baru ini. Menurutnya, sebelum ini sudah ada perbincangan mengenai perkara itu antara Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. "Dalam pertemuan itu, saya ada mengemukakan beberapa nama dan saya percaya Khairy juga akan berbincang mengenainya bersama beliau (Mohamed Khaled) sebelum membuat keputusan seterusnya," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pulai 2015 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, semalam. Hadir sama, Exco Pemuda Umno, Sheikh Ahmad Nafiq Al-Firdaous. Hahasrin berkata, beliau menjangkakan Khairy akan mengumumkan perkara itu dalam tempoh terdekat ini. Sebelum ini, Khairul Anwar yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang serta Ketua Sekretariat Perundangan Umno melepaskan jawatan berkenaan selepas berbincang secara mendalam bersama ahli keluarga dan mendapat restu ibu. Beliau selaku Pengerusi Khairul Group merangkap Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), melepaskan jawatan dalam Umno bagi meneruskan kerja kemasyarakatan di dalam dan luar negara. Keputusan itu juga bagi memberi ruang untuk memperluaskan operasi korporat firma ke Asia Barat dan Eropah, terutama bagi memuktamadkan beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi antarabangsa yang tertangguh sebelum ini kerana beliau aktif dalam politik tempatan. | |||||||||||
Sekat media buat orang lebih marah Posted: 26 Jul 2015 12:30 AM PDT SHAH ALAM – Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan tindakan penggantungan dua penerbitan The Edge Financial Daily dan mingguan The Edge sekadar mengalih perhatian isu sebenar dan menambah kekecewaan orang ramai kepada kerajaan. "Sekali lagi kita dialihkan perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi. Kita boleh sekat mana-mana penerbitan, tapi itu tidak akan menyelesaikan segalanya. Malah, ia membuat orang ramai lebih marah. "Lebih buruk lagi, kini sia-sia sahaja, wujud ketidakpuasan hati terhadap kerajaan," katanya dalam tulisan di Facebooknya. Bekas menteri itu berkata, perbincangan di media sosial akan tetap berterusan tanpa mengira apa jua sekatan yang dikenakan, malah sekatan itu hanya akan memberi satu topik baharu untuk rakyat bincang dan kutuk. "Jangan pula kata sekarang kita terpaksa tutup internet. Terlalu banyak campur tangan akan merosakkan semuanya," katanya. Beliau juga berkata, perkataan sekat perlu dibuang daripada kamus politik Malaysia. Katanya, sementara kebebasan bersuara mempunyai had tertentu, mengambil kira faktor kesopanan, menghormati kepercayaan agama orang lain dan hak majoriti, penting juga dipastikan media tidak dihukum sewenang-wenangnya, bukan kerana melampaui batasan had itu tetapi kerana melaporkan sesuatu yang dianggap tidak menyenangkan. "Pastinya kita tidak mahu mengikut seperti negara lain di mana media diarahkan apa yang perlu ditulis," katanya. Rafidah berkata, pihak bertanggungjawab perlu memberikan fakta kepada umum melibatkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). | |||||||||||
Jangan Tertekan Sampai Tak Lalu Makan Posted: 26 Jul 2015 12:21 AM PDT MUTAKHIR Pelik dan hairan. Macam mana orang yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Bank Negara tiba-tiba menghilangkan diri dan PDRM belum membuat sebarang tangkapan. Daripada laporan media massa, khususnya media arus perdana, PDRM sangat beriltizam mahu mengorek berita daripada Andre Justo yang dalam tahanan Polis Thai. Apakah Justo begitu tahu mengenai 1MDB? Apa matlamat Pasukan Petugas Khas – nak siasat ke mana duit 1MDB lesap atau nak dengar cerita Justo? Boleh dengar cerita Justo. Tapi duit yang lesap wajib dikesan. Itu bukan duit rakyat jelata Malaysia. Ia bukan modal Pak Arab atau duit sadakah Putera Puteri Arab. Kita berdoa kepada Allah agar memberikan petunjuk dan kekuatan kepada pegawai-pegawai MACC, Bank Negara, Pejabat Peguam Negera dan kepada pegawai-pegawai PRDM yang berjuang atas dasar kebenaran. Cukuplah kita berselindung di sebalik "conspiracy theories" dan menghukum pihak-pihak yang tak sebulu dengan kita. Kalau mereka salah, kita tidak semestinya benar. Jangan sangka rakyat jelata tidak tahu. Jangan sangka semua orang boleh dibeli atau diancam. Dan yang berkuasa juga jangan sangka mereka tidak ada musuh dalam selimut. Wallahuaklam. ORIGINAL POSTING NAK salahkan orang kita naik angin, emosional dan jadi tak tentu arah pun tak boleh juga. Memang keadaan dalam negara kita kacau-bilau. Politik huru-hara dan ekonomi tak tentu hala. Tapi, alhamdulillah ada lagi orang kita yang boleh buat jenaka dan gelak ketawa. Orang Utara kata, buat lawak atau kelolo. Kelolo, bukan koro. Koro penyakit yang serang orang lelaki sampai hilang kejantanan dan segala keberanian (Baca di sini). Semalam saya minum teh dengan seorang ahli parlimen pembangkang. Mulai 26 Jun lalu, saya boleh minum teh dengan semua orang politik tanpa rasa ragu sebab saya tidak ada afiliasi dengan mana-mana parti politik lagi. Saya sudah jadi non-partisan. Lagi pula, mulai 1 Julai saya tidak ada kerja atau jawatan lagi. Sudah tutup kedai. Nganggur. Orang Utara kata, sepak kertas. Orang putih kata, jobless. Selama 46 tahun makan gaji – mulai 16 Jun 1969 sampai 1 Julai 2015. Ahli parlimen bekas Pakatan Rakyat itu bagi tahu saya, bulan puasa dia menjelajah Sulawesi - negeri orang Bugis - selama dua minggu. Dia nak belajar macam mana wilayah Indonesia itu selesaikan pertumpahan darah Islam-Kristian.
Saya kata: "Ya lah, mana ada orang Bugis di negeri Bugis nak mengaku ada orang Bugis zaman dulu kala jadi lanun." Itu zaman dulu. Sekarang, kalau melanun orang Somalia di Afrika Timur nombor satu. Tapi lanun boleh kata ada di semua benua. Di mana ada laut, ada lah lanun. Di darat dipanggil pencuri, perompak, penyamun, perampok dan sebagainya. Sekarang ada perampok kolar putih. Ahli parlimen itu adalah antara yang kena sekat daripada pergi ke luar negara. Saya kata, susah juga nak fikirkan apa alasan sebenar mereka dihalang daripada meninggalkan tanah air. Fikir punya fikir, saya mendapat ilham berikut: 1. Sekarang musim durian. Kerajaan mahu mereka tinggal dalam negara dan bantu lariskan jualan durian supaya pemilik dusun, peraih dan peruncit durian boleh cari makan, menjana ekonomi dan memacu transformasi. 2. Sekarang Tahun Melawat Malaysia. Jadi kerajaan mahu seramai mungkin rakyat jelata ambil bahagian dalam Cuti-Cuti Malaysia. 3. Sekarang nilai ringgit merudum. Kalau ramai rakyat Malaysia mengembara ke luar negara, lagi teruklah kejatuhannya. 4. Rizab luar pun merosot. Khabarnya kerana mempertahankan nilai ringgit. Kalau ramai orang kita mengembara ke luar negara dan bawa keluar duit yang banyak, lagi teruklah kejatuhan rizab dan kadar tukaran duit kita. 5. Tapi saya rasa para YB itu tidaklah kaya. Jadi banyak mana sangat yang mereka nak bawa keluar. Lagi pun elaun baru mereka, khabarnya, belum lagi dibayar. Perbendaharaan tak cukup duit kot! 6. Dalam suasana ada macam-macam teori persekongkolan (conspiracy theories) boleh jadi juga pihak berkuasa takut para YB itu pergi ke luar negara untuk sertai IS. 7. Mungkin kerajaan tidak mahu mereka ke luar negara sebab mereka akan disiasat berkenaan dakwaan konspirasi nak jatuhkan Perdana Menteri. 8. Yang lawaknya, dua orang yang Pasukan Petugas 1MDB nak tangkap dah cabut lari ke luar negara. Seorang namanya Nik Faisal Ariff Kamil (peguam) dan seorang lagi Suboh Mohd Yassin, bekas pegawai tinggi kerajaan.
Wallahuaklam. Nasihat saya, janganlah gundah gulana sampai makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah, resah gelisah tak tentu arah. Meminjam lingo kontemporari anak-anak muda, jangan emo sangat! Jangan risau sampai sasau. Jangan tidak ketahuan sampai kena sawan. Lagi teruk kalau kena sawan babi. Tak ada ubat. Kita emo dan susah hati pun belum tentu ada orang peduli. Ambil iktibar daripada sejarah. Bila pembesar Perancis bagi tahu Marie Antoinette yang rakyat jelata Perancis tak ada roti nak makan, bini raja Perancis itu kata: "Biar mereka makan kek!"
Tak lama lepas itu rakyat Perancis bangkit memberontak. Marie Antoinette dan laki dia, Raja Louis XVI kena pancung. Dua puluh sembilan tahun lalu, Presiden Marcos lari tinggalkan negara kerana diburu rakyat jelata. Nasib baik Amerika tolong seludup. Sekarang ada muzium kasut Imelda Marcos di Manila.
Kita fikirkanlah yang terbaik di kalangan yang kurang baik. Kita memilih manusia bukan malaikat. Fikirkanlah yang tahu agama dan moral, yang tidak terlalu kontroversi, tidak terlalu kaya raya dan yang anak bininya tahu tempat masing-masing. Wallahuaklam. http://kadirjasin.blogspot.com/ | |||||||||||
Tiada bai'ah taklik talak tiga Posted: 26 Jul 2015 12:17 AM PDT KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu hanya melafazkan bai'ah atau sumpah taat setia terhadap perjuangan parti tanpa sebarang penambahan lafaz taklik talak tiga sebagaimana yang dikatakan berlaku di negeri lain. Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat yang juga Adun Paka berkata, bai'ah dilakukan oleh semua calon Pas Terengganu sama ada menang atau kalah pada pilihan raya lalu. "Kita berbai'ah di hadapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas pelantikan calon di Rusila, Marang. Semua berbai'ah sama ada menang atau tidak, tapi kita tak ada tambahan lafaz cerai talak tiga seperti negeri lain. "Bai'ah yang kita lafaz antaranya tak boleh khianat, tak boleh lari daripada perjuangan sama ada menang atau kalah," katanya ketika mengulas isu bai'ah dalam Pas yang dikatakan mengandungi lafaz taklik talak tiga jika mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat meninggalkan parti. Isu itu timbul berikutan beberapa calon Pas yang bertanding dan menang pada pilihan raya lalu dikatakan akan meninggalkan Pas untuk menyertai Harapan Baru. Satiful berkata, pihaknya tidak mengetahui alasan negeri lain seperti Kelantan dan Selangor menambah lafaz taklik tersebut namun bersetuju dengan pandangan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Mohamad bahawa talak dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar sah dan hakiki serta tidak boleh dielakkan sekalipun dengan kafarah atau bayar denda sumpah. Katanya, lafaz itu 'sorih' atau jelas dan bertulis yang bukan diniatkan untuk main-main atau bergurau sambil memberitahu perkataan cerai boleh jatuh sekalipun pasangan suami isteri hanya berlakon. Beliau juga kesal terhadap sesetengah pihak yang menuduh penambahan lafaz cerai tersebut dituntut kepimpinan Pas dan meminta tuduhan itu dihentikan, lebih-lebih lagi ia tidak menjadi isu di negeri ini sedangkan bai'ah dilakukan di hadapan presiden parti. Beliau meminta pihak luar tidak menghentam sesuka hati terutama berhubung bai'ah kerana ia perkara biasa yang menuntut sumpah taat setia yang wujud pada zaman Rasulullah SAW untuk mendapatkan kepercayaan daripada sahabat. "Ini dalaman Pas, melibatkan disiplin. Orang luar yang tak tahu, tak perlu komen. "Ada bangkitkan istilah bai'ah sedangkan ia ada dalam Islam, al-Quran dan hadis serta berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Yang tak tahu jangan menghukum," katanya. | |||||||||||
Penghantar surat ditahan bantu kes 1MDB Posted: 26 Jul 2015 12:14 AM PDT SINAR HARIAN PUTRAJAYA - Seorang penghantar surat menjadi individu kelima yang direman bagi membantu siasatan berhubung akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap lelaki berumur 27 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim di Mahkamah Majistret di sini. Menurut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ditemui di mahkamah, perintah reman itu bertujuan membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a), Akta SPRM 2009 iaitu menerima rasuah. Mahkamah sama sebelum ini mengeluarkan perintah reman terhadap empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes 1MDB, bagaimanapun dua daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM. Penghantar surat berkenaan ditahan di rumahnya di Bentong, Pahang pada 6.30 petang semalam. Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilik tunggal sebuah syarikat perdagangan berumur 28 tahun yang juga direman empat hari bermula Jumaat lepas. - Bernama | |||||||||||
'Imam penjara' bina madrasah untuk pelajar miskin Posted: 26 Jul 2015 12:10 AM PDT SHAH ALAM - Selepas dibebaskan daripada penjara tahun lepas, 'Imam penjara' atau nama sebenarnya Muhammad Nafis Yaakub,20-an, kini gigih mengumpul dana untuk mendirikan sebuah madrasah tahfiz di tanah kelahirannya di Phnom Penh, Kemboja. Bercakap kepada Sinar Online baru-baru ini, Muhammad Nafis berkata buat sementara ini dia menyewa sebuah bangunan untuk memudahkan pelajar-pelajarnya belajar. "Sekarang ini saya usaha untuk mencari dana untuk mendirikan sebuah madrasah di Kemboja, setakat ini ada juga syarikat Malaysia yang memberi sumbangan dengan membantu saya keluarkan album untuk dana mendirikan madrasah. "Saya usaha untuk bina sendiri, tetapi buat masa sekarang sudah ada madrasah tetapi disewa dululah, bangunan sementara...madrasah itu dinamakan Madrasah Tahfiz al-Qalam ....yang mempunyai pelajar dekat 30 orang dalam umur 16 tahun ke bawah, sementara tenaga pengajarnya adalah seramai tiga orang, dimana saya salah seorang dan dibantu oleh adik-adik saya. "Manakala pelajar-pelajar ini terdiri daripada kelompok pelajar anak yatim dan keluarga yang miskin," katanya. Dalam pada itu, Muhammad Nafis berkata sekarang dia seringkali berulang alik dari Kemboja ke Malaysia dan Brunei untuk mencari dana bagi membina madrasah tersebut. "Sekarang saya ke Malaysia dan Brunei untuk mencari dana untuk mendirikan madrasah, keluarkan album bacaan al-Quran. "Untuk pembinaan madrasah itu dalam kiranya tapak sudah ada dan saya memerlukan kira-kira RM 300,000 paling kurang untuk membiayai projek tersebut. "Nanti kalau dana sudah cukup, insyaALLAH dalam setengah tahun siap dibina," katanya. Manakala ketika ditanya tentang silibus pengajian di madrasah tersebut, Muhammad Nafis berkata pengajian di madrasah itu bukan hanya tertakluk kepada pengajian al-Quran semata-mata sebaliknya turut melibatkan pengajian hadis dan ilmu-ilmu agama yang lain. "Apabila madrasah itu sudah siap kami sasarkan dalam 100-200 pengambilan pelajar...insya-ALLAH niat saya untuk menyediakan pengajian percuma kepada anak-anak ini," katanya. Katanya lagi oleh itu bagi sesiapa yang ingin membantu untuk bersama-sama mendirikan madrasah ini bolehlah menghubungi dia sendiri ditalian +6737260690 atau +6738996496 atau boleh hubungi talian 0139331810 (Puan Lina). Terdahulu, Muhammad Nafis , pernah menjadi viral pada ramadhan tahun lepas, apabila videonya mengalunkan bacaan al-Quran disebalik tirai besi mendapat perhatian ramai, dia ditahan akhir Jun tahun lalu dan dihantar ke Penjara Machang selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah. | |||||||||||
ADUN PAS sertai GHB kukuhkan DAP di Selangor - Noh Omar Posted: 26 Jul 2015 12:07 AM PDT ANTARAPOS.COM TANJUNG KARANG: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada PAS yang mahu menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) bakal mengukuhkan kedudukan DAP dalam kerajaan negeri Selangor. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata ini kerana GHB lebih pro kepada DAP, sekali gus akan memberi kesan kepada kedudukan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, daripada PKR. Dilaporkan, dua ADUN PAS di Selangor iaitu ADUN Morib, Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib serta Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud akan menyertai parti baru GHB itu. Ketika ini PAS memiliki 15 kerusi DUN, DAP (15), PKR (13), manakala Barisan Nasional 12 dan Bebas (1). "Apa yang kita lihat, Pakatan Rakyat pun tiada pendirian sendiri. Apa jua keputusan kena rujuk pada DAP kerana kalau DAP tak sokong, mereka akan kurang sokongan. "Sama juga berlaku di Selangor. DAP majoriti dan PAS pula masih bergolak maka diramalkan Azmin akan mentadbir kerajaan negeri secara proksi," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Noh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan GHB dan pergolakan PAS dalam memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan Selangor. Terdahulu, Noh menyampaikan sumbangan kelengkapan haji kepada 68 bakal jemaah dan wang tunai kepada 120 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi bagi peringkat Parlimen Tanjung Karang. Kata Noh, tidak mustahil sekiranya DAP akan meminta jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran Selangor pada masa depan. Semalam, ADUN Morib menegaskan bahawa ADUN daripada PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), tidak perlu mengosongkan kerusi DUN. Beliau berpendapat PAS tidak sepatutnya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP sedangkan gabungan bersama dalam pakatan pembangkang yang menjadikan Pakatan Rakyat mampu menawan Selangor. | |||||||||||
ABIM akan pertimbang hasrat PKR mahu jalin muafakat politik Posted: 26 Jul 2015 12:04 AM PDT Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz SHAH ALAM: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu berhubung hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berusaha mewujudkan permuafakatan politik antara gerakan progresif dan badan bukan kerajaan (NGO). Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, setakat ini ABIM tidak menerima apa-apa perincian lagi daripada Ketua Umum PKR itu berhubung hasratnya. Anwar sebelum ini meluahkan hasrat turut mahukan ABIM sama terlibat dalam mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, yang akan melibatkan semua gerakan progresif termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Sebab tiada apa-apa lagi, apa yang Anwar hendak bincang, itu kita tidak tahu lagi, mungkin dia Anwar sekadar mahu menyatakan hasrat dia dahulu. "Jadi kita tunggu dan lihat selepas ini," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi. Beliau dalam pada itu berkata, usaha Anwar itu disambut baik selagi ianya menjamin keharmonian negara dan berada pada landasan sistem berperlembagaan. "Ini adalah sebagai satu ikthiar beliau (Datuk Seri Anwar), sama ada usaha beliau itu akan berjaya atau tidak, kita tunggu dan lihat. "Dan kata orang itu, tapi kami ABIM mengalukan jika ia benar-benar proses demokrasi yang sihat dan boleh untuk mempertahankan kedaulatan agama, kedudukan bangsa Melayu dan keharmonian dalam masyarakat," katanya. Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tidak dapat memberi jaminan bentuk kerjasama yang boleh diberikan ABIM selagi tiada perbicangan rasmi secara bersama dengan NGO itu. "Saya pun tidak tahu apa yang hendak beliau bentangkan, jadi apakah bentuk kerjasama yang diperlukan mereka? "Sama ada dari segi idea atau sebagainya, jadi saya tidak boleh hendak komen lebih benda itu," katanya. Kelmarin, Anwar yang juga Penasihat PKR memberikan bayangan jelas akan menjalinkan kerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) atas dasar permuafakatan politik yang lebih kukuh. Katanya lagi, parti berkenaan sedang mewujudkan permuafakatan politik melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan. | |||||||||||
Pemilihan presiden MIC 6 September, penamaan calon 21 Ogos Posted: 26 Jul 2015 12:00 AM PDT ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara MIC 2009, yang memihak kepada pemangku presiden parti Datuk Seri Dr S.Subramaniam, menetapkan 6 September sebagai tarikh untuk mengadakan pemilihan presiden parti itu. Setiausaha Agung MIC A.Sakthivel berkata pada mesyuaratnya semalam, jawatankuasa itu juga menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh penamaan calon. "CWC Sementara MIC itu juga meluluskan resolusi melarang pemimpin MIC di semua peringkat daripada menghadiri sebarang majlis anjuran CWC haram (diketuai bekas Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel). "CWC Sementara 2009 itu turut memutuskan mana-mana anggota yang melibatkan diri dengan pencalonan atau pemilihan yang diadakan CWC haram ini boleh dikenakan tindakan disiplin dan boleh disekat hak mereka untuk menyertai pencalonan dan pemilihan yang diadakan CWC Sementara rasmi 2009," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini. Sakthivel berkata, menurut perlembagaan MIC, presiden parti itu dipilih oleh semua pengerusi cawangan dan pencalonan peringkat cawangan yang diadakan dari 10 hingga 12 Julai menyaksikan 2,685 pengerusi cawangan mengemukakan pencalonan mereka. Katanya, Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian Pemilihan Cawangan Negeri, yang diamanahkan tugas menyiasat dan membuat keputusan tentang pertikaian dan rayuan, mengesyorkan agar 260 cawangan lagi dibenarkan memfailkan pencalonan mereka. "1 Ogos ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, ia akan diadakan pada 9 Ogos," katanya. Sebelum ini, kem Palanivel meminta pencalonan bagi jawatan presiden parti itu diadakan pada 2 Ogos. Parti berusia 68 tahun in berpecah dua berikutan perbezaan pendapat yang tercetus antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengeluarkan notis pada 5 Disember tahun lepas yang meminta parti mengadakan pemilihan semula. | |||||||||||
GHB dijangka 'tunduk' pada DAP - Nakhaie Ahmad Posted: 25 Jul 2015 11:59 PM PDT Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad tidak menolak kemungkinan Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mengikut telunjuk DAP, sekiranya bergabung dalam pakatan pembangkang kelak. Nakhaie berkata, GHB tidak akan tampil lebih islamik daripada PAS meskipun ia diterajui beberapa bekas pemimpin parti itu. Justeru, Nakhaie menjangkakan GHB akan berdepan dengan cabaran setiap kali mahu bertegas bersabit sesuatu isu, membabitkan DAP. "Dipengaruhi DAP) Kemungkinan itu ada sebab semuanya akan menjadi liberal. Saya ingat, GHB, DAP akan bersatu dengan pendekatan yang lebih liberal, Islam yang agak liberal. PKR juga liberal. "Sebab mereka terdiri daripada kalangan profesional menengah yang mana mesej mereka tidak sampai ke bawah," katanya kepada Antarapos, hari ini. GHB kini memerlukan sokongan DAP agar parti politik yang bakal mereka asaskan sedikit waktu nanti dapat diterima rakyat. Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga sebelum ini mengakui perbincangan diadakan bersama GHB dan PKR bagi membentuk gabungan pembangkang yang baru menerusi Pakatan Rakyat 2.0. Bukan itu sahaja, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi bayangan bahawa partinya akan menjalinkan kerjasama dengan GHB dengan menggunakan hujah mahu membentuk permuafakatan politik yang lebih kukuh. Pimpinan PAS pula tidak henti-henti menempelak tindakan kumpulan progresif PAS yang membentuk pertubuhan ini yang dianggap sebagai serangan kepada parti itu dan pemimpinnya selepas kalah dalam pemilihan baru-baru ini. Nakhaie, bagaimanapun percaya GHB tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli PAS secara keseluruhannya untuk 'beralih arah'. "Mungkin GHB akan menarik lebih orang muda. Namun untuk mempengaruhi ahli-ahli PAS secara keseluruhannya adalah sukar," ujarnya. GHB yang ditunjangi G-18 bakal mendaftar sebagai sebuah parti politik pada pertengahan September depan. G18 adalah kumpulan yang bekas pemimpin PAS yang kecundang pada pemilihan parti 4 Jun lalu. GHB dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, manakala ahli jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. | |||||||||||
Tindakan GHB tarik ahli PAS makan diri sendiri - Dewan Ulamak Posted: 25 Jul 2015 11:56 PM PDT Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz SHAH ALAM: Tindakan parti Gerakan Harapan Baru (GHB) yang giat berkempen menarik ahli PAS untuk menyertai parti serpihan akan memakan diri sendiri. Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr. Mahfodz Mohamed sebaliknya berkata GHB sepatutnya mensasarkan ahli Umno untuk menyertai parti baru yang akan mereka tubuhkan sedikit masa lagi dan bukannya menarik ahli PAS. "Sepatutnya mereka berkempen kepada ahli-ahli Umno supaya menyertai mereka. "Apa yang mereka lakukan itu menghianati parti sendiri dan bercanggah dengan matlamat mereka untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) dan akhirnya akan menghancurkan parti mereka dan memenangkan Umno BN," katanya kepada Antarapos melalui aplikasi WhatsApp. GHB kini mengadakan siri jelajah bagi menjelas rasional tindakan mereka mahu menubuh parti baru kelak dan mensasarkan ahli PAS untuk menyertai mereka. Siri jelajah itu turut di sertai bekas pemimpin PAS yang gagal pertahan jawatan mereka untuk penggal yang seterusnya. "Usaha GHB hendak menarik ahli-ahli PAS meyertai mereka adalah usaha yg tidak amanah dan tidak jujur kerana mereka masih ahli PAS. "Jadi macam mana mereka boleh tergamak berkempen kepada ahli-ahli PAS supaya tinggalkan PAS dan masuk parti lain padahal objektif mereka hendak tumbangkan Umno Barisan Nasional," katanya. Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Nik Salleh pula berkata sejak GHB diperkenalkan pengerusinya, mohamad Sabu, tiada lagi kritikan politik dibuat terhadap Umno. "Kalau dia (GHB) betul-betul hendak mengalahkan Umno di Malaysia dan dia merasakan Umno BN ini adalah satu parti yang tidak baik, sepatutnya GHB perlu letak fokus yang jelas. "Fokus dia ialah sepatutnya GHB bertembung dengan Umno bukan bertembung dengan PAS atau parti-parti pembangkang yang lain," katanya. "Saya tidak nampak dia (GHB) serang Umno sejak ia diumumkan," ujarnya ketika dihubungi Antarapos. Justeru, Nik Zawawi berkata, padanya GHB bukan ikhlas mahu berpolitik dan berkhidmat untuk rakyat tetapi lebih kepada kecewa dan tidak puas hari selepas ditolak perwakilan untuk terus memegang jawatan dalam PAS. "Jadi saya menampakkan bahawa kewujudan GHB ini adalah kerana kecewa, tidak puas hati dan macam-macam benda yang negatif, yang sepatutnya sifat umpama ini tidak berlaku kepada orang yang hendak memperjuangkan sesuatu kebenaran," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan