Khamis, 25 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pakatan Rakyat Baru Direstui Anwar?

Posted: 25 Jun 2015 02:46 AM PDT

shahbudindotcom


Perkembangan terkini dalam blok pembangkang menunjukkan bukan saja sebuah parti Islam baru bakal wujud tidak lagi, bahkan juga akan disusuli dengan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang benar-benar beraspirasi mahu menggantikan BN mentadbir negara ini.

Setelah kumpulan progresif Pas yang menggelarkan diri mereka G18 mengadakan beberapa pertemuan, seorang daripada anggotanya, Khalid Samad hari ini mengesahkan mengenai penubuhan sebuah parti Islam baru itu.

Katanya, parti baru itu berkonsepkan untuk semua tanpa mengira kepercayaan dengan teras perjuangannya ialah untuk memerangi rasuah dan menegakkan keadilan kepada rakyat.

Sebelum ini beberapa pemimpin progresif Pas seperti Mohamad Sabu, Nizar Jamaluddin dan lain-lain turut membayangkan perkara yang sama yang sekaligus menunjukkan mereka ini sudah tawar hati dengan trend perjuangan yang dibawa oleh Pas pro ulama sekarang.

Pada malam semalam juga, kumpulan G18 ini turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama PKR dan DAP di kediaman bekas Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaafar yang dipercayai sebagai tanda-tanda awal kepada penyusunan semua Pakatan Rakyat yang dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

Antara pemimpin PKR yang hadir dalam pertemuan itu ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua, Johari Abdul, Saifuddin Nasution dan Shamsul Iskandar manakala daripada DAP pula ialah Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan beberapa yang lain.

Dengan adanya pertemuan tersebut serta kehadiran pemimpin utama PKR dan DAP, kebarangkalian paling nyata ialah bukan saja penubuhan sebuah parti Islam baru akan menjadi kenyataan tidak lama lagi tetapi juga penyusunan semua Pakatan Rakyat yang lebih mantap dan kuat.

Adalah dijangkakan sebaik saja parti baru itu disahkan penubuhannya, ia akan terus memohon menyertai Pakatan Rakyat atau PKR dan DAP sendiri yang akan mencadangkan kemasukannya ke dalam gabungan pembangkang.

Ia akhirnya terserah kepada Pas sama ada mahu terus kekal bersama Pakatan Rakyat atau secara sukarela "mencari selipar dan berlaku pergi" meninggalkan gabungan itu.

Jika Pas mahu terus kekal, bermakna Pakatan Rakyat baru ini akan dianggotai oleh empat parti, tetapi kiranya Pas memilih untuk mengundurkan diri ia akan kekal dianggotai oleh tiga parti.

Pertemuan kumpulan G18 dengan pimpinan PKR dan DAP ini diadakan hanya beberapa jam selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan daripada Penjara Sungai Buloh yang melahirkan keyakinan bahawa gabungan pembangkang akan menjadi lebih kuat setelah melalui penyusunan semulanya.

Sambil menegaskan bahawa Pakatan Rakyat masih berfungsi sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen, Anwar berkata, barisan pembangkang selepas disusun semula dengan kekuatan baru, termasuk sokongan NGO-NGO, akan muncul lebih kuat dan bersatu selepas ini.

Beserta ikrar tidak akan meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan, Anwar ternyata tidak sekadar membaca buku dan mengaji Al Quran saja ketika mendekap di penjara.

Sepertimana jangkaan banyak pihak sebelum ini, kehidupan di penjara tanpa tekanan dan gangguan akan membuatkan Anwar lebih bebas berfikir dan merangka strategi yang lebih baik untuk kepentingan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Serentak dengan itu, tidak disangsikan lagi bahawa penubuhan parti Islam baru dan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang sedang direncanakan ini adalah dalam pengetahuan dan restu Anwar sepenuhnya.

Di luar atau dari dalam penjara, Anwar nampaknya sentiasa ada untuk politik Malaysia. 

Polis Australia Serbu Hartanah Mara

Posted: 25 Jun 2015 01:58 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Dudley International House
 
 
 
MELBOURNE: Pasukan polis persekutuan Australia merampas komputer dan fail dari sebuah rumah di Selatan Vermont pada Khamis sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Difahamkan beberapa hartanah lain di dalam dan sekitar Melbourne juga disasarkan untuk siasatan.

Siasatan itu berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanan Mara.

Pegawai tinggi Mara Incorporated Sdn Bhd termasuk pengerusinya, Datuk Mohammad Lan Allani dinamakan dalam akhbar harian Australia atas dakwaan rasuah berhubung pembelian hartanah.

Sebuah portal dalam talian berkata walaupun dakwaan rasuah dikaitkan dengan pembelian hartanah di Australia oleh warga asing yang ada hubung kait dengan kepentingan politik, ia adalah kali pertama pihak polis melancarkan operasi besar-besaran.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata dakwaan harga yang melambung berhubung pembelian Dudley International House adalah di luar pengetahuan Mara.

Beliau berkata Mara memperoleh bangunan lima tingkat Dudley International House seluas 30,279 kaki persegi selepas Mac 2013 untuk menempatkan pelajar di dalam 112 bilik.

"Mara Inc membeli bangunan itu daripada pemaju pada harga yang berpatutan dan ini disokong oleh laporan hartanah daripada penilai profesional antarabangsa bertauliah.

"Kami menyedari bahawa hartanah itu dibeli pada harga jauh lebih tinggi selepas akhbar Australia, The Age, menyiarkan laporan mengenainya semalam," katanya pada sidang akhbar berhubung dakwaan itu di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pembuangan Husam di Kelantan satu kesadisan

Posted: 25 Jun 2015 01:51 AM PDT

MSO

Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk sesi 2015/17 telah pun dibentuk yang memperlihatkan berlaku perubahan mengejutkan. Perubahan itu sesuatu yang postif untuk memantapkan badan eksekutif PAS Kelantan itu. Apa yang paling mengejutkan apabila nama Husam Musa sebelum ini sebagai Timban Pesuruhjaya II tidak ada langsung dalam penyusunan itu.

Ahmad Yaakub kekal sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan. Manakala Mohd Amar Nik Abdullah sudah semestinya sesuai dengan kedudukannya sebagai TMB menjadi timbalan Ahmad, dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya I. Pesuruhjaya II pula Dr Johari Mat yang dinaikkan darjat. Manakala Pesuruhjaya III Adun Kemuning, Dr Mohd Fadzli Hassan.

Kehadiran Mohd Fadzli ini dilihat sebagai mengisi kekosong tempat Husam Musa dan ia juga merupakan kenaikan pangkat. Tepat sekali kalau anggota Exco itu diletakkan disitu sebagai pemimpin pelapis PAS masa depan yang educated dan berfahaman dan bersikap sedarhana.

Setiausah Badan Perhubungan yang selamanya dilihat sebagai jawatan terpenting menjadi nadi kepada badan pengurusan itu, diberikan kepada Adun Wakaf Baharu yang juga Exco Kelantan Abdullah Che Nawi. Setiausaha sebelum ini Zulkefli Mamat yang sudah lama diusahakan agar disingkirkan kerana beberapa kelemahan dan kurang berkesan dalam kerja-kerjanya kesetiausahaannya, akhirnya "terkanyar" juga.

Foto ini mencerminkan keakraban Husam dengan Tokguru.
Pun begitu tenaga dan pemikiran Adun Pulai Chondong itu masih diperlukan apabila beliau diberi tanggungjawab menjadi Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, bagi mengganti tempat Wan Nik Wan Yusuf. Sebelum ini beberapa cadangan dikemukakan kepada Ahmad Yaakub dan desakan agar Zulkefli ditukar, termasuk saya sendiri pernah mencadangkan kepada MB secara terbuka itu supaya Zulkifli dibuang, tetapi tidak berhasil.

Mungkin ada rahsia besar kenapa Zulkefli Mamat masih lagi dipegang oleh Ahmad Yaakub. Mungkin kerana apa yang pernah disebut oleh MB itu, "kita masih ada agenda belum selesai" sebagai jawaban kepada desakan itu, dengan Zulkefli menjadi pengikatnya. Keberadaan Zulkefli dalam badan perhubungan itu lebih kepada untuk memberi peluang dia menyelesaikan masalah yang masih belum selesai dan menjadi liabiliti kepada parti.

Nama-nama lain yang dibawa masuk ke dalam badan perhubungan ialah Wan Nik Wan Yusuf masih lagi dikekal dan berada dalam badan perhubungan itu. Bekas Setiausaha Politik MB itu dilantik menjadi Penolong Setiausaha Badan Perhubungan. Di sini semacam diingini kombinasi Wan Nik dengan Che Abdullah untuk memberi kesan baik kepada badan perhubungan kerana perfomence Abdullah sendiri dalam kerja-kerja kepartian maupun kerajaan boleh dipertikaikan. 

Good luck Mat Yakkub.
Sebenarnya Wan Nik sudah cukup bertenaga dan ada kekuatan untuk dilantik menjadi setiausaha badan perhubungan PAS, tanpa dia menjadi penimbal kepada Abdullah. Tetapi kenapa Abdullah diletak disitu saya melihat ia lebih kepada strategi Ahmad Yaakub untuk menjamin kedudukannya agar tidak tergugat. Kepercayaan Ahmad kepada Abdullah mungkin lebih tinggi atas faktor mereka mempunyai hubungan kekeluargaan bukan prestasinya. Isteri Abdullah dikhabarkan anak buah Ahmad Yaakub.

Selain Abdullah seorang lagi yang mempunyai hubungan intim dengan Ahmad juga dibawa masuk ke dalam badan perhubungan dilantik menjadi Penolong Setiausaha III, iaitu Wan Ruslan Wan Hamat yang juga Setiausaha Politik beliau. Manakala Penolong Setiausaha II Wan Asri Mat Daud. Orang-orang ini adalah tali "belati" kepada Ahmad.

Penyusunan badan perhubungan itu tidak boleh dinafikan ia sedikit sebanyak berasaskan kepada kroni dan mereka yang "seraga ayam" dengan Ahmad Yaakub. Kerana sebelum ini beberapa nama di luar kronis disebut dan layak untuk menganggotai badan perhubungan itu tetapi, seorang pun tidak dilantik.

Antara mereka ialah Adun Pasir Tumbuh Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Adun Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman. Tetapi disebabkan mereka ini dilihat tidak berpihak kepada mereka, dan tidak bersedia untuk masuk raga ayam, maka kebolehan mereka dinafikan.

Pembuangan Husam

Pembungan Husam dari badan perhubungan PAS itu dilihat satu tindakan berani oleh Ahmad Yaakub. Tindakan tersalah sangka dari jangka kerana Ahmad dilihat sebagai seorang waruk tidak mudah menghukum orang yang tidak melakukan kesalahan syarak. Mungkin beliau dengan nasihat Nik Amar telah membuat perhitungan ketiadaan Husam mereka mampu menggerakkan PAS. PAS Kelantan sebelum ini khususnya di era kepimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat, lebih dilihat ianya digerak dan dibangunkan oleh Husam.

Husamlah enjin kepada Nik Aziz dan PAS Kelantan. Walaupun kejayaan Nik Aziz mengekalkan kerajaan Kelantan selama lima penggal ianya adalah berkat kerjasama semua pihak, tetapi orang yang memain peranan dan akitek kepada PAS adalah Husam Musa. Husamlah yang membentuk minda politik Nik Aziz dengan berkonsepkan kepada politik Islam dianuti Tokguru menerusi beberapa jawatan pentingnya sebagai pembantu Tokguru, Pegawai Akkhbar, Setiausaha Politik kemudian sebagai Exco kanan. Husamlah pendampingi Nik Aziz sepanjang Nik Aziz berada diluar rumah dan berada dalam medan politik.

Gara-gara keintiman dan kerajinan itulah juga menyebabkan beliau dicemburi sampai diusahakan memisahkan dia dengan Tokguru.

Menyedari hungungan intim dan peranan itu mungkin Ahmad Yaakub tidak mahu Husam terus dilihat berperanan dalam PAS maka beliau harus disingkirkan dari badan perhubungan PAS. Tindakan itu juga sedikit sebanyak mungkin kerana sikap Husam yang tidak begitu cakna kepada Ahmad Yaakub sebelum ini semasa Ahmad memegang jawatan TMB. Umum sudah tahun Husam seorang yang tidak begitu mesra alam dan bertindak secara bersendirian.

Bagaimana pun, sepatutnya setelah Ahmad sah mengambil alih jawatan MB tidak seharusnya beliau berasa bimbang dan sangsi kepada Husam lagi kerana keseluruhan anak kunci untuk memasuki PAS Kelantan berada ditangannya. Selepas pengunduran Tokguru suka atau tidak sukar Husam harus akur dan berketuakannya.

Sepatutnya Ahmad tidak bertindak kejam dengan menyingkirkan Husam. Membaung Husam sebegitu dilihat kejam dan ia memberi kesan negatif kepada pentadbiran Ahmad dan PAS Kelantan. Dan kalau pembuangan Husam itu adalah atas tekanan pihak lain ternyata Ahmad tidak mampu berdiri sebagai seorang pemimpin yang tegas, berprinsip dan adil.

Dalam konteks ini saya bukan sengaja mahu membela Husam, tetapi lebih melihat kepada kesan ekoran tindakan itu. Pembuangan Husam dari badan eksekutif PAS itu sangat disukai oleh Umno. Selama ini orang yang dibimbangi dan ditakuti oleh Umno ialah Husam Musa. Apabila Husam yang mampu membaca langkah politik musuh dan sering mengelirukan musuh tidak ada lagi, maka mudahlah untuk musuh masuk ke dalam rumah PAS dan menganyang.

Ahmad mungkin tidak melihat hakikat ini dan dia lebih berasakan dia selamat apabila Husam tidak ada. Congakan itu silap. Seperkara yang Ahmad kena ingat, kalau tindakan terhadap Husam itu berdasarkan kepada dhamirnya tidak mempercayai Husam, perasaan sama juga beliau kena ada juga kepada orang lain yang kini menjadi pagar-pagar besi bodekismenya. 

Apa yang Ahmad kena ingat suatu hari pagar itu juga akan memakan dirinya. Ini politik.

Selain itu pengyingkiran Husam juga dianggap kejam dan sikap kacang lupakan kulit. Jasa dan budi Husam selama sejak tahun 1995 menjadi ahli Parlimen, kemudian Adun dan dilantik menjadi Exco dua penggal banyak menrancang untuk pembangunan sosial ekonomi di Kelantan. Ini menunjukkan Ahmad Yaakub seorang yang tidak tahu mengenang budi dan seolah-olah tidak ada penghormatan langsung kepada Tokguru Nik Aziz. Penyanjungi Nik Aziz kepada Husam sebagai seorang budak bijak tidak diikhtiraf oleh Ahmad Yaakub.

Tindakan itu juga kontras dengan sifatnya sebagai Mursyidul Am yang lebih perlu bertindak menjadi pendamai dan bukan meretakkan lagi keadaan. Murabbi itu membimbangi dengan perbuatannya bukan seronok dan syok dengan kata hafalan.

Bahaya menanti

Seburuk-buruk Husam dia ada pengaruh dan aura tersendiri. Kalau pun dia selepas ini menjadi pasif kepada PAS, tetapi pengikutnya akan membuat tindakan sendiri. Apa kata kalau para pengikutnya bertindak untuk tidak bersama PAS kerana kecewa kepada apa yang berlaku di Kelantan dan menimpa Husam? Kalau itu berlaku jangan salah dan tuduh Husam.

Tidakkah keadaan itu merugikan PAS Kelantan. Tidak tahulah saya kalau pemikiran Ahmad Yaakub dan mereka yang berada diserandang kekuasaanya kini sudah terpeta dalam kepala kerjasama dengan Umno. Kalau bayangan itu sudah wujud, maka pembuangan Husam itu adalah wajar kerana Husam selamanya akan tetap berpegang kepada ikrar dan sumpah Tokgurunya, Nik Abdul Aziz yang sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Umno selagi parti itu tidak menukar perlembagaan parti.

Kepada Husam diharap jangan berduka dan bersedih di atas yang berlaku. Terimalah dengan penuh keredhaan dan insaf. Percaya dan yakinlah sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya, mungkin juga kifarah Allah ke atas diri kita. Dan kebenaran itu selalunya lambat tiba. Ia selalu saya ibaratkan seperti kereta api malam, yang sering kali lewat tetapi ia tidak akan tidak dan pernah mungkir kepada setesennya.

Jangan menangis duhai putra Musa, dakaplah kenangan bersama Tokgurumu dan keriduan kepadanya jadikan penawar mujarab untuk mengubati segala kesadisan yang kamu terima selama ini. Kepada Ahmad Yaakub good luck.

Tiada Tapisan Internet Tak Bermakna Boleh Menyalahi Undang-Undang - Ahmad Shabery

Posted: 25 Jun 2015 01:49 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Ahmad Shabery Cheek
 
 

KUALA LUMPUR: Jaminan kerajaan untuk tidak mengenakan penapisan terhadap internet bukan bermakna mana-mana individu boleh menyebarkan kandungan menyalahi undang-undang seperti merekrut pengganas atau mempromosi pornografi kanak-kanak, persidangan Dewan Negara diberitahu, Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jaminan di bawah Rang Jaminan MSC itu sebaliknya menetapkan syarat bahawa tidak boleh melanggar mana-mana undang-undang sedia ada, tidak mengganggu gugat serta mengancam keharmonian dan keselamatan negara.

"Jaminan ini bertujuan untuk merealisasikan wawasan negara menjadi hab ICT utama serantau, di mana keperluan kandungan melalui internet telah diiktiraf sebagai faktor penting dalam memudahkan proses pertukaran maklumat, pencetus inovasi dan sebagai elemen utama dalam meningkatkan kualiti kerja dan kehidupan.

"Jika perbuatan dilakukan menyalahi undang-undang di dunia fizikal, perbuatan tersebut juga tidak dibenarkan dalam persekitaran maya," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Syed Husin Ali.

Syed Husin ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk memansuhkan jaminan tiada penapisan Koridor Raya Multimedia untuk memenuhi Dasar Keselamatan Siber Malaysia.

Memberikan contoh kes penyebaran gambar anak seorang pelakon komedi di sebuah laman web yang mempromosikan unsur pornografi kanak-kanak, Ahmad Shabery berkata perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.

"Kalau kita benarkan perkara ini, kita mungkin akan dilihat dunia sebagai negara yang menyokong dan tidak bertindak dengan membiarkan anak-anak diperalatkan untuk tujuan pornografi, kita mesti bertindak tegas," katanya.

Menjawab soalan tambahan Syed Husin, beliau berkata setiap kesalahan yang dibuat dalam internet, bukan sahaja dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), malah pelbagai agensi terlibat antaranya polis dan Bank Negara.

"SKMM memainkan peranan membantu siasatan mana-mana pihak khususnya dalam aspek forensik untuk mencari alamat IP, SKMM sentiasa memberi kerjasama," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian bersama-sama SKMM sedang membuat semakan semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bertujuan memastikan ia dapat dikuat kuasa dengan berkesan dan sesuai dengan tuntutan sosial, teknologi dan keselamatan semasa.-- Bernama

Malaysia Muflis dan Bangkrap Seperti Greece Jikalau Cukai GST 6% Tidak Dilaksanakan?

Posted: 25 Jun 2015 01:47 AM PDT

BERITA SEMASA


Malaysia Muflis dan Bangkrap Seperti Greece Jikalau Cukai GST 6% Tidak Dilaksanakan?

Anda semua di sini sebagai rakyat marhaen yang membanting tulang setiap hari ada 2 pilihan, samada anda perlu berusaha keras membayar cukai tambahan iiatu cukai GST kepada kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib atau anda bakal melihatkan kerajaan Malaysia terpaksa menambah hutang negara melalui pinjaman bagi survival pentadbiran kerajaan Malaysia hari ini sekaligus berisiko besar untuk Malaysia mulis dan bangkrap seperti negara Greece.

Ini antara bait-bait perkataan yang pernah keluar daripada mulut seorang Perdana Menteri Malaysia dalam satu seminar Pengukuhan Ekonomi Negara sebelum ini.

Tetapi yang berlaku sekarang?
  1. Kenakan cukai GST
  2. Cukai pendapatan masih lagi tinggi
  3. Hutang negara semakin melonjak
Malaysia muflis

Cuma yang Berita Semasa persoalkan, mengapa dan kenapa kerajaan Malaysia sudah tahu Malaysia bakal berhadapan dengan muflis dan bangkrap :
  1. Masih lagi berikan BR1M yang mencecah bilion setiap tahun?
  2. Berhutang sehingga RM42 bilion untuk 1MDB?
  3. Tukar jet baru?
  4. Saiz kabinet Malaysia semakin besar
  5. Belanja kos sehingga RM7,000 juta semata bagi mendapatkan khidmat nasihat penasihat. Bukankah negara sepatutnya menjadi lebih baik? Apa sudah jadi sekarang? Apa rakyat Malaysia tiada idea yang bijak dan bernas sehingga terpaksa panggil orang luar?
  6. Anda mahu tambah lagi?

 

Punca dan Sebab Greece Bangkrap VS Malaysia Muflis?

Jikalau anda semak semula laporan Berita Semasa di bawah ini, Berita Semasa pernah senarai mengapa dan kenapa Greece menjadi seteruk pada hari ini? Antara ialah :
  • masalah salah urus tadbir negara
  • tipu angka ekonomi
  • kronisma dan nepostime yang berleluasa
  • mempunyai bilangan kakitangan awam yang sangat tinggi, ratio antara yang tertinggi di dalam Kesatuan Eropah.
  • Bagi Berita Semasa isu GST adalah timing. Jikalau pada ketika ekonomi Malaysia sedang rancak di era 90 an di mana kos sara hidup rakyat Malaysia juga tidak terbeban pada ketika itu, ia adalah masa paling sesuai untuk dilaksanakan GST.
  • Tetapi kerajaan lebih selesa memilih untuk melaksanakan GST pada zaman dan ketika semua subsidi ditarik sehingga harga barang terus melambung tinggi ditambah penguatkuasaan yang cukup-ckup lemah.
  • Malah cukup pendapatan hanya dikurangkan sekelumit kecil sahaja semata-mata untuk memenuhkan kantung kerajaan Malaysia.
  • Kiri kanan ambil? Cukai GST dapat, cukai pendapatan masih kekal begitu juga? Ermmmm…….
P/S : Negara kaya mana sekalipun boleh bangkrap dan muflis dek kerana belanja boros sesuka hati.


Parti baru tidak semudah atur demonstrasi

Posted: 25 Jun 2015 01:45 AM PDT

Oleh Muhaimin Sulam


Awalnya tulisan ini hanya untuk beberapa rakan saya yang pernah berkongsi meja mesyuarat Tingkat 5 Pejabat Agung. Namun, saya kira perlu dikongsi dalam ruang maya yang ada. (saya hanya ada empat grup whatsapp politik)

Soal untuk menubuhkan parti baru tentu ada baik buruknya. Menubuhkan parti bukanlah kerja mudah. Saya tidak nampak keperluan untuk dihebohkan pada masa sekarang. Tanah kubur masih merah lagi. Ia mungkin perlu tapi perancangan hendaklah jauh teratur dari seperti kaedah untuk menganjurkan demonstrasi.

Terma 'wadah baru' mungkin lebih realistik dan wibawa. Maaf, penubuhan parti baru hanya sekadar bersifat reactionary dari post muktamar.

Adalah satu keperluan untuk memastikan team yang dianggotai AJK Pas yang tersingkir sebagai peneraju berada dalam satu persefahaman. Jika tidak, 'yang kalah' ini pasti berbalah dengan 'yang kalah'. Jauh untuk menongkah kezaliman pemerintah.

Kedua, selalu kita menyebut bahawa orang yang berada dikeliling pemimpinlah yang banyak merosak pemimpin itu sendiri. Hal ini, harus kita amati dalam lingkaran diri kita. Jangan menang sorak, kampung tergadai. 

Saya bersimpati pada sahabat sahabat kita yang masih diberi kepercayaan oleh parti di peringkat Pusat dan Negeri. Biarlah mereka memutuskan yang terbaik. Apakah  9 dari 10 butir peluru harus kita lepaskan pada mereka juga?

Saya menyedari hal asas ini agak diabaikan. Jika tidak, biarlah saya menjadi penyair. Dan tatkala itu, tiada siapapun mengisahkan kita semua.

Sekian.Wasalam

Muhaimin Sulam
http://muktamarpas61.blogspot.com 

Masih adakah sinar Pas, DAP berbaik?

Posted: 25 Jun 2015 01:37 AM PDT

 



DETIK DAILY


KUALA LUMPUR - Masihkah ada sinar di sebalik 'awan hitam' yang menyelubungi Pas dan DA
P? Persoalan ini pastinya antara perkara yang bermain diminda rakyat khususnya pemerhati politik ekoran kemelut yang melanda PR ini kian parah, sekali gus menyaksikan Pas dan DAP 'berpatah arang, berkerat rotan'.
  
Hubungan yang dibina sejak 1 April 2008 atas nama PR dengan tujuan untuk 'membela kebajikan rakyat' kini lumpuh. Ia seakan-akan kehilangan nakhoda, selepas ketiadaan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan liwat.

Seperti yang diketahui banyak pihak sebelum ini, keutuhan dan kesepaduan serta masa depan PR sebenarnya banyak bergantung kepada Anwar, yang memainkan peranan sebagai orang tengah kepada Pas dan DAP khususnya dalam membina kepercayaan antara kedua parti itu.
  
Sebelum ini, Pas dan DAP pernah bersama dalam Barisan Alternatif (BA) pada 1999 bersama dua parti lain iaitu Parti Keadilan Nasional  dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
  
Lantaran tidak bersetuju dengan dasar Pas memperjuangkan penubuhan negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001 manakala Keadilan dan PRM bergabung membentuk PKR pada 2003.
  
Kini nasib yang sama bakal dilalui PR seolah-olah mengulangi episod hitam yang pernah berlaku semasa BA.
  
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata sesebuah pakatan yang dibentuk tidak sepatutnya tertumpu kepada ketokohan seseorang pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai matlamat akhir yang sama.
  
"Dalam konteks PR, memang benar Anwar adalah gam yang menyatukan tiga parti dan tanpanya, pakatan akan berpecah. Persoalannya, sampai bila nak guna Anwar?," katanya.
  
Keretakan bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan Pas di Sabah dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi masih kekal bekerjasama dengan Pas.
  
Pas kemudian menerusi satu usul tergempar Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas pada Muktamar tahunan Pas ke-61 pada awal bulan ini.
  
Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan muktamar Pas untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.
  
Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada keesokan hari mengakui PR tidak lagi berfungsi secara formal.
  
Penganalisis politik berpendapat bahawa kewujudan PR yang longgar belum mampu membentuk pakatan atau gabungan yang mantap untuk menjadi parti alternatif kepada BN.
     
Mohd Izani berkata, kemungkinan untuk Pas-DAP 'berbaik' itu ada kerana ia melibatkan soal strategi politik yang akan menentukan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.
  
Jika kemungkinan 'berbaik' itu ada, apakah yang berlaku ketika ini satu drama sekadar untuk menarik perhatian umum?
  
"Pas menerima hakikat bahawa kerjasama politik adalah penting dan sebab itulah walaupun mereka memutuskan hubungan dengan DAP, (tetapi) mereka masih nak kekal bekerjasama dengan PKR.
  
"Pas juga tidak mustahil bekerjasama semula dengan DAP sekurang-kurangnya dengan membentuk pakatan pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara (BN, Pas dan DAP)," katanya kepada Bernama.
  
Ibarat cinta tiga segi, pastinya yang tersepit dalam hubungan ini ialah PKR yang sudah tentu memerlukan Pas dan DAP untuk memastikan parti itu terus mendapat laba hasil daripada kerjasama politik itu.
  
Bekas Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali pada 18 Jun lepas dilapor sebagai berkata Pas tidak boleh bergerak sendirian jika tidak bersefahaman dengan rakan pakatan pembangkang lain untuk merealisasikan hasrat menumbangkan kerajaan BN, lantas merampas Putrajaya.
  
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lepas menegaskan PR masih wujud dan belum berkubur biar pun rakan sekutunya DAP mengisytiharkan pakatan itu tidak lagi wujud.
  
Pensyarah itu berkata apa jua keputusan yang dihasilkan ketika muktamar cerminan suara akar umbi Pas.
  
"Jangan pandang rendah terhadap mereka (akar umbi). Mereka ini sangat mengambil berat akan hala tuju dan jati diri Pas," katanya.
     
Mohd Izani melihat sekali pun diwujudkan pakatan pembangkang yang baharu, jika konsep 'equal partner' masih lagi digunakan, ia tidak akan mampu membentuk pakatan yang kukuh.
  
'Equal partner' merujuk kepada pemberian kerusi menteri besar kepada PKR dalam konteks Selangor meskipun kerusi Dun tertinggi dimiliki Pas dan DAP, masing-masing memiliki 15 daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi Dun.
  
PKR pula hanya memiliki 13 kerusi, BN (12) dan Bebas (satu). Selain Selangor yang diterajui PKR, Kelantan dikemudi oleh Pas dan Pulau Pinang ditadbir DAP.
  
Bagi Dun Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DAP menguasai 19 kerusi, PKR (10), BN (10) dan Pas (satu) manakala Dun Kelantan yang mempunyai 44 kerusi, 31 daripadanya dikuasai Pas, BN (12) dan PKR (satu).
  
"Ternyata konsep equal partner tidak berjaya dalam PR," kata Mohd Izani.  
  
Beliau menegaskan bahawa meskipun tanpa Pas, cadangan penubuhan sebuah parti politik baharu oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai idea pembentukan pakatan pembangkang yang baharu oleh DAP tidak mampu membentuk pakatan yang jitu.
  
"PasMa adalah parti serpihan Pas dan tidak akan boleh bertahan lama. Ia sekadar mampu menjadi platform mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas sahaja.
  
"PasMa memang mudah untuk menjalinkan kerjasama, tetapi persoalannya, bagaimana pula dengan akar umbi Pas? DAP dan PKR pun sangat bergantung dengan jentera dan tenaga kerja Pas. Sebab itu pakatan pembangkang perlukan model kerjasama politik yang kukuh," katanya.
  
Beliau menegaskan walaupun amat sukar diterima, hakikatnya DAP masih memerlukan Pas memandangkan teras politik negara adalah orang Melayu. – Bernama 

Loya tekak jamah lauk berbuka

Posted: 25 Jun 2015 01:25 AM PDT


SABAK BERNAM – Hasrat seorang wanita untuk berbuka puasa dengan menjamah makanan yang dibeli kakaknya di Bazar Ramadan Sungai Besar terbantut selepas tiga jenis makanan itu didakwa berbau busuk.
 
Fatin Elyanie Mohd Anuar, 24, berkata, dua jenis lauk iaitu ikan keli masak cili api dan ikan tilapia masak tumis masing-masing dibeli dari premis sama, manakala laksa pula di premis berasingan.
 
Katanya, makanan yang dibeli kira-kira jam 6 petang di bazar itu dibawa pulang ke rumah untuk juadah berbuka puasa mereka sekeluarga, bagaimanapun tekaknya tiba-tiba berasa loya sebaik menjamah makanan berkenaan.
 
"Memang teruja nak makan ikan keli dan tilapia pada waktu berbuka, tapi sebaik lauk itu dikunyah, saya nak termuntah sebab rasa lembik dan bau busuk," katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurutnya, dia kemudiannya mencuba untuk menikmati juadah laksa, namun hilang selera makan selepas makanan itu berbau hanyir dan busuk.
 
"Kami amat kecewa dengan sikap peniaga yang lebih pentingkan keuntungan daripada jaga kualiti makanan yang dijual. Mungkin mereka beli ikan lama yang lebih murah untuk dimasak sebelum jualnya kepada pelanggan," katanya.
 
Fatin Elyanie berkata, Pejabat Kesihatan Sabak Bernam dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) diharap menjalankan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dan bertindak terhadap peniaga terbabit.
 
"Pengusaha makanan perlu peka terhadap kualiti produk yang dijual walaupun berniaga di bazar Ramadan.
 
Sikap penjual macam ini tak boleh dibiarkan dan kita harap pihak berkuasa pandang serius perkara ini," katanya.
 
Menurutnya, keadaan itu jika tidak dibendung dikhuatiri boleh menyebabkan keracunan makanan kepada pembeli lain yang menikmati hidangan tersebut
 
"Kami pengguna ada hak sebab dah bayar untuk beli makanan. Janganlah terlalu kejar keuntungan sampai makanan yang dijual tercemar dan boleh beri kesan kepada kesihatan pelanggan," katanya.
 
 

Setahun berlalu madrasah MUTQAN masih tiada bangunan

Posted: 25 Jun 2015 01:17 AM PDT

HAZAWANI ARIFFIN
 
 
angkat tilam
Sudah menjadi rutin harian pelajar mengemas tilam setiap pagi kerana bilik yang sama akan digunakan sebagai kelas untuk mereka belajar - Foto TRP/Azrol Ali



SHAH ALAM- Walaupun sudah genap setahun berlalu, kerja-kerja membina semula Sekolah Tahfiz Wa Ta'alim Al-Islamiyyah (MUTQAN) yang musnah akibat kebakaran masih tergendala kerana pihak pengurusan madrasah masih belum dapat mengutip dana yang mencukupi.


Buat masa ini, kos untuk pembinaan bangunan yang mencecah sehingga RM700,000 itu masih tidak dikumpul malah mereka mendakwa tidak mendapat perhatian dan bantuan dari mana-mana pihak yang bertangungjawab.

Menurut Pengetua sekolah tahfiz berkenaan, Muhammad Redhuwan Zaini, Jabatan agama Islam Selangor (JAIS) tidak dapat memberi bantuan kerana sekolah berkenaan belum mendapat pengiktirafan jabatan itu.

"Sebenarnya sebelum ini, kami telah menyiapkan borang dan menghantar kepada JAIS tetapi ia dipulang semula atas alasan maklumat yang dikehendaki tidak lengkap.

"Setelah bangunan sekolah disiapkan, pihak kami sekali lagi menghantar borang kepada JAIS namun tiada wakil yang datang menemui kami disini sehinggalah berlakunya kebakaran.

"Kami juga tidak dimaklumkan oleh JAIS kenapa borang itu dipulangkan, malah bila dihubungi tiada yang memberi respons. Kami cuma diberitahu pengiktirafan akan diberi jika bangunan sekolah dapat disiapkan," katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Kini mereka di dalam dilema. Untuk mendapatkan bantuan, mereka perlu mendapatkan pengiktirafan dan untuk mendapatkan pengiktirafan JAIS itu mereka perlu ada bangunan sekolah, sedangkan bangunan tidak dapat dibina kerana mereka kekurangan dana.

Kerosakan yang teruk akibat kebakaran itu melibatkan asrama di mana pelajar-pelajar terpaksa tidur berhimpit di bilik yang sempit dan hanya beralaskan tilam untuk tidur. Malah, tenaga pengajar juga terpaksa tidur berhimpit bersama pelajar.

Selain asrama pelajar, pejabat pengurusan, bilik guru dan kantin turut musnah.

"Di dalam bilik sempit inilah para pelajar akan tidur, bersalin pakaian serta berbuka puasa dan juga sahur.

"Semasa berbuka puasa pula, kami perlu membayar pihak masjid untuk menyediakan juadah berbuka kepada pelajar, tetapi jika ada tajaan dari mana-mana pihak kami akan memberitahu pihak masjid untuk tidak memasak bagi menjimatkan kos pembelanjaan," jelasnya.
madrasah2
Pelajar-pelajar membaca doa sebelum memulakan sesi persekolahan mereka setiap pagi. – Foto TRP/Azrol Ali
Ramai pelajar madrasah datang dari keluarga susah maka ada yang gagal membayar yuran bulanan tepat pada masanya dan bagi mengurangkan kos pembelanjaan, para pelajar terpaksa mengutip sumbangan orang ramai di masjid berhampiran.

"Pihak masjid banyak membantu dalam memberi sumbangan namun ianya masih tidak mencukupi, sebab itu pada setiap hari Jumaat para pelajar akan mengutip sumbangan di masjid-masjid sekitar kawasan.

"Bagi meringankan beban, pihak masjid melantik para pelajar menjadi imam dan bilal di masjid berhampiran dan mengutip sumbangan apabila selesai khutbah Jumaat bagi membolehkan mereka membayar yuran bulanan," tambah beliau.
madrasah
Sesi pembelajaran dilakukan seperti biasa walaupun dalam serba kekurangan – Foto TRP/Azrol Ali
Beliau berkata bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban pelajar atau membantu membina sekolah mereka, bolehlah disalurkan terus kepada pihak masjid Al-Fallah atau melalui akaun masjid.

Bagi sesiapa yang ingin menderma bolehlah menghubungi Muhammad Redhuwan di 013-4749002 atau salurkan sumbangan ke pusat pendidikan Al-Fateh di akaun Maybank 560214058216

Skandal Rasuah Mara: PM Perlu Bertanggungjawab - Pemuda PAS

Posted: 25 Jun 2015 01:04 AM PDT

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
Khairil Nizam Khirudin
 
 
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab terhadap dakwaan rasuah berhubung pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia pada 2013.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata perdana menteri perlu bertanggungjawab dalam isu tersebut ekoran urusniaga berkenaan mendapat kelulusan Majlis Ekonomi.

"Pemuda PAS juga mendesak Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal iaitu kementerian yang mengawal selia agensi Mara dan Pengerusi Mara sendiri, Tan Sri Annuar Musa untuk turut mengambil tanggungjawab atas kes skandal rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi kerajaan ini," katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan rasuah seperti didedahkan akhbar Australia, The Age yang melaporkan pegawai Malaysia yang mempunyai hubungan dengan Mara telah membayar lebih daripada harga jualan sebenar bagi sebuah apartmen lima tingkat di Melbourne.

Lebihan bayaran kepada pemaju, Dudley International House itu ialah RM13.8 juta.

Mengulas lanjut Khairil Nizam turut meragui siasatan dalaman yang dijalankan Mara berhubung dakwaan yang didedahkan akhbar harian Australia, The Age itu.

"Dewan Pemuda PAS Pusat berpandangan adalah tidak memadai jaminan audit dan siasatan dalaman yang sedang dijalankan oleh Mara terhadap anak syarikatnya sendiri.

"Kes itu sememangnya sudah dalam pengetahuan pihak pengurusan tertinggi Mara seperti yang diakui oleh Tan Sri Annuar cuma, baru sekarang ia menjadi heboh apabila akhbar The Age membuat pendedahan eksklusif berkenaan kes ini," katanya.

Pada Rabu, Annuar menerusi sidang media khas berkata, Mara mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd, berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Annuar berkata proses audit di samping siasatan SPRM, kedua-duanya yang bermula sejak beberapa minggu lepas, masih berjalan.

Mangsa banjir Kelantan terima rumah

Posted: 25 Jun 2015 01:00 AM PDT

THE RAKYAT POST


rumah prudence
Yayasan Prudence menyumbangkan rumah yang telah disiapkan kepada mangsa banjir di Kelantan - Foto ihsan Prudence 



KUALA LUMPUR - Sejumlah 14 buah keluarga yang kehilangan rumah ekoran bencana banjir teruk Disember tahun lalu bakal menyambut Aidilifitri di rumah baru mereka.


Rumah baru ini berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan hasil bantuan sukarelawan dari Prudence Faoundation bersama perusahaan sosial EPIC Homes.

"Walaupun bantuan kewangan segera amat penting sewaktu bencana alam, Prudence Foundation berusaha memanjangkan usaha kami untuk membantu masyarakat yang terjejas supaya mampu menjalani semula hidup seperti sediakala dengan secepat mungkin.

"Apabila banjir melanda Pantai Timur – antara yang terburuk dalam sejarah Malaysia – ia bukan persoalan sama ada kita perlu membantu tetapi bila dan bagaimana bantuan dapat dihulurkan," kata Pengarah Eksekutif Prudence Foundation, Marc Fancy.

"Kami berterima kasih kepada rakan kami di EPIC Homes atas usahasama ini yang bukan saja membolehkan kami membina semula rumah mangsa banjir malah turut memberikan mereka harapan seterusnya membawa perubahan."

Rumah berkenaan dibina dalam tempoh sebulan melibatkan 380 orang sukarelawan dan telah siap pada 11 Jun yang lalu.

Setiap rumah dikatakan mengambil masa empat hari untuk disiapkan.

Rumah yang dibina menelan belanja sebanyak RM1 juta dan ditaja sepenuhnya oleh Prudence Foundation.

Rumah berkenaan direka oleh EPIC dengan menitik beratkan ciri-ciri kemampanan dan ketahanan untuk menghadapi banjir.

"Setiap rumah dua tingkat yang dibinan mampu bertahan dalam keadaan banjir setinggi 1.2 meter dengan menggunakan sistem asas yang lebih kukuh," memetik kenyataan Marc Fancy.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob juga dikatakan telah melawat kawasan kampung berkenaan dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan kepada rakyat negeri Kelantan itu.

Banjir besar hujung tahun lalu merupakan banjir yang terburuk di dalam sejarah Malaysia yang mana ianya turut meragut nyawa manusia.

Bagaimanapun, tidak smeua dari mangsa banjir di Kelantan yang kini mempuyai kediaman setelah rumah mereka musnah dibawa arus deras banjir.

Ada diantara mangsa-mangsa banjir yang masih lagi berteduh di dalam khemah dan menyambut Ramadan tanpa rumah.


2 maut ditembak individu tak dikenali

Posted: 25 Jun 2015 12:56 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SERI KEMBANGAN: Dua lelaki maut ditembak ketika sedang menghantar kad undangan di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Serdang Jaya 2/20, Seri Kembangan, Selangor, malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Serdang Daerah ACP Razimi Ahmad berkata kejadian yang berlaku pada pukul 9.20 malam itu melibatkan seorang ejen insurans dan seorang mekanik kereta, kedua-duanya berumur 25 tahun.
 
Beliau berkata kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal ketika itu dalam perjalanan hendak menghantar kad undangan perkahwinan mangsa yang bekerja sebagai mekanik, namun tiba-tiba telah dihalang sebuah motosikal yang ditunggangi dua individu tidak dikenali. 
 
"Suspek melepaskan sebanyak lima das tembakan jarak dekat ke arah kedua-dua mangsa.
 
"Mangsa pertama telah ditembak pada bahagian dada dengan dua das tembakan, manakala mangsa kedua telah ditembak di bahagian perut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
 
Razimi berkata suspek yang berpakaian t-shirt hitam kemudian melarikan diri dan hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemukan 5 kelongsong peluru berhampiran dengan motosikal mangsa.
 
"Suspek tidak dikenal pasti kerana memakai topi keledar berpenutup penuh. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya. 
 
Sementara itu, seorang rakan baik mangsa, M. Murali, 27, berkata hajat kawan baiknya berkahwin pada 4 Julai ini tidak kesampaian akibat kejadian itu.
 
"Saya mengenali kedua-dua mangsa sebagai seorang yang peramah dan ramai kawan... saya tidak sangka bahawa mereka mempunyai musuh," katanya. 
 
Seorang lagi saksi kejadian iaitu pemilik sebuah kedai makan yang dikenali sebagai Chong, 37, berkata beliau terdengar beberapa das tembakan ketika sedang sibuk melayan pelanggan.
 
"Saya terlihat dua orang suspek melarikan diri selepas melepaskan tembakan ke arah mangsa namun tidak dapat melihat muka suspek kerana keadaan ketika itu gelap," katanya.
 
 

Pilih kerjaya, jawatan yang boleh cepat ke syurga, Shahidan sampaikan tazkirah

Posted: 24 Jun 2015 07:36 PM PDT

THE RAKYAT POST

Saya jadi menteri kerana mahu cepat masuk syurga, kata Shahidan pada Rabu ketika menyampaikan tazkirah kepada pemberita yang hadir pada majlis berbuka puasa bersama media di PWTC. - Foto arkib TRP/Adib Hakim
Saya jadi menteri kerana mahu cepat masuk syurga, kata Shahidan pada Rabu ketika menyampaikan tazkirah kepada pemberita yang hadir pada majlis berbuka puasa bersama media di PWTC. - Foto arkib TRP/Adib Hakim



KUALA LUMPUR-  Pilihlah apa juga kerjaya sekalipun dan peganglah apa sahaja jawatan asalkan ia tidak membawa kita ke neraka – itu nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini.

"Saya jadi menteri kerana mahu cepat masuk syurga," kata Shahidan.

"Kalau kita pegang apa-apa jawatan yang menyebabkan kita pergi ke 'sebelah' syurga (neraka), jangan pegang jawatan tersebut.

"Buat apa sahaja dalam kehidupan yang bolehkan kita cepat pergi syurga," katanya ketika menyampaikan tazkirah ringkas selepas Majlis Berbuka Puasa bersama media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Beliau turut mengingatkan pemberita supaya menjalankan tanggungjawab secara yang membolehkan mereka masuk ke syurga.

"Kenapa kamu jadi pemberita? Kalau jadi pemberita masuk syurga, kamu cepat masuk syurga, terus jadi pemberita.

"Tetapi kalau kamu cepat pergi 'sebelahnya', jangan jadi pemberita," kata Shahidan sambil mengingatkan semua hadirin agar membanyakkan berdoa sempena bulan Ramadan kerana Allah dikatakan membuka pintu langit dan memakbulkan permintaan umatnya pada bulan ini.

"Allah membuka pintu langit untuk kita berdoa dan berdoalah bersungguh-sungguh. Ini adalah peringatan Allah kepada kita semua," katanya.


Akibat bertengkar tidak puasa, abang maut ditangan adik

Posted: 24 Jun 2015 07:28 PM PDT

THE RAKYAT POST


pisau
Seorang lelaki maut akibat cedera parah di leher selepas dilibas dengan pisau oleh adik lelakinya dalam kejadian di Jalan Orkid, Batu 8 Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini, petang Rabu.



KUALA LANGAT-  Seorang lelaki maut akibat cedera parah di leher selepas dilibas dengan pisau oleh adik lelakinya dalam kejadian di Jalan Orkid, Batu 8 Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Zailan Tasir berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun dikatakan bertengkar dengan suspek dalam rumah mereka.

"Kejadian bermula apabila mangsa bertengkar dengan adiknya yang berusia 26 tahun disebabkan suspek tidak berpuasa.

"Berikutan itu berlaku pergaduhan antara kedua mereka apabila mangsa bertindak agresif dengan mengambil besi panjang di bahagian dapur dan suspek turut ke dapur mengambil pisau," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Zailan berkata ketika pergaduhan, suspek menyerang abangnya dengan melibas pisau menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di leher kiri.

"Suspek berhenti menyerang mangsa apabila melihat darah mengalir banyak di bahagian leher si mati.

"Akibat kecederaan itu, mangsa keluar dari rumah bersama seorang rakan lelaki dengan memandu Proton Wira milik suspek ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya.

Zailan berkata mangsa, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata polis menahan suspek untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Skuad bola sepak B-14 perempuan alami kekalahan pertama

Posted: 24 Jun 2015 07:23 PM PDT

THE RAKYAT POST


u14afc
Skuad bola sepak remaja perempuan bawah 14 tahun (B-14) Malaysia tumpas 3-5 kepada Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan B.



KUALA LUMPUR-  Skuad bola sepak remaja perempuan bawah 14 tahun (B-14) Malaysia mengalami kekalahan pertama apabila tumpas 3-5 kepada Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Serantau AFC B-14 Bagi Zon ASEAN 2015 di Padang YFTC di Hanoi, Vietnam semalam.


Penyerang Nguyen Thi Thu Hien muncul wira pasukan tuan rumah apabila menyempurnakan hatrik pada minit ke-15, 23 dan 25, manakala dua lagi gol Vietnam dijaringkan Nguyen Thi Thu Huong pada minit ke-2 dan Ngan Thi Van Su pada minit ke-20.

Tiga gol Malaysia dijaringkan oleh Nor Athirah Mamat pada minit ke-38, Alice Mic Michael (minit ke-61) dan Anis Aishah Asiati Raili, (minit ke-64).

Filipina yang tewas 0-3 kepada Vietnam pada perlawanan pembukaan Kumpulan B kelmarin, menghidupkan kembali peluang untuk mara ke separuh akhir apabila mengalahkan Singapura 3-1 semalam.

Malaysia perlu menewaskan Filipina, manakala Vietnam hanya memerlukan seri apabila menentang Singapura pada perlawanan terakhir pusingan awal, hari ini untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Sabtu ini.

Sementara itu, juara bertahan Thailand meraih kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan A setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kemboja, hasil jaringan Anupha Noinueai pada minit ke-59.
Myanmar juga mencatat kemenangan kedua selepas menumpaskan Laos 4-1 pada satu lagi aksi Kumpulan A.

Kemenangan kedua berturut-turut oleh Thailand dan Myanmar itu menyaksikan kedua-dua pasukan hampir pasti menempah slot ke separuh akhir pada kejohanan tahunan itu.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas daripada Kumpulan A dan B mara ke perlawanan separuh akhir.


Kedai karpet di Nilai 3 musnah terbakar

Posted: 24 Jun 2015 03:56 PM PDT

Kilang karpet di Nilai 3 musnah terbakar
 
 
NILAI - Sebuah kedai menjual karpet di Nilai 3 di sini musnah apabila terlibat dalam kebakaran lewat petang tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang itu, telah memusnah hampir 90 peratus kedai karpet tersebut.

Sehingga kini pihak bomba masih lagi tidak dapat mengesan ada mangsa atau tidak dalam kedai itu, berikutan asap yang sangat tebal.

Kerja-kerja pemadaman api masih lagi dijalankan sehingga sekarang.

Sistem MERS999 mesti berupaya jejaki pemanggil

Posted: 24 Jun 2015 03:53 PM PDT

SINAR HARIAN


SKMM Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

 
KUALA LUMPUR - Sistem Respons Kecemasan Malaysia 999 (MERS999) mesti berupaya menjejaki dengan tepat si pemanggil bagi memberikan bantuan segera.

Justeru, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, kerjasama semua syarikat telekomunikasi (telco) adalah diperlukan dalam memastikan keberkesanan sistem itu.

"Isu ini berbangkit apabila data untuk menjejaki si pemanggil tidak tersedia oleh pihak telco.

"Ketika ini, telco hanya membenarkan perkhidmatan berkenaan mempunyai akses kepada alamat berdaftar si pemanggil, dan sering kali tidak memadai dalam situasi-situasi kecemasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halim berkata, pihaknya memahami alasan kompetitif pihak telco untuk tidak mengeluarkan data kepada pengendali MERS999, iaitu TM Berhad.

Bagaimanapun, katanya keselamatan rakyat Malaysia, terutama apabila nyawa-nyawa boleh diselamatkan, harus diutamakan.

MERS999 merupakan inisiatif oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan TM Berhad supaya panggilan kecemasan tergabung ke satu nombor tunggal 999 yang menghubungkan panggilan kecemasan dari Pusat Respons MERS999 kepada Pusat Penghantaran Agensi Kecemasan, pengendalian dan penyenggaraan  Sistem MERS999. - Bernama

Gadis dirogol tiga lelaki

Posted: 24 Jun 2015 03:50 PM PDT

Rogol Sekadar gambar hiasan
 
 
SUBANG JAYA - Tindakan seorang gadis berusia 15 tahun menerima pelawaan tiga lelaki untuk bersiar-siar mengundang padah apabila dia dirogol secara bergilir-gilir di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa  dikatakan duduk di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Petaling Jaya sebelum didatangi tiga lelaki termasuk satu pasangan kembar.

Sumber berkata, suspek bersembang selama beberapa jam dengan mangsa sebelum mengajaknya bersiar-siar menaiki sebuah kereta jenis Myvi.

Mangsa bersetuju dan dibawa ke sebuah hotel di Subang Jaya kira-kira jam 4.15 pagi, suspek mendaftar masuk dan membawa mangsa ke sebuah bilik.

"Tiba di bilik, seorang daripada suspek terus membuka baju serta seluar mangsa, sementara dua rakan suspek menunggu di luar," katanya.

Setelah selesai, pasangan kembar yang menunggu di luar pula masuk dan merogol mangsa secara bergiir-gilir tanpa belas kasihan.

"Kesemua mereka tidak mempedulikan jeritan mangsa, disebabkan tidak bermaya mangsa tidak mampu melawan perbuatan suspek terhadapnya," kata sumber itu.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, polis berjaya memberkas ketiga-tiga suspek untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa.

Tangkapan dibuat terhadap ketiga-tiga suspek namun selepas beberapa hari, mangsa menarik balik laporan dibuat.


Pas terus sokong Azmin sebagai MB

Posted: 24 Jun 2015 03:45 PM PDT

SINAR HARIAN


Iskandar Abdul Samad Iskandar
 
 
SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor dan komited untuk terus menjalinkan kerjasama akrab dengan rakan parti komponen PR.

Pesuruhjaya Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin harus dipertahankan bagi memastikan segala agenda pembangunan dan kebajikan negeri dapat diteruskan.

"Hari ini Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan menyatakan harapan agar kerajaan PR Selangor terus dipertahankan kerana ia adalah kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

"Sehubungan itu, ingin saya tegaskan di sini bahawa kami Exco-exco Pas Selangor dan Adun Pas Selangor menyokong penuh Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor," katanya dalam kenyataan di sini.

Iskandar yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerjasama akrab Pas Selangor dengan rakan-rakan komponen PR akan diteruskan bagi memastikan amanah yang diberikan rakyat, tidak dikhianati dan tanggungjawab terhadap mereka dapat ditunaikan.

Kenyataan Iskandar itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi hari ini yang mengarahkan semua Adun Pas di Selangor memberi sokongan kepada Mohamed Azmin demi mempertahankan kerajaan negeri.

"Ingin saya tegaskan bahawa kerjasama Pas dengan komponen dalam PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

"Sehubungan itu juga, Pas Pusat telahpun memberi arahan kepada Iskandar selaku Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga anggota exco untuk arahkan seluruh Adun  Pas Selangor supaya terus bersama dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi meneruskan khidmat kepada rakyat, seterusnya mengekalkan  kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini," kata Abdul Hadi.

Hubungan Pas dengan rakan komponennya dalam PR iaitu DAP ibarat 'retak menanti belah' ekoran tindakan DAP mengisytiharkan PR tidak lagi wujud selepas mendakwa keputusan yang dibuat Muktamar Pas sebelum ini untuk memutuskan hubungan dengan DAP, telah 'membunuh' pakatan itu. - Bernama


Isu obesiti di kalangan tentera, polis

Posted: 24 Jun 2015 03:43 PM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang senator menggesa bagi diwajibkan pemeriksaan fizikal lebih kerap dalam kalangan anggota tentera dan polis, menyatakan masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan mereka perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib.

Datuk Norliza Abdul Rahim berkata seorang doktor yang pernah berkhidmat dalam tentera pernah memberitahunya tentang masalah obesiti dalam kalangan anggota dan kematian mereka akibat sakit jantung.

Masalah kegemukan dan obesiti telah menyukarkan anggota keselamatan untuk menunaikan tanggungjawab dengan cekap, cepat dan efisien termasuk untuk menangkap penjenayah, katanya ketika membahaskan Usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Negara semalam.

Katanya sehubungan itu Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan setiap anggota keselamatan mempunyai berat badan ideal dan kekal cergas serta sihat dalam tugasan harian.

Norliza turut menyentuh isu perumahan yang membebankan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan dengan projek perumahan ketika ini tidak
menyediakan rumah mencukupi untuk golongan tersebut.

"Sekarang ni tiada rumah bersesuaian untuk mereka. Pemaju membina rumah mahal, jadi bagaimana golongan ini mampu membelinya sekiranya rumah mampu milik tidak dibina dengan begitu banyak.

"Golongan ini amat bermasalah dalam isu perumahan, sering tertindas dan tidak mampu kerana rumah semakin mahal namun perhatian daripada kerajaan tidak diberikan," katanya. - Bernama


 

Siasatan rompakan Orkim Harmony siap 50 peratus

Posted: 24 Jun 2015 03:38 PM PDT

 
Baki 50 peratus lagi akan siap selepas lapan perompak yang ditahan pihak berkuasa Vietnam diektradisi ke negara ini.


Ahmad Puzi,kapal



PUTRAJAYA: Siasatan terhadap kes rompakan melibatkan kapal tangki Orkim Harmony telah siap 50 peratus.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, antara yang disiasat itu termasuk krew dan anak.

"Baki 50 peratus lagi kita kena tunggu selepas lapan orang yang ditangkap oleh pihak berkuasa Vietnam itu diekstradisi ke Malaysia," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Ahmad Puzi berkata, senarai dalang rompakan itu juga telah disenarai pendek oleh pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia.

"Kita telah perkecilkan dua tiga orang dalang yang terlibat dalam kes rompakan kapal ini.

"Kita sedang meneliti pergerakan dan kewarganegaraan mereka selain menyiasat sama ada mereka yang berkenaan mempunyai kaitan dengan kes rompakan kapal sebelum ini," katanya.

Lim Kit Siang didakwa jarang lawat kawasan

Posted: 24 Jun 2015 03:32 PM PDT

 
Penduduk di Gelang Patah tercari-cari Lim Kit Siang selepas menang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.


kit-siang-hahazrin



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gelang Patah yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang didakwa jarang turun padang dan kerap hilang.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim berkata, penduduk di Gelang Patah tercari-cari Kit Siang selepas menang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 yang lalu.

"Penduduk Gelang Patah sendiri kini mempersoalkan di manakah Kit Siang selepas menang di kerusi Parlimen ini pada PRU yang lalu.

"Dia sendiri 'hilang' dari kawasan menyebabkan penduduk Gelang Patah tercari-cari bayangnya," katanya seperti dilaporkan UMNO-Online.

Hahasrin berkata, dengan sikap yang ditunjukkan Kit Siang itu, DAP boleh melupakan angan-angan untuk menawan Johor pada PRU14 akan datang.

Katanya, dakwaan Kit Siang bahawa Johor bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) hanyalah angan-angan kosong parti itu.

Katanya, ia hanyalah taktik psikologi memandangkan parti pembangkang ketika ini diibarat seperti telur di hujung tanduk yang menunggu masa untuk berpecah.

Dia yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir Johor selepas PRU14 kerana telah memerintah dengan baik khususnya dalam menyediakan rumah mampu milik dan menyelesaikan isu tanah.

"Pembangunan juga berjalan dengan baik dan pesat walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya.

Kerajaan belum putuskan kenaikan tol

Posted: 24 Jun 2015 03:29 PM PDT

 
Perbincangan perlu mengambil kira kesannya kepada kedudukan ekonomi negara. 


fadillah_tol_600



KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat keputusan kemungkinan kadar tol dinaikkan di beberapa lebuh raya mengikut Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada Kabinet.

"Kenaikan perlu dibincangkan dan diluluskan Kabinet, Ia perlulah dikaji mengikut kesannya kepada kedudukan kewangan negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Getah Malaysia pada Rabu.

Akhbar Berita Harian baru-baru ini melaporkan kadar tol di 16 lebuh raya akan dinaikkan pada Ogos ini melibatkan kenaikan antara 20 sen sehingga RM1.

Mengikut Perjanjian Konsesi, kadar tol perlu dikaji setiap tiga tahun dan mengikut perjanjian itu, kadar tol sedia ada akan tamat Ogos ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sebelum ini menjangkakan hanya lebuh raya tertentu akan mengalami kenaikan kadar tol kerana kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan dalam Bajet 2015 untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.

Tiada ulasan: