Ahad, 24 Mei 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Wan Azizah Berkeras Tubuh Kabinet Bayangan Pakatan

Posted: 24 May 2015 06:35 AM PDT

RAKYATNEWS


alt


 
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP berhubung cadangannya mewujudkan kabinet bayangan pakatan berkenaan.

Beliau berkata ia adalah bagi memberi gambaran jelas kepada ketiga-tiga parti itu bahawa cadangan untuk membuat pemilihan anggota kabinet bayangan yang diumumkannya Isnin lepas adalah idealistik.

"Kita wujudkan kabinet bayangan sebab tiada prasarana dalam Parlimen untuk berbuat demikian dan akan bincang dalam masa terdekat.

"Disebabkan itu juga DAP, PAS dan PKR akan diberi peluang untuk ada jurucakap sendiri bagi portfolio tertentu," katanya kepada pemberita selepas siri dialog Darul Ehsan bertajuk 'PRK Permatang Pauh dan Masa Depan Politik Malaysia' di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini yang menyifatkan kewujudan kabinet bayangan oleh Anggota Parlimen Permatang Pauh itu sebagai tidak relevan.

Susulan itu, DAP memilih untuk menubuhkan kabinet bayangan sendiri dengan mengumumkan senarai 18 portfolio yang akan diisi anggota Parlimen parti berkenaan.

Terdahulu, Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR, dalam ucapan aluannya pada sesi dialog tersebut ibarat bersetuju dirinya bukan calon paling layak memegang jawatan Ketua Pembangkang.

"Sepatutnya, Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang pegang jawatan itu (Ketua Pembangkang) kerana DAP memegang majoriti kerusi dalam Parlimen," katanya.

Ketika ditanya sebab beliau dipilih, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu  enggan mengulas lanjut dan sekadar memberi alasan beliau adalah Presiden PKR serta diberi laluan oleh pemimpin pakatan pembangkang lain. Bernama


Guan Eng: Hadi Hilang Akal, Keluar Dari Pakatan

Posted: 24 May 2015 06:32 AM PDT

RAKYATNEWS


Lim Guan Eng


 
KUALA LUMPUR - DAP hari ini menyatakan serangan terhadap partinya oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini boleh dijadikan alasan bagi parti Islam itu untuk menyertai UMNO.

Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang juga mendakwa Hadi kini sudah hilang akal dan perlu meninggalkan Pakatan Rakyat dengan segera.

"Semua tuduhan itu tidak berasas dan tidak masuk akal. Ia kelihatan seolah-olah seperti satu usaha mencari alasan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno-BN.

"Sekiranya beliau hendak membentuk kerajaan perpaduan dengan mereka, silakan. Tetapi jangan menyerang dan membuat tuduhan palsu terhadap DAP," katanya lapor The Malaysian Insider.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang, mengulas komen Hadi semalam mengatakan PAS bersedia memutuskan hubungan dengan DAP berikutan langkah DAP mengumumkan menubuhkan kabinet bayangannya sendiri tanpa dianggotai PAS dan PKR.

Hadi berkata, kabinet bayangan DAP tidak realistik, dan memberitahu parti itu ia tidak boleh sekadar melindungi kepentingan kelompok tertentu.

DAP sebelum ini memutuskan hubungan dengan Hadi, walaupun masih mengekalkan hubungan kerja dengan PAS.


'Saya Tak Boleh Hidup di Malaysia Jika Hudud Dilaksanakan' - Marina Mahathir

Posted: 24 May 2015 06:22 AM PDT

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR  - Aktivis sosial, Marina Mahathir berkata akan meninggalkan negara ini, sekiranya Malaysia melaksanakan Hudud di bawah undang-undang Syariah Islam.

"Saya tidak boleh hidup di negara di mana manusia mahu memotong tangan manusia lain, atau mahu merejam manusia dengan batu sehingga mati, saya minta maaf.

"Saya tidak akan tinggal di negara Arab Saudi, misalnya. Saya tidak mahu tinggal di negara di mana hukum ini adalah polisi negara tersebut," katanya kepada pemberita dalam satu sesi temu bual diadakan seperti yang dilaporkan portal Malay Mail

Matlamat perlaksanaan undang-undang syariah dan hukum Hudud telah dikemukakan oleh PAS setelah dipengaruhi oleh pemimpin-pemimpin Islam dan ulama terkenal. Untuk itu, Presiden Parti PAS, Abdul Hadi Awang telah memohon untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hukuman hudud dilaksanakan di Kelantan seperti yang telah dipinda dalam enakmen negeri baru-baru ini dalam undang-undang syariah.

Hadi berkata, baru-baru ini beliau bercadang untuk bertemu dengan pemimpin Barisan Nasional bagi membincangkan perlaksanaan hudud di Kelantan.

Penggubal undang-undang UMNO Negeri menyokong negeri Kelantan melakukan pindaan pada bulan Mac, manakala PAS bersepakat untuk membentuk "kerajaan perpaduan" bersama UMNO tetapi Barisan Nasional masih belum mengambil pendirian tegas mengenai pindaan perlembagaan tersebut.

Kontroversi hudud telah menyebabkan keretakan dalam parti Pakatan Rakyat, dimana parti DAP mendakwa PAS telah menentang prinsip parti sebagai melanggar keputusan sekular Perlembagaan.

Marina yang juga anak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu pengalamannya bertemu dengan rakyat Iran berstatus kelas pertengahan hidup dalam keadaan terbuang di New York akibat dari amalan agama yang agresif dalam kelompok manusia sekular selepas hak-hak wanita diketepikan selepas Iran menjadi sebuah negara Islam.

"Pada saya, saya tidak mahu menjadi seperti itu, saya tidak mahu menjadi rakyat yang terbuang. Dengan itu, saya sentiasa berfikir tidak mengapa, saya akan tinggal dan tetap akan berjuang," katanya. Walau bagaimanapun dia akan berhijrah jika hudud tetap mahu dilaksanakan, lapor Malay Mail Online.

Keazaman beliau untuk terus berjuang demi hak-hak wanita adalah berikutan didikan yang diterima ketika dibesarkan untuk sentiasa jujur dan bertimbang rasa terhadap orang lain, "untuk berkata sesuatu atau melakukan sesuatu sekiranya saya melihat ia adalah salah".

"Ia adalah satu bentuk ibadah. Ia adalah bagaimana saya menjalani hidup saya sebagai seorang Islam," katanya, "ia bukan hanya sekadar amalan, ia adalah tindakan dan cubaan untuk melakukan kebajikan, untuk menjadi bertimbang rasa dan memastikan keadilan."


SPRM : Lapor Segera Kes Rasuah Tanpa Rasa Takut

Posted: 24 May 2015 06:21 AM PDT

RAKYATNEWS


alt
 


TAWAU  - Orang ramai diminta segera melaporkan apa sahaja maklumat kes rasuah yang berlaku di tempat masing-masing tanpa ada perasaan takut kerana identiti mereka tidak akan sesekali didedahkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali, berkata perkara itu penting bagi mengurangkan salah laku jenayah rasuah dalam negara.

"Walaupun terdapat masyarakat yang takut menyampaikan maklumat kepada SPRM kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko akan kesan laporan itu, namun mereka tidak perlu risau kerana identiti mereka tidak akan sesekali didedahkan kepada umum.

"Namun pemberi maklumat itu harus bertanggungjawab dengan maklumat yang diberikan kepada SPRM termasuk kualiti dan kesahihannya tanpa ada unsur penganiayaan terhadap seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis menandatangani kerjasama dan sokongan pencegahan rasuah oleh pemimpin masyarakat di Kampung Merotai Besar Tawau, dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Mustafar berkata ia merupakan program turun padang untuk menjelaskan peranan dan tanggungjawab SPRM kepada masyarakat.

"Dalam program ini, kita dapat mendengar pandangan masyarakat di sini tentang kerjasama di antara orang ramai dan SPRM dalam membanteras gejala rasuah," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berharap program itu dapat memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada masyarakat tentang peranan yang dimainkan SPRM.

"Saya berharap menerusi program ini masyarakat khususnya di kawasan Kalabakan dan Tawau mengetahui peranan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada SPRM mengenai rasuah yang berlaku di kawasan mereka," katanya.


Amaran Keras Khairy buat Atlet Sukan SEA

Posted: 24 May 2015 06:19 AM PDT

RAKYATNEWS


 


PUTRAJAYA  - Masa depan atlet dalam program pembangunan sukan akan terjejas sekiranya mereka didapati melakukan kerosakan atau terbabit dalam masalah disiplin semasa menyertai Sukan SEA ke-28 di Singapura, Jun ini.

Amaran keras itu dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan kontinjen negara didenda berjumlah RM146,118 oleh pihak penganjur ketika temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, tahun lalu.

"Kita bukan hanya akan mengambil tindakan terhadap atlet itu sendiri tetapi juga mereka perlu ingat masa depan mereka dalam program pembangunan sukan akan turut terjejas," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan SEA di sini hari ini.

Pada sidang media, beliau berkata perkara yang menjadi kerisauan adalah tuan rumah Singapura tidak menyediakan perkampungan sukan sebaliknya menempatkan atlet di hotel sekitar bandar itu mengikut acara sukan yang disertai mereka.

Katanya keadaan ini menyebabkan atlet lebih terdedah dan lebih mudah untuk terjebak dalam masalah disiplin sekiranya mereka tidak pandai menjaga diri dan maruah negara yang dibawa ketika temasya dwitahunan itu.

"Kita mengambil serius perkara ini kerana tidak mahu ada kerosakan kepada kemudahan dan bilik-bilik penginapan dan sebagainya. Kita mahu supaya atlet Malaysia dapat mewakili negara dengan penuh dedikasi dan bermaruah atas padang dan di luar padang.

"Kali ini atlet menginap di bilik hotel dan Ketua Kontinjen (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) juga telah memberi amaran agar atlet tidak membenarkan orang luar masuk ke bilik penginapan mereka. Bilik-bilik hotel mesti dianggap sebagai kemudahan sukan bagi kita.

"Kita tahu Singapura dekat, dan atlet kena ingat ini bukan cuti-cuti mereka. Kita kena betul-betul monitor sebab kebarangkalian keluarga atau kawan-kawan yang ada Singapura dan kita tidak mahu mereka ini mengganggu atlet yang terbabit dalam temasya ini," katanya.

Beliau turut menegaskan agar semua atlet tidak mengambil sebarang makanan atau ubat-ubatan tambahan tanpa merujuk kepada pakar dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

"ISN dan ADAMAS sudah buat saringan dan semua atlet bebas dan tiada satu pun yang gagal ujian kali ini. Saya mahu jadikan Sukan SEA ini bebas daripada isu doping," katanya.

Sejumlah 658 atlet dan 206 pegawai akan membawa cabaran negara ke temasya Sukan SEA di Singapura bermula 5 hingga 16 Jun ini.

Sebanyak 36 jenis sukan membabitkan 402 acara akan dipertandingkan di temasya Sukan SEA kali ini.

Kontinjen negara mengambil bahagian dalam 35 jenis sukan yang membabitkan 355 acara terdiri daripada 178 acara lelaki, 145 acara wanita dan 12 acara campuran dan terbuka.


LPPR syor petugas khas ditubuh siasat 1MDB

Posted: 24 May 2015 06:13 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sebuah pasukan petugas khas perlu dibentuk bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap pelbagai dakwaan dan tohmahan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
  
Anggota pasukan itu perlu dianggotai oleh kesemua agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia serta Jabatan Audit Negara.
  
Penubuhan pasukan itu perlu kerana SPRM hanya boleh menyiasat kesalahan berkaitan dengan kes rasuah di bawah Akta SPRM 2009, kata Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
  
LPPR merupakan badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.
  
"Susulan penjelasan yang dibuat oleh Pengurusan Tertinggi SPRM kepada LPPR pada mesyuarat bulanan LPPR baru-baru ini, LPPR sebulat suara bersetuju bahawa satu Pasukan Petugas Khas perlu dibentuk bagi menyiasat sama ada kemungkinan wujud sebarang bentuk kesalahan di bawah undang-undang dalam pengurusan 1MDB yang menyebabkan beban hutang yang ditanggungnya mencecah RM42 bilion," kata kenyataan itu.

LPPR menegaskan bahawa penubuhan pasukan petugas khas itu penting bagi satu siasatan yang menyeluruh dikendalikan dan dibawa kepada umum.
  
"Pembentukan Pasukan Petugas Khas pelbagai agensi akan membolehkan satu siasatan terperinci dijalankan apabila Jabatan Audit Negara menyelesaikan semakan pihaknya, yang dijangka akan diumumkan akhir Jun 2015.
  
"Jika wujud sebarang bentuk kesalahan di bawah lunas perundangan, maka agensi-agensi terbabit harus mengambil tindakan sewajarnya mengikut kuasa masing-masing termasuk SPRM di bawah Akta SPRM 2009," menurut kenyataan itu.-Bernama


 

JAIM tahan pelajar tingkatan 3, teman lelaki

Posted: 24 May 2015 06:11 AM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga antara empat pasangan ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Melaka, awal hari ini.
  
Pengarah JAIM Ismail Hamid berkata pelajar sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, Alor Gajah dekat Melaka ditahan bersama teman lelakinya berusia 22 tahun dalam sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Tun Ali pada pukul 2.50 pagi.
  
"Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan JAIM akan memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa dan pihak sekolah pelajar perempuan terbabit," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.
  
Beliau berkata dalam operasi tiga jam melibatkan 10 anggota penguat kuasa JAIM bermula 12 tengah malam tadi, jabatan itu menahan tiga lagi pasangan berumur 22 hingga 34 tahun di hotel berasingan di Kampung Lapan dan Malim di Melaka.
  
"Pasangan tersebut termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia 28 tahun dan pasangannya lelaki Bangladesh berusia 34 tahun yang masing-masing telah berkeluarga," katanya.
  
Ismail berkata kesemuanya ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman/berkurung/bersunyian tanpa nikah yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  
Beliau berkata dalam operasi sama, dua pasangan lelaki dan wanita berusia 20an ditahan mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai ketika operasi dijalankan di Dataran 1Malaysia, Klebang di Melaka.-Bernama


 

Hikmah dari Beirut buat gerakan Islam M'sia

Posted: 24 May 2015 06:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pada 16 Mei 2015 yang lepas, saya telah menghadiri satu program 'Global Convention Of Scholars For Palestine' yang berlangsung di Beirut selama seminggu.

Saya diundang kerana saya merupakan salah seorang daripada kepimpinan Persatuan Ulama Sedunia cawangan Malaysia yang telah menganjurkan satu konferen antarabangsa pada bulan Mei tahun lalu, bersempena Nakbah Palestin yang bertempat di Shah Alam.

Selain saya, ada 2 lagi wakil yang dijemput untuk mewakili Malaysia iaitu, Al Fadhil Ustaz Ghani Sahamsuddin dan Cikgu Azmi Hamid. Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak dapat hadir bersama ke program kali ini.

Dengar bicara mufti Palestin

Multaqa kali ini disertai 35 buah Negara termasuklah wakil Amerika Latin, Eropah, Turki, United Kingdom dan Afrika. Manakala Ismail Haniyeh yang sepatutnya mewakili Palestin tidak dapat hadir dan hanya menyampaikan ucapan secara langsung melalui pancaran satelit.

Oleh itu secara rasminya, lebih kurang 80 orang tokoh-tokoh ulamak telah menghadiri Multaqa ini disamping ramai lagi yang hadir secara tidak rasmi.

Objektif utama Multaqa ini ialah bagi membincangkan langkah terbaik dan praktikal untuk membangkitkan kesedaran seluruh dunia Islam mengenai isu Palestin.

Berbeza dengan mana-mana program yang pernah saya hadiri sebelum ini yang biasanya sarat dengan pembentangan kertas kerja panjang lebar, Multaqa ini dipadatkan dengan perbincangan dalam kumpulan yang dijalankan dalam bentuk bengkel.

Malam pembukaan Multaqa dimulakan dengan ucapan mufti besar Palestin yang menyentuh tentang peristiwa Israk Mikraj.

Kami beruntung dapat mendengar secara langsung bicara ulamak agung ini yang menceritakan signifikan peristiwa agung Israk Mikraj sebagai bukti sejarah yang menghubungkan Masjidil Haram Mekah dengan Masjidil Aqsa Palestin.

Pada keesokannya program dimulakan dengan ucapan pengenalan daripada tujuh pertubuhan yang diberi perhormatan untuk menyampaikan ucaptama.

Antaranya ialah Persatuan Ulamak Sedunia Cawangan Malaysia sendiri, Persatuan Ulamak Sedunia Untuk Pembebesan Palestin Beirut dan Jemaah Ulamak Pakistan.

Langkah praktikal

Setelah itu, semua peserta Multaqa dibahagikan kedalam kumpulan bengkel mengikut pilihan masing-masing. Saya telah memilih kumpulan yang diamanahkan untuk membahaskan langkah-langkah praktikal bagi memupuk kesedaran sejagat mengenai isu Palestin.

Bengkel ini telah berlangsung dari pagi sehingga petang dengan hanya berselang waktu rehat untuk solat dan makan.

Semasa slot perbincangan umum pula, saya berpeluang mengemukakan 20 usul yang merupakan resolusi yang dicapai dalam konvensyen di Shah Alam tahun lalu.

Saya membangkitkan semula sikap khianat pihak British yang menyerahkan Palestin kepada negara haram Israel sedangkan pada waktu itu British hanya memegang mandat untuk melindungi tanah Palestin, bukan empunya milik Palestin!

Multaqa juga mencapai resolusi - yang pada pandangan saya - sangat praktikal untuk dimajukan kepada badan-badan Islam di Malaysia seperti MAPIM dan pertubuhan Islam lain seperti PUM dan ABIM.

Resolusi tersebut ialah, 'Multaqa mencadangkan supaya anak-anak atau pemuda-pemuda Palestin dibawa ke Malaysia untuk diberi peluang belajar sama ada di Sekolah Rendah, Sekolah Menengah mahupun Universiti'.

Dalam masa yang sama, anak-anak ini akan menjadi duta rakyat Palestin di Malaysia yang akan menjadi jambatan penghubung segala perihal perkembangan perjuangan rakyat Palestin dan kekejaman yang berlaku ke atas mereka.

Saya amat tersentak apabila rakan daripada Pertubuhan Nahdatul Ulamak Indonesia terus menyambut resolusi ini dan mencadangkan supaya ia dimulakan seawal tahun ini. Saya tertanya-tanya apakah yang mendorong Nahdatul Ulamak begitu yakin untuk menyambut resolusi ini.

Namun persoalan itu terjawab setelah saya dimaklumkan bahawa Nahdatul Ulamak memiliki 250,000 Maahad (Sekolah) yang dilengkapi asrama di samping mempunyai kekuatan 60 juta ahli berdaftar.

Apabila dipandang kepada Malaysia, saya cuma mangatakan kepada mereka bawah Pertubuhan yang saya wakili ini hanyalah pertubuhan kecil yang hanya mampu untuk menampung seorang anak Palestin.

Tetapi di sebalik jawapan itu, saya juga berfikir jika resolusi ini dipanjangkan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia, sudah pasti lebih banyak perkara yang boleh diusahakan.

Di Malaysia kita memiliki MAPIM yang menjadi sentral kepada sekurang-kurangnya 70 pertubuhan Islam. Jika setiap NGO bersedia untuk menanggung seorang, kita sudah mampu untuk memberi sinar baru kepada 70 anak-anak Palestin!

Dalam sesi perbincangan sampingan pula, saya sempat berbincang dengan rakan ulamak dari Indonesia berhubung usahasama strategik berkaitan isu Palestin ini.

Saya juga mencadangkan supaya Indonesia menubuhkan Persatuan Ulama Sedunia cawangan Indonesia yang disambut baik malah sangat dialu-alukan oleh mereka.

Secara kebetulan, Persatuan Ulama Sedunia Cawangan Malaysia sememangnya sudah merancang untuk membuat lawatan ke Indonesia yang dijadualkan selepas Ramadhan tahun ini.

Lawatan ini sudah pasti akan dimanfaatkan untuk memanjangkan lagi perbincangan yang dimulakan semasa Multaqa.

Antara resolusi lain yang bercaya dicapai dalam Multaqa ini ialah, 'menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran atau hebahan mengenai isu-isu Palestin'.

Resolusi ini boleh dilaksanakan dengan memastikan isu Palestin tidak lagi menjadi bahan ceramah bermusim, tetapi disusun secara bersiri sebagai langkah penerangan jangka panjang.

Resolusi ini bertepatan dengan deklarasi yang diputuskan dalam konvensyen di Shah Alam tahun lalu iaitu semua masjid perlu menyediakan satu sudut penerangan Palestin atau disebutkan juga sebagai 'Palestine Corner'.

Di sudut itulah pameran segala bahan-bahan berkaitan perjuangan pembebasan Palestin untuk tatapan semua masyarakat yang hadir ke masjid dapat diperlihatkan. Cadangan ini sangat relevan dan bersesuaian dengan konsep 'mewajahkan Palestin sebagai hak seluruh umat Islam'. Palestin tidak wajar hanya sekadar dimiliki masyarakat arab.

Pengajur tak sangka saya boleh cakap Arab

Antara pengalaman yang paling saya syukuri ialah apabila dapat bertemu Mufti Besar Palestin dan menerima hadiah langsung daripada beliau berupa buku karangan beliau sendiri yang berjudul 'Ar Rasul'.

Beliau memaklumkan yang beliau juga pernah hadir ke Malaysia lebih kurang 10 tahun yang lampau. Rata-rata rakan yang saya temui dalam Multaqa ini memberikan respon amat baik terhadap intipati ucapan yang saya sampaikan semasa hari pertama program.

Mereka memaklumkan bahawa mereka tertarik apabila saya secara langsung menyentuh mengenai konsep 'hak Palestin sebagai Hak Umat Islam' seperti yang diwahyukan dalam Al-Quran melalui Surah Ali Imran.

Ada juga yang melucukan apabila pihak penganjur sendiri tidak menyangka yang saya boleh berbahasa Arab sehingga mereka menyediakan penterjemah untuk saya! Hal ini kerana semasa berhubung untuk urusan jemputan, kami hanya berkomunikasi dalam medium bahasa Inggeris.

Bersatu dalam kepelbagaian


Saya juga bersyukur kerana menerusi Multaqa ini, saya telah berkesempatan untuk melihat serta merasai kesatuan jiwa dan fikrah atas paksi perjuangan mengembalikan tanah suci Baitul Maqdis kepada umat Islam.

Walaupun yang menghadiri Multaqa ini adalah para ulama dari pelbagai aliran mazhab seperti Sunni, Sufi, Salafi, 'Ibadi, Syiah dan banyak lagi, namun perbezaan ini tidak langsung menimbulkan rasa kekok untuk para peserta bergaul dengan kasih sayang demi Palestin.

Saya merasa insaf apabila melihat bagaimana profesionalnya para ulama dari Tunisia, Maghribi, Sudan dan beberapa negara Afrika yang sedang mengalami pergelokan di tanah air masing-masing, namun masih dapat hadir berhimpun dan bersatu dengan mengenepikan perbezaan yang wujud.

Perkara ini mengingatkan saya tentang perkembangan gerakan Islam di Malaysia. Dalam konteks Malaysia, kita sudah ada majlis perundingan badan-badan NGO Islam yang besar dan kukuh serta diiktiraf.

Ini merupakan satu ruang yang perlu dimanfaatkan oleh semua pertubuhan Islam di Malaysia untuk duduk semeja, mengenepikan perbezaan dan berbincang mengenai perkara-perkara berkait kepentingan umat Islam amnya.

Dalam hal ini, saya sebagai aktivis PAS melihat terlalu banyak peranan yang boleh dimainkan oleh parti Islam di Malaysia ini sekiranya jaringan yang strategik dapat dibina bersama pertubuhan-pertubuhan NGO Islam yang ada.

Walaupun PAS sebuah parti politik, PAS seharusnya boleh mencari ruang untuk berganding bahu bersama badan-badan NGO ini untuk membolehkan hal ehwal umat Islam ditangani secara bersepadu.

Syor tubuh Unit Palestin

Dalam soal perjuangan pembebasan Palestin ini, PAS merupakan antara organisasi yang mempunyai hubungan baik dengan Hamas.

Saya masih ingat suatu ketika dahulu setelah Hamas memenangi pilihan raya Palestin menewaskan Fatah, tidak lama selepas itu berlangsung persidangan OIC di Malaysia.

Malangnya, penyertaan wakil Hamas telah ditolak, sebaliknya wakil Fatah pula diterima ke persidangan OIC tersebut sedangkan mereka sudah tidak lagi memiliki mandat pemerintahan.

Jika kita masih ingat, Hamas telah memanjangkan hal ini kepada PAS yang secara langsung telah membuktikan betapa mereka menghormati dan mengiktiraf PAS sebagai pendokong kuat perjuangan umat Palestin.

Oleh itu, PAS seharusnya menjadi agen utama dalam mengangkat agenda perjuangan Palestin di negara ini. Kita seharusnya mempunyai program khusus berkaitan isu Palestin.

Jika boleh, saya suka untuk mencadangkan agar ditubuhkan satu unit di bawah bidang kuasa presiden atau timbalan presiden yang bertanggungjawab menggerakkan kempen pembelaan Palestin secara konsisten.

Unit ini bukan sekadar bertindak memacu kempen kesedaran mengenai keadaan di Palestin sahaja, tetapi turut mengambil tanggungjawab membantu pelarian Palestin yang berhadapan dengan perlbagai rencam permasalahan.

Secara umumnya, saya melihat PAS perlu memimpin dan memperkasa gerakan Islam tanah air. Bukanlah sikap PAS untuk mengambil isu-isu umat Islam secara bermusim dan sambil lewa.

Jika perspektif kita hanya bersifat 'one-off' iaitu bantuan tatkala musibah semata-mata, sudah pasti menerusi Umno - yang merupakan parti pemerintah di negara ini - yang miliki seribu satu kekuatan material sudah mampu melaksanakannya. Justeru, apa perlunya PAS sebagai gerakan Islam tanah air?

PAS perlu menjadi peneraju yang memikul isu-isu umat Islam secara konsisten, khususnya isu Palestin dan isu-isu lain membabitkan umat Islam yang tertindas seperti pembantaian umat Islam Rohingya mutakhir ini.

Walaupun kita belum memerintah, tetapi kita perlu sentiasa kehadapan untuk membela masyarakat yang tertindas. 

Jika sebelum memerintah Malaysia pun PAS mampu memimpin perjuangan membela golongan tertindas, sudah pasti apabila memerintah nanti (insyaAllah) lebih banyak agenda kebajikan PAS akan dapat direalisasikan.

Pupuk adab berbeza pendapat

Apabila menyebut mengenai peluang untuk memerintah, saya melihat Umno/BN pada ketika ini sedang berada pada kedudukan sangat lemah apabila Perdana Menteri merangkap Presiden Umno - Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berhadapan dengan konflik dari dalam partinya sendiri.

Inilah peluang untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa kini masanya untuk kita menolak Umno/BN setelah lebih 50 tahun mereka gagal memanfaatkan nikmat hasil kekayaan yang Allah kurniakan di bumi bertuah Malaysia ini dengan penuh amanah dan bijaksana.

Dalam keadaan ini, rakyat sudah pasti meletakkan harapan kepada PAS dan pastinya Pakatan Rakyat untuk merealisasikan perubahan. Pakatan Rakyat pula perlu terus mempercayai PAS memandangkan PAS sudah diterima oleh segenap masyarakat termasuk daripada rakan-rakan bukan Islam.

Dalam masa yang sama, rakan-rakan dari parti komponen Pakatan Rakyat perlu faham bahawa PAS mempunyai dasar perjuangan yang berlandaskan Al Quran dan Sunnah sepertimana termaktub dalam perlembagaan PAS itu sendiri.

PAS sudah membuktikan dengan kuasa yang diperolehi di Kelantan, tidak ada masyarakat bukan Islam yang tertindas. Malah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah menunjukkan satu contoh yang luar biasa apabila beliau menyantuni dan melawat sendiri ke Wat Sami Buddha terbesar di Asia yang terbina di Tumpat Kelantan.

Ini menunjukkan betapa sistem pentadbiran Islam sangat terbuka dan menghormati hak masyarakat untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

Inilah corak pentadbiran Islam yang mengamalkan wasatiyah (kesederhanaan). Tanpa wasatiyah, gerakan Islam akan terjurus kepada radikalisme seperti IS yang pada pandangan saya sudah bertindak diluar batasan Islam.

Kita juga tidak mahu wasatiyah seperti tafsiran Umno yang hakikatnya bertindak mengikut jalur ekstrim perkauman. Bahkan kerakusan Umno/BN yang melahap hasil kekayaan negara sehingga rakyat menjadi mangsa, juga tidak perlu lagi saya ungkapkan.

Akhir sekali, mengambil semangat dan pengajaran yang saya perolehi daripada Multaqa di Beirut, saya melihat PAS perlu segera melakukan anjakan dalam usaha memupuk kembali silaturrahim dan menyemai semula adab dalam berkhilaf.

Jika kita terus hidup dalam perbezaan yang membawa perbalahan, maka langkah PAS untuk menjadi gerakan Islam yang mampu menaungi perjuangan umat Islam di peringkat global adalah masih jauh. Seharusnya semua perbezaan ini diselaraskan segera dengan menghalatujukan matlamat yang satu.

Apabilah kita mempunyai 'Ghayah' atau halatuju yang jelas, sudah pasti kita akan faham untuk sekurang-kurangnya mengkoordinasi perbezaan seterusnya membina persefahaman yang kukuh dan kuat.

Persefahaman atau Wahdah inilah yang akan memastikan PAS terus relevan bagi mempersadakan perjuangan Islam di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.


 
AHMAD AWANG calon presiden PAS dan bekas anggota Majlis Syura PAS. 

Isu Rohingya: Zahid tempelak k'jaan P Pinang

Posted: 24 May 2015 06:01 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menempelak kerajaan Pakatan Pulau Pinang yang diketuai Lim Guan Eng kerana enggan menerima pendatang Rohingya dan Bangladesh.

Naib presiden Umno itu mempersoal tindakan kerajaan itu yang dianggapnya sering memperjuangkan isu kemanusiaan tetapi enggan menerima pelarian itu malah mahu mereka ditempatkan di tanah milik kerajaan persekutuan.

"Tentu kita mahu melihat keikhlasan kerajaan Pulau Pinang yang diketuai DAP dan dianggotai PKR dan PAS yang selama ini, jadi pejuang kemanusiaan dan sentiasa menyalahkan kerajaan yang tak laksanakan dasar kemanusiaan, untuk menerima pelarian berkenaan.

"Kita yakin kerajaan Persekutuan cukup ikhlas untuk guna tanahnya bagi penempatan pelarian berkenaan, berbanding saya katakan tadi, jaguh pejuang kemanusiaan sejagat tetapi hanya kokokkan ayam jantan yang tak ada telurnya," katanya.

Zahid yang juga berkata demikian pada sidang media selepas Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Kajang hari ini.

Sehubungan itu, Zahid meminta rakyat di Pulau Pinang supaya menilai sendiri pentadbiran Pakatan Rakyat berdasarkan sikap yang ditonjolkan kerajaan negeri

"Saya harapkan masyarakat dapat menilai sendiri tentang keikhlasan mereka terutama masyarakat di Pulau Pinang," katanya.

Sebelum ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilapor mencadangkan negeri di kawasan utara termasuk Pulau Pinang sebagai lokasi sementara 7,000 pelarian Rohingya dan Bangladesh yang terdampar di perairan antarabangsa.

Bagaimanapun terpulang kepada keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi yang terlibat, kata Khalid.

Akhbar The Star hari ini pula melaporkan Lim berkata kerajaan negeri tidak membenarkan pelarian itu ditempatkan di tanah milik kerajaan negeri kerana pihaknya berdepan dengan masalah tanah kosong.

Katanya, kerajaan neeri tidak boleh lagi membiarkan tanah kerajaan negeri digunakan sebagai penempatan dan mencadangkan supaya tanah milik Persekutuan digunakan.

Sejumlah 50,000 pelarian itu kini berada di Pulau Pinang sejak enam tahun lalu, kata Lim. 


Guru tahfiz maut pulang saksikan final Piala FA

Posted: 24 May 2015 05:47 AM PDT


 
 
KUALA KRAI - Guru tahfiz maut sementara sepupunya parah selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang menonton perlawanan akhir Piala FA, di Stadium Nasional Bukit Jalil, kira-kira jam 6 pagi tadi.

Dalam kejadian di Kilometer 105 Jalan Kota Bharu Gua Musang dekat Sungai Sam, pemandu, Afif Asyraf Yahya,28, yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian sementara sepupunya Aminuddin Nawi, masih dirawat di Hospital Kuala Krai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Afif Asyraf  hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan  kemudiannya melanggar lori membawa muatan kelapa sawit.

Katanya, lori yang cuba mengelak mangsa pula terjatuh ke dalam gaung.

"Kenderaan yang berada di belakang kereta dipandu mangsa gagal mengelak merempuh belakang kenderaan dipandu Afif Asyraf," katanya.


GST: Peniaga sekarang tamak haloba kata PPIM

Posted: 24 May 2015 05:45 AM PDT

GST
 
 
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyebut peniaga hari ini mengeksploitasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hingga menyebabkan rakyat terbeban.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, peniaga seperti ini perlu 'diajar' dengan membawa ke muka pengadilan untuk tindakan undang-undang.

"Saya setuju dengan kenyataan Perdana Menteri. Peniaga hari ini tamak dan ambil kesempatan. Inilah yang orang kata, orang lain makan nangka, orang lain yang kena getahnya.

"Tapi kerajaan ada penguat kuasa dan saya harap semua pihak bekerjasama dengan KPDNKK untuk membawa peniaga yang tamak haloba ini ke muka pengadilan. Saya percaya bahawa jika semua pihak faham bahawa GST ini satu tanggungjawab kita, kita akan bantu untuk memberi pembangunan untuk jangka masa panjang," katanya kepada Sinar Online.

Semalam, Najib dalam ucapannya menyifatkan peniaga jahat dan mahu 'titik' orang ramai serta tidak bertanggungjawab namun kerajaan yang disalahkan.

Dalam pada itu, Dr Ma'amor berpendapat, kerajaan sepatutnya mempunyai senarai harga barangan sebelum pelaksanaan GST untuk perbandingan serta penetapan harga yang wajar untuk setiap barangan.

"Sepatutnya, kerajaan mempunyai 'database' senarai harga barangan sebelum implementasi GST. Kalau kita tahu harga contohnya roti canai RM1.80 sebelum ini, selepas ditolak SST (Cukai jualan dan perkhidmatan), mungkin tinggal RM1.60.

"Jadi, selepas GST tambah 6% mungkin RM1.70. Lebih rendah lagi harganya. Tapi sekarang dah jadi RM2.50. Saya rasa kerajaan tidak bersedia dengan datasbase sebelum ini. Database ini penting untuk pengguna rujuk dan peniaga tak berani ambil kesempatan," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar pengguna bijak memilih dan mengambil langkah berjimat cermat dengan membawa bekal dari rumah.

"Pengguna kena bijak memilih. Ataupun jika boleh bawalah bekal ke tempat kerja. Air pun boleh beli paket minuman segera yang banyak di pasaran.

"Sekali skala minum luar boleh tapi kalau selalu, bawalah bekal," katanya.

Tiada maaf bagimu, kata Zahid

Posted: 24 May 2015 05:42 AM PDT

SINAR HARIAN


Ahmad Zahid Hamidi
 
 
KAJANG - Tindakan tegas akan diambil terhadap seorang pemimpin Umno bahagian yang menyebarkan klip video ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program tertutup baru-baru ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, timbalan ketua Umno bahagian itu mendakwa beliau menyebarkan klip video tersebut untuk anggota jawatankuasa bahagiannya dan juga kumpulan Telegram (aplikasi chatting) timbalan-timbalan ketua Umno bahagian di seluruh negara.
  
"Saya telah menghubungi beliau dan beliau telah minta maaf. Saya pun jawab tiada maaf bagimu. Kesalahan telah dilakukan. Dia perlu menanggung akibatnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di mini stadium Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
  
Ahmad Zahid berkata timbalan ketua Umno bahagian itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk tindakan selanjutnya.
  
Semalam, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim berkata, perbuatan individu yang menyebarkan klip video berdurasi tujuh minit itu sesuatu yang tidak boleh diterima kerana telah menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan ramai.
  
Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kandungan video itu sebenarnya jelas kenyataan Muhyiddin untuk mempertahankan Presiden dan parti dan tidak benar ada dakwaan yang mengatakan ia boleh membawa perpecahan dalam Umno. – Bernama


Dr Mahathir sedih, dakwa terpaksa akui PM bohong

Posted: 24 May 2015 05:38 AM PDT

1MDB 1Malaysia Development Berhad
 
 
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesedihannya apabila terpaksa mengakui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong dalam kes wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini, Dr Mahathir menyenaraikan dua pembohongan yang didakwanya dilakukan oleh Najib.

"Amatlah menyedihkan apabila saya dapati saya tidak dapat elak daripada kenyataan bahawa Perdana Menteri berbohong. Dalam kes wang 1MDB yang dikatakan telah dibawa balik dari Pulau Cayman dan disimpan dalam bank BSI Singapura, jawapan bertulis oleh Perdana Menteri kepada soalan Parlimen tidak menepati kebenaran sama sekali.

"Pembohongan yang pertama ialah tidak ada wang tunai 1MDB yang dibawa balik. Kedua, tidak ada wang tunai yang dimasukkan ke dalam bank BSI di Singapura.

"Ini jelas dari pindaan kepada jawapan yang pertama, iaitu bukan wang tunai berjumlah USD 1.103 billion (RM3.6 billion), dimasukkan dalam bank BSI tetapi dokumen (surat pengakuan) yang disimpan dengan bank. Apa dia nya surat ini tidak dijelas tetapi yang jelas ialah ia bukan wang tunai," katanya.

Rabu lalu, Najib melalui jawapan bertulis di Parlimen menjelaskan baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak AS$1.1 (RM4.022) bilion ditebus dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.

Menurut Najib, penjelasan itu merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum ini bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam bentuk wang tunai.

Menyentuh bank BSI, Dr Mahathir membangkitkan soal laporan yang dibuat bank tersebut kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS)

"Bank BSI telah menyatakan selepas itu bahawa dokumen yang menyatakan simpanan dibuat oleh anak syarikat 1MDB, Brazen Sky adalah palsu dan bukan daripadanya. Maka jelaslah kenyataan bertulis yang kedua oleh Najib kepada Parlimen bahawa yang disimpan adalah dokumen juga tidak benar.

"BSI bank telah lapor kepada MAS bahawa tidak ada wang 1MDB yang disimpan dengannya. Pada kebiasaannya MAS melapor maklumat ini kepada Bank Negara.

"Ini jelas daripada pengakuan bahawa kononnya laporan ini tertakluk kepada protokol kerahsiaan antarabangsa (Egmont principles of information exchange) dan kehendak kerahsiaan di bawah seksyen 10 AMLA. Dari kenyataan ini adalah jelas bahawa Bank Negara telah terima laporan Monetary Authority Singapore.

"Tujuan merahsiakan tentulah kerana ada sesuatu yang tidak kena atau pembohongan yang telah dilakukan apabila Najib menjawab soalan bahawa wang tunai telah disimpan dengan bank BSI di Singapura," katanya.

Menurut Dr Mahathir, perbuatan menyembunyikan kesalahan dalam urusan kerajaan adalah salah di sisi undang-undang malah beliau berkata, wujud unsur jenayah yang memerlukan siasatan dan jika wang itu tidak juga dapat dikesan maka proses undang-undang hendaklah diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

"Adalah jelas bahawa dalam kes wang tunai yang didakwa oleh Perdana Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan, Bank Negara dan 1MDB telah dibawa balik dari Pulau Caymans dan disimpan di bank BSI di Singapura serta pindaan kepada jawapan pertama bahawa bukan wang tunai yang dibawa balik dan disimpan di Singapura, tetapi dokumen, kesemuanya tidak benar.

"Mereka yang membuat laporan yang salah ini telah melanggar undang-undang jenayah Seksyen 218," katanya.

Kes culik: Tingkat risikan, dekati orang tempatan

Posted: 24 May 2015 05:35 AM PDT

Kes culik
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan disaran melipatgandakan risikan dan mendekati orang-orang tempatan sebagai salah satu cara menangani pencerobohan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi di Sabah.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek mendakwa kebocoran maklumat berlaku hasil kerja orang dalam hingga mengakibatkan berlakunya penculikan.

"Lanun atau penjenayah ini rupa memang macam orang Malaysia, pakaian seperti kita dan bercakap pun bahasa kita jadi mereka boleh berpura-pura menjadi orang awam. Cuma, adakah wujud ejen dalam kalangan kita (orang tempatan) ini?

"Saya berpendapat, risikan amat perlu dilipatgandakan kerana kebanyakannya yang beri informasi kepada mereka ini adalah orang tempatan. Kita ambil contoh, orang yang sedang makan di restoran itu, tempat itu memang lokasi tumpuan pelancong. Tetapi yang memberi informasi...siapakah mereka yang datang ke sana...orang kaya ke berduit ke...itu mesti kerja orang dalam," katanya kepada Sinar Online.

Terbaharu, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan lalu menculik seorang lelaki dan seorang wanita dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu manakala seorang lagi mangsa ialah Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja.

Dalam pada itu, Abdul Halim menambah, pihak berkuasa perlu membina jaringan dengan rakyat tempatan bagi mengukuhkan keyakinan mereka agar bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Geografi kawasan itu sangat luas, jadi yang menjadi lanun atau penjenayah ini mempunyai jaringan mereka sendiri dan pada bila-bila masa mereka boleh bersembunyi di mana-mana. Ini yang menjadi masalah kepada pihak berkuasa.

"Kerjasama dengan orang tempatan lebih rapat atau lebih kerap (perlu) dilakukan supaya kita boleh meyakinkan orang awam untuk memberi kerjasama yang terbaik kepada pihak berkuasa dan jangan memberi informasi-informasi kepada orang luar. Industri pelancongan memang tergugat kerana perkara ini," katanya.

Tiada ulasan: