Isnin, 18 Mei 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Ini semua pertanda ketidak mampuan Nakhoda mengemudi bahtera.

Posted: 18 May 2015 06:00 AM PDT

Anggota PAS diingatkan supaya menerima hakikat bahawa mereka sedang berdepan masalah dalaman yang berpotensi memecahbelahkan parti.

 Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara itu akan berlaku jika ia tidak ditangani dengan baik.

 "Hentikan tindakan label-melabel, dan membeza-bezakan antara ahli PAS. Jangan ambil maklumat tepi jalan dan mudah percaya pada hantu-hantu di laman sosial yang tidak dikenali.

 "Tindakan ini telah membuka pintu kepada musuh memporak-perandakan PAS. Ruang ini perlu ditutup rapat," katanya yang juga calon timbalan presiden PAS bagi mencabar penyandang Mohamad Sabu.

 Dalam kenyataannya hari ini ketika mengumumkan kesediaannya bertanding, Tuan Ibrahim menggesa anggota PAS bersatu padu dengan kesatuan fikiran dan tindakan.

 "Selain itu, semua ahli di semua peringkat wajib memikul amanah dalam menjaga rahsia jemaah.

 "Ingatlah bahawa Allah melihat setiap perbuatan kita, termasuklah maklumat yang kita sebarkan," katanya lagi.~ sumber

Komen al-Husseyn:

Hanya baru kini Mamat ini menyedari berlakunya perpecahan dalam PAS? 

 Hanya setelah kawasan-kawasan semua habis buat mesyuarat dan berjaya menyingkirkan mereka yang cendrung mempertahankan Pakatan Rakyat.

Setelah DS Nizar dan Dr Khairudin Datuk Malik (hanya sebagai contoh) tersingkir di kawasan masing-masing lantaran surat layang yang memfitnah kononnya mereka menolak hukum hudud. Dan surat dan sampul yang diedarkan itu terdapat bukti bahawa peralatan dari Pejabat Perhubungan PAS Negeri Perak sendiri telah digunakan.?

2. Siapa yang patut menangani perkara masalah dalaman parti kalau bukan presiden sendiri? Apa tindakan presiden terhadap perkara-perkara berikut:

a) Demo pemuda depan pejabat Agung yang menuntut Dr Hatta dan beberapa yang lain supaya meletak jawatan?

b) Tindakan keluar beramai-ramai memboikot Timbalan Presiden PAS sewaktu beliau berucap merasmikan Muktamar Pemuda yang lepas.

c) Pemboikotan Yusni Mat Piah dan Dewan Pemuda Pulau Pinang  dalam PRK Permatang Pauh yang baru lalu?

Ada banyak lagi kalau nak di senaraikan.Itu pun belum masuk lagi salah laku presiden sendiri dalam isu perlantikan MB Selangor yang lalu.

Presiden perlu dipertanggungjawabkan.Kekalutan semua ini membuktikan ketidak mampuan Nakhoda melayarkan batera dengan lancar.

Siapa yang gemar sangat label melabel nih? Siapa yang kena label sebagai Jebon, Munafiq Haraki, Setan, Islam Liberal, Menolak Hudud, Anti Ulama....bagai lagi...

Disebaliknya, siapa yang menggelar diri mereka sendiri sebagai ulama', sebagai penyokong ulama. Ngaku sebagai penyokong hudud.Ngaku yang baik-baik belaka. 

Hok yang molek dapat kedemer. Yang hodoh-hodoh bagi ke orang lain! Takkanlah Mamat ni tak sedar lagi? 

Mamat ni sendiri pendiriannya pun pelik. Orang nak bertanding kerusi presiden dia marah! Dia sendiri cabar Mat Sabu boleh pula? Apakah sebab Mat Sabu bukan seorang ulama? Tidak rasional langsung !

Memanglah Allah Maha Melihat - Innallaha sami'un basyir - Sesungguhnya Allaha Maha mendengar dan Maha melihat. Tapi takkanlah Mamat dan Nakhoda kita ni perkara yang saya sebutkan diatas tu pun tak nampak?

Semua ahli PAS , tanpa kecuali adalah tertakluk kepada perlembagaan parti

Posted: 18 May 2015 03:00 AM PDT

Rasanya ramai orang perlu rasional dan berpijak di bumi sekalipun ada pertandingan untuk jawatan presiden.

 PAS bukan daulah yang dipimpin oleh khalifah, bukan kumpulan tariqat yang diketuai oleh wali mursyid dan bukan jamaah tanpa perlembagaan yang diketuai oleh amir.

 PAS diketuai oleh presiden yang tertakluk kepada perlembagaan. Jika semua ahli PAS tertakluk kepada perlembagaan, kenapa presiden boleh terkecuali pula?

 Rasionallah. Biarkan pertandingan itu berlaku jika ada. Usahlah letakkan seseorang pada makam suci yang tidak boleh disentuh dan diusik.

 Jika Umar sendiri bersyukur kepada Allah kerana ada umat Muhammad yang bersedia membetulkan kesilapannya dengan pedang, takkanlah zaman-zaman selepas beliau wujud orang yang tak boleh ditentang dalam muktamar? Lebih muliakah orang itu berbanding Umar? ~  Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

Pejuang warga guru menjadi mangsa Kementerian Pendidikan

Posted: 17 May 2015 11:15 PM PDT

Mohd Nor Izzat semasa ditemuramah di Villa Puteri,
Kuala Lumpur pada 14 Mei. – Gambar TMInsider
oleh Seth Akmal, 17 Mei, 2015 
Tanyalah mana-mana guru mengenai sistem Peperiksaan Berasaskan Sekolan (PBS) pastinya mereka semua merungut.

Mujurlah saya dah lama bersara dan tidak terlibat lagi...

Rungutan tidak kira dari guru fahaman parti apa atau yang jenis tak ambil kisah pasal politik tanah air, semuanya mengeluh bila sebut pasal PBS.

Saya hanya mampu ucapkan syabas kepada bekas guru muda ini yang prihatin dengan nasib para guru sekalian dan cuba berusaha untuk mengubah keadaan. Namun sudah umpama nasib mentimun bertembung dengan durian. Menggolek pun kena tak golek pun kena.... Allah akan bersama mu dan sentiasa merahmati perjuangan kamu! Beritanya :

 Mohd Nor Izzat Mohd Johari, yang sebelum ini lantang mendesak Putrajaya memansuhkan sistem peperiksaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), tidak diraikan pada sambutan Hari Guru semalam, 16 Mei.

 Tetapi, bekas guru Pendidikan Seni Visual yang menerima surat tamat perkhidmatan hujung Mac lalu itu tidak kecewa walaupun kelemahan yang dikenalpastinya dalam sistem itu diakui kementerian dan diperbaiki.

 Beliau sebaliknya masih mampu tersenyum kerana usahanya mentransformasikan sistem pendidikan negara berhasil.

 Pemecatannya bukan pengakhiran baginya yang mengakui tidak sesekali berpatah semangat, malah akan terus menjadi pejuang dan pemerhati kepada guru dan sistem pendidikan negara.

 "Bila saya dihentikan memang agak tergugat untuk teruskan perjuangan itu. Bila kita bukan cikgu, kita tidak menjiwai. Tetapi saya cuba guna 3 tahun pengalaman mengajar untuk menjiwainya.

 "Langkah saya baru bermula. Dahulu sebagai latihan kendiri melihat ketahanan mental sama ada saya boleh bergerak atau tidak.

 "Dalam hati saya sedih itu tidak ada. Saya cuba adakan, tetapi tidak sampai. Isteri saya pun masih boleh ketawa, katanya tidak ada rezeki. Mungkin rezeki di tempat lain," katanya.

 Izzat, 29, diberhentikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 31 Mac lalu walaupun hanya dimaklumkan mengenai perkara itu 3 minggu selepas tarikh surat berkenaan.

 Bekas guru di SMK Damak, Jerantut itu juga sebelum itu ditukarkan ke SMK Triang, Bera dan terpaksa berulang alik lebih 200km setiap hari ekoran lantang menentang PBS.

 "Saya diberhentikan atas sebab tatatertib dengan 4 pertuduhan. Pertama, bersama dengan pembangkang semasa himpunan 22 Februari 2014 di Masjid Bangi sedangkan himpunan itu anjuran saya.

 "Kedua kerana saya pentadbir utama laman (Facebook) 'Kami Mahu PBS Dimansuhkan' dan menggunakan gambar profil zaman kegelapan pendidikan Malaysia," katanya dalam satu wawancara khas bersama The Malaysian Insider.

 Sebab ketiga, katanya, ialah kerana beliau tidak hadir ke sekolah 2hari sebelum himpunan 22 Februari tersebut.

 "Saya pun pelik. Sebab itu saya boleh kena buang?" soalnya.

 Sebab keempat, katanya, ialah kerana beliau hadir ke sekolah tetapi tidak merekodkan waktu baliknya pada 8 kejadian.

 "Saya tidak pernah dipanggil pengetua sebab tidak hadir, tidak pernah dikaunseling, diberi amaran kedua, ketiga. Tidak pernah," katanya.

 Izzat berkata, KPM seharusnya mengenakan tindakan penggantungan sebelum memecatnya sebagai seorang guru kerana terdapat 12 atau 13 tahap bagi penjawat awam sebelum dibuang kerja.

 "Mereka ada beri surat bela diri tiga minggu sebelum itu. Bila saya tanya pendapat kawan-kawan, mereka minta saya mengaku salah dan mohon dipertimbang agar tidak dibuang kerja.

 "Ada beberapa guru beritahu, kalau sampai tahap hendak kena buang, mereka patut panggil dan kita bersemuka dengan pegawai, selepas itu baru jatuhkan hukuman. Menggunakan surat agak pelik sikit," katanya.

 Beliau berkata, kehidupannya semakin terganggu selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada Disember 2013 untuk berbincang mengenai PBS.

 Katanya, walaupun Idris berjanji tidak mengambil tindakan selepas pertemuan itu, namun pelbagai lapisan pegawai KPM datang menyiasatnya di sekolah.

 Bermula Januari 2014, katanya, beliau ditekan pegawai daripada 5 tahap iaitu Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, KPM, nazir negeri dan nazir kebangsaan.

 "Mereka ini datang dengan alasan nak menyiasat dalam tempoh sebulan. Sekali datang 5 atau 6 orang. Mereka bertanya mengapa saya menentang PBS. Kita tak menentang, kita kata PBS itu bermasalah.

 "Itu punca utama saya buat himpunan di Masjid Bangi pada 22 Februari itu, yang sepatutnya di KPM," katanya kepada The Malaysian Insider.

 Izzat berkata, walaupun ditukarkan sekolah dan kemudiannya diberhentikan perkhidmatan, namun semangatnya tidak pernah goyah dan menganggapnya sebagai satu ujian.

 Katanya, sebagai seorang pejuang, beliau tetap gagah berdepan segala cabaran dan apa yang berlaku akan dijadikan sebagai pengajaran.

 "Perlu berlapik apabila bercakap dengan pegawai lebih tinggi walaupun ada salah. Kita tidak perlu mengaibkannya dengan orang atasannya," katanya.

 Izzat mengakui, pada 24 Disember tahun lepas beliau memberi soalan yang seolah-olah ingin berbahas dengan pegawai Idris.

 "Ia memalukan mereka depan menteri, sampai mereka tidak boleh jawab soalan saya.

 "Bahasa kasarnya, saya menampakkan kebodohan mereka dengan ketara. Di situ kesilapan saya," katanya.

 Bapa yang baru menimang cahaya mata kedua ini berharap, masa yang terluang dapat dihabiskan bersama isteri dan anak-anak selain memulakan perniagaan yang sudah lama ditinggalkannya.

 Beliau kini bersama sebuah badan bukan kerajaan yang baru ditubuhkan, Kelab Intelek Pendidikan Malaysia (KIPM), yang mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada Disember tahun lalu. Beliau berhasrat menjadikan badan itu wadah perjuangan membela nasib guru di Malaysia.

 "Sebelum jadi guru, saya ada perniagaan sendiri, dalam bidang reka bentuk dan percetakan secara atas talian. Cetak majalah sekolah, laporan tahunan dan lain-lain.9 "Kemudian bila jadi cikgu, saya tinggalkan dan sekarang nak aktifkan balik. Ia akan memakan sedikit masa," katanya.

 Ditanya harapan sempena sambutan Hari Guru, Izzat berkata beliau mengharapkan agar tugas pengkeranian guru dapat dikurangkan.

 Katanya, perkakasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi di sekolah juga perlu dipertingkatkan bagi meringankan tugas pengajaran dan pembelajaran.

 "Tidak kira guru yang menyokong kerajaan atau tidak, mereka nak benda yang sama, iaitu pendidikan yang terbaik dari segi pengurusan pendidikan.

 "Dan, kerja pengkeranian yang membebankan dikurangkan. Orang kata, hilang nikmat jadi guru ini kerana kerja-kerja pengkeranian.

 "Ambil kehadiran murid, tanya yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukankah itu kerja yang sia-sia," katanya.

 Izzat juga melahirkan harapan agar nisbah murid dengan guru dipastikan mengikut kemampuan Malaysia.

 "Pada tahap 1:20, dah memadai setiap kelas. Perbanyakkan lagi guru," kata anak sulung daripada enam beradik itu.

 Katanya, beliau tidak sesekali menyimpan dendam kepada kerajaan mahupun KPM, namun berharap masa depan guru akan dapat dibela.

 Katanya, meskipun tidak lagi bergelar guru, namun jiwanya sebagai seorang pendidik tidak pernah luntur dalam membawa isu semasa pendidikan negara.

 "Masa saya jadi cikgu dulu, kekangan saya pada masa sahaja. Peraturan saya langgar, selagi tidak salah. Saya cuma kalah pada batasan masa, yang lain okay.

 "KPM ini hendak berikan rasa takut yang diwujudkan sejak dulu lagi," katanya. 

"Dendam pun tidak dapat apa, tetapi jadi pembakar semangat seolah-olah mereka ini dah jolok sarang tebuan. Mereka buat kesilapan besar.

 "Tidak marah tetapi kecewa dengan sikap sama-sama Melayu sebab kita bercakap benda betul. Tidak sokong saya tidak mengapa, tetapi sokonglah cikgu-cikgu lain," katanya mengakhiri pertemuan bersama The Malaysian Insider. – 17 Mei, 2015. ~ sumber

Tiada ulasan: