Khamis, 30 April 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


GST: Restoran pertama didakwa

Posted: 30 Apr 2015 08:57 AM PDT

 
Sebuah restoran mamak didakwa mengeluarkan 2,000 invois yang tidak mengandungi maklumat yang ditetapkan mengikut peraturan kepada pelanggannya antara 7 hingga 11 April.


restoran

 
SHAH ALAM: Restoran Hameed Corner di Seksyen 16 menjadi premis perniagaan yang pertama dihadapkan ke mahkamah atas kesalahaan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) 2014, sejak ia dilaksanakan pada 1 April lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, restoran itu didakwa mengeluarkan 2,000 invois yang tidak mengandungi maklumat yang ditetapkan kepada pelanggannya antara 7 hingga 11 April.

Wakil pemilik restoran itu, Raja Bunesh Begum Kamarudeen, 38, tidak mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen, pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Rozela Raja Toran dan Hazril Harun memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM100,000 terhadap wakil pemilik restoran itu.

Peguambela tertuduh, Cullin Andrew, bagaimanapun berhujah bahawa kes itu tidak memerlukan penjamin kerana ia kes saman.

Selepas menimbang hujah kedua-dua belah pihak, Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan RM15,000 untuk ikat jamin dan sebutan semula kes itu pada 25 Mei.

Tembak mati bukan penyelesaian

Posted: 30 Apr 2015 08:39 AM PDT

Death row for Australian Myuran Sukumaran and Andrew Chan
Latihan skuad penembak mati di penjara Nusakambangan, Denpasar,Bali, Indonesia sebelum hukuman dijalankan ke atas lapan individu pada 28 April lalu (Gambar rappler.com)

Oleh CHARLES SANTIAGO 


Kejam dan gasar. Itu kalimah yang paling sesuai bagi menjelaskan hukuman tembak mati terhadap lapan pengedar dadah di Indonesia semalam.

Presiden baru Indonesia, Joko Widodo tanpa banyak fikir menolak rayuan pengampunan kerana percaya bahawa dadah menghancurkan dan mengacau-bilaukan negaranya.

Saya percaya kehidupan golongan remaja yang terpengaruh dengan rakan sebaya telah dimusnahkan dengan dadah. Namun, hukuman mati bukannya penyelesaian, dan ia tidak pernah dan tidak akan menjadi jalan penyelesaian.

Sepatutnya hukuman mati memerlukan moratorium, dan Malaysia juga harus tersenarai dalam usaha ini.

Dalam pengadilan ke atas lapan banduan akhir dari Australia, Brazil, Nigeria dan Indonesia itu, Jokowi tidak mempedulikan dakwaan rasuah terhadap beberapa hakim dan saksi.

Pihak kerajaan Australia sendiri merayu agar pelaksanaan hukuman tembak itu ditangguhkan sehingga prosiding dijalankan di bawah Mahkamah Perlembagaan dan Jawatankuasa Kehakiman selesai sepenuhnya.

Pendengaran awal sedang dibuat di Mahkamah Perlembagaan Australia dijadualkan pertengahan Mei, pastinya relevan berhubung kes dua warga Australia tersebut.

Namun pelaksanaan hukuman mati telah dibuat, dan apa akan Jokowi lakukan jika akhirnya prosiding itu nanti memihak kepada dua warga Australia dan didapati tidak bersalah?

Ketika Jokowi berkempen untuk menjadi Presiden Indonesia, warganya memandang tinggi dan menganggap beliau sebagai seorang calon progresif dan sederhana.

Nampaknya setelah beberapa bulan, dia jatuh merudum. Saya sendiri berharap sikapnya yang keras menolak pengampunan lapan banduan akhir itu bukanlah atas dasar mendapatkan kembali sokongan terhadapnya yang semakin berkurangan, atau kononnya untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa dia seorang yang tegas..

Hukuman mati oleh skuad menembak adalah keterlaluan. Jika ia berdasarkan kepentingan survival politik Jokowi, ini adalah suatu hal yang amat memalukan.

Populariti Jokowi menurun apabila beliau melantik seorang yang mempunyai kes rasuah sebagai ketua polis, selain penghapusan subsidi bahan api di negaranya.

Apabila hampir tiga perempat dari rakyat Indonesia menunjukkan sendiri rasa tidak puas hati terhadap Jokowi, presiden republik itu mula meletakkan perhatiannya terhadap isu nasional untuk mendapatkan kembali sokongan.

Ini termasuk tindakan keras terhadap nelayan asing dan keldai dadah.

Sekarang kita hanya dapat berharap agar Jokowi melakukan perkara yang betul dengan membebaskan Mary Jane Veloso, yang terlepas hukuman tembak apabila penipu yang menjadikannya keldai dadah menyerah diri kepada polis.

Mary Jane tidak mengetahui bahawa beg yang diminta untuk dibawa ke negara itu mempunyai dadah di lapisan dalam beg itu. Dia adalah seorang mangsa pemerdagangan dan mesti dibebaskan dari apa-apa hukuman.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya memahami usaha pembasmian dadah di Indonesia.
Tetapi Jokowi seharusnya melihat strategi baru- seperti mengadakan operasi besar-besaran di rantau ASEAN untuk memerangi kartel dadah, pemerdagangan manusia dan jaringan antara negara termasuk membasmi korupsi dalam pasukan polis bagi menyelesaikan isu ini.

Dan pastilah skuad menembak mati pesalah bukanlah jawapannya. – Roketkini.com

(^)  Dr Charles Santiago adalah Ahli Parlimen Klang


Harga minyak kekal tidak berubah bagi Mei

Posted: 30 Apr 2015 08:28 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Mei 2015 akan kekal pada paras semasa, menurut jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kepada Bernama hari ini.

Harga tidak berubah bagi bulan ketiga berturut-turut, dengan petrol RON95 kekal pada RM1.95 seliter, RON97 pada RM2.25 seliter dan diesel pada RM1.95 seliter.

Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi 1 Mei. - Bernama


 


Faktor karpet dalam semakan kehakiman

Posted: 30 Apr 2015 08:26 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan 10 Februari yang menjatuhi hukuman lima tahun penjara padanya atas sabitan kesalahan liwat.

Ketua umum PKR itu mendakwa terdapat kesilapan mahkamah dalam keputusan itu.

Anwar menjadikan kenyataan Pejabat Perdana Menteri berhubung sabitan kes itu serta siri jelajah Umno yang mengetengahkan ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebagai alasan untuk permohonan itu.

Anwar percaya tiada sebab untuk sabitan dibuat dan hukuman dijatuhi kerana terdapat percanggahan bukti berkaitan sekeping permaidani – tempat kesalahan dikatakan berlaku – yang dipindahkan.

Permohonan itu difailkan oleh peguam N Surendran dan Michelle Yesudas hari ini.

Turut hadir anak Anwar, Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR.


TKO menanti kumpulan pro-Pakatan PAS

Posted: 30 Apr 2015 08:24 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Menjelang tengah malam nanti pencalonan bagi pemilihan PAS tahun ini akan ditutup dan calon layak bertanding akan berdepan cabaran sebenar dalam muktamar di Kuala Selangor Jun ini.

Pertarungan sebenar, sejak 2009, menyaksikan pertembungan jelas antara kumpulan pro-Pakatan Rakyat yang mengutamakan agenda merampas Putrajaya dan kelompok berbeza pandangan proulama.

Kumpulan kedua dilihat lebih mementingkan agenda Islam PAS, termasuk perkara kontroversi walaupun kurang strategik daripada aspek politik.

Dalam pemilihan kali ini, kumpulan pro-Pakatan dilihat melalui tugas sukar berdepan kumpulan proulama, yang mencuri perhatian perwakilan dengan wajah "kepimpinan ulama" yang mahu digilap semula.

Bahkan, kali ini, asakan mereka bermula daripada peringkat akar umbi lagi apabila seorang demi seorang calon pro-Pakatan berjaya dicantas daripada bawah.

Antara "singa" yang berjaya dijinakkan kumpulan proulama termasuk bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar atas, kanan).

Walaupun mengetuai PAS Kampar selama 14 tahun, Nizar akhirnya tewas dalam pertandingkan yang dipertua kawasan kepada ulama setempat yang kurang dikenali Mohd Sofian Rejab

Sementara itu, kawalan proulama di peringkat akar umbi pula memberikan kelebihan kepada golongan ini dalam keadaan corak "pengundian blok" di peringkat kawasan.

Kunci G5 pada YDP

Bermaksud, lima undi daripada sebuah kawasan PAS (dirujuk G5) ditentukan oleh kecenderungannya ketuanya di peringkat bawah.

Tidak hairanlah kini budaya "chai" (pengedaran senarai kumpulan) dilihat pengamat politik PAS bakal memainkan peranan penting kali ini.

"Trend pencalonan diberikan kepada proulama. Mereka memberi undi berdasarkan blok. Ini trend baru yang sebelum ini tak ketara sangat sebelum ini.

"Kita nampak akan mengundi (pemimpin dari) satu kumpulan. Ada senarainya.

"(Kumpulan) progresif bakal maut dengan pukulan TKO (pukulan maut)," kata seorang pemerhati politik dalaman PAS kepada Malaysiakini.

Kumpulan proulama juga dilihat mempunyai gerak kerja lebih tersusun ketika pemilihan kali ini dikatakan antara yang paling kotor dalam sejarah PAS.

Kumpulan proulama dilihat memanfaatkan sebaiknya program parti bagi tujuan kempen, antaranya Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Marang dan Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur awal bulan ini.

Malah, kempen melalui siri multaqa (konvensyen) ulama PAS peringkat nasional dan negeri juga dilihat memainkan peranan ke arah melebarkan "kepimpinan ulama" melalui resolusi untuk mengukuhkan kepimpinan golongan itu.

Asakan 'makan diri' DAP

Di media sosial juga begitu, selain beberapa pemimpin progresif yang lantang mengkritik kepimpinan presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, mereka terus ketinggalan dalam perang saraf di Internet.

"Tak ada kepimpinan. Tak ada visi (setakat ini). Ahmad Awang dilihat berseorangan, tetapi kumpulan progresif tidak dilihat bersama.

"Mereka hanya tunggu untuk dipukul habis-habisan. Kita tunggu dan lihat," kata sumber lagi.

Sementara itu, daripada aspek luaran pula, serangan bertubi-tubi DAP terhadap Hadi dilihat tidak sedikit pun melemahkan penguasaan kumpulan proulama, mahupun kepimpinan anggota Parlimen Marang itu.

Walaupun Hadi berdepan kritikan paling lantang sejak 13 tahun menerajui PAS, asakan berlebihan daripada luar hanya mengundang kebimbangan dalaman terhadap maruah parti Islam itu daripada diperkotak-katikkan oleh DAP.

Malah, ia menyebabkan kumpulan pro-Pakatan tersepit. Ia sekali gus membantutkan asakan supaya dilihat 'patriotik' dan tidak dituduh bersekongkol dengan DAP – yang mempunyai masalah serius terhadap dasar-dasar Islam PAS sejak dahulu lagi.

Akhirnya, undi simpati terus memberikan kelebihan kepada Hadi. Ini ditambah lagi dengan faktor kesihatan Hadi yang merosot akhir-akhir ini.

Ini tergambar daripada jumlah pencalonan diterima Hadi yang masih utuh, walaupun tokoh ulama PAS Ahmad Awang digembur-gemburkan sejak sekian lama mampu membuat kejutan.

Malah, ketika Hadi memberi alasan kesihatan apabila gagal hadir ke mesyuarat Pakatan sebelum ini, DAP masih terus mengasaknya dengan menggesa Hadi tidak lagi ponteng demi melicinkan perjalanan Pakatan.

Bagaimanapun, faktor ini ditolak oleh kumpulan pro-Pakatan yang melihatnya pemilihan kali ini semata-mata pertembungan jalur fikrah berbeza dalam PAS.


 

Dr M: BN tak perlu bantuan saya dalam PRK

Posted: 30 Apr 2015 08:20 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat BN tidak memerlukan bantuannya dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.

Bagaimanapun, beliau berpandangan BN berpeluang menang kerusi parlimen tersebut ekoran perselisihan berhubung isu hudud yang melanda Pakatan.

"Saya tak fikir mereka (BN) perlukan bantuan saya. (Tetapi) saya fikir mereka mempunyai peluang untuk menang.

"Sebab isu hudud, PKR tak sokong. Jadi PAS mungkin tidak akan bantu.

"Maka ia boleh beri peluang (pada BN)," katanya dalam sidang media selepas program Cakna Ilmu di USM Pulau Pinang.

Selain itu, ditanya mengenai calon BN di Permatang Pauh, Mahathir berkata, beliau tidak mengenali Suhaimi Sabudin, tetapi yakin dia merupakan pilihan yang bagus.

"Saya tak kenal dia. Tapi saya baca dia calon yang bagus saya harap BN menang," katanya.

Ditanya mengenai pencalonan kali kedua Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon kawasan itu, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, PKR merupakan sebuah parti "keluarga".

Malah, katanya penubuhan parti itu juga hanya untuk menguruskan "parti keluarga" itu.

"PKR memang akan selalu mendahulukan ahli keluarga. Parti itu hanya ditubuhkan untuk memberikan sokongan kepada parti keluarga itu," kata Mahathir ringkas.

Sementara itu, di program Cakna Ilmu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM itu, Mahathir hanya menyentuh mengenai latar belakang hidupnya serta memberi pandangan mengenai pengalamannya selaku bekas perdana menteri.

Program yang dihadiri kira-kira 2,000 pelajar ini juga sedikit berbeza berbanding sebelum ini apabila beliau langsung tidak menyentuh tentang kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beliau hanya menyentuh mengenai betapa pentingnya pemimpin dalam sesebuah organisasi supaya tidak hanya bergantung harap pada perkara lain.

"Saya biasa lihat sekolah di seluruh negara. Ada sekolah yang maju dan apabila dikaji saya dapati kepimpinan dalam sekolah itu ialah kepimpinan terbaik. Ada idea, pengetahuan. Sedangkan sistem sekolah sama seluruh negara.

"Ada sekolah yang maju dan yang tidak. Jadi orang yang memimpin itu memainkan peranan yang besar," katanya menjawab soalan moderator sama ada perlunya kuasa autonomi sesebuah universiti untuk menaikkan kualiti sesebuah institusi.


Muhyiddin rayu hadirin tepuk tangan

Posted: 30 Apr 2015 08:18 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ucapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di satu acara di Permatang Pauh hari ini disambut dengan acuh tidak acuh oleh kira-kira 500 orang pendidik yang hadir.

Hinggakan, Muhyiddin terpaksa meminta para hadirin menepuk tangan – sekurang-kurangnya empat kali sepanjang ucapan 40 minit itu.

Ada di kalangan para hadirin terbabit, yang sebahagian besarnya merupakan para guru, diperhatikan hanya menunjukkan wajah bosan dan ada juga yang mengambil peluang melelapkan mata.

Muhyiddin memulakan ucapannya dengan membangkitkan mengenai kadar kemiskinan dalam negara yang menurutnya berjaya dikurangkan.

Tambahnya, jumlah miskin tegar itu tidak mencapai tahap dua peratus.

Bagaimanapun, para hadirin tidak menepuk tangan selepas mendengar statistik yang dikongsinya itu.

"Tak apalah jika anda tidak tepuk, biasalah," katanya

Beliau seterusnya menyebut pula tentang sistem e-Kasih yang bertujuan untuk mengukur kadar kemiskinan dalam negara.

"Sistem ini diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai sistem paling baik di dunia untuk mengukur kadar kemiskinan," katanya.

Kata-katanya itu bagaimanapun tetap gagal meraih tepukan.

"Ah... tolong tepuklah. Saya bercakap dengan orang pandai... Saya tidak tipu," katanya.


Kad prabayar: Ahmad Maslan vs Shabery

Posted: 30 Apr 2015 08:15 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Isu mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas kad tambah nilai telefon prabayar semakin kusut dengan kenyataan berbeza dari dua anggota Kabinet dari Umno.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyebelahi agensinya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang setuju agar kad tambah nilai tidak dinaikkan.

Menurut Shabery, syarikat telekomunikasi tidak akan kembali mengenakan harga lama seperti sebelum penguatkuasaan GST.

Namun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyebelahi Jabatan Kastam Diraja Malaysia, yang menuntut agar telco mengenakan harga lama.

Menurutnya, harga tersebut telahpun ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.

"Keputusan Kabinet pada 3 April mengatasi keputusan yang lain tentang isu kad prabayar. Tentu pihak telco sudah tahu tentang ini," katanya di Twitter.

Dalam tulisannya itu, beliau turut memuatkan pautan laporan berhubung keputsan Kabinet bahawa harga kad prabayar tidak akan dinaikkan walau dengan pelaksanaan GST.

Shabery pula berkata, syarikat telekomunikasi tidak akan dapat menetapkan harga kembali ke paras asal, seperti diarahkan oleh Kastam.

"Bayaran kad prabayar ini juga melibatkan pembayaran melalui bank serta pembayaran secara elektronik selain ia melibatkan seramai 30,000 ejen seluruh negara.

"Perubahan perisian dan sistem perlu dilakukan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Tambahnya, SKMM dan Kastam telahpun bersetuju untuk mendapatkan maklum balas pengguna berhubung pelaksanaan GST sebelum membuat keputusan lanjut.

Menurutnya, kajian itu akan siap pada minggu ini dan akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet minggu depan, lapor Bernama.

Tinjauan Malaysiakini awal bulan ini mendapati, ada di kalangan peruncit menghentikan jualan selepas pelaksanaan GST kerana keliru dan bimbang akan mengalami kerugian.

Menurut kiraan SKMM, jika isian semula itu bernilai RM10, ia akan dijual dengan harga RM10.60

Pengguna juga boleh beli dengan harga RM10 bagi mendapatkan isian semula bernilai RM9.43.

Kastam pula mahu harga tersebut kekal pada harga lama, dengan nilai yang sama dengan harganya.


Zaid: Najib tak ubah seperti maharaja

Posted: 30 Apr 2015 08:10 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim melihat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini tidak ubah seperti seorang maharaja yang sanggup membuat apa sahaja tanpa rasa tanggungjawab.

Oleh itu, Najib perlu digantikan dengan calon lain yang lebih sesuai, katanya yang mengumpamakan perdana menteri seperti seorang maharaja Perancis, Louis XIV.

"Oleh itu, Najib adalah maharaja Malaysia yang pertama. Memangpun dia berlagak seperti maharaja. Beliau sangat kaya sebab, seperti Louis XIV, beliau mewarisi kekayaan yang besar, seperti didakwa pejabatnya.

"Bila adik beradiknya terpaksa jelaskan bahawa arwah bapa mereka – perdana menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak – bukan seorang yang kaya, Najib tidak pula menjelaskan bagaimana sebenarnya beliau mendapat duit.

"Beliau tidak beritahu rakyat jumlah kekayaannya, kerana seperti juga seorang maharaja, beliau tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada sesiapapun," kata Zaid.

Selain itu, Najib tidak berminat untuk menjelaskan mengenai motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kata Zaid.

"Bila pengawal keselamatannya bunuh seorang wanita dari Mongolia dan meletupkan jasadnya hingga berkecai, beliau tidak berasa bahawa perlu ditanya sebabnya.

"Beliau tidak berminat langsung untuk menjelaskan perkara pelik ini padahal semua orang ingin tahu sebab pembunuhan itu berlaku.

"(Najib) hanya berminat untuk bersumpah dengan nama tuhan bahawa beliau tidak mengenali (Altantuya).

"Dengan lagak seorang maharaja, beliau tidak perlu bertanggungjawab ke atas tindakannya, dan seterusnya, para pengawalnya itu," tambahnya.

Dalam tulisannya di blog zaid.my, bekas MP Kota Bharu itu seterusnya membangkitkan mengenai isu pentadbiran dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kata Zaid, Najib masih belum menjelaskan mengenai hutang 1MDB sebanyak RM48 bilion.

"Beliau juga nampaknya tidak segan bila syarikat kerajaan ini terpaksa minta sedekah baru-baru ini untuk mendapatkan RM2 bilion bagi membayar faedah kepada bank.

"Tapi dia tidak perlu menjawab persoalan mengenai 1MDB kerana beliau seorang maharaja," kata Zaid


Tiada ulasan: