Khamis, 23 April 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Peguam Azilah tarik diri kes saman keluarga Altantuya

Posted: 23 Apr 2015 07:18 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Peguam Datuk Hazman Ahmad menarik diri daripada mewakili bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita Mongolia itu.
  
Hazman memaklumkan perkara berkenaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Suraya Othman ketika kes itu disebut di dalam kamarnya hari ini.
  
Ketika dihubungi pemberita, peguam itu memberitahu keputusan untuk menarik diri dibuat berikutan beliau tidak mendapat arahan daripada Azilah berhubung kes saman itu.
  
Bagaimanapun, Hazman berkata Suraya meminta beliau mengemukakan permohonan untuk menarik diri secara rasmi pada tarikh pengurusan kes saman itu pada 29 Mei.
  
Sementara itu, peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili keluarga Altantuya, memberitahu pemberita mahkamah memerintahkan pihaknya memfailkan permohonan bagi membuat pindaan ke atas pernyataan tuntutan anak guamnya.

"Mahkamah arahkan pihak kami failkan permohonan selewat-lewatnya 28 Mei sebelum tarikh pengurusan kes pada 29 Mei ini," katanya.
  
Selain Ram dan Hazman, peguam C.F. Kwan hadir bagi pihak penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar hadir bagi pihak kerajaan Malaysia.
  
Pada 4 Jun 2007, bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan ibu wanita Mongolia itu, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak dan kerajaan Malaysia, menuntut pampasan RM100 juta.
  
Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006.
  
Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
  
Bagaimanapun, pada 13 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah, serta menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
  
Dalam kenyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.
  
Mereka mendakwa Altantuya telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar manakala cebisan mayatnya ditemui di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 7 Nov 2006.
  
Keluarga itu mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan kedua-dua anggota polis terbabit untuk membunuh Altantuya.
  
Keluarga Altantuya mendakwa akibat daripada perbuatan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak, mereka mengalami kehilangan dan kerugian terutama kedua-dua anak lelaki Altantuya yang kehilangan kasih sayang ibu serta satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.-Bernama


 

Web pro-BN dakwa komplot dalaman anti-Najib

Posted: 23 Apr 2015 07:16 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sebuah laman web pro-Umno mendakwa, terdapat pemimpin Pemuda Umno yang berkomplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laman Mykmu.net melaporkan, usaha itu dilakukan dalam satu mesyuarat bersama Pemuda Umno Johor di Rompin malam tadi.

Dalam mesyuarat itu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan atau dikenali sebagai Azwan Bro (kanan) didakwa menghasut ketua pemuda Umno bahagian Johor untuk menentang kepimpinan presidennya.

Menurut laporan itu lagi, mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh exco Pemuda Umno Arman Azha Abu Hanifah, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman dan Penolong Setiausaha Pemuda BN Datuk Mohamed Shafri Abd Aziz.

Azwan yang sepatutnya membincangkan strategi kempen Pemuda Umno Rompin dilaporkan turut melahirkan rasa tidak percaya dengan penjelasan Najib semasa pertemuan bersama Pemuda Umno minggu lalu.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen Pekan itu sekadar untuk membeli masa bagi menunggu laporan Ketua Audit Negara.

"Menurut sumber, Azwan mengingatkan Pemuda Johor bahawa sokongan Pemuda Umno Malaysia adalah kepada jawatan presiden Umno bukannya kepada Najib Tun Razak.

"Beliau turut menyatakan tidak percaya dengan penjelasan perdana menteri semasa pertemuan Pemuda Umno Malaysia minggu lalu dan percaya Najib hanya buying time (membeli masa) untuk menggunakan alasan menunggu Ketua Audit Negara," kata laporan itu.

Malah, laporan itu mendakwa, Azwan yang pernah menjadi ketua Pemuda Perak turut beranggapan, Najib harus ditumbangkan dan orang yang layak mengetuai tindakan itu ialah Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Laporan itu menyebut, pandangan Azwan itu turut mendapat sokongan Ketua Pemuda Umno Sri Gading, Simpang Renggam dan Pulai.

Mykmu.Net juga mendakwa, Azwan akan berada di Permatang Pauh esok untuk meneruskan agenda yang sama.

Arman: Cuma mahu naikkan rating

Khairy dan Azwan masih lagi tidak memberi sebarang respon terhadap dakwaan ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Arman menafikan laporan oleh Mykmu.net dan mengatakan ia bertujuan hanya untuk mendapatkan menaikkan rating laman web itu.

Malah, Arman (kanan) berkata, semasa mesyuarat itu semalam, tiada mana-mana pihak yang mendesak Najib meletakkan jawatan seperti yang dilaporkan.

Jelasnya, antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu semalam adalah tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Saya nak sanggah apa yang di perkatakan oleh penulis Mykmu yang mengatakan perbincangan untuk jatuhkan Datuk Seri Najib dalam sesi perbincangan semalam.

"(Saya) nak tanya, penulis ada ke dalam perbincangan semalam atau sekadar mendengar cerita dan manipulasi cerita sekadar mengejar rating bagi portal Mykmu?" soal Arman.

Malah Ketua Pemuda Umno Johor Hahasrin Hashim turut menafikan perkara sama.

Dalam tulisan di Facebooknya, Hahasrin berkata, perbincangan malam tadi menjurus kepada gerak kerja parti di peringkat Pemuda Umno Johor termasuk berbincang isu nasional.

"Tidak timbul isu untuk Pemuda buat gerakan menjatuhkan pemimpin.

"Pemuda masih berpegang kepada kesetiaan dalam perjuangan parti dan kepada pihak yang mengambil kesempatan digesa untuk menghentikan tohmahan dan tuduhan liar tersebut," tulisnya.




Isu gereja: Rujuk undang-undang sebelum cakap

Posted: 23 Apr 2015 07:11 AM PDT


Abu Bakar Yahya Abu Bakar Yahya
 
 
 
SHAH ALAM - Perkasa Selangor desak kerajaan negeri merujuk undang-undang sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan rakyat di sebalik isu gereja di Taman Medan, Petaling Jaya yang mendapat bantahan penduduk sekitar baru-baru ini.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, merujuk kenyataan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perhubungan Bukan Islam Selangor, Elizabeth Wong bahawa premis komersil yang dijadikan tempat ibadat tidak memerlukan permit, ia seolah-olah dibuat tanpa merujuk dari segi perundangan.

"Kenyataan Exco Selangor itu agak janggal malah bertentangan dengan kenyataan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)  yang menegaskan bahawa mana-mana pusat ibadat yang beroperasi di premis komersil di kawasan MBPJ supaya mematuhi Akta 133 Seksyen 70 (12)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Abu Bakar, akta berkenaan menetapkan sesiapa yang menggunakan sesuatu bangunan atau bahagian bangunan bagi sesuatu maksud tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT, boleh didenda tidak melebihi RM25,000 dan denda tambahan tidak melebihi RM500 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

"Sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Elizabeth sepatutnya merujuk terlebih dahulu dari sudut undang-undang yang terpakai dalam isu gereja berkenaan sebelum menyalahkan mana-mana pihak di sebalik bantahan masyarakat Islam di kawasan itu sebelum ini.

Sebelum ini Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria itu turut mendedahkan gereja terbabit tidak mempunyai permit dan tidak pernah membuat permohonan bertulis kepada PBT untuk menjalankan aktiviti keagamaan di premis berkenaan.


Tindakan 13 ADUN PR Negeri Sembilan biadap, kata penganalisis

Posted: 23 Apr 2015 07:09 AM PDT

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tindakan kesemua 13 ADUN Pakatan Rakyat tidak memberi sebarang respon terhadap titah ucapan perasmian DUN Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar (YDPN), Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah biadap serta tidak matang dalam berpolitik.
 
Malah, Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UMK), Prof Datuk Dr. Ramlah Adam menyifatkan tindakan kesemua wakil rakyat itu sebagai tidak bertamadun.
 
"Saya rasa mereka ini semua tak matang, tak profesional, tak bertamadun, tak beradap. Sudah tentu (adakah kesemua 13 ADUN PKR dan DAP mahu bersikap biadap dan tidak matang dalam berpolitik), saya rasa dia tidak hormat pemerintahan negeri dan bukan institusi Raja sahaja. Pemerintahan negeri adalah Sultan dan Raja serta ada YDP.
 
"Bila ditolak macam itu makna dia tak hormat, tak peduli," tegasnya kepada Antarapos. 
 
Ujar Ramlah lagi, tindakan pemimpin pembangkang ini bukan sahaja menimbulkan kebencian rakyat kepada sistem berpelembagaan.
 
Lantas, Ramlah mempersoalkan kerajaan bagaimanakah yang akan diwujudkan oleh pemimpin pembangkang jika mereka sendiri berpegang kepada sistem Pelembagaan Negara.
 
"Mereka telah menimbulkan kebencian pada orang yang percaya pada sistem. Tapi kalau mereka yang tak percaya pada sistem apa jenis kerajaan yang hendak dibuat?
 
"Adakah mereka hendak memerintah ikut suka dia orang sahaja dengan ketepikan pemerintahan Sultan...mana boleh. 
 
Ramlah juga turut mempersoalkan apakah wakil rakyat pembangkang sengaja mahu memperlihatkan keberanian mereka dengan tidak mempedulikan perlembagaan negara.
 
"Biadaplah, tak pernah berlaku dalam sejarah negara. Adakah itu hendak menunjukkan mereka ini berani atau nak tunjuk ketidakpedulian mereka dengan sistem (Negara Berpelembagaan)," soalnya.
 
Tegas Ramlah, beliau bimbang dengan sikap yang ditonjolkan pemimpin pembangkang ini kerana ia bukan sahaja akan menimbulkan huru-hara didalam negara bahkan bakal membuat keputusan yang salah dalam pentadbirannya seperti mana yang berlaku di Selangor kini. 
 
"Saya rasa ini sikap tak bertanggungjawab dan bila jadi kerajaan dia akan menimbulkan keadaan huru-hara serta membuat keputusan-keputusan yang salah seperti mana di Selangor sekarang (isu air) sekejap betul, sekejap tarik balik, sekejap mahu berunding...tak malu ke?
 
"Saya rasa dia orang tidak efisen, tak layak jadi pemerintah," ujarnya.
 
Selangor sebelum ini bermain tarik tali dengan kerajaan Pusat berhubung isu perjanjian air. Sehingga kini status perjanjian air itu menjadi tanda tanya walaupun menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTha), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili tempoh memuktamadkan perkara itu kan berakhir hujung bulan ini.
 
Justeru, menurut Ramlah apa yang berlaku kini adalah isyarat kepada rakyat agar tidak terus menerus memilih pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta tidak beretika.
 
"Saya rasa ini signal kepada rakyat. Sepatutnya rakyat memilih orang yang lebih bertanggungjawab, amanah, beretika dan bertamadun untuk jadi wakil mereka.
 
Untuk rekod inilah kali pertama dalam sejarah sidang DUN Negeri Sembilan, titah ucapan YDPN tidak disokong atau ditolak ADUN pembangkang negeri itu.
 
 

Tak mustahil PAS atasi majoriti undi BN di Rompin, kata Nasruddin

Posted: 23 Apr 2015 07:06 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
MUADZAM SHAH: Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pahang, Nasruddin Hasan berkata tidak mustahil parti itu boleh membuat kejutan sekaligus mengatasi majoriti undi yang pernah diperoleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, 5 Mei ini.
 
Menurut Nasruddin, apa yang penting  dengan isu yang melingkari kerajaan kini khususnya isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sokongan pengundi di parlimen ini berkemungkinan akan beralih kepada PAS.
 
Ini diperkukuhkan lagi dengan pengalaman parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di beberapa kawasan yang pernah menjadi kubu kuat BN sebelum ini, yang mana pengundi membuat penolakan jelas kepada parti pemerintah berkenaan, ujarnya.
 
"Kalau tengok pengalaman PRU 13 di Shah Alam, kita dahulu ketinggalan majoriti banyak juga.
 
"Soal mengatasi majoriti tak mustahil, yang pasti 'swing' (peralihan) pengundi mungkin akan buat perubahan.
 
"Isu GST, isu rumah, isu ekonomi ia relevan untuk rakyat buat peralihan  atau pindahkan sokongan mereka (kepada PAS)," katanya dalam sidang media di Markas Induk, di sini, pagi tadi.
 
Nasruddin berkata demikian sebagai mengulas peluang PAS mengatasi majoriti undi yang diperoleh bekas penyandang kerusi parlimen itu, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam PRU13 yang lalu.
 
PAS mempertaruhkan Nazri Ahmad dalam PRK ini untuk bersaing dengan Datuk Hasan Ariffin bagi merebut kerusi yang dikosongkan Jamaluddin yang maut dalam nahas helikopter, 4 April lalu.
 
Dalam PRU13, Jamaluddin yang juga penyandang kerusi parlimen Rompin selama enam penggal berturut-turut mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
 
Ahli Parlimen Temerloh itu juga berkata rakyat perlu menggunakan PRK ini untuk menzahirkan penolakan terhadap BN berikutan pelaksanaan cukai baharu itu.
 
"Slogan kita, satu undi untuk PAS, satu undi tolak GST.. Atau satu undi untuk BN maknanya satu undi sokong GST.
 
"Walaupun kemenangan ini nanti tak mengubah kerajaan tapi sekurang-kurangnya kita bawa suara rakyat di Parlimen," ujarnya.
 
Selain isu GST, PAS juga katanya akan mengetengahkan isu tempatan yang melingkari pengundi di parlimen berkenaan, antaranya isu Felda dan rumah mampu milik untuk golongan belia bagi meraih undi.
 
 

Nelayan sesak nafas, kejang kaki atas pokok kelapa

Posted: 23 Apr 2015 07:04 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
BACHOK: Seorang nelayan terpaksa menunggu lebih tiga jam di atas pokok kelapa setinggi 15 meter dan terpaksa melupakan hasrat untuk minum air kelapa muda apabila dia tidak dapat turun dari situ dipercayai akibat sesak nafas.
 
Shamsudin Husin, 52, dari Kampung Changgong berkata, ketika jam baru sahaja menunjukkan 12 tengahari dan dia baharu sahaja pulang dari menangkap ikan di laut.
 
Dia kemudiannya memanjat pokok kelapa yang terletak beberapa meter dari rumahnya untuk mendapatkan kelapa muda untuk dijadikan santapan tengahari bersama nasi.
 
"Saya hanya sempat jatuhkan sebiji kelapa sahaja sebelum rasa sesak nafas dan kaki kejang. Seluruh anggota badan saya rasa lemah dan saya tak dapat turun.
 
"Kemudian saya menjerit maklumkan budak- budak di bawah untuk minta bantuan. Dua remaja iaitu Zahasmi Zamburi,20, dan Fadil Ismail,22, naik ke atas untuk membantu. Mereka naik berikan saya nasi dan air.
 
Saya makan di atas pokok sementara menunggu bomba datang. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba dari Kota Bharu yang datang selamatkan saya tadi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
 
Shamsudin berkata, sebelum ini dia tidak pernah memanjat pokok kelapa itu dan kali ini hatinya tergerak untuk memanjat sendiri pokok bagi mendapatkan kelapa muda.
 
Difahamkan, Shamsudin yang tinggal sendirian di sebuah rumah berdekatan pantai Kampung Changgong itu adalah penghidap darah tinggi dan gastrik.
 
Manakala, operasi menyelamatkan mangsa dilakukan pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin Senawi bersama 10 anggota.
 
Dua buah jentera termasuk Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) digunakan bersama peralatan tangga dan tali menyelamat untuk membawa turun mangsa

[PANAS] Siapa Tanggung 250 Jemputan Ke Majlis Resepsi Di Kazakhstan?

Posted: 23 Apr 2015 06:59 AM PDT

KELAB GREENBOC



 

Majlis resepsi anak PM selesai

Majlis resepsi perkahwinan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur berlangsung dengan meriah di Almaty, Kazakhstan.

Menurut kenyataan yang disiakan Jabatan Perdana Menteri, majlis Nooryana Najwa Najib dan suaminya, Daniyar Kesikkbayev telah diadakan di Grand Ballroom, Hotel Royal Tulip dan dihadiri 250 jemputan dari Malaysia.

Ia berlangsung selama dua hari dari 17 hingga 19 April lalu. Berbeza dengan majlis di KLCC sebelum ini, ia diberikan liputan dan gambar pasangan serta keluarga masing-masing disiarkan media.

Sebelum majlis resepsi bermula, Perdana Menteri dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Nursultan Nazarbayev.


Di mana Najib?


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berada di Kazakhstan dan telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Nursultan Nazarbayev.

Berita mengenai lawatan itu disiarkan agensi berita luar negara itu, kazinform.

Dalam berita yang bertarikh 18 April 2015, Najib bersama rakan sejawatnya mengadakan perbincangan di Almaty.

Ia menyentuh perbincangan dua hala yang mencakupi kerjasama dalam bidang ekonomi, dagangan, pelaburan dan kemanusian.

Bagaimanapun laporan berita berkenaan tidak menyiarkan sama ada beliau diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor atau sebaliknya.

Usaha FMT untuk mendapatkan kesahihan berhubung lawatan Perdana Menteri ke negara berkenaan melalui Facebook dan Twitternya gagal kerana tiada sebarang status lawatan ke luar negara yang dikemaskini.
-FMT

ULASAN GB

Baru saja Tun Mahathir menyelar gaya hidup mewah Najib & Rosmah, tup-tup Najib dan Rosmah hilang lagi, rupa-rupanya ke Kazakhstan untuk majlis resepsi perkahwinan anaknya di sana.

Anehnya pemergian mereka ke sana lansung tidak diberitakan. Ianya hanya diketahui apabila akhbar di Kazakhstan yang memberikan liputan.

Dilaporkan seramai 250 orang jemputan dari Malaysia mengikuti rombongan tersebut. Wah ramai tu... Berapa kos dan siapa yang menanggung perbelanjaan? Mungkin ia acara persendirian Najib dan Rosmah dan tidak sepatutnya ditanggung oleh negara.

Tetapi berdasarkan maklumat di akhbar Kazakhstan satu pertemuan dua hala di antara Najib dan Presiden Kazakhstan telah berlansung pada Nursultan Nazarbayev pada 17 April yang lalu. Bererti lawatan Najib itu ke Kazkhstan itu adalah satu LAWATAN RASMI yang ditanggung dengan wang rakyat.

Apakah ia juga bererti kesempatan itu digunakan oleh Najib dan Rosmah membawa 250 orang jemputan untuk majlis yang bukan majlis rasmi negara iaitu majlis resepsi perkahwinan anaknya dengan ditanggung menggunakan wang rakyat?

Nampaknya dari awal, Najib dan PMO telah sembunyikan laporan Najib & dan Rosmah ke Kazakhstan itu bersama-sama lebih 250 jemputan dari pengetahuan rakyat.

Pilihan Raya Kecil Gerakan: ‘cakap besar’ untuk puaskan hati Umno lagi di Permatang Pauh

Posted: 23 Apr 2015 06:44 AM PDT




Oleh Ng Kee Seng 


Wah! Sejak bilakah BN Gerakan mengambil berat mengenai "kebajikan" politik PKR dan Pakatan Rakyat? Atau adakah Gerakan telah membelot, mensabotaj BN-Umno di Permatang Pauh?
Harapanlah! Tidak mungkin, kerana Gerakan akan terus melekap dengan BN-Umno seperti lintah.
Itu semua adalah desas-desus politik bodoh oleh ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.

The Star Online memetik Tan sebagai memberi amaran yang Pakatan akan mengalami tindak balas jika ia membuat keputusan untuk meletakkan ahli keluarga Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh 7 Mei.

Betul ke? Tan, mengapa tidak biarkan saja PKR melakukan kesilapan dan menjejaskan peluangnya dalam pilihan raya kecil, dengan meletakkan presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail atau ahli-ahli keluarga Anwar yang lain.

Hakikatnya adalah BN takutkan tindak balas terhadap penahanan Anwar dan banyak isu-isu sosio-ekonomi yang memberi kesan terhadap rakyat Malaysia, disebabkan parti itu.

1Malaysia Development Berhad yang dibebani hutang bernilai RM42 bilion, hutang persekutuan yang meningkat, memaksa rakyat Malaysia membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) setiap saat walaupun hanya untuk teh tarik dan roti canai, meminda Akta Hasutan untuk mengetatkan penguatkuasaannya dan menjahit bibir rakyat, menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) untuk memudahkan lagi penahanan tanpa perbicaraan, toleransi berterusan terhadap golongan fanatik kaum dan agama, dan lain-lain lagi.

Tan mendakwa yang satu kajian lapangan menunjukkan bahawa pengundi-pengundi akan menunjukkan rasa tidak puas hati mereka jika PKR mencalonkan sama ada Azizah, atau anak perempuan Anwar, Nurul Nuha.

"Ia terbukti apabila Anwar telah disabitkan buat pertama kali pada tahun 1999, Azizah bertanding dan mengambil alih tempatnya. Kemudian pada tahun 2008, beliau mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar.

"Ia berlaku sekali lagi sekarang, Anwar telah disabitkan dan mereka sedang merancang untuk mencalonkan ahli keluarganya," katanya pada sebuah sidang akhbar selepas mempengerusikan sebuah mesyuarat pilihan raya kecil akhbar.

Betulkah, Tan? Siapa sebenarnya yang menyebabkan Anwar dipenjara di bawah keadaan yang mencurigakan, dan memaksa pilihan raya kecil dijalankan?

Tan menambah: "Baru-baru ini turut dilaporkan bahawa PAS Permatang Pauh turut 'memberi amaran' supaya PKR tidak mencalonkan mana-mana ahli keluarga Anwar.

"Perlu ada perubahan di Permatang Pauh, dan ini adalah peluang kepada pengundi untuk 'ubah' (perubahan)," kata Tan, merujuk kepada slogan DAP "Ubah".

Pihak yang benar-benar memerlukan perubahan adalah Tan dan Gerakan, untuk mengumpul keberanian dan komitmen dalam menghadapi Umno dan menghentikan golongan fanatik perkauman dan agama yang sedang bermaharajalela.

Tan mendakwa yang Gerakan juga telah merangka strategi untuk menentang Pakatan di Permatang Pauh.

"Kami akan melawan pakatan pembangkang menggunakan media sosial. Itu adalah alat yang mereka telah gunakan untuk bermain permainan persepsi dengan rakyat.

"Sudah tiba masanya kami berhadapan dengan mereka menggunakan alat mereka. Selain itu, kami berharap untuk melihat sejumlah 500 belia dari Gerakan untuk membantu dalam pilihan raya kecil ini," katanya.

Betul ke? Bukankah Gerakan ada berbuat demikian dalam PRU13, selepas kalah teruk dalam PRU12?

Najib Makin Dibenci Kerana GST, Minum Teh Tarik Pun Kena Cukai 6 Peratus...

Posted: 23 Apr 2015 03:58 AM PDT

shahbudindotcom




Tidak sampai sebulan selepas cukai GST dilaksanakan pada 1 April lalu, rungutan rakyat mengenainya boleh didengari di mana-mana saja ketika ini.

Tidak saja rakyat biasa dan mereka yang tidak berparti, ahli UMNO dan penyokongnya pun tidak segan-segan mengeluh mengenai cukai baru ini. Yang memihak parti lawan tentulah boleh dijangka reaksi mereka.

Rata-rata mengadu perbelanjaan mereka sekarang ini mulai bertambah berbanding sebelum GST dilaksanakan. Ini kerana apa saja pembelian dilakukan, tambahan 6 peratus sudah sedia menunggu.

Jika di restoran tertentu pula, ia termasuk lagi caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus. Akhirnya tambahan yang terpaksa dikeluarkan ialah sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, ada pula peniaga yang mengalami kekurangan pelanggan sejak cukai GST ini dikuatkuasakan. Mereka mengeluh ada pelanggan yang membatalkan hasrat membeli barangan apabila diberitahu ianya dikenakan cukai tersebut.

Seorang pengusaha bakeri di sebuah pusat membeli belah berkata, pelanggannya jelas berkurangan sejak GST dilaksanakan kerana ramai yang enggan membayar tambahan harga 6 peratus itu.

Di pelbagai lapisan masyarakat, rata-rata menyifatkan GST adalah umpama "pukat harimau" yang mengaut secara borong mangsanya, dari ikan paling besar hinggalah kepada sekecil-kecil ikan bilis.

Seorang Ahli Parlimen dari Sabah  misalnya yang membayar kos rawatan untuk anaknya sebanyak RM20 ribu dan ubat-ubatan lagi sebanyak RM5 ribu turut mengeluh kerana GST menyebabkannya terpaksa membayar tambahan 6 peratus lagi daripada jumlah itu.

Semua aspek perbelanjaan rakyat ketika ini mengalami kenaikan, tidak kira sama ada seseorang itu orang kaya mahupun orang miskin. Malah ramai juga bersungut kerana aktiviti kesukaan harian iaitu minum teh tarik bersama rakan-rakan pun turut dikenakan GST.

Selain itu, walaupun ada barangan tertentu dikecualikan GST tetapi apabila mereka membelinya di pasaraya, semuanya dikira sekali dan dari jumlah keseluruhannya tetap juga dikenakan tambahan 6 peratus itu.

Hakikat bahawa ada barangan tertentu turun harga sepertimana yang digembar-gemburkan oleh kerajaan, langsung tidak dirasai oleh rakyat. Apa yang mereka rasai hanyalah kenaikan saja.

Bagi yang membayar bil-bil harian juga mulai mempersoalkan kewajaran mereka dikenakan cukai GST sedangkan yang lebih mengaut keuntungan ialah syarikat pengendalinya.

Dalam keadaan sekarang, selain syarikat pengendali harus membayar cukai perniagaan mereka, rakyat yang menjadi pengguna juga turut dibebankan sama.

Apakah ini maknanya apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan bahawa GST adalah sistem cukai yang lebih telus, cekap dan berkesan?

Dengan GST umpama "pukat harimau" yang mampu menangkap sesiapa saja sebagai mangsanya, rakyat sebenarnya lebih percaya ia adalah kaedah paling mudah bagi kerajaan untuk mengaut perolehan yang lebih baik bagi mengisi kantung perbendaharaan negara yang selalu menipis akibat pemborosan dan pembaziran.

Dan ini sekaligus meletakkan kerajaan pimpinan Najib Razak lebih dibenci majoriti rakyat kerana seolah-olah menjadikan mereka sebagai mangsa pembulian yang berterusan.

Baru tidak sampai sebulan, luapan kebencian akibat GST ini sudah boleh dirasai di mana-mana. Bayangkan jika setelah 3 bulan, 6 bulan atau setahun selepas ini?

Kebencian yang makin membuak-buak ini jugalah yang menjadikan serangan dan kritikan Tun Mahathir terhadap Najib lebih mendapat sambutan daripada rakyat. Ini kerana Tun Mahathir jelas tidak berapa senang dengan GST dan meminta rakyat menunjukkan bantahan mereka di peti undi jika tidak bersetuju dengannya.

Apa yang mereka harapkan dengan berlakunya perubahan kepimpinan melalui apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir nanti, akan berlaku sesuatu yang positif berkenaan GST ini. 

Oleh kerana ia sudah dilaksanakan, ramai yang bersetuju mungkin agak sukar untuk membatalkan terus perlaksanaan cukai itu tetapi kadar 6 peratus yang dikenakan sekarang tentu boleh dikurangkan kepada 4 atau 3 peratus misalnya.

Melihat kepada serangan Tun Mahathir yang semakin agresif, dari 1MDB dan Sirul tetapi kini makin melebar kepada aspek lain seperti  Jambatan Bengkok, Rel Berkembar, budak-budak tingkat 4 ala British, pembaziran dan sebagainya, adalah langkah terbaik dalam meraih sokongan jika isu kadar GST yang dianggap membebankan turut menjadi subjek bekas Perdana Menteri itu selepas ini. 

Percayalah, Tun Mahathir akan lebih disokong dan disukai rakyat jika turut menolak kadar 6 peratus itu.

Jubah 'terlajak jarang', Aliff Syukri mohon maaf

Posted: 23 Apr 2015 03:56 AM PDT


Jubah 'terlajak jarang', Aliff Syukri mohon maaf Salinan paparan perkongsian di Facebook oleh Datuk Aliff Syukri
 
 
 
PENGASAS produk kesihatan, Datuk Aliff Syukri memohon maaf selepas fotonya yang sedang memakai jubah dan dianggap jarang, tersebar di laman sosial Facebook.

Melalui satu perkongsian di laman Facebook bertarikh 17 April, Aliff Syukri memberitahu bahawa perkara tersebut terjadi kerana kesan pencahayaan.

"Maafkan kekhilafan sebentar tadi. Saya memang tak perasan gambar yang diupload sebab terlalu sibuk.

"Gambar terlanjur tadi kelihatan seperti itu tadi kerana pencahayaan...," jelas beliau.

Sebelum ini, foto yang digelar 'jubah terlajak jarang' tersebut tersebar dan menarik perhatian beribu-ribu pelayar laman sosial kerana terlalu jarang hingga menampakkan pakaian dalam.


Artikel kemewahan Najib: Zahrain jumpa Tempo

Posted: 23 Apr 2015 03:50 AM PDT

 
Fakta mengenai kekayaan dan kemewahan hidup Najib dan Rosmah seperti yang disiarkan Tempo adalah tidak benar kerana ia mengambil fakta daripada media luar negara.


zahrain-tempo



PETALING JAYA: Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan mengadakan pertemuan dengan sidang pengarang majalah Tempo susulan laporan negatif terhadap Perdana Menteri dan isteri.

Zahrain berkata, pertemuan itu akan diadakan secepat mungkin bagi memberi penjelasan dan fakta sebenar termasuk latar belakang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, fakta mengenai kekayaan dan kemewahan hidup Najib dan Rosmah seperti yang disiarkan majalah itu adalah tidak benar kerana ia mengambil fakta daripada media luar negara.

"Saya melihat Tempo menulis berita itu dengan mengambil fakta daripada sumber lain termasuk media luar negara.

"Fakta itu tidak benar. Jadi saya mahu maklumkan fakta sebenar mengenai Perdana Menteri kita termasuk latar belakangnya," katanya kepada media di Bandung pada Rabu, lapor Harian Metro.

Tempo menyiarkan artikel berkaitan gaya hidup mewah Najib dan Rosmah dalam edisi khas sempena Ulangtahun ke-60 Persidangan Asia-Afrika yang akan diadakan di Bandung minggu ini.

Rencana bertajuk "Hidup Mewah Sang Perdana Menteri' turut mendakwa gaya hidup yang dipaparkan tidak setanding dengan gaji yang diterima Najib sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009.
Artikel itu turut mengaitkan kekayaan luar biasa anak tiri Najib, Riza Aziz.

Dia dikatakan membeli dua unit kondominum di tengah-tengah kota New York berharga ratusan juta ringgit.

50 aktivis anti-GST didakwa bawah APA

Posted: 23 Apr 2015 03:40 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


50 aktivis hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya ekoran mengadakan protes duduk bantah di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan pada 23 March lalu.

Mereka dituduh bawah Seksyen 21(1)(d) Akta Perhimpinan Aman (APA) yang dibaca bersama dengan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah dan tidak mematuhi arahan polis untuk bersurai.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM20,000. Hakim Azwarnida Affandi membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 yang mana keseluruhannya berjumlah RM75,000.

Ke semua mereka telah dibebaskan tetapi mereka perlu kembali ke mahkamah pada 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.


Pengawal TNB ditahan terlepas tembakan

Posted: 23 Apr 2015 03:38 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Polis menahan seorang pengawal keselamatan yang dilapor terlepas tembakan ketika bertugas di sebuah pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Mahsuri Bayan Baru di George Town semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata senjata jenis 'shotgun' dan lesen persendirian mengendalikan senjata api lelaki berumur 56 tahun itu turut dirampas.

Beliau berkata sembilan kesan tembakan ditemui pada dinding kaunter ketika senjata itu terjatuh ke lantai secara tidak sengaja dalam kejadian jam 5.20 petang itu.

"Ketika kejadian, tiga petugas sedang bekerja di kaunter dan seorang lagi pengawal keselamatan berada di kawasan berdekatan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Pulau Pinang sempena Peringatan Hari Polis ke-208 hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit yang berasal dari Balik Pulau berkhidmat selama tiga tahun di pejabat berkenaan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Sementara itu, beliau menyarankan syarikat keselamatan di negeri ini mengadakan sesi taklimat berjadual kepada kakitangan untuk mengingatkan mereka supaya sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan.

Terdahulu, beliau menyerahkan 40 hamper kepada pesakit kurang bernasib baik dan beberapa anggotanya yang sedang menerima rawatan di wad C9 dan wad C10 hospital itu.- Bernama
 
 
 

Ketua polis ditegur bekas ketua polis

Posted: 23 Apr 2015 03:34 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar salah apabila membersihkan penunjuk perasaan antisalib di Petaling Jaya sebelum siasatan dibuat, kata pendahulunya Tan Sri Musa Hassan.

"Beliau patut bertindak secara profesional," katanya apabila disoal berhubung perkara itu.

Musa berkata Khalid berkata Khalid sepatutnya menjalankan siasatan terlebih dahulu daripada berkata tiada kesalahan dilakukan.

Bekas ketua polis itu juga menyarankan supaya Khalid sendiri tidak terlibat dalam kes itu memandangkan abangnya antara yang terlibat dalam demonstrasi itu.

Sebaliknya, kata Musa, Timbalan Ketua Polis Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim sepatutnya yang menguruskan kes tersebut.

"Saya rasa polis perlu lebih profesional. Saya sendiri, kalau mana-mana anggota keluarga sya terlibat, saya tidak sepatutnya terlibat, penyiasatan perlu dilaksanakan," katanya.

Menurutnya lagi, perhimpunan bantahan di gereja itu tidak sepatutnya berlaku pada peringkat awal lagi.


Pas Permatang Pauh hanya akur arahan Hadi

Posted: 23 Apr 2015 03:30 AM PDT

SINAR HARIAN

PRK Permatang Pauh
 
 
 
BUTTERWORTH - Pas Permatang Pauh hanya akan menunggu arahan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung gerak kerja bahagian itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Yang Dipertuanya Omar Hassan berkata, kawasan itu tidak akan mengambil kira pandangan atau arahan sama ada daripada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden parti Mohamad Sabu, ataupun pengarah pilihan raya Pas untuk PRK berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

"Pas Permatang Pauh hanya akan dengar arahan dan akur kepada tuan guru presiden.

"Kami tak mahu ambil kira pandangan dia (Mujahid) sebab mereka tak ketemu dengan kami. (Sebelum beri pandangan)...dia kena turun jumpa kami baru dapat maklumat (tentang sentimen akar umbi)," katanya kepada pemberita selepas  mempengerusikan mesyuarat khas Pas Permatang Pauh di Dewan Masjid Seberang Jaya, di sini malam tadi.

Omar juga berkata, Pas Permatang Pauh masih berpegang kepada keputusan mesyuarat agung bahagian itu 19 April lepas supaya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menarik balik kenyataannya tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Omar berkata, sebagai seorang yang beragama Islam, Wan Azizah harus menyokong undang-undang itu, dan bukannya mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.

"Kami sekali lagi meminta Wan Azizah tarik balik kenyataan tak sokong hudud dan mohon maaf kepada umat Islam di seluruh negara...sebab kenyataan itu mengguriskan (hati umat Islam)," katanya.

Pada mesyuarat agung kawasan yang lepas, Pas Permatang Pauh menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada PRK kali ini.

Mereka turut memberi tempoh sehingga hari penamaan calon, 25 April ini, atau berdepan dengan risiko tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pas Permatang Pauh.

Sementara itu, Ketua Penerangan kawasan Jamsari Samad berkata, sukar bagi mereka untuk bekerjasama dengan PKR sekiranya terus berlaku percanggahan pendapat tentang hudud, kerana ia akan menyukarkan pihaknya memberi penerangan kepada pengundi beragama Islam sewaktu tempoh berkempen.

"Bila kami turun berkempen untuk dia (PKR), sudah tentu kesukaran itu akan berbalik kepada Pas sendiri," katanya.

Ditanya mengenai keputusan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang semalam bahawa pergerakan itu sanggup mengetepikan persengketaan sementara bagi menumpukan kepada PRK kali ini, Omar berkata Pas Permatang Pauh hanya akan menerima permohonan maaf Dapsy Pulau Pinang kepada Abdul Hadi.

"Kalau dia hormati presiden, dan turut membuat permohonan maaf, maka kami juga tidak akan ada masalah," katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei. - Bernama


Mahathir: Mana lagi RM27 bilion 1MDB?

Posted: 23 Apr 2015 03:23 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Dr Mahathir Mohamad hari ini membentangkan kiraanya terhadap pembelian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui pinjaman RM42 bilion dan mendakwa RM27 bilion tidak dapat dikesan.

Berdasarkan semua pembelian diketahui, jumlahnya menjadi RM14.7 bilion.

"Jadi, kira-kira RM27 bilion yang tinggal," katanya.

Beliau juga berkata lebih daripada AS$1 bilion dibayar kepada Petro Saudi tanpa pengesahan tentang nilai syarikat itu atau asetnya.

"Di mana wang yang lain?" soalnya dalam tulisan terkini di blognya hari ini.

Beliau menyenaraikan pembelian 1MDB seperti berikut:

1) Tanjong Energy (kini Powertek Energy Sdn Bhd) - RM8.5 bilion
2) Genting Sanyan Power (kini stesen janakuasa Kuala Langat) - RM2.3 bilion
3) Jimah Energy - RM1.2 bilion
4) 70 ekar tanah di Jalan Tun Razak (projek Tun Razak Exchange) - RM320 juta
5) 495 ekar tanah bekas lapangan terbang TUDM Sungai Besi TUDM (kini Bandar Malaysia) - RM363.5 juta
6) 234 ekar tanah di Air Itam, Pulau Pinang- RM1.38 bilion




Media Indonesia: Silakan jelas Pak Duta

Posted: 23 Apr 2015 03:22 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Majalah berpengaruh Indonesia Tempo mempertahankan laporannya berhubung dakwaan gaya hidup mewah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Pengarang kanannya Purwanto Setiadi memberitahu Malaysiakini mereka percaya pada sumber pemberitaan itu yang telah dipilih secara cermat.

"Seperti sebelumnya, kami akan memilih sumber (berita) dengan secermat mungkin.

"Sehingga kini kami percaya dengan sumber-sumber yang kami gunakan," katanya ketika menjawab soalan Malaysiakini.

Purwanto diminta mengulas laporan bahawa Duta Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang akan bertemu secepat mungkin dengan Tempo susulan laporan itu.

Zahrain berkata fakta dalam artikel yang dikeluarkan itu tidak benar.

Purwanto, pengarang laporan antarabangsa Tempo,  juga berkata pihaknya juga memasukkan versi Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung perkara itu.

"Meski demikian, jika Pak Duta Besar punya versi lain, dengan terbuka kami akan terima," katanya.

Sebelum ini, Tempo melaporkan mengenai dakwaan kehidupan mewah Najib dan Rosmah dalam laporan khas sempena ulang tahun ke-60 Persidangan Asia Afrika yang akan dihadiri Najib, hari ini.

Tempo antara lain memetik The New York Times, yang menyebut mengenai minat Rosmah pada beg tangan mewah dan barang kemas.

Dalam laporan semuka penuh itu, majalah itu turut mendedahkan kegemaran Najib dan Rosmah pada jam tangan mewah, seperti dakwaan dibuat NGO pemantau jenayah Malaysia, MyWatch.

Turut dibangkitkan berkaitan dakwaan harga dandanan rambut untuk perkhidmatan rumah ke rumah ditawarkan pada Rosmah serta dakwaan pembelian pangsapuri mewah di Amerika Syarikat oleh anak tiri Najib. 


Tun M juga tidak keseorangan lagi

Posted: 23 Apr 2015 03:16 AM PDT


Tun Dr Mahathir Mohamad Dr Mahathir ketika berucap pada Minggu Media Sosial di Berjaya Times Square Hotel, di Kuala Lumpur, hari ni. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.
 
 
 
KUALA LUMPUR - "Saya doakan dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam keadaan baik," demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga tidak memaksa Najib untuk menerima segala teguran dan kritikannya termasuk menggesa perdana menteri itu bersara kerana itu adalah hak Najib.

"Saya komen perkiraan (risiko politik BN), itu dia punya hal lah, dia nak dengar atau tak," ‎katanya kepada pemberita selepas berucap pada Minggu Media Sosial di Berjaya Times Square Hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian terhadap reaksi balas Najib hari ini bahawa presiden Umno itu tidak keseorangan ketika berdepan dengan kritikan hebat daripada Dr Mahathir.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya sama sekali tidak berasa keseorangan, kata Najib]

‎Najib juga berkata beliau tidak pernah berasa keseorangan, sebaliknya beliau sentiasa ditemani dengan begitu baik.

Ketika ditanya perkara sama ke atas Dr Mahahir, beliau bagaimanapun berkata beliau kini tidak bersendirian kerana sentiasa mendapat sokongan daripada banyak pihak termasuk media.

"Kalau awak semua di sekeliling saya, bagaimana saya keseorangan?" soalnya dengan sinis.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengulangi tuntutannya supaya kerajaan perlu menjelaskan kedudukan sebenar wang negara oleh 1Malaysia Development (1MDB) yang disimpan di sebuah bank, di Singapura.

"Kerajaan kena jelaskan apa yang sepatutnya ‎berlaku (duit) yang sepatutnya berada di bank Singapura tapi tiada di bank Singapura.

"Itu antara persoalan yang kerajaan masih belum menjawab‎, bahkan duit itu juga tiada di Malaysia, di mana duit itu?" soalnya lagi.

Dr Mahathir juga mengakui kegagalan pelaburan 1MDB juga didakwa menjadi punca kepada kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia (RM) pada masa ini.


"Ia akan menjejaskan nilai RM, apabila ekonomi negara tidak dalam keadaan baik, ‎ia boleh sebabkan kejatuhan nilai RM," katanya lagi.


BN letak Suhaimi Sabudin di Permatang Pauh

Posted: 23 Apr 2015 03:12 AM PDT


Suhaimi Sabudin Suhaimi Sabudin
 
 
 
PERMATANG PAUH - BN mengumumkan Suhaimi Sabudin sebagai calonnya yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.

Ia diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN dalam majlis khas di pusat operasi  BN di Perda City Mall, Bandar Perda di sini petang ini.

Dilahirkan pada 25 Oktober 1971, Suhaimi, 44, adalah anak ketiga dari tujuh beradik dan terlibat aktif dalam bidang politi selain seorang kontraktor yang berjaya.

Kini memegang jawatan sebagai Setiausaha  Umno Bahagian Permatang Pauh.

Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti.

Memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang seni bina dan ukur bahan Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor.

Suhaimi mendirikan rumah tangga bersama Firyal Harlina Hanapiah, 40, dan dikurniakan empat cahaya mata.

Turut hadir di majlis itu ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengarah pilihan raya PRK Permatang Pauh; Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ahli keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April manakala pengundian awal 3 Mei.

Dalam PRU13, Anwar yang juga Ketua Umum PKR memperolehi 30,348 undi menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan 25,369 dan calon bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin yang hanya mendapat 201 undi.

Anwar mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 11,721 undi dan sekali gus meletakkan Permatang Pauh terus berada dalam pengaruh PKR sejak 1999 yang ketika itu diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail yang juga Presiden PKR.

Persenda azan: Paderi marah tindakan Alvin Tan

Posted: 23 Apr 2015 03:09 AM PDT


Alvin dikecam, biadab hina Azan Sedutan video yang dimuatnaik oleh Alvin Tan.
 
 
 
SHAH ALAM - ‎Seorang paderi tampil menulis surat terbuka kepada blogger kontroversi, Alvin Tan susulan tindakan biadabnya merakam 'lagu Azan' melalui sebuah video, baru-baru ini.

Paderi sebuah gereja, Dr Sherman Kuek berkata, ‎tindakan Alvin tersebut sangat kurang ajar yang bertujuan jahat.

"Kehadapan Encik Alvin, saya menulis kepada saudara kerana secara peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya dengan hasrat yang salah dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh dengan sikap kurang ajar.

"Sama seperti rakyat Malaysia yang lain, saya sedar akan kurangnya rasa hormat saudara terhadap pihak berkuasa, kelakuan sosial dan kesedaran moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas secara tidak hormat.

"Barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak menghiraukannya sama sekali, tetapi mengikut konteks di mana kami sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh saudara tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa bantahan daripada rakyat Malaysia," katanya yang dipetik melalui blog miliknya.

‎Video bertajuk 'Muslim Call to Prayer - Azan (R&B cover)' yang dimuat naik melalui laman Facebooknya dikecam orang ramai, termasuk orang bukan Islam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Surat terbuka untuk Alvin Tan]

‎Dalam surat terbuka itu juga, Dr Sherman berkata penghinaan Alvin itu bukan hanya dirasai penganut beragama Islam, malah turut dilihat sebagai serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama.

"Barangkali bukan niat kamu untuk menolak ritual keagamaan secara keseluruhan tapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadab dan walau kamu hanya hina sesuatu agama secara khusus, tapi tindakan ini tetap serangan kepada agama. Bukan hanya kepada rakan-rakan Muslim tapi turut dilihat sebagai serangan kepada penganut pelbagai agama.

"Penghinaan saudara mungkin boleh saja dilakukan terhadap zikir Katolik Latin ataupun zikir veda penganut Hindu...untuk ini, tindakan saudara membuat saya marah," katanya.

Beliau sempat berharap agar Alvin mengambil masa yang cukup untuk analisa dan memahami apa yang sebenarnya yang berlaku di negara ini dan cuba terlibat secara membina daripada melakukannya dengan cara yang tidak senonoh.

"Dalam kapasiti peribadi dan sebagai rakyat Malaysia, saya bertegas menolak sebarang tindakan yang saudara lakukan dan akan lakukan.‎ Video saudara yang lebih narsisistik daripada kelakar atau menghiburkan, ia suatu halangan kepada usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih bagus untuk anak-anak kita dari semua agama.

"Saya harap saudara mempunyai hidup yang baik di Amerika di mana ekspresi anda benar-benar boleh bebas. Tetapi pada dasarnya, bukan amalan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang," katanya.


Tiada ulasan: