Ahad, 19 April 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PAS hanya kaji kedudukan dalam PR selepas ditendang atau DAP tarik diri

Posted: 19 Apr 2015 06:08 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PAS hanya akan mengkaji kedudukan dalam Pakatan Rakyat jika ditendang daripada gagasan itu atau sehingga DAP menarik diri daripada kerjasama itu.
 
Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata biarpun DAP kerap mencemuh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu tetap menyatakan komited dengan Pakatan Rakyat.
 
"Kita juga tidak bincang mengenainya walaupun DAP secara terang mengecam kepimpinan presiden PAS sehingga DAP menyuarakan hasrat mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan BN sebagai tindak balas dan rasa tidak puas hati terhadap PAS.
 
"Kita tidak bincang perkara itu atau cuba membawa keluar PAS daripada Pakatan kerana kita mahu yakinkan ahli bahawa kita konsisten.
 
"Kecuali dia (DAP) buat keputusan untuk tarik diri daripada Pakatan atau menendang PAS keluar daripada Pakatan, baru kita akan menjawabnya," katanya dalam wawancara bersama Akhbar Berita Harian, hari ini.
 
Beliau menjawab soalan berhubung sejauh mana hubungan PAS dengan DAP dan PKR khususnya selepas kerajaan Kelantan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bulan lalu.
 
Kemelut PAS dan DAP semakin meruncing apabila parti Islam itu meluluskan enakmen undang-undang hudud di Kelantan serta  ingin membentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen.
 
Natijahnya, DAP secara terang-terangan mengkritik PAS dan meminta parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat.
 
PAS pula dalam reaksi balasnya meminta DAP dan PKR agar menghormati hak demokrasi parti itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
 
 

Tertembak rakan: 3 anggota Rela lucut keanggotaan

Posted: 19 Apr 2015 05:54 AM PDT

SINAR HARIAN


Kes tembak
 
 
 
KUALA TERENGGANU - Tiga anggota Rela di Terengganu dilucutkan keanggotaan mereka daripada pertubuhan itu kerana didapati bersalah menyalahgunakan senjata api.

Pengarah Rela Terengganu, Nasharuddin Mat Nasir berkata, tiga kes di dalam tempoh enam bulan itu melibatkan anggota Rela dari Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu di mana anggota Rela terbabit ditangkap kerana membawa keluar senjata api dari daerah berkenaan.

"Anggota Rela yang ingin membawa keluar senjata api dari daerah yang dibenarkan perlu membuat permohonan khas daripada polis dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka ditahan atas sebab penyalahgunaan senjata api," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Maut terkena tembakan ketika berburu]

Beliau diminta mengulas kematian seorang anggota Rela akibat terkena tembakan di bahagian dada dan tangannya ketika sedang berburu bersama dua rakannya di Hutan Kacong, Lata Tembakah di Hulu Besut tengah malam kelmarin.

Insiden itu yang menyebabkan kematian Shamsuddin Derahim, 56, dari Kampung Cawangan, Hulu Besut turut menyebabkan seorang lagi rakannya yang berumur  47 tahun cedera ringan dipercayai terkena serpihan peluru.

Setakat ini, Rela Terengganu mempunyai 210,000 anggota dan daripada jumlah itu lebih 1,000 daripadanya boleh memiliki senjata api tersebut atas faktor keselamatan setempat. - Bernama


Khalid Samad buat laporan polis terhadap KPN

Posted: 19 Apr 2015 05:48 AM PDT



Khalid SamadKhalid Samad


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad telah satu membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar bersabit penahanannya bulan lalu.

Abdul Khalid berkata, laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Shah Alam pagi tadi.

"Dalam laporan itu saya turut menamakan pegawai penyiasat (IO) yang menahan saya pada jam 2.30 pagi pada 29 Mac lalu," katanya kepada Sinar Online.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, penahannya sangat mengejutkan dan dibuat tanpa sebab yang munasabah.

"Ketika saya dibawa dari rumah pada jam 2.30 pagi, mereka tidak mengikut prosedur yang termaktub dalam Kod Prosedur Jenayah (CPC), contohnya membacakan hak saya, mengenalkan diri mereka, memberi sebab dan sebagainya.

"Sehingga kini, saya tidak pasti mengapa saya ditahan.," katanya lagi.

AJK Pas Pusat itu ditahan berhubung dengan perhimpunan #KitaLawan di hadapan bangunan pusat beli belah Sogo.

Bekas pilot Zaidi dilantik AJK PAS Sg Petani

Posted: 19 Apr 2015 05:44 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Zaidi Ahmad dilantik sebagai ahli jawatankuasa PAS Sungai Petani.

Zaidi dikenali selepas dibicarakan di mahkamah berhubung kenyataan media yang dibuat tanpa izin pegawai atasan berhubung isu dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Beliau kalah dalam perbicaraan itu dan dipecat dari TUDM ketika memegang jawatan mejar pada 12 Januari lalu.

Selepas itu, pada Februari lalu Zaidi menyertai PAS.

"Allah telah takdirkan saya memikul tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa PAS Sungai Petani.

"Doakan supaya saya diberi kekuatan dan panduan untuk memenuhi tanggungjawab yang berat ini," katanya dalam satu kiriman SMS.


Dr M: BN sukar menang di Permatang Pauh

Posted: 19 Apr 2015 05:40 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


BN berdepan kesukaran untuk menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh kerana terdapat penyokong fanatik Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Di mana Anwar penah bertanding (di situ), maka ia cukup sukar, mereka ada penyokong fanatik di sana," kata Dr Mahathir kepada pemberita.

Bercakap ketika ditemui di satu forum anti peperangan di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, tokoh itu berkata penyokong fanatik tidak mempedulikan mengenai kebenaran.

Katanya, mereka memberi sokongan membuta tuli tanpa mengambil berat mengenai realiti demi kebenaran. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kebenaran yang dimaksudkannya.

Kerusi Permatang Pauh kosong selepas Anwar dilucutkan kelayakan ekoran dihukum penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Kesederhanaan demi menangi pengundi Cina

Posted: 19 Apr 2015 05:35 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang dijadualkan pada 7 Mei depan akan menjadi medan pertempuran bagi membuktikan parti yang mengamalkan kesederhanaan untuk memenangi undi daripada kaum Cina.

Daripada 71,890 pengundi di Permatang Pauh, seramai 50,579 orang Melayu (70.36 peratus), 16,462 Cina (22.9 peratus), 4,532 India (6.3 peratus), 40 Bumiputera Sabah (0.06 peratus), 33 Bumiputera Sarawak (0.05 peratus), 1 Orang Asli (0.01 peratus) dan 243 lain-lain (0.32 peratus).

Ketika melancarkan pusat operasi MCA pada Jumaat lalu, Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, slogan seperti "mempertahan kepelbagaian" dan "melindungi kesederhanaan" akan digunakan parti itu untuk memenangi hati pengundi masyarakat Cina.

Menurut laporan media, Liow dilaporkan mengecam tindakan Pakatan yang didakwanya mengkhianati rakyat dan meminta masyarakat supaya memberi "semangat positif" kepada MCA bagi melengkapkan pelan transformasi BN.

Sebelum pilihan raya umum 2013, DAP berkata parti itu mampu untuk mengimbangi PAS, tetapi itu bukan masalahnya.

Bagaimanapun, selepas PRU13, senario politik menjadi lebih perkauman dan keagamaan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ingin membentangkan rang undang-undang persendirian enakmen hudud di Parlimen, kata Liow.

Manakala Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee ka Siong dilapor berkata sasaran utama kempen pilihan raya ini untuk memenangi sokongan kira-kira 17,000 pengundi Cina di Permatang Pauh.


Lepas protes, pihak gereja setuju turunkan salib

Posted: 19 Apr 2015 05:21 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya yang baru dibina hari ini dikejutkan apabila penduduk setempat mengadakan bantahan di premis itu mendesak supaya salib diturunkan.

Kira-kira 50 penduduk berada di bangunan kedai di mana gereja itu ditempatkan, menuntut supaya salib yang diletak pada dinding premis itu diturunkan, demikian menurut video yang dimuatnaik oleh The Star Online.

Mereka juga membawa beberapa plakad antara lain bertulis "wakil rakyat Taman Medan tidur" serta mendesak supaya tidak mencetus kemarahan dan mencabar orang Islam di Taman Medan itu - yang majoritinya didiami orang Melayu-Islam.

Ketua kampung yang mengetuai bantahan itu Datuk Abdullah Abu Bakar mengulangi amaran bahawa gereja tersebut beroperasi di kawasan yang majoritinya orang Melayu-Islam.

"Jika mereka mempunyai kuasa untuk menjalankan (operasi gereja), bagaimana kami boleh menghalangnya, tapi yang menjadi perhatian kami ialah kawasan ini adalah kawasan Melayu dan ia tidak sepatutnya berlaku," beliau dipetik sebagai berkata.

Abdullah juga kelihatan memaklumkan kepada pemberita kemudiannya bahawa pihak gereja bersetuju untuk menurunkan salib itu "hari ini atau esok" dan telah mengadakan pertemuan dengan paderi.

Menurut laman berita itu lagi, pihak polis tiba di kawasan itu kira-kira 30 minit kemudian yang mengawal perserta sementara sekumpulan 15 jemaah gereja minta privasi.

Exco yang bertanggungjawab tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.


Kereta rempuh dinding rumah, pemandu maut

Posted: 19 Apr 2015 05:18 AM PDT


Kereta rempuh dinding rumah, pemandu maut Keadaan kereta mangsa yang merempuh dinding rumah kedai yang masih dalam pembinaan.
 
 
 
BACHOK - Seorang lelaki maut dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Padang Bual dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Hamid Che Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika mangsa, Azhar Mat Husin, 38, dari Kampung Aman, Kandis dalam perjalanan dari Beris Kubur Besar menghala ke Tanjung Hilir.

"Mangsa yang memandu kereta dipercayai terbabas ketika tiba di Kampung Padang Bual dan merempuh sebuah rumah kedai yang terletak di kanan jalan.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Manakala, saksi kejadian, Mohd Shah Adam Harun, 17, berkata, malam sebelum kejadian dia tidak dapat tidur dan sedang mendengar radio.

"Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat yang pelik dari luar. Kerana terkejut saya turun dari katil dan bersembunyi dalam kereta wira yang berada berdekatan.

"Kemudian saya dengar sebuah kereta merempuh tempat tidur saya dan menyebabkan sebahagian besar dinding kedai runtuh. Saya tidak berani dekati mangsa kerana terkejut dan penduduk kampung yang datang melihat memaklumkan mangsa meninggal dunia 10 minit kemudian," katanya yang juga pekerja rumah kedai yang masih dalam pembinaan itu.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.45 pagi.

"Pegawai bertugas ialah Mohd Rozi Ismail mengetuai operasi itu bersama tujuh anggota untuk mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Saga yang melanggar dinding sebuah rumah.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya," katanya.


DAP Kedah desak Guan Eng letak jawatan

Posted: 19 Apr 2015 05:16 AM PDT


Theng Hooi Theng Hooi
 
 
 
ALOR SETAR - DAP Kedah mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meletak jawatan kerana didakwa gagal menguruskan parti dengan baik dan efisien.

Setiausaha Organisasi, Law Theng Hooi berkata, kegagalan itu menyebabkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggunakan akta pertubuhan untuk menolak dan tidak menerima keputusan pemilihan parti sebanyak dua kali pada 2012 dan 2013.

Beliau berkata, kekeliruan juga timbul apabila berlaku pertambahan lebih 120 cawangan baharu di seluruh negara pada pemilihan 2013 yang masih dalam siasatan ROS.

"Kekeliruan ini masih belum dijawab oleh Guan Eng," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Theng Hooi berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga bersikap pilih kasih terhadap pemimpin DAP.

Menurutnya, bekas Adun DAP Pulau Tikus, Koay Teng Hai digantung keahlian kerana tidak hadir pada sidang Dun Pulau Pinang ketika pembentangan usul lompat parti. Ketidakhadirannya nyaris menggagalkan usul berkenaan.

"Apabila berlaku terhadap Guan Eng sendiri (tidak hadir) di Dewan Rakyat ketika pembentangan Akta Hasutan hukuman setimpal perlu diterima oleh Guan Eng sama seperti Teng Hai.

"Namun itu tidak pula berlaku. Jangan anggap disebabkan dirinya memegang jawatan tinggi dalam parti boleh mengelak dari dikenakan tindakan disiplin," katanya.

Theng Hooi berkata, jawatankuasa disiplin perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan ke atas Guan Eng kerana kecuaian itu.


Pas Permatang Pauh bagi kata dua pada PKR

Posted: 19 Apr 2015 05:14 AM PDT


Pas Permatang Pauh bagi kata dua pada PKR (Kanan) Jamsari dan Omar
 
 
 
PERMATANG PAUH - Pas Permatang Pauh meluluskan usul menggesa kepimpinan PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan mereka yang tidak menyokong pelaksanaan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud.

Usul itu dicadangkan Pemuda Pas kawasan berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan cawangan itu yang ke 38 di Dewan Haji Yussof Rawa di sini hari ini.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, PKR diberi tempoh sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong hudud.

Menurutnya, jika PKR bersetuju dan meminta maaf secara terbuka pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan parti itu dalam PRK Permatang Pauh kelak.

"Pendirian ini dibuat dan disepakati oleh akar umbi pada mesyuarat agung kami.

"Ahli Pas di Permatang Pauh mampu beri kemenangan kepada calon yang akan bertanding pada PRK nanti," katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Ditanya sama ada Pas Permatang Pauh akan memberi sokongan jika Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dipilih menjadi calon, Omar enggan mengulas.

Dalam persidangan yang berlangsung hampir lima jam itu, keadaan dewan menjadi gamat apabila usul itu dibentangkan oleh wakil Pemuda Pas.

Ada perwakilan yang menggesa agar kepimpinan PKR dan DAP tampil untuk berjumpa dengan kepimpinan Pas bagi memohon maaf atas keceluparan kenyataan mengenai isu hudud yang mengguris hati ahli Pas.

Bekas Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh, Jamsari Samad ketika membahaskan usul itu berkata, tindakan rakan sekutu mereka yang menolak pelaksanaan hudud menyukarkan jentera Pas untuk turun padang bagi menjelaskan pendirian mereka terhadap PR.

"Macam mana kita nak jelaskan dan minta pengundi menyokong kita sedangkan calon yang kita tampilkan nanti tidak menyokong pelaksanaan hudud.

"Malah ada kenyataan pemimpin PKR dan DAP yang dilihat terlalu biadap dan kurang ajar sehingga mahu memutuskan hubungan dengan presiden. Apa maknanya kita bekerjasama dengan mereka jika mahu memutuskan hubungan dengan presiden kami," katanya.

Sementara itu,Omar berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk membelakangi pendirian Pas Pusat sebaliknya hanya mahu perkara itu  diberi perhatian kerana disuarakan oleh akar umbi.

"Keputusan ini bukan dibuat oleh saya sendiri tetapi memang boleh dilihat sendiri apa yang akar umbi mahu pada mesyuarat agung hari ini (semalam)," katanya.

Terdahulu ketika ucapannya,Omar berkata, Pas Permatang Pauh akan membuat sedikit kejutan pada PRK Permatang Pauh jika rakan sekutu mereka menyinggung dasar perjuangan Pas.

Beliau berkata, Pas Permatang Pauh juga sudah bersiap sedia untuk membantu kempen pada PRK Permatang Pauh dan memastikan PR terus menerajui kerusi Parlimen Permatang Pauh jika syarat itu dipenuhi.


Siap sedia kejutan besar- Pas Permatang Pauh

Posted: 19 Apr 2015 02:26 AM PDT

 
Jentera pilihan raya Pas bagi PRK Permatang telah diingatkan supaya tidak akur jika perjuangan yang diketengahkan sepajang tempoh berkempen tidak mengikut syariat Islam.


spr_600


PETALING JAYA: Pas Kawasan Permatang Pauh memberi amaran akan membuat kejutan besar jika PKR dan DAP terus menyingung parti itu.

Amaran Itu diberikan oleh Yang Dipertua Pas kawasan itu, Omar Hassan ketika Mesyuarat Agung Tahunan ke-38 Kawasan Permatang Pauh pada Ahad, lapor Berita Harian Online.

"Saya ingin tegaskan, kita akan membuat kejutan kepada pakatan pembangkang sekiranya mereka menyinggung dasar perjuangan didukung Pas," kata Omar.

Dia juga memberi amaran jentera pilihan raya untuk membantu Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh telah diingatkan supaya tidak akur sekiranya perjuangan diketengahkan bertentangan dengan syariat Islam.

"Kita terbuka bagi setiap pandangan dan cadangan dikemukakan, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam,' katanya.

Amaran terbuka Pas dikaitkan dengan tindakan PKR yang enggan menyokong undang-undang Hudud di Kelantan.

Sebelum ini, Pas Permatang Pauh dilaporkan menolak Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail atau ahli keluarganya dicalonkan PRK Permatang Pauh.

Dari BR1M ia datang, kepada GST ia dikembalikan

Posted: 19 Apr 2015 02:18 AM PDT



Oleh ANIS NAZRI 



 Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan telah pun di Malaysia. Cukai yang diperkenalkan kerajaan bermula 1 April itu menimbulkan pelbagai pendebatan hebat, sama ada di Dewan Rakyat, kedai kopi, pejabat, di merata ceruk rantau di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Malah, perdebatan mengenai cukai kontroversi itu juga membabitkan anak muda, yang kononnya dahulu tidak menghiraukan soal dana dan kewangan negara. Namun, kadar enam peratus GST yang dikenakan kerajaan kepada rakyat tanpa memilih bulu, akhirnya turut menjentik rasa sebilangan anak muda yang mungkin terasa apabila kad tambah nilai telefon pintar turut dikenakan GST.

Biarpun sudah genap seminggu dilaksanakan (ketika rencana ini ditulis), isu GST masih mengasak minda rakyat yang cukup merasai impak yang dilalui mereka apabila keluar membeli barangan keperluan seharian. Malah, jika ingin minum teh tarik di kedai mamak sekalipun, mereka pasti merasai kesan dari GST yang dikatakan kerajaan tidak membebankan rakyat.

Mungkin pemimpin negara, menteri-menteri, usahawanusahawan berasakan setelah seminggu GST diperkenalkan, tiada lagi laporan yang mengatakan ada di kalangan rakyat yang dijumpai mati kelaparan. Mungkin juga ada yang beranggapan reaksi amarah rakyat hanya sekadar tahi-tahi ayam, yang akhirnya akan sejuk sendiri.

Namun, hakikatnya masih ramai yang merintih dengan impak yang dihadiahkan kerajaan melalui GST. Tetapi, mereka bagaikan sudah tidak mampu meluahkan kata-kata kerana sedar tiada siapa yang sudi mendengar keluh-kesah biarpun pelbagai cara mereka menyampaikan rasa tidak puas hati mereka.

Memahami situasi yang melanda rakyat ketika ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, melahirkan keyakinannya bahawa golongan yang begitu merasai kesan pelaksanaan GST sudah tentulah wanita memandangkan golongan ini merupakan 63 peratus pembuat keputusan utama dalam perbelanjaan keperluan rumah, sekaligus mereka juga yang dilihat mendominasi kuasa beli pengguna.

"Ironinya, selepas dua minggu pengguna dipaksa membayar cukai itu, kerajaan dilihat masih lagi tertumpu kepada memberi kefahaman rakyat berkaitan GST ini walaupun persediaan ke arahnya telah berlaku 17 bulan lebih awal sebelum ini, termasuk sesi dialog Soal Jawab di kaca televisyen TV3 lewat malam, 8 April lalu," kata Nuridah dalam satu kenyataannya 9 April lalu.

Tindakan kerajaan itu, bagi Nuridah ternyata tidak sensitif dengan himpitan yang terpaksa diterima rakyat, sedangkan mood rakyat ketika ini berdepan dengan pelbagai kenaikan harga belian biarpun sebelum GST diperkenalkan.

Lebih mengharukan, ada ketikanya rakyat terpaksa membayar cukai itu dalam keadaan masih banyak syarikat dan peniaga sendiri yang masih tidak memahami kaedah pengiraan GST.

"Saya memahami kita masih baru dengan kaedah pengiraan GST ini. Cuma, keadaan ini telah menyulitkan rakyat, khususnya wanita bagi merancang dan menyediakan perbelanjaan keperluan rumah, tambahan pula terdapat segelintir syarikat dan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dalam keadaan kerajaan hilang kawalan terhadap kes-kes seperti ini," kata beliau.

Kecelaruan yang timbul ekoran pelaksanaan GST boleh dilihat pada hari-hari awal cukai ini dilaksanakan apabila pelbagai aduan yang terpaksa ditadah kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam daripada rakyat.

Malah, kewajaran syarikat telco mengenakan caj enam peratus ke atas kad tambah nilai turut dipertikai sehingga kerajaan terpaksa mengadakan perbincangan dengan syarikat telco berkenaan bagi mencari jalan keluar mengatasi aduan yang dilakukan rakyat.

Itu sekadar kad pra bayar, sedangkan masih begitu banyak barangan dan perkhidmatan yang dirasakan rakyat tidak wajar dikenakan, yang mungkin memberikan kerajaan lebih banyak masa untuk mengatasi isu-isu berkaitan cukai yang dilaksanakan secara tergesa-gesa ini.

Oleh itu, tegas Nuridah, kerajaan diingatkan agar berwaspada dengan ancaman Allah SWT seperti yang termaktub dalam surah Asy- Syura, ayat 30 yang bermaksud: "Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu (kesusahan atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatanperbuatan yang salah dan berdosa) dan dalam pada itu Allah SWT memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu."

"Adakah belum cukup peringatan Allah SWT melalui musibah dan tragedi sedih melanda negara kita untuk kita semua kembali kepada urus tadbir cara hidup Islam yang turut memberi kesejahteraan kepada masyarakat bukan Muslim di negara kita ini?" soal beliau lagi.

Dalam pada itu, Nuridah berkata sesungguhnya pemberian BR1M yang diberikan kepada rakyat akhirnya terpaksa dipulangkan kepada kerajaan semula.

"Maka benarlah dari BR1M ia datang, kepada GST ia dikembalikan," kata beliau.

Apabila Perdana Menteri mula bimbang persepsi mengatasi realiti...

Posted: 19 Apr 2015 02:12 AM PDT



Oleh Shahbudin Husin 


Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap tentang pendemokrasian maklumat dan meminta rakyat menilai kesahihan sesuatu berita serta mengingatkan bahaya persepsi berbanding realiti, tentulah beliau sedang merujuk kepada beberapa isu yang hangat berlaku dalam negara sekarang.

Dalam nasihatnya, Datuk Seri Najib berkata, Malaysia kini sedang melalui proses pendemokrasian maklumat yang membolehkan ia disalurkan secara bebas dan dua hala.

Dalam keadaan itu, katanya, banyak maklumat yang digembar-gamburkan dan diputarbelit sehingga disalaherti tanpa disedari dan membuatkan ramai yang terpengaruh dengannya.

Kesannya, tambah beliau, kita sedang berada di era persepsi berbanding realiti.

Sudah tentu Perdana Menteri melontarkan ingatan ini berikutan serangan dan kritikan yang semakin membuak-buak diterimanya kebelakangan ini berkaitan isu-isu melibatkan 1MDB, Altantuya, Sirul, karenah isterinya serta pelbagai lagi yang bukan saja menjadi percakapan ramai tetapi juga menjadi intipati kecaman Tun Mahathir Mohamad terhadapnya.

Tidak dinafikan, khususnya sejak Tun Mahathir semakin agresif mengkritiknya sehingga mendesaknya berundur kerana hilang keyakinan BN akan menang dalam pilihanraya akan datang selagi beliau memimpin negara ini, Datuk Seri Najib hakikatnya semakin menerima sokongan yang berbelah bagi kerana lebih dibayangi oleh persepsi tidak baik mengenai kepimpinannya.

Sementara kelompok berkepentingan dalam UMNO muncul satu demi satu menyatakan sokongan dan rakyat pula semakin didedahkan pelbagai maklumat baru manakala persoalan-persoalan yang berbangkit itu pula gagal diberi penjelasan, semua ini sudah tentu meruncingkan lagi peratusan sokongan yang diterima.

Tetapi, adakah semua maklumat itu sekadar persepsi dan bukannya realiti?

Adakah jumlah hutang 1MDB dan caca-marba berkaitan pelaburan, urusniaga dan simpanan di Pulau Cayman milik syarikat anak emas Perdana Menteri yang dipertikaikan itu bukan realiti?

Berkenaan Sirul dan Altantuya, adakah semua persoalan yang berbangkit semula ketika ini hanya persepsi saja? Apabila Tun Mahathir menanyakan siapa yang memberi arahan kepada Sirul dan Datuk Seri Najib pula sekadar menjawab, isu itu seharusnya tidak timbul lagi kerana beliau sudah pun bersumpah tidak pernah berjumpa atau mengenali Altantuya, adakah ia boleh dianggap realiti melebihi persepsi?

Begitu juga dalam banyak isu lain yang menjadi bualan ramai seperti pembelian jet, pembaziran dan perbelanjaan oleh isterinya, apakah semuanya persepsi semata-mata?

Sesungguhnya banyak persoalan apabila Perdana Menteri mengatakan "kita kini berada di era persepsi berbanding realiti" dan rakyat harus berhati-hati dengannya.

Memang benar dalam keadaan-keadaan tertentu persepsi boleh dibentuk seolah-olah suatu realiti tetapi dalam konteks Malaysia berdasarkan apa yang berlaku dan isu-isu yang diperbualkan, ia adalah realiti melebihi persepsi.

Lebih buruk ia juga sebenarnya adalah realiti yang gagal ditangani dan dijawab dengan baik dan jujur oleh pihak kerajaan sehingga akhirnya merebak menjadi perbualan ramai.

Misalnya dalam isu hutang 1MDB yang bertimbun-timbun sehingga ramai pengkritik menyatakan ia akan memberi kesan kepada negara, pada mulanya ia cuba dinafikan dengan tanggapan asetnya adalah melebihi hutang tetapi apabila kemudiannya kerajaan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar sendiri mengakui hutang itu membebankan dan akan menghentikan semua pinjaman baru, ia bermakna sesuatu yang pada mulanya cuba dianggap sekadar persepsi adalah benar-benar realiti.

Dalam hal ini, di ketika kerajaan tidak berkeupayaan menjawab sesuatu isu yang dipersoalkan rakyat, ia tidak seharusnya dengan mudah mengatakan, "Ohh..semuanya terkawal dan segala tanggapan negatif hanyalah persepsi".

Meletakkan sesuatu realiti yang tidak mampu dijawab sebagai beban persepsi tidak akan menjadikan sesuatu pihak dinilai lebih baik oleh rakyat. Dalam era pendemokrasian maklumat sekarang ini, bukan persepsi melebihi realiti yang sepatutnya dibimbangi, tetapi kegagalan memberi penjelasan mesti lebih ditakuti sama ada ianya persepsi mahu pun realiti.

Seiring dengan maklumat yang boleh disalurkan secara lebih bebas dan dua hala, yang lebih pantas dilakukan seharusnya ialah memberi jawapan dan penjelasan yang meyakinkan.

Sebesar mana pun persepsi yang berjaya dikumandangkan, ia tidak mungkin menang dengan kebenaran. Realiti pula, segagah mana sekali pun cuba dinafi, tetap akan menang akhirnya.

DAP cadang nama MP didedah setiap kali lepas undi belah bahagi

Posted: 19 Apr 2015 02:09 AM PDT

lim-lip-eng

 Roketkini.com

 
KUALA LUMPUR: DAP mencadangkan supaya semua senarai nama wakil rakyat yang melakukan undi belah bahagi didedahkan kepada orang ramai.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata demikian merujuk sesi undi belah bahagi terhadap pindaan Akta Hasutan di Parlimen baru-baru ini

"Pada sidang Parlimen akan datang, saya akan mencadangkan di Dewan Rakyat supaya senarai nama dan cara mengundi para Ahli Parlimen dipaparkana di laman web rasmi Parlimen sebaik saja pengundian dijalankan.

"Ketelusan sedemikian adalah penting bagi memastikan akauntabil"Pada sidang Parlimen akan datang, saya akan mencadangkan di Dewan Rakyat supaya senarai nama dan cara mengundi para Ahli Parlimen dipaparkana di laman web rasmi Parlimen sebaik saja pengundian dijalankan.iti dan kebertanggungjawaban ahli pParlimen kepada pengundi dan rakyat dapat dipastikan secara telus, selaras dengan amalan demokrasi di seluruh dunia.

"Rakyat berhak mengetahui apa dan bagaimana wakil rakyat mereka mengundi dalam satu-satu usul atau rang undang-undang bagi memastikan suara mereka benar-benar dibawa di Parlimen, dan bukan sekadar dijadikan gelaran saja," katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur itu menyatakan, beliau amat terkejut apabila membaca laporan Malaysiakini baru-baru ini bertajuk 'Siapa MP sokong, tolak pindaan Akta Hasutan.

Laporan tersebut menyatakan bahawa 'tidak amalan demokrasi moden di negara lain, Parlimen Malaysia tidak merekodkan butiran undi, nama ahli parlimen yang mengundi, dan pendirian dalam sesuatu usul hanya diketahui lama kemudian, jika ada permintaan.

"Sebenarnya nama ahli-ahli Parlimen direkodkan, sama ada hadir atau tidak, ketika undi belah bahagi di Parlimen.

"Justeru saya agak terkejut membaca bahawa sukar bagi orang ramai termasuk media mengetahui apa yang disokong atau tidak oleh wakil rakyat mereka di Parlimen, yang merupakan badan pembuat dasar dan undang-undang tertinggi dalam negara," ujarnya. – Roketkini.com


Dua beranak cedera lori terbabas langgar pokok

Posted: 19 Apr 2015 02:02 AM PDT


Dua beranak cedera lori terbabas langgar pokok Anggota bomba memberi rawatan kecemasan kepada Norli yang cedera parah di kepala selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Degong, semalam.
 
 
 
KAMPAR - Dua lelaki cedera selepas lori  dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Degong di sini, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd Yamin Naib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seorang warga emas yang juga bapa  pemandu lori, dikenali sebagai Norli Abdul Kader, 64, mengalami kecederaan parah.

"Setibanya di lokasi kejadian, kami dapati kedua-dua mangsa cedera dan sudah dikeluarkan oleh orang awam.

"Kami segera beri pertolongan kecemasan dengan membalut luka di kepala mangsa," katanya.

Mohd Yamin berkata, pemandu lori, Azhar Norli, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Operasi menyelamat tamat kira-kira jam 10.43 pagi dan mangsa diserahkan kepada polis dan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kampar," katanya.


PAS S'gor: Tiada plot guling k'jaan negeri

Posted: 19 Apr 2015 01:46 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS Selangor hari ini menafikan laporan yang mendakwa parti itu akan bekerjasama dengan Umno dan lima ADUN PKR akan melompat parti bagi membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Pesuruhjayanya Datuk Iskandar Samad berkata, tidak ada sebab untuk menukar menteri besar yang baru memandangkan PAS negeri itu dapat bekerjasama baik dengan Mohamed Azmin Ali.

"Orang ramai digesa agar tidak mempercayai berita bahawa PAS dan UMNO akan bergabung untuk membentuk kerajaan di Selangor. Menurut berita itu, lima ADUN PKR akan melompat untuk memastikan pakatan tersebut memiliki majoriti di dalam Dewan.

"PAS Selangor dapat bekerjasama dengan baik dengan Mohamed Azmin Ali maka tidak ada sebab untuk menukar menteri besar. Tambahan pula, PAS Selangor tidak akan sama sekali bekerjasama dengan UMNO," katanya dalam kenyataan media.

Portal Suara.TV melaporkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka kembali menerajui Selangor bagi menggantikan Azmin.
  
Portal itu turut memetik sumber sebagai berkata satu perjumpaan rahsia antara Abdul Khalid dan Hadi telah diadakan di Jakarta bagi membincangkan perkara itu.

Sehubungan itu, Iskandar yang juga exco kerajaan negeri berkata, berita tersebut berkemungkinan dibuat untuk menjatuhkan imej Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang muktamar parti pada Jun ini.

"Kemungkinan besar berita tersebut adalah bertujuan untuk menjatuhkan imej presiden PAS menjelang muktamar PAS bulan Jun ini. Walau bagaimanapun saya percaya ahli-ahli dapat membezakan di antara berita palsu dan berita tulin," katanya lagi.

Sementara itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata beliau tidak tahu mengenai laporan yang mendakwa lima ADUNnya akan melompat parti dan bekerjasama dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi tujuan itu.


Seorang suspek samun kereta mewah diberkas

Posted: 19 Apr 2015 01:44 AM PDT


Seorang suspek samun kereta mewah diberkas Laporan Sinar Harian.
 
 
 
ALOR SETAR - Seorang daripada tiga suspek yang menjadi buruan polis dalam kes samun kenderaan mewah berjaya ditangkap kurang 24 jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya ketika mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek berumur 34 tahun ditahan sepasukan polis di sebuah hotel di Pulau Pinang, kira-kira jam 4 pagi tadi.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lebih 15 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk jenayah kekerasan," katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, dua lagi suspek yang melarikan diri sedang diburu untuk membantu siasatan kes di Kuala Kedah dan Pendang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen  379 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta mencuri kenderaan motor.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis Kedah memburu tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah menyamun kereta mewah.

Menurut laporan itu, suspek yang memandu kereta Honda City pada mulanya diminta berhenti untuk pemeriksaan anggota polis.

Suspek bagaimanapun melarikan diri dengan mengundur kenderaan dan cuba melanggar kenderaan polis.

Mereka yang berumur sekitar 20-an hingga 30-an berjaya melarikan diri setelah berlaku insiden tembakan di sebuah stesen minyak di Kuala Kedah.

Tidak lama kemudian, suspek dipercayai melakukan samun dua buah kereta di Pendang dan Juru, Pulau Pinang.

Pas tidak akan tinggalkan PR

Posted: 19 Apr 2015 01:40 AM PDT


Pas tidak akan tinggalkan PR Mustafa menerima cendera mata daripada Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kawasan Pas Pengkalan Chepa Kali Ke-43 di Kota Bharu, semalam.
 
 
 
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Pas tidak akan tinggalkan PR. Demikian tegas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Ini kerana insiatif untuk menubuhkan gabungan atau pakatan parti pembangkang adalah daripada Pas, bukan parti-parti lain yang menganggotai PR.

"Jadi, tidak ada sebab untuk Pas meninggalkan apa yang pemimpinnya sendiri usahakan," kata Mustafa.

Menurut beliau, PR yang dahulunya bermula sebagai Barisan Alternatif diwujudkan atas insiatif presiden Pas yang terdahulu, Datuk Fadzil Nor.

"Allahyarham yang ambil inisiatif tubuhkan kerjasama ini selepas apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam PR, tidak ada perjanjian bertulis. PR bukan parti yang berdaftar dengan ROS, dan tidak ada peraturan bertulis yang mengikat kita (Pas) dengan sesiapa.

"Jadi jika ada yang berasa nak keluar, keluarlah. Itu pilihan mereka, tetapi antara kita tidak boleh memaksa mana-mana pihak untuk keluar dari PR," tegasnya dalam ucapan perasmian mesyuarat Pas kawasan Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk gesaan beberapa pemimpin DAP yang mendesak Pas meninggalkan pakatan itu berikutan beberapa perkembangan mutakhir ini terutama yang berkaitan dengan cadangan Pas melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Menurut Mustafa, sebarang keputusan membabitkan kedudukan Pas dalam PR hanya akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulama.

"Buat masa ini, tidak ada perbincangan untuk bawa Pas keluar dari PR. Kita masih kekal dalam PR kerana beranggapan strategi tahaluf siyasi masih boleh dipakai," katanya.

Menyentuh pemilihan Pas yang menyaksikan beberapa pemimpin dicalon untuk mencabar kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden, Mustafa yakin tidak daripada kalangan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang akan terima pencalonan itu. Seorang lagi calon yang telah mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding kerusi Presiden Pas, Ahmad Awang, bekas naib presiden dan bekas Pesuruhjaya Pas Perak.

"Berdasarkan pergaulan antara kami selama hari ini, saya tidak nampak ada dalam kalangan mereka (timbalan presiden dan naib presiden) akan menentang presiden. Kalau orang lain saya tak tahu,"  katanya.

Tuan Ibrahim sebelum ini telah menyatakan pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan presiden parti tetapi bersedia untuk terima pencalonan bagi kerusi timbalan presiden.


Ustaz Bollywood: Saya tak menyanyi dalam solat

Posted: 19 Apr 2015 01:38 AM PDT


Haslin Baharin Haslin
 
 

GOMBAK – Pendakwah bebas, Ustaz Haslin Baharin yang terkenal dengan jolokan Ustaz Bollywood memberitahu, meskipun beliau sering menggunakan pendekatan dakwah yang diselitkan unsur nyanyian ala Bollywood, namun beliau tidak mengamalkannya dalam bacaan solat.

"Tok guru kita baca begitu. Tapi saya tak pernah baca dengan nada (Bollywood) itu dalam solat. Saya baca macam biasa.

"Tak pernah (saya) buat lagu (slang) macam itu. Tapi dengar di YouTube...ambil sedikit-sedikit. Itu yang timbul fitnah," katanya ketika menjadi panel di program Bicara Majalah I di Masjid Al-Khairiyah, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau sempat menyentuh soal dakwaan 'Bollywood fasik' yang dilemparkan kepadanya ketika berdakwah.

"Apabila timbul isu yang baru-baru ini, 'Bollywood fasik'...geram tak habis lagi (nada bergurau). Dia kata kita ceramah banyak untuk menjadi kaya...ceramah dapat duit banyak...Tak patut itu.

"Dia tak tahu cerita kita ini ahli perniagaan. Dia boleh duduk atas kerusi, pangkat Jusa C... Jusa C ini gaji RM15,000 paling kurang," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur beberapa pendakwah yang disifatkan beliau sebagai 'penglipur lara' kerana berjenaka ketika berceramah serta menggunakan nama fasik se­perti panggilan 'Ustaz Bollywood'.


Sudah mesyuarat tapi belum pilih calon presiden

Posted: 19 Apr 2015 01:35 AM PDT


Pas
 
 
 
ALOR SETAR - Pas Kawasan Padang Terap dan Langkawi selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan kawasan semalam tetapi belum menamakan calon untuk jawatan presiden.

Masing-masing memutuskan untuk memilih calon presiden, timbalan presiden dan naib presiden selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa Pas kawasan beberapa hari lagi.

Difahamkan, ada beberapa faktor dan isu yang akan diperhalusi sebelum membuat keputusan memilih calon untuk menerajui parti pada pemilihan Jun ini.

Mesyuarat Pas Padang Terap itu yang dirasmikan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Pas Kawasan Padang Terap menyaksikan pencalonan baharu tanpa bertanding melibatkan Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Nasir Zakaria sebagai Yang Dipertua (YDP), Mohd Azam Abd Aziz (Timbalan YDP) dan Syed Ibrahim Syed Omar (Naib YDP).

Manakala mesyuarat kawasan Langkawi di Markas Pas Cawangan Bayas, Langkawi dirasmikan Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat.

Jawatankuasa Pas Kawasan Langkawi menyaksikan tiga jawatan utama parti itu kekal tanpa bertanding.

Ia membabitkan YDP, Zubir Ahmad, Timbalan YDP, Mazlan Ahmad dan Naib YDP, Ahmad Sidek.


Bukan saya calon Permatang Pauh, kata Nurul Nuha

Posted: 18 Apr 2015 05:40 PM PDT

OLEH MUZLIZA MUSTAFA






Nurul Nuha Anwar hari ini menafikan khabar angin yang mengatakan beliau akan bertanding mewakili PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh bulan depan, tetapi berjanji akan hadir ketika kempen parti itu nanti.

"Tidak," kata anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim itu apabila ditanya sama ada beliau akan dinamakan sebagai calon untuk kerusi yang kosong selepas penyandangnya, iaitu bapanya, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun susulan sabitan kes liwat.

Nurul Nuha, 31, berkata, beliau akan turut berkempen demi untuk bapanya, yang merupakan ketua umum PKR.


"Adik-beradik saya di sana sekarang untuk membantu berkempen. Saya akan pergi selepas ini. Saya mesti pergi. Ia kerusi bapa saya. Permatang Pauh penting," katanya ketika ditemui semasa kayuhan basikal #KitaLawan di Kuala Lumpur petang ini. Pilihan raya kecil Permatang Pauh ditetapkan pada 7 Mei, dengan penamaan calon pada 25 April. PKR dijangka mengumumkan calonnya sehari sebelum itu.

Keluarga Anwar memohon pengampunan diraja daripada Agong untuk membebaskan Anwar tetapi petisyen permohonan itu ditolak, menyebabkan pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari.

Gugurkan dakwaan menghasut jika tidak salah kritik kerajaan, kata Ambiga

Posted: 18 Apr 2015 05:37 PM PDT

 OLEH LOOI SUE-CHERN


Bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, ramai yang ketika ini berdepan tuduhan menghasut kerana kesalahan mengkritik kerajaan, termasuk badan kehakiman, berhubung keputusan yang dijatuhkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 April, 2015.Bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, ramai yang ketika ini berdepan tuduhan menghasut kerana kesalahan mengkritik kerajaan, termasuk badan kehakiman, berhubung keputusan yang dijatuhkan. – Gambar fail The Malaysian Insider.



 Dengan pindaan kepada Akta Hasutan 1948 yang membuatkan kini mengkritik kerajaan bukan lagi satu kesalahan, aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, kes mahkamah yang masih menunggu pertuduhan kerana tindakan mengkritik pentadbiran harus digugurkan.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata, ramai yang ketika ini berdepan tuduhan menghasut kerana kesalahan mengkritik kerajaan, termasuk badan kehakiman, berhubung keputusan yang dijatuhkan.
Jadi, bagi menunjukkan keikhlasannya, Putrajaya harus menggugurkan dakwaan ke atas mereka yang terbabit, katanya pada 'Forum Karpal Singh 2015' di George Town, Pulau Pinang, pagi ini.


Antara yang menghadapi tuduhan menghasut ialah kartunis politik terkenal Zulkiflee Anwar Ulhaque, lebih dikenali sebagai Zunar, yang berdepan 9 pertuduhan, dipercayai yang paling banyak dikenakan mengikut akta itu, berhubung tweetnya mengenai sabitan liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ambiga bagaimanapun ragu yang tindakan membatalkan peruntukan dalam akta itu akan betul-betul membenarkan orang ramai mengkritik kerajaan.

"Anda rasa anda betul-betul boleh kritik kerajaan? Iklim ketakutan itu ada. Kalau betul boleh, mengapa perdana menteri menyaman mereka yang mengkritik kerajaan?" soalnya pada forum anjuran Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang itu.

Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memulakan tindakan undang-undang terhadap pengkritik, termasuk ahli Parlimen pembangkang Rafizi Ramli dari PKR dan Tony Pua dari DAP.

Mereka dituduh memfitnah melalui kenyataan berhubung langkah kerajaan menghapuskan subsidi bahan api dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib juga menyaman lidah rasmi PAS, Harakahdaily, kerana mengaitkan syarikat penerbitan filem anak tirinya Reza Aziz di Amerika Syarikat, dengan skandal 1MDB.

Ambiga berkata, terdapat banyak cara untuk menutup mulut orang, termasuk melalui undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan yang menyatakan menjadi satu kesalahan menyerang demokrasi berparlimen.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dari anak Karpal, Sangeet Kaur, berhubung pemansuhan peruntukan yang menganggap satu hasutan tindakan mengkritik kerajaan dan badan kehakiman.

Seorang lagi ahli panel forum, Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru, bertanya bagaimana mengkritik kerajaan secara konstruktif boleh dianggap jenayah apabila kerajaan itu ditanggung oleh pembayar cukai.

Katanya, pemansuhan peruntukan itu bukan perkara besar kerana undang-undang itu memang sepatutnya tidak ada sedari awal.

Beliau berkata, dengan pindaan terkini yang dibuat atas Akta Hasutan, ia mewujudkan suasana ketakutan, sehingga ada peguam berkata: 'Saya harap apa yang saya katakan ini tidak menghasut'."

Katanya, Seksyen 298 Kanun Keseksaan mempunyai klausa yang sama, yang menjadikan suatu kesalahan dengan sengaja melukakan perasaan keagamaan orang lain, dan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian dan buruk sangka atas nama agama.

Satu-satunya perbezaan antara fasal di dalam Kanun Keseksaan dan yang di dalam Akta Hasutan ialah keperluan membuktikan niat yang terdapat dalam kanun itu, katanya.

Beliau juga berkata, walaupun undang-undang itu diperkenalkan British untuk menentang pemberontakan komunis antara 1948 dan 1957, tahun Malaya mencapai kemerdekaan, Akta Hasutan itu tidak digunakan walau sekali pun oleh British.

Thiru juga berhujah, penyelesaiannya bukan dengan mengekalkan Akta Hasutan atau memindanya apabila orang lain tidak lagi mengambil berat mengenainya, dan mengekalkan keharmonian dalam masyarakat yang bercampur dengan mewujudkan undang-undang menangani kelakuan pelampau dan ucapan kebencian.

Forum itu dianjurkan sebagai mengenang veteran pembangkang Karpal Singh, yang merupakan seorang peguam terkenal di Pulau Pinang, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Perak pada 17 April tahun lepas.

Kelantan ke mahkamah untuk cantas usaha halang hudud

Posted: 18 Apr 2015 05:33 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Kota Bharu akan mendengar permohonan kerajaan negeri Kelantan untuk melarang parti Gerakan daripada memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan  cadangan  pelaksanaan hudud di negeri itu.
 
Parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Kanun Jenayah Syariah Kelantan bersabit hudud yang di pinda bulan lalu sebagai melanggar perlembagaan negara.
 
Peguam Gerakan Andy Yong berkata Penasihat Undang-Undang Kelantan memberi notis kepada pihaknya bahawa pihaknya membantah usaha Gerakan merujuk isu itu terus kepada Mahkamah Persekutuan tanpa melalui Mahkamah Tinggi Kota Bahru.
 
"Mereka (pihak kerajaan negeri) mendakwa permohonan kami harus dibatalkan kerana ia adalah salah dan dianggap satu pembaziran masa dan proses mahkamah," kata beliau.
 
Pada 25 Mac lalu, Gerakan menerusi tiga penduduk Kelantan menfailkan permohonan untuk mendapat pengisytiharan Mahkamah Persekutuan bahawa pelaksanaan hudud di Kelantan harus di batal kerana melanggar peruntukan perlembagaan.
 
Permohonan itu di failkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini meluluskan RUU Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac selepas disokong oleh 44 ADUN termasuk 12 ADUN dari BN.
 
 

Pelakon Syarul Ridzwan Kemalangan, Kereta Terbalik

Posted: 18 Apr 2015 05:28 PM PDT

Oleh: KEMALIA OTHMAN
 
 
Beginilah keadaan kereta pelakon Syarul Ridzwan yang terlibat dalam kemalangan.
 
 
 
Syarul Ridzwan
PETALING JAYA: Keadaan kereta dipandu pelakon baharu iaitu Syarul Ridzwan rosak teruk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Seremban, petang Khamis.

Syarul, 25, berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika dia dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Linggi, Negeri Sembilan selepas penggambaran drama Street Vendetta. Kemalangan terjadi di jalan Sungai Ujong.

"Saya baru habis penggambaran di Linggi dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Ketika di Jalan Sungai Ujong, Seremban jalan terlalu licin sehingga saya terlanggar pembahagi jalan dan tidak dapat mengawal kereta lalu kenderaan saya berpusing dan terbalik dengan tayar naik ke atas.


"Namun, saya tidak mengalami apa-apa kecederaan atau meninggal dunia seperti khabar angin yang tersebar," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada Khamis.

Bagaimanapun, Syarul berkata, kereta jenis Honda City yang dinaikinya dalam proses untuk dialihkan.

Dia kini masih menyelesaikan beberapa hal termasuk membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

Syarul yang merupakan pemenang tempat ketiga Pencarian Hero Remaja dan popular menerusi drama Romi Cinta Julia.
 
 

Ogy Bidas Artis Baharu Lebih Kejar Populariti

Posted: 18 Apr 2015 05:26 PM PDT

Oleh: ROZAIMI ZUBAIDI (Wartawan Pelatih UiTM)
 
 
Ogy Ahmad Daud
 
 
 
Ogy ingin mencari protege yang mempunyai personaliti yang tersendiri. Foto ART CHEN

PETALING JAYA: Aktres Ogy Ahmad Daud membidas pelakon-pelakon baharu yang dilihat lebih mengejar populariti berbanding melakukan usaha untuk menghayati watak mereka dalam bidang lakonan.

Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Datuk Ahmad Daud, 53, berkata pelakon masa kini perlu belajar untuk menjiwai watak dengan lebih mendalam supaya lakonan mereka benar-benar dapat dihayati.

"Kebanyakan pelakon hari ini cuma tahu berlakon sahaja tetapi mereka tidak tahu untuk menghayati watak yang diberikan agar watak tersebut dapat memberi kesan kepada penonton.

"Saya tidak menafikan kita memerlukan pelapis baru dalam industri ini tetapi mereka harus pergi ke kelas lakonan untuk memantapkan lagi penghayatan mengenai watak yang dibawa serta menambah ilmu lakonan mereka," katanya kepada mStar Online.

Ogy berkata demikian ketika ditemui pada majlis sempena sambutan tiga dekad majalah Media Hiburan di Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar, di sini Selasa.


Majlis tersebut diadakan untuk melancarkan sebuah buku khas berjudul '30 Living Legends Media Hiburan' dan memberi pengiktirafan kepada 30 para legenda atas pencapaian masing-masing.

Turut  menerima anugerah pada majlis itu ialah KRU, Amelina, Amy (Search), Faizal Hussein, Fauziah Nawi, Datuk Hattan, Jay Jay, Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan, Datuk Siti Nurhaliza, Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Yusuf Haslam dan Ziana Zain.

Tambah Ogy lagi, teguran yang diberikan bukan untuk menjatuhkan populariti mana-mana pelakon tetapi ia merupakan nasihat sebagai orang lama dalam industri seni dalam usaha memertabatkan semula indusri tanah air.

"Saya memberi teguran ini bukannya tujuan untuk membencikan mereka tetapi saya sayang dengan bakat yang terdapat pada sesorang itu kerana mereka mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan.

"Sesorang artis itu perlu mempunyai ilmu dan mereka harus merujuk kepada artis lama yang berbakat besar untuk belajar mengenai cara lakonan yang betul supaya ia dapat meningkatkan mutu lakonan mereka," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: