Jumaat, 27 Mac 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Guan Eng Menang Saman RM550,000 Ke Atas Akhbar UMNO & Pemimpin Perkasa

Posted: 27 Mar 2015 02:06 AM PDT

KELAB GREENBOC



 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memenangi kes samannya terhadap Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim dan enam lain berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Lim selaku plaintif terhadap kesemua defendan dan memerintahkan ganti rugi RM550,000 dibayar kepada anggota Parlimen Bagan, Pulau Pinang itu.

Nor Bee ketika membuat keputusan itu memerintahkan Ruslan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM150,000 kepada Lim.

Hakim itu juga memerintahkan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (NSTP) Datuk Syed Nadri Syed Harun dan The New Straits Time Press (M) Sdn Bhd membayar ganti rugi yang sama berjumlah RM200,000.


Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M) Berhad diperintah membayar ganti rugi sama berjumlah RM200,000 kepada Lim.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM60,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Nor Bee, dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati perkataan yang diadukan oleh defendan adalah memfitnah Lim dan mahkamah juga mendapati kesemua defendan gagal dalam pembelaan justifikasi mereka.

Hakim itu berkata kesemua defendan sepatutnya perlu membuktikan ulasan yang dibuat adalah betul dan saksama sebelum ia disiar atau diterbitkan dan bukannya terus menyiarkannya tanpa membuat sebarang pengesahan.

"Dalam kes ini, mahkamah juga mendapati Kumpulan Utusan dan NSTP gagal mempamerkan kewartawanan bertanggungjawab," katanya, lapor Bernama.

Pada 11 Mei 2012, Lim memfailkan saman fitnah terhadap kesemua defendan selepas mendakwa Ruslan menerbitkan satu kenyataan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011 yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahaya memberi penjelasan berhubung pertemuannya (Lim) bersama Datuk Seri Kalimullah Hassan dan pemimpin kanan parti PAP Singapura pada 12 Ogos 2011.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan yang dikeluarkan itu membawa maksud bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.


Oleh itu, Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, yang kesemuanya berjumlah RM15 juta serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Ruslan ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding menerima keputusan yang diputuskan oleh mahkamah dengan hati terbuka.

"Saya akur dengan keputusan mahkamah dan ini menunjukkan mahkamah adalah sebuah badan bebas serta tidak diperalatkan oleh kerajaan," katanya dan menambah mungkin akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Lim yang tidak hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam Americk Sindhu, pihak defendan daripada Kumpulan Utusan dan NSTP diwakili peguam Lim Qi Si manakala peguam Saleh Ahmad mewakili kesemua defendan daripada Perkasa. 


Universiti Malaysia gagal tersenarai sebagai universiti dunia paling pesat membangun

Posted: 27 Mar 2015 01:55 AM PDT

 OLEH ANISAH SHUKRY






Universiti di Malaysia gagal menduduki senarai 7 universiti baru paling pesat membangun di dunia yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) biarpun negara jiran, Singapura melalui Universiti Teknologi Nanyang (NTU), memperoleh tempat pertama walaupun baru berusia 24 tahun.

Senarai itu melibatkan institusi pengajian tinggi di bawah usia 50 tahun yang semakin meningkat naik dalam kedudukan 400 universiti teratas dunia THE sejak 2011, dan di kalangan 100 universiti terbaik di bawah umur 50 tahun.

Bagaimanapun, sementara NTU yang ditubuhkan pada 1991 berjaya meningkat 108 tempat dalam Rangking Universiti Dunia THE dalam tempoh 4 tahun, tiada universiti di Malaysia memecahkan rekod berkenaan.


Fran Langdon, seorang wakil THE, memberitahu The Malaysian Insider keadaan itu sebahagiannya disebabkan hakikat yang banyak institusi Malaysia enggan mengemukakan data mereka untuk digolongkan dalam ranking itu.

"Bagaimanapun, melihat kepada universiti di Malaysia yang menyerahkan data kepada kami (walaupun malangnya mereka tidak menunjukkan prestasi cukup kuat untuk disenaraikan), secara umumnya, universiti Malaysia menerima markah agak rendah untuk reputasi dan juga untuk citation," kata Langdon, sambil menambah dua faktor itu merupakan indikator paling penting dalam Rangking Universiti Dunia THE ini.

"Satu isu yang membimbangkan bagi Malaysia secara keseluruhan ialah, boleh dikatakan kurangnya perhubungan dengan ranking dunia. Kami dapati sesetengah universiti di Malaysia masih belum sedia berkongsi data, yang saya rasakan satu peluang besar yang dilepaskan.

"Keengganan untuk terbuka tentang data mereka bermakna kita tidak boleh mengukur mereka dibandingkan dengan rakan mereka di pentas pendidikan dunia, ini satu kerugian besar."

Bagaimanapun, Langdon berkata, ketidakupayaan Malaysia menduduki senarai institusi muda paling pesat membangun itu "tidak mengejutkan" kerana hanya 7 institusi yang cukup syarat menduduki senarai itu.

Di tempat kedua ialah Universiti Maastricht, Belanda, yang meningkat 96 tempat sejak Rangking Universiti Dunia THE 2011, diikuti Universiti Warwick, yang naik 54 tempat.

Seterusnya ialah Korea Advanced Institute of Science and Technology yang naik 42 tempat, diikuti Pompeu Fabra University, Sepanyol, École Polytechnique Fédérale de Lausanne, Switzerland dan Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, yang masing-masing naik 21, 12 dan 11 tempat.

Putrajaya mempertahankan kedudukan suram universiti di Malaysia dalam penilaian ranking global tersebut dengan merujuk kepada hasil yang diperolehi sesebuah institusi pengajian tinggi pada usia muda, namun Pengarang THE Phil Baty sebaliknya menjelaskan senarai itu membuktikan universiti tidak perlu mengambil masa lama untuk menjadi bertaraf dunia – ia perlu lebih berani.

"Dengan kepimpinan terbaik, tumpuan yang jelas – dan sokongan kewangan yang kukuh – 7 universiti yang meningkat naik itu membuktikan apa yang dibangunkan orang lain dalam masa beberapa abad boleh dicapai mereka dalam masa beberapa dekad," kata Baty dalam satu kenyataan media.

"Mereka ialah kumpulan institusi yang benar-benar menarik perhatian dan dinamik yang sepatutnya menjadi contoh kepada negara lain, di mana universiti baru yang berwawasan boleh memecah tradisi orde global dunia."

Menurut THE, analisa terhadap 7 institusi terbaik itu menunjukkan 3 kualiti penting sesebuah universiti perlu ambil: kesan citation, pendapatan dari industri dan pandangan antarabangsa.

"Kesan citation" merujuk kepada berapa kerap kertas penyelidikan sesebuah universiti dijadikan rujukan ahli akademik lain dan pengaruh penyelidikannya kepada dunia.

"Pendapatan daripada industri" berkaitan sejauh mana syarikat bekerjasama dengan ahli akademik dan mengaplikasikan hasil penyelidikan mereka kepada dunia sebenar.

"Pandangan antarabangsa" pula mengukur jumlah pelajar dan kakitangan luar negara yang dapat dipikat sesebuah universiti serta sebanyak mana ia menjalinkan kerjasama dalam menyediakan kertas penyelidikan antarabangsa dengan institusi lain.

"Indikator berkaitan penyelidikan, seperti 'kesan citation' – berapa banyak penyelidikan Malaysia digunakan dan dipetik ahli akademik lain seluruh dunia – mungkin merupakan satu-satunya bidang di mana universiti Malaysia tidak mencapai prestasi yang sepatutnya," Langdon memberitahu The Malaysian Insider.

"Pendek kata, fokus yang lebih dalam bidang ini mungkin akan meningkatkan prestasi universiti Malaysia."

Langdon berkata bagi jangka panjang, Malaysia boleh memperbaiki kedudukannya dengan memberi tumpuan lebih kepada meningkatkan reputasi akademik dan indikator kewangannya.

"Memang bidang inilah yang paling banyak menyaksikan penambahbaikan di kalangan kebanyakan universiti Asia Timur yang berada di kedudukan yang tinggi.

"Bagaimanapun, tidak ada resipi senang, mudah, untuk berjaya," katanya.

Ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming memberitahu The Malaysian Insider, tidak mengejutkan Malaysia tidak termasuk senarai 7 universiti terbaik dunia THE berikutan prestasi yang suram dalam ranking tahunan itu.

"Senarai itu menunjukkan kita masih cuba mengejar mereka yang sudah memintas. Dulu kita ada universiti terkemuka seperti Harvard, Cambridge dan Oxford, dan sekarang kita mempunyai senarai universiti baru yang memintas universiti Malaysia," katanya.

Ditanya mengapa institusi Malaysia berada pada kedudukan begitu teruk berbanding Singapura, Ong berkata pengurusan universiti, dan bukannya pembiayaan, merupakan faktor utama yang menentukan prestasi keseluruhan.

"Universiti kita tidak mahu berubah, bagi membolehkan mereka bersaing dengan universiti lain di seluruh dunia. Contohnya, ada yang mungkin tidak mahu menerbitkan tulisan yang mencapai piawaian antarabangsa, mungkin kerana mereka lebih selesa tidak menulis dalam bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata, pembiayaan bukan satu isu kerana bajet untuk universiti tempatan meningkat sejak 10 tahun yang lalu, dan akan terus diperkukuhkan menerusi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

"Tidak boleh gunakan dana sebagai alasan. Universiti Sains Malaysia (USM) diberi status universiti apex dan menerima pembiayaan tambahan, tetapi itu tidak membantu memperbaiki kedudukannya," kata Ong


Suami Paksa Isteri Hamil Bersetubuh Dengan Pekerja Bangladesh

Posted: 27 Mar 2015 01:44 AM PDT



 
 
 
PETALING JAYA: Seorang wanita mengandung tidak dapat menanggung derita selepas suaminya berulang kali memaksanya mengadakan hubungan seks dengan seorang pekerja Bangladesh untuk memenuhi nafsu seksualnya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad pada Selasa berkata wanita berusia 27 tahun itu melarikan diri dari rumah selepas menerima panggilan daripada suaminya yang berusia 34 tahun kira-kira pukul 10.30 malam Ahad yang memberitahunya bahawa dia akan membawa pulang seorang lelaki Bangladesh untuk tidur dengannya.

"Takut dengan permintaan suaminya, wanita itu meninggalkan rumah dan meminta bantuan daripada pihak polis.

"Ini bukan kali pertama suaminya memaksa dia mengadakan hubungan seks dengan pekerja Bangladesh berusia 26 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Nizam.

"Sebelum ini dia dipaksa mengadakan hubungan seks dengan Nizam sebanyak dua hingga tiga kali.

"Dia sedang mengandung tujuh bulan apabila suaminya meminta dia tidur dengan lelaki itu pada bulan Julai," katanya.

Wanita itu mendakwa suaminya akan terangsang dengan melihat mereka melakukan seks dan kemudiannya akan mengadakan hubungan seks dengannya.

Dia juga berkata Nizam tidak dikenakan sebarang bayaran untuk tidur dengannya.

Dia telah dihantar ke Hospital Selayang untuk penilaian perubatan, menurut laporan.

"Kami menahan Nizam di kedai mainan di Chow Kit pada hari Isnin, manakala suami wanita itu ditahan di rumah pasangan itu di Taman Daya Kepong.

"Kedua-dua lelaki itu ditahan selama seminggu bagi membantu siasatan," kata Ali.

Kes ini diklasifikasikan sebagai rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
 
 

#KitaLawan: Rafizi Ditahan Polis Sekali Lagi

Posted: 27 Mar 2015 01:36 AM PDT


Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK


 

Mohd Rafizi Ramli
 
 
 
PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli ditahan kali kedua mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung perhimpunan haram #KitaLawan pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Pandan ditahan di pusat khidmatnya di Kuala Lumpur pada tengah hari.

Kali pertama Rafizi ditahan pada 10 Mac berhubung penganjuran perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Rafizi dipercayai ditahan bagi membantu siasatan berhubung pekeliling yang diedarkannya mengenai perhimpunan #KitaLawan yang akan diadakan pada Sabtu.

Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dangan Wangi untuk disoal siasat.

Dua Mekanik Maut Motosikal Bertembung

Posted: 27 Mar 2015 01:35 AM PDT


MSTAR ONLINE


 
 
 
ALOR SETAR: Dua mekanik maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Kampung Telaga Bata di sini Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata dalam kejadian pada 10.20 malam itu, Mohd Noor A'fifi Noor Zamri, 21, dari Kampung Alor Melong di sini dan Ismail Othman, 35, dari Kampung Guar Kepayang, Pendang meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang pemboceng yang cedera ringan ialah Mohd Noor A'zizi Noor Zamri, 19, adik kepada Mohd Noor A'fifi kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Menurut Adzaman, motosikal yang dinaiki Mohd Noor A'fifi dan adikanya dari arah Jalan Datuk Kumbar menuju ke HSB dikatakan bertembung dengan sebuah lagi motosikal ditunggang Ismail.

"Akibat pelanggaran itu kedua-dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya.

Sementara itu, Noor Zamri Ahmad, 49, bapa kepada Noor A'fifi berkata beliau mendapat berita tersebut daripada Nor A'zizi sejurus selepas kemalangan itu.

Katanya, beliau dan isteri Norma Yaakob, 42, bergegas ke tempat kejadian bagi melihat keadaan dua anaknya dan ketika tiba di tempat kejadian isterinya juga hampir pengsan selepas melihat keadaan anak sulung daripada dua beradik itu.

"Nor A'fifi ni dalam perjalanan nak hantar adik dia Noor A'Zizi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Sultanah Bahiyah sebab adik dia masuk syif malam. Kalau malam, memang dia (Nor A'fifi) akan hantar dan selalu ikut jalan ban sungai ini (tempat kejadian)," katanya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Padang Hang, Gunung Keriang, di sini, Jumaat.

Sementara itu Abdul Hamid Mat, 56, bapa mertua kepada Ismail berkata Allahyarham yang memiliki bengkel motosikal di Jalan Datuk Kumbar di sini meninggalkan seorang isteri Norzariah Abdul Hamid, 34, dan tiga anak iaitu seorang perempuan dan dua lelaki berusia lima bulan hingga lima tahun.

Katanya, jenazah menantunya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Guar Kepayang, petang ini.

Harimau Malaya kena aib dengan Oman

Posted: 27 Mar 2015 01:30 AM PDT

SINAR HARIAN

Harimau Malaya
 
 
 
SKUAD Harimau Malaya nyata bukan lawan Oman selepas diaibkan dengan kekalahan 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' di Stadium Al-Seeb, Oman, malam tadi.

Pasukan tuan rumah yang mendapat jolokan Al-Ahmar (The Reds) nyata bukan tandingan skuad bimbingan Dollah Salleh apabila mendominasi perlawanan serta melakukan serangan bertali arus ke kubu skuad negara.

Hasilnya, Yaqoob Abdul-Karim Salim Al-Qasmi membuka tirai jaringan seawal minit ke-15 selepas bijak memanfaatkan pergelutan dalam kotak penalti sebelum mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Oman, yang dilatih oleh jurulatih dari Perancis, Paul Le Guen, terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan dan hasilnya, Abdul Aziz Humaid Mubarak Al-Muqbali meledak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-42 dan keputusan itu kekal sehingga babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, Oman berjaya menambah gol ketiga menerusi Qasim Said Sangoor pada minit ke-46 selepas beliau mudah menolak masuk hantaran silang rakan sepasukan sebelum Abdul Aziz meledak gol keempat, selang empat minit kemudian.

Yaqoob Abdul-Karim menambah derita Malaysia menerusi gol kelima pada minit ke-66 sebelum Mohsin Johar Al-Khaldi memastikan kemenangan bergaya Oman dengan gol terakhir pada minit ke-88 menerusi sepakan penalti.

Dalam pada itu, skuad Bawah 23 (B-23) negara mengalami kekalahan kedua pada siri perlawanan persahabatan di Thailand selepas tunduk 2-0 kepada kelab Air Force United FC di Stadium Thupatemee, Bangkok.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu, yang seri 1-1 menentang skuad B-23 Korea Utara, Ahad lepas, akan melengkapkan siri persahabatan itu menentang Police United pada Isnin ini di Stadium Thammasat.

Tiga aksi persahabatan berkenaan merupakan antara persiapan Kim Swee bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini. - Bernama


DAP Sarawak umum keluar PR

Posted: 27 Mar 2015 01:20 AM PDT

SINAR HARIAN


DAP
KUCHING - DAP Sarawak hari ini mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini berkuat kuasa serta merta.
  
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana sekutu PR, Pas telah menyeleweng daripada dasar bersama PR dengan mahu melaksanakan hukum hudud di Malaysia. Sekutu ketiga dalam PR ialah PKR.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Laksana hudud bukti Pas ikhlas, kata Umno ]

"Sehubungan itu, selagi pelaksanaan hukum hudud menjadi agenda politik dan objektif Pas, DAP Sarawak tidak lagi boleh bekerjasama dengan Pas sebagai sebuah parti politik di Sarawak.
  
"Oleh itu, dengan Pas kekal sebagai parti komponen PR Sarawak, DAP Sarawak hari ini membuat resolusi dan keputusan yang menyedihkan untuk keluar daripada PR Sarawak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa DAP Sarawak DAP.
  
Chieng Jen, yang juga Ahli Parlimen Kuching MP dan Adun Kota Sentosa berkata, resolusi DAP Sarawak merupakan keputusan sebulat suara jawatankuasa DAP negeri dan mengikut struktur parti DAP, DAP Sarawak mempunyai kuasa autonomi untuk membuat keputusan itu. - Bernama

Jawatan Hishamudin tidak boleh pertikai

Posted: 27 Mar 2015 01:12 AM PDT


SPRM SPRM



KUALA LUMPUR - Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, pembantu khas pemimpin DAP Selangor enam tahun lalu, tidak wajar dinafikan hak untuk kenaikan pangkat memandangkan tidak ada mana-mana individu terbabit didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah setakat ini.

Oleh itu, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, penempatan Datuk Hishamuddin Hashim sebagai Pengarah SPRM Sabah sejak pertengahan tahun lalu tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Beliau menjawab kenyataan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching di Parlimen Khamis lalu. Malah pada Khamis lalu, keluarga Beng Hock dan pengikut mereka mengadakan protes di hadapan Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam mempertikaikan kenaikan pangkat Hishamuddin dan seorang lagi pegawai lagi.

Tegas beliau, dakwaan Nie Ching terhadap Hishamuddin yang dakwanya sebagai individu yang bertanggungjawab dalam kes kematian Beng Hock adalah berdasarkan andaian beliau semata-mata.

Tegas Razali, tiada mana-mana pihak termasuk Mahkamah Rayuan dalam keputusannya pada 5 September 2014 merujuk Hishamuddin sebagai bertanggungjawab ke atas insiden yang menimpa Beng Hock pada tahun 2009.

"Penempatan Hishamuddin Hashim sebagai Pengarah SPRM Sabah adalah berdasarkan kekosongan jawatan sedia ada dan juga prestasi semasa  yang ditunjukkan oleh beliau selain tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

"Sebagai contohnya, pada tahun ini (sehingga 24 Mac 2015),  SPRM Sabah di bawah pimpinan beliau telah membuat 50 tangkapan berbanding sepanjang tahun 2014 hanya 28 tangkapan dibuat," kata beliau ketika menggulung perbahasan ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, adalah jelas tiada pun disebut tentang Hishamuddin dalam kes kematian Beng Hock seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

"Malahan Mahkamah Rayuan memberi penekanan kepada dakwaan nota tulisan tangan bunuh diri untuk disiasat semula secara terperinci. Saya dimaklumkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia seperti kenyataan yang dikeluarkan pada 16 Mac 2015 menyatakan siasatan masih dijalankan, malah ia dimulakan sebaik keputusan Mahkamah Rayuan diputuskan September tahun lepas," kata Razali.

Sebagai tambahan, kata beliau, penemuan penyiasatan sebelum dari ini melalui pihak  PDRM, Jawatankuasa Aduan SPRM (badan bebas memantau SPRM, Inkues dan Suruhanjaya Siasatan Diraja  (RCI) juga tidak mendapati apa-apa kesalahan jenayah dan salah laku melibatkan Hishamuddin.

Oleh itu tambah beliau, merujuk kepada pertikaian Ahli Parlimen Kulai terhadap kenaikan pangkat Hishamuddin, adalah dimaklumkan bahawa ia tidak bersalahan dengan mana-mana peraturan kerana ia adalah mengikut peraturan dan tatacara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2010, yang mana apabila terdapat kekosongan jawatan, semua pegawai yang layak dan tidak disabitkan dengan sebarang tuduhan dan kesalahan jenayah  akan dipertimbangkan mengikut merit dan prestasi.

"Sehubungan itu, Hishamuddin Hashim adalah layak untuk dipertimbangkan mengikut tatacara yang ditetapkan memandangkan beliau tidak pernah  dituduh atas mana-mana kesalahan," katanya.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen  Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bahawa Perdana Menteri adalah 'Ketua' SPRM adalah  tidak benar sama sekali.

Ini kerana Seksyen 3 Akta SPRM telah menafsirkan bahawa Ketua Pesuruhjaya adalah 'ketua' SPRM, yang dilantik di bawah Seksyen 5 manakala Seksyen 5(5)  Akta SPRM 2009 memperuntukkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah bertanggungjawab terhadap segala perjalanan, arahan dan kawalan terhadap suruhanjaya tersebut.

"Justeru SPRM  adalah  bebas melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah  Akta SPRM 2009 dan sekali gus menolak dakwaan Ahli Parlimen Lembah Pantai ini.

"Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan kes-kes jenayah rasuah, kebebasan SPRM untuk menyiasat mengikut perundangan sedia ada, without fear or favor akan terus dijamin tanpa mengira kedudukan atau status mereka yang terlibat," katanya.


Amaran polis: Jangan kacau orang awam

Posted: 27 Mar 2015 01:09 AM PDT


PDRM
 
 
 
KUALA LUMPUR - Polis bersedia mengawal keadaan bagi menghadapi himpunan #KitaLawan melibat lima lokasi sekitar ibu negara,esok.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pihaknya memberi amaran kepada peserta demonstrasi supaya mematuhi undang-undang.

Difahamkan lima lokasi terbabit yang menjadi tempat berhimpun peserta #KitaLawan berkumpul adalah di Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut, pusat membeli-belah Sogo dan  Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Kita akan memantau dan bersiap sedia untuk mengambil tindakan terhadap peserta yang melanggar undang-undang," katanya

Hong Soon turut mengingatkan peserta yang menyertai himpunan itu jangan melakukan perkara yang boleh mengganggu  ketenteraman awam.

"Jangan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kekacauan dan kekecohan ketika himpunan itu. Orang awam mahu pergi kerja dan menjalankan perniagaan, jangan kacau mereka," katanya

Menurutnya, pihaknya mempunyai sejumlah anggota yang akan memantau sepanjang tempoh perhimpunan itu berlangsung.

"Penganjur tidak memberi sebarang notis pemakluman penganjuran himpunan itu sehingga kini, namun kita mempunyai jumlah anggota yang mencukupi untuk memantau dan menjaga keselamatan orang awam pada perhimpunan itu," katanya.

Seketariat #KitaLawan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menjelaskan tujuan perhimpunan dibuat adalah untuk mendesak Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan dan membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahin yang dijatuhi hukuman penjara.

Perhimpunan itu  dipercayai turut mahu 'meraikan' majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Nooryana Najwa yang akan berlangsung di  Pusat Konvesyen Kuala Lumpur,esok.


Pas, DAP bakal berpecah

Posted: 27 Mar 2015 01:06 AM PDT


Pas, DAP bakal berpecah Laporan Sinar Harian, semalam.
 
 
 
SHAH ALAM – Perpecahan akan berlaku dalam PR apabila krisis DAP dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melarat hingga peringkat Pemuda kedua-dua parti, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali.

Menurutnya, Pemuda adalah sayap penting dalam sesebuah parti dan apabila Pemuda Pas dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) sudah mula menghentikan kerjasama, ia akan memberikan impak besar kepada perjalanan gabungan pembangkang itu.

"Strategi DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang menyerang Abdul Hadi, jelas mahu memastikan ahli Pas memilih ketua yang lebih mesra PR dalam pemilihan Pas Jun ini.

"Saya yakin Abdul Hadi akan kekal dalam pemilihan Pas nanti. Pas sendiri telah nyatakan yang mereka tidak akan keluar dari PR. Dan apa pula pendirian DAP pada ketika itu? Yang paling terhormat adalah DAP perlu keluar dari PR setelah mengeluarkan kenyataan kejam terhadap Abdul hadi," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sokongan terhadap Abdul Hadi ketara apabila Pemuda Pas mengambil pendekatan menghentikan kerjasama dengan Dapsy setelah Guan Eng menghentam Abdul Hadi.

Sambil menyifatkan lebih banyak kawasan antara Pas dan DAP yang akan memutuskan kerjasama, beliau berkata, Pemuda Pas jelas terlalu kecewa dengan tindakan Guan Eng.

Pengampunan diraja kes Anwar sudah ada keputusan

Posted: 27 Mar 2015 01:03 AM PDT

SINAR HARIAN


Anwar Ibrahim  Datuk Seri Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR - Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan terhadap petisyen bagi pengampunan diraja dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disabitkan kesalahan meliwat dan pengumuman akan dibuat pada Rabu depan.

Peguam mewakili Anwar, N Surendran memberitahu pemberita pengumuman itu akan dibuat apabila Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Anwar bagi kebenaran untuk mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Peguam itu, bersama-sama Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, telah berjumpa dengan Hakim Datuk Asmabi Mohamad di dalam kamar.

"Keputusan telah dibuat, seperti dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan (di dalam kamar). Mahkamah menetapkan Rabu untuk mengesahkan status petisyen pengampunan," kata Surendran.

Sementara itu, Amarjeet Singh berkata, Surendran telah meminta sedikit masa untuk mengesahkan fakta dalam afidavit yang diperakui oleh Ketua Pengarah Hal Ehwal  Perundangan yang juga Sekretariat Lembaga Pengampunan.

"Mereka meminta masa. Sebaik sahaja keputusan dibuat, Perlembagaan yang menentukannya. Apabila Ahli Parlimen lucut kelayakan; hakim memberikan masa kepada mereka untuk mengesahkannya," katanya.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, memfailkan permohonan itu pada 18 Mac dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan, Anwar, 67, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, mendakwa beliau masih anggota Dewan  Rakyat dan Ketua Pembangkang berikutan petisyen bagi pengampunan diraja masih belum diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau memgemukakan permohonan bagi pengampunan diraja pada 24 Feb selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar mendakwa keputusan kedua-dua responden tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat adalah salah di sini perlembagaan, tidak sah danbatal.

Anwar memohon perintah supaya keputusan Komisioner Jeneral Penjara bertarikh 4  Mac dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan di bawah perintah certiorari.

Beliau juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Komisioner Jeneral Penjara membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat dan mengisytiharkan  bahawa beliau ada hak untuk menghadiri sidang itu. - Bernama


Biar Cikgu Ishak mati dalam PAS

Posted: 27 Mar 2015 12:52 AM PDT




Oleh Subky Latif


CIKGU Ishak Surin yang usianya mencecah 80-an mengetuai 16 orang lagi ahli jawatankuasa PAS Kawasan Batu, mufarakah kepada pimpinan PAS Pusat dan meletak jawatan.
   
Saya tidak bercadang untuk menyalahkannya tetapi lebih selesa mengiranya telah bertindak silap dan setiap yang silap itu bukan tidak boleh dibetulkan dan memang ia boleh dan patut dibetulkan.

Yang lemah dan silap itu bukan sifat Cikgu Ishak dan rakan-rakannya, bahkan semua orang dalam PAS dan di luar PAS ada kelemahan dan kesilapan masing-masing. Jika kesalahan murtad, Islam beri tempoh untuk bertaubat, maka maaf-memaafkan itu adalah sifat mulia dan  terpuji bagi orang Islam, apa lagi bagi penyokong PAS yang ditubuhkan untuk menjunjung tinggi kalimatullah.
   
Saya amat gembira kira Cikgu Ishak berani mengaku kelemahan dan berani juga memaafkan kesilapan orang, dan demikian juga PAS mesti berani memaafkannya dan mengaku sebagai makhluk manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.
   
Kita sedang giat berjuang untuk menggantikan Umno, maka kita tidak mahu ahli yang ada luak. Apa yang kita mahu ialah sambil menambah ahli dengan orang-orang dari Umno, kita kekalkan ahli yang sedia ada. Dulu saya amat pilu Tamrin Ghafar meninggalkan PAS dan kini saya pilu Cikgu Ishak keluar daripada arus perdana perjuangan dan kegiatan PAS.
   
Sekalipun Cikgu Ishak daripada 16 tidak meninggalkan PAS, tetapi tercicir daripada arus perdana kegiatan PAS, boleh menjauhkan diri daripada jemaah yang mulia dan terpuji itu.
   
Cikgu Ishak adalah seorang pejuang politik sepanjang hidupnya. Dia membebaskan dirinya daripada ikatan kerajaan yang menjanjikan kehidupan kehidupan yang stabil. Dari muda terjun ke arena politik bagi membebas negara dan diri daripada belenggu penjajahan dan membebaskan negara dan rakyat darpada belenggu dan penindasan kaum kapitalis. Tidak pernah menikmati kemewahan hidup, tetapi berpuas hati dengan kehidupan sederhana bersama kaum marhaen.
   
Beliau mengalami pengalaman berjuang dalam Partai Rakyat, kemudian bersama Parti Marhaen dan lepas itu bersama Pekemas yang diasaskan oleh Dr. Tan Chee Khoon. Setelah parti itu mati selepas matinya Dr. Tan Chee Khoon dan Ahmad Boestaman, Cikgu Ishak yang terus mencari wadah yang serasi dari satu ke satu, akhirnya menemui PAS, parti yang berjuang unuk menegakkan keadilan dan kesucian Islam. Mungkinlah boleh dibandingkan dengan pencarian Salman al-Parsi yang mencari kedamaian dari satu agama ke satu agama,  akhirnya bertemu dengan Islam.
   
Di mana juga Cikgu Ishak berjuang, dia adalah aktivis yang gigih dan tidak pernah memikirkan keuntungan dan kemewahan peribadi.

Apa yang dimahunya ialah keadilan masyarakat, dan ia terjamin dalam Islam. Tidak ramai orang mencecah usia 80-an dapat memberi tenaga tanpa mengira penat lelah. Dan setiap pejuang itu tidak pernah sunyi daripada cabaran dan sesuai dengan kejadian manusia seperti yang tersurat dalam surah al-Asr yang maksudnya, sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian, kecuali mereka yang berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran.
  
Apa yang terjadi pada Cihgu Ishak sekarang ialah dia dan rakan-rakannya terjebak dalam maksud kerugian bagi setiap manusia. Yang lain, lainlah kerugiannya. Setiap orang dari kita ada saja kerugiannya.
   
Harapan besar saya ialah Cikgu Ishak terkeluar daripada kerugian yang sedang dilaluinya, supaya kembali terus dalam arus perdana perjuangan Islam dan biarlah dia dan saya sama-sama mati dalam PAS.

Menteri-PAS bertikam lidah, Mahfuz kena keluar

Posted: 26 Mar 2015 09:45 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Beberapa anggota parlimen PAS membantah - akibatnya seorang diperintah keluar Dewan Rakyat - selepas seorang menteri mendedahkan bahawa kerajaan pusat tidak membawa cadangan pindaan undang-undang hudud ke mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada 11 Mac.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata enakmen syariah itu tidak pernah dibawa untuk perhatian majlis itu sejak mula lagi.

Pengakuan itu mencetuskan kemarahan wakil-wakil rakyat PAS yang berkata kerajaan pusat pernah berjanji dalam jawatankuasa teknikal hudud untuk berbuat demikian sebelum pindaan dibawa ke Parlimen.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) diarah keluar dewan selepas beberapa kali cuba menyoal Jamil Khir sebab kerajaan tidak mahu mengikut apa yang telah dipersetuju dalam jawatankuasa teknikal.

Beliau diarah keluar oleh Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamad Said selepas 30 minit bertikam lidah, dengan menteri tersebut tidak memberi jawapan memuaskan berhubung perkara itu.

Bercakap dalam sidang media selepas diarah keluar dewan, Mahfuz mendakwa bahawa mesyuarat Majlis Kebangsan bagi Hal Ehwal Islam yang dipengerusi oleh perdana menteri, telah bersetuju dengan pindaan itu dan telah disebut akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Oleh kerana kerajaan tidak berbuat demikian, dakwanya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen.

"Rang undang-undang itu akan membuat ia mudah bagi Kelantan untuk menguatkuasakan apa yang telah diluluskan di sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini," katanya.

Menurut Mahfuz lagi, ini membuktikan bahawa apabila terdapat tekanan dari parti-parti komponen BN berhubung dengan hudud, kerajaan tidak meneruskannya.

Sebut 'bacul'

Sementara itu, Bernama melaporkan tindakan itu diambil kerana Mahfuz tidak mengendahkan arahan Ismail dan menghina Jamil Khir ketika menteri berkenaan menggulung perbahasan usul itu.

"Tindakan ini jangan dijadikan isu di luar dewan selepas ini. Ia dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 42.

"Yang pertama, tidak mengendahkan nasihat saya supaya duduk diam, lama saya biarkan....selain mengeluarkan perkataan menteri 'bacul'. Saya dengar perkataan ini terhadap menteri (Jamil Khir).

"Dia (Mahfuz) berdegil tidak menghormati (Timbalan) Speaker dan apabila diminta duduk diam, dia tidak menghiraukan arahan saya dan bukan kerana menteri gagal jawab," kata Ismail seperti dilaporkan agensi berita nasional.


Wisma Putra: Rakyat M'sia di Yaman Selamat

Posted: 26 Mar 2015 09:37 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Rakyat Malaysia di Yaman dilaporkan selamat berikutan serangan udara diketuai Arab Saudi bersama jiran sekutunya di negara itu, menurut Wisma Putra malam ini.

Wisma Putra berkata perkara itu telah disahkan oleh Kedutaan Malaysia di Sana'a, Yaman.

Warga Malaysia di Yaman dinasihatkan supaya berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana, kata Wisma Putra dalam kenyataan di ibunegara hari ini.

Ia juga menasihati rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke Yaman berikutan keadaan semasa di sana.

"Kementerian melalui Kedutaan Malaysia di Sana'a akan terus memantau situasi di Yaman," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Wisma Putra di talian 03-8887 4300, 8887 4265 pada waktu pejabat dan di talian 03-8887 4570 selepas waktu pejabat berhubung isu di Yaman.

Media melaporkan Arab Saudi bersama jiran sekutunya, melancarkan serangan udara terhadap pemberontak Houthi di ibu negara Yaman selepas konflik awam di negara miskin itu yang mempunyai kedudukan yang strategik di negara-negara Teluk, mengancam berlakunya perang serantau. - Bernama

GST: Adakah kerajaan faham apakah maksud ‘barang keperluan asas’?

Posted: 26 Mar 2015 09:33 PM PDT



Oleh Sonia Ramachandran 


PETALING JAYA: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan dalam masa beberapa hari lagi. Di saat rakyat sedang membuat persediaan untuk menghadapinya, sedikit jaminan hadir apabila kerajaan menyatakan banyak "barang keperluan asas" yang tidak akan dicukai, dan mereka membuat yang terbaik untuk memastikan rakyat tidak terbeban.

Namun tanggapan kerajaan tentang barang apa yang menjadi "keperluan asas" atau tidak mungkin tidak sama dengan rakyat.

Menurut senarai barangan dicukai dan tidak dicukai yang dikeluarkan Jabatan Kastam pada 2 Januari lalu, barangan yang dikenakan GST termasuk Milo, sabun buku, berus gigi, pencukur dan pisau cukur.

Barang lain yang akan dikenakan GST adalah botol susu, bedak bayi, shampoo bayi, minyak bayi serta tuala wanita.

Turut tidak terlepas adalah lampin kanak-kanak dan dewasa. Begitu juga dengan susu, kecuali susu formula bayi.

Hampir semua kanak-kanak yang besekolah meminum Milo, atau sekurang-kurangnya Horlicks atau Ovaltine, yang tidak terkecuali daripada GST.



Ini adalah minuman lazim rakyat Malaysia di waktu pagi. Kopi dan teh mengandungi susu yang tidak terlepas daripada GST.

Susu pekat manis dan susu sejat – alternatif bagi mereka yang tidak terlalu berada – akan dikenakan GST.

Namun, Nescafe dikecualikan. Sementara cendol tidak.

Bagaimana pula dengan kopi lain? Adakah hanya jenama itu sahaja yang mendapat pengecualian.
Jenama itu bukanlah yang paling murah di pasaran. Adakah ia dikecualikan kerana golongan kaya membelinya?

Bukankah sistem cukai yang bakal dilaksanakan ini dikatakan tidak akan membebankan rakyat yang miskin dan terpinggir?

Bukankah tuala wanita adalah barang yang amat mustahak bagi semua perempuan, sama seperti pencukur dan pisau cukur bagi orang lelaki?

Bukankah semua bayi memerlukan lampin dan botol susu?

Adakah kerajaan benar-benar faham apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai "barang keperluan asas"?

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, itulah sebenarnya soalan yang patut dibangkitkan.


"Itulah sebabnya mengapa pihak berkuasa perlu berkomunikasi dengan kumpulan pengguna, sebelum membuat senarai tersebut. Kami akan memaklumkan apakah barangan keperluan asas bagi pengguna.

"Semua lelaki dewasa bercukur. Adakah pihak berkuasa mahu mereka ke pejabat dengan tidak bercukur? Kalau mereka nak, kami boleh lakukannya. Milo sudah menjadi sebahagian daripada hidup rakyat sejak sekian lama, dan cendol pula adalah 'makanan kebangsaan'.  Ini pun anda nak 'sapu'?"

"Setiap perempuan wajib memiliki tuala wanita. Ia adalah barang asas. Jika begitu, anda fikir golongan perempuan nak guna apa? Kesemua ini adalah barangan keperluan yang digunakan semua orang, tanpa mengira status kewangan," katanya kepada Semut Harian.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, tidak adil untuk membebankan golongan yang sudah pun terbeban, terutama selepas berjanji tidak akan berbuat demikian.

Dengan pembaziran luar biasa seperti yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara, serta laporan tinjauan yang menunjukkan Malaysia adalah salah satu negara paling korup di dunia,  kerajaan sepatutnya menumpukan usaha untuk membendung perkara itu. Bukannya menghukum rakyat dengan GST, terutama dengan mengenakan cukai kepada hampir semua barangan keperluan.

Seperti yang dinyatakan Marimuthu, senarai barangan keperluan yang tidak dicukai sepatutnya dirangka dengan lebih teliti, dan dengan mengambil kira pendapat pengguna sendiri, kerana merekalah yang akhirnya akan membayar cukai.


Eropah terkejut, pesawat disyaki sengaja dihempas

Posted: 26 Mar 2015 09:28 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Berada sendirian di dalam kokpit pesawat penerbangan 4U9525 Germanwings, pembantu juruterbang Andreas Lubitz secara manual memulakan prosedur terbang menurun dan tidak memberi respons ketika juruterbang dan krew merempuh pintu yang dikunci sehingga pesawat itu terhempas di kawasan pergunungan di Perancis.

Itu adalah penemuan yang diumumkan semalam oleh pendakwa Marseilles, Brice Robin, yang ditugaskan menyiasat kes membunuh diri selepas penerbangan yang membawa 150 orang itu terhempas ketika dalam perjalanan ke Dusseldorf dari Barcelona.

Menggelarkannya sebagai "peristiwa yang paling dahsyat" dalam sejarah penerbangan Lufthansa, pengerusi syarikat induk Germanwings, Carsten Spohr berkata syarikat itu "terkedu" dengan apa yang berlaku itu.

Robin berkata siasatan berubah apabila ia jelas menunjukkan bahawa nahas itu adalah akibat tindakan Lubitz untuk menghempaskan pesawat itu.

Bernafas seperti biasa, Lubitz tidak memberi respons ketika ketukan pada pintu kokpit yang dikunci itu semakin kuat, penggera kecemasan mula berbunyi apabila pesawat itu hampir terhempas. Dia juga berdiam diri walaupun pelbagai percubaan dari pengawal trafik udara untuk mendapatkan maklumat.

Kemungkinan juruterbang keluar dari kokpit untuk ke tandas apabila pintunya dikunci secara automatik, kata Robin. Orang di dalam kokpit perlu menekan butang untuk membuka semula pintu itu.

Lubitz juga mungkin telah menekan butang untuk mengunci pintu ketika juruterbang cuba masuk semula ke kokpit, kata Spohr.

Pesawat itu mempunyai dua kod akses di pintu kokpit, satu yang biasa dan satu lagi kod langkau untuk membolehkan krew masuk dari luar sekiranya tiada respons dari dalam kokpit. Tetapi kod langkau itu boleh disekat dari dalam kokpit.

Menurut fail audio  selama10 minit pesaat itu menurun, seolah-olah kebanyakan penumpang tidak menyedari bahawa ada sesuatu berlaku sehingga sejurus sebelum pesawat itu terhempas, apabila ketukan pada pintu semakain kuat dan terdengar bunyi jeritan dari dalam kabin.

Tidak ada tanda-tanda bahawa nahas itu akibat serangan pengganas, kata Robin, sambil menambah bahawa tindakan itu seolah-olah perbuatan membunuh diri tetapi tidak boleh disifatkan sebagai membunuh diri apabila membabitkan begitu ramai mangsa lain.

Namun, motif  Lubitz masih tidak jelas. Terdahulu, pihak berkuasa Jerman mengesahkan kepada dpa bahawa Lubitz berasal dari Montabaur di Rheinland-Pfalz, berhampiran Frankfurt, dan pihak berkuasa bandaraya Dusseldorf mengesahkan Lubitz berusia 27 tahun, dan bukannya 28 tahun seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Lubitz mula bertugas dengan Germanwings pada bulan September 2013 dan mempunyai 630 jam pengalaman penerbangan.

Pihak berkuasa Jerman menjalankan pemeriksaan latar belakang Lubitz dan tidak menjumpai apa-apa yang luar biasa, kata Menteri Dalam Negeri Thomas de Maizière.

Rumah Lubitz di Dusseldorf telah diperiksa dalam usaha pihak berkuasa mencari petunjuk terhadap motif nahas tersebut.

De Maizière berkata rekod perisikan, pangkalan data polis kebangsaan dan rekod Lufthansa sendiri telah disemak sejurus selepas kemalangan itu, tetapi tidak ada maklumat penting ditemui.

"Kami memeriksa seluruh anak kapal dan penumpang untuk tanda-tanda keganasan atau sebarang kebimbangan keselamatan yang lain, dan hasilnya adalah negatif," katanya.

Keluarga Lubitz dan keluarga juruterbang telah berlepas ke Perancis dan telah dimaklumkan mengenai penemuan pendakwa itu. Keluarga mangsa, yang kebanyakannya berkumpul pada sebelah petang di satu tempat berdekatan lokasi kemalangan itu, juga telah dimaklumkan mengenainya.

Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy, pemimpin kedua-dua negara mangsa nahas itu, berkata mereka terkejut dengan apa yang telah berlaku.

"Saya amat terkejut dengan berita tersebut," kata Merkel, sambil menambah bahawa tidak ada penjelasan untuk tragedi itu. "Ia melampaui apa-apa saya dapat bayangkan."

Banyak penemuan datangnya dari fsalah satu daripada dua kotak hitam pesawat, yang mengandungi perakam suara. Ia ditemui di lokasi kemalangan, di mana serpihan pesawat itu bertaburan meliputi kawasan empat hektar di pergunungan terpencil di selatan Perancis itu.

Pihak berkuasa masih mencari kotak hitam kedua yang mengandungi perakam data penerbangan. Presiden Perancis Francois Hollande berkata selongsong yang rosak teruk yang ditemui pada hari Rabu tidak mengandungi peranti itu.

"Kerja-kerja mencari amat sukar, kawasan itu berbahaya, ia sangat curam dan licin," kata ketua pasukan penyelamat gunung, Olivier Cousin, kepada dpa.

Pegawai dari Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat menawarkan bantuan agensi itu kepada penyiasat Eropah untuk mengumpulkan maklumat mengenai kemalangan itu.

Penyiasat dari Perancis, Jerman dan pasukan polis Interpol antarabangsa sudah berada di kawasan kemalangan itu.  - dpa

PKR arah ahli hadiri perhimpunan Kita Lawan

Posted: 26 Mar 2015 09:24 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


PKR telah mengarahkan pemimpin parti itu supaya menggerakkan anggotanya untuk menghadiri perhimpunan Kita Lawan di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata PKR komited sepenuhnya terhadap perhimpunan tersebut, yang dianjurkan oleh pelbagai NGO.

PKR, katanya, berharap semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan supaya menyertai perhimpunan itu untuk menyuarakan hak mereka sebagai rakyat.

Katanya, PKR juga berharap pihak berkuasa tidak cuba menghalang hak mereka untuk berhimpun secara aman.

Rafizi berkata, perjuangan Kita Lawan adalah selaras dengan pendirian PKR untuk melindung rakyat terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), skandal 1MDB, penyalahgunaan Akta Hasutan 1948 dan percubaan polis untuk menyekat kebebasan berhimpun.

Sejak pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari, aktivis telah berkumpul di pusat membeli-belah Sogo setiap petang Sabtu untuk menuntut pembebasannya.

Kempen terkini Kita Lawan melibatkan desakan pemecatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya berundur.

Perhimpunan pada hari Sabtu itu berkebetulan dengan majlis perkahwinan untuk anak perempuan Najib,di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Polis menangkap lebih enam aktivis dan pemimpin pembangkang selepas perhimpunan besar-besaran yang menyaksikan perarakan 10,000 peserta dari Sogo ke KLCC pada 7 Mac.

Semalam, enam lagi ditahan semasa protes duduk berehampiran Dataran Merdeka.


Lembaga Pengampunan lupus petisyen keluarga Anwar

Posted: 26 Mar 2015 09:22 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Lembaga Pengampunan telah melupuskan (disposed) petisyen dari keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia nampaknya bukan satu berita baik untuk ketua pembangkang itu.

Bagaimanapun, peguam Anwar N Surendran tidak mahu mendedahkan apa keputusan tersebut, sementara menunggu pengesahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Rabu.

Ketika ditemui, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh memberitahu pemberita petisyen itu telah dilupuskan (disposed), dan dengan itu, kedudukan perlembagaan adalah jelas mengenai perkara itu.

Tambahnya, afidavit yang dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri telah dihantar kepada pemohon.

Ketua pengarah adalah sebahagian daripada urusetia Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan oleh Yang di-Petuan Agong.

Dengan ini, permohonan Anwar untuk mendapatkan pengampunan mungkin ditolak dan akan menjalani hukuman lima tahun penjara selepas disabitkan atas tuduhan liwat.

Ini juga bermakna bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh yang diwakilinya akan diisytiharkan kosong tidak lama lagi.

Keputusan itu disampaikan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Asmabi Mohamad dalam kamar, yang kemudian menetapkan Rabu ini untuk pengesahan lanjut.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman bagi menghadiri sidang parlimen yang berakhir pada 9 April.


Pendirian DAP tentang isu hudud, presiden PAS, dan Pakatan Rakyat

Posted: 26 Mar 2015 09:22 PM PDT

DAP_PAS

 Roketkini.com


Kenyataan Akhbar oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 24 Mac 2015.
Pada 23 Mac 2015, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP telah dengan sebulat suara menetapkan bahawa:

1. DAP menegaskan semula komitmen kepada Pakatan Rakyat sebagai gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan, yang berhasrat untuk membina Malaysia baru berdasarkan nilai-nilai asas seperti kebebasan, keadilan, demokrasi, integriti dan martabat manusia. DAP juga mengulangi pendirian bahawa semua parti komponen Pakatan Rakyat harus berpegang kepada semangat Dasar Bersama melalui muafakat yang berkisar pada amanah dan sifat saling menghormati dalam Majlis Pimpinan PR.

2. DAP menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan. Tambahan pula, rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk Dasar Bersama. Justeru, setiap 37 Ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-undang Persendirian berkenaan dengan hudud yang dibentangkan oleh Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

3. DAP berasa kesal atas tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bekerjasama dengan UMNO untuk melanggari semangat konsensus serta Dasar Bersama yang lantas meletakkan Pakatan Rakyat dalam bahawa, yakni:

a) Pengkhianatan Hadi terhadap keputusan bersama yang dibuat dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat atas pencalonan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Pakatan Rakyat untuk jawatan Menteri Besar Selangor, sehingga mengakibatkan krisis besar yang berlarutan dan hampir menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.;

b) Kegagalan Hadi untuk menepati kata-kata sendiri semasa Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari 2015 bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 akan dibincangkan pada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada masa depan;

c) Pembentangan Rang Undang-undang Persendirian oleh Hadi pada 18 Mac 2015 tanpa terlebih dahulu membentangkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan PR.

4. DAP tidak boleh berkerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah. DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau. Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang. DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan.

5. UMNO telah menghasut PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014 semasa sidang Parlimen dengan menjanjikan sokongan Kerajaan Persekutuan. DAP menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melengahkan masa lagi dan membuat pendirian jelas dan tegas sama ada akan menyokong atau menolak enakmen hudud di Kelantan, serta menjelaskan peranan Adun-adun UMNO Kelantan dalam menyokong rang undang-undang hudud.
Najib juga harus menyatakan sama ada beliau menyokong Rang Undang-undang Persendirian yang dibentangkan oleh Hadi.

LIM GUAN ENG


Maaf Tun Musa, pendirian Umno hanyalah untuk terus berkuasa f

Posted: 26 Mar 2015 09:17 PM PDT




Oleh Ng Kee Seng 


Bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam telah menyeru partinya agar menyatakan pendirian terhadap usaha PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.Namun adakah Umno dan pemimpinnya akan menuruti seruan itu? Jawapannya kita semua sudah tahu.

Umno tidak akan menyatakan pendiriannya, kerana satu-satu pendirian parti itu adalah untuk kekal berkuasa dengan apa sahaja cara – walaupun ia menjejaskan perpaduan negara. Ini dapat dilihat melalui sikap tolak ansurnya kepada pentaksub kaum dan agama.

Rakyat jelas mengetahui bahawa sokongan penuh Umno terhadap pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu adalah sebahagian daripada agenda politiknya.

Kekuatan politik Umno kini pada tahap paling lemah dalam sejarah, dan ia menggunakan perpaduan Melayu dan agama untuk kekal relevan dan berkuasa.

Itulah satu-satunya sebab mengapa Umno kini berterusan mengambil hati PAS. Malangnya bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, PAS kini diketuai oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pro-Umno.

Dengan berbaik dan menyokong agenda PAS, Umno telah berjaya memecah-belahkan Pakatan Rakyat – gabungan yang telah melemahkan kerajaan Umno-BN dalam PRU ke-12 dan 13.

Dalam dua pilihanraya umum itu, Pakatan berjaya menubuhkan kerajaan di lima negeri pada tahun 2008, dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen buat pertama kali dalam sejarah.




Maka, satu-satunya agenda dan pendirian Umno buat masa ini adalah menghancurkan kesatuan Pakatan, dan ia menjalankan rancangan tersebut dengan cekap melalui "rakannya" Hadi Awang.

Namun Pakatan bernasib baik apabila PKR menyeimbangkan agenda perkauman dan agama Umno dengan tidak menyokong usaha hudud PAS di Parlimen atas dasar parti itu memiliki pandangan berbeza berkaitan hudud.

Dalam satu kenyataan dari Cordoba, Sepanyol dan dilaporkan the Malaysian Insider, Musah Hitam berkata, Umno perlu segera menyatakan pendirian ke atas hudud PAS dan tidak berpura-pura terkejut dengan usaha parti itu untuk melaksanakannya di Kelantan.

Musa berkata: "Hudud tidak sesuai bagi sebuah negara seperti Malaysia…Saya amat kecewa dengan Umno sendiri, seolah-olah terpinga (dengan usaha PAS) dan hingga sekarang masih belum menentukan pendirian tegasnya. Saya boleh dikatakan begitu lama khuatir atas polisi dan agenda Umno di sini.

"Umno mesti mengambil pendirian tegas. Ini ialah isu nasional yang berimplikasi panjang dalam negara di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.

"Umno tidak mampu dianggap seolah-olah cuba melebihi PAS dalam hal ini. Umno janganlah mahu menjadi lebih PAS daripada PAS sendiri!"

Dengan keputusan DAP dan PKR untuk tidak menyokong hudud PAS apabila ia dibentang di Parlimen nanti, giliran Umno dan BN pula untuk menjelaskan sama ada mereka menyokongnya.

Bagaimana dengan pendirian parti komponen BN, terutama MCA, MIC dan Gerakan.

Musa berkata, orang ramai tidak harus merasa hairan dengan tindakan PAS kerana parti itu "begitu lama dan konsisten mereka mengutarakan manifestonya melaksanakan hukum ini."

"(Dan) Semua parti pembangkang yang ada di dalam Pakatan Rakyat pula janganlah berpura-pura tidak mengetahuinya," tambahnua lagi.

Pada masa sama, Musa menegaskan kembali pendiriannya bahawa hudud tidak sesuai untuk negara kita.

Sebagai seorang bekas penganjur Umno, saya penuh percaya hati sanubari Umno, sejak ditubuh hingga sekarang, berpendirian hudud tidak sesuai bagi Malaysia yang berupa negara majmuk berbagai keturunan dan agama ini.

"Kalau saya tersalah faham dalam hal ini, Umno harus menentukan pendiriannya secepat mungkin. Isu ini sangat penting dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

"Bukan sahaja negara yang akan menanggung akibatnya tetapi Umno juga akan menghadapi akibat buruk sebagai parti politik yang begitu banyak berkhidmat kepada bangsa dan negara begitu lama.

"Janganlah hendaknya Umno memusnahkan diri sendiri. Moga kenyataan saya ini direstui Allah swt," katanya lagi.- http://bm.theantdaily.com


Tentang Isu Hudud Yang 'Dipermainkan'.

Posted: 26 Mar 2015 09:15 PM PDT




Oleh Dr MAZA


1. Umat Islam wajib menghormati hasrat baik jika ada pihak yang ikhlas untuk mengkanunkan hudud yang adil, saksama lagi MEMENUHI maqasid syariah.

2. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan satu usaha yang bersejarah dalam negara ini. Ia telah melalui proses yang demokratik di DUN Kelantan, maka kita hendaklah hormati proses yang dibuat secara berperaturan itu.

3. Hasrat ingin melaksanakan ajaran al-Quran dan al-Sunnah mana-mana pihak hendaklah dihormati. Peranan kita memberikan pandangan balas dan menolong hasrat baik seperti itu agar kebaikan atau niat baik benar-benar mencapai maksudnya.

4. HARAM muslim menggabungkan diri dalam apa-apa aktiviti yang bertujuan menghina ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

5. Oleh kerana Enakmen Hudud Kelantan itu mempunyai banyak pandangan dan ijtihad yang dipilih oleh pihak penggubal, ia mungkin selaras, juga mungkin tidak selaras dengan maqasid syariah berkaitan hudud dalam Islam terutama pada zaman ini, maka masa yang cukup hendaklah diberikan untuk enakmen itu DISEMAK oleh pakar-pakar MAQASID syariah di pelbagai peringkat. Kegagalan perlaksanaan hudud di beberapa negara sebelum ini diharap tidak berulang di sini.

6. Sikap majoriti umat Islam Malaysia hari ini yang menghormati undang-undang itu secara dasarnya, merupakan satu sikap yang baik. Ini berbeza dengan keadaan era 80an dahulu. Kita patut bersyukur dengan sikap ini.

7. Kita hendaklah berhati-hati portal portal berita tertentu yang cuba menimbulkan permusuhan dan salah tafsiran terhadap isu ini.

Siapa mampu jadi PM bagi pakatan kerajaan baru Malaysia demi mempertahan Perlembagaan?

Posted: 26 Mar 2015 09:10 PM PDT

malaysian flag

Oleh LIM KIT SIANG


DAP menyokong penuh pendirian 25 orang Melayu ternama mantan penjawat awam (G25) yang menggesa Putrajaya menjunjung Perlembagaan Persekutuan, dan bahawasanya pelaksanaan undang-undang hudud bermakna negara telah meninggalkan jalan kesederhanaan yang telah menjadi pilihan negara sejak ia Merdeka pada tahun 1957 dan kemudian setelah tertubuhnya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Kenyataan G25 menyebut:

"Pengenalan undang-undang hudud PAS akan memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia telah meninggalkan jalan kesederhanaan"

(The imposition of PAS' hudud laws will signify to the world that Malaysia has abandoned the moderate path.)

"Kita akan dilihat sebagai sebuah negara yang ditadbir oleh undang-undang berasaskan agama, yang boleh melalui pelbagai ragam tafsiran para ulama' yang juga manusia biasa yang berbuat silap"

(We will be seen as a country governed by religious laws which are subjected to the vagaries of interpretation of the ulama who are also fallible human beings.)

Saya bukan seorang Muslim tetapi saya berbekalkan petikan ilmuan Islam yang diberi kumpulan G25 berkenaan hal ini, terutamanya Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, yang mengatakan bahawa pelaksanaan Syariah mestilah ditadbir oleh ijtihad, bagi menentukan bagaimana ia mahu dikuatkuasakan hari ini, kerana tidak boleh menggunakan ketetapan dari teks lama untuk diaplikasikan kepada masyarakat moden.

G25 menyatakan bahawa masalah yang diutarakan Sheikh Qaradawi ialah bahawa hudud dilaksanakan sebelum syarat-syarat pelaksanaannya dipenuhi, termasuklah:

Menonjolkan Islam sebenar, di mana masyarakatnya beriman dan bertaqwa,

Memastikan keperluan ekonomi rakyat dipenuhi,

Menyediakan peluang pekerjaan kepada semua; dan Mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan kemiskinan lenyap sama sekali.

Berikutan penjelasan Sheikh Qaradawi ini, mereka kemudiannya bertanya sama ada mana-mana negeri di Malaysia boleh mendakwa bahawa mereka telah memenuhi kesemua syarat bagi membolehkan pelaksanaan hudud?

Timbalan Menteri Besar Kerajaan Negeri PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah awal-awal lagi telah menolak pendirian ini, sambil mendakwa adalah mustahil untuk melaksanakan hudud hanya apabila sesebuah negeri bebas daripada kemiskinan.

Menjawab kritikan bahawa Kelantan hanya patut melaksanakan hudud setelah masalah kemiskinan diselesaikan, Nik Amar bertanya, "Di mana dalam dunia ini ada negara seperti itu?"

"Ia semacam utopia, utopia ini sesuatu yang tidak dapat dicapai, ia mustahil".

Sebelum Pilihanraya Umum ke-13 pada bulan Mei 2013, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang telah menjelajah ke seluruh negara dan berkata bahawa hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya syarat-syarat yang secukupnya dipatuhi, sambil memberi contoh bahawa sekiranya tidak ada undang-undang gaji minima atau penyelesaian masalah kemiskinan dan pengangguran, syarat pelaksanaan hudud tidak wujud sama sekali.

Adakah Hadi bersalah mengejar utopia atau adakah beliau tidak berlaku jujur dengan janjinya kepada pengundi?

DAP juga bersetuju dengan kenyataan kumpulan G25 bahawa pelaksanaan hudud melanggar Persetujuan 20 Perkara dan 18 Perkara yang telah dirunding oleh Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak masing-masing, sebelum pembentukan Malaysia.

Bagi Sabah, perkara pertama menyebutkan bahawa "Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Sabah, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Sabah".

Begitu juga dalam Perjanjian 18 Perkara Sarawak ada ditekankan bahawa semua orang berhak beribadat menurut kepercayaan dan kehendaknya.

Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan akan dicabul dengan serius sekiranya undang-undang hudud PAS dilaksanakan.

Malah, sekiranya Najib mengumumkan bahawa Umno/BN menyokong usul persendirian oleh Presiden PAS Hadi Awang, Najib pastinya kehilangan semua kredibiliti dan mandat dalam soal inisiatif antarabangsanya, Global Movement of Moderates – sesuatu yang terus didukungnya di forum-forum antarabangsa termasuk di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu beberapa tahun lalu.

Ini sebabnya kenapa godaan konspirator UG Umno terhadap PAS dengan berumpankan pelaksanaan hudud di Kelantan boleh sahaja menjadi senjata yang menikam diri sendiri, ia mampu menghancurkan kedua-dua Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional.

Selagimana Najib masih bergelut dan terhalang daripada menyatakan secara jelas pendirian yang dipegang oleh lima Perdana Menteri sebelumnya, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah; bahawasanya undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dengan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Maka tibalah masanya untuk meneroka kemungkinan siapa pula yang akan menjadi Perdana Menteri baru bagi sebuah kerajaan gabungan untuk 'Selamatkan Malaysia' demi mempertahankan Perlembagaan. – Roketkini.com


DAP mohon kerajaan selaraskan pelaksanaan undang-undang jalanraya

Posted: 26 Mar 2015 09:06 PM PDT

teonieching_hitea

Roketkini.com


KULAI: DAP hari ini memohon kerajaan agar menyelaraskan pelaksanaan undang-undang pengangkutan jalanraya agar ia tidak lagi dijadikan alasan untuk mengutip wang rakyat bagi menampung hutang negara.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, penyelarasan itu haruslah meliputi kesemua kesalahan dan tidak hanya tertakluk kepada kesalahan nombor pendaftaran kenderaan.

"Sebagai contoh, perkara ini dapat dilihat dengan tindakan yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan Jalan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang begitu tergesa-gesa dan tidak konsisten dalam melaksanakan undang-undang kesalahan nombor pendaftaran di Malaysia.

"Sudah 56 tahun undang-undang sama digunapakai namun sehingga kini masalah ini tetap berlaku.

"Ini bermakna undang-undang ini perlu dikaji semula dan bukannya dibangkitkan atau diguna-pakai mengikut musim sahaja," kata dalam satu kenyataan, semalam.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata demikian merujuk kepada jawapan yang diberikan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai dalam sidang Parlimen bahawa 12,161 jumlah saman telah dikeluarkan bagi kesalahan nombor pendaftaran.

Liow turut mendakwa, sebanyak RM810,300.00 jumlah kutipan saman telah diperoleh walaupun ia tidak meliputi kesalahan-kesalahan lain seperti gagal memakai tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, cermin gelap dan sebagainya.

Menurut Nie Ching, hutang negara pada suku ketiga tahun telah mencecah sebanyak RM740.O dan jumlah terkini pula menghampiri RM582 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

"Pada asasnya hutang negara sudah tentu akan menjadi hutang rakyat. Semakin tinggi hutang negara, maknanya semakin terbebanlah rakyat di masa akan datang untuk menanggungnya.

"Sebab itu, saya berharap pelaksanaan undang-undang pengangkutan jalan raya bagi kesalahan nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan lain dapat diselaraskan supaya ia tidak lagi dijadikan sebab bagi mengutip wang rakyat untuk menampung hutang negara," tegasnya. -Roketkini.com


Isu Hudud: Najib langgar pendirian lima Perdana Menteri negara

Posted: 26 Mar 2015 09:02 PM PDT

03.06.13-LKS-ceramah kluang-perjuangandi teruskan (10)

 Roketkini.com


GELANG PATAH: Tindakan Datuk Seri Najib Razak yang membatu mendiamkan diri jelas sama sekali menyimpang jauh dari pendirian lima Perdana Menteri sebelum ini dalam isu hudud.

Menurut Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, lima Perdana Menteri sebelum Najib tegas dalam soal hudud bahawa undang-undang itu sememangnya bercanggah dari Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 serta tidak sesuai dengan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

"Tindakan Najib yang berdiam diri itu seolah-olah menyatakan beliau telah menyimpang dari pendirian lima Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah dan prinsip dasar UMNO dan Barisan Nasional.

"Selama hampir 60 tahun, setiap Perdana Menteri jika ditanya tidak akan teragak-agak untuk mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak akan membenarkan pelaksanaan undang-undang hudud," jelas Kit Siang.

Berikutan itu, Kit Siang membangkitkan persoalan apakah dengan sikap Najib ini harus difikirkan kembali oleh rakyat Malaysia dengan membina sebuah pakatan baru tanpa mengira pembangkang dan kerajaan demi untuk memartabatkan kembali asas kenegaraan Malaysia yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Jika di bawah Najib, dasar UMNO dan BN telah mengambil anjakan besar di mana Perdana Menteri tidak boleh mengulangi secara terbuka dan mengesahkan apa yang telah menjadi dasar UMNO, BN dan Perikatan dalam pembinaan negara untuk 58 tahun, mengikut Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963 bahawa undang-undang hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan tidak sesuai untuk sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

"Sikap berbelah bagi Najib ini sama sekali tidak boleh diterima dan mengharuskan kita untuk meneroka satu landskap politik baru melibatkan satu pakatan Malaysia yang baru, dengan Perdana Menteri yang baru, pasca-BN dan pasca-Pakatan," tegas Kit Siang.-Roketkini.com


Tiada ulasan: