Ahad, 15 Mac 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pasangan maut, bayi parah nahas di LPT

Posted: 15 Mar 2015 05:02 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KUANTAN: Sepasang suami isteri maut manakala bayinya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 210 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, dekat Gambang, kira-kira 2.30 petang tadi.
 
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua pasangan berusia lingkungan 20 tahun yang belum dikenal pasti identiti itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
 
Bayi pasangan itu yang parah dibawa oleh orang ramai ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
 
Menurut saksi, Proton Saga BLM yang dipandu suami mangsa dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke Kuala Lumpur, terbabas ke kiri jalan ketika tiba di lokasi kejadian.
 
 

Lagi artis tampil didera secara seksual oleh pengurus

Posted: 15 Mar 2015 05:01 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Seorang penyanyi Singapura, Sufie Rashid tampil mendedahkan beliau menjadi mangsa serangan seksual oleh bekas pengurusnya ketika berusia 13 tahun.
 
Beliau dipaksa membuat seks oral oleh Arif Dollah selama setahun.
 
Keadaan menjadi lebih buruk selepas Arif mengahwini ibunya, kata Sufie.
 
"Ketika itu saya berusia 13 tahun dan Arif ialah pengurus saya. Jika Tegar menerima gangguan seksual, saya lebih teruk dari itu.
 
"Lebih memeritkan selepas ibu saya berkahwin dengan Arif, saya selalu menjadi mangsanya. Selama setahun saya dipaksa melakukan perkara terkutuk oleh Arif. 
 
"Bukan saya tidak mengadu kepada ibu, tetapi ibu lebih percayakan suaminya," ujar Sufie.
 
Arif yang berasal daripada Singgapura sebelum ini menafikan dakwaan penyanyi cilik, Tegar Septian, 13, bahawa beliau didera secara seksual oleh Arif.
 
Sufie menafikan beliau membuat pendedahan itu hanya kerana mahu publisiti murahan.
 
"Bodohlah saya jika melakukan ini (pengakuan) kerana publisiti. Saya tak bodoh untuk mencari publisiti dengan menjual cerita melibatkan maruah diri. Tak mungkin saya akan memalukan diri saya sendiri!
 
"Arif sudah melampau…Saya fikir selepas 11 tahun, dia dah bertaubat. Saya hubungi Tegar selepas mengetahui dia diganggu secara seksual oleh lelaki  itu," katanya.
 
Tambah Sufie lagi, Arif sememangnya tidak boleh dipercayai dan akan memutarbelitkan fakta untuk melepaskan diri daripada masalah.
 
"Dia memang pandai putar belit cerita. Saya ada terbaca kenyataan Arif yang menyuruh Tegar membuat laporan polis dan pemeriksaan doktor sekiranya benar dia diliwat.
 
"Saya merasakan kenyataan tersebut lucu kerana pihak Tegar tidak pernah mendakwa Arif meliwat, tetapi ia hanya gangguan seksual," tegas Sufie.
 
Arif sebelum ini mencabar pihak Tegar membuktikan bahawa dirinya diliwat dan membuat laporan polis.
 
Bagaimanapun Tegar tidak pernah membuat tuduhan sebegitu.
 
Terdahulu, Tegar dalam satu sidang media khas di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, penyanyi itu mendakwa lelaki itu pernah menyuruhnya tidur dengan memakai seluar dalam selain bertindak menanggalkan tuala di hadapannya.
 
Selain itu juga, Tegar mendakwa Arif pernah menemaninya mandi selain dengan sengaja merapatkan tubuhnya sehingga kemaluannya terkena dibahagian duburnya.
 
 

Tuan Ibrahim: Elok DAP, PKR setuju hudud

Posted: 15 Mar 2015 04:34 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS selama ini jika tidak mahu melihat pakatan pembangkang berpecah.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini kerana pelaksanaan hukum hudud itu tidak melibatkan orang bukan Islam terutama di Kelantan.

"Untuk elak PR (Pakatan Rakyat) pecah, elok kalau DAP dan PKR menyatakan persetujuan terhadap enakmen Jenayah Syariah Kelantan kerana ia adalah hak bagi orang Islam dan tiada kena mengena dengan masyarakat bukan Islam," katanya dalam entri terbaharu di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS dijangka membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Rabu ini.

Persidangan DUN Kelantan akan bermula esok hingga Khamis ini selepas ditangguhkan pada 29 Dis tahun lepas berikutan banjir besar yang melanda negeri ini.

Kemelut di antara PAS dan DAP berlaku setelah Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo meminta parti itu mempertimbangkan semula pindaan itu. - Bernama


 

Siasat 1MDB segera sebelum bukti terhapus

Posted: 15 Mar 2015 04:27 AM PDT


1MDB baru


SHAH ALAM – Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A Kadir Jasin menggesa Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menyiasat segera akaun 1MDB sebelum bukti atau maklumat dihapuskan.

Menerusi tulisan di laman blognya semalam, beliau berkata, akaun 1MDB yang melibatkan urus niaga harus disiasat bermula tarikh penubuhannya sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) iaitu pada tahun 2008.

"Jika Ambrin Buang benar-benar berkuasa dan mempunyai kebebasan untuk menyiasat akaun 1MDB, beliau hendaklah dengan segera memecahkan ruyung sebelum maklumat dan bukti kering atau dirosakkan.

"Dia dan pihak yang terbabit seperti Polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen (PAC) perlu menyelidik akaun dan urus niaga syarikat tersebut," katanya.

Beliau mendakwa, sejak dari awal lagi TIA atau 1MDB telah mewujudkan pembiayaan melalui hutang (debt financing) dengan meminjam dari dalam dan luar negara menggunakan khidmat orang tengah.

"Mengikut sumber yang mengetahui dan mengenali rapat pengasas-pengasas TIA atau 1MDB, pinjaman permulaan syarikat itu sebanyak RM5 bilion dikatakan merosot sebanyak RM500 juta secara "misteri" dalam masa tidak sampai setahun," katanya.

6 Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, pengauditan telus, bebas dan menyeluruh terhadap akaun 1MDB penting untuk membersihkan nama syarikat tersebut daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

Muhyiddin berkata, audit forensik hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urus niaga, seterusnya memulihkan reputasi dan mengembalikan keyakinan pelabur.

Katanya, audit itu perlu dibuat, ekoran tuduhan penyelewengan, termasuk usaha sama dengan PetroSaudi, dibuat berhubung urus niaga pada 2009, yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit firma Deloitte.

Dua pesawat Lima’15 dilapor terhempas

Posted: 15 Mar 2015 04:26 AM PDT


 Dua pesawat Lima'15 dilapor terhempas Keadaan pesawat yang terhempas ketika melakukan latihan sempena Lima'15. -Foto oleh Pembaca Sinar Harian Muhammad Afiq Nasir
 
 
 
LANGKAWI - [DIKEMASKINI] Dua pesawat pasukan Jupiter dari Indonesia terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15) di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun nasib dua juruterbang masih belum diketahui.

Lima'15 berlangsung di sini dari 17 hingga 21 Mac dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lima'15 akan menampilkan lima pasukan aerobatik masing-masing dari Emiriyah Arab Bersatu, Singapura, China, Indonesia dan Malaysia.

Pada pameran itu juga pengunjung berpeluang menyaksikan kehadiran pesawat pengebom (USAF) B52 Tentera Udara Amerika Syarikat yang berpangkalan di  Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

Sementara itu, menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat Langkawi berkata, nahas berlaku pukul 2.04 petang ketika sekumpulan enam pesawat jenis KT-1B itu sedang melintasi ruang udara MIEC, sebelum dua daripadanya berlanggar di udara dan terbabas.
  
Kedua-dua pesawat kemudian dilihat terhempas di luar kawasan lapangan terbang, disusuli api dan kepulan asap.
  
Seorang saksi, Husin Ahmad, 25, berkata beliau ternampak juruterbang sempat menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

"Saya sedang makan, tiba-tiba ternampak kedua-dua pesawat itu berlanggar sesama sendiri di bahagian ekor menyebabkan ia berasap sebelum terhempas.

"Saya juga nampak seorang juruterbang sempat terjun menggunakan payung terjun," katanya dipetik Bernama.

Seorang lagi saksi Zairi Halim, 35, berkata dia sedang makan tengah hari sebelum anaknya berlari balik ke rumah dan memberitahu ada jet terhempas berdekatan kawasan rumah mereka.

Sementara itu, seorang lagi saksi berkata pesawat Jupiter milik Indonesia yang terhempas di Kedawang itu turut mengakibatkan sebuah rumah penduduk tempatan terbakar.

Kebakaran itu, kemudiannya dipadamkan anggota bomba.

Pameran Lima'15 yang dijadual berlangsung bermula 17 hingga 21 Mac ini akan menyaksikan lima pasukan, termasuk AU-TNI, membuat pertunjukan akrobatik.


Ketua Pemuda DAP, dua aktivis muda direman polis

Posted: 15 Mar 2015 04:23 AM PDT


Ketua Pemuda DAP, dua aktivis muda direman polis Ketua Pemuda DAP dan dua aktivis muda ditahan reman ekoran pembabitan dalam himpunan #KitaLawan. - Foto ihsan Facebook Wong Kah Woh 



SHAH ALAM – Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong serta aktivis muda, Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh direman pihak polis hari ini kerana penglibatan mereka dalam perhimpunan #KitaLawan.

Menurut akaun Twitter peguam Wong Kah Woh, pihak polis memohon reman selama empat hari bagi ketiga-tiga mereka di lokap balai polis Jinjang, di ibu negara, hari ini.

"Polis mohon reman empat hari. Gobind kini membantah permintaan reman. Polis perlu menyatakan dalam buku harian penyiasatan mereka tentang apa yang telah dilakukan," tulisnya dalam akaun Twitternya, hari ini.

Menurut sebuah portal, Kok Seong akan diwakili Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Lim Lip Eng manakala Adam dan Mandeep pula diwakili oleh Melissa Sasidaran serta Eric Paulsen.

Semalam, Kok Seong tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan di ibu negara pada 7 Mac lepas.
   
Mengulas lanjut, Kah Woh bagaimanapun menulis lagi di akaun Twitternya bahawa majistret hanya membenarkan Kok Seong direman untuk sehari sahaja.

"Teo akan dibawa ke Dang Wangi dari Jinjang jam 2 petang ini (tadi) untuk diambil keterangannya. Kami jangka beliau akan bebas selepas itu," katanya.

Sementara itu, menurut akaun Twitter Eric Paulsen, Adam dan Mandeep pula akan ditahan reman selama tiga hari.

"Majisret Erry Shahriman benarkan reman @AdamAdli @mandeepkarpall tiga hari hingga Selasa atas alasan mereka adalah "flight risk".

"Keputusan majistret adalah mengejutkan kerana tiada bukti bahawa Adam dan Mandeep adalah "flight risk". Sebaliknya mereka telah kerjasama dengan polis," tulisnya di akaun Twitternya, hari ini.

Penahanan Kok Seong disusuli dengan penangkapan Adam dan Mandeep selepas mengadakan himpunan duduk yang "kecil dan aman" di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di ibu kota, semalam.

Hishammuddin syukur juruterbang selamat

Posted: 15 Mar 2015 04:21 AM PDT

SINAR HARIAN

Hishammuddin syukur juruterbang selamat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) dan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu (kanan) memberi kata-kata semangat kepada anggota Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia, selepas melawat juruterbang Indonesia yang terhempas ketika sesi latihan, di Hospital Langkawi, hari ini. - Foto Bernama
 
 
 
LANGKAWI - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan rasa syukurnya kerana keempat-empat juruterbang aerobatik Jupiter daripada Indonesia yang terbabit dalam insiden pesawat terhempas itu selamat.
 
Menurutnya, walaupun kumpulan juruterbang aerobatik itu terlibat dalam kemalangan, namun mereka tetap bersemangat tinggi untuk meneruskan  persembahan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa langkawi (Lima) 2015.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengiringi rakan sejawatanya dari Indonesia, Ryamizard Ryacudu melawat kesemua mangsa di Hospital Daerah Langkawi, di sini.
 
Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dengan hanya mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan dan diawasi dengan rapi oleh doktor dan pegawai perubatan hospital daerah itu.
 
Menurut kakitangan hospital berkenaan, kesemua juruterbang Indonesia itu turut menjalani prosedur imbasan bagi memeriksa sebarang kecederaan dalaman yang dialami mereka.
 
Sementara itu, semasa melawat Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LIEC) di Kuah, lokasi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean, Hishammuddin berkata beliau berpuas hati dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) keempat-empat juruterbang itu.
 
Dalam kejadian jam 2.04 petang itu, dua buah pesawat aerobatik Jupiter milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) itu terhempas selepas dipercayai bergesel di udara ketika melakukan latihan sempena  Lima 2015. - Bernama
 
 

Shafee mungkin ‘pengsan’ jika disoal balas

Posted: 14 Mar 2015 10:32 PM PDT


Nik Nazmi Nik Ahmad  
Nik Nazmi


SHAH ALAM – Ketua Pendakwa Raya dalam kes liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mungkin akan 'pengsan' sekiranya disoal balas kerana tindakannya yang tidak profesional menghina pasukan pembelaan dan mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Muhammad Shafee sanggup berkongsi butiran perlakuan lucah dalam kes Anwar kepada umum namun sesetengah maklumat itu tidak terkandung dalam transkrip mahkamah.

"Amat aneh ketika mana Shafee secara bebas mengutuk pihak lain namun ketika giliran tindakannya diadili, beliau memilih untuk pada saat akhir mendapatkan injunksi interim mahkamah menghalang anggota Majlis Peguam membincangkannya.

"Malang sekali Shafee, yang sebelum ini mendabik dada tentang kehebatannya dan secara berterusan melemparkan kecaman dan fitnah terhadap seorang yang di penjara namun gagal berhadapan dengan tekanan dipersoalkan kerana tindakannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Shafee pada Jumaat berjaya menghalang Majlis Peguam Malaysia daripada mengemukakan usul mengenai kelakuannya berhubung rayuan kes liwat Anwar pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu, semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad membenarkan injunksi interim ex-parte kepada Muhammad Shafee bagi menghalang Majlis Peguam atau presidennya Christopher Leong atau melalui ejen mereka daripada membenarkan usul itu dikemukakan, dibincang atau diluluskan semasa AGM atau membincangkan apa-apa perkara berkaitan kelakuan Muhammad Shafee dalam rayuan oleh Anwar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 14 Mac 2015 atau mana-mana tarikh lain selepas itu.

Sebelum ini, Muhammad Shafee turut serta dalam siri jelajah penjelasan kes liwat II membabitkan Anwar anjuran Pemuda Umno adalah untuk menangkis persepsi Umno sebagai dalang konspirasi kes itu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata tindakan Muhammad Shafee bukan sahaja telah menarik kritikan daripada ahli politik bahkan pengamal dan pengkaji undang-undang.


1MDB simpul mati politik Najib

Posted: 14 Mar 2015 10:29 PM PDT



Oleh AZAMIN AMIN 


TIADA apa lagi selindung, semuanya sudah menyerang secara terbuka. Bahangnya, tidak mampu ditepis lagi dan semua sudah bersiap sedia untuk cabut lari. Bahana 1MDB bakal menjerut Perdana Menteri dan simpul mati karier politik Dato' Seri Najib Tun Razak.

Jet kerajaan yang berpusing sana-sini, bil-bil elektrik dan air kediaman yang tinggi, perbelanjaan boros ke luar negara, mengumpul harta kekayaan, tabiat beli belah isteri, kisah ahli perniagaan dengan hutang Bank yang telah dibukukan, penganalisis politik yang dibebaskan daripada kes pembunuhan wanita Mongolia dan parti komponen MIC yang sudah berbelah bahagi, semuanya semak dan serabut di era Najib.

Najib kini berhadapan dengan beban yang mencucuk mata dan menyakitkan kepala -1MDB, seperti tiada seorang pun yang tahan menanggung, sama ada untuk membela atau berhujah tentang beban hutang RM42 billion.

Jabatan Audit Negara sudah memulakan siasatan terhadap 1MDB) yang didakwa menanggung beban hutang besar, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

"Kami akan panggil (Najib) jika ada keperluan," kata Ambrin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan bahawa sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi menyiasat perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuklah Perdana Menteri.

Pasukan itu akan melibatkan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara dan disiasat bawah Kanun Keseksaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan berani selepas Pejabat Perdana Menteri menyatakan kabinet yakin tiada salah laku pada syarikat itu.

Muhyidin menyatakan PAC boleh menyiasat kontroversi 1MDB tanpa perlu menunggu hasil audit Jabatan Audit Negara.

Beliau juga mengingatkan bahawa kerajaan tidak bersedia menyelamatkan (bailout) syarikat pelaburan itu yang berhutang RM42 bilion dan juga tidak bersetuju dengan penjualan tanah projek-projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia untuk melangsaikan hutang 1MDB.

Sekumpulan pemimpin Umno bahagian menyatakan sokongan kepada presiden mereka berhubung isu 1MDB dalam satu pertemuan di bangunan Umno baru-baru ini sebaliknya Muhyiddin pula tidak hadir. Ini termasuklah sebahagian ketua-ketua bahagian Johor dan Sabah, dianggar kesemua yang tidak hadir berjumlah 31 pemimpin Umno bahagian. Tanda protes Mahathir Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad secara terangterangan tidak menyokong Najib dan 1MDB.

"Dan satu daripada banyak sebabnya ialah, saya tak sokong penubuhan 1MDB," tulis Dr Mahathir dalam blog popularnya chedet.cc "Wang yang dipinjam tidak boleh dianggap kekayaan. Dan ada banyak perkara tentang wang 1MDB yang se - memangnya salah. Kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam membeli dan menjual saham untuk membuat duit bagi dirinya sendiri. "Saya tidak setuju dengan 1MDB dan akan terus mengkritiknya serta apa saja yang saya rasakan bahaya untuk urus tadbir yang baik negara ini," katanya. Laman web pemberi maklumat Sarawak Report mendedahkan memiliki akses kepada ribuan dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi kontroversi

1MDB, termasuk perjanjian meragukan dengan sebuah syarikat minyak yang tidak diketahui ramai, PetroSaudi International pada 2009. Turut menjadi persoalan dalam kes 1MDB, peranan dimainkan usahawan terkenal Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, yang dikatakan mempunyai kepentingan dalam beberapa pelaburan yang dijalankan 1MDB. Namanya muncul di media massa apabila intim dengan gadis jutawan Paris Hilton menonton bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 di Stadium Johannesburg .

Pada Mei 2010, akhbar New York Post melaporkan Taek Jho Low (28 tahun) didakwa
membelanjakan AS$50,000 semalaman untuk berhibur dan menghadiahkan 200 botol arak berjenama berburnilai AS$1,000 sebotol kepada pelakon Hollywood, Megan Fox.

Jutawan muda penuh kontroversi, Jho Low, mengakui beliau merupakan kawan rapat kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Rosmah bukan mak angkat saya. Beliau adalah kawan baik saya," demikian jawapan beliau kepada akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri, Najib Razak.

Kempen turun harga barang KPDNKK hanya gimik politik

Posted: 14 Mar 2015 10:23 PM PDT




DETIK DAILY


KEMPEN Penurunan Harga 2015 yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula 1 Mac lalu sehingga kini hanyalah melibatkan 16 pasar raya utama dengan melakukan potongan harga antara 10 hingga 70 peratus ke atas barangan terpilih.

Menterinya, Dato' Hasan Malek menyatakan kempen tersebut dilaksanakan kerana mahu mengubah persepsi rakyat bahawa perubahan harga petrol bukan penyumbang utama kenaikan harga barangan. Apakah tindakan yang dilakukan kerajaan ini benarbenar membantu rakyat?

Wartawan Kanan Harakah, NYZA AYOB mencungkil pandangan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir mengenai isu ini. Ikuti wawancara bersama beliau.

WARTAWAN: Adakah kempen ini mencapai sasaran sebenar bagi menggalakkan peniaga menurunkan harga barang? 

MOHD ANUAR TAHIR: Saya melihat kempen ini lebih kepada gimik politik bagi menunjukkan kerajaan mengambil berat dengan kenaikan harga barangan yang berlaku hari ini.

Kerajaan gunakan pasarayapasaraya untuk menurunkan harga barangan dengan harapan boleh mempengaruhi kedaikedai runcit lain. Jika kita lihat pasaraya ini mempunyai barangan yang banyak.

Tetapi untuk menghabiskan stok barangan ini, maka diisytiharkan potongan harga sehingga 70 peratus sedangkan ada barangan yang hampir tarikh luput.

Mungkin enam bulan sebelum tarikh luput diberi diskaun sehingga 70 peratus. Dengan cara ini pasaraya-pasaraya sudah mengaut keuntungan.

Jadi, kempen ini bukanlah kaedah sebenar untuk menggalakkan peniaga menurunkan harga, sebaliknya ia 'membantu' memperkukuhkan lagi pasaraya-pasaraya besar ini. Sistem ini menjadikan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Jadi saya tidak nampak cara melalui kempen ini merupakan langkah yang benar-benar jitu dan terancang. Golongan konglomerat inilah yang makin untung dan makin untung.

Adakah kempen ini hanya dilihat bermusim dan bukan jangka masa lama?

Saya juga melihat Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato' Hassan Malek tidak mempunyai idea. Jadi, sekarang ini beliau hendak gambarkan dia mempunyai idea dan bersungguh-sungguh. Kempen ini merupakan langkah sementara dan hanya bersifat publisiti. Ia bukanlah langkah untuk sesuatu yang agak revolusioner. Jika pasaraya menawarkan potongan harga atau diskaun, ia samalah dengan Jualan Mega sebelum ini. Adakah Jualan Mega ini membantu pengguna dan membantu ekonomi negara? Kempen penurunan harga ini hanyalah penerusan kepada Jualan Mega.

Bermakna kempen ini hanyalah kempen terpilih kerana kebanyakan pasaraya besar hanya berada di kawasan bandar?

Pasaraya besar ini hanyalah di kawasan bandar. Jadi diskaun harga itu juga hanya dinikmati pengguna-pengguna kawasan bandar. Saya menyeru kerajaan prihatin kepada nasib pengguna-pengguna di kawasan luar bandar. Untuk penurunan harga barangan ini sungguhpun kerajaan libatkan pakar ekonomi dari Bank Negara sekalipun, ia tidak akan selesaikan masalah.

Kita tidak mahu kerajaan bercakap tidak serupa bikin.

Tetapi kerajaan boleh libatkan ahli-ahli ekonomi rakyat, pemikir-pemikir rakyat dan pejuang-pejuang nasib rakyat bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Begitu juga libatkan persatuan-persatuan pengguna dan dapatkan nasihat mengenai perkara ini. Sebagai contoh Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang dilihat paling efektif dan berkesan dalam memperjuangkan isu-isu pengguna.

Jika kempen seperti ini dilaksanakan, apakah perkara yang perlu diberi keutamaan?

Bagi saya kerajaan harus kempen ke arah 'keselamatan makanan', iaitu isu yang diperjuangkan golongan alternatif sekarang ini.

Kerajaan mesti pertingkatkan pengeluaran dan bekalan. Sebab itu saya kecewa dengan bajet yang disebut Perdana Menteri dahulu yang tidak menyebut langsung persoalan pertanian yang sustainable yang ada di negara kita ini. Ia termasuklah penanaman bahan-bahan makanan secara organik dan bebas daripada dikuasai syarikat-syarikat baja gergasi dunia.

Malaysia perlu belajar dari negara-negara seperti Cuba.

Sepatutnya Hassan Malek hantar wakil ke Cuba belajar mengenai perkara-perkara ini.

Ada negara-negara dunia ketiga yang diboikot Amerika tetapi boleh survive. Ini kerana ia melibatkan semua pihak untuk meningkatkan pengeluaran dan pendapatan negara. Begitu juga dengan Venezuela yang boleh dicontohi.

Negara seperti Venezuela ditekan oleh kuasa-kuasa besar. Tetapi Venezuela juga boleh survive kerana pemerintah ada komitmen hendak menyelamatkan rakyat dan pemerintah ikut serta membangunkan rakyat. Jika hanya duduk di bilik sejuk, sampai bila tidak akan selesai masalah yang dihadapi rakyat ini. 'Keselamatan makanan' ini boleh membawa kepada penurunan harga barang.

Bagaimanakah kaedah paling berkesan supaya penurunan harga barang ini dapat dilaksanakan?

Seperti yang saya nyatakan, kerajaan kena pergi ke negerinegeri kecil untuk belajar bagaimana sebuah kerajaan yang ditekan kuasa asing boleh menyediakan makanan yang cukup, makanan yang sihat dan dapat menghasilkan ubatubatan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga mengakui Cuba telah berjaya dalam bidang perubatan alternatif.

Sekali lagi saya menyeru menteri-menteri berkaitan supaya menukar mindset. Jangan hanya belajar dari Amerika, Korea dan Jepun sahaja.

Negara-negara kecil inilah yang mengutamakan rakyatnya.

Adakah kaedah atau tuntutan dalam Islam berkaitan perniagaan dan jualan ini dipraktikkan di negara ini?

Walaupun pada zaman Rasulullah dahulu tidaklah sofistikated seperti sekarang ini, Baginda melarang kaedah menyorok barangan dan jualan hendaklah barangan yang benarbenar genuine.

Jika sekarang ini peniaga mula mencampur makanan yang dijual itu dengan pelbagai bahan untuk lebih menguntungkan. Ertinya walaupun sedikit berkurangan timbangan pun dilarang dalam Islam.

Sejauh mana kerajaan boleh memantau taktik penipuan harga yang dilakukan peniaga?

Apa yang berlaku hari ini kita dapat lihat, ada barangan yang kononnya dikatakan diskaun tetapi sebenarnya adalah harga asal. Pengguna memang tertipu.

Kita boleh lihat harga asal yang diletakkan sebelum potongan itu kadang-kadang tidak munasabah. Pengguna sentiasa ditipu oleh konsep jualan murah ini.

Sebenarnya kerajaan mempunyai segala peralatan yang canggih dan amat mustahil kerajaan tidak boleh kesan penipuan peniaga kepada pengguna. Jika kerajaan boleh tangkap orang yang baru sahaja membuat persiapan untuk ke Syria, takkanlah kerajaan tidak boleh mengesan peniaga yang menipu.
Jika kerajaan gagal melakukan tangkapan, ini kerana di belakang tauke-tauke besar ini adanya golongan VIP.

Selagi rasuah tidak ditangani, memang masalah ini tidak akan selesai. Betapa besarnya kuasa golongan ini yang wewenang mengawal semua ini. Golongangolongan korporat inilah yang merosakkan ekonomi negara.

Di pihak pengguna sendiri, apakah tindakan yang boleh dilakukan mereka supaya tidak terus terpedaya dengan kempen-kempen yang sebenarnya tidak memberi keuntungan kepada mereka?

Seruan ikhlas saya agar pengguna betul-betul berhatihati dan jangan mudah tertipu dengan kempen-kempen seperti kempen GST yang sedang giat dilaksanakan dengan momokan GST memberi faedah kepada rakyat dan membangun ekonomi negara.

Pengguna harus belanja sebijak mungkin dan jangan terpengaruh dengan jualan murah yang hanya untuk mengaburi mata mereka.

Pengguna juga harus membina networking sesama mereka.

Persatuan-persatuan penduduk juga boleh memainkan peranan dengan mengadakan wacana kepenggunaan. Rakyat juga patut menyokong mana-mana NGO yang membuat kempen berkaitan kepenggunaan.

Nurul Izzah sedia beri keterangan

Posted: 14 Mar 2015 10:20 PM PDT


izzah
 
 
 
KOTA BHARU – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kedatangan empat anggota polis ke rumahnya petang kelmarin, berhubung laporan polis dibuat bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin, tidak wajar.

Menurutnya, beliau sudah membuat temu janji untuk memberi keterangan di Balai Polis Dang Wangi berhubung laporan itu, esok.

"Sebaik tiba di rumah selepas melawat bapa (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di penjara (Sungai Buloh), empat anggota polis datang ke rumah saya dan memaklumkan saya disiasat mengikut Akta Hasutan susulan laporan polis yang dibuat Zulkifli.

"Saya dah bersedia beri keterangan berhubung laporan Zulkifli, yang dibuat tidak kurang 24 jam terhadap saya, Isnin ini," katanya ketika ditemui pada Forum Solidariti Untuk Anwar, kelmarin.

Menurutnya, dia juga memaklumkan kunjungannya ke Kelantan bagi menghadiri forum dan akan menghadirkan diri ke Balai Polis Dang Wangi seperti dijanjikan.

Terdahulu, laporan polis dibuat oleh Zulkifli berhubung kenyataan Nurul Izzah yang didakwa mempertikai penghakiman dibuat terhadap panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuan kes liwat Anwar 10 Februari lalu

Kerajaan perlu respons kenyataan White House

Posted: 14 Mar 2015 10:16 PM PDT


Kerajaan perlu respons kenyataan White House Laporan Sinar Harian, semalam.
 
 
 
SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Kerajaan Malaysia perlu memberi maklum balas segera berhubung kenyataan yang dibuat White House kelmarin mengenai petisyen sokongan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (Just), Dr Chandra Muzaffar berkata, sebaiknya menteri luar atau timbalannya perlu melakukan maklum balas tersebut dengan kenyataan lebih rasional bagi membuktikan segala proses kehakiman telah dilakukan dengan seadilnya.

"Jika kenyataan rasmi diperoleh dari negara luar, maka tugas menteri luar untuk membalas semula kenyataan White House itu yang menunjukkan kebimbangan negara itu mengenai sistem kehakiman negara ini.

"Secepat mungkin dalam masa sehari dua ini ia perlu dilakukan agar rakyat tidak tertanya-tanya mengenai pendirian negara terhadap penghinaan atau tuduhan yang dilemparkan kepada sistem pentadbiran negara ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, White House mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung petisyen 'Bebaskan Anwar' yang diwujudkan dalam web We The People milik negara Uncle Sam itu.

Menurut kenyataan itu, Amerika Syarikat (AS) sangat kecewa dengan keputusan mahkamah berkaitan Anwar yang pada mulanya didapati tidak bersalah, namun keputusan bertukar sebaliknya selepas kerajaan Malaysia mengemukakan rayuan.

Mengulas lanjut kata Dr Chandra, AS mengeluarkan kenyataan rasmi itu setelah mereka berjaya mengumpul jumlah petisyen tandatangan yang di sasarkan sebagai bukti sokongan kepada Anwar.

"Namun tindakan AS itu telah dapat diduga apabila AS selama ini menyokong Anwar dalam banyak perkara dan pastinya mahu melihat ketua pembangkang itu terbela.

"Justeru kerajaan Malaysia perlu berani menyatakan segala fakta yang menunjukkan semua proses kehakiman dan keadilan dilakukan dengan telus berdasarkan fakta dan bukti-bukti yang telah dikemukakan ketika penghakiman kes Liwat Anwar," katanya.

Pada masa yang sama kata Dr Chandra, tindakan AS itu adalah perkara biasa diterima oleh kebanyakan negara yang berasa bimbang atau tidak faham dengan sistem kehakiman di sesebuah negara.

"Tetapi apa yang paling penting, rakyat negara ini sendiri perlu faham dengan sistem kehakiman yang digunakan sejak dahulu lagi dan keputusan yang telah diputuskan.

"Sekiranya masih ada pihak terus menyokong Anwar setelah segala bukti dinyatakan seterusnya dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Persekutuan, pastinya manusia tersebut telah terlalu taksub dengan beliau," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, petisyen yang dikemukakan AS itu bukan bermakna untuk mencampuri urusan negara.

"Ia hanya kebimbangan mereka mengenai keadilan yang diberikan kepada individu tertentu. Oleh itu, kerajaan perlu beri maklum balas secara bijaksana, jangan emosional. Misalnya menyatakan yang kerajaan Malaysia akan melihat sekiranya ada kekurangan yang perlu dibaiki atau telah menjalankan segala hukuman dengan adil dan telus.

Azizuddin juga sependapat dengan Dr Chandra mengenai menteri luar yang bertanggungjawab untuk membalas semula kenyataan dari pihak  negara ini kepada White House.

"Biar sistem pentadbiran negara kita nampak sistematik apabila jawapan hanya diberikan oleh menteri yang berkaitan bukan oleh pihak lain," katanya.


Nik Nazmi: Hentikan ugutan ke atas ahli politik

Posted: 14 Mar 2015 10:13 PM PDT


Nik Nazmi
 
 
 
SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak polis menghentikan segera taktik ugutan ke atas ahli politik dan aktivis yang terlibat dalam perhimpunan #KitaLawan 7 Mac lalu melalui penangkapan serta siasatan yang tidak berasas.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan pihak berkuasa itu perlu menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman untuk menyuarakan pandangan seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Tindakan itu bukan sahaja memberi persepsi negatif ke atas kedaulatan undang-undang tanah air, malah ia juga memberi ancaman kepada teras prinsip demokrasi negara.

"Selepas perhimpunan, pihak polis telah menggunakan peruntukan 9(5) Akta Perhimpunan Aman meskipun keputusan Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkannya bertentangan dengan Perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: #KitaLawan: Adam Adli, Mandeep Singh ditahan ]

Terdahulu, Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong, aktivis muda, Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh telah ditahan pihak polis untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan di pekarangan pusat beli-belah Sogo.

Nik Nazmi antara pemimpin PR yang terawal ditahan pihak polis selepas perhimpunan #KitaLawan dan dikenakan tahanan reman selama tiga hari di Ibu Pejabat Daerah Jinjang, Kuala Lumpur.

Beliau ditahan bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.

Timbalan Speaker Dun Selangor itu ditahan pada Ahad lalu kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum demonstrasi #KitaLawan", seperti diperuntukkan dalam PAA.

Siri tangkapan diteruskan melibatkan Ketua AMK Kelana, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Faris Musa; Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan Bendari Dewan Pemuda Pas Perak, Fakhrul Razi Mokhtar.


JAWI rayu keputusan kes buku kontroversi

Posted: 14 Mar 2015 10:04 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pengurus kedai buku Nik Raina Nik Abdul Aziz dalam kes penjualan buku kontroversi Allah, Kebebasan dan Cinta karya Irshad Manji.

Ketua pasukan pendakwaan jabatan itu memfailkan rayuan mereka pada 9 Mac lalu.

Susulan tindakan itu, kes tiga tahun terhadap pekerja Borders itu akan memasuki pusingan seterusnya di Mahkamah Rayuan Syariah, mahkamah tertinggi Islam di Kuala Lumpur.

Yau Su Peng, ketua pegawai operasi Berjaya Books Sdn Bhd yang memiliki kedai buku Borders ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan rayuan JAWI itu.

Yau berkata pihaknya menerima notis pada Jumaat, walaupun menurut prosedur biasa ia patut dihantar kepada peguam Nik Raina, Rosli Dahlan.

'Dia (Nik Raina) difahamkan sedih berhubung perkembangan ini," katanya.

Nik Raina pada 26 Februari  lalu dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengedar penerbitan bercanggah dengan Islam.

Keputusan itu mengambil kira faktor kebajikan Nik Raina dan status rayuan pendakwa syariah kepada Mahkamah Rayuan yang hanya berada pada peringkat memohon kebenaran merayu.

Mahkamah hari itu diberitahu bahawa JAWI pada 28 Januari lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati serbuannya ke atas Borders pada 2012 tidak mengikut undang-undang.

Rayuan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati serbuan JAWI dibuat sebelum pengharaman buku Manji.


Harapan saya pada Lim bapa perpaduan

Posted: 14 Mar 2015 10:01 PM PDT

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI

 

 


DAP menerusi Sdr Lim Kit Siang sudah pun membayangkan kemungkinan musnahnya Pakatan Rakyat menjelang Rabu ini dengan terbentuknya kerjasama antara ADUN PAS dan ADUN Umno di Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) diluluskan bersama.

Sdr Lim Kit Siang turut mendakwa bahawa MCA dan Gerakan akan berkongsi kegembiraan dengan peristiwa Rabu ini kerana baginya itulah yang selama ini disebut-sebut oleh MCA dan Gerakan terhadap masyarakat Cina agar berhenti menyokong DAP.

Justeru kerana DAP berpakat dengan PAS, sedangkan PAS pula memperjuangkan pelaksanaan Hudud.

Jelas, secara sedar semua pihak membiarkan diri masing-masing terkepung dengan permainan licik Umno khususnya. Maka, formula paling mujarab menghadapi kelicikan Umno ini sebenarnya ialah terus bersatu dan jangan berpecah, kerana langit Umno tidak akan selamanya cerah! Percayalah.

Umno untuk menjayakan misi memusnahkan Pakatan, mereka sanggup bekerjasama dengan PAS untuk laksanakan hudud di Kelantan.

Di satu misi yang lain pula, Umno menolak pelaksanaan Hudud di Terengganu meskipun Kerajaan PAS Terengganu telah pun meluluskannya suatu ketika dahulu di persidangan DUN Terengganu.

Manakala di Selangor pula Umno menarik semula usulnya berkaitan Hudud bilamana Speaker DUN Selangor ketika itu, Hannah Yeoh daripada DAP menerima usul tersebut untuk dibahaskan. Ironis bukan? Tetapi sangat licik.

Peristiwa Rabu 18 Mac 2015 nanti jika gagal diurus dengan baik khususnya oleh rakan-rakan Pakatan daripada DAP akan mengakibatkan fenomena perpecahan BA berulang semula, dan sebenarnya ia tidak menguntungkan sesiapa selain Umno BN – si licik itu.

Bukan kerana beza

Saya percaya bukan itu yang kita semua mahu. Dalam Pakatan ini, seringkali kita bertelingkah bukan kerana kita berbeza tetapi adalah kerana kita gagal menguruskan perbezaan itu dengan sebaiknya.

Ini cabaran politik moden yang kita sudah janjikan perubahan kepada rakyat.

Kerjasama Pakatan melangkaui sebuah kedunguan yang disengajakan. Menolak politik pembodohan yang terkepung akibat kegagalan mengurus perbezaan.

Apatah lagi Pakatan itu semulusnya terbentuk hasil daripada harapan generasi muda Malaysia untuk melihat Malaysia yang lebih aman, sejahtera, berkeadilan dan berkebajikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama masing-masing.

Generasi muda Malaysia yang mendambakan pengurusan politik bijak dan saling hormat, saling sepakat, bukan politik jerat peninggalan jua kesan dasar pecah dan perintah yang diamalkan berdekad lama sejak zaman penjajah.

Jangan menari dengan rentak itu. Henti berfikir dengan cara lama kerana yang menjadi mangsa akhirnya rakyat, kita semua.

Jujur, saya sangat berharap agar pemimpin kita dan pemimpin seluruh rakyat Malaysia ini iaitu khususnya Sdr Lim Kit Siang upaya melihat keperluan ini.

Jangan berpecah hanya kerana sedikit kita berbeza. Apatah lagi Hudud untuk Kelantan itu sudah lebih 20 tahun diperjuangkan di Kelantan, sebelum Pakatan kita bentuk bersama.

Jiwa emas

Jangan kerana perbezaan sedikit ini walaupun kita tahu ia sangat signifikan, menjadi punca kemusnahan harapan kami anak-anak muda Malaysia.

Kalian sendiri mengajar kami akan makna perpaduan dan kerjasama melangkaui soal bangsa dan agama, maka tolonglah terus menjadi guru politik dan perpaduan yang terbaik kepada kami melebihi para ilmuwan yang mendidik kami di menara-menara gading itu.

Saya sangat berharap Sdr Lim Kit Siang, yang saya pandang sebagai antara pemimpin hebat berjiwa emas dalam Pakatan mendengar harapan ini dan saya bahkan siap menemuinya untuk memanjangkan lagi harapan ini jika beliau sudi.

Isu ini bukan semudah ABC untuk kita hadapi dan selesaikan.

Keutuhan PR bahkan bagi memastikan PKR itu sendiri yakni satu lagi rakan komponen PR pula tidak terpaksa berpecah juga akibat asakan permainan licik Umno ini, semuanya kini tergantung kepada kebijakan Sdr Lim Kit Siang dan DAP.

Umno kini hanya menunggu masa untuk berkenduri besar selepas Pakatan musnah. Seterusnya mereka akan kembali sepertimana dulu yang hanya bicara dan penting politik kroni dan diri sendiri.

Sedangkan rakyat terus dihimpit dan diperbodohkan. Permainan kaum akan terus diagendakan.

Maka anak-anak muda Malaysia yang berani akan terus dipasung dan dikongkong kemaraan mereka. Didera dengan pelbagai akta dan dasar yang saling merenggangkan antara satu sama lain.

Sejarah tak mungkin padam

Tolonglah, kami mempunyai pemimpin-pemimpin yang berjiwa dan berfikiran hebat, iaitu anda semua pemimpin tertinggi di dalam Pakatan Harapan Rakyat.

Sdr Lim Kit Siang sebagai pemimpin paling lama dan berpengalaman kami harapkan untuk terus menjadi pemimpin yang memperkukuhkan Pakatan dengan kebijakan dan pengalaman emas yang beliau miliki.

Hudud di Kelantan itu sudah menjadi sejarah dan ia tidak mungkin akan dipadamkan. Itulah pendirian kami semua sejak awal. Sejarahnya telah bermula lebih kurang 20 tahun lepas.

Pun begitu, dalam sejarah itu, tidak mustahil akan ada sejarah persefahaman yang jauh lebih hebat dan saling hormat khususnya di antara PAS dan DAP.

Jujur saya melihat ia akan lebih manis untuk terus dikenang dan dijadikan pengajaran kepada kami semua dan generasi kita akan datang jika pemimpin hebat seperti Sdr Lim Kit Siang dan DAP seluruhnya berjaya memahami ini dengan sebaiknya.

Ia akan menjadi fakta paling gemilang dalam usaha kita memaknai perpaduan rakyat kita yang berbilang!

Kelicikan Umno mesti sama-sama kita hentikan dengan kita terus bersatu dan menolak politik berpecah akibat kegagalan mengurus perbezaan.



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI pengarah pilihan raya Muslimat PAS.


'Kata macam-macam, tapi ahli PAS sudah sejuta'

Posted: 14 Mar 2015 09:57 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
PAS hari ini menolak dakwaan bahawa sokongan pada parti Islam itu merosot ekoran pelbagai kritikan diterimanya akhir-akhir ini.

Malah, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awan, keanggotaan parti itu kini sudah mencecah lebih sejuta orang, termasuk penyertaan terkini 8,000 anggota baru.

"Dalam keadaan orang sibuk kata pada PAS macam-macam, sebaliknya terbaru kita telah meluluskan keahlian baru seramai 8,000 orang.

"Ini menjadikan keahlian PAS sudah mencecah seramai 1,000,300 orang," menurut status Facebook pemimpin nombor satu PAS itu.

Kenyataan itu juga menyebut ramai golongan muda berpendidikan tinggi menjadi golongan teramai menyertai PAS.

"Ini menunjukkan perjuangan kita ada kemajuan, makin hari bertambah ramai orang yang menyertai PAS," katanya.

Hadi juga berkata mereka masih mendapat sokongan bukan Islam walaupun "dikepung dan disekat dengan pelbagai cara oleh Umno".
 
 

Tiada ulasan: