"BERANI KERANA BENAR!" |
Beg berat undang bahaya ,mengganggu tumbesaran kanak-kanak Posted: 22 Mar 2015 05:59 AM PDT MASALAH kanak-kanak membawa beg berat ke sekolah setiap hari bukanlah satu perkara baharu kerana merupakan satu masalah lama yang dilihat tiada jalan penyelesaiannya sehingga ke hari ini. Disebabkan permasalahan tersebut, kanak-kanak terbabit sebenarnya berisiko tinggi mengalami sakit belakang, leher, bahu, dan tidak ketinggalan tulang belakang. Menurut Pakar Ortopedik dan Tulang Belakang, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Nurul Azwa Mohamad Noor, masalah ini sebenarnya tidak hanya tertumpu pada tubuh badan kanak-kanak tersebut malah turut mengganggu tumbesaran kanak-kanak terbabit. Dalam hal ini, katanya, setiap kanak-kanak tersebut akan sakit berterusan dan tidak mustahil mereka akan mengalaminya sepanjang hayat mereka. "Potensi kesan sampingan terhadap kesihatan amat serius bukan hanya kesan segera terhadap kanak-kanak tetapi mungkin juga akan menjadikan mereka berdepan dengan masalah sakit belakang yang kronik apabila dewasa nanti. "Begitu juga dengan tumbesaran kanak-kanak ini kerana waktu inilah tulang mereka hendak membesar dan oleh kerana masalah beg berat yang mereka terpaksa tanggung selama lima hari dalam seminggu boleh menyebabkan proses tumbesaran terbantut. "Hal ini terjadi kerana apabila kanak-kanak terbabit membawa bebanan yang berat, mereka secara automatik akan membawa bebanan tersebut secara tunduk dan ke tepi dan hal ini sememangnya mempengaruhi tumbesaran tulang kanak-kanak ini," ujarnya ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai masalah tersebut, Dr. Azwa menjelaskan, kanak-kanak sepatutnya membawa bebanan 1/10 daripada berat badan dan tidak lebih daripada itu. Tambah beliau lagi, disebabkan masalah tersebut ada penambahan angka bagi pesakit tulang belakang dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah hari ini. Begitupun, ulasnya, sakit leher dan juga bahu tidak terkecuali kerana pada masa yang sama berpotensi tinggi untuk memberi kesan yang sama. Jika dilihat semula satu kajian yang pernah dilakukan sekitar tahun 2007 yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences Vol. 1 (1) Januari 2005, mendedahkan masalah beban beg sekolah dan kesannya ke atas otot erector spinae dan sakit tulang belakang dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Malaysia dengan jelas sekali. Malah dalam kajian yang dijalankan oleh Tamrin SBM dan rakan dari Universiti Putra Malaysia turut mendapati 58.3 peratus kanak-kanak sekolah yang dikaji melaporkan mengadu sakit belakang yang dikaitkan dengan membawa beg sekolah berat. Tidak cukup dengan maklumat tersebut, Dr. Azwa menerangkan ada kajian yang dilakukan turut mendapati masalah tersebut juga akan menyebabkan tulang belakang menjadi bengkok. Secara amnya, rumusan yang dapat dibuat ialah terdapat insiden sakit belakang dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan ini memerlukan penilaian semula sama ada kanak-kanak sekolah perlu membawa sebarang bebanan seperti beg sekolah yang berat memandangkan mereka berdepan risiko sakit belakang pada masa depan. Pada umumnya, beban yang berlebihan dan tidak sama dikaitkan dengan meningkatnya risiko masalah belakang dan kecacatan tulang belakang. "Dalam hal ini kita tidak seharusnya menuding jari pada satu pihak sahaja kerana semua pihak memainkan peranan penting termasuklah ibu bapa. "Ibu bapa disaran agar meneliti jadual waktu anak-anak dan memastikan anak-anak membawa buku yang dijadualkan sahaja. "Yang pasti, semua pihak harus bertanggungjawab dalam usaha menjaga kesihatan anak masing-masing," katanya. |
Berkenalan dengan Mazhab Syafie Posted: 22 Mar 2015 05:14 AM PDT Oleh ABD RAZAK MUTHALIB MAZHAB Syafie diasaskan oleh Imam Al-Syafiee atau nama sebenarnya, Muhammad bin Idris Nasabnya bertemu dengan Nabi Muhammad SAW pada 'Abd Manaf. Syafi' bin Al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Baginda SAW, namun teragak-agak untuk menerima Islam. Al-Syafiee. Gelaran beliau, Abu Abdullah berketurunan Rasulullah SAW. Al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan tentera Islam dan menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam. Beliau dilahirkan pada tahun 150H di Gaza, Palestin. Pada tahun sama, Imam Abu Hanifah meninggal dunia. Selepas kematian ayahnya, Imam Al-Syafie dibawa ibunya berpindah ke Makkah. Kesungguhan beliau menuntut ilmu terserlah. Beliau selalu menyertai majlis ilmu ulama dan mampu menghafaz al-Quran dan hadis semasa kanak-kanak. Awalnya, Imam Al-Syafie menumpukan ilmu sejarah, syair dan bahasa Arab. Imam Al-Syafie kemudian menunjuk minat dan kesungguhan dalam ilmu fikah, sehingga mampu menghafaz kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik. Selepas itu, beliau merantau ke Madinah untuk belajar secara langsung dengan Imam Malik. Apabila mengetahui Imam Al-Syafie telah menghafaz al-Muwatta', barulah Imam Malik bersetuju menerimanya sebagai anak murid. Beliau juga merantau ke Hijjaz dan Yaman untuk menuntut ilmu, seterusnya berpindah ke Iraq dan menuntut ilmu daripada ulama terkenal seperti Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani, anak murid utama kepada Imam Abu Hanifah. Imam Syafie banyak mengambil manfaat ilmu daripada Al-Syaibani. Dalam masa sama, beliau juga sering berbahas dengan Al-Syaibani dalam beberapa permasalahan yang berbeza pandangan dengan Mazhab Imam Malik seperti yang beliau pelajari. Selepas kembali ke Makkah, Al-Syafie merantau ke Baghdad, Iraq, kemudian ke Mesir, akhir tahun 199H. Di Mesir, Imam Al-Syafie banyak menilai semula ijtihad dan fatwa yang beliau keluarkan semasa berada di Baghdad. Oleh itu, ijtihad dan fatwa baharu yang diubah semasa di Mesir dikenali sebagai "mazhab jadid" (mazhab baru) Imam Syafie. Manakala, ijtihad dan fatwa beliau semasa di Baghdad dikenali sebagai "mazhab qadim" (mazhab lama). Pada akhir Rejab, tahun 204H, Imam Al-Syafie kembali ke pangkuan Pencipta. Ulama mazhab Antara anak murid terkenal Imam Syafie yang meriwayatkan mazhab lama beliau ialah Ahmad bin Hanbal, Al-Za'farani, Al-Karabisi dan Abu Thaur. Manakala periwayat mazhab baru Imam Syafie yang terkenal antaranya ialah Al-Muzani, Al-Rabi' bin Sulaiman Al-Muradi, Al-Buwaiti dan Harmalah. Antara mujtahid yang dinisbahkan kepada Mazhab Syafie ialah Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Muhammad bin Nasr al-Marwazi, Ibn Jarir Al-Tabari dan Ibn Khuzaimah. Mereka termasuk golongan ashab Al-Syafie. Al-Ashab dalam mazhab Al-Syafie merujuk kepada mujtahid yang mengeluarkan hukum berdasarkan landasan ditetapkan Imam Syafie. Namun, mereka tidak terikat atau taqlid kepada Imam Syafie sepenuhnya dalam semua perkara. Dalam Mazhab Al-Syafie, ada golongan ashab al-wujuh, iaitu ulama yang taqlid Imam Syafie dalam masalah syarak, sama ada dalam dalil mahu pun kaedah asasnya. Namun, mereka masih memiliki kemampuan untuk menentukan hukum yang belum disebutkan Imam Syafie dengan menyimpul dan mengiaskan daripada pendapat Imam Syafie. Antaranya, Al-Humaidi, Al-Buwaiti, Al-Rabi' bin Sulaiman Al-Muradi, Harmalah dan ramai ulama selepas zaman tersebut. Dalam kalangan ulama Mazhab Syafie yang menjadi pengungkai dan penyelesai kepada permasalahan yang mempunyai pelbagai pandangan. Imam Al-Syafie meletakkan asas dan kaedah utama dalam mazhabnya. Mazhab ini berkembang dan topik perbincangannya semakin meluas hasil ijtihad dilakukan golongan al-ashab dan ashab al-wujuh. Oleh itu, berlaku perselisihan pandangan di dalam banyak perkara. Justeru, muncullah ulama terkemudian yang berperanan sebagai penyelesai dan pengungkai kepada perselisihan pandangan tersebut. Kitab mazhab Al-Syafie Dua ulama Mazhab Al-Syafie yang terkenal dalam peranan ini ialah Al-Rafi'ie dan Al-Nawawi. Mereka mendapat gelaran sebagai syeikhain (dua syeikh) dalam Mazhab Al-Syafie. Namun, sebelum itu pembukaan kepada peringkat ini, dimulakan oleh ulama lain seperti Abu Ishak Al-Syirazi, Imam Al-Haramain Al-Juwaini dan Abu Hamid Al-Ghazali. Selepas sumbangan dilakukan Al-Rafi'ie dan Al-Nawawi, muncul ulama berperanan menyelesaikan permasalahan yang tidak disebut Al-Rafi'ie dan Al-Nawawi. Mereka membincangkan perkara cabang (furu') lain berdasarkan kepada manhaj mazhab Al-Syafie. Mereka yang terkenal pada fasa ini ialah Al-Asnawi, Al-Azra'ie, Al-Bulqini, Zakaria Al-Ansari, Al-Khatib Al-Syarbini, Ibn Hajr Al-Haitami dan Syamsuddin Al-Ramli. Antara kitab dikarang Imam Al-Syafie ialah al-Risalah, sebelum beliau merantau ke Mesir. Al-Risalah ialah kitab pertama yang dikarang dalam bab Usul al-Fiqh. Di Mesir, Al-Syafie mengarang al-Umm, merupakan kitab asas yang menghimpunkan permasalahan fikah berdasarkan mazhab baru Imam Al-Syafie. Terdapat banyak lagi kitab dalam Mazhab Al-Syafie yang dikarang ulama. Antaranya ialah Al-Muhazzab oleh Al-Syirazi dan Al-Nawawi menghuraikan pula kitab ini dengan diberi tajuk al-Majmu' Syarh al-Muhazzab. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Al-Rafi'ie dan Al-Nawawi adalah "syaikhain" dalam mazhab Syafie. Oleh itu, pendapat yang mereka muatkan dalam kitab menjadi rujukan utama dalam mazhab Al-Syafie. Masih banyak perkara perlu diketahui untuk mengenali Mazhab Al-Syafie. Ruang yang terhad ini tidak memungkinkan penulis untuk memuatkan segalanya. Membaca sejarah Imam Al-Syafie dan ulama yang meneruskan tradisi ilmu ini mampu memberikan pengajaran dan keinsafan. Imam Al-Syafie mengajarkan kita menuntut ilmu perlukan kepada kesungguhan dan pengorbanan; dan sentiasa mengutamakan kebenaran walaupun kadang-kadang kebenaran itu bercanggah dengan pandangan tuan guru kita. Imam Al-Syafie tidak mengajar kita untuk fanatik dengan beliau. Sayang beliau kepada Imam Malik dan kasih Imam Malik kepada beliau tidak menjadikannya fanatik membuta tuli dengan Imam Malik. Sejarah menunjukkan terdapat banyak perkara yang beliau tidak sealiran dengan mazhab fikah gurunya sendiri. Islam hanya dapat difahami dengan ilmu. Ilmu dapat diperoleh dengan belajar yang menuntut kepada disiplin yang betul dan manhaj yang benar. Mari kita teruskan pengembaraan menuntut ilmu. Belajar agama dengan dalil dan nas sahih. Demi mencari kebenaran dan keyakinan. (Rujukan: Dr. Nu'man Jaghim, Madkhal ila al-Mazhab al-Syafie, IIUM, 2007) ABD RAZAK MUTHALIB (Penulis ialah mantan pensyarah Fakulti Sains Sosial, Kolej Islam Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu UIAM) |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan