Jumaat, 20 Mac 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


PAS lebih utamakan hukum Allah daripada urusan kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat

Posted: 20 Mar 2015 05:00 AM PDT

  Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menegaskan parti itu lebih mengutamakan hukum Allah - hudud - daripada hukum manusia termasuk urusan kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat.

 Beliau juga menegaskan bahawa PAS tidak akan berganjak dengan perjuangannya melaksanakan hukum hudud sekalipun mendapat tentangan keras daripada sekutunya, lapor Utusan Malaysia hari ini.

 "Seluruh ahli PAS terutamanya para pemimpin menyedari bahawa pada satu ketika akan berlaku pertembungan di antara PAS yang hendak menegakkan prinsipnya dengan rakan-rakan kongsinya yang mungkin beralah lalu menyokong atau berkeras menentang.

 "Kalau PAS teragak-agak atau lebih mementingkan sekutunya yang menentang atau terlampau sayang dengan pakatan sehingga sanggup mengorbankan prinsipnya, maka PAS tidak akan membentangkan rang pindaan hukum hudud yang sedang berlaku di Kelantan.

 "PAS telah menyatakan kesungguhannya, PAS tidak bercakap sahaja, PAS melaksanakannya. PAS lebih mengutamakan hukum Allah lebih daripada hukum manusia," Dr Haron seperti dilapor oleh akhbar itu. Baca lagi di sini

Komen al-Husseyn:
Haron Din nampaknya begitu yakin dengan sokongan Umno hingga sanggup merungkai urusan kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat.

Beliau tidak yakin bahawa kerjasama dengan PR, hukum Allah itu tidak akan dapat dilaksanakan. Dengan lain perkataan, kerjasama dengan Umno, hukum Allah akan dapat ditegakkan....Takbir!!!

Apakah sudah terbukti adanya negeri yang dibawah Umno telah melaksanakan hukum Allah?

Ingat lagi Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat yang pernah mecadangkan Johor melaksanakan hudud , mendahului negeri lain pada 20 Jun 2012 lalu pada mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12. Apa sudah jadi kepada cadangannya itu? Harun Din kena muhasabah, tabayyun dengan Ayub Rahmat terlebih dahulu. 

Apakah dengan sokongan Umno sahaja tanpa penglibatan PKR dan DAP PAS akan berjaya mendapat majoriti mudah apabila ianya dibentangkan di parlimen pada Mei ini nanti? 

PAS memerlukan sokongan 112 undi daripada 222 ahli Parlimen. PAS mempunyai 21 dan Barisan Nasional, 87 menjadikan jumlah 108 kerusi; kurang 4 kerusi untuk mencapai majoriti mudah. Itu pun belum pasti lagi yang dua ahli PAS yang digantung itu akan memberi sokongan kepada PAS.

Apa-apa pun eloklah PAS ambil peduli pandangan rakan tahalluf siayasi mereka, PKR seperti berikut :

Nasihat PKR kepada PAS

 PAS dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik Umno dan perlu mendapatkan jaminan bertulis daripada Barisan Nasional (BN) yang mereka akan mengundi dan menyokong rang undang-undang persendirian hudud sebelum membawanya ke Parlimen, kata Rafizi Ramli.

 Setiausaha agung PKR itu berkata, ini penting untuk memastikan tiada muslihat dan tipu daya daripada Umno yang pernah memangsakan PAS dengan menendang parti itu keluar BN pada 1977.

 Katanya, kepimpinan PAS dan rakyat perlu berhati-hati dan waspada dengan muslihat Umno dan BN yang menggunakan ketaatan orang Islam terhadap hukum Allah sebagai muslihat politik.

 "Saya menasihati pimpinan PAS supaya mendapat jaminan bertulis mengenai sokongan daripada Umno dan parti komponen BN lain seperti PBB (Parti Pesaka Bumiputra Bersatu) terhadap cadangan rang undang-undang persendirian mengenai kuasa Mahkamah Syariah terlebih dulu sebelum memutuskan untuk membawanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Ahli Parlimen Pandan itu juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya,Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan secara terbuka dan bertulis terhadap hudud di Kelantan dan berjanji akan mengundi rang undang-undang persendirian itu jika dibawa ke Parlimen. - Baca lagi di sini

Enakmen Jenayah Syariah II 2015 : Pendirian KEADILAN

Posted: 20 Mar 2015 02:00 AM PDT

  
KEADILAN mengikuti dengan dekat perkembangan sehingga lulusnya pindaan-pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini. Sejak cadangan pindaan ini timbul lebih setahun lalu, KEADILAN telah duduk berbincang dengan pimpinan PAS dan Kerajaan Kelantan serta pimpinan DAP untuk mencari jalan terbaik kepada isu ini.

 Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada 17 Mac 2015 dan membincangkan dengan khusus pindaan-pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II.

 Muafakat Pakatan Rakyat

  KEADILAN terikat dan menghormati keputusan bersama mengenai pelaksanaan hudud yang dicapai di dalam Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 seperti berikut:

1. Pelaksanaan hudud bukanlah agenda bersama Pakatan Rakyat 

2. Walau bagaimana pun, parti-parti Pakatan Rakyat menghormati bahawa pelaksanaan hudud telah menjadi dasar perjuangan PAS dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 dibentangkan sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak munasabah bagi PAS menggugurkan pelaksanaan hudud daripada agendanya

3. Sebarang dasar atau pelaksanaan dasar yang melibatkan Pakatan Rakyat perlulah mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti

 Keputusan bersama ini sering dirujuk sebagai "agree to disagree" mengambil kira Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 telah wujud sebelum Pakatan Rakyat.

 Oleh sebab itu, apabila wakil Kerajaan Kelantan Datuk Nik Amar memaklumkan kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 bahawa rang undang-undang yang bakal dibentangkan hanyalah pindaan empat (4) perkara ke atas enakmen yang telah diluluskan dalam tahun 1993, KEADILAN mengambil sikap menghormati bahawa pindaan itu bukanlah undang-undang baru dan tidak mengubah status sedia ada. Oleh yang demikian, pindaan seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Nik Amar itu masih berada di dalam kerangka persetujuan bersama dan muafakat Pakatan Rakyat mengenai hudud yang dicapai dalam tahun 2011.

 Walau bagaimana pun, KEADILAN tidak diberikan draf pindaan sehinggalah minggu lepas iaitu pada 12 Mac 2015 (seminggu sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri). Draf yang dibentangkan itu bukanlah pindaan empat (4) perkara seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Nik Amar tetapi merupakan pembentangan keseluruhan enakmen setebal 34 muka surat. Walaupun kandungannya tidak banyak berbeza dari enakmen asal tahun 1993, ia tidak lagi mematuhi muafakat bersama yang dipersetujui oleh Pakatan Rakyat dalam 2011 mengenai pelaksanaan hudud.

  Oleh yang demikian, KEADILAN melahirkan rasa kesal kerana persetujuan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat bertarikh 8 Februari 2015 tidak dihormati dan sekaligus bertentangan dengan muafakat bersama yang dicapai dalam tahun 2011 mengenai perkara ini.

  Sedang KEADILAN menghormati hak dan pendirian Kerajaan Kelantan untuk membentangkan enakmen ini, adalah lebih afdal jika Kerajaan Kelantan juga menghormati persetujuan yang dibuatnya sebelum ini di peringkat Pakatan Rakyat.9 Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah 

  KEADILAN berpendirian bahawa setiap yang beragama Islam wajib menerima hukum hudud kerana Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW telah menetapkan hukuman-hukuman bagi enam salah laku iaitu sariqah (mencuri), hirabah (rompakan bersenjata), zina (persetubuhan di luar perkahwinan), qazaf (tuduhan palsu mengenai kemuliaan seseorang), syurb (meminum arak) dan riddah (murtad).

   Pada masa yang sama, KEADILAN juga percaya bahawa rakyat Malaysia boleh membezakan di antara penerimaan ketetapan hudud terhadap enam kesalahan tersebut dengan kaedah melaksanakan ketetapan hudud itu di dalam sesebuah masyarakat. Sementara setiap yang beragama Islam wajib menerima ketetapan hukuman hudud, kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hukuman hudud itu dalam konteks sistem undang-undang dan suasana sesebuah masyarakat boleh dibincangkan.

  Malah, peraturan dan kaedah dalam melaksanakan hukuman hudud seperti yang biasa diutarakan sekarang adalah hasil dari perbincangan ulama dan ilmuwan selama beribu tahun yang kini membentuk pengetahuan kita mengenai kaedah mengkanunkan hukuman hudud. Oleh sebab itu, KEADILAN berharap perbezaan pendapat mengenai kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hudud tidak disalahertikan seolah-olah menolak ketetapan hukuman hudud.

  KEADILAN mengambil pendirian bahawa syariat Islam merangkumi kesemua ruang hidup dan bermasyarakat. Selain dari hukuman hudud ke atas enam kesalahan di atas, syariat Islam turut meliputi persoalan perkerajaanan, diplomatik, tatacara ekonomi, hubungan dengan bukan Islam dan perkara muamalah lain-lain. Makanya, kanun hudud seperti yang diterjemahkan ke dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II pada hari ini adalah sebahagian dari syariat besar Islam.

  Oleh sebab itulah, KEADILAN berbeza pandangan mengenai keutamaan yang perlu didahulukan dalam melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh ini. KEADILAN percaya bahawa memutuskan keutamaan masyarakat adalah sebahagian dari pertimbangan fiqh al-awlawiyyat (keutamaan amalan/dasar) yang boleh dibincangkan di dalam sesebuah masyarakat. Dalam perkembangan mutakhir, KEADILAN meletakkan keutamaan kepada memperbetulkan ketidakadilan di dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang lebih tinggi dari melaksanakan undang-undang hudud ke atas enam kesalahan tadi mengikut kaedah fiqh al-awlawiyyat.

  Ini bukanlah bermakna KEADILAN menolak ketetapan Allah SWT di dalam enam kesalahan mengikut hudud seperti yang sering dipolitikkan. Sebaliknya, KEADILAN percaya perjuangan memperbetulkan ketidakadilan dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat lebih utama dalam menyelesaikan maslahat ummah sekarang terutamanya dengan berlatar belakangkan masalah kebajikan rakyat selepas musibah banjir, tekanan hidup terhadap rakyat akibat rasuah dan salahguna kuasa pemerintah terhadap rakyat.

  Pendirian sebegini juga dipegang oleh gerakan-gerakan Islam ternama di dunia termasuk Parti Kemajuan dan Keadilan (AKP) di Turki yang dipimpin Presiden Tayyeb Erdogan dan Parti An-Nahdah di Tunisia yang dipimpin pemikir Islam ternama Sheikh Rashid al-Ghannouchi. Malah, pendirian bahawa pelaksanaan hudud bukanlah keutamaan utama dalam masyarakat juga merupakan pendirian yang diambil oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

  KEADILAN percaya bahawa penekanan perlu diberikan untuk meninggikan kefahaman rakyat kepada matlamat undang-undang Islam dilaksanakan seperti yang dituntut di dalam maqasid syariah. KEADILAN akan terus berpegang dan berpandukan kepada maqasid syariah dalam membuat pendirian mengenai dasar-dasar yang melibatkan rakyat.

  Oleh yang demikian, mengambil kira pertimbangan-pertimbangan ini, KEADILAN mengambil pendirian yang berbeza mengenai keutamaan melaksanakan hukuman hudud seperti yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari ini. Oleh itu, KEADILAN telah mengarahkan calon tunggal KEADILAN di Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk tidak menyertai perbahasan dan pengundian bersabit Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan pada hari ini. 

 Muslihat Umno

 KEADILAN menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, kesejahteraan dan kemuliaan insan supaya tidak mudah tertipu dengan muslihat Umno yang mempolitikkan pelaksanaan hukum hudud untuk memecah belahkan perpaduan rakyat menentang Umno.

  Perbezaan pendapat mengenai fiqh al-awlawiyyat melaksanakan hukuman hudud ini akan diputar belitkan seolah-olah mereka yang meletakkan keutamaan tuntutan syariat Islam manakala yang lain menolak hukum Allah SWT.

  Jika benar Umno benar-benar ikhlas dan bersedia untuk melaksanakan hukuman hudud, sudah tentu Kerajaan Negeri Terengganulah yang memulakan langkah dan disambut oleh Kerajaan Persekutuan di peringkat Parlimen. Keengganan Umno selama ini adalah bukti bahawa Umno hanya berminat mempolitikkan hudud di saat nyawanya di hujung tanduk.

  KEADILAN menyeru seluruh rakyat Malaysia kembali fokus kepada usaha menukar kerajaan persekutuan agar kepentingan rakyat dalam semua aspek dapat diperjuangkan.

 YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
 Presiden KEADILAN

 YAB Azmin Ali
 Timbalan Presiden KEADILAN

 YB Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN 

YB Shamsul Iskandar Md Akin
Naib Presiden KEADILAN ~ SUMBER

PAS Kelantan tidak pernah dakwa Enakmen Hudud adalah rangka kerja dasar bersama - Khalid Samad

Posted: 19 Mar 2015 09:45 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kami tidak pernah mendakwa bahawa rang undang-undang Hudud itu merupakan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama, kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS Abdul Khalid Samad sebagai tindak balas kepada kenyataan PKR bahawa PAS menentang manifesto.

 "Itulah tafsiran mereka. Kami tidak pernah mendakwa ia merupakan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama. Kami sentiasa mengakuinya begitu," kata Khalid dalam satu temu bual media di luar persidangan Dewan Rakyat hari ini.

 Kenyataan yang dikeluarkan terdahulu oleh PKR telah mendakwa bahawa PAS Kelantan tidak memelihara kepentingan bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam usaha meneruskan Enakmen yang baru di bawah nama pindaan kepada Kod Jenayah Syariah Kelantan II 1993.

 "Tetapi kita masih percaya bahawa apa yang telah dibentangkan pada dasarnya adalah pindaan," kata Khalid. 

"Kami menyerahkan kepada semua pihak untuk membuat keputusan bagi diri mereka sendiri. Mereka mempunyai pelbagai alasan untuk berbeza pendapat - terpulang kepada mereka, tetapi ia bukan sesuatu yang berada di dalam rangka kerja dasar yang sama, jadi mereka tidak diwajibkan untuk menyokongnya ".

 Kenyataan itu juga berkata PKR lebih suka jika PAS Kelantan menghormati konsensus yang dibuat lebih awal dengan Pakatan Rakyat, walaupun mereka menghormati hak dan pendirian kerajaan Kelantan membentangkan Enakmen tersebut.

Seterusnya Khalid menjelaskan bahawa ia adalah isu yang khusus kepada Kelantan, dan PAS Kelantan tahu cara terbaik untuk menanganinya.

 "Kita mesti mengakui bahawa politik di sana adalah sangat berbeza daripada politik negara. Terdapat isu-isu yang kita perlu mengendalikan, dan apa yang PAS Kelantan lakukan itu adalah mengikut cara mereka. Kami percaya bahawa mereka tahu apa yang terbaik,"  katanya.

"Tidak ada wakil dari DAP di Kelantan. PKR hanya mempunyai satu ADUN sahaja. Saya rasa kita perlu mengakui bahawa dari segi politik Kelantan, PAS adalah yang paling mengetahuinya."

 Ketua Penerangan PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar juga berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa di antara pindaan utama kepada rang undang-undang adalah bahawa undang-undang hanya akan memberi kesan kepada orang Islam, dan tidak ada orang lain.

 "PAS dan kerajaan negeri Kelantan akan menjalankan proses undang-undang Syariah secara demokratik, dan kami telah memberi ruang yang secukupnya kepada ADUN Kelantan untuk membahaskan perkara itu," kata Mahfuz dalam kenyataan itu.

 Beliau juga berkata bahawa mereka telah mengambil kira pandangan rakyat bagi memastkan hak-hak orang bukan Islam, mengecualikan mereka daripada berada di bawah undang-undang Syariah.

 "PAS dan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah mengelak daripada mendengar apa sahaja kritikan dan cadangan yang telah dibuat untuk meningkatkan enakmen itu," kata Mahfuz.

 "Oleh itu, ia adalah aneh bahawa pihak-pihak tertentu akan menghentikan proses demokrasi daripada berlaku. Mereka perlu mengamalkan apa yang mereka katakan dan menjadi pejuang sebenar untuk demokrasi, bukannya membuat demokrasi hanya mereka."

Hj Hadi akan bentang rang undang-undang persendirian di Parlimen

Posted: 19 Mar 2015 06:35 PM PDT

Benarkah Setiausaha Agong, Mustafa Ali 
tidak tahu mengenainya?
 Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen pada Mei untuk membenarkan Kelantan pelaksanakan hudud, mengetepikan Pakatan Rakyat (PR).

Hadi menghantar surat kepada Parlimen semalam selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

 The Malaysian Insider sudah melihat surat Hadi dan disahkan seorang pemimpin kanan parti yang mengatakan ianya untuk meminda Akta 355 (Mahkamah Syariah) - selama ini mengehadkan bidang kuasa mahkamah dan menjadi penghalang untuk pelaksanaan hudud.

 "Presiden akan membentangkan sendiri rang undang-undang persendirian ini," kata pemimpin berkenaan kepada The Malaysian Insider.

 Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mengatakan tidak tahu mengenai surat Hadi.

"Ia tidak ada dalam pengetahuan saya dan saya tidak tahu mengenainya," katanya kepada The Malaysian Insider.

 Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 yang hanya memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman sehingga denda RM3,000, 5 tahun penjara dan 6 kali sebatan.9Pindaan perlu dibuat kepada akta ini bagi membolehkan sebahagian enakmen hudud yang diluluskan DUN Kelantan semalam dilaksanakan.

 Bagaimanapun sekutu PAS PKR dan DAP sudah mengatakan hudud bukan sebahagian daripada pendirian bersama PR.  

 Pemimpin DAP akan bertemu pada Isnin untuk memutuskan kedudukan mereka bersama PR, gabungan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti tradisi di Dewan Rakyat. ~ Baca lagi di sini
 

  Menurut Nik Amar, meminda Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dengan membentangkan undang-undang persendirian hanya memerlukan sokongan 112 undi daripada 222 ahli Parlimen.

  Terdapat 126 ahli Parlimen beragama Islam di Dewan Rakyat. PAS mempunyai 21 kerusi, PKR 16, DAP 2 dan Barisan Nasional, 87.

Tiada ulasan: