Ahad, 22 Februari 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pandangan Pembaca Kerabu Bersuara

Posted: 21 Feb 2015 09:49 PM PST

Oleh: Ahmad hazman

Dengan UMNO kena sentiasa berhati hati sama ada ketika mereka keras dengan kita atau ketika mereka kelihatan buat baik dengan kita.

Berhati hati bukan maksud kena ajak 'balloh dan goccoh sokmo.'

Ada orang kita susah hati bila orang2 PAS tidak lagi benci orang UMNO. Susah hati bila orang PAS boleh bersalam, berkunjung ziarah dan senyum pada orang UMNO.

Susah hati bila ceramah2 kita tak lagi bernada kebencian.

Anda lupakah pesan Ulama, kita bermusuh dgn UMNO bukan kerana namanya UMNO?

Dalam keadaan masyarakat yg makin terpelajar, umat Islam semakin terdedah dgn ilmu agama, orang2 UMNO pun duk budaya kan kuliah, forum perdana untuk tunjuk mereka mahu hidup beragama juga, adakah cerdik atau bodoh kita tonjolkan ciri ciri paranoid dan schizoprenic kpd sesama Islam?

Beri peluru percuma kpd UMNO bhw mereka yg baik dan kita pula yg angkuh dan tidak berakhlak Islam.

Kita dah byk tengok permainan strategy dimenangi dalam keadaan senyum dan bukan melalui hentak meja bergusti lengan.

Kita kata ulama dan profesional, cerdik pandai, ramai yg bersama kita. Jadi ahli, penyokong diam atau terang.

PAS pernah dikhianat UMNO. Itu tahun2 70an. Ketika itu bila sebut PAS, maka sinonim dgn kelompok masyarakat melayu luarbandar, orang biasa2 dengan ulama dan ustaz yg memimpin. Jarang2 dengar ada lawyer, engineer, doktor dan pakar2 strategi dalam PAS.

Sekarang orang kata UMNO pula yg tinggal hanyalah melayu luar bandar dari tanah2 rancangan yg disekat maklumat. Dikata tak ramai lagi melayu profesional yg jadi tulang belakang.

Dengan segala sumber yg ada, mengapa PAS perlu bersikap begitu inferior seolah2 merasa boleh sentiasa dipermainkan2 oleh UMNO?

Seolah2 mcm jadikan pendirian bahawa PAS tidak bijak jadi pencatur. Kerana itu sentiasa memghulur tengkuk untuk dicatur orang lain.

Biarkan orang luar yg jadi pencatur. Orang lain yg jadi mastermind.

Sedangkan pemimpin sendiri DS TGHH bukan calang2 manusia, menjadi rujukan gerakan Islam diperingkat dunia.

Kena ingat, yg boleh khianat kpd kita, bukan UMNO sahaja.

Tok Guru...Kematian yang menghidupkan

Posted: 21 Feb 2015 09:46 PM PST

ABD RAZAK MUTHALIB

"Enta dari mana?" "Ana dari UIA".

"Alhamdulilah…belajar bersungguh-sungguh. Jangan jemu. Buat kerja dakwah".

Begitulah lebih kurang antara dialog kami 14 tahun lepas. Kenangan pertemuan kali pertama di Masjid Pulau Melaka, selepas solat Asar itu kembali menggamit memori.

Saya ditemani sahabat saya, Amin Idris, bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan semata-mata untuk menziarahi beliau.

Selama ini hanya menatap wajahnya dari kaca televisyen dan dada akhbar. Mendengar suaranya melalui kaset-kaset ceramah beliau. Petang itu, saya dapat bersalaman dan bersembang secara langsung dengan beliau.

Tanpa temu janji. Tanpa surat. Tanpa protokol. Tanpa pengawal. Selepas beliau mengimami solat Asar, berkain pelekat berbaju Melayu dan berkopiah putih, saya dapat bertemu Menteri Besar Kelantan, yang lebih mesra dipanggil Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Pertemuan terakhir

Tanggal 7 Januari 2015, adalah kali terakhir saya bertemu, menatap wajah dan bersalaman dengan beliau. Saya bersama Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan ditemani adinda Tok Guru, Nik Nasim berpeluang menziarahi beliau di Hospital USM.

Tatkala melangkah masuk ke bilik rawatan, perasaan sebak tidak mampu disembunyikan lagi. Melihat beliau yang terbaring keuzuran, memandang kami dengan wajah yang sayu, lemah mengangkat tangan mungkin tanda menyambut kedatangan kami.

Bibir ini tidak terungkap kata-kata. Saya hanya mengucapkan salam dan kami bersalaman. Tangan beliau saya kucup penuh kerinduan.

Mungkinkah ini kali terakhir saya bersalaman dengannya? Persoalan ini bermain di fikiran. Perasaan sebak semakin meluak-luak.

Sepanjang berada di bilik rawatan, saya hanya menatap wajah beliau sambil mulut memanjatkan doa agar disembuhkan dan dipermudahkan segala urusannya.


Berita hiba

12 Februari 2015, 9.40 malam, malam Jumaat, detik ini begitu hiba sekali. Berita kematian beliau begitu berasa. Selepas 84 tahun, Tok Guru pergi buat selama-lamanya bertemu Sang Pencipta, ALLAH SWT. Perpisahan ini amat berat sekali.

Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan, rakyat Malaysia bersedih atas kehilangan sebutir permata yang sukar untuk dicari ganti semula.

Kita kehilangan seorang ilmuwan yang disegani, pemimpin yang amanah, tokoh politik yang berprinsip, pejuang sunnah yang kental dan ahli zuhud lagi warak. Kita kehilangan murabbi ummah.

Seluruh kehidupannya disumbangkan kepada perjuangan dakwah menegakkan sunnah Rasulullah SAW, mentarbiahkan rakyat agar berasai hidup beragama, sentiasa mengajak supaya mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul-Nya dalam segenap aspek kehidupan termasuklah dalam urusan politik dan pemerintahan.

Jika diselusuri sejarah kehidupan beliau, tidak sedikit cabaran dan dugaan yang dihadapi. Dimaki, dicemuh, difitnah, dituduh sebagai kaum muda dan Wahabi, disekat, ditindas, dizalimi dan pelbagai lagi telah beliau rasai.

Itu semua tidak memadamkan semangat perjuangan beliau. Beliau terus berjuang sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Namun, insan tetap tidak dapat lari dari hakikat insan. Tidak sempurna dan adanya kekurangan. Namun, kita dapat lihat, Tok Guru telah berusaha sehabis baik yang beliau mampu dalam memartabatkan Islam sepanjang hayat beliau sebelum dan semasa memegang tampuk kepimpinan Kelantan dan sebagai Mursyidul Am Pas.

Ramai yang sayang dengan Tok Guru. Ramai yang sedih dengan pemergian beliau. Lihatlah sahaja di hari kematiannya, puluhan ribu yang hadir untuk solat jenazah.

Belum dikira lagi yang solat jenazah ghaib dalam mahupun luar Malaysia. Ucapan takziah daripada pelbagai bangsa dan agama. Tanpa dibayar, tanpa diupah, tanpa dipaksa, mereka melakukan semua ini. Mudah-mudahan ini sebagai lambang ganjaran kebaikan yang diperoleh Tok Guru di sana.


Tiada talkin, kenduri tahlil?

Ada juga beberapa persoalan yang timbul apabila melihat pengurusan jenazah Tok Guru. Ada yang bertanya, mengapa tidak dibaca talkin selepas dikebumikan?

Mengapa tidak ditabur bunga dan disiram air atas kubur beliau?

Mengapa kawasan perkuburan tersebut tidak ada binaan kubur? Mengapa ahli keluarga beliau tidak mengadakan majlis tahlil dan kenduri arwah? Mengapa dan mengapa…

Ini bukanlah suatu yang pelik dan menghairankan. Sebenarnya inilah inti pati perjuangan dakwah beliau selama ini. Tok Guru sentiasa mengingatkan kita supaya memastikan akidah, ibadah, akhlak dan termasuk juga berpolitik berpandukan dalil yang sahih, bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW. Tok Guru mengajar kita semua supaya mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkan segala kesyirikan, khurafat, bidaah dan adat resam yang bercanggah dengan syariat.

Semasa hayatnya, beliau begitu memastikan agar urusan ibadah dan kehidupannya bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW, begitu juga beliau mahukan dalam urusan kematiannya. Alhamdulilah, ia dilaksanakan ahli keluarganya sekadar yang mampu.


Haram meratapi kematian

Contohnya, berdasarkan ajaran Rasulullah SAW, kita diharamkan untuk meratapi kematian (al-niyahah). Imam al-Zahabi di dalam al-Kabair menyenaraikannya sebagai dosa besar.

Hukum ini berdasarkan hadis yang melarang keras perbuatan ini. Antaranya ialah: "Dua perkara jika berlaku kepada manusia adalah kufur: mencela nasab keturunan dan meratapi ke atas mayat". (Riwayat Muslim, no 224)

Imam Al-Nawawi menghuraikan maksud hadis ini: 1) Kedua-dua perbuatan tersebut adalah amalan orang kafir dan merupakan akhlak jahiliah. 2) Perbuatan ini membawa kepada kufur. 3) Kufur (yang dimaksudkan ialah) kufur nikmat dan ihsan. 4) Jika ia mengharuskan perbuatan tersebut, maka ia menjadi kafir. (al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar al-Ma'rifah, m/s 245)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya mayat diazab dalam kubur disebabkan ratapan ke atasnya". (Riwayat al-Bukhari, no 1292 & Muslim no 927)

Imam Ibn Hajar al-'Asqalani telah memberikan huraian yang panjang terhadap maksud hadis ini. Kesimpulannya, hal ini disebabkan si mati tidak mengajar dan berpesan kepada ahli keluarganya mengenai larangan ini. Maka keluarganya melanggar larangan ALLAH, lalu meratapi kematiannya. (Rujuk: Al-Asqalani, Fath al-Bari, Riyadh: Dar al-Salam, m/s 192-205)

Adat ahli keluarga mengadakan jamuan atau dikenali sebagai 'kenduri arwah atau majlis tahlil' termasuk dalam perkara meratapi kematian (al-niyahah).

Hal ini disebut sendiri oleh sahabat Rasulullah SAW; Jarir bin Abdullah al-Bajali: "Adalah kami menganggap berkumpul di rumah si mati dan menyediakan jamuan makanan adalah termasuk di dalam meratapi kematian". (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya (no.6905), Ibn Majah dalam Sunannya (2/2275). Disahihkan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' (5/290). Di sahihkan juga oleh Syaikh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah (2/48).

Dalam ilmu hadis, jika mana-mana perkataan daripada sahabat Nabi Muhammad SAW yang menggunakan lafaz seperti "kami disuruh untuk melakukan sesuatu" atau "kami dilarang daripada sesuatu" atau "adalah kami mengatakan" atau "kami melakukan sesuatu" dan yang sama maksud dengan lafaz ini, perkataan tersebut dihukumkan sebagai hadis marfu' (sanadnya sampai kepada Rasulullah).


ulama mazhab Syafie

Dalam hal ini, ulama Mazhab Syafie menyeru kepada perkara yang sama. Mereka melarang untuk diadakan majlis yang kita kenali sebagai kenduri arwah atau kenduri tahlil.

Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab menyebut: "Telah berkata pengarang kitab al-Syamil: Ada pun perbuatan ahli keluarga si mati yang menyediakan makanan dan menghimpunkan orang ramai (untuk jamuan tersebut), tidak pernah dinukilkan daripada Nabi SAW sedikit pun, dan ia adalah bidaah yang tidak disukai".

Ramai lagi ulama Mazhab Syafie yang menyebut perkara yang sama termasuk ulama Melayu Nusantara.

Contohnya, Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam Furu' al-Masai'l menyebutkan: "…dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan apa yang demikian itu haram atau makruh atau harus (dijawabnya) adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak".

Apa pun, semua yang Tok Guru pesan kepada anaknya bagaimana untuk menguruskan jenazahnya, adalah manifestasi cinta dan sayang beliau kepada sunnah Rasulullah SAW.

Kematian Tok Guru menghidupkan banyak perkara. Menghidupkan kesedaran. Menghidupkan keinsafan. Menghidupkan erti perjuangan. Menghidupkan prinsip amanah dan keadilan. Menghidupkan erti zuhud dan ketakwaan. Menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang dipinggirkan.

Semoga Tok Guru diampuni, dirahmati dan diganjari syurga al-Firdaus.

*Penulis ialah mantan pensyarah Jabatan School of Social Science (Kolej Islam Antarabangsa). Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu, al-Quran dan Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sekarang bertugas sebagai perunding latihan dan motivasi di AITC.

Tiada ulasan: