DIALOG RAKYAT |
- PM tak berani penjara Anwar, kata Rafizi
- Semua boleh bagi pandangan, bukan ikut telunjuk
- MH370: Isteri boleh dapat nafkah harta sepencarian
- Liwat II: Terima apa saja keputusan mahkamah
- QZ8501: Mayat penumpang tunggal Malaysia ditemui
- Kepincangan pertahanan negara di mata Mejar Zaidi
- Dr Mohd Hatta Bin Ramli yang ku kenali ..
- Lapan Pegawai Imigresen Sabah Jual Pas Lawatan Ditahan
- Chong Wei : Lebih Ramai akan Tinggalkan BAM
- Tuduh DAP ‘bapak rasis’, Ismail Sabri disaran segera mohon maaf
- Mat Sabu, Husam enggan ulas isu jatuhkan Hadi
- Lari bertempiaran dengar bunyi tembakan
- DAP komited bersama Pakatan, isu hudud dan pilihanraya PBT ke mesyuarat khas
- Sepahtu Umum Tidak Bertanding MLM Musim Depan
- Shabery Kecam Iklan Hina Pekerja Indonesia
- Perangi IS kerana cemarkan imej Islam
- Phahrolrazi nafi Pasma jadi dalang
- Tragis: Kanak-kanak tiga tahun maut dirempuh ibu
- Sidang DUN hudud Kelantan bulan depan
PM tak berani penjara Anwar, kata Rafizi Posted: 09 Feb 2015 07:13 AM PST MALAYSIAKINI Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengetahui nasibnya esok – sama ada beliau kekal bebas atau meringkuk di penjara. Pada malam ini, beliau mengambil peluang untuk menyampaikan ceramah, yang mungkin buat kali yang penghabisan kepada para pengikutnya. Ceramah di Padang Timur, Petaling Jaya itu merupakan program kemuncak kepada siri jelajahnya di seluruh negara. Anwar akan menggunakan peluang ini untuk menyeru kepada para pengikut untuk kekal memberi sokongan kepadanya. Minggu lepas, Anwar sempat berjenaka dengan wartawan yang membuat liputan acaranya agar tidak sugul dengan sebarang keputusan. Beliau turut berkongsi kisah dirinya memberitahu cucunya yang "orang jahat mahu sumbat atuk ke penjara". Esok, pendakwaan dijangka akan merayu agar Anwar dikenakan hukuman berat atas alasan hukuman penjara lima tahun Mahkamah Rayuan tidak mencukupi. Seperti kes Liwat 1, Anwar tekal mendakwa kes Liwat II kali ini sebagai satu rekaan semata-mata. Beliau mendakwa menjadi mangsa konspirasi - satu tuduhan yang dinafikan seteru politiknya dalam kerajaan. Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada Anwar akan terus bebas atau meringkuk sekurang-kurangnya selama lima tahun dalam penjara. Beliau sebelum ini disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008. Malaysiakini membawakan liputan langsung dari majlis makan malam ini. LANGSUNG 9pm: Anwar memberi ucapan di hadapan kira-kira 2,000 orang hadirin yang memenuhi 200 buah meja majlis makan malam di Padang Timur. "Anwar di luarkah, Anwar di dalamkah, Pakatan Rakyat padu, maju untuk Malaysia," kata Anwar cuba meyakinkan hadirin yang rata-rata khusyuk menikmati makan malam mereka. Anwar kemudian menjemput isterinya merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke atas pentas untuk berucap selepas beliau. "Saya sekarang jemput heroin saya, Wan Azizah untuk ke pentas. "Saya hendak tinggalkan Kit Siang tak susah sangat, tapi nak tinggalkan Azizah ini ...cukup susah," kata Anwar disambut tepukan hadirin. Majlis makan malam di kawasan bawah khemah itu berakhir sebaik ucapannya tamat. Pengerusi majlis meminta hadirin bergerak ke kawasan padangan untuk mengikuti Ceramah Perdana. Dalam ucapan menggunakan bahasa Mandarin, pangacara majlis tersebut mempromosikan ceramah tersebut sebagai "amanat terakhir" Anwar. 9.40pm: MP Subang, Sivara Rasiah membuka pentas ceramah malam ini dengan ucapan di hadapan hadirin yang sebilangannya bersila di atas padang. "Saiful Bukhari ini kata dia diliwat banyak kali. "Tapi dia ini banyak lubang. Banyak lubang dalam cerita dia," kata Sivarasa. 9.50pm: Naib presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mandor tentunya tidak berani memenjarakan Anwar. "Saya yakin Rosmah ada dengar ceramah kita sebab bulan lepas ceramah saya di Bandar Tun Razak tentang tarikan subsidi oleh kerajaan. "Lepas itu dia kata nak saman kita, tapi surat saman belum sampai lagi. "Sebab tu saya kata dia tak berani penjara Anwar. "Tapi kalau Anwar dipenjarakan, ratus ribu akan turun ke jalan raya!," katanya. 10.35pm: MB Selangor Azmin Ali menggesa penyokong Anwar yang beragama Islam menunaikan solat hajat untuk memohon pembebasan Anwar. "Yang beragama Islam, malam ini bangun solat hajat mohon Anwar dibebaskan," kata Azmin. 10.40pm: Sasterawan Negara Pak Samad mendeklamasi sebuah puisi berjudul 'Malam Anwar', khas buat ketua pembangkang itu. Beliau menyeru orang ramai kumpul ramai-ramai esok dengan keazaman yang kuat seperti besi. 10.50pm: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memuji keberanian Anwar menghadapi perbicaraan esok walaupun beliau bukanlah seorang yang sempurna. "Saudara Anwar kita boleh kritik dia. Kita boleh puji dia. "Tapi satu perkara kita tak boleh buat, Datuk Seri Anwar seorang yang berani," kata Mohamad Sabu. | |||
Semua boleh bagi pandangan, bukan ikut telunjuk Posted: 09 Feb 2015 07:07 AM PST SINAR HARIAN KLUANG - Perbezaan pendapat antara anggota Umno adalah sesuatu yang sihat dalam parti dan boleh mencetuskan pelbagai idea dan pandangan berhubung sesuatu isu. Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno merupakan parti komponen BN yang tidak menghalang pelbagai pandangan, jadi semua pihak boleh memberi pandangan mereka sendiri. "Lagipun, Umno bukanlah sebuah parti yang mengikut telunjuk dalam semua perkara," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kepada pemberita selepas merasmikan majlis ceramah, 'IKWAS Executive Talk' anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam, di kampus Wilayah Selatan di sini hari ini. Nur Jazlan mengulas keterbukaan beliau mengkritik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataannya mahukan pengguna memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan. Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, teguran kepada Ismail Sabri dibuat kerana ingin menjaga keharmonian Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. "Kita hidup dalam keadaan majmuk, dan jangan bercakap main lepas. Kenalah juga terima hakikat yang peniaga ini memang ada sebahagiannya dah pun turunkan harga," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Pada 1 Februari lalu, status yang dimuat naik Ismail Sabri dalam laman Facebooknya menggesa pengguna menggunakan kuasa memboikot peniaga yang menjalankan pernigaan secara tamak hingga enggan menurunkan harga barangan walaupun harga bahan api sudah turun. Gesaan beliau mencetuskan reaksi kurang senang pihak tertentu. Bagaimanapun, menteri itu kemudian menjelaskan bahawa kenyataannya itu bertujuan meminta rakyat menggunakan kuasa pengguna bagi menekan peniaga agar menurunkan harga barang. Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada industri komoditi seperti kelapa sawit, minyak dan getah untuk menjana pendapatan dan ekonomi pada masa mendatang. Ini kerana industri komoditi seringkali terjejas dengan harga jualan dunia. Kira-kira 10 tahun lalu, kata beliau, negara hanya bergantung sebanyak 15 peratus kepada industri komoditi untuk menjana pendapatan tetapi hari ini ia telah bertambah kepada 30 peratus. "Pada masa depan, Malaysia perlu pula menumpukan usaha untuk membangunkan industri kreatif seperti bio-sains. "Industri pembuatan kita tidak banyak menghasilkan nilai tambah ekonomi kerana hanya berasaskan konsep pasang siap," kata beliau. - Bernama | |||
MH370: Isteri boleh dapat nafkah harta sepencarian Posted: 09 Feb 2015 07:04 AM PST SINAR HARIAN PUTRAJAYA - Isteri mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang beragama Islam boleh mendapatkan nafkah daripada harta mangsa untuk menyara kehidupan. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Ibrahim Lembut berkata, untuk tujuan itu, isteri mangsa tidak perlu menunggu sehingga empat tahun untuk mendapatkan kepastian daripada mahkamah mengenai status perkahwinan mereka dan menuntut harta sepencarian. "Isteri boleh mendapatkan nafkah daripada harta yang ditinggalkan suami mengikut 'uruf' (adat kebiasaan) iaitu perbelanjaan biasa bagi meneruskan kehidupan seharian tetapi tidak boleh diambil sewenang-wenangnya," katanya. Beliau yang juga Ketua Hakim Syarie berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Keadilan Republik Gambia, Mama Fatimah Singhateh di sini hari ini. Sebelum ini, dilaporkan status perkahwinan bagi mangsa pesawat MH370 yang beragama Islam tidak terbubar dan sebarang tuntutan ke atas harta pusaka tidak boleh dibuat walaupun kerajaan mengisytiharkan semua penumpang pesawat malang itu terkorban. Ibrahim berkata, dalam hal tersebut, undang-undang Syariah dan Sivil perlu disebut bersekali iaitu tempoh empat tahun ditetapkan untuk menentukan status perkahwinan dan tempoh tujuh tahun untuk tuntutan harta di bawah undang-undang sivil. "Tempoh empat tahun itu dibuat untuk menjaga kemaslahatan sekiranya dia (mangsa) masih hidup dan kembali (ke pangkuan keluarga), tetapi Islam memudahkan jika isteri ingin berkahwin lain, dia boleh ke mahkamah untuk minta taklik atau fasakh dan jika perlu menuntut harta sepencarian," jelasnya. Menurutnya, status perkahwinan akan terbubar jika terdapat sebarang bukti ditemui seperti serpihan pesawat. Sementara itu, waris juga boleh merujuk atau membuat permohonan kepada mahkamah syariah untuk menuntut separuh daripada harta peninggalan mangsa MH370 dan mendapatkan sebahagian lagi selepas tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang. Pada 29 Januari lepas, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan pesawat MAS Penerbangan MH370 yang hilang, secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban. Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas. - Bernama | |||
Liwat II: Terima apa saja keputusan mahkamah Posted: 09 Feb 2015 07:02 AM PST SINAR HARIAN Dr Mahathir BANGI - Semua pihak perlu menerima keputusan Mahkamah Persekutuan esok berhubung rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabit Mahkamah Rayuan atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana negara ini ditadbir mengikut undang-undang dan semua pihak perlu menerimanya. "Negara ini ditadbir oleh undang-undang. Biarlah sistem perundangan yang menentukannya. Saya tidak ada apa-apa ulasan tentang perkara ini. Apa jua yang mereka putuskan, kita perlu terima," katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung sebarang kemungkinan melibatkan keputusan rayuan ketua pembangkang itu, di sini hari ini. Beliau berkata, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan, tanpa mengira pangkat dan kedudukan, perlu menerima hukuman sekiranya bersalah. "Tidak bermakna apabila anda seorang pemimpin besar, anda lakukan jenayah, anda tidak boleh dihukum. Kita semua sama di sisi undang-undang. Jika anda melakukan sesuatu kesalahan, anda perlu dihukum dengan cara yang sama," katanya. Kepada orang ramai yang mengikuti perkembangan kes Anwar, Dr Mahathir berkata, mereka juga perlu menerima sebarang keputusan yang ditetapkan. "Jadi kalau mahkamah berpendapat dia tak salah kita terima sajalah," katanya. Esok, Anwar yang disabitkan oleh Mahkamah Rayuan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, akan tahu sama ada beliau akan meringkuk di tirai besi atau bebas. Ini akan terjawab apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggu berhubung rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya itu, tujuh tahun lepas. Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama | |||
QZ8501: Mayat penumpang tunggal Malaysia ditemui Posted: 09 Feb 2015 06:52 AM PST SINAR HARIAN JAKARTA - Mayat Sii Chung Huei, rakyat Malaysia tunggal yang terbabit dalam insiden AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang terhempas pada 28 Disember tahun lepas, telahpun ditemui dan dikenal pasti oleh pihak berkuasa Indonesia. Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, mayat Sii ditemui beberapa hari lepas namun hanya disahkan hari ini setelah pihak berkuasa menjalankan ujian DNA pagi tadi di Hospital Bhayangkara, Surabaya. "Pihak Kedutaan Malaysia di sini akan menguruskan dan menyerahkan jasad Sii kepada warisnya di Surabaya esok sebelum menguruskan penerbangan ihsan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia untuk membawa mayat itu ke Sarawak pada Rabu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Zahrain berkata, beliau sendiri akan menemui waris Sii yang telah lama menunggu dan berada di Surabaya dan seorang pegawai kedutaan akan dihantar untuk mengiringi jasad Sii sehingga ke Sarawak. Sii, 56, ahli perniagaan berasal dari Kuching dan berpangkalan di Jakarta, berada di dalam pesawat malang yang terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura pada pagi 28 Disember lepas. Pesawat itu membawa 162 orang dan setakat ini sebanyak 100 mayat ditemui dan pihak berkuasa juga telah menemui kotak hitam pesawat itu dua minggu lepas. Operasi mencari mayat masih diteruskan oleh Badan SAR Nasional. - Bernama | |||
Kepincangan pertahanan negara di mata Mejar Zaidi Posted: 08 Feb 2015 08:34 PM PST BERSEMUKA mendengar luahan isi hati Mejar Zaidi Ahmad, 45, tentang cabaran pertahanan negara bagai menjawab apa dorongan utama penyebab juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini tampil mendedahkan kepincangan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) lalu. Ikuti pengalaman Mejar Zaidi serta situasi mutakhir dirinya selepas dihukum diberhentikan kerja dalam wawancara eksklusif beliau bersama Ketua Pengarang Harakah,AHMAD LUTFI OTHMAN dan wartawan, ARIF ATAN di kediaman beliau di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang WARTAWAN: Bagaimana status dan tindakan tuan selanjutnya selepas keputusan Mahkamah Tentera pada 12 Januari lalu? MEJAR ZAIDI AHMAD: Pihak peguam, Hanipa Maidin buat kesimpulan bahawa panel hakim berat sebelah. Jadi, kita buat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Sepatutnya kalau ikut prosedur, Mahkamah Tentera perlu tangguh keputusan. Semakan kehakiman telah ditetapkan bulan depan. Sebabnya, Mahkamah Tentera juga tertakluk pada Mahkamah Sivil. Jadi, apa mampu saya buat setakat ini, kita hanya tunggu keputusan 5 Februari nanti. Saya mahu bersihkan nama saya sebelum tindakan selanjutnya seperti saman akan dilakukan. Buat masa ini, secara rasmi kalau diikutkan, saya belum diberhentikan tetapi saya diarah buat persiapan untuk berhenti. Ada borang-borang perlu diisi, hantar dokumen tertentu. Kalau diikutkan hukuman yang dikenakan dibuang kerja daripada perkhidmatan patutnya pencen dan faedah lain dapat cuma jumlahnya akan ditentukan pihak atasan. Saya difahamkan ada kes sebelum ini pegawai tentera yang diberhentikan kerana masalah disiplin, jumlah pencen diperolehnya dikurangkan. Saya berkhidmat dalam tentera sudah 26 tahun. Kami selepas 21 tahun boleh mohon untuk bersara awal tapi dah jadi begini. Saya memang berhasrat untuk pencen pada 2013 tapi saya sebagai jurulatih ada dua orang pelatih baru yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Cadangnya tahun 2014 nak submit permohonan untuk bersara awal. Tugas sebagai jurulatih jet pejuang TUDM? Tujuan utama kami di TUDM tentunya mempertahankan negara daripada serangan musuh. Kalau ada pesawat musuh ceroboh, kita mesti bersedia untuk memintas cuma masa negara aman ini kita biasa memantau pesawat Singapura di selatan tanahair. Mereka boleh lalu sebab itu laluan antarabangsa tapi dekat dengan pusat latihan kita. Mereka tak masuk kawasan Malaysia tapi kita mesti bersiapsiaga. Ikut pergerakan mereka sampai mereka keluar. Tugas kita di Selat Melaka tidak kritikal sangat tapi di Laut China Selatan pergerakan sukar dijangka, kawasan luas. Singapura ini banyak aset tapi kawasan tiada. Kita pantau pesawat Singapura selain daripada itu kita buat latihan-latihan tertentu. Setiap tahun ada latihan peperangan. Ada juga latihan dengan negara luar. Selain daripada itu, kita buat latihan biasa, sesama kita termasuk melatih juruterbang baru. Boleh tuan ceritakan sedikit tentang pengalaman sepanjang 25 tahun berkhidmat? Dulu masa di pusat latihan, baru belajar bawa pesawat ada juga kami buat pelik-pelik. Biasalah masa itu kita muda, nak buat macam-macam. Kadang-kadang jurulatih tak buat sebab berisiko, tapi kita buat. Pernah berlaku situasi mencemaskan tetapi kita berjaya recover balik pesawat naik ke atas. Kebanyakan jet TUDM ini ada dua enjin, jadi kalau salah satunya padam, kecemasan tapi satu enjin pun masih boleh terbang. Tapi pesawat F5E ini selalunya selepas diselenggara masa test itu selalunya satu enjin padam, kita balik satu enjinlah. Berdepan musuh belum lagi sebab setakat ini negara kita tidak perang lagi. Paling tak dapat dilupakan, misi di Bosnia selama lapan bulan pada tahun 1995. Malaysia antara negara yang menghantar pasukannya untuk misi pengaman. Lebih kurang satu batalion atau 1,000 tentera tapi TUDM dihantar dalam empat orang saja. Kami ini sebagai controller, tidak bawa kapal terbang tapi kita pergi untuk controller pesawat Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara). Kita dilatih oleh pihak Nato dan dibekalkan radio. Kalau ada kecemasan, kita akan panggil Nato datang. Memang kita di Bosnia, perang antara dua pihak berlawan berlaku atas kepala. Tembak, bom. Serbia tembak 10 kali, pihak Islam balas sekali. Pihak Islam biasanya kurang senjata. Tembakan pula kadang-kadang jatuh dekat kem kita. Masa itu boleh nampak pasukan Bosnia nak pergi perang, dengar taklimat. Saya anggota Malbatt (Batalion Malaysia) ketiga. Setiap pasukan bertugas selama enam bulan. Habis enam bulan, bertukar yang baru. Masa saya bertugas itu kira kemuncak perang. Pihak Nato buat serangan terhadap pihak Serbia. Nampak jet-jet mereka menggugurkan bom di depan mata. Kawasan simpanan senjata yang dibom, letupan silih berganti. Serbia tembak missile pada Amerika, pilot mengelak. Jadi, memang tengok perang live. Kadang-kadang ada peluru sesat kena khemah berlubang tapi masa saya itu, tiada korban jiwa. Kalau ada pun di pihak tentera pemerhati. Ada juga pasukan Malaysia jadi pemerhati. Mereka ini lebih lagi dalam bahaya. Setiap dua bulan, kami perlu ke Itali. Seminggu mereka nak test skill kita control termasuklah 4, 5 orang pelbagai negara seperti dari Sepanyol dan Pakistan. Lucunya, saya ingat orang dari Asia ini lemah bahasa Inggeris tapi ruparupanya yang paling bermasalah cakap orang putih ini, orang Perancis. Bagaimana tuan ada keberanian untuk buat laporan polis sekali gus muncul sebagai satusatunya pegawai tentera yang membongkar realiti dakwat kekal itu sebenarnya tidak kekal? Masa PRU13 lepas, kerajaan umumkan penambahbaikan pilihan raya dan itu memang lama kita sebagai rakyat nantikan. Masa PRU12, kita mengundi selain kertas undi, ada satu borang ini kena tulis nama, nombor kita, tandatangan dan kepil sekali dengan kertas undi baru masuk dalam peti undi. Memang melucukan PRU12 tahun 2008 dulu. Tapi tiba PRU13, itu semua tidak ada. Memang nampak berbeza dengan sebelum ini. Kita puas hati, seronoklah dengan penambahbaikan yang digembargemburkan. Tiba-tiba pada hari mengundi tengok di internet orang kecoh cerita tentang dakwat di jari tidak kekal. Rasa ingin tahu, saya cuci jari yang dicelup dakwat itu. Memang bukan terus hilang tapi selepas sejam begitu, gosok dengan gosok periuk, habis hilang dakwat. Bersih sebersih-bersihnya. Kita rasa tertipu. Adakah ini kesilapan teknikal? Kita tunggu juga apa isu sebenarnya. Hairannya, tidak ada pula sebarang pengumuman untuk anggota-anggota bagi maklum balas tentang keberkesanan dakwat kekal. Tidak ada langsung taklimat sebut hal ini. Jadi tiada saluran untuk kita hendak beritahu, dakwat padam dan nak hubungi siapa. Di internet banyak orang komplen dan saya jangka akan ada pihak kerajaan mohon maaf pada penjawat awam tapi malam itu di TV diisytiharkan kononnya penggunaan dakwat itu berjaya kerana tidak ada aduan. Jadi, kita rasa tercabar. Saya nak buat aduan tapi tak tahu nak buat aduan pada siapa tetapi tiba-tiba Pengerusi SPR kata dakwat itu kekal kerana tiada aduan. Jadi, saya malam itu saya berfikir panjang, hal ini bukan perkara kecil. melibatkan pemilihan pemimpin negara. Jadi tak tahulah tempat saya saja tak betul (dakwat). Jadi untuk nak tahu sama ada saya seorang saja atau orang lain pun mengalami situasi sama, saya SMS pada kawan-kawan lain. Siapa yang alami macam saya, esok pagi kita buat laporan polis dakwat tanggal. Buat laporan, siapa yang tinggal sekitar Kepala Batas, jom sertai sama (buat laporan polis). Pagi esoknya, ada 4, 5 orang tapi yang buat laporan saya dan anggota saya, Sarjan Jamal dan isteri saya. Yang lain tak berani, kebetulan mereka dalam proses nak berhenti. Mereka berani datang tapi tak jadi nak buat laporan mungkin takut pencen terjejas dan sebagainya. Tak mengapa, saya faham. Jadi, yang buat laporan hanya tiga orang. Sarjan Jamal pun beberapa hari lepas dikenakan tindakan iaitu diturunkan pangkat satu anak tangga. Pendakwaan ke atas beliau dibicarakan terus di peringkat dalaman. Mustahil tuan tidak fikir risiko dari segi perkhidmatan sebagai pegawai tentera. Apa dorongan utama untuk tuan tampil ke depan? Risiko memang saya dah duga. Ini melibatkan hal besar, pemilihan kepimpinan negara dan keduanya sebagai seorang beragama Islam, kita kena amanah. Hal ini melibatkan penggunaan wang rakyat. Kita sudah diberitahu dakwat patutnya kekal tapi kita sudah alami sendiri dakwat itu tidak kekal. Pada hal gaji penjawat awam datangnya daripada rakyat. Dalam tentera, walaupun saya dikatakan melanggar disiplin tentera dan Pengerusi Panel Hakim Mahkamah Tentera pun sendiri sebut Ikrar Kesatria, yang pertama ialah beriman kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya tapi saya rasa saya sudah cuba untuk menepati ikrar pertama itu sebab bagi saya, orang yang beriman dan bertakwa kena cakap benar sekalipun pahit. Saya juga yakin saya setia pada negara. Dalam tentera pun, selalu ditekankan integriti, kena benar dalam semua keadaan, tidak menyeleweng. Tapi saya faham dalam kes ini melibatkan politik, kita boleh agak apa tindakan akan dikenakan. Insya-Allah kita buat yang betul, ada hikmah di sebaliknya. Islam didik kita dengan rezeki diberi Allah. Tak dapat dalam bidang ini, insya-Allah dalam bidang lain. Mungkin rezeki saya bukan lagi dalam tentera. Apa perancangan tuan seterusnya sebab tuan sudah bermula dengan satu keputusan yang besar? Bila diberhentikan, tugas saya yang utama kini menyedarkan anggota masyarakat kita tentang aspek pertahanan dan ketenteraan terutama dari segi persediaan negara khususnya ATM dalam menghadapi peperangan. Saya juga mahu bantu Pakatan Rakyat. Saya telah dizalimi oleh sistem di bawah rejim sedia ada. Harapan saya lebih kepada Pakatan Rakyat untuk menguasai dan membetulkan kepincangan dan ketidakadilan yang berlaku. Masyarakat mesti sedar untuk kita semua beri desakan kepada pihak pemerintah. Kalau rakyat sendiri lantang menyuarakan keperluan kualiti pertahanan dan kelengkapan militari negara ini, kerajaan akhirnya akan akur pada tuntutan rakyat. Penguasa politik mesti dengar demand masyarakat atau hayat politik mereka akan berakhir. Kena sampai tahap masyarakat faham akan keperluan aset kritikal tersebut kepada negara bukan menganggap "pandai-pandai kerajaanlah nak beli senjata apa." Apa yang kita tiada dan paling kritikal sekarang ialah pesawat Aewacs yang merujuk pada Airborne Early-Warning and Control System. Saya juga dalam perancangan untuk tulis buku tentang hal ini. Kalau kita sebut pesawat Aewacs misalnya, ramai orang awam hanya tahu 'awek' (ketawa) padahal pesawat ini begitu penting sebab ada radar di atas dan di belakangnya. Tapi Singapura sudah lama ada Aewacs. Ya. Singapura boleh beli Aewacs sejak tahun 80-an lagi, pada hal kita dah masuk tahun baru 2015, masih tiada lagi aset kritikal yang penting ini. Itu dari segi keperluan tentera udara. Macam tentera laut pun sama. Aset maritim bukan setakat kapal saja, mereka juga perlukan pesawat udara untuk mengesan kapal musuh. Tentera darat pun ada senjata pertahanan pangkalan macam meriam yang boleh digerakkan sebab sekarang ini kalau meriam, artileri kalau tembak, dalam masa beberapa saat sahaja kalau ada artillery locating radar, tembak sebiji, beberapa saat selepas itu musuh sudah tahu secara tepat lokasi kita di mana. Kalau kita tidak bergerak, dalam masa singkat saja serangan balas dari musuh datang. Jadi, perlunya, artileri yang boleh bergerak sendiri. Lepas tembak 'lari' tempat lain. Setakat ini Malaysia tiada, sekarang ini yang kita ada jenis tarik dengan trak. Kena pasang, ambil masa. Lepas tembak kena ubah kedudukan. Lambat. Pertahanan kita ini ada lagi benda-benda yang aset kritikal yang masih belum dimiliki. Saya rasa sepatutnya kita miliki supaya kita jadi tentera disegani dan sentiasa bersiap-siaga dengan kelengkapan yang sewajarnya. Aset tentera sudah jadi lubuk kepada rasuah seperti kerap didedahkan Laporan Ketua Audit Negara. Kontroversi di sebalik urusan pembelian Scorpene, misalnya. Ramai pertikaikan bahawa Razak Baginda melalui Perimekar itu dibayar rasuah tapi dia kata komisen RM500 juta tapi kerajaan kata untuk kerja-kerja support termasuk peranan orang tengah antara Perancis dan Malaysia. Soalnya, kerajaan gagal menjawab persoalan rakyat. Perlukah dana begitu banyak, sedangkan tentera ada orang yang berkelayakan. Mereka boleh buat sendiri, kenapa perlu pihak ketiga seperti Razak Baginda yang bukan ada latar belakang ketenteraan dalam mana-mana cabang sama ada udara, laut mahupun darat. Bagaimana dia boleh jadi lead untuk projek dapatkan Scorpene itu? Kebetulan pula dia memang rakan PM. Inilah yang menimbulkan tanda tanya kalangan orang awam. Secara rasmi komisen tapi dari segi pemerhatian dan tafsiran itu tak kena. Tentera semua serbaserbi lengkap. Kalau nak cari penterjemah tak payah cari sampai Mongolia, ada tentera kita yang pakar bertahun-tahun duduk di Perancis cakap Perancis macam air (fasih). Setiap tahun ada pegawai tentera dihantar belajar ke sana (Perancis) pun ada belajar bahasa untuk penterjemahan. Ada yang duduk di kedutaan. Mereka fasih cakap Perancis. Mengapa sampai perlu ambil orang Mongolia untuk jadi penterjemah? Apa isu pertahanan paling kritikal di negara kita? Bagi saya dan pastinya ramai anggota tentera yang cintakan tanah air ini, peluasan kuasa negara China sekarang ini menjadi ancaman kepada rantau Asia Tenggara. China telah isytihar Laut China Selatan ini miliknya yang kemudiannya sudah dimasukkan dalam peta rasmi negara mereka. Hanya beberapa negara membantah seperti Filipina dan Vietnam. Malaysia membisu tak bantah. Ini tidak patut berlaku. China juga claim satu beting dipanggil Beting Serupai di perairan Sarawak sebagai miliknya. Kalau China kuatkuasa tuntutannya ke atas Laut China Selatan, habis telaga minyak kita jadi milik republik itu. Isu ini pernah juga akhbar The Star siarkan satu rencana oleh penulis dari Singapura yang menyokong tuntutan China ke atas Beting Serupai. Hairannya, macam mana akhbar Malaysia boleh menyokong tindakan China yang cuba merampas hak kedaulatan perairan negara kita? Setakat ini tiada pula laporan polis dibuat. Pihak kerajaan patut peka ancaman kritikal ini. | |||
Dr Mohd Hatta Bin Ramli yang ku kenali .. Posted: 08 Feb 2015 08:28 PM PST Salam perjuangan dan salam persahabatan buat semua, 1. Hari ini YB Haji Dr Mohd Hatta Bin Ramli digesa meletakkan jawatan atas tuduhan yang tertentu. 2. Saya amat bersimpati dengan tuduhan yang amat berat ini. 3. Pada tahun 2000 hingga 2004. Saya adalah pembantu beliau. Beliau yang saya kenali adalah seorang Dr yang meninggalkan jawatan sebagai Dr menjadi petugas sepenuh masa parti di Pusat Penyelidikan PAS di zaman arwah Almarhum Dato Fadzhil Noor. Elaunnya, kenderaanya, kehidupannya serba sederhana. PAS di saat itu hanya terdiri dari golongan ulama sebahagian besarnya. Pendekatan arwah Ust Fadhil dan pimpinan parti memikat beliau utk bersama PAS. 4. Pada saya, Dr Hatta adalah Seorang anak yang amat mengasihi bondanya dan penyayang pada keluarganya. Walaupun bukan berlatarbelakang ulama dan agama. Cintanya pada perjuangan sehingga pernah merengkok di penjara, naik turun mahkamah atas demonstrasi isu isu kemanusiaan. Sikap penyayang ini merentasi agama, negara dan budaya. Prinsipnya sentiasa menggalakkan dialog, mesra, bertindak atas realiti banyak memaut sokongan pelbagai budaya kepada parti ini. Kesederhanaan pendekatan, cermat dalam tindakannya menampilkan parti ini setanding dgn parti parti lain di negara ini. Sahabat sahabat semua, beristighfarlah. " Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu golongan sehingga kamu tidak berlaku ADIL. Berlaku Adillah. Sesungguhnya ADIL itu amat hampir dengan Ketaqwaan." (*) Borhanuddin Ahmad, Pegawai Penyelidik PPP. 2000 hingga 2004. Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan | |||
Lapan Pegawai Imigresen Sabah Jual Pas Lawatan Ditahan Posted: 08 Feb 2015 08:14 PM PST Mereka yang ditahan adalah dari pejabat imigresen di Sandakan, Kota Kinabalu dan Lahad Datu. Seorang jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya menahan dua pegawai kanan imigresen, yang merupakan timbalan penolong pengarah dan lima lagi pegawai imigresen Sabah yang dipercayai terlibat dalam sindiket, pada 2 Februari lalu. "Kita menahan ramai lagi pegawai pada 6 Februari lalu. Kesemua mereka direman sehingga minggu depan. "Mereka telah pun beroperasi selama beberapa tahun," katanya sambil menambah para pegawai berkenaan memperoleh jutaan ringgit hasil penjualan tersebut. Selain itu, jurucakap berkenaan berkata, sepuluh warga Pakistan turut ditahan, termasuk seorang individu yang menjadi orang tengah kepada pegawai imigresen dan warga asing. Suspek menjual pas tersebut pada harga antara RM5,000 dan RM7,500 setiap satu bergantung kepada tempoh lawatan untuk warga Pakistan. Suruhanjaya itu kini memperluaskan gerakannya dan menjalankan siasatan ke atas pegawai-pegawai lain di negeri itu. "Dijangka lebih ramai akan ditahan tidak lama lagi," kata jurucakap itu. Berikutan penahanan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, tiada kompromi terhadap integriti di kalangan pegawai kerajaan. Beliau turut berkata, kerajaan negeri berharap supaya tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat. Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara tersebut. | |||
Chong Wei : Lebih Ramai akan Tinggalkan BAM Posted: 08 Feb 2015 08:06 PM PST RAKYATNEWS KUALA LUMPUR - Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendakwa ada beberapa pemain lagi yang mungkin akan membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Pemain berusia 32 tahun itu berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan dua pemain beregu utama, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah yang menghantar surat untuk keluar daripada skuad negara Rabu lalu. "Telah ramai pemain yang keluar, mungkin pihak pengurusan (BAM) ada masalah tetapi saya rasa pemain-pemain ini sahaja yang tahu. "Sebelum ini pemain perseorangan wanita, Yang Li Lian yang keluar, kemudian Thien How dan Khim Wah, saya rasa mungkin ada ramai pemain yang beratur lagi untuk menghantar surat berhenti. "Saya ada dengar juga tetapi saya tidak tahu kebenarannya. Bagi saya pula, saya akan menunggu dan cuba bersabar sehingga proses pendengaran panel doping selesai sebelum membuat apa-apa keputusan," kata Chong Wei ketika ditemui pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. Walaupun Chong Wei mengakui, BAM telah membuat keputusan yang positif dengan menaikkan elaun para pemain, namun dia percaya pemain yang mengambil keputusan meninggal badan induk itu turut terpengaruh dengan masalah lain. "Saya harap keputusan untuk menaikkan elaun pemain akan menjadi berita yang bagus untuk semua pemain di sini tetapi pemain-pemain juga ada sebab lain. "Kalau baru berusia 20 tahun mereka mendapat elaun RM1,500 mungkin ada yang rasa tidak mampu untuk meneruskan hidup di Kuala Lumpur, jadi apabila mereka mendapat tawaran lebih besar daripada kelab-kelab di luar mungkin mereka akan tinggalkan BAM," ujarnya. Dalam pada itu, ditanya mengenai kesabarannya menunggu bahan bukti bagi proses pendengaran panel doping Persatuan Badminton Dunia (BWF) yang dijangka siap selewat-lewatnya pada Mac ini, Chong Wei berkata, dia mungkin tidak boleh bersabar jika terpaksa menunggu terlalu lama. "Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini kerana BAM dan Institut Sukan Negara (ISN) yang membuat keputusan, saya tidak mendapat maklumat mengapa ia masih ditunda. "Saya pun tidak boleh buat apa-apa hanya boleh menunggu. Saya hanya boleh bersabar tetapi tengoklah sampai bila, kalau saya tidak boleh bersabar lagi saya mungkin akan buat keputusan untuk berhenti," kata Chong Wei. Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas diuji positif menggunakan bahan terlarang, dexamethasone ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di Denmark Ogos tahun lalu. | |||
Tuduh DAP ‘bapak rasis’, Ismail Sabri disaran segera mohon maaf Posted: 08 Feb 2015 08:03 PM PST Roketkini.com SEREMBAN: Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong mendesak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri agar segera memohon maaf terhadap tuduhan tidak berasasnya bahawa DAP 'bapak rasis di Malaysia'. Beliau berkata, tuduhan itu sama sekali tidak masuk akal sedangkan Ismail sendiri yang menyarankan orang Melayu supaya memboikot peniaga Cina mengenai isu harga. "DAP mempertahankan hak semua pengguna di Malaysia melawan 'musuh bersama' iaitu harga barang yang melambung tinggi dan saya tidak memahami bagaimana Ismail boleh memutarbelitkan pandangan ini dan menuduh kami rasis. "Ismail perlu meminta maaf terhadap kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Pada 7 Februari lalu, seperti dilaporkan The Malaysian Insider, Ismail telah menyalahkan DAP berhubung kenaikan harga barang. Dalam sebuah program di Pasar Tani Taman Melawati itu, Ismail mendakwa DAP dan parti pembangkang lain sengaja memanipulasi rakyat serta mengambil kesempatan untuk menentang kerajaan berhubung harga barang. Beliau turut melemparkan tuduhan bahawa DAP adalah 'bapak rasis di Malaysia' dan bukannya UMNO-BN. Mengecam kenyataan itu, Teo yang juga Ketua Pemuda DAP (DAPSY) menegaskan, ia sudah menjadi kewajipan DAP sebagai parti pembangkan untuk bertindak memainkan peranan 'check and balance' terhadap dasar-dasar mahupun program-program kerajaan. "Apabila kami mengkritik berhubung atas kos sara hidup yang meningkat, kami tentunya menjangkakan kerajaan untuk menggunakan kuasanya mengurangkan harga komoditi agar ia dapat meringankan beban rakyat. "Sebagai contoh, kami menjangkakan kerajaan untuk menurunkan tarif elektrik supaya ia dapat mengurangkan kos pengeluaran komoditi asas dan utiliti, berikutan TNB telah meraih keuntungan besar akibat kejatuhan harga minyak dunia. "Tapi, kami tidak pernah menjangkakan Ismail telah menjadikan isu ini sebagai isu perkauman. Boikot terhadap peniaga-peniaga Cina adalah tidak adil sama sekali dan jelas berbaur hasutan perkauman," tegasnya. Teo juga menggesa Ismail agar turut memohon maaf kepada komuniti masyarakat Cina berhubung hasutan perkaumannya baru-baru ini. -Roketkini.com | |||
Mat Sabu, Husam enggan ulas isu jatuhkan Hadi Posted: 08 Feb 2015 08:01 PM PST Mohamad Sabu KUALA LUMPUR - Dua pemimpin tertinggi Pas yang dikaitkan sebagai dalang bagi menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengelak daripada menjawab mengenai dakwaan tersebut. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang ditemui selepas Mesyuarat Pimpinan PR hari ini hanya menjawab tiada komen ketika diajukan soalan mengenai konspirasi itu. Manakala, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula turut mengelak daripada ditemubual media. Kedua-dua mereka merupakan antara nama yang didakwa oleh Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim mendalangi komplot bagi menguasai Pas Pusat serta menjatuhkan Abdul Hadi. Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, mesyuarat Pas Pusat yang turut berlangsung semalam tidak membincangkan mengenai dakwaan komplot tersebut. "Kita tidak pernah bincang secara rasmi mengenainya. Tidak ada siapa dalam kalangan pimpinan tertinggi nak jatuhkan Presiden," katanya. | |||
Lari bertempiaran dengar bunyi tembakan Posted: 08 Feb 2015 07:57 PM PST Gambar hiasan. KOTA BHARU - Orang ramai cemas selepas dikejutkan dengan bunyi tembakan berhampiran Restoren Hayaki di Jalan Kebun Sultan di sini, pagi tadi. Dipercayai dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Alza melepaskan tembakan ke arah kereta pemilik restoran berkenaan. Walau bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Saksi kejadian yang juga merupakan pekerja kedai terbabit, Mohd Nazrul Shamri Mohd Rafiq berkata, semasa sedang memasak di dapur, dia melihat ada sekumpulan lelaki berkumpul di belakang kedai. "Salah seorang dari kumpulan itu angkat pistol dan disebabkan itu ada yang lari bertempiaran. "Saya dengar bunyi tiga das tembakan dilepaskan dan kesemua yang berkumpul masing-masing menaiki kereta dan meninggalkan lokasi kejadian,"katanya. | |||
DAP komited bersama Pakatan, isu hudud dan pilihanraya PBT ke mesyuarat khas Posted: 08 Feb 2015 04:50 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat (MPR) hari ini mengulangi komitmen untuk terus bersama dalam gabungan pakatan berasaskan dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat. "Pakatan Rakyat hari ini sekali lagi mengulang komitmen untuk terus bersama dalam satu gabungan. "Tentang isu Enakmen Hudud Kelantan dan Pilihanraya PBT, mesyuarat khas akan disusuli selepas ini," kata Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini. Hadir sama, Ketua Parlimen DAP LIm Kit Siang, Presiden PKR Datuk Ser Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. Setelah empat bulan tidak bermesyuarat, Pakatan Rakyat hari ini duduk semeja difahamkan bagi membincangkan pelbagai isu termasuk keputusan perbicaraan Anwar, cadangan enakmen hudud Kelantan dan pilihanraya PBT. Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti-parti komponen Pakatan Rakyat akan terus bersama sebagai sebuah pakatan, walau apa pun keputusan perbicaraaan kes Fitnah 2 ke atas Anwar.. "Walaupun menjelang perbicaraan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang berkemungkinan dipenjarakan. Pembangkang akan terus bersama dalam gabungan Pakatan Rakyat," kata Guan Eng. Sementara itu, ketika ditanya mengenai tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan isu enakmen hudud dan pilihanraya PBT, Anwar berkata perkara tersebut akan dimaklumkan selepas tarikhnya ditetapkan. "Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas akan datang," kata Anwar. – Roketkini.com | |||
Sepahtu Umum Tidak Bertanding MLM Musim Depan Posted: 08 Feb 2015 04:46 PM PST RAKYATNEWS Sepahtu telah membuat kejutan kepada para peminat mereka apabila mengumumkan untuk tidak bertanding di pentas Maharaja Lawak Mega musim akan datang. Kumpulan yang terdiri dari Jep dan Shuib mengambil keputusan tersebut apabila mengakui agak letih menyertai pentas Maharaja Lawak Mega 2 musim berturut-turut. Mereka juga ingin membuka laluan kepada pendatang baharu dalam dunia komedi untuk merasakan sendiri pengalaman dalam pertandingan berprestij itu. Sepahtu menjuarai MLM2013 apabila menewaskan Shiro pada musim lalau dan menduduki tempat kedua, tewas kepada kumpulan Zero pada musim kali ini. Sebelum ini, Nabil mengumumkan telah bersara dari arena pentas Maharaja Lawak Mega. | |||
Shabery Kecam Iklan Hina Pekerja Indonesia Posted: 08 Feb 2015 04:40 PM PST RAKYATNEWS BATAM - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kesal dengan iklan sebuah syarikat penjual mesin pembersih hampagas, yang merendah-rendahkan pekerja rakyat Indonesia. Katanya, iklan itu amat tidak bertanggungjawab serta disifatkan sebagai berbaur perkauman dan berunsur menyindir. "lklan yang merendah-rendahkan martabat orang lain sebenarnya tidak melambangkan ciri-ciri rakyat Malaysia. "Produk iklan itu harus diboikot kerana mempunyai cita rasa yang rendah. "Saya berasa kesal dan sedih. Ia tidak sepatutnya berlaku...iklan itu patut dikecam oleh semua pihak. Ia bernilai rendah dan bukan iklan yang mempunyai cita rasa terbaik," katanya kepada wartawan di sini. Beliau mengulas iklan mesin pembersih hampagas keluaran syarikat itu yang tertulis "Fire Your Indonesian Maid Now" (Pecat Pembantu Rumah Indonesia Anda Sekarang). Ahmad Shabery berkata, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, mana-mana pihakpun tidak boleh menyindir dan merendahkan maruah orang lain sama ada rakyat negara sendiri mahupun negara jiran seperti Indonesia. Beliau berkata, lebih menyedihkan dan memalukan ialah iklan seumpama itu tersebar luas menjelang kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia minggu lepas. Iklan itu mendapat bantahan dan kritikan banyak pihak dalam laman sosial manakala Kedutaan Indonesia di Malaysia juga menghantar nota bantahan kepada syarikat berkenaan. Terdahulu, Ahmad Shabery menghadiri Forum Ketua-Ketua Pengarang Media Massa Indonesia-Malaysia dan beberapa negara ASEAN anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) di sini, Ahad. Turut hadir ialah Pengerusi Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab. | |||
Perangi IS kerana cemarkan imej Islam Posted: 08 Feb 2015 04:36 PM PST Gambar hiasan SHAH ALAM- Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) dalam satu kenyataan hari ini mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan kumpulan Militan Negara Islam (IS) yang membunuh dengan kejam sukarelawan Jepun dan seorang juruterbang Jordan. Presidennya Zamihan Mat Zin al-Ghari berkata, tindakan itu bukan saja bertentangan dengan Islam, malah boleh menimbulkan keresahan dunia serta merosakkan imej suci Islam itu sendiri. "Aswaja sememangnya dari awal lagi memandang serius tentang kumpulan militan ini yang jelas menyeru kepada keganasan. "Sebab itulah pertubuhan kami sentiasa proaktif menganjurkan program penerangan mengenai Jihad, Militan dan bahaya kumpulan pengganas Islamic State dan lain-lain ke seluruh negara," katanya. Dalam pada itu, Zamihan berkata Majlis Fatwa kebangsaan perlu mengekang penularan fahaman IS ini selaras dengan penetapan majlis tersebut yang menetapkan bahawa IS adalah pertubuhan yang menyeleweng. "Orang ramai khususnya anak muda menyertai IS sebenarnya berada dalam keadaan jahil agama. Mereka tidak memahami pengertian jihad mengikut Islam secara menyeluruh. "Maka selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang membuat ketetapan bahawa IS adalah kumpulan yang menyeleweng, sewajarnya fatwa itu dimanfaatkan untuk mengekang kumpulan haram yang bertapak di negara ini.," katanya. Beliau berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa membersihkan negara daripada fahaman serta kumpulan yang menjurus kepada militan serta mempunyai ideologi yang terarah kepada keganasan seperti IS. Baru-baru ini kumpulan IS telah menyiarkan video menunjukkan juruterbang Jordan dibakar hidup-hidup sementara Goto (rakyat Jepun) dipenggal kepalanya oleh tentera IS | |||
Phahrolrazi nafi Pasma jadi dalang Posted: 08 Feb 2015 04:32 PM PST Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi ALOR SETAR - Mengaitkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dengan gerakan pihak tertentu konon mahu menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas bukan perkara baharu.Malah Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi sudah lali dengan tuduhan itu, dan menganggapnya sebagai isu yang sengaja diperbesarkan untuk menarik perhatian umum menjelang pemilihan parti yang dijangka pada penghujung tahun ini. "Tuduhan itu bukan baharu, sudah berulang kali dikaitkan Pasma dengan gerakan mahu jatuhkan Hadi. Sebelum ini, Pasma sudah perjelaskan tidak pernah terlibat dengan mana-mana gerakan seperti didakwa," katanya, ketika dihubungi Sinar Harian. | |||
Tragis: Kanak-kanak tiga tahun maut dirempuh ibu Posted: 08 Feb 2015 04:26 PM PST JITRA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia selepas dilanggar ibunya secara tidak sengaja di pekarangan sebuah rumah di Kampung Lahar, Malau di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Nur Umairah Salaiman maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Difahamkan, kejadian berlaku apabila ibu mangsa, Rasikhah Nik Nyan, 48, memandu kereta jenis Ford Lancer tidak menyedari mangsa tiba-tiba berlari ke hadapan kereta lalu merempuhnya. Nur Umairah dan kakak tirinya, Nurul Syuhada Amir Nasuridin, 21, dikatakan turun dari kereta terlebih dahulu sebelum Rasikhah membetulkan kenderaannya ketika parkir di hadapan rumah tersebut. Rasikhah bagaimanapun tidak menyedari anak bongsunya berada di hadapan kereta lalu merempuhnya. Sepupu mangsa, Nurul Hanisah Johari , 19, memberitahu, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi enjin kereta makciknya. "Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi dentuman dan terdengar Nurul Syuhada menjerit mengatakan adiknya berdarah. "Sebaik saya keluar saya nampak makcik terus memecut keretanya ke Hospital Jitra," katanya. Tambahnya, dia hanya ternampak kesan darah di hadapan rumah. "Saya masih terkejut dengan kejadian ini dan makcik saya masih trauma dan enggan berjumpa dengan sesiapa," katanya. Nurul Hanisah berkata, ibu saudaranya itu tinggal di Taman Cermai di sini dan datang ke rumahnya untuk menjemput tiga lagi anak yang dijaganya. "Saya jaga tiga anaknya dan menjemput mereka dari sekolah. Mereka akan tinggal bersama saya sementara menunggu ibu mereka pulang dari kerja," katanya. Tambahnya, ibu saudaranya bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Jitra. | |||
Sidang DUN hudud Kelantan bulan depan Posted: 08 Feb 2015 04:23 PM PST MALAYSIAKINI Pakatan Rakyat belum memutuskan berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan dan akan membincangkan lanjut isu itu dalam sebuah mesyuarat khas. Bagaimanapun, selang beberapa jam selepas mesyuarat di Kuala Lumpur, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan bahawa sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri bagi membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) akan diadakan bulan depan. Sidang khas itu sepatutnya diadakan pada 29 Disember lalu namun ditangguhkan ekoran banjir besar melanda Kelantan. "Untuk tujuan itu, kerajaan negeri mengadakan berkali-kali mesyuarat, perbincangan melalui Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan bagi menyiapkan beberapa pindaan dalam enakmen itu... "Alhamdulillah, kita menyiapkan satu tatacara lengkap pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah," beliau dipetik sebagai berkata di Kota Baharu dalam kenyataan hari ini. Bernama melaporkan beliau sebagai berkata hudud arahan Allah dan menjadi kewajipan setiap umat Islam menegakkannya dalam masyarakat Islam. "Kewajipan ini seumpama kewajipan solat lima waktu yang tidak boleh dipertikai pensyariatannya. Solat wajib didirikan walaupun musibah melanda dan tidak boleh melengah-lengahkan solat apatah lagi mengesampingkannya dengan alasan untuk memberi laluan kepada semua mangsa musibah memperolehi hak kebajikan mereka secara sempurna. "Begitulah juga hukum syariah termasuk kanun jenayah syariah yang bakal dilaksanakan di Kelantan. "Usaha menegakkannya di muka bumi ini mesti berjalan seiring dengan agenda kebajikan dan kemasyarakatan yang lain," beliau dipetik sebagai berkata. Gabungan pembangkang belum membuat kata sepakat dalam perkara berkaitan pelaksanaan hudud dan pilihan raya tempatan. Dalam sidang media Pakatan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas akan datang. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan