DIALOG RAKYAT |
- Usah Salahkan Peniaga Cina, Atasi Kelemahan dan Kemalasan Kerajaan
- Suspek Kelar Penuntut UiTM Direman 7 hari
- Pemain Industri Cina Kawal Harga Barang Adalah Fakta
- MCA Bodoh, Biadap - Bekas Pemuda UMNO
- Jangan sabotaj Pakatan
- MIC berkubur jika lambat selesai krisis dalaman
- Saya sedia tanding Presiden – Saravanan
- 'Awas sebelum MIC ditinggalkan orang India'
- PAS: Turunkan harga barang kawalan dulu
- PBB undang kartunis kontroversi berucap
- 'Kami semua Ismail Sabri' di KL
- Pancar pintas talian putuskan elektrik Bt Caves
- Ambang Thaipusam bawah bulan penuh
- Remaja bengkak kemaluan meninggal dunia
- Tun Mahathir 'ganti' Anwar
- Kekal selagi tidak langgar syariah Islam
- Arak: Jangan tunduk pada nafsu individu
- 'Saya tidak akan larikan diri'
- VIDEO] 500 Pekerja Cina Peluk Islam Selepas Lihat Kesederhanaan Pemakaman Raja Abdullah
- Rai Zunar sebagai produk terbaik M'sia'
- Kampung Pasir Tumboh, projek pertama Impian Kelantan
- Tahun Baru Cina 2015: Teresa Kok terbit satu lagi klip video satira
- Asri kembali jadi mufti Perlis
- Zaidi habiskan hari terakhir sebagai tentera
- 'Ada tawaran, tapi Anwar enggan lari keluar'
Usah Salahkan Peniaga Cina, Atasi Kelemahan dan Kemalasan Kerajaan Posted: 03 Feb 2015 04:29 AM PST DETIK DAILY 1. PAS menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di laman sosial Facebook yang menyeru seruan boikot kepada perniagaan kaum Cina. Kenyataan sebegini sungguh tidak bertanggungjawab dan berunsurkan perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Sungguh mengecewakan apabila kenyataan sebegini dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang bertaraf menteri kabinet. 2. Adalah tidak wajar jika seruan boikot dibuat kepada peniaga kaum Cina sedangkan masalah harga barang yang tidak turun ini berpunca daripada kegagalan pihak kerajaan sendiri untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada. Usahlah kerana ingin menutup kelemahan sendiri, orang lain pula yang menjadi mangsa. 3. PAS menuntut pihak kerajaan sendiri yang menunjukkan contoh tauladan dalam menurunkan harga barang kawalan yang di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan iaitu harga gula, tepung gandum, minyak masak dan gas memasak. Seiring dengan itu, tarif elektrik dan tambang pengangkutan awam wajar diturunkan oleh pihak kerajaan kerana kos penjanaannya sudah turun. 4. Apabila barang kawalan ini diturunkan harga pasti ia dapat meringankan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh sekalian rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Sehingga ke hari ini, kerajaan tidak pula menyatakan hasrat untuk menurunkan harga barang di bawah kawalan mereka. Adakah ini bermakna Datuk Seri Ismail Sabri ingin menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia pula yang gagal menurunkan harga barang kawalan.? 5. Pihak kerajaan perlu bertindak dengan lebih proaktif,agresif dan bersepadu dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010. Akta tersebut bertujuan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Peranan Majlis Penasihat Harga yang berfungsi untuk menasihati Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlulah diperkasakan lagi agar penilaian harga barang dapat dibuat mengikut keadaan semasa. 6. PAS turut menyeru agar pihak kerajaan dan para peniaga berusaha untuk melaksanakan kempen penurunan harga barang. Tatkala harga minyak petrol dinaikkan, harga barang turut dinaikkan atas faktor peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan. Jadi, mengapa pula ketika harga petrol sudah jatuh, harga barang masih kekal di paras yang sama.? Dato' Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS | ||||
Suspek Kelar Penuntut UiTM Direman 7 hari Posted: 03 Feb 2015 03:08 AM PST RAKYATNEWS TAIPING - Seorang tukang masak yang disyaki mengelar seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga mati di Kilometer 228.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini. Suspek yang berusia 25 tahun dibawa ke Balai Polis Parit Buntar, dekat sini kira-kira jam 10 pagi tadi untuk proses permohonan tahanan reman. Majistret Rosnee Mohd Radzuan, yang hadir ke balai polis berkenaan membenarkan suspek direman sehingga 9 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pemuda yang juga dipercayai teman lelaki mangsa dan bekerja sebagai tukang masak di Melaka, kemudian dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira jam 10.45 pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, mangsa Norsyuhada Johari, 19, penuntut UiTM kampus Permatang Pauh Pulau Pinang, meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, dekat sini kira-kira jam 2 petang ketika sedang mendapatkan rawatan. | ||||
Pemain Industri Cina Kawal Harga Barang Adalah Fakta Posted: 03 Feb 2015 03:02 AM PST RAKYATNEWS KUALA LUMPUR - Kenyataan Menteri Pertanaian dan Perindustrian Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri tidak perlu ditempelak ekoran pemain industri Cina merupakan golongan yang mengawal harga dalam pasaran negara. Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, perkara tersebut merupakan fakta dimana peniaga Cina enggan menurunkan harga barang sungguhpun harga minyak sudah menunjukkan penurunan. "DAP dan MCA tidak seharusnya melihat kenyataan Menteri Pertanian sebagai rasis. Ini adalah fakta. Peniaga Cina enggan menurunkan harga barang," katanya menerusi tweet beliau. Bung berkata demikian sebagai respon kepada Ismail yang menyatakan harga barangan di pasaran kekal tinggi ekoran pemborong Cina tidak mengurangkan harga kepada penjual selepas kejatuhan harga minyak. | ||||
MCA Bodoh, Biadap - Bekas Pemuda UMNO Posted: 03 Feb 2015 03:00 AM PST RAKYATNEWS KUALA LUMPUR - Rakan-rakan seperjuangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kecaman daripada Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon dalam menghadapi isu memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barangan selepas harga minyak telah turun adalah tindakan bodoh. Bekas Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Zulkifli Alwi berkata, Chong tidak sepatutnya mengecam kenyataan Ismail Sabri memandangkan kenyataan yang dibuat itu khas untuk membela nasib rakyat. "Kami menganggap kenyataan-kenyataan ini sebagai bodoh, biadap dan tersasar. "Bodoh kerana kenyataan Ismail Sabri tersebut bertujuan membela nasib rakyat terbanyak dalam soal harga barangan yang seharusnya diturunkan sejajar dengan pengurangan harga minyak. "Kami bukan sahaja kesal tetapi berasa amat marah terhadap kenyataan berbaur kecaman yang dilemparkan terhadap Ismail Sabri khususnya para pemimpin parti MCA termasuk ketua pemudanya," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Zulkifli menjelaskan, tindakan Chong yang mempersoalkan kesesuaian Ismail Sabri selaku ahli jemaah menteri juga merupakan sesuatu yang sangat biadap dan ianya mengguris perasaan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi. Katanya, kenyataan Chong itu merupakan suatu tindakan yang lebih chauvinist daripada parti-parti pembangkang. "Perlantikan Menteri adalah hak Perdana Menteri, siapa dan apa hak Pemuda MCA untuk mempertikaikannya. "Parti MCA yang survival politik kepimpinannya hari ini terlampau benyak bergantung ehsan penyokong dan pemimpin parti Umno serta orang-orang melayu. "Maka kami tidak dapat menerima bagaimana Pemuda MCA tergamak senada dan seirama pula denga parti pembangkang," ujarnya. Chong dalam kenyataannya membidas kenyataan Ismail Sabri dengan menyatakan untuk memboikot perniagaan Cina adalah kenyataan kurang bijak dan menegaskan bahawa Ahli Parlimen Bera itu hanya membuat kenyataan peribadi dan bukan pendirian Kabinet serta BN. Ismail Sabri sebelum ini menegaskan kenyataan berkaitan isu boikot itu bukan ditujukan kepada semua kaum Cina tetapi kepada pemborong dan peniaga Cina yang masih tidak mahu menurunkan harga walaupun harga minyak telah turun. | ||||
Posted: 03 Feb 2015 02:57 AM PST Oleh JOHARI M KEBELAKANGAN ini perdebatan terbuka dan balas-membalas kenyataan semakin menjadi-jadi dalam kalangan pemimpinpemimpin Pakatan Rakyat daripada semua parti dan menjadi berita-berita panas di media berita negara setiap hari. Perkembangan ini berlaku dan meningkat mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini termasuk berkaitan isu sekitar banjir, dan tidak reda walaupun air bah di Kelantan yang paling teruk dilanda banjir telah surut. Nampaknya ramai pemimpin dalam partiparti Pakatan Rakyat tidak mampu untuk menyimpan apa yang terbuku di hati dan ingin diluahkan dengan segera kepada media yang sedia menunggu. Media pula masingmasing mempunyai agenda tersendiri, dan media Umno-BN seperti biasa akan memanipulasi kenyataan-kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Pakatan. Malah ada masanya kenyataan itu sendiri sudah cukup "damaging" dan tidak perlu dimanipulasi atau diperbesarkan. Malang sekali, pertembungan di media ini sering berlaku pada masa Pakatan sangat perlu merapatkan barisan dan "menghalakan senapang" ke arah pihak musuh Umno-BN. Pada masa ini, Umno dalam keadaan yang lemah dan pemimpin mereka Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak sedang diserang dari segenap sudut oleh musuh politik dari luar dan dalam parti. Pada masa yang sama, Pakatan sedang menghadapi kemerosotan keyakinan selepas kempen panjang Umno-BN menimbulkan keraguan terhadap tahaluf siyasi yang dibina sejak selepas pilihan raya 2008 dulu. Amat penting untuk Pakatan menunjukkan imej dan kemampuan mengurus kerjasama politik ini dengan baik supaya gambaran sebagai alternatif kepada BN dapat ditunjukkan kepada rakyat. Sepanjang sejarah kerjasama politik pembangkang, biasanya kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya umum tidak seimbang, dan hal ini menjadi cabaran besar kepada gabungan untuk menguruskan dan memastikan kelangsungan kerjasama. Dalam keadaan ini, boleh terjadi parti yang kuat berasa terlebih yakin dan kurang menghormati rakan yang kecil, dan boleh terjadi juga kemungkinan parti yang lemah "membuat perangai" sebagai usaha tawarmenawar. Tetapi wujud juga kemungkinan sabotaj, atas apa sebab yang jelas atau tidak, untuk menamatkan kerjasama dan kemudian dapat mempersalahkan pihak lain, atau ada agenda dengan parti lawan secara rahsia. Eloklah sekiranya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bertemu mata pada masa yang kritikal ini, mencapai persetujuan seperti menghentikan kritik-mengkritik dan menumpukan pada usaha mengukuhkan pakatan. | ||||
MIC berkubur jika lambat selesai krisis dalaman Posted: 03 Feb 2015 02:46 AM PST MIC dalam bahaya ianya perlu penyelesaian segera. BATU CAVES : MIC dalam keadaan bahaya dan mungkin berkubur terus, jika Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel tidak mengambil tindakan dengan kadar segera, kata bekas Presiden, Datuk Seri S Samy Vellu. Menurut beliau, kepimpinan parti perlu menyelesaikan krisis dalaman yang ada dengan segera supaya sokongan kaum India kepada MIC akan terus kukuh jika tidak keadaan dalam parti akan bertambah buruk. "Presiden mesti ambil tindakan segera, sebab beliau pemimpin nombor satu, kalau tidak saya takut suatu hari nanti parti MIC tidak ada lagi. "Kekuatan MIC perlahan-lahan semakin jatuh, jika mereka tidak ambil tindakan MIC akan hilang sokongan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves. Katanya, Palanivel yang menerajui kepimpinan MIC perlu mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan konflik yang berlaku. Pada 5 Disember lalu Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan arahan kepada parti itu supaya mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 90 hari bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Perintah pemilihan semula MIC dikeluarkan RROS berikutan dakwaan penyelewengan yang berlaku pada perhimpunan agung parti itu di Melaka pada 30 November lalu. | ||||
Saya sedia tanding Presiden – Saravanan Posted: 03 Feb 2015 02:45 AM PST MIC mempunyai 3,700 cawangan dan 1,500 daripadanya menyokong beliau pada pemilihan semula. BATU CAVES: Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan memberi gambaran bahawa beliau bersedia bertanding merebut Presiden parti dalam pemilihan semula yang akan diadakan nanti. "Buat masa ini saya masih belum fikirkan lagi tentang perkara tersebut. mungkin saya dapat restu dari Tuhan hari ini dan Tuhan kata teruskan (bertanding)," katanya kepada pemberita semasa menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves. Jelasnya, memandangkan pemilihan semula akan dilakukan semula beliau mungkin akan bertanding sebagai Presiden jika mendapat sokongan ahli MIC. "Saya juga akan bincang dengan penyokong sama ada bertanding Timbalan (Presiden) atau Presiden kalau penyokong minta saya bertanding sebagai Presiden saya akan bertanding," ujarnya. Saravanan mendakwa, MIC mempunyai 3,700 cawangan dan 1,500 daripadanya menyokong beliau pada pemilihan semula MIC. Tambahnya, beliau yakin mendapat sokongan lebih daripada 2,000 cawangan untuk meyakinkan dirinya merebut jawatan Presiden. Pada masa sama, turut hadir memeriahkan lagi sambutan Thaipusam ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri dan kehadiran meraka disambut ribuan masyarakat India yang hadir. | ||||
'Awas sebelum MIC ditinggalkan orang India' Posted: 03 Feb 2015 02:39 AM PST MALAYSIAKINI Bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mengingatkan pemimpin parti itu supaya menyelesaikan segera masalah dalaman parti. Ini kerana, Samy berkata, sekiranya krisis itu berpanjangan MIC akan berdepan dengan masalah sokongan kepada parti. "Kekuatan MIC perlahan-lahan semakin jatuh. Jika mereka tidak ambil tindakan (selesaikan masalah parti), MIC akan kehilangan sokongan. "Bila hilang kekuatan, masyarakat India akan tinggalkan MIC," kata Samy kepada pemberita semasa ditemui pada sambutan Hari Thaipusam di Batu Caves hari ini. Selain itu, Samy Vellu turut mengingatkan, sebagai seorang presiden, Datuk Seri G Palanivel sepatutnya mencari jalan penyelesaian bagi kemelut MIC. Bimbang MIC tiada lagi Kata bekas presiden paling lama itu, beliau bimbang jika MIC tidak wujud lagi sekiranya tiada sebarang tindakan yang dibuat Palanivel. "Jika kita mahu menyelesaikan masalah-masalah dalam parti sekarang, presiden mesti ambil tindakan. "Presiden mesti jadi orang nombor satu, selepas itu orang lain boleh ikut cadangan yang diberi oleh orang belia. "Jikalau beliau tidak ambil tindakan yang sesuai, saya takut MIC tidak ada lagi," katanya lagi. Perbezaan pendapat timbul dalam MIC berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa pusat (CWC). Ekoran pelbagai pertikaian yang berlaku, Palanivel dan Saravanan kini akan mengambil pendekatan berdiam diri sehingga masalah dalaman itu selesai. | ||||
PAS: Turunkan harga barang kawalan dulu Posted: 03 Feb 2015 02:37 AM PST MALAYISKINI Kegagalan kerajaan menguatkuasakan undang-undang sedia ada menyebabkan harga barang tidak turun seiring dengan harga baru minyak, kata PAS. Ketua penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata kerajaan sepatutnya menunjukkan teladan dengan menurunkan harga barang kawalan seperti gula dan minyak masak terlebih dahulu. Begitu juga dengan tarif elektrik dan tambang pengangkutan awam yang turut berada bawah kawalan kerajaan, katanya lagi. "Usahlah kerana ingin menutup kelemahan sendiri, orang lain pula yang menjadi mangsa," kata Mahfuz. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana menggesa orang ramai memulau peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang seperti harga minyak. Kenyataannya itu mengundang kritikan banyak pihak yang melihatnya sebagai perkauman. Bermula 1 Februari, harga baru bahan bakar itu turun antara 11 hingga 21 sen ekoran kejatuhan berterusan harga minyak dunia. Dalam kenyataannya hari ini, Mahfuz juga membangkitkan, sehingga ke hari ini, kerajaan tidak pula menyatakan hasrat menurunkan harga barang bawah kawalannya. "Adakah ini bermakna Datuk Seri Ismail Sabri ingin menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia pula yang gagal menurunkan harga barang kawalan? " sindirnya. PAS bagaimanapun senada dalam pelaksanaan kempen penurunan harga barang ekoran kejatuhan harga petrol dan diesel. | ||||
PBB undang kartunis kontroversi berucap Posted: 03 Feb 2015 02:36 AM PST MALAYSIAKINI Di Kuala Lumpur, pejabatnya diserbu polis. Di peringkat dunia, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengundangnya bercakap mengenai hak berkarya. Badan dunia itu mengundang kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ul-Haq untuk berucap berhubung perkara itu pada 6 Mac depan. Forum di pejabat PBB di Geneva itu akan membincangkan sekitar usaha mempertahankan kebebasan kreatif dan tindakan yang boleh diambil. "Dalam ucapan, saya akan menekankan bahawa hak ekspresi seniman harus diletak di tempat teratas dan tidak boleh dikompromi," katanya. "Saya juga akan menyentuh mengenai komitmen yang sangat minima oleh PBB bagi melindungi artis termasuk kartunis, menyebabkan estrimis dan rejim korup seperti di Malaysia terus menekan kreativiti para seniman." Sepanjang berkecimpung dalam bidang kartun satira politik, Zunar menjadi kartunis paling mendapat layanan keras pemerintah, termasuk melalui rampasan dan pengharaman buku. Karya-karyanya juga mengundang kehadirannya di mahkamah. Terbaru pada 28 Januari lalu, sekumpulan enam orang polis dari ibu pejabat kontinjen Kuala Lumpur menyerbu pejabatnya dan merampas sejumlah 155 naskhah penerbitan yang diusahakannya. | ||||
'Kami semua Ismail Sabri' di KL Posted: 03 Feb 2015 02:34 AM PST MALAYSIAKINI Seramai kira-kira 100 orang pemuda dan mantan pemuda Umno hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini bagi menunjukkan solidariti terhadap Datuk Seri Ismail Sabri. Mereka membawa poster bertulis "Kami semua Ismail Sabri" sebagai tanda sokongan. Mereka yang mula berkumpul kira-kira jam tiga petang di Cafe Riverside petang ini, hadir bagi memberi sokongan kepada menteri pertanian dan industri asas tani itu berhubung kenyataannya yang menggesa orang ramai memboikot peniaga Cina. Antara yang turut hadir pada majlis petang ini ialah exco Pemuda Umno Fathul Bari dan Arman Azha Abu Hanifah. | ||||
Pancar pintas talian putuskan elektrik Bt Caves Posted: 02 Feb 2015 08:50 PM PST MALAYSIAKINI Gangguan bekalan elektrik di perkarangan kuil Batu Caves malam tadi adalah disebabkan oleh pancar pintas talian (nyahcas elektrik yang tidak normal) di satu daripada pencawang di kawasan itu. Menurut Pengurus Besar kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin, jurutera TNB masih dalam proses menyiasat punca kejadian. "Bekalan elektrik dipulihkan melalui penjana kuasa mudah alih yang sedia ada tetapi tidak bertahan lama disebabkan muatan berlebihan dari sambungan bekalan sementara yang menyeluruh. "Pasukan TNB berada di tempat kejadian untuk memulihkan bekalan daripada dua penjana kuasa mudah alih tambahan," kata beliau dalam satu kenyataan. Mohd Aminuddin juga berkata polis trafik membantu untuk membawa penjana kuasa mudah alih itu ke Batu Caves akibat kesesakan lalu lintas. Bekalan elektrik ke kawasan itu terputus pada 8.50 malam tadi dan sehingga tengah malam ini, bekalan belum dipulihkan. - Bernama | ||||
Ambang Thaipusam bawah bulan penuh Posted: 02 Feb 2015 08:45 PM PST MALAYSIAKINI Sambutan ambang Thaipusam di Batu Caves di Kuala Lumpur terjejas selepas bekalan elektrik ke Kuil Subramaniyar Swami terputus pada pukul 8.53 malam ini dan sehingga tengah malam ini, bekalan elektrik ke kawasan itu belum dipulihkan. Ribuan penganut yang membanjiri perkarangan kuil tersebut untuk melaksanakan upacara nazar serta pembawa kavadi berada dalam keadaan tidak bersedia untuk berdepan dengan situasi di luar jangkaan itu. Menurut seorang anggota jawatankuasa kuil tersebut, N. Sivakumar berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang berusaha untuk memulihkan bekalan. Berikutan terputus bekalan elektrik, sebuah penjana kuasa bersaiz besar digunakan oleh TNB untuk menerangi perkarangan kuil tersebut namun bekalan itu tidak stabil, katanya kepada Bernama. Beliau berkata ini kali pertama Batu Caves bergelap semasa perayaan Thaipusam. Sementara itu cahaya, daripada bulan penuh, lampu sorot dan lampu dari gerai-gerai berhampiran membantu menerangi kawasan itu untuk membolehkan penganut meneruskan upacara keagamaan mereka. Sivakumar berkata anggota jawatankuasa kuil sedang berusaha untuk mendapatkan dua lagi penjana kuasa sokongan kepada penjana kuasa TNB yang sedia ada. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata keadaan di Batu Caves terkawal walaupun bergelap. "Kawasan yang bergelap ialah di sekitar tangga Batu Caves, tempat-tempat lain masih ada lampu lagi. Sekarang ini bekalan belum dipulihkan lagi dan TNB sedang memeriksa punca bekalan elektrik terputus," katanya ketika dihubugi Bernama. Beliau berkata sambutan itu masih diteruskan dan penganut agama Hindu tidak perlu bimbang kerana polis sentiasa berkawal dalam apa jua keadaan. Dalam pada itu, acara lawatan Menteri Besar Selangor Azmin Ali ke tapak perayaan Thaipusam di sini tergendala akibat gangguan bekalan elektrik tersebut. Azmin yang tiba jam 8.15 malam sepatutnya berucap pada majlis itu tetapi terpaksa membatalkan ucapan apabila bekalan elektrik terputus. Beliau kemudian bergerak ke satu lagi acara lain berdekatan dengan kawasan tersebut. Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Azmin berkata kejadian itu adalah di luar jangkaan dan pihak pengurusan kuil sedang mengenal pasti punca kejadian. "Tetapi saya fikir keadaan tidak akan menjejaskan kemeriahan sambutan di sini," katanya. Sementara itu, seorang pengunjung S.Deva berkata sepanjang 30 tahun beliau menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves, belum pernah kejadian seperti itu berlaku. "Ini kali pertama berlaku. Tapi saya rasa ia tidak bermaksud apa-apa cuma sedikit gangguan. Sambutan dan upacara keagamaan masih boleh berjalan seperti biasa. "Cuma ia akan sedikit terganggu. Tapi di dalam gua (Batu Caves) ada disediakan penjana kuasa dan ia masalah," katanya. Bagi seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Maniapan, keadaan itu tidak menjejaskan upacara di tempat itu dan mungkin nampak tidak meriah tanpa cahaya berwarna-warni. - Bernama | ||||
Remaja bengkak kemaluan meninggal dunia Posted: 02 Feb 2015 08:39 PM PST Keadaan Faris Imadi yang koma sehari sebelum meninggal dunia pada Sabtu lalu. KUBANG DEPU - Remaja lelaki, Faris Imadi Shafiee, 14, yang menderita bengkak paha dan kemaluan, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu. Faris Imadi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas kesihatannya semakin merosot sejak dimasukkan ke hospital, 15 hari lalu. Bapanya, Shafiee Noor, 48, berkata, anaknya itu meninggal dunia di sisinya setelah koma sejak Khamis lalu ketika menjalani rawatan pakar di hospital berkenaan. Menurut bapa tunggal ini, jenazah dibawa ke rumahnya di Kampung Baruh Kual dekat Hulu Besut kira-kira jam 7 malam hari sama sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kayu Kelat pada jam 10 malam. "Saya reda dengan pemergiannya dan berdoa agar dapat bertemu dengannya di syurga. Kalau ikutkan memang sedih, tetapi saya relakan pemergiannya kerana tidak sanggup lihat penderitaannya menahan sakit. Saya juga tidak boleh lupa kerana sebelum koma, dia beria-ia mahu membaca Yasin sebab tidak tahan sakit. "Sebelum koma, Faris Imadi juga ada melahirkan kebimbangan terhadap nasib kakaknya (Nur Izzah, 18) yang turut mengalami masalah bengkak sepertinya (bahagian paha dan punggung)," katanya. Laporan Sinar Harian mengenai penderitaan remaja itu sebelum ini mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar. Sementara itu, Shafiee turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan kepada mereka sekeluarga selepas kisah penderitaan anaknya itu yang terlantar di rumah, tersiar dalam akhbar. | ||||
Posted: 02 Feb 2015 08:35 PM PST Mohamad Sabu SEREMBAN - Ketua Pembangkang hari ini bukan lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. Beliau berkata, ia berikutan bekas Perdana Menteri itu dilihat lantang mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang, berbanding PR sendiri. "Sekarang Umno pula jadi masalah bila yang veteran lawan yang muda. Sebab itu, ketua pembangkang di Malaysia sekarang adalah Tun Mahathir dan bukan lagi Anwar sebab dia yang banyak kecam Najib. "Sekarang bos yang disanjung sejak 20 tahun lalu, kini dia yang paling mahu Najib berhenti. Kalau kita lihat di laman web dan Twitter Tun Mahathir, banyak yang dia hentam Najib," katanya pada Ceramah Rakyat Hakim Negara di padang Taman Desa Rhu, Sikamat di sini, malam kelmarin. Mohamad berkata, tindakan Mahathir itu menunjukkan bukan calang-calang orang yang mengkritik pemerintahan Najib hari ini dan rakyat seharusnya boleh membuat penilaian. Sementara itu, beliau berkata, BN kini berada dalam keadaan 'tenat' berikutan masalah parti komponennya iaitu MIC dan MCA. "Tiada jalan lain untuk rakyat buat perubahan. MIC bukan lagi parti, tapi akan diswastakan kepada Umno. MCA pula ada, tapi sudah ditelan zaman 'ibarat gerakan kubur tidak bertanda'. "Jangan BN berpecah, kita pun berpecah. Sebab itu kita perlu bersatu padu sekarang dan inilah masa terbaik untuk PR mengambil alih pentadbiran negara," katanya. | ||||
Kekal selagi tidak langgar syariah Islam Posted: 02 Feb 2015 08:33 PM PST Suhaizan SHAH ALAM - Pas masih akan kekal dalam PR selagi syariah Islam tidak dilanggar oleh mana-mana pemimpin dalam PKR dan DAP. Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, ia kerana syariah Islam merupakan tunggak utama perjuangan Pas. "Majoriti ahli Pas mahu parti kekal dalam Pakatan Rakyat. Perikatan itu boleh dikekalkan bersama ketiga parti. "Tetapi jika ada yang melanggar syariah Islam, mungkin Pas akan buat keputusan lain," katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini. Hubungan Pas dan DAP pernah menghampiri kemuncak apabila keduanya dilihat tidak mencapai persepakatan dalam beberapa isu besar melibatkan pelaksanaan hudud dan pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT). Melihatkan ketegangan yang dipamerkan oleh pemimpin kedua parti ini, timbul desas- desus yang mengatakan Pas akan keluar dari Pakatan. Bagaimanapun Suhaizan ketika bercakap dengan Sinar Online hari ini menepis dakwaan tersebut. Katanya, buat masa sekarang hubungan Pas dalam PR masih dalam keadaan baik. | ||||
Arak: Jangan tunduk pada nafsu individu Posted: 02 Feb 2015 08:31 PM PST Arak haram di sisi Islam dan terbukti memudaratkan kesihatan. SHAH ALAM - [Dikemaskini] Cadangan larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam dilihat amat wajar kerana minuman keras membawa elemen mudarat kepada masyarakat secara keseluruhannya. Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kepentingan dan kesejahteraan masyarakat jauh lebih penting daripada kepuasan individu yang meminum arak. "Arak harus dilihat sebagai satu elemen yang tidak sihat, tidak kira dalam kalangan masyarakat Islam atau bukan Islam. Walaupun bukan Islam merasakan itu hak mereka, tapi kalau boleh jejaskan keharmonian masyarakat majoriti, maka syarat penjualannya wajar diperketat. "Apatah lagi di kawasan majoriti orang Islam, perlu dibuat syarat agar arak tidak dijual di situ. Oleh itu, kita sokong sepenuhnya langkah yang diambil Kerajaan Melaka," katanya, semalam. Menurutnya lagi, peraturan itu juga dapat mengehadkan akses kepada orang Islam untuk membeli dan meminum arak. "Cara ini sama seperti menghalang orang Islam memasuki premis judi. Jadi apabila ada batasan ini, orang Islam akan dapat kesedaran sendiri bahawa perbuatan itu memang salah di sisi agama," katanya. Beliau berkata, penguatkuasaannya juga perlu diperluaskan ke semua negeri dan disarankan kepada peringkat Kerajaan Persekutuan. "Malaysia merupakan antara negara dengan penggunaan arak tertinggi di dunia. Imej ini tidak sesuai dengan negara yang mengutamakan gaya hidup sihat dan moral yang tinggi," katanya. Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan peraturan baharu tersebut perlu dipandang dari sudut positif dan tidak dijadikan isu politik. "Dahulu kerajaan Selangor pernah mahu melakukan pendekatan sama di Shah Alam. Namun malangnya ia menjadi polemik dalam pentadbiran PR. "Perkara ini tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya sensitiviti umat Islam perlu diambil kira. Kita yakin larangan penjualan arak di kawasan yang padat orang Melayu dapat kekang pembelian arak, terutamanya dalam kalangan generasi muda," katanya. Selain itu katanya, pendekatan tersebut perlu dicontohi negeri lain kerana bukan saja bertepatan dengan prinsip Perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan, tetapi turut meraikan pelbagai agama lain. "Dalam keadaan kita yang disesuaikan terhadap bukan Islam, tiada halangan untuk mereka minum minuman keras. Namun, pada masa sama perlu ada polisi pengehadan jualan di kawasan majoriti Islam dan penguatkuasaan kepada orang Islam yang beli arak juga harus diketatkan," katanya. | ||||
'Saya tidak akan larikan diri' Posted: 02 Feb 2015 08:29 PM PST Anwar Ibrahim SEREMBAN – "Saya tidak takut sebab saya dalam penjara lapan tahun masih steady. Sebab itu saya buat keputusan akan tetap hadapi 10 hari bulan ini di mahkamah.Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di hadapan kira-kira 400 penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang hadir pada 'Ceramah Rakyat Hakim Negara' di padang Taman Desa Rhu, Sikamat di sini, kelmarin. Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Tian Chua. Menurutnya, dia sesekali tidak akan melarikan diri seperti yang didakwa sesetengah pihak dan menyerahkan kepada ALLAH SWT tentang nasibnya berhubung keputusan penghakiman kes Liwat II yang akan dihadapinya pada 10 Februari ini. "Saya bertawakal sesungguhnya ALLAH kasih kepada mereka yang bertawakal kepadanya. "Saya tidak akan lari dan tak takut. Apa-apa pun saya akan teruskan perjuangan, jika bebas Alhamdulillah dan jika masuk penjara, saya akan terus lawan kerana ini bukan hanya soal Anwar. "Saya tidak mahu cerita secara lanjut kerana semua tahu. Sebab itu bila orang tanya sama ada saya yakin bebas? Saya cakap boleh, jika ikut undang-undang, tapi kalau sebaliknya itu di luar pertimbangan saya," katanya. | ||||
VIDEO] 500 Pekerja Cina Peluk Islam Selepas Lihat Kesederhanaan Pemakaman Raja Abdullah Posted: 02 Feb 2015 04:36 PM PST KELAB REENBOCKesederhanaan acara pemakaman dalam Islam telah menggerakkan hati sekira 500 pekerja China yang tengah mencari nafkah di Saudi Arabia untuk kembali memeluk Islam. Sebuah video YouTube yang dishare oleh sebuah surat kabar Saudi menunjukkan 500 pekerja Cina di Saudi memeluk agama Islam. Mereka tersentuh setelah melihat "kesederhanaan" pemakaman almarhum Raja Abdullah bin Abdul Aziz baru-baru ini. "Mereka semua menjadi Muslim setelah mengucapkan dua kalimat Syahadat dengan tuntunan seorang warga melalui pengeras suara," demikian ditunjukkan oleh video di YouTube tersebut, sebagaimana disiarkan akhbar Ajel. Video itu memperlihatkan para pekerja Cina itu berkumpul dekat pejabat perusahaan mereka di kota timur Jubail dan kemudian mereka membaca dua kalimat Syahadah. Mereka juga menerima arahan dari pihak berkuasa keagamaan Saudi tentang bagaimana seharusnya setelah mereka memeluk Islam. -eramuslim
LIHAT VIDEO DI SINI | ||||
Rai Zunar sebagai produk terbaik M'sia' Posted: 02 Feb 2015 04:32 PM PST MALAYSIAKINI Satu rangkaian kartunis global menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya menghargai kartunis politik Zunar sebagai produk terbaik Malaysia, dan bukannya menyekat kebebasannya bersuara. Dalam sepucuk surat kepada Najib yang bertarikh 31 Januari, CRNI (Cartoonists Rights Network International) berkata, daripada membuat serbuan minggu lalu dan penganiayaan lain terhadap Zunar, hasil karyanya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sepatutnya diraikan. CRNI membantah keras layanan seumpama itu terhadap Zunar yang disifatkannya sebagai "seorang anak penting kelahiran Malaysia". Sebaliknya, kata CRNI, Zunar sepatutnya dihargai oleh kerajaan sebagai satu contoh rakyat Malaysia yang terbaik dan pintar. Berikutan itu, Pengarah Eksekutif CRNI, Robert Russell menyeru jasabaik perdana menteri dalam memastikan hak kebebasan Zunar untuk bersuara seperti yang diperuntukkan kepadanya di bawah Perlembagaan Malaysia. Beliau berkata "puluhan ribu wartawan, pekerja hak asasi manusia dan peminat setia" mengikuti kartun dan tindakan yang diambil terhadap Zunar oleh pihak berkuasa. CRNI yang berpejabat di Amerika Syarikat, yang memperjuangkan kebebasan bersuara untuk kartunis, telah mengikuti kes Zunar selama tiga tahun, katanya. Buku kartun Zunar berulang kali diharamkan dan beliau telah ditangkap pada tahun 2010, pada hari yang sama dia dijadual melancarkan karyanya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Dia dibawa ke enam balai polis sebelum ditahan semalaman di lokap balai polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kira-kira 60 km dari tempat dia ditangkap. Russell berkata penganiayaan terhadap Zunar melanggar Artikel 19 Deklarasi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia yang turut ditandatangani oleh kerajaan Malaysia, yang menjamin kebebasan bersuara tanpa takut kepada tindakan undang-undang. Pada 28 Januari lalu, polis menyerbu pejabat Zunar sebagai sebahagian siasatan di bawah Akta Hasutan 1948. | ||||
Kampung Pasir Tumboh, projek pertama Impian Kelantan Posted: 02 Feb 2015 04:22 PM PST Roketkini.com GUA MUSANG – Meskipun baru sahaja dilancarkan Sabtu lalu, Gabungan Impian Kelantan telah pun memulakan projek pertama dengan membina semula perumahan yang rosak di Kampung Pasir Tumboh di jajahan Gua Musang. Wakil NGO Cakna UT Tuan Lokman berkata, usaha membina semula dan membaiki rumah di tapak asal adalah lebih munasabah, berbanding memberikan rumah transit kepada mangsa banjir sepertimana dilakukan Kerajaan Persekutuan. Beliau berkata demikian ketika meninjau kampung tersebut yang terletak di tebing Sungai Betis yang menenggelamkan seluruh kampung tersebut ketika banjir melanda bulan lalu. "Sampai bila nak tinggal dalam khemah. Berapa lama pula nak duduk dalam rumah transit? "Nanti perlu pindah ke tapak rumah asal juga," ujarnya ketika meninjau kawasan sekitar Manek Urai yang dipenuhi sampah sarap dan kain baju berselerak selain harta benda mangsa yang bergantungan di dahan-dahan pokok. Menurut Lokman, kira-kira 60 pemilik dari 90 buah rumah bersetuju untuk dibaikpulih, manakala selebihnya masih menunggu bantuan dari kerajaan Pusat. "Kita nak tengok lama mana dia nak tunggu," ujar penduduk setempat yang mengaku sudah letih dan berputus asa dengan kerajaan pusat Barisan Nasional yang tidak menghiraukan mereka. Menurut Tuan Lokman, projek membaikpulih di Kampung Pasir Tumbuh dijangka siap dalam masa enam bulan, dengan dana disumbangkan melalui inisiatif Gabungan Impian Kelantan. "Beras, sardin, biskut cukup buat makan setahun. Apa yang diperlukan oleh mereka ialah rumah tempat tinggal," katanya sambil menunjuk ke arah sebuah rumah yang hanya tinggal tiga anak tangga. Sebulan banjir surut, masih ada tinggal di khemah Sementara itu pemandangan menyayat hati di sekitar Jalan Gua Musang – Kota Bharu masih lagi boleh dilihat. Dengan keadaan rumah yang roboh atau dihanyutkan arus banjir setinggi pokok kelapa, orang ramai masih lagi hidup di dalam khemah selepas lebih sebulan banjir berlaku. Dalam pada itu kata Tuan Lokman, kerajaan negeri baru-baru ini bermesyuarat dan meluluskan peruntukan RM10 ribu untuk satu kawasan DUN yang terjejas banjir, Namun katanya sumbangan berterusan daripada masyarakat amat diperlukan bagi membina semula rumah-rumah yang telah dihanyutkan air. Cakna UT merupakan salah satu daripada 39 NGO yang menganggotai Gabungan Impian Kelantan. Impian Kelantan yang dilancarkan Sabtu lalu bertujuan memberi sumbangan kepada rakyat negeri ini, antaranya melalui pembinaan rumah di beberapa lokasi terpilih. – Roketkini.com | ||||
Tahun Baru Cina 2015: Teresa Kok terbit satu lagi klip video satira Posted: 02 Feb 2015 04:20 PM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Sempena ketibaan Tahun Baru Cina 2015 tidak berapa lama lagi, Pejabat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim telah menghasilkan satu lagi klip video satira bertajuk '1 Goat Year, 1 Great Family'. Menurut Pegawai Khasnya Alice Lan Suet Ling, klip video tersebut yang turut melibatkan beberapa tokoh lain telah dimuat naik di halaman Facebook '1 Goat Year, 1 Great Family' hari ini "Antara tokoh yang turut membintangi klip video adalah Sasterawan Negara A Samad Said, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel dan ramai lagi. "Tajuk klip video kali ini diambil bersempena Tahun Kambing dalam zodiak Cina yang melambangkan kebaikan, keamanan dan keharmonian. "Mesej dalam klip video ini adalah untuk menyeru rakyat Malaysia berbilang kaum dan kepercayaan berbeza supaya menjadi satu keluarga besar yang menghargai kebaikan, keamanan dan keharmonian. "Tema ini juga diambil berikutan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan kemunculan ekstremis agama lebih setahun lalu yang mengancam keamanan serta keharmonian seluruh masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Kata Alice lagi, satu Majlis Makan Malam turut akan diadakan pada 12 Februari nanti dan kesemua 'bintang undangan' klip video bakal diundang sebagai tetamu khas. "Orang ramai yang berminat untuk menghadiri Majlis Makan Malam Khas boleh meninggalkan komen atau menghantar mesej peribadi di laman Facebook '1 Goat Year, 1 Great Family' dengan menyatakan mengapa mereka perlu dipilih menyertainya. "Penyertaan akan ditutup pada 3 Februari 2015, sebarang maklumat lanjut boleh layari laman Facebook '1 Goat Year, 1 Great Family'," ujarnya. -Roketkini.com | ||||
Asri kembali jadi mufti Perlis Posted: 02 Feb 2015 04:18 PM PST MALAYSIAKINI Pensyarah Datuk Dr Asri Zainul Abidin sekali lagi dilantik sebagai mufti Perlis menggantikan Datuk Dr Juanda Jaya. Beliau memulakan tugas di pejabatnya di Kangar hari ini. "Pohon doa semua rakyat Malaysia," katanya dalam Facebook beliau. Turut dipaparkan gambar beliau bekerja dalam pejabatnya. Asri kali pertama dilantik menjadi mufti Perlis pada 2006 menggantikan Datuk Mat Jahya Hussin yang berkhidmat selama 22 tahun. Semasa era pentadbirannya Asri terkenal sebagai seorang ulama yang lantang dan mengambil bahagian secara aktif dalam perdebatan isu semasa termasuk politik dan agama. Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, beliau berkata mahu memenuhi tanggungjawabnya kali ini untuk mempamerkan Islam sebagai "rahmat kepada seluruh alam". "Islam ini punca rahmat, bukan punca masalah. Isu-isu berkaitan Islam tidak harus menjadi punca rakyat berpecah belah. "Rakyat harus lihat Islam sebagai penyelesaian," katanya. Ditanya sama ada beliau akan terus lantang seperti sebelum ini, sambil ketawa kecil beliau menjawab: "Rakyat boleh nilai selepas ini. Ini sebuah dunia terbuka," katanya. | ||||
Zaidi habiskan hari terakhir sebagai tentera Posted: 02 Feb 2015 04:13 PM PST MALAYSIAKINI Beliau wira bagi sesetengah orang tetapi pesalah bagi pihak yang lain. Mejar Zaidi Ahmad hari ini menghabiskan hari terakhirnya sebagai pegawai tentera udara selepas dipecat ekoran isu sidang media berhubung dakwat kekal dalam pilihan raya. Sesuai dengan imej beraninya itu, Zaini juga membayangkan akan bergiat lebih aktif termasuk bertemu langsung dengan orang ramai. "Mulai hari ini siapa nak tempah ceramah sudah boleh. Allahuakbar!" katanya dalam mesej ringkasnya kepada Malaysiakini. Zaidi berkata beliau hari ini dipanggil menghadap komander pangkalan udara Butterworth untuk dibacakan sijil pengesahan hukuman yang ditandatangani panglima tentera udara pada 27 Januari. "Bermakna mulai dari tarikh itu saya bukan lagi seorang anggota tentera," katanya. Beliau juga berkata selepas ini akan melalui proses pemberhentian seperti membuat MyKad, memulangkan barangan dipinjam dan mengisi beberapa dokumen berkaitan. "Alhamdulillah harap-harap bayaran pencen dan ganjaran dibayar penuh dengan tiada pengurangan dan sebagainya," katanya. | ||||
'Ada tawaran, tapi Anwar enggan lari keluar' Posted: 02 Feb 2015 04:08 PM PST MALAYSIAKINI Menjelang keputusan kes Liwat II minggu depan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau ada dinasihatkan untuk tinggal dan berkhidmat di luar negara Nasihat itu, katanya, termasuk daripada sarjana terkenal dunia Islam Sheikh Yusof Al-Qardawi. "Saya yakin saya boleh bebas kalau ikut undang-undang. "Sheikh Yusof Al-Qardawi menasihatkan saya duduk di luar. Ada pemimpin Turki tawar jawatan penasihat agama dan ajak saya duduk sana. "Ini tempat lahir saya, ini negara saya, walau apa pun keputusannya nanti, saya tetap akan teruskan perjuangan dan tidak takut masuk penjara sebab dah pernah masuk penjara lapan tahun," katanya. Beliau bercakap di hadapan 3,000 orang di Seremban malam tadi, ceramah sulungnya dalam siri bertemakan "Rakyat Hakim Negara". Beliau selepas ini dijadual berceramah setiap malam di sepuluh tempat menjelang keputusan kesnya pada 10 Februari. "Mudah-mudahan saya bebas. "Tapi kawan-kawan kata, manalah tahu," katanya. Tak banyak ulas kes Dalam ceramahnya malam tadi Anwar tidak banyak mengulas tentang kesnya sebaliknya menyentuh pelbagai isu semasa. Ini termasuk sekatan memasuki Universiti Malaya untuk majlis pidato anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) hujung tahun lepas. "Saya bekas mahasiswa Universiti Malaya tapi tidak boleh masuk beri ucapan walaupun dijemput mahasiswa. "Saya dijemput oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya. "Akhirnya Fahmi Zainol, Presiden PMUM digantung pengajian (dua semester). "Jangan hina orang. Jangan amalkan rasuah. Seperti kata Mat Sabu tadi, inilah masa untuk berubah (Pilihan Raya Umum ke-14)," katanya. Di akhir ucapan, Anwar merakamkan penghargaan kepada pendukung reformasi sejak 16 tahun lepas. Gerakan reformasi bermula pada tahun 1998 selepas Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dipecat oleh perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut hadir dan berceramah malam tadi ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu); Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook dan Naib Presiden PKR, Tian Chua. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan