Sabtu, 14 Februari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Dua penjawat awam ditahan bersekedudukan

Posted: 14 Feb 2015 07:02 AM PST

SINAR HAIAN

Seorang anggota tentera dan pelajar kolej swasta ditahan kerana disyaki bersekedudukan di sebuah bilik hotel dalam operasi penguatkuasaan Hari Kekasih Jabatan Agama Islam Melaka di Malim Jaya di Melaka, awal pagi tadi. - Foto Bernama Seorang anggota tentera dan pelajar kolej swasta ditahan kerana disyaki bersekedudukan di sebuah bilik hotel dalam operasi penguatkuasaan Hari Kekasih Jabatan Agama Islam Melaka di Malim Jaya di Melaka, awal pagi tadi. - Foto Bernama
 
 
MELAKA - Dua penjawat awam antara lapan pasangan yang ditahan dalam operasi 'Hari Kekasih' oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) atas kesalahan melakukan maksiat di empat buah hotel di sekitar Melaka Tengah di sini, tengah malam tadi. 
 
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIM, Zurul Iman Zakaria berkata, seorang anggota tentera ditahan kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang pelajar kolej berusia 23 tahun di sebuah bilik hotel di Malim Jaya di sini pada jam 12.15 tengah malam.
 
Beliau berkata, lelaki berusia 36 tahun itu pada mulanya cuba terjun dari tingkat satu hotel berkenaan sambil memegang pakaian seragam tenteranya namun membatalkan hasrat itu sebelum membuka pintu bilik. 
 
"Lelaki itu membatalkan hasratnya apabila menyedari terdapat anggota Jaim menunggu di luar bangunan hotel," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua yang ditahan itu bukan pasangan suami isteri dan memberi alasan bermalam di hotel itu kerana ingin mengambil kereta di rumah kawannya. 
 
Zurul Iman berkata, seorang lagi penjawat awam daripada sebuah jabatan kerajaan di Melaka Tengah di sini ditahan bersama pasangannya di sebuah bilik hotel di Cheng di sini pada jam 12.50 tengah malam. 
 
Katanya, lelaki berusia 27 tahun bersama pasangannya berumur 30 tahun itu mengaku salah kerana bersekedudukan namun mendakwa dalam perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.
 
Beliau berkata, dua pasangan itu bersama enam lagi pasangan kekasih berusia antara 20 hingga 37 tahun dibawa ke pejabat Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa ikatan sah.
 
Sementara itu, katanya Jaim akan membuat laporan rasmi kepada Majlis
 
Bandaraya Melaka Bersejarah untuk mengambil tindakan terhadap sebuah hotel di Peringgit yang menyediakan kondom untuk pelanggan yang menginap di hotel berkenaan.
 
"Tindakan perlu diambil kerana perbuatan ini dilihat seperti menggalakkan aktiviti maksiat di negeri ini," katanya. - Bernama

Rapatkan kembali saf, fokus musuh yang satu

Posted: 14 Feb 2015 06:58 AM PST



Oleh ROY RASUL


LEGA.. Itu jawapan yang barangkali boleh disimpul oleh penyokong dan ahli ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat selepas mesyuarat pimpinan Pakatan, di ibu Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, 8 Februari lalu.

Dalam menterjermah keputusan penuh harmoni selepas tercapai ikatan memurnikan semula Pakatan Rakyat pencinta Pakatan Rakyat mahukan air yang keruh itu dijernih sejernih-jernihnya.

Bagi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat ikatan yang telah terjalin semula ini diharapkan tidak akan disia-siakan serta tidak menghampakan rakyat selain hendaklah bersikap rasional ketika bertindak.
Beliau cukup optimis bahawa Pakatan akan kembali  ke landasan sebenar apabila pertemuan 8 Februari lalu dapat merungkai kemelut yang selama ini hampir menggoncang putus tali persahabatan.

Suhaizan yang turut menjadi ahli korum dalam mesyuarat tersebut menyatakan bahawa tidak ada sebab Pakatan Rakyat berpecah.

Beliau lantas mencongak dengan hanya kerana perbezaan pandangan sesama parti sekadar 10 peratus sedangkan bakinya sebanyak 90 peratus lagi berada dalam sifir persamaan pandangan.

"Kenapa kita hendak berpecah akibat daripada meninggal perkara yang lebih besar.Rakyat telah membuktikan 52 peratus undian pilihan raya umum dahalu milik Pakatan Rakyat jadi apa lagi hendak dihujahkan," katanya

Berdasarkan pengalaman itu pemimpin atasan harus mengambil pendekataan untuk mengambil sikap kesepaduan.

Apa lagi pimpinan Pakatan Rakyat sudah berpuluh tahun berjuang dalam dunia politik.
Sepatutnya pengalaman mereka itu memperkuatkan lagi Pakatan Rakyat yang menjadi musuh ketat parti Umno-BN.

"Bagi saya mustahil Pakatan Rakyat boleh berderai di tengah jalan. Lawan kita Umno dan BN apa lagi BN hampir hancur malah pimpinannya sendiri bermasalah dengan pelbagai isu termasuk isu Altantunya.

"Ini peluang kita takkan dengan peluang terbentang luas di hadapan mata begitu senang hendak pecahkan pula," katanya.

Malah secara jujur beliau menyatakan mood rakyat sangat hampa dengan perbalahan yang terjadi sebelum ini. Jawapannya, pencinta Pakatan Rakyat mengidamkan Pakatan Rakyat berada di tampuk pemerintah negara.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al-Jundi menyifatkan kejayaan semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menemukan semula rentak kerjasama politik di antara partiparti komponen hadiah terbaik buat rakyat untuk tahun 2015 ini.

Malah dengan penuh kesyukuran semua orang mengharapkan agar kerjasama terus diperkukuhkan dengan semangat "saling faham memahami, saling hormat menghormati dan saling berkebajikan" di antara satu sama lain.

"Pakatan Rakyat Harapan Baru Untuk Malaysia," itu yang ditegasnya

Rakyat sudah pun memberi mandat besar kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lepas.

Bahkan memberi kepercayaan penuh untuk menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri.Cuma dakwanya, sistem yang ada di Malaysia iaitu "past the post" menjadikan membuat Pakatan Rakyat belum berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Namun, dirinya yakin PRU14 sangat cerah untuk Pakatan Rakyat menang.Dalam masa sama tegasnya, bergantung kepada kebijaksanaan semua khususnya pimpinan-pimpinan utama Pakatan Rakyat merangka pelan kemenangan ini tanpa meminggirkan rakan parti sama ada dalam Pakatan Rakyat mahupun kalangan NGO dan Third Force yang mesra Pakatan Rakyat.

Semuanya mesti bergerak dan digerakkan seiring, kerana itu adalah asas. Pakatan Rakyat juga diharapkan terus menumpu kepada perkara-perkara utama yang menumpu kepada kepentingan dan kebajikan rakyat.

"Saya harap keupayaan ekonomi dan taraf hidup rakyat mesti diberikan perhatian," ujarnya.

Mengangkat semula ekonomi negara untuk memasti kebajikan masa depan rakyat lebih sejahtera perlu digerakkan seiring.Mulai sekarang beliau mengharapkan semua pihak menghalakan fokus kritikan dan membongkar segala kepincangan pentadbiran berterusan yang dilakukan pihak Umno BN.

Serangan kepada satu sama lain di dalam Pakatan Rakyat secara terbuka dan wewenang mesti dihentikan.

"Cabar mencabar sesama tidak akan memberi apa pun kebaikan malah pihak musuh akan ambil kesempatan," katanya.

Amalan perbincangan hatta perdebatan berdasarkan hujah mesti diamalkan dalam konteks meja mesyuarat atau perbincangan tertutup di antara parti.

Sementara itu bagi Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh keputusan yang dibuat secara bersama itu tekad pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan permuafakatan. Ini juga membuktikan harapan rakyat terletak kepada Pakatan Rakyat.

Betapa pentingnya kefahaman dilakarkan ketiga-tiga parti iaitu PAS, DAP dan juga PKR demi saling memahami.Pada masa sama sarannya, semua pihak perlu duduk berbincang dalam isu-isu yang mungkin dihadapi rakyat khususnya isu-isu perbezaan pendapat di antara ketiga-tiga parti.

"Pada saya, ini satu titik tolak untuk mulakan pergerakan semula kerjasama di antara tiga parti," katanya.

Buktikan kepada rakyat bahawa apa yang dibawa atau digagaskan itu benar-benar boleh menjadi penyelesaian kepada ekonomi, masalah hubungan antara kaum dan juga lain masalah yang melanda negara.

Tambahan pula rakyat sudah bosan situasi yang berlaku dalam rumah tangga Pakatan Rakyat baru-baru ini.

"Ini tidak dapat disembunyi lagi rasa bosan rakyat. Jadi saya harap dengan adanya mesyuarat ini ia bukan sekadar bertemu mesra begitu sahaja.

"Tetapi secara berterus terang kita telah pun bincang secara permulaan tentang isu-isu yang kita anggap sebagai isu hangat seperti isu Enakmen Jenayah Syariah (hudud), Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT)," ujarnya.

Keputusan yang dicapai itu baginya keputusan yang peting di mana satu mesyuarat khas Majlis Kepimpinan Tertinggi juga akan membincangkan dua isu itu secara lebih tuntas.

Jadi sudah tentu sokongan selepas ini khususnya daripada ahli ketiga-tiga parti amat perlu untuk saling kerjasama, tolong menolong dalam program masingmasing dan apa yang penting berikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat.

Perkara-perkara yang menyinggung rakan Pakatan Rakyat disarankan buat perbincangan dahulu sebelum dibawa kepada media atau antara parti sama parti.

Mengamati ingatan Penolong Bendahari Kebangsaan DAP Nga Kor Ming, ada logiknya juga. Bagi Nga Kor Ming, pimpinan Pakatan Rakyat mesti berusaha gigih untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Jadi, untuk berbuat demikian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat wajib mengadakan mesyuarat setiap bulan di mana semua pemimpin tertinggi perlu hadir untuk mencapai keputusan bersama.

Malah beliau juga mengingatkan, demi permuafakan Pakatan Rakyat semua pihak harus hormat kepada 'buku jingga' yang digariskan Pakatan Rakyat.

Kesemua itu supaya mana-mana dasar yang ingin dilaksanakan atau segala isu yang timbul harus mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga pihak.

"Sesiapa pun jangan sekali-kali menjadi batu penghalang untuk mengganti Umno memimpin negara ini," tegasnya Ini satu-satunya hasrat dan mandat daripada 52 peratus pengundi di seluruh negara dan semesti sebagai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, janganlah kecewakan mandat rakyat.

400 sertai demo keadilan untuk Anwar

Posted: 14 Feb 2015 06:47 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kira-kira seramai 400 orang gabungan mahasiwa dan anak muda berhimpun di pusat membeli belah Sogo petang ini sebagai sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir di perhimpunan yang bermula sekitar jam 4.30 petang ini ialah anak sulung Anwar, Nurul Izzah, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing, Adam Adli, Safuan Anang, Bawani KS, KC Heng dan Fahmi Zainol.

Mereka turut berucap dengan Nurul berkata mereka adik beradik akan berjaga di luar penjara setiap malam.

Manakala Nik Nazmi pula mengedarkan poskad "March 2 Freedom' yang dialamatkan kepada Anwar di penjara.

Pada kira-kira jam 5.40 petang, mereka mula berarak menuju ke Dataran Merdeka sambil melaungkan 'Reformasi' dan 'Hidup Anwar'.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya beralih menuju ke arah Pudu Raya kerana Dataran Merdeka ditutup.

Sambil berjalan, mereka menyanyikan lagu anak muda dan  lagu mahasiswa.

Kereta yang lalu lalang membunyikan hon berulang kali sebagai tanda sokongan

Terdapat 10 anggota polis yang kelihatan mengawal trafik. Kumpulan itu memenuhi dua lorong jalan di depan sogo, dan satu lagi untuk laluan kereta. Pihak polis hanya memerhatikan demonstrasi itu.

Kelihatan sekumpulan yang menutup muka dengan topeng menconteng bas polis dengan spray hitam dan merah dan meninggalkan kawasan itu.

Sumpah anak muda

Sesampainya di Pudu Raya aktivis anak muda Adam Adli membacakan "sumpah anak muda".

Katanya mereka akan terus berdemonstrasi setiap hari Sabtu sehingga kerajaan sedia ada sekarang ini tumbang.

Dalam sumpah itu turut menyebut mereka akan mengajak anak muda untuk turun minggu hadapan.

Sementara itu, Fahmi Zainol berkata, mereka memakai baju bewarna hitam menandakan demokrasi sudah mati, malah menjangkakan anak muda akan turun lebih ramai minggu hadapan.

"Hari ini kita jangka 500 orang akan turun, minggu depan jumlah yang turun kita pastikan akan meningkat sehingga kerajaan Najib tumbang.

"Rakyat akan turun lagi ramai minggu depan, rakyat sudah muak dengan kezaliman sekarang," katanya.

Tambahnya, idea membuat demo di Sogo hingga dataran kerana sejarah reformasi tahun 1998 bemula di situ.

Demonstrasi tersebut berakhir pada jam 7.15 malam dan beransur secara aman.

 

Anwar di penjara, ke mana PR dan BN?

Posted: 14 Feb 2015 06:44 AM PST


Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Anwar Ibrahim - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 
 
BELUM pun sempat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim memanaskan ranjangnya di Penjara Sungai Buloh, isu siapa akan mengetuai Pakatan Rakyat sudah menjadi tajuk berita.

Dalam sidang akhbar selepas keputusan Mahkamah Persetujuan 10 Februari, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), (Datin Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata belum ada kepastian yang Mohamed Azmin Mohd Ali akan diangkat menjadi Ketua Pembangkang menggantikan Anwar kerana keputusan belum dibuat.

Katanya, mesyuarat PR akan diadakan dalam masa terdekat bagi memutuskan pemimpin yang layak memegang jawatan tersebut.

"Mana dengar berita itu? Kita tak putuskan apa-apa lagi," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR.

Tidak dinafikan yang isu pengganti Anwar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen sangat penting kalau PR berhasrat menggunakan pemenjaraan Anwar sebagai pemangkin baru kawat cepat mereka ke Putrajaya.

Pertama, PR memerlukan ketua yang berwibawa bagi meneruskan kelangsungan (survival) dalam suasana di mana parti-parti anggota masih berbalah mengenai isu-isu ideologi dan dasar.

Kedua, PR memerlukan ketua yang boleh meyakinkan pengundi dan rakyat jelata mengenai kelayakannya memimpin negara.

Perdana Menteri Bayangan

Di negara-negara demokrasi matang yang berasaskan model Westminster, jawatan Ketua Pembangkang sangat penting kerana penyandang akan dilihat sebagai Perdana Menteri bayangan (shadow Prime Minister) atau Perdana Menteri menanti.

Sejak Anwar keluar penjara pada tahun 2004 dan kembali menjadi Ahli Dewan Rakyat pada tahun 2008, beliau adalah pilihan natural sebagai Ketua Pembangkang Parlimen. Beliau dilantik Ketua Pembangkang pada Ogos 2008.

Sebelum itu jawatan Ketua Pembangkang disandang oleh (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang (Pas) 2002–2004,  Lim Kit Siang (DAP) 2004–2008 dan (Datin Seri) Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR) Mac–Jul 2008.

Jadi pengganti Anwar tidak semestinya dari PKR. Dr Wan Azizah tidak layak kerana beliau bukan Ahli Parlimen dan Mohamed Azmin Ali mungkin "tidak sesuai" kerana masih "junior" dan mempunyai beban berat sebagai  Menteri Besar Selangor walaupun beliau juga Ahli Parlimen (Gombak).

Yang lebih layak adalah Lim Kit Siang kerana partinya mempunyai paling ramai anggota dalam Parlimen di kalangan komponen PR, iaitu 38. Tetapi kalau Abdul Hadi tidak dipertimbangkan, ahli Pas pula akan berasa disisihkan.

Sekiranya PR mahu menumpang pedati kepopularan Anwar dan menunjukkan setia kawan kepada beliau, ia akan memberi hak "first right of refusal" menolak pelantikan sebagai Ketua Pembangkang kepada PKR.

Kalau Mohamed Azmin dilantik Ketua Pembangkang ia akan memudakan lagi kepemimpinan PR dan ini akan memberi rangsangan tambahan kepada generasi muda menyokong PR.

Keputusan perlu dibuat segera kerana mesyuarat pertama Dewan Rakyat tahun ini akan bermula 9 Mac ini.

Sepanjang mengenai Anwar, penjara sudah menjadi darah dagingnya. Bagi beliau, tidak ada keadaan yang tidak menjanjikan kemungkinan. Beliau berpegang kukuh kepada frasa "politics is the art of the possible."

BN Tanpa Asakan Anwar

Barisan Nasional, khususnya Umno, akan terus merasa tempias pemenjaraan Anwar. Tetapi ada juga yang berpendapat ketiadaan Anwar di pentas terbuka akan memberi ruang kepada BN untuk menarik nafas panjang.

Manakala yang lain pula berasa ia akan mencetuskan cabaran baru kepada BN dalam bentuk undi simpati dan undi protes generasi muda pada pilihan raya umum akan datang.

Buat masa terdekat, apa pihak yang berpendapat ketiadaan Anwar mungkin menyebabkan penentang dan pengkritik Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak menjadi lebih vokal menuntut pengunduran beliau.

Apabila ditanya bekas Perdana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad pada 12 Februari berkata, kalau hari ini beliau Perdana Menteri, beliau akan mengundurkan diri kerana tidak popular lagi dengan rakyat jelata.

Umno bukan tidak sedar keadaannya sekarang. Saya amat yakin Umno tahu penyakit yang dihidapinya. Tahu bentuk dan puncanya (diagnosis). Tahu rawatan yang diperlukan dan tahu prognosisnya. Pemeriksaan pakar sudah banyak kali dilakukan cuma tidak ada tindakan susulan yang berkesan.

Maladinya ialah Umno semakin tua. Tindakannya adalah Umno memerlukan rawatan anti-penuaan yang radikal. Tanpa rawatan Umno akan mati sakit tua. Tetapi kalau menjalani rawatan "stem cell" yang radikal, proses penuaan boleh disekat dan sel-sel baru akan tumbuh bagi memudakannya semula.

Apabila ahli dan penyokong Umno berkata parti mereka dalam keadaan yang membimbangkan, ramai daripada mereka sekadar mengagak dan mengandaikan.

Tetapi di kalangan kepemimpinan tertinggi dan ibu pejabat Umno mereka tahu keadaan sebenar cuma mereka tidak tahu atau tidak berani memilih rawatan yang diperlukan.

Banyak kajian dan ujian kering (dry run) sudah dilakukan. Antara hasilnya ialah Umno berkemungkinan tidak dapat mempertahankan 88 kerusi yang dimenanginya dalam PRU 2013 apabila lebih ramai pemilih muda mendaftar untuk PRU akan datang.

Wujud kebimbangan yang bilangan kerusi Umno akan jatuh kepada 70 malah 60 sahaja kalau keadaan sekarang berterusan.

Sindrom PPP Dalam BN

BN ada 13 parti anggota tetapi lebih separuh dalam kategori PPP yang bukan saja tidak menampakkan kemajuan malah sekadar membanyakkan bilangan sahaja. PPP merujuk kepada People's Progressive Party.

Pada PRU 2013, Gerakan dan MCA masuk kategori itu – ditolak oleh orang Cina sendiri. Tsunami Cina, kata Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak. MIC pula sedang dalam krisis. Hatta kalau MIC kuat sekali pun ia hanya mampu menyumbang empat atau lima peratus undi sahaja kepada BN. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pun dalam keadaan yang sama.

Jadi, selain Umno dan beberapa buah parti etnik Sarawak, BN sebenarnya dalam keadaan terancam. Undi blok Cina yang dimonopoli oleh DAP/PR mustahil kembali kepada MCA atau Gerakan.

Orang Cina makin selesa dengan situasi sekarang di mana mereka terus menguasai ekonomi dan mendapat manfaat daripada sesetengah dasar serta transformasi ekonomi yang Mohd Najib pelopori. Manakala dalam arena politik pula mereka boleh bergantung kepada DAP/PR untuk mempertahankan hak mereka.

Kesimpulannya, pengukuhan BN harus bermula dengan Umno. BN tidak dapat diperkuatkan untuk menghadapi asakan PR dan ditransformasikan agar menjadi lebih kontemporari untuk menarik sokongan generasi muda kalau Umno tidak membebaskan dirinya daripada hierarki yang mengongkong, feudalisme dan dinasti.

Umno perlu melakukan pembedahan besar bagi memotong dan mengubati anggotanya yang lumpuh, kelemayuh (gangrenous) dan berkanser.

Atau Umno boleh terus percaya kepada jampi mantera para bomoh, tukang tilik, ahli sihir dan tukang karut politik yang akan menceritakan apa yang para pembesar Umno mahu dengar dan bukan apa yang mereka perlu tahu.

Wallahualam.

PKR tempang tanpa Anwar

Posted: 14 Feb 2015 06:42 AM PST


Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya. - Foto Bernama Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya. - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Pemerhati politik berpendapat perjalanan PKR tempang selepas tulang belakangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan lima tahun selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
 
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, kehebatan PKR selama ini adalah kerana sosok Anwar Ibrahim.
 
PKR tanpa Anwar memang tempang. Selama ini, kehebatan PKR itu adalah kerana Anwar. Jadi, sekarang menjadi cabaran dan ujian kepada pemimpin yang tinggal di belakang ini untuk memastikan mereka mengurangkan konflik dalam parti.
 
"Anwar itu harus jadi inspirasi kepada mereka untuk memantapkan lagi PKR dan bergerak ke hadapan," katanya kepada Sinar Online.
 
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman pula mencadangkan agar PKR segera melaksanakan penyusunan semula pemerintahan.
 
"Saya kira untuk beberapa ketika yang terdekat ini, mungkin PKR perlu melaksanakan susunan semula dan 'realignment' pemerintahan dan kepimpinan.
 
PKR kena bincang siapakah yang akan membawa panji-panji untuk PKR selepas ini," katanya.
 
Meskipun ramai yang menjangka Azmin Ali sebagai pengganti Anwar dalam kepimpinan PR, wujud pula kekangan jawatannya sebagai orang nombor dua parti dan membelakangkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
"Sekarang ini yang ada kuasa Azmin Ali walaupun Presidennya Wan Azizah. Tapi Wan Azizah pula hanya Adun, tidak lebih daripada itu," katanya.

Mengapa bila meninggal baru hendak hormat?

Posted: 14 Feb 2015 06:37 AM PST




Oleh Nomy Nozwir


Pertama sekali saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai kepada Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas menteri besar Kelantan dan Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS).

 Peninggalan beliau satu kehilangan besar bukan sahaja pada ahli parti PAS dan rakyat Kelantan, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sepanjang hari ini, saya menonton televisyen, baik dari stesen kerajaan atau swasta, semua menyiarkan tentang pemergian Allahyarham ke rahmatullah.
Tetapi mengapa bila Allahyarham sudah meninggalkan kita, media yang selama ini menghentam dan merenyak imejnya tiba-tiba sahaja bercakap tentang kewibawaan Allahyarham?

Saya masih ingat semasa Pilihan Raya Umum 1999, kebanyakan akhbar dan stesen televisyen memburuk-burukkan Allahyarham dengan mendakwanya "lebih rela bekerjasama dengan syaitan dari Umno".

Begitu juga dengan dakwaan pihak media tentang Allahyarham didakwa berkata 'Allah samseng" serta beberapa serangan peribadi dan kariernya sebagai menteri besar Kelantan.

Semasa Allahyarham masih hidup, media perdana mengatakan di bawah pentadbirannya sebagai mundur dan jumud, tetapi tiba-tiba hari ini media perdana mengatakan dia mempunyai jasa yang besar dan bermacam lagi pujian.

Saya faham, apabila kematian seseorang itu, tidak elok untuk kita bercakap tentang keburukan orang itu, tetapi mengapa media perdana hanya memuji Allahyarham hanya selepas beliau meninggal dunia?

Kerana dia seorang tokoh pembangkang, bukan?

Jangan lupa tentang segala maki hamun dan bermacam kata nista yang pernah dikatakan media perdana satu masa dulu.

Jika media perdana mahu berlaku adil, eloklah kiranya kalau mereka tidak sekadar berkata berbunga-bunga bila seseorang itu sudah tiada, tetapi semasa hidupnya pun, paling-paling pun, melaporkan perkara yang benar.

Janganlah hanya kerana dia seorang ahli pembangkang, sepanjang usianya dimaki dicerca, bila sudah meninggal barulah hendak memuji.

Di sini juga saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, saudara dan sahabat handai kepada Allahyarham Hasbullah Awang, seorang lagi legenda terutamanya dalam bidang penyiaran di negara ini.

Semoga kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat.

[PENCERAHAN] Beberapa "Kebetulan" Yang Allah Susun Pada Kematian TG Nik Aziz.

Posted: 14 Feb 2015 12:32 AM PST

KELAB GREENBOC



 

Ada beberapa kejadian luarbiasa berlaku pada ketika kematian TG Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kita bukan taksub, kita bukan mendewakan makhluk, tetapi ada beberapa beberapa hal dan kejadian berkaitan pemergian Allahyarham TG Nik Abdul Aziz menghadap Rabbul-Jalil.

Pertama, Allahyarham kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat. Hari Jumaat adalah penghulu bagi segala hari.

Memanglah kematian hari apa pun tidak menjadi hal asalkan saat penghujungnya baik atau dinamakan "khusnul khatimah", sebagaimana dalam hadits yang shahih :


إنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَـوَاتِيْمُ رواه البخاري وغَيْرُهُ.
"Sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya". [HR Bukhari dan selainnya]

Tetapi bagi TG NIk Abd Aziz, ia dilengkapi dan diindahkan dengan terpilihnya Allahyarham menghadap Allah pada hari Jumaat.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda :

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَuةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ
"Tidaklah seorang muslim meninggal pada hari Jum`at atau malam Jum`at, melainkan Allah akan menjaganya dari fitnah (siksa) kubur". [HR Ahmad dan Tirmidzi]
* Hadith di atas dikatakan hadith dhaif (lemah sanadnya) tetapi bukan hadith maudhu (rekaan). Pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafi'i, juga Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan boleh beramal dengan hadis dhaif secara mutlak.

Kedua, semasa jenazahnya diangkat, awan mendung berarak persis memayungi keranda yang diusung. Memberi keselesaan untuk semua hadirin yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk Tok Guru. Persekitaran yang turut menjadi dingin dengan angin kencang itu disambut dengan laungan 'Allahuakbar' berkali-kali oleh orang ramai beragama Islam di tanah perkuburan yang menganggapnya sebagai satu kejadian luar biasa.



Ketiga, tarikh kematian beliau sama dengan tarikh kematian Imam Hassan Al Banna, Mujadid Islam abad ke 19.


 LIHAT VIDEO DI SINI


Keempat, pemergian Tok Guru Nik Aziz juga "berkebetulan" sama dengan pemergian Allahyarham TG Ustaz Fadzil Mohd Noor, iaiatu ketika Anwar berada di penjara.

Ustaz Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2002, yang mana pada tahun itu Anwar berada di penjara setelah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa. Sementara TG Nik Abdul Aziz meninggal dunia selang beberapa hari Anwar dibawa ke penjara Sungai Buloh di atas tuduhan liwat. Ketiga-tiganya adalah pemimpin kesayangan dan harapan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.



Di dalam Islam, sebenarnya tiada apa yang dikatakan fenomena "kebetulan", kerana bagi orang yang beriman, semua hal dan keadaan adalah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Berangkat dari penegasan Allah dalam surah Ali Imran ayat 191 yang menegaskan "orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka".

Ayat tersebut lebih lanjut menegaskan bahawa manusia dengan segala penelitiannya tentang alam semesta ini akan memberikan nilai kesempurnaan bagi Penciptanya, iaitu Allah. Maka, manusia harus mahu meneliti dengan memahami ingatan Allah tentang apa saja, termasuk tentang alam semesta agar memperoleh keyakinan yang sempurna terhadap keagungan dan kesempurnaan Allah dengan segala ciptaannya.

I'tibar yang paling besar adalah, Allah sentiasa memberi petunjuk kepada kita termasuk hal-hal yang kita tempuhi di dalam hidup sehari-hari. Kerana sesungguhnya Allah punya peringatanNya tersendiri yang tidak sia-sia di dalam setiap kejadianNya untuk manusia pelajari ayat-ayat manzurahNya.

Maka adakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Ar-Ra'd 13:19)

Pergi, tinggalkan seribu pedoman

Posted: 14 Feb 2015 12:19 AM PST



JIKA nak ke KL, kena cari pemandu yang tahu jalan ke KL. Jika pemandu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai KL. Demikian juga dengan pemimpin.

Kita kena cari pemimpin yang tahu jalan ke akhirat. Jika tahu hanya memimpin setakat dunia, bagaimana kita mahu teruskan jalan ke akhirat?

Itu sedutan satu daripada banyak peringatan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disebarkan secara meluas sejak beliau menghembuskan nafas terakhir kelmarin.

Saya tidak bercadang paparkan banyak lagi kata-kata nasihat daripada Mursyidul Am Pas itu, yang, antara lain, juga Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Apa lagi biodata yang sudah banyak dipaparkan.

Cuma saya ingin berkongsi serba sedikit. Saya sendiri pernah menemuinya beberapa kali dan menulis hampir dua tahun lalu bahawa seperti lagu dan irama, Nik Abdul Aziz, Pas dan Kelantan tidak dapat dipisahkan.

Beliau timbul dan tenggelam bersama parti yang memperjuangkan Islam itu sejak 47 tahun lalu.

Maka, memang patut sangatlah ramai mengalirkan air mata mendapat berita sedih itu, membanjiri masjid untuk solat jenazah dan iringinya hingga ke pusara semalam.

"Islam bukan kepunyaan saya (sahaja). ALLAH beri pengetahuan bukan (hanya) kepada saya seorang," katanya selepas melepaskan jawatan menteri besar pada 6 Mei, 2013.

Walau apa pun, yang ketara ialah Nik Abdul Aziz meletakkan piawaian yang sangat tinggi untuk diteladani ramai pemimpin dalam dunia politik dan pentadbiran tanah air.

Kini, lebih-lebih lagi setelah beliau tiada, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin yang masih ada, untuk tidak merendahkan piawaian yang diletakkan itu.

Tidak memadai dengan hanya sekadar menghargai dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Nik Abdul Aziz, seorang ulama berkelulusan Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir sebelum menceburi politik Pas 48 tahun lalu, sering kali dikaitkan dengan ciri-ciri seorang zuhud dalam perjalanan hidupnya.

Sejak menjadi menteri besar pada 20 Oktober 1990, beliau tidak tinggal di kediaman rasminya di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Bharu, tetapi memilih untuk menetap di rumah kampungnya di belakang masjid, Pulau Melaka, dekat Kota Bharu.

Di masjid beliau mengimamkan solat, memberi kuliah dan melayan ramai orang yang datang.

Bahawa Nik Abdul Aziz, yang sentiasa dilihat dengan jubah dan serban itu, dikatakan memadam lampu ketika menunaikan solat di pejabat untuk mengelak daripada membelanjakan wang rakyat, sudah menjadi pengetahuan umum.

Untuk rekod, pada 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) menobatkan beliau sebagai menteri besar yang mempunyai rekod paling bersih di negara ini. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha gigih beliau menentang segala gejala rasuah.

Setahun kemudian, beliau dibariskan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims" (500 orang Islam paling berpengaruh).

Nik Abdul Aziz, bagaimanapun, tidak terlepas daripada perselisihan pendapat, pergeseran dan kemelut politik. Beliau masih dikritik pihak lawan biasanya disebabkan luahan perasaannya melalui kata-kata pedas terhadap mereka yang beliau anggap sebagai musuh kepada kemajuan dan peraturan berkaitan Islam.

Dengan segala kesulitan dalam mentadbir negeri yang sentiasa diserang musuh politik di samping mengatasi masalah dalaman yang kadangkala menggugat keutuhan partinya, kemampuan Nik Abdul Aziz menghadapi cabaran dengan jayanya adalah sesuatu yang bukan mudah ditandingi.

Moga ALLAH mengumpulkan Allahyarham bersama mereka yang diredaiNya. Al-Fatihah.

'Lima tahun penjara tidak berlebihan'

Posted: 14 Feb 2015 12:11 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Teks penghakiman penuh yang menyabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan liwat dan hukuman penjara lima tahun dimuatkan hari ini di laman web rasi Mahkamah Persekutuan.

Penghakiman sepanjang 116 halaman itu ditulis oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan ditandatangani oleh beliau dan juga empat orang anggota panel hakim yang memutuskan perkara itu secara sebulat suara.

Anggota lain dalam panel terseut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md Raus Sharif dan juga tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah Persekutuan pada hari Selasa lalu hanya mengeluarkan penghakiman sepanjang 56 halaman ketika menyampaikan keputusannya.

Hakim Ariffin dalam penghakiman penuhnya berkata, hukuman penjara lima tahun yang diputuskan ke atas ketua pembangkang itu tidak berlebihan.

"Mengambil kira betapa seriusnya kesalahan tersebut dan juga fakta bahawa perayu mengambil kesempatan ke atas kedudukannya sebagai majikan kepada mangsa yang muda itu, hukuman lima tahun itu tidaklah terlalu berlebihan.

"Kami berpandangan bahawa sekiranya Mahkamah Rayuan membuat kesilapan, ia lebih kepada meringankan hukuman," katanya.

Mengulas mengenai rayuan balas oleh pihak pendakwaan agar hukuman lebih berat dikenakan, Hakim Ariffin berkata ia tidak memadai untuk membolehkan campur tangan Mahkamah Persekutuan.

"Oleh itu kami menolak kedua-duanya, rayuan dan rayuan balas. Maka hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu diperakui," tegasnya.

Bomoh 'main golf' pula depan penjara Anwar

Posted: 14 Feb 2015 12:08 AM PST

MALAYSIAKINI


Pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain sekali lagi cuba mencetus kontroversi apabila dikesan muncul di luar Penjara Sungai Buloh yang menempatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu video yang disebarkan di Facebook menunjukkan beliau melakukan beberapa upacara, termasuk bermain golf di ruang letak kereta di luar pagar kompleks tersebut.

Rakaman sepanjang hampir tiga minit setengah itu menunjukkan beliau meneropong menggunakan potongan buluh dan mengetuk dua biji kelapa.

Ia seterusnya menunjukkan beliau memberi penerangan bahawa tindakannya itu untuk memberi perlindungan kepada Anwar daripada serangan "ilmu hitam".

"(Tindakan ini untuk) berikan perlindungan kepada Anwar Ibrahim supaya tabah hati dan dapat beribadat (dan) menjauhi kejahatan orang yang hasad dengki kepadanya," katanya dalam video

Beliau turut menunjukkan empat biji limau yang menurutnya bagi membunuh "empat ekor hantu raya".

Seterusnya, beliau memukul limau tersebut menggunakan kayu golf sambil bertakbir.

Ibrahim mula mencetus kontroversi apabila muncul di KLIA pada Mac tahun lalu ketika perhatian dunia tertumpu pada kes kehilangan pesawat MH370.

Beliau juga muncul di lokasi kemalangan yang mengakibatkan kematian pengerusi DAP Karpal Singh pada April tahun lalu.

Upacara yang dijalankannya itu mendapat kecaman kerana didakwa bercanggah dengan Islam dan memalukan negara.

Ucapan takziah Ibrahim Ali undang cemuhan

Posted: 14 Feb 2015 12:02 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Satu kenyataan di laman Facebook presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berhubung kematian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima cemuhan para pengguna media sosial itu.

Tulisan tersebut menerima lebih 2,500 komen yang rata-rata mengutuk dan mengecam bekas MP Pasir Mas itu kerana tidak sensitif.

Ibrahim dalam tulisan yang dimuatkan kira-kira tengah malam tadi antara lainnya menyebut bahawa pemergian Nik Abdul Aziz pada malam tadi "tidak mengejutkan" kerana "sudah lama tidak sihat".

Ibrahim juga mendakwa allahyarham "tidak banyak membangun kemajuan rakyat dan negeri Kelantan".

"Kalau ikut pada usianya, maka pemergiannya tidaklah mengejutkan dan sebelum ini sudah lama tidak sihat, umurnya juga panjang.

"Rakyat Kelantan ramai menyanjung nya kerana beliau dikatakan ulamak dan di gelar tok guru, walaupun beliau tidak banyak membangun kemajuan rakyat dan negeri kelantan.

"Malah kemajuan Islam di Kelantan tidak kemana dan hukum hudud gagal di laksanakan semasa hayat nya walaupun menjadi MB Kelantan lebih 20 tahun," tulisnya di laman tersebut.

Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan bahawa akaun Facebook yang memuatkan tulisan itu merupakan akaunnya.

Namun, beliau menjelaskan bahawa ia ditadbir oleh seorang individu lain, katanya yang kini berada di luar negara.

Beliau juga menyarankan agar media tidak menyiarkan rakaman berkenaan, yang kini disebarkan meluas di Internet.

Semakan kira-kira jam 12.30 petang mendapati kenyataan berkenaan didapati dipadamkan.

Ia kemudiannya diganti dengan satu ucapan takziah yang ringkas dan juga satu gambar ungkapan doa dalam bahasa Arab.

"Ada pihak urus (akaun Facebook)... Tak payah guna kenyataan (awal) itu," katanya melalui kiriman SMS.

Seorang pengguna Facebook antara lainnya menyifatkan Ibrahim bersikap "busuk hati" kerana sanggup mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Busuknya hati orang tua ini, moga bertaubat sebelum kau dijemput oleh pencipta," kata seorang pengulas yang menggunakan nama Nor Azlyna‎.

Seorang lagi pengulas, Rabiyatul Adawiah Ghani berkata Ibrahim perlu merenung kembali tindakannya.

"Semua orang dah screen shoot dan save di memori otak kenyataan awak itu. Kami minta awak mengucap panjang, kaji semula apa yang awak tulis," katanya.

Tidak kurang juga yang mahu Ibrahim menjelaskan lagi tindakannya.

"Saya nak bertanya kenapa Datuk padam status ini," soal Muhamad Zaid Farhan.

Jenazah Nik Aziz selamat disemadikan pagi ini dengan diiringi puluhan ribu penyokong di Pulau Melaka, Kota Bharu.
 

NGO India bantah terjemah al-Quran dalam bahasa Tamil

Posted: 13 Feb 2015 11:59 PM PST

MALAYSIAKINI


Gabungan NGO India membantah terjemahan al-Quran dalam bahasa Tamil, Cina, Inggeris dan Melayu untuk diedarkan kepada orang ramai kerana bimbang ia akan memberi kesan buruk kepada orang bukan Islam di negara ini.

Pengerusi Gerakan Hormat Semua Bangsa dan Agama (RARE) Malaysia, Kannan Ramasamy berkata, cara paling senang untuk menyebarkan naskah tersebut ialah kepada pelajar di sekolah namun pihaknya khuatir akan kekeliruan mengenainya.

"Kenapa harus edar kepada mereka yang bukan Islam? Kami ada kitab kami sendiri," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

"Kami risau sekiranya kitab suci yang diberi secara percuma kepada kanak-kanak bawah umur di sekolah dan orang bukan Islam, ia akan menimbulkan kekeliruan mengenai agama," tambahnya.

Sebelum ini, akhbar The Star melaporkan program kitab terjemahan "One Soul One Quran" anjuran Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS) untuk menerbitkan terjemahan al-Quran dalam empat bahasa (Bahasa Tamil, Cina, Inggeris dan Melayu), untuk diedarkan kepada masyarakat

Jakim juga turut bekerjasama dalam penghasilan kitab terjemahan tersebut.

Palanivel timbang tindakan mahkamah terhadap ROS

Posted: 13 Feb 2015 11:57 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Bosan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Presiden MIC Datuk G Palanivel sedang menimbang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap dakwaan "ketidakadilan" badan kerajaan itu ke atas partinya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Palanivel berkata mereka akan ke mahkamah melainkan jika ROS tidak menarik balik semua surat bertarikh 5 Disember 2014, 31 Disember 2014 dan 6 Februari 2015.

Katanya, ROS perlu berbuat demikian sebelum pukul 5 petang hari Selasa (17 Februari), dan menerima cadangan penyelesaian seperti yang dinyatakan dalam suratnya yang bertarikh 5 Februari.

Menurutnya lagi, tindakan ROS yang didakwanya memudaratkan dan menyalahi undang-undang perlu dihentikan serta-merta.

Minggu lepas, ROS mengeluarkan surat mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi semua cawangan itu, sayap, bahagian dan kepimpinan pusat.

Saran PRK tak dijalankan serentak

Posted: 13 Feb 2015 11:53 PM PST

SINAR HARIAN


Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU - Pas Kelantan mencadangkan agar PRK Parlimen Permatang Pauh dan Dun Chempaka tidak diadakan serentak agar kepimpinan parti dapat mengatur strategi meraih kemenangan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dimaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi Dun Chempaka selepas pemergian Adunnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Surat rasmi mengenai kekosongan kerusi hanya boleh dikeluarkan Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya'kub, kita harap PRK Parlimen Permatang Pauh dan Dun Chempaka tidak diadakan serentak, susah untuk kita nak ulang-alik," katanya kepada media di sini, semalam.

Ditanya mengenai pengganti Mursyidul Am Pas, Mohd Amar yang juga AJK Pas Pusat berkata, tidak ada pemilihan dalam mengisi jawatan tersebut, sebaliknya akan ditentukan Majlis Syura Ulama.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan pemergian Allahyarham Nik Aziz yang disifatkan kehilangan besar buat negara khususnya dalam perjuangan Islam.

Menurutnya, sumbangan Allahyarham dalam bidang dakwah dan politik Islam terlalu besar lebih-lebih lagi ketika mentadbir negeri ini sepanjang 23 tahun, malah banyak pembaharuan dan cetusan idea diberikan sehingga berjaya meletakkan satu tapak yang kukuh kepada pentadbiran berasaskan Islam.

"Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bukti yang jelas bagaimana bukti jelas pengiktirafan seluruh masyarakat terhadap kehebatan dan sumbangan yang diberikan Tok Guru," katanya.

Kereta Dr Hatta Ramli cuba dibakar

Posted: 13 Feb 2015 11:49 PM PST


Kenderaan Ahli Parlimen Kuala Krai cuba dibakar malam tadi. - Foto ihsan Jabatan bomba dan Penyelamat Selangor Kenderaan Ahli Parlimen Kuala Krai cuba dibakar malam tadi. - Foto ihsan Jabatan bomba dan Penyelamat Selangor
 
 
SHAH ALAM - Kereta milik Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli mengalami kerosakan kecil apabila cuba dibakar dipercayai perbuatan khianat di kediamannya di Desa Aras, Ampang, awal pagi tadi.
 
Ketika kejadian, kereta jenis Toyota Fortuner itu diparkir di hadapan rumah Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu. 
 
"Kejadian berlaku sekitar jam 3.30 pagi selepas saya baru pulang dari Kota Bharu," beliau dipetik sebagai berkata. 
 
Difahamkan, kejadian disedari oleh pengawal keselamatan di kawasan perumahan kediaman Hatta. 
 
Pengawal mengesyaki kereta dibakar apabila menemui sebatang kayu diselaputi kain dan kesan minyak petrol ditinggalkan di tempat kejadian.

BN tak perlu letak calon tanding Dun Chempaka

Posted: 13 Feb 2015 11:43 PM PST


Mustapa Mustapa
 
 
KOTA BHARU - Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan melalui pandangan peribadinya, BN tidak perlu meletakkan calon bagi mengisi kekosongan kerusi Dun Chempaka selepas kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mustapa berkata, sebagai pimpinan negeri, beliau mahu lebih fokus terhadap bantuan pacsa banjir terhadap mangsa-mangsa yang kehilangan kediaman dan harta benda dalam banjir Disember lalu.

"Buat masa ini saya, belum membuat perbincangan dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa namun segala keputusan akan ditentukan selepas perjumpaan nanti.

"Lagipun masih terlalu awal dan tidak sesuai untuk kita bincangkan hal ini memandangkan Nik Aziz baru sahaja meninggal dunia kelmarin.

"Jika ada pilihan raya kecil, banyak yang perlu kita fokus termasuk soal keselamatan dan mungkin akan berlaku pergeseran antara pimpinan parti. Jadi kini, kita harus fokus pada perpaduan dan bukannya perbalahan antara satu sama lain," katanya pada sidang media di Hotel Sutera Inn, di sini, pagi tadi.

Pada PRU13 lalu, Allahyarham Nik Aziz mempertahankan kerusi Dun Chempaka menewaskan calon BN.

Tiada ulasan: