Khamis, 12 Februari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Tiada larangan khusus terhadap adat berkabung

Posted: 12 Feb 2015 04:07 PM PST

SINAR HARIAN

Gambar Hiasan Gambar Hiasan
 
 
KUALA TERENGGANU - Hukum adat berkabung yang dilaksanakan bagi menghormati kemangkatan pembesar Diraja atau kematian pembesar mana-mana negeri adalah harus dan dibenarkan.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata, tiada larangan khusus terhadap adat berkabung berkenaan sama ada dalam al-Quran mahupun hadis dan ia termasuk dalam perkara al-Maskut 'Anhu atau yang disenyapkan oleh syarak dan dibenarkan syarak.

"Berkabung termasuk dalam hukum adat, maka ia tertakluk kepada kaedah al-Asl Fi al-Asya' al-Ibahah yang bermaksud asal hukum sesuatu (yang adat dan bukan ibadat) itu adalah harus kecuali ada dalil syarak yang menunjukkan sebaliknya.

"Bagaimanapun, keharusan itu mestilah tertakluk kepada beberapa syarat iaitu tidak bercanggah dengan akidah Islam seperti membabitkan kepercayaan terhadap sesuatu dan tidak berbentuk upacara ibadat agama lain dan melampaui batas seperti mendewa-dewakan orang yang telah mangkat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.   

Rozali berkata, keraguan masyarakat timbul dalam isu perkabungan ini apabila ada sesetengah pihak yang menyamakan hukum berkabung itu dengan  ihdad dan tazkiah sedangkan ia merupakan perbuatan yang berbeza.
 
"Ihdad hanya khas untuk kaum wanita yang kematian suami yang perlu meninggalkan perhiasan, wangian, keelokan selama empat bulan 10 hari sedangkan berkabung tidak khusus untuk kaum wanita dan ia umum untuk masyarakat dan semasa  berkabung masyarakat boleh memakai apa jua pakaian termasuk pakaian cantik.

"Berkabung juga berbeza dengan hukum memberi takziah kerana berkabung bukanlah ucapan tetapi membuat sesuatu yang menjadi tanda simpati, turut bersedih dan penghormatan...sekarang ini ramai yang mengangap berkabung sehingga 40 hari itu terlarang kerana ia seolah-olah memberi takziah melebihi tempohnya iaitu tiga hari. Hukum takziah sunat untuk tiga hari kematian,' katanya.

Justeru Rozali berkata, masyarakat tidak lagi perlu keliru dengan hukum berkabung ini kerana berkabung adalah adat yang hukumnya harus serta dibenarkan syarak. - Bernama

Mursyidul am PAS, Nik Aziz meninggal dunia

Posted: 12 Feb 2015 06:57 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini.

Anaknya, Nik Abduh mengesahkan perkara itu di Facebook.

"Dengan izin tuhannya, para malaikat datang menyempurnakan tugas mengiringi roh ayahanda menuju penciptanya tepat jam 9.40 pada malam Jumaat yang agung.

"Semoga ayahanda berbahagia di sisi Allah," katanya dalam rakaman di laman itu.

Katanya lagi, jenazah bapanya itu akan disembahyangkan pada jam 10 pagi esok di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Gambar yang dirakam pada malam ini menujukkan ramai penyokong berhimpun di perkarangan rumah bapanya itu di Pulau Melaka.

Terdahulu, Nik Aziz dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 8.40 malam ini.

Nik Abduh dalam tulisan terdahulu di Facebook petang ini berkata, tahap kesihatan bapanya itu merosot selepas rawatan ulser semalam.

Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke HUSM pada 19 Januari lalu.

Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Allahyarham, 84, meninggalkan seorang isteri, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan sepuluh orang anak.

Seorang daripadanya, Nik Abduh menjadi ahli politik PAS dan kini menjadi MP Pasir Mas.

Allahyarham mendapat pendidikan dalam bahasa Arab dan perundangan di Universiti Al-Azhar di Mesir dan merupakan seorang ulama yang disegani di kalangan masyarakat Islam.

Nik Abdul Aziz memenangi kerusi parlimen Kelantan Hilir (kini Pengkalan Chepa) dalam pilihan raya kecil 1967, selepas menyertai PAS pada tahun itu.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan semula PAS dan membolehkan parti itu menawan semula Kelantan pada 1990 dan menamatkan pentadbiran BN selama 12 tahun.

Beliau seterusnya dilantik menjadi menteri besar dan kekal di jawatan tersebut sebelum bersara pada 2013.

Nik Aziz kembali ke rahmatullah

Posted: 12 Feb 2015 06:49 AM PST


Nik Aziz Nik Aziz
KOTA BAHARU – [DIKEMASKINI] Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka jam 9.40 malam ini.

Allahyarham sebelum itu dibawa pulang pada 8.40 malam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan ditemani kaum keluarga.

Terdahulu, anaknya, Nik Mohamad Abduh memaklumkan di dalam Facebook tahap kesihatan bapanya menurun selepas menjalani rawatan ulser, semalam.

Sementara itu, orang ramai yang turut berada di pekarangan kediaman Allahyarham mengalirkan air mata sebaik dimaklumkan perkara itu.

Pemergian Allahyarham pada malam Jumaat dalam suasana cukup tenang selepas hampir sebulan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM.

Sementara itu, Nik Abduh mengesahkan bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi seluruh kaum keluarga pada jam 9.40 malam selepas sejam dibawa pulang dari HUSM.

Menurutnya, solat jenazah akan dilaksanakan pada 10 pagi esok di Masjid Pulau Melaka.

"Saya berharap rakyat Malaysia akan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat," katanya kepada media sebentar tadi.


AL-FATIHAH.

Hasbullah Awang meninggal dunia

Posted: 12 Feb 2015 02:31 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pengulas sukan terkenal tanah air Datuk Hasbullah Awang meninggal dunia hari ini akibat sakit jantung.

Hasbullah, 63, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.17 tengahari di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat cahaya mata.

Seorang anak saudara Allahyarham ketika ditemui di IJN berkata, bapa saudarannya itu merupakan seorang penyanyang dan periang.

"Suara beliau mengulas sukan akan sentiasa dirindu dan kehilangannya amat dirasai seisi keluarga," katanya.

Jenazahnya akan dikebumikan di Seksyen 32, Jalan Kebun, Shah Alam.

Antara yang hadir untuk menziarah termasuk rakan Allahyarham, Datuk Rahim Razali, Naib Presiden Persatuan Hoki Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad dan sebilangan para atlet negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengulas perkembangan itu berkata, Allahyarham akan diingati oleh pelbagai peringkat umur di negara ini.



Khairy Jamaluddin         @Khairykj
Sedih mendapat berita pemergian 'the voice of Malaysian sports' Datuk Hasbullah Awang sebentar tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT

KJ: Jangan sokong petisyen ke Rumah Putih

Posted: 12 Feb 2015 02:25 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa rakyat Malaysia agar tidak menyokong petisyen bekas duta Amerika Syarikat berkaitan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, petisyen bagi mendesak Rumah Putih menumpukan kepada soal "pembebasan Anwar" itu merupakan satu campur tangan dalam urusan dalam negara ini.

"Walaupun petisyen tersebut tidak boleh dihalang kerana ia merupakan amalan demokrasi di Amerika, Pemuda UMNO Malaysia ingin menegaskan bahawa kami menolak sebarang campur tangan asing dalam urusan dalaman negara kita.

"Kami tidak boleh terima sekiranya kes yang dibicara oleh mahkamah di Malaysia menjadi sebahagian daripada dasar dua hala Malaysia dan Amerika.

"Sebarang usaha untuk kes Anwar Ibrahim dijadikan 'bilateral issue' oleh kerajaan Amerika akan dianggap sebagai usaha mencampur tangan dalam isu dalaman kami dan mencabuli kedaulatan Malaysia.

"Kami juga berharap tiada rakyat Malaysia yang akan mendesak mana-mana kerajaan luar untuk memberi tekanan terhadap kerajaan Malaysia dalam kes ini," kata menteri belia dan sukan itu dalam kenyataannya.

Menurut Khairy, penyokong atau parti politik yang mendokong Anwar bagaimanapun tidak disekat untuk menyokong atau berhimpun di hadapan penjara Sungai Buloh.

"Tetapi jangan sesekali meminta campur tangan kerajaan asing dan mencabuli maruah, kebebasan dan kedaulatan negara kita," tegasnya.

Semalam, satu petisyen balas turut diwujudkan di laman web Rumah Putih menuntut AS "menghormati kedaulatan Malaysia".

Ia dibuat susulan kenyataan AS yang menzahirkan kekecewaan mereka terhadap sabitan bersalah dan pemenjaraan lima tahun ke atas Anwar.

Gelagat tweet IGP tarik perhatian dunia

Posted: 12 Feb 2015 02:19 AM PST

MALAYSIAKINI



Kerancakan ketua polis negara 'mengawal' laman sosial mikro Twitter mengundang perhatian dunia.

Akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat, New York Times semalam menyiarkan laporan Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan anggotanya menyiasat seorang kartunis dan dua ahli politik pembangkang kerana didakwa menghasut.

Kelmarin Kartunis Zunar ditahan ekoran satu posting dalam twitternya yang mengkritik hakim Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala dua anggota parlimen pembangkang itu ialah Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan MP Taiping Nga Kor Ming.

Ini ekoran Rafizi mempromosikan kempen Rakyat Hakim Negara di Twitter sebagai membantah tindakan terhadap Anwar, manakala Nga dalam tulisan di Twitter menyebut: "Doa rakyat tidak dimakbulkan. Tiba masanya untuk menentang rejim kejam".

Laporan New York Times menyebut: "Kerajaan selama beberapa dekad telah dituduh menggunakan undang-undang zalim dan kuno untuk meminggirkan dan menakut-nakutkan pengkritiknya.

"Tetapi kes-kes terbaru datang dengan sentuhan moden: pegawai polis tertinggi negara, Khalid Abu Bakar, menggunakan akaun Twitternya untuk mengeluarkan amaran kepada para pengkritik kerajaan dan untuk mengarahkan pegawai bawahannya untuk mengesan dan menyiasat suara yang menentang," kata laporan itu lagi.

'Kadar elektrik turun kerana Permatang Pauh?'

Posted: 12 Feb 2015 02:16 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tertanya-tanya sama ada penurunan kadar tarif elektrik, mempunyai apa-apa kaitan dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bakal diadakan.

"Mengapa ia hanya untuk empat bulan? Ia sepatutnya satu tahun sekurang-kurangnya.

"Adakah pemotongan tarif elektrik yang diumumkan itu kerana pilihan raya kecil Permatang Pauh?" katanya kepada pemberita hari ini.

Jika ini benar, tambahnya, maka ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan rakyat Malaysia hadiah yang sangat baik dengan masuk ke penjara.

Anwar yang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana disabitkan atas tuduhan liwat, mempunyai 14 hari untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Lim berkata, mengikut undang-undang, pilihan raya kecil itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari jika MP Permatang Pauh itu enggan memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong, atau jika beliau gagal dalam permohonannya itu.

'Mengapa empat bulan?'


Mengenai tarif baru elektrik, Lim yang juga setiausaha agung DAP menggesa agar ia dikurangkan sebanyak 35 peratus, berdasarkan keuntungan yang diperolehi oleh pembekal elektrik negara, TNB, tahun lepas.

"Kami tidak meminta pemotongan 50 peratus mengikut penurunan
harga minyak, yang turun dari USD105 kepada AS$50 setong," kata Lim.

"Kami mempersoalkan mengapa empat bulan sahaja untuk pengurangan kadar tarif itu apabila harga minyak dijangka kekal pada AS$50 setong - pengurangan 50 peratus," tambahnya.

Lim merujuk kepada pengumuman Menteri Air, Tenaga dan Teknologi, Datuk Maximus Ongkili bahawa kadar baru itu adalah untuk tempoh dari 1 Mac hingga 30 Jun.

Dengan kadar baru itu, kata menteri berkenaan, pengguna boleh menjimatkan antara RM13 dan RM45 sebulan bergantung kepada kadar penggunaannya.

Rosmah 'dewi ilham' komik terbaru Zunar

Posted: 12 Feb 2015 02:09 AM PST

MALAYSIAKINI


 



Walaupun masih berkurung di lokap polis mulai dua hari lalu, kartunis politik terkenal Zunar tetap bersemangat melancarkan buku terbarunya Sabtu ini.

Perintah reman terhadap Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, selama tiga hari berakhir dua hari lagi, yang kebetulan  dengan sambutan Hari Kekasih.

Komik terbarunya itu pula menampilkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai watak utama.

Acara pelancaran ROS in Kangkong Land pada 14 Februari ini bermula jam 10 pagi di kawasan lapang berdekatan pusat membeli-belah Amcorp Mall.

"Rosmah sumber ilham saya dan beliau seorang yang amat senang dikartunkan. Setiap kali beliau bercakap, saya dapat ilham.

"Jadi buku ini didekasikan khas buat beliau.

"Saya akan hadiahkan satu naskhah dengan tandatangan kepadanya sebagai tanda terima kasih," kata Zunar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan bersama? Liow kata tak tahu

Posted: 12 Feb 2015 02:03 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menafikan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan bersama dengan Datuk Seri Ismail Sabri yang mendakwa isu yang timbul sebelum ini hanyalah satu "salah faham".

Liow yang terkejut dengan perkara itu berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai "kenyataan bersama" dengan menteri pertanian dan industri asas tani itu.

"Saya tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media bersama dengan Datuk Seri Ismail Sabri.

"Macam mana satu kenyataan bersama dikeluarkan tanpa pengetahuan saya?," soalnya di Twitter.

Saya tak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media bersama dgn DS Ismail Sabri. How can a joint statement issued without my knowledge?

Kenyataan yang dipertikaikannya itu dimuatkan di laman Facebook Ismail Sabri, kira-kira jam 2.30 petang ini.

Ia kemudiannya dipadamkan selepas Liow mengeluarkan kenyataan di Twitter.

Liow juga kecewa kerana Ismail Sabri masih belum menghubunginya petang ini untuk membincangkan isu tersebut.

"Sehingga kini tiada panggilan daripada Datuk Seri Ismail Sabri tiada perbincangan hari ini, bagaimana satu kenyataan bersama boleh diterbitkan dan disebar luas?," soalnya.

MP PAS: Anwar mungkin tak mohon keampunan

Posted: 12 Feb 2015 02:01 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak akan memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ini kerana sekiranya Anwar berbuat demikian, ia seperti membuktikan bahawa ketua pembangkang itu bersalah di atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

"Saya tak tahu maklumatnya tetapi saya yakin Anwar tidak akan membuat permohonan (pengampunan) kerana ia membawa pengertian seperti dia bersalah," katanya kepada pemberita selepas sidang media di pejabatnya di Shah Alam.

PAS ajak ahli boikot restoran nasi Arab?

Posted: 12 Feb 2015 01:58 AM PST

 
Alasan yang diberikan Sekretariat Urusan Ulamak PAS Kawasan Gombak ialah pemilik restoran itu sengaja berkonfrontasi dengan PAS Gombak dalam banyak isu


pasafc


PETALING JAYA: PAS Gombak mengajak semua ahli dan penyokongnya memboikot Restoran Nasi Arab al-Amin di Greenwood dengan alasan pemiliknya, Hamzah Jaafar terlibat secara aktif dengan Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

Arahan dalam bentuk risalah itu dikatakan diedarkan khusus untuk ahli dan penyokong PAS Kawasan Gombak sahaja sejak tiga hari lalu.

Menurut sumber, alasan yang diberikan Sekretariat Urusan Ulamak PAS Kawasan Gombak ialah pemilik restoran itu sengaja berkonfrontasi dengan PAS Gombak dalam banyak isu.

Selain itu, katanya, Hamzah juga dikatakan terlibat dengan PasMa dan menyokong golongan yang anti kepimpinan ulamak.

"Hamzah juga bertanggungjawab membatalkan ceramah perdana Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Mokhtar Senik di Ar-Rahimah kerana hadir berdemonstrasi mempertahankan Presiden PAS di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pada 8 Februari lalu.

"Kebetulan pemilik restoran nasi Arab ini adalah nazir di masjid berkenaan dan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan," kata sumber itu.

Katanya, seruan itu untuk ahli dan penyokong PAS yang akur dengan keputusan Majlis Syura Ulamak agar tidak terlibat dengan PasMa.

Sementara itu, Hamzah dalam kenyataan balasnya menafikan semua tuduhan dalam risalah yang diedarkan oleh Urusan Ulamak PAS Gombak itu dengan menyifatkan berlaku salah faham terhadapnya.

Katanya, pembatalan ceramah perdana itu diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Ar-Rahimah, bukan beliau walaupun dilantik sebagai nazir di masjid berkenaan.

"Pembatalan kuliah tersebut dibuat setelah isu tauliah dibangkitkan, di samping pihak masjid mengambil kira isi kandungan ustaz berkenaan," katanya.

Hamzah turut menafikan berkonfrantasi dengan PAS Gombak dan tidak pernah mendaftar sebagai ahli Pas di kawasan itu mahupun terlibat dengan PasMa.

Katanya, adakah dengan kehadiran pemimpin atau ahli PasMa ke restorannya untuk makan, beliau dianggap terlibat dengan persatuan itu.

"Bagaimana pula dengan kehadiran orang Cina, India, UMNO, PKR dan sebagainya di restoran saya. Adakah saya menjadi orang Cina, India, UMNO dan PKR," soalnya.

Tak perlu tergesa-gesa cari pengganti Ketua Pembangkang – Guan Eng

Posted: 12 Feb 2015 01:54 AM PST

 
Apa yang penting buat masa ini, kita bagi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap anggota Parlimen Permatang Pauh itu.


Lim Guan Eng_anwar_300


PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pakatan pembangkang tidak perlu tergesa-gesa mencari calon ketua pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun setelah disabit kesalahan meliwat.

"Apa yang penting buat masa ini, kita bagi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap anggota Parlimen Permatang Pauh itu yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

"Seperti yang saya katakan semalam, kita tidak perlu tergesa-gesa kerana masih ada 14 hari lagi (Anwar hilang kelayakan sebagai ketua pembangkang dan anggota Parlimen selepas habis tempoh 14 hari daripada tarikh berkuat kuasa sesuatu penghakiman atau hukuman mahkamah terhadapnya)," katanya pada sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

Bagaimanapun, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, perkara itu akan menjadi antara isu yang bakal dibincangkan pada mesyuarat majlis kepimpinan pakatan pembangkang di Kuala Lumpur, Jumaat, lapor mStar Online.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.

Anwar kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Liwat II: PMO jawab isu kenyataan kilatnya

Posted: 11 Feb 2015 04:18 PM PST

MALAYSIAKINI


Tindakan pantas Pejabat Perdana Menteri dalam mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan kritikan baru.

Kritikan tersebut timbul kerana tindakan perdana menteri tidak setangkas itu apabila menghadapi tragedi seperti kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.


 
 
Perdana Menteri hanya mengadakan sidang media pada malam kejadian pada 8 Mac.

Dalam kes penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai lalu, para pengkritik mendakwa PMO mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan kenyataan.

Najib mengadakan sidang media pada dinihari berhubung kes pesawat malang tersebut.

Dalam kes bencana banjir yang melanda pantai timur semenanjung pada Disember lalu, PMO juga hanya memberi reaksi beberapa hari kemudian.

Najib juga dilaporkan bergegas pulang selepas gambar menunjukkan beliau bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii muncul di Internet.

Namun, PMO tangkas mengeluarkan kenyataan berhubung sabitan kes Liwat II semalam hanya dalam tempoh 15 minit, malah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas Anwar.

Mengulas kritikan tersebut, PMO menjelaskan bahawa kenyataan tersebut sudahpun disediakan lebih awal.

Seorang jurucakap kerajaan berkata, dakwaan yang menimbulkan perkara sebaliknya dianggap "mengelirukan".

Jelasnya, tindakan kerajaan itu sama dengan persediaan yang dijalankan oleh redaksi berita yang menyediakan dami laporan bagi keputusan yang mungkin diputuskan mahkamah.

"Jelas sekali ahli politik, peguam, pasukan komunikasi dan wartawan yang terlibat dengan kes ini menyediakan teks untuk keputusan bersalah dan tidak bersalah.

"Begitu juga, kerajaan menyediakan kenyataan lebih awaal untuk kedua-dua keputusan yang mungkin timbul.

"Ini secara keseluruhan adalah amalan profesional standard, terutama dalam kes melibatkan kepentingan awam," kenyataan itu dipetik.
 

Cahaya lilin solidariti di Penjara Sungai Buloh

Posted: 11 Feb 2015 04:15 PM PST


Perhimpunan solidariti (nyalaan lilin) di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Perhimpunan solidariti (nyalaan lilin) di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini malam ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
SUNGAI BULOH - Seramai kira-kira 300 penyokong Ketua Pembangkang,Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di hadapan Penjara Sungai Buloh malam ini.

Mereka berkumpul sambil memegang lilin menunjukkan tanda solidariti terhadap Anwar.

Beberapa pemimpin PR turut sama memberikan ucapan antaranya Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Mohd Nasaie Ismail dan anak ketiga Anwar, Mohd Ehsan.

Tian Chua dalam ucapannya berkata, himpunan tersebut akan diadakan sepanjang malam sehingga Anwar dibebaskan.

"Ini bukan sahaja bertujuan untuk menuntut pembebasan Anwar tetapi juga untuk menunjukkan rakyat marah terhadap sistem perundangan negara," katanya.

Laungan "Reformasi" dan "Bebas Anwar" terus berkumandang namun himpunan berlangsung dengan aman.

Pihak keselamatan penjara berkawal seawal jam 8 malam dan himpunan bersurai jam 10.45 malam.

Berbalas petisyen di laman web Rumah Putih

Posted: 11 Feb 2015 04:11 PM PST


Satu petisyen yang mendesak agar Presidennya, Barack Obama segera campur tangan untuk membebaskan Anwar dari penjara telah mendapat 24,572 sokongan setakat jam 8 malam ini. Satu petisyen yang mendesak agar Presidennya, Barack Obama segera campur tangan untuk membebaskan Anwar dari penjara telah mendapat 24,572 sokongan setakat jam 8 malam ini.
 
 
SHAH ALAM - Laman web petisyen untuk kegunaan rakyat Amerika Syarikat (AS) menjadi platform terbaru penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bantahan terhadap keputusan mahkamah dan mendesak campur tangan AS untuk membebaskan pemimpin pembangkang itu.

Satu petisyen yang mendesak agar Presidennya, Barack Obama segera campur tangan untuk membebaskan Anwar dari penjara telah mendapat 24,572 sokongan setakat jam 8 malam ini.

"White House mengeluarkan kenyataan, kesal dengan tindakan ke atas Anwar...tapi kenyataan sahaja tidak cukup.

"Kata-kata itu perlu diikuti dengan tindakan. Masa depan demokrasi di Malaysia dipertaruhkan," antara petikan petisyen itu yang dibuat oleh pemilik akaun bernama J.M.

Selang beberapa jam kemudian, wujud pula satu lagi petisyen yang meminta agar kerajaan AS menghormati kedaulatan perundangan Malaysia.

"Kami rakyat Malaysia terkejut dengan kenyataan White House yang melahirkan kekesalan atas sabitan ke atas Anwar  dan mempersoalkan undang-undang serta keadilan sistem kehakiman di Malaysia.

"AS perlu melihat kepada isu-isu hak asasi manusia mereka sendiri dan berhenti menyeksa tahanan di Guantanamo Bay. Kami rakyat cinta akan keamanan menggesa AS berhenti campur tangan dalam badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang Malaysia," antara petikan petisyen itu.

Setakat berita ini tulis, 623 sokongan telah diberikan terhadap petisyen tersebut.

Turun harga barang sejajar tarif elektrik

Posted: 11 Feb 2015 04:09 PM PST

SINAR HARIAN


pencawang elektrik
 
 
JOHOR BAHRU - Para peniaga di negeri ini digesa tidak menaikkan harga barangan sewenangnya sejajar penurunan tarif elektrik yang diumum kerajaan, hari ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, para peniaga kini tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menurunkan harga jualan berikutan pengumuman itu.

"Kita amat menyambut baik penurunan tarif elektrik itu dan kita mohon pengilang dan pembekal juga supaya menurunkan harga dalam mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.
 
Siew Kiong berkata, demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan musim perayaan Tahun Baharu Cina 2015 bersama pembekal, pengedar dan agensi, di sini.
 
Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk menurunkan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen/kWj bagi pengguna di Semenanjung Malaysia, berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

Selain itu, purata kadar tarif elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj, berkuat kuasa bagi tempoh sama, penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa.
 
Mengenai Tahun Baharu Cina Siew Kiong berkata, keperluan bekalan di negeri ini adalah mencukupi sepanjang menyambut perayaan tersebut.
 
"Sehubungan itu, kita berharap para pengguna tidak bimbang dengan kekurangan bekalan yang dihadapi dan kita sentiasa membuat pemantauan bagi mengelakkan ada peniaga yang sengaja menaikkan harga," katanya.- Bernama

Hukuman syarak beri keadilan berbanding hukuman sivil - Ahmad Yakob

Posted: 11 Feb 2015 04:00 PM PST

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yaakob berkata penghakiman menggunakan hukuman syarak adalah lebih wajar dalam kes seumpama liwat kerana ia memberi keadilan kepada tertuduh.  
 
"Pada hakikatnya kita lebih selesa dengan hukuman syarak berbanding hukuman sivil dalam kes seumpama ini yang mana hukuman syarak lebih cermat dan terlalu memberi keadilan kepada yang dituduh," ujar Ahmad yang dipetik daripada Facebooknya.
 
Menteri Besar Kelantan itu menulis status berkenaan sebagai respon terhadap penghakiman kes liwat II melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
 
Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Anwar dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
 
Beliau dalam pada itu turut merakamkan ucapan takziah kepada Anwar dan keluarganya di atas keputusan mahkamah berkenaan.   
 
"Semoga Anwar dan keluarga dapat melalui ujian ini dengan sabar dan saya bersimpati dengan beliau dengan penahanan yang agak lama ini," ujarnya.
 
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan pensabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat sebagai 'bukti' Malaysia memerlukan undang-undang hudud yang diperjuangkan oleh partinya. 
 
"Hanya undang-undang syariah sahaja boleh memberikan keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini, kata Hadi dalam satu kenyataan. 
 
"Maka, perlunya semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya Undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' yakni cara hidup Islam," tambah beliau.  

QZ8501: Mayat warga Malaysia dibawa pulang

Posted: 11 Feb 2015 03:58 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SURABAYA: Penantian keluarga rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden AirAsia QZ8501 pada 28 Dis tahun lepas berakhir, apabila mayat Sii Chung Huei diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada Rabu.
 
Mayat Sii dibawa berlepas dengan pesawat C-130 penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Landasan Udara Angkatan Laut (Lanudal) Tentera Nasional Indonesia di Juanda pada 10.40 pagi tadi.
 
Turut menaiki pesawat itu isteri Sii, Wong Muk Ngiik bersama dua anaknya serta beberapa anggota keluarga lain dan diiringi seorang pegawai dari Kedutaan Malaysia di Indonesia.
 
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, mayat Sii ditemui pada 5 Feb dan dikenal pasti menerusi ujian DNA dua hari lepas sebelum diserahkan kepada warisnya.
 
Katanya, Wong datang semula ke Surabaya pada 6 Feb sebaik sahaja mendapat tahu pihak berkuasa Indonesia telah menemui beberapa lagi mayat.
 
Wong dan beberapa anggota keluarganya sebelum itu berada di Surabaya selama lebih sebulan sejak hari kejadian pada 28 Dis tahun lepas untuk menunggu pencarian mayat suaminya.
 
"Kami berterima kasih kepada TUDM dan AirAsia yang telah banyak membantu bagi memudahkan kerja-kerja menguruskan dan menyerahkan jenazah kepada waris Sii serta membawa mayat dan waris ke Kuching di Sarawak," kata Zahrain kepada pemberita di sini, Rabu.
 
Turut hadir mengiringi mayat mendiang di Lanudal ialah isteri Zahrain, Datin Seri Che Mahani Ismail.
 
Sii, 56, seorang ahli perniagaan berasal dari Kuching dan berpangkalan di Jakarta merupakan rakyat Malaysia tunggal yang berada dalam pesawat malang yang terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura pada pagi 28 Dis lepas.
 
Pesawat itu membawa 162 orang dan setakat ini sebanyak 102 mayat ditemui dan pihak berkuasa juga menemui kotak hitam pesawat itu dua minggu lepas.
 
Operasi mencari mayat masih diteruskan oleh Badan SAR Nasional (Basarnas).

Xavier kesal hakim keluar ketika Anwar berucap

Posted: 11 Feb 2015 03:56 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic



SHAH ALAM: Seorang pemimpin kanan PKR menyesali perbuatan barisan hakim yang mengadili kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan mahkamah ketika ketua pembangkang itu mengkritik keputusan mereka mengekalkan hukuman lima tahun ke atasnya.

Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata, sikap barisan hakim tidak mendengar sehingga habis Anwar ucapan memberi gambaran betapa rendah standard institusi kehakiman negara.

"Seolah-olah memejamkan mata, telinga dan hati, mereka melangkah keluar meninggalkan tempat duduk masing-masing apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap.

Dalam penghakiman semalam, Anwar diberi peluang untuk memperkatakan sesuatu usai keputusan dibacakan.

Anwar dalam ucapannya yang penuh beremosi meluahkan rasa kecewa dengan menyifatkan keputusan itu 'satu fabrikasi lengkap yang terhasil daripada satu konspirasi politik untuk menamatkan karier politiknya' dan mendakwa hakim 'tidak langsung memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas fakta kes'.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria kemudian mencelah dan mengingatkan Anwar ucapan beliau bukan satu mitigasi.

Peguam bela Datuk Seri Gopal Sri Ram menjawab anak guamnya ada hak untuk didengari.

"Beliau berhak untuk merayu bukannya mengecam mahkamah," kata Tun Arifin dengan nada suara tinggi.

Ketika Anwar teruskan ucapannya mengutuk badan kehakiman, Ketua Hakim Negara mengarahkan panel hakim supaya keluar.

Nuha pengganti Anwar di Permatang Pauh?

Posted: 11 Feb 2015 03:53 PM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar enggan mengesahkan adiknya, Nurul Nuha Anwar bakal mengisi kekosongan kerusi Permatang Pauh selepas bapa mereka dipenjarakan atas tuduhan liwat semalam.

"Tidak ada cadangan lagi dari pihak kami untuk mencalonkan mana-mana pihak. Kita mahu fokus kepada perjuangan menuntut kebebasan bapa kami," katanya di sidang media pelancaran 'March to Freedom' di kediaman Ketua Umum PKR itu di Jalan Segambut pagi tadi.

Izzah berkata demikian sebagai menjawab sama ada kempen ini bertujuan mengetengahkan Nuha sebagai seorang lagi ahli keluarga Anwar yang akan menyertai politik tanah air.

Terlebih dahulu Nuha mengadakan sidang media berkenaan 'March to Freedom' sebagai satu langkah terbaharu membebaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bersabit kes liwat II terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Shaiful Bukhari Azlan.

Ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai berkenaan keadilan dan bagaimana 'memperbetulkan' kepincangan undang-undang negara yang sering berlaku kepada Anwar dan pemimpin pembangkang yang lain.

Keputusan penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Anwar semalam sekali gus membatalkan kelayakan beliau sebagai wakil rakyat Permatang Pauh.

Di sidang media yang sama juga, Nuha sekali lagi membangkitkan jaminan keselamatan pihak berkuasa dan penjara terhadap bapanya.

"Dahulu Anwar pernah diracuni arsenik dan kami terpaksa hantar sampel air kencingnya ke Australia walaupun dinafikan pihak penjara Sungai Buloh ketika itu. Namun makmal Australia sahkan sampel itu ada racun," kata Nuha lagi.

Hal yang sama ditegaskan oleh Izzah.

"Bukan soal kami tidak percaya dengan keselamatan Anwar. Dahulu pun kami pernah minta jaminan Timbalan Ketua Polis ketika itu tapi apa yang terjadi adalah Anwar dipukul dalam keadaan bergari dan ditutup mata. Kami hanya mahu jaminan. Dan kami bercakap dalam isu bukan di luar fakta," katanya kepada media.

Izzah turut mendakwa ada dalang di sebalik keputusan mahkamah semalam yang cuba mematikan perjuangan politik Anwar dan pemimpin PR yang lain.

"Ketika kes Anwar tahun 1999, kesnya pernah disiasat oleh Majlis Peguam Antarabangsa dan pernah mengeluarkan satu jurnal berhubung ketidakadilan penghakiman negara terhadap Irene Fernandez dan Lim Guan Eng.

"Di mana ia (keputusan penghakiman) dipengaruhi oleh pihak eksekutif, yakni kerajaan," tegas Naib Presiden PKR itu.

Mkini anjur forum 'politik tanpa Anwar' esok

Posted: 11 Feb 2015 03:38 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, rakyat terus tertanya-tanya apakah yang bakal terjadi pada Pakatan Rakyat dan bagaimana bentuk politik negara jika gerakan pembangkang menjadi lemah.

Keluarga Anwar menganjurkan kempen 'Berarak demi kebebasan' dan PKR pula menganjurkan protes nyalaan lilin mulai malam ini di depan penjara Sungai Buloh.

Apakah siri kempen ini akan mendapat sambutan dan apakah pemenjaraan Anwar itu membangkitkan kemarahan rakyat?

Bagaimana pula impaknya terhadap Umno dan BN - sama ada positif atau sebaliknya?

Semua pertanyaan seumpama ini akan terjawab dalam forum 'Anwar dipenjara: Masa depan politik Malaysia' esok.

Selain bekas pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga dan aktivis politik Hishamuddin Rais, tokoh-tokoh lain yang akan membahaskan topik ini termasuklah naib presiden PKR Tian Chua, ahli jawatankuasa PAS, Datuk Mujahid Yusuf Rawa dan ahli jawatankuasa DAP, Liew Chin Tong.

Forum ini dianjurkan buat julung kalinya oleh Malaysiakini setelah berpindah ke bangunan barunya di Petaling Jaya tahun lalu.

Bangunan baru tiga tingkat ini menyediakan ruang diskusi yang boleh memuatkan kira-kira 100 peserta.

Forum ini, dengan kerjasama Kelab Bangsar Utama (KBU), akan disiarkan secara langsung melalui video dan radio dalam talian.

 

Untuk menghadiri program ini yang bermula jam 8 malam, alamatnya adalah seperti berikut:

PJ 51 Business Park
@Kini, No 9 Jalan 51/205 A,
Off Jalan Tandang, Petaling Jaya

Laporan: 1MDB mungkin kena status ingkar

Posted: 11 Feb 2015 03:36 PM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mungkin mungkin merangkul status pembayar ingkar jika tidak menunaikan bayaran pinjaman RM2 bilion menjelang akhir Februari, lapor Wall Street Journal.

Menurut laporan itu, bank di negara ini mengeluarkan kata dua itu apabila hilang sabar kerana 1MDB sudah dua kali melanggar tarikh akhir pembayaran pada November dan Januari.

"Individu yang mengetahui proses tersebut berkata, konsortium kreditor – termasuk Malayan Banking Bhd dan RHB Capital Bhd – memberitahu 1MDB untuk mengemukakan pelan pembayaran, jika tidak (mereka) akan menghadapi 'akibat keingkaran'," lapor akhbar bisnes itu.

1MDB ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu.

1MDB sebelum ini tetap dengan pendirian bahawa ia tidak pernah gagal membayar hutangnya.

Ancaman itu timbul susulan kenyataan Fitch Ratings bahawa status kewangan 1MDB menimbulkan "ketidakpastian" kerana kerajaan menjamin sebahagian daripada pinjaman itu.

Pinjaman RM2 bilion itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan liabilitinya berjumlah RM41.9 bilion setakat 31 Mac 2014.

Tiada ulasan: