DIALOG RAKYAT |
- Konsisten Anwar dalam perjuangan
- Kes Anwar fokus utama media nasional & antarabangsa
- MB : “Anwar pesan Selangor perlu terus maju ke hadapan”
- Golf sukan rakyat: Logikkah minat peribadi dijadikan dasar negara?
- Separuh daripada anggota Kabinet Najib perlu berundur
- Tiga Kes Di Era Najib Yang Menjadikan Api Lebih Membakar Dalam Sekam
- [BERGAMBAR] Keluarga Anwar Lantik Dr.Hatta Ketuai "March To Freedom"
- Keluarga Anwar Usaha Raih Simpati Antarabangsa
- 'Pernah tidur sekali, tak jadi apa-apa pun'
- Majlis Peguam persoal kejanggalan kes Anwar
- Anwar 'keluar' penjara Selasa depan
- Nurul Nuha tanding kerusi Pmtg Pauh?
- Forum 'masa depan politik tanpa Anwar' esok
- Wanita maut dikelar ketika disamun
- Dewan Ulama Pas simpati nasib Anwar
- Pas bincang calon ganti Anwar dalam masa terdekat
- Ada sesuatu yang “membusuk” dalam Malaysia – Dr Mahathir
- Anwar Yang Dipenjara, Najib Yang Tak Akan Tidur Lena
- Ucapan akhir Anwar dalam mahkamah menikam kelima-lima Hakim
- Pakatan Rakyat bincang 'pengganti' Anwar malam ini - Johari Abdul
- Kakitangan Bernama TV berdemo tuntut tunggakan gaji
- PKR anjur perhimpunan di Penjara Sungai Buloh
- Tiada keperluan tukar Presiden Pas
- Asal usul nama Padang Jawa
- 'Jangan jadi Cameron Highlands'
Konsisten Anwar dalam perjuangan Posted: 11 Feb 2015 05:36 AM PST Oleh Abd Shukur Harun PELBAGAI pihak, baik pemimpin Pakatan Rakyat, mahupun para penyokong, serta para penganalisis politik tidak merasakan perjuangan Pakatan akan terjejas dengan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahkan mereka merasakan perjuangan menegakkan keadilan akan bertambah hebat. Ini adalah keazaman dan komitmen pimpinan Pakatan Rakyat seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Presiden PKR, Muhd Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS, Datuk Haji Mustafa Ali dan lain-lain, yang percaya bahawa perjuangan Pakatan Rakyat akan diteruskan meskipun Anwar meringkuk dalam penjara selama lima tahun. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah terhadap Datuk Seri Anwar susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu. Presiden PAS itu berkata hanya undang-undang Islam mampu memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan dan kekeliruan. "Ia juga mengingatkan kita semua, hanya undang-undang syariah saja dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini. "Maka, perlulah semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' yakni cara hidup Islam," katanya. Presiden PAS itu menyatakan simpati kepada Anwar dan menyifatkan keputusan mahkamahh itu "satu lagi sejarah hitam negara". Katanya, keputusan itu mengulangi tragedi yang ditanggung oleh Anwar sebelum ini, merujuk keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes liwat pertamanya pada 1999 di mana Anwar dihukum penjara selama 9 tahun, tetapi dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan dan hukuman itu "Untuk itu, rakyat perlu melihat konsisten politik Anwar untuk terus menjadi pejuang rakyat," kata beliau sambil menasihatkan Anwar, ahli keluarganya dan seluruh anggota PKR dan Pakatan Rakyat (PR) supaya terus sabar dan istiqamah untuk kekal meeruskan perjuangan menegakkan keadilan bagi negara. Sementara itu, buat sementara waktu ini, dalam suasana yang masih sedih dan kecewa dengan keputusan mahkamah itu, pemimpin Pakatan belum bersedia untuk memikirkan hal-hal lain, kecuali memikirkan segera siapakah ganti Anwar sebagai pemimpin utama Pakatan dan juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Sementara itu, suasana di sekitar Istana Keadilan, di Putrajaya, sejak awal pagi Selasa hingga keputusan dicapai di sebelah tengah hari, sangat berwarna warni, di samping semuanya menantikan keputusan dengan tenang. Majoriti yang hadir di depan kawasan lapang Istana Keadilan itu, adalah generasi baru, pelbagai bangsa, sementara para pelaku politk veteran tetap ramai dengan penuh semangat. Sokongan besar rakyat pelbagai bangsa kepada Anwar tidak kurang hebatnya dibandingkan sokongan yang diterima beliau ketika dipenjarakan atas tuduhan liwat juga pada tahun 1999. Ini membuktikan pengaruh Anwar masih tidak berkurang dan terus menjadi ikon anak muda dengan pelbagai gaya mereka menantikan keputusan mahkamah. Ada yang membawa alat muzik, bermain gitar dan menyanyi lagu-lagu puisi, ada yang berceramah silih berganti. Yang sangat mengesankan ialah bacaan ayat-ayat suci, solat hajat dan munajat dari kumpulan yang besar juga jumlahnya. Di samping itu, di sudut lain, ada yang berpidato silih berganti dari aktivis politik. Di sana saya bertemu Senator Syed Husin Ali dan adiknya, Syed Hamid dari PKR Johor yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Juga bertemu dengan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, aktivis, Hishamudin Rais, bekas ahli parlimen Balik Pulau, peguam Yusmadi Yusuff, Adun Kuala Semantan Syed Hamid bin Syed Muhamad, tokoh PKR, Dr. Mohd Nor Manuty dan ramai lagi sahabat dari PKR, PAS dan DAP. Mereka semuanya menyatakan bahawa walapun DS Anwar Ibarhim meringkuk dalam penjara, tetapi perjuangannya untuk menegakkan kekadilan tetap ditetuskan. "Anwar membawa visi mulia dalam perjuangan menegakkan keadilan dan dia telah membayar dengan mahal harga perjuangan itu. Tetapi perjuangan tidak pernah sia-sia," kata Dr. Mohd Nor Manuty. Mereka semua amat bersimpati dengan isteri Anwar, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak mereka. Nampaknya keluarga ini sangat tabah dan sabar menghadapi keadaan yang sangat mencabar ini. Ada di antara mereka berpendapat Dr Wan Azizah boleh menggantikan Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan kosong berikutan pemenjaraan Anwar. Di samping itu ada pula yang mencadangkan nama lain, seperti nama Muhd Azmin Ali. Namun dalam keadaan duka nestafa ini, nampaknya PKR belum bersedia secara muktamad memilih calonnya. Hal ini kerana pepimpin Pakatan Rakyat bermesyuarat segera untuk menentukan siapakah ketua pembangkang yang baru. "Saya percaya ini akan mengukuhkan hubungan Pakatan Rakayat bagi meneruskan perjuangan," kata Azmin kepada pemberita di Istana Kehakiman, Putrajaya. Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik menerima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata. Hanya SPR yang boleh mengumumkan tarikh kekosongan kerusi berkenaan. "Dalam tempoh 10 hari daripada tarikh kekosongan, SPR akan mengumumkan beberapa tarikh penting termasuk tarikh bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi tersebut," kata beliau. Walau apapun yang terjadi, perjuangan Anwar akan diteruskan dan musuh Pakatan Rakyat akan kecewa jika menyangkakan bahawa pemenjaraan Anwar akan melumpuhkan perjuangan Pakatan Rakyat untuk menegakkan keadilan. Sesungguhnya legasi dan cita-citta dan perjuangan Anwar tidak mungkin dapat dikalahkan. Di sinilah saya teringat akan kata-kata Mahatma Gandhi: "You can detain me, you can torture me, you can even destroy this body, but you will never imprison my mind." | ||
Kes Anwar fokus utama media nasional & antarabangsa Posted: 11 Feb 2015 04:43 AM PST Oleh: NORHAYATI UMOR SHAH ALAM: Kes Fitnah 2 yang membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar dalam dan luar negara. Selain akhbar Malaysia, akhbar Kompas Indonesia mengeluarkan satu artikel dengan tajuk "Kasasi Putusan yang Ditolak, Anwar Ibrahim Akan Kembali Dipenjarakan" Rayuan Ditolak, Anwar Ibrahim Kembali ke Penjara). Manakala Singapura, The Straits Times melaporkan "Ketua Pembangkang Malaysia Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat II ; hukuman penjara 5 tahun mengekalkan". Artikel itu juga dipaparkan satu album foto khas Anwar di Istana Kehakiman, Putrajaya. Di Amerika Syarikat, The Washington Post menerbitkan suatu artikel "AS sangat kecewa dengan kes Anwar di Malaysia". The New York Times juga melaporkan "kes Liwat mensabitkan Ketua Pembangkang Malaysia di penjara,". Selain itu, portal BBC melaporkan penahanan Anwar dan juga penahanan kartunis Zunar yang ditahan ekoran mengkritik keputusan mahkamah melalui laman makro Twitter. Manakala CNN pula dengan berita 'Malaysian court upholds sodomy conviction'. Anwar Ibrahim semalam dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana kes Fitnah 2 yang membabitkan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu oleh Mahkamah Persekutuan. Di laman makro Twitter, mencecah 27,000 twit oleh 12,000 pengguna laman sosial itu sekaligus menjadikan angka kedua tertinggi dalam sejarah twit beliau. Pada 5 Mei 3013 sebanyak 32,000 twit oleh 21,000 pengguna pada Pilihanraya Umum ke 13. 7 Mac 2014, 24,000 twit oleh 11,000 pengguna dalam kes mahkamah. 6 Mei 2013: 24 ribu twit oleh 15 ribu pengguna ketika Pilihanraya Umum ke 13.EZY | ||
MB : “Anwar pesan Selangor perlu terus maju ke hadapan” Posted: 11 Feb 2015 04:36 AM PST Oleh: AFEEQA AFEERA SUBANG JAYA : Pesanan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Selangor perlu terus maju ke hadapan akan dijadikan pegangan dalam urusan pentadbiran di negeri itu. Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihaknya akan terus memastikan sistem penyampaian dan kualiti kerja dilakukan sebaik mungkin bagi mencapai kemajuan yang positif. "Kita harus bergerak ke hadapan, sebab itu pesanan Anwar dua hari sebelum (dipenjara) supaya Selangor terus maju dan memastikan sistem penyampaian serta kerja kita diteruskan. "Hari ini terbukti bagaimana pelabur asing segera berminat untuk terus melabur di Selangor dan ia menunjukkan kemajuan yang cukup positif," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Upacara Menandatangani Perjanjian Antara Perspektif Masa Sdn. Bhd. & China Railway Engineering Sdn. Bhd. dan Upacara Menandatangani Perjanjian Pinjaman Antara MBSB & CREC di Grand Dorsett, hari ini. Mohamed Azmin berkata Anwar turut memberikan pesanan kepada pemimpin dan anggota PKR supaya meneruskan perjuangan dan tindak gundah terhadap kezaliman yang berlaku terhadapnya. "Ini sebenarnya memberikan dorongan dan rangsangan kepada pimpinan bahawa kalau beliau (Anwar) boleh bersedia untuk dipenjarakan, maka sudah tentu kami di luar ini perlu memainkan peranan lebih besar untuk meneruskan perjuangan. "Malah perkara ini disepakati semua pihak dan malam tadi kita ada mesyuarat tergempar PKR meneliti beberapa langkah yang akan diambil," katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.EZY | ||
Golf sukan rakyat: Logikkah minat peribadi dijadikan dasar negara? Posted: 11 Feb 2015 04:30 AM PST oleh AHMAD ANWAR ASYRAF Acapkali kata-kata yang terkeluar dari mulut Perdana Menteri dan Menteri Kabinet seolah-olah tidak senada dengan aspirasi rakyat ketika ini. Ia umpama sebuah mimpi buruk yang mengganggu lena tidur para rakyat. Terkini lagi sensasi, Perdana Menteri berkata bahawa beliau berharap agar Golf dapat menjadi sukan rakyat, di mana setiap rakyat akan bermain golf. Barangkali selepas mengadakan "golf diplomacy" dengan Barrack Obama, Perdana Menteri mendapat ilham yang cukup kreatif ini. Sebelum Perdana Menteri menerobos jauh dengan Impian Golf ini, Perdana Menteri harus memfokuskan dahulu kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat. Menurut kajian Khazanah Research Institute (KRI) hanya 20% sahaja rakyat kita yang mempunyai pendapatan median sebanyak RM 9,796 sebulan dan bagi individu pula, pendapatan median bulanan adalah pada angka RM 1,700. Saya tidak menafikan ketika ini golf bukan lagi sukan yang dikira mahal. Malah dalam keadaan dunia perniagaan online, kita boleh sahaja mendapatkan kayu-kayu golf terpakai pada harga yang lebih murah. Akan tetapi, ketika ini di kala ketegangan kewangan ekoran kos sara hidup yang memuncak sudah pasti akan membataskan kelompok 80% rakyat daripada bermain golf. Apa lagi dengan pendedahan bahawa isirumah dalam negara secara puratanya menggunakan lebih daripada 40% daripada pendapatan boleh guna bulanan mereka untuk membayar hutang. Sebagai seorang rakyat biasa yang tergolong dalam kelompok 80% itu, saya lebih berhati-hati dalam berbelanja dan seringkali berfikir sedalam-dalamnya sebelum berbelanja. Selalunya, saya mengutamakan barang-barang keutamaan asas daripada kehendak peribadi. Saya rasa ramai lagi rakyat di luar sana yang berkongsi situasi yang sama. Selain itu faktor masa. Walaupun kos bermain golf mungkin sudah sedikit murah tetapi kita akan menghabiskan masa sekurang-kurang 4 jam di atas padang golf sedangkan waktu itu lebih berkualiti jika kita guna untuk bekerja atau diluangkan kepada anak isteri. Perdana Menteri juga menyatakan hasratnya agar golf ini dapat diperluaskan di peringkat sekolah dan beliau juga bersedia untuk menambah lebih banyak peruntukan bagi perkara ini. Ini adalah impian luhur untuk memartabatkan industri sukan. Tetapi lebih baik sepenuh kekuatan ditumpukan untuk membangunkan prestasi dan mengukuhkan nama Malaysia dalam sukan-sukan sedia ada dahulu. Dalam dunia badminton, sebelum ini kita mempunyai Datuk Lee Chong Wei. Bergelar Pemain No. 1 Dunia tetapi adakah kita mempunyai pelapis yang cukup ramai dan hebat untuk kita mengekalkan status Malaysia sebagai kuasa badminton dunia? Begitu juga Datuk Nicol David yang berhempas pulas mencipta sejarah demi sejarah sebagai Pemain No. 1 Dunia. Tetapi sayangnya Datuk Nicol David keseorangan di mercu dunia. Malah, perjuangan Datuk Nicol David untuk membawa Squash ke pentas Olimpik juga nampak seperti tidak disambut kerajaan. Adakah kita berpuashati dengan sekadar mempunyai seorang Nicol David? Seterusnya bolasepak, sampai bila agaknya kita akan terus memperkatakan legasi Mokhtar Dahari dan rakan-rakan? Korea Selatan sebuah negara yang setanding kita semasa zaman Mokhtar Dahari terus melahirkan bakat-bakat dunia. Hari ini pemain mereka berkeliaran di liga-liga Eropah. Bakat mereka diangkat oleh kelab-kelab ternama dunia. Hoki, sepak takraw dan banyak lagi sukan yang menagih perhatian kerajaan dalam aspek pembangunan bakat dan potensi. Lagenda akan terus kekal sebagai lagenda. Tetapi itu tidak bermaksud kita perlu kekal merenung kisah semalam tanpa ada usaha untuk melahirkan bakat baru yang ternama di peringkat dunia. Pokoknya, inilah permasalahan utama negara. Kita tidak konsisten dalam melaksanakan dasar. Seringkali berubah-ubah. Sepatutnya kita memberikan tumpuan penuh untuk menjayakan satu-satu dasar itu sebelum kita meneroka peluang yang lain. Ini tidak, dasar sedia ada masih lagi tidak menampakkan hasil yang baik, kita sudah bercerita mengenai dasar lain. Terlalu banyak dasar tidak akan menjadikan kita yang terbaik. Atas nama rakyat, logikkah jika kita menjadikan minat peribadi kita sebagai dasar negara? (*) Penulis adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor | ||
Separuh daripada anggota Kabinet Najib perlu berundur Posted: 11 Feb 2015 04:21 AM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya menteri yang telah berusia berundur dari baris hadapan kepimpinan kerajaan dan diganti oleh generasi pasca merdeka dalam setiap ruang lingkup kehidupan rakyat, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang. Menurutnya, usia purata anggota Kabinet Kerajaan sekarang ini ialah 58.5 tahun di mana separuh daripadanya iaitu Idris Jusoh, Douglas Uggah Embas, Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Razak berusia lebih 60 tahun. "Sekitar 90 peratus daripada 30 juta rakyat Malaysia lahir selepas Merdeka pada 31 0gos 1957. "Populasi rakyat dari segi usia terdiri daripada 0 hingga 14 tahun (28.8 peratus), 15-24 tahun (16.9 peratus), 25-54 tahun (41.2 peratus), 55-64 tahun (7.6 peratus) dan 65 tahun ke atas 5.5 peratus. "Bukankah sudah tiba masanya populasi yang lebih muda mengambil alih kepimpinan di semua peringkat kehidupan di Malaysia, termasuk Kabinet?" soalnya dalam satu kenyataan, hari ini. Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, sekiranya negara mempunyai Kabinet dengan beberapa pengecualian terdiri daripada Menteri yang lahir selepas Merdeka, separuh anggota Kabinet yang disifatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak bermutu boleh dilupuskan. "Dengan Kabinet lebih muda, kuranglah kemungkinan bencana seperti yang dilakukan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam suratnya kepada FBI bagi menjamin integriti seorang raja judi serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Yaakob supaya pengguna Melayu memboikot peniaga Cina," ujarnya. Kit Siang turut memberi contoh Kabinet Merdeka di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957 yang mempunyai purata usia jauh lebih muda daripada pentadbiran Najib iaitu 43.3 tahun. "Tunku menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, HS Lee (Menteri Kewangan) paling tua 57 tahun, manakala Menteri Pelajaran Khir Johari berusia 34 tahun dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak 35 tahun," katanya. -Roketkini.com | ||
Tiga Kes Di Era Najib Yang Menjadikan Api Lebih Membakar Dalam Sekam Posted: 11 Feb 2015 02:00 AM PST Selain beberapa pihak luar seperti AS, Australia dan Kesatuan Eropah, Pejabat Hak Asasi PBB dan Ikhwanul Muslimin yang nyata tidak gembira dengan hukuman tersebut, kesedihan rakyat dalam negara yang bercampur simpati dengan hukuman itu juga sudah boleh dirasai di mana-mana. Kesedihan dan simpati rakyat ini walaupun tidak diluahkan secara terbuka sebagaimana kali pertama Anwar dihantar ke penjara dulu, namun mereka seolah-olah sedang memendamnya dalam perasaan dan hanya menunggu tarikh pilihanraya akan datang untuk meluahkan segala-galanya. Untuk itu, janganlah terlalu bergembira dengan hukuman yang diterima Anwar dan boleh jadi pisang yang mahu disedekahkan itu adalah juga untuk meraikan sebuah kejatuhan yang lain di masa akan datang. Sementara Anwar sekali lagi bertegas dalam ucapannya di mahkamah semalam bahawa beliau tetap tidak bersalah dan kejadian itu tidak pernah berlaku, yang lebih membimbangkan rakyat kebanyakan waktu ini ialah semua keraguan yang ditimbulkan sepanjang perbicaraan telah ditolak sama-sekali. Dengan itu, walaupun ada yang berhujah bahawa perbicaraan ini telah berlangsung hampir tujuh tahun serta berlaku 70 kali penangguhan dan ini bermakna aspek keadilan tidak seharusnya berbangkit lagi, tetapi yang nyata di mata rakyat semua keraguan yang ditimbulkan semasa perbicaraan telah ditolak sama-sekali. Keadilan yang seperti tidak tertegak sepenuhnya dalam kes Anwar ini juga segera mengingatkan rakyat kepada dua kes mahkamah lain yang berlaku sepanjang era pentadbiran Najib sebelum ini iaitu Razak Baginda yang dituduh bersuhabat dalam pembunuhan Altantuya dan Azilah Hadri serta Sirul Azhar Umar yang dituduh membunuh model atau penterjemah kelahiran Mongolia itu. Dalam kes Razak, beliau telah didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan kesnya tidak dirayu langsung ke mahkamah yang lebih tinggi. Anwar juga bebas di peringkat Mahkamah Tinggi tetapi kesnya segera dirayu. Jelas ada perbezaan di sini dan oleh kerana tiada rayuan dilakukan, Razak Baginda kini telah bebas daripada segala tuduhan dan sebarang kaitan dalam pembunuhan Altantuya itu. Tetapi Azilah dan Sirul terus dibicarakan dan akhirnya telah didapati bersalah membunuh Altantuya serta dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, walaupun tiada motif dapat dikaitkan mengapa mereka melakukannya. Mahkamah juga kemudian mengatakan, motif adalah tidak penting. Barangkali inilah satu-satunya kes pembunuhan di mana motif tidak dianggap penting oleh mahkamah, tetapi pesalah tetap dijatuhkan hukuman mati. Ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, hanya Azilah yang hadir manakala Sirul telah melarikan diri ke Australia dah sehingga ini masih ditahan di negara tersebut. Ketiga-ketiga kes ini memberi impak yang besar kepada pentadbiran Najib dari segi keyakinan rakyat mengenai keadilan dan kesederhanaan yang sering dilaung-laungkannya. Razak Baginda didapati bebas dan kesnya langsung tidak dirayu. Azilah dan Sirul, walaupun tiada motif, tetap didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Anwar pula, di sebalik semua rentetan keraguan yang ditimbulkan dalam mahkamah dan didedahkan secara meluas di media-media, akhirnya didapati bersalah dan dihukum lima tahun penjara. Meneliti ketiga-tiga kes tersebut, sama ada seseorang itu berfikir "di dalam kotak", "di luar kotak" atau "dari sisi kotak" sekali pun, pastinya tidak dapat mengelak daripada beranggapan atau merasakan adanya perbezaan ketara bagaimana apa yang dikatakan keadilan itu berjalan di era Najib ini. Tentulah hanya mereka yang "tiada kotak" saja yang sanggup mengakui sebaliknya serta memuji-memuji kesederhanaan dan keadilan yang cuba dibawa dalam pentadbiran Najib ini. Semua ini, secara diam dan perlahan-lahan, sebenarnya sedang marak umpama api dalam sekam di hati rakyat dan hanya menunggu masa untuk meruntuhkan segala-galanya. | ||
[BERGAMBAR] Keluarga Anwar Lantik Dr.Hatta Ketuai "March To Freedom" Posted: 11 Feb 2015 01:51 AM PST KELAB GREENBOCBeri Dr Wan Azizah ruang, kami teruskan perjuangan, kata Nurul Izzah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu diberikan ruang yang selesa selepas mengharungi perjuangan reformasi sejak 17 tahun lalu, kata anaknya, Nurul Izzah Anwar. Naib presiden PKR itu berkata, kini anak-anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia meneruskan perjuangan ibu bapanya kerana masing-masing sudah meningkat dewasa. "Sudah 17 tahun Dr Wan Azizah terpaksa mengharungi mendepankan diri. Pada saya anak-anak sudah besar dan dewasa. Kalau Nurul Hana pada 1998 hanya 6 tahun, tetapi sekarang dapat membantu dengan lebih aktif. "Berilah beliau (Dr Wan Azizah) ruang untuk bersendiri sekurang-kurangnya ruang yang selesa mungkin. Berdepan media bukan benda yang mudah untuk dilakukan walaupun semua baik sehingga kini. "Saya fikir ini apa yang dimahukan keluarga. Dan sudah tentu ia perjuangan yang panjang, dan banyak sidang media lain yang kita boleh lihat beliau," katanya di kediaman Anwar di Bukit Segambut hari ini. Sementara itu, seorang lagi anak Anwar mengumumkan pelancaran satu inisiatif kebangkitan bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang dipanggil "March to Freedom". Nurul Nuha berkata, kempen itu ialah kesinambungan perjuangan untuk membebaskan Anwar dan memberi suara kepada rakyat yang menghadapi kezaliman di Malaysia. "Marilah bersama kami dalam perjuangan ini. Sama-sama kita hentikan kezaliman," katanya pada sidang media itu. Nurul Nuha berkata, tujuan utama kempen ialah bagi menyatakan yang Anwar menjadi mangsa keadaan sistem di negara ini. Katanya, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli akan menjadi ketua sekretariat kempen "March to Freedom" itu. Perincian tentangnya akan diumumkan kemudian setelah sekretariat itu dibentuk. "Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan serta penyokong di dalam dan luar negara. "Semalam merupakan sebuah hari yang penuh dengan ujian. Harapan kami untuk tertegaknya keadilan musnah sama sekali," kata Nurul Nuha, 31. Katanya, selepas 17 tahun mereka bergelumang dengan tekanan, fitnah, gangguan dan penganiayaan, semuanya kini berakhir dengan Anwar dihukum penjara. Sepanjang tempoh itu, kata Nurul Nuha, Anwar menunjukkan kesungguhan, erti keberanian, perjuangan, sifat belas kasihan dan yang paling utama, erti kasih sayang. "Dialah contoh terbaik seorang yang berjuang menongkah arus melawan kezaliman. Nilai-nilai ini akan kekal bersama kami sehingga ke akhir hayat. "Sebagai anak-anak, kami perlu mengambil alih, dan meneruskan perjuangan, harapan serta cita-cita ayahanda kami. 17 tahun yang lepas merupakan sebuah tempoh yang lama. "Kita tidak tahu berapa lama lagikah perjuangan ini akan berterusan, tetapi kami akan bersama-sama dengan ayahanda kami sehingga nyawa berada di hujung badan," katanya. – 11 Februari, 2015. ULASAN GB Tahniah Dr Mohd Hatta. Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Meskipun dihentam oleh ahli PAS sendiri yang terdiri dari golongan pro-ulama minggu lepas malah disuruh letak jawatan dan dipijak gambarnya, namun ada orang yang di luar PAS yang mengakui dan menghargai jasa dan pengorbanan Dr.Mohd Hatta selama ini di dalam mengukuhkan Pakatan Rakyat, sesuai dengan resolusi Muktamar PAS bertahun-tahun. | ||
Keluarga Anwar Usaha Raih Simpati Antarabangsa Posted: 11 Feb 2015 01:42 AM PST RAKYATNEWS KUALA LUMPUR - Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menumpukan usaha menarik simpati antarabangsa bagi memberi tekanan kepada kerajaan untuk membebaskan ketua pembangkang itu daripada hukuman penjara. Anaknya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, berkata keluarganya akan menggerakkan kempen dikenali "march of freedom" dengan nadi perjuangannya kononnya untuk membebaskan ayahnya itu. Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman Anwar di Segambut Dalam, di sini, sebentar tadi. Sidang media itu turut dihadiri lima lagi adik-adiknya. Bagaimanapun, ibunya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak kelihatan. Ditanya sama ada kempen itu mendapat sokongan PAS dan DAP, Nurul Izzah berkata sekretariat kempen itu juga akan diketuai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli. Nurul Izzah juga berkata, beliau belum lagi dibenarkan berjumpa bapanya yang dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh sejak semalam dan akan akan meminta bantuan peguam. Malah, Nurul Izzah dan adiknya, Nurul Nuha Anwar juga meragui tahap keselamatan bapa mereka di penjara dengan meminta pihak berkuasa memberi jaminan. "Bukan soal tak percaya saja.. kita tidak mendakwa, tapi menyatakan supaya berilah sedikit jaminan kepada kami," katanya sambil mendakwa bapanya itu pernah diracuni ketika dihukum penjara sebelum ini. Menyentuh sama ada Nurul Nuha bakal menjadi pewaris baru kepada keluarga Anwar untuk berkecimpung dalam dunia politik, Izzah berkata ia satu cabaran yang besar dan sukar diputuskan pada saat ini. Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk membatalkan sabit bersalah oleh Mahkamah Rayuan dan hukuman penjara lima tahun terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008. Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. | ||
'Pernah tidur sekali, tak jadi apa-apa pun' Posted: 11 Feb 2015 01:31 AM PST MALAYSIAKINI Suram. muram. gelap. Itulah perkataan yang terlintas dalam pemikiran penulis sewaktu tiba di kediaman rasmi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Segambut malam tadi. Meskipun dimaklumkan bahawa keluarga Anwar dan penyokongnya berada di ibu pejabat PKR atau di Dewan Sivik MBPJ, gelap gelita dan kesunyian di kawasan sekeliling rumahnya membuatkan hati saya tidak selesa. Lantas saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan kakitangan rumahnya di pondok pengawal. Ditanya mengenai perasaan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang mensabitkan Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, lelaki itu menjawab ia tidak menjejaskan kerjanya. "Mestilah saya sedih, saya sudah 32 tahun kerja dengan dia (Anwar)," kata Abdullah Sani, 55, kepada Malaysiakini. "Pernah tidur sama-sama, tak ada apa-apa yang jadi. "Dan saya lebih kacak dari Saiful," kata bapa kepada tujuh anak itu dengan berseloroh. Beliau juga berkata Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu kes itu, bukan pembantu Anwar tetapi hanya rakan kepada seorang lagi bekas pegawai Anwar. "Dia hanya rakan kepada bekas pegawai Anwar, Rahimi Osman. Dia ikut Rahimi ke mana-mana dan sentiasa ambil kesempatan untuk dilihat "merapati" dengan Anwar," katanya. | ||
Majlis Peguam persoal kejanggalan kes Anwar Posted: 11 Feb 2015 01:26 AM PST MALAYSIAKINI Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata terdapat beberapa perkara janggal dalam tuduhan Liwat II yang membangkitkan persepsi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya. Leong dalam kenyataannya berkata, Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 377A. Seksyen 377B memperuntukkan bahawa individu yang melakukan kesalahan seperti dinyatakan dalam Seksyen 377A boleh dihukum untuk tempoh yang mungkin dilanjutkan sehingga 20 tahun, dan boleh dirotan. "Penting untuk diperhatikan bahawa Anwar tidak didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat secara paksa atau liwat rogol, walau mungkin terdapat dakwaan berlaku paksaan semasa dalam persidangan. "Ini juga menyebabkan timbul persoalan atau kebimbangan, mengapa pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang didakwa menyertai perlakuan liwat itu tidak didakwa kerana bersubahat mengikut Seksyen 377A dan 377B, dan dibaca bersama dengan Seksyen 109 Kanun Keseksaan," said Leong. Katanya, undang-undang itu jarang sekali digunakan untuk pendakwaann, namun Anwar tetap didakwa dan disabitkan dua kali atas satu kesalahan di mana tuduhan itu mengandungi elemen paksaan. Hal ini menambahkan lagi kesangsian dalam kes ini, katanya. "Kejanggalan yang jelas ini membangkitkan persepsi bahawa Anwar dianiaya dan bukan didakwa," kata Leong. | ||
Anwar 'keluar' penjara Selasa depan Posted: 11 Feb 2015 01:23 AM PST MALAYSIAKINI Sekalipun dihukum penjara lima tahun kes kesalahan meliwat, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka muncul di khalayak umum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa ini, seminggu selepas dijatuhi hukuman itu semalam. Perkara tersebut disahkan oleh peguamnya J Leela kepada Malaysiakini hari ini. Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri akan dibawa untuk memberi keterangan dalam saman RM100 jutanya terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Selain Leela, ketua pembangkang itu turut diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli. Anwar diarah memberi keterangan lagi susulan dakwaan Anifah dalam pembelaannya bahawa beliau (Anifah) ditawarkan RM100 juta untuk memujuk beberapa anggota parlimen BN dari Sabah untuk melompat menyertai Pakatan Rakyat dalam isu 16 September 2008. | ||
Nurul Nuha tanding kerusi Pmtg Pauh? Posted: 11 Feb 2015 01:21 AM PST MALAYSIAKINI Spekulasi bahawa anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha akan bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang kini semakin bertiup kencang. Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR bagaimanapun berkata Pakatan Rakyat hanya akan memutuskan perkara itu minggu depan. Beliau mengelak ketika ditanya jika adiknya itu sememangnya akan bertanding di kerusi berkenaan. Jelasnya, sidang media pada pagi ini bertujuan untuk memaklumkan tentang perhimpunan 'Berarak Demi Kebebasan' dan tidak berbangkit mengenai calon bagi pilihan raya kecil kawasan itu. "Sukar untuk teruskan hidup dalam iklim politik di Malaysia terutama jika anda adalah pembangkang. "Buat masa ini, ibu saya (Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan saya yang akan memimpin," katanya kepada pemberita. Sesetengah pihak mendakwa Anwar berhasrat untuk melihat Nurul Nuha bertanding di kerusi kubu kuatnya itu. Anwar terpaksa mengosongkan kerusi tersebut ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya. Beliau juga sebelum ini didakwa mengamalkan nepotisme kerana jawatan utama dalam PKR diisi anggota keluarganya - Wan Azizah menjadi presiden dan Nurul Izzah menjadi naib presiden. Jika Nurul Nuha benar-benar menjadi calon di Permatang Pauh, ia mungkin akan menyukarkan Pakatan untuk memilih ketua pembangkang yang baru. Isu pencalonan berkenaan, dan soal pelantikan ketua pembangkang yang baru bakal menjadi agenda utama dalam mesyuarat majlis pimpinan Pakatan, Jumaat depan. | ||
Forum 'masa depan politik tanpa Anwar' esok Posted: 11 Feb 2015 01:15 AM PST MALAYSIAKINI Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, rakyat terus tertanya-tanya apakah yang bakal terjadi pada Pakatan Rakyat dan bagaimana bentuk politik negara jika gerakan pembangkang menjadi lemah. Keluarga Anwar menganjurkan kempen 'Berarak demi kebebasan' dan PKR pula menganjurkan protes nyalaan lilin mulai malam ini di depan penjara Sungai Buloh. Apakah siri kempen ini akan mendapat sambutan dan apakah pemenjaraan Anwar itu membangkitkan kemarahan rakyat? Bagaimana pula impaknya terhadap Umno dan BN - sama ada positif atau sebaliknya? Semua pertanyaan seumpama ini akan terjawab dalam forum 'Anwar dipenjara: Masa depan politik Malaysia' esok. Selain bekas pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga dan aktivis politik Hishamuddin Rais, tokoh-tokoh lain yang akan membahaskan topik ini termasuklah naib presiden PKR Tian Chua, ahli jawatankuasa PAS, Datuk Mujahid Yusuf Rawa dan ahli jawatankuasa DAP, Liew Chin Tong. Forum ini dianjurkan buat julung kalinya oleh Malaysiakini setelah berpindah ke bangunan barunya di Petaling Jaya tahun lalu. Bangunan baru tiga tingkat ini menyediakan ruang diskusi yang boleh memuatkan kira-kira 100 peserta. Forum ini juga akan disiarkan secara langsung melalui video dalam talian. Untuk menghadiri program ini yang bermula jam 8 malam, alamatnya adalah seperti berikut: PJ 51 Business Park @Kini, No 9 Jalan 51/205 A, Off Jalan Tandang, Petaling Jaya | ||
Wanita maut dikelar ketika disamun Posted: 11 Feb 2015 01:10 AM PST Siasatan masih dijalankan di lokasi kejadian oleh Unit Forensik. Foto Sinar Harian oleh ROSDALILAH ZAHARI IPOH - [DIKEMASKINI] Seorang wanita maut selepas dipercayai dikelar dalam kejadian samun yang berlaku di Taman Tanjung Mas,di sini, awal pagi tadi. Difahamkan, mangsa yang juga isteri kepada seorang anggota polis ditemui meninggal dunia oleh anak lelakinya yang baru pulang dari meniaga kira-kira jam 3 pagi. Mayat mangsa yang berusia lebih kurang 51 tahun itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut. Sementara itu, difahamkan ketiga-tiga suspek kes bunuh di Taman Tanjung Mas, awal pagi tadi berjaya ditahan polis hanya dalam tempoh 2 jam selepas kejadian itu berlaku. Seorang daripada suspek berusia 19 tahun ditahan di kawasan perumahan berkenaan memandangkan dia tinggal sebaris dengan rumah mangsa. Manakala, dua lagi suspek masing-masing berusia 15 dan 16 tahun ditahan di Bercham. | ||
Dewan Ulama Pas simpati nasib Anwar Posted: 11 Feb 2015 01:06 AM PST Ahmad Yakob KOTA BHARU - [KEMASKINI] Dewan Ulama Pas Pusat mendoakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli keluarga beliau dapat melalui ujian dengan sabar. Ia susulan Mahkamah Persekutuan semalam, menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap sabitan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan. Pemangku Ketuanya, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau simpati dengan penahanan yang agak lama perlu dijalani oleh Penasihat PKR tersebut. "Saya simpati dengan Anwar dan ahli keluarganya atas hukuman yang agak berat diputuskan oleh mahkamah pada hari ini (semalam). "Pada hakikatnya kita lebih selesa dengan hukuman syarak berbanding hukuman sivil dalam kes seumpama ini, yang mana hukuman syarak lebih cermat dan memberi keadilan kepada yang dituduh," katanya menerusi kenyataan media, semalam. Sementara itu, PKR tidak sesekali patah semangat meneruskan reformasi dilaungkan selama ini walaupun penasihat parti itu, Anwar dikenakan hukuman penjara. Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, walaupun Mahkamah Persekutuan mengumumkan mengekalkan penjara lima tahun tersebut terhadap Anwar, ia tidak menjejaskan semangat mereka. "Kami hormati keputusan mahkamah tapi kami tetap tidak akan patah semangat. Hidup dan perjuangan mesti diteruskan walaupun kita akui kecewa apa yang berlaku," katanya. Menurutnya, PKR Kelantan akan meneruskan amanat Anwar dan akan memberikan penerangan kepada rakyat sebaik mungkin. | ||
Pas bincang calon ganti Anwar dalam masa terdekat Posted: 11 Feb 2015 01:01 AM PST Anwar Ibrahim KUALA NERUS - Pas akan mengadakan satu mesyuarat khas di kalangan anggota parti bagi memutuskan calon yang layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang sebelum membawa usul itu kepada majlis mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang. Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata notis untuk mengadakan mesyuarat khas itu akan dikeluarkan sebelum mesyuarat itu diadakan dalam masa tiga atau empat hari lagi. "Saya jangka antara agenda yang mungkin dibincangkan adalah mengenai siapa akan menjadi ketua pembangkang dan juga bagaimana kita hendak memperkukuhkan pakatan rakyat bagi meneruskan agenda perjuangan," katanya selepas majlis Makan Malam Amal Media bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sebuah restoran di Tok Jembal di sini malam tadi. Bagaimanapun, Abdul Hadi yang turut hadir di majlis itu enggan menemui wakil media. Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara itu atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu. Sementara itu, Ahmad Samsuri mengakui pihaknya ada menerima memorandum berhubung dakwaan wujud komplot menjatuhkan Abdul Hadi yang diedarkan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim, Isnin lepas. Katanya memorandum itu akan teliti bagi melihat sama ada mempunyai asas atau tidak kerana yang penting Pas mahu memperkukuhkan kepimpinan parti. -Bernama | ||
Ada sesuatu yang “membusuk” dalam Malaysia – Dr Mahathir Posted: 10 Feb 2015 07:37 PM PST Wujud badan pentadbiran tambahan dalam kerajaan yang mencetuskan kekeliruan kepada orang ramai dan para pentadbir. PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tadbir urus negara sebagai "berbau busuk" kerana ia tidak berfungsi dengan cara yang sepatutnya. Menurut beliau, pentadbiran kerajaan tidak penting berbanding "badan pentadbiran tambahan" yang telah ditubuhkan sehingga mencetuskan kekeliruan di kalangan orang awam. Malah lebih buruk jelasnya, keadaan tersebut mengelirukan kakitangan pentadbiran sendiri kerana "mereka tidak mengetahui apa yang dikehendaki daripada mereka apabila polisi dan keputusan dibuat oleh badan khas." Menulis dalam blognya, chedet.cc bekas Perdana Menteri itu menyatakan, para pengkritik kini berdepan dengan serangan media arus perdana melalui individu tertentu dan ahli-ahli politik kecundang. "Para pengkritik berdepan dengan risikoharta dirampas dan dilelong, mereka mungkin dimufliskan," tulis beliau. Malah katanya, beliau sendiri didakwa memaksa kerajaan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dibuat "dan banyak aduan mengenai negara yang mendatangkan bau busuk." Bagaimanapun secara sinis Dr Mahathir menyatakan, "Jangan risau. Kita akan biasa dengan bau itu." Beliau memulakan penulisan dengan memetik kata-kata Marcellus dalam karya terkenal William Shakespeare, Hamlet, "ada sesuatu yang membusuk di dalam Denmark." Menurutnya, berdasarkan aduan oleh rakyat mengenai Malaysia maka boleh diandaikan ada sesuatu yang membusuk di negara ini. "Ada aduan-aduan ini sampai kepada saya. Saya berharap saya diberikan kesempatan menghalusinya dalam blog saya ini. Orang ramai boleh membuat keputusan sama ada terdapat perkara yang membusuk," ujarnya. Salah satu aduan yang dimaksudkan kata Dr Mahathir, ada pihak yang mengadu bahawa "Kerajaan enggan membayar mereka untuk kerja yang dibereskan untuk Kerajaan. "Sentiasa ada pertikaian sama ada Kerajaan berhutang dengan mereka. Jika mahkamah memutuskan Kerajaan perlu membayar, maka akan ada pertikaian mengenai jumlah (bayarannya)," jelas beliau. | ||
Anwar Yang Dipenjara, Najib Yang Tak Akan Tidur Lena Posted: 10 Feb 2015 07:27 PM PST KELAB GREENBOCSelepas Anwar ke Penjara, Adakah Kedudukan Najib Makin Selamat? Setelah muktamad hukuman penjara lima tahun dijatuhkan keatas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Persekutuan hari ini, kesedihan rakyat hampir dapat dirasai di mana-mana. Jika sebelum ini, ramai seperti tak kisah mengenainya, barangkali kerana yakin beliau akan dibebaskan, tetapi suasana perbualan amat berbeza sekali selepas hukuman itu dijatuhkan. Di sebuah cawangan bank yang dipunyai oleh adik Najib Razak, beberapa kakitangannya turut meluahkan kesedihan dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya. Mereka terbuka tumpang kasihan dan menyatakan tidak wajar hukuman itu dijatuhkan. Di sebuah kedai buku yang terkenal di ibukota, hukuman yang diterima Anwar turut menjadi perbualan ramai dan rata-rata tidak menyangka hukuman itu bakal diterima oleh Anwar. Di sebuah jabatan kerajaan pula, ramai kakitangannya menyatakan rasa sedih yang sama. Ketika berkunjung ke sebuah cafe kemudiannya, tajuk perbualan juga tertumpu kepada hukuman lima tahun penjara itu. Adalah dipercayai, sejak tengahari tadi, meskipun ada kelompok lain bergembira dengan hukuman keatas Anwar itu, tetapi secara umumnya rakyat dan pengundi biasa di mana juga berkongsi perasaan yang sama. Luahan rasa sedih dan kasihan atas nasib yang diterima oleh Anwar dan penanggungan oleh keluarganya boleh didengari hampir di mana saja. Kebanyakannya bukan saja menempelak Najib, UMNO dan kerajaan atas hukuman itu, bahkan seperti tidak ternampak tanda-tanda pemenjaraan Anwar menyebabkan kembalinya sokongan rakyat. Meneliti sejak awal kes liwat ini yang terlalu banyak dicemari dengan unsur-unsur politik, ia akhirnya menutup tirainya dengan sesuatu yang bersifat politik juga. Dengan dipenjara selama lima tahun, ia bukan saja menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang turut perlu diganti dengan calon lain, ia juga hampir menutup sama-sekali peluangnya untuk kembali aktif dalam politik. Jika dalam PRU 14 akan datang beliau dijangka masih berada dalam penjara, tidak boleh bertanding selama lima tahun lagi selepas keluar penjara kerana sekatan undang-undang yang turut menyebabkan Anwar terlepas peluang bertanding dalam PRU 15 nanti. Dengan usianya ketika ini 67 tahun, beliau hanya mungkin boleh bertanding semula dalam PRU 16 dan ketika itu usianya barangkali sudah tentu terlalu tua. Dalam hal ini Najib dianggap berjaya "mengkafan" dan "menyemadikan" karier dan cita-cita politik Anwar yang sebelum ini tidak berjaya dilakukan oleh Mahathir Mohamad apabila ketika era kepimpinan Pak Lah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada penjara kemudiannya. Tetapi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya ialah apakah dengan pemenjaraan Anwar yang kini mengetuai PR dan dianggap sebagai musuhnya, kedudukan Najib, UMNO dan BN akan bertambah kukuh selepas ini? Adakah sokongan rakyat, terutama generasi muda akan berarak berbondong-bondong kepada BN atau menyebabkan kebangkitan serta penolakan lebih gagah lagi? Bagaimana pula dengan kedudukan PR dan PKR, apakah bakal berpecah atau bertambah kukuh? Apakah ungkapan Anwar sebelum ini bahawa jika beliau dipenjara, undi popular rakyat kepada PR akan meningkat daripada 52 peratus dalam pilihanraya lalu kepada 60 peratus benar-benar menjadi kenyataan? Lebih penting dari itu, apakah dengan memenjarakan Anwar ini juga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sebelum ini sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, akan kembali menyokong atau terus mengasak dengan lebih kuat lagi? Jika kembali menyokong, adakah ini bermakna Mahathir sanggup melupakan penentangannya mengenai 1MDB dan BR1M yang menjadi antara asasnya menarik balik sokongan kepada Najib itu? Jika Mahathir terus mengasak pula, bagaimanakah nasib Najib seterusnya? Siapakah yang akan menyelamatkannya? Mampukah beliau terus bertahan untuk melawan Mahathir bersama barisan kabinetnya yang ada sekarang? Atau adakah selepas ini Najib lebih mudah lagi disingkirkan oleh gerakan yang sudah dimulakan oleh Mahathir sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dahulu? Sebenarnya begitu banyak persoalan mengenai "apa berlaku selepas ini" berikutan dengan hukuman penjara lima tahun yang diterima Anwar ini. Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan dalam tempoh terdekat dan siapa Ketua Pembangkang yang baru akan menentukan sejauh mana kebangkitan rakyat dapat dilihat dalam menuju PRU 14, manakala pendirian Mahathir selepas ini pula akan menjadi kayu pengukur sejauh mana Najib masih boleh bertahan lagi dalam UMNO. Walaupun Anwar mungkin lebih "damai" dipenjara, Najib sebaliknya belum tentu "aman" juga. -shahbudindotcom ULASAN GB Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Apa yang dapat dirasakan ialah satu hari Najib BAKAL merasai apa Anwar rasakan kini, malah lebih teruk lagi. Kerana demikianlah roda kehidupan berputar. Sunnatullah: Yang zalim itu akan tetap terhukum juga... Hari Najib akan tetap tiba nanti... .... hari ini hari kau (najib).... pinjam dialog dalam 3 Abdul Dan UMNO akan lebih cepat bungkus... | ||
Ucapan akhir Anwar dalam mahkamah menikam kelima-lima Hakim Posted: 10 Feb 2015 07:24 PM PST MSO Di sini saya postkan ucapan Anwar Ibrahim dalam mahkamah yang ditujukan khas kepada lima hakim yang mendengar rayuannya semalam yang berakhir dengan kekalahan berpihak kepadanya. Sesudah Ketua Hakim Ariffin Zakaria membaca keputusan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan lima tahun pejara ke atasnya, Anwar diberi peluang untuk berkata sesuatu sebagai kesimpulan peribadi daripadanya. Saya tidak mahu membuat tafsiran berlebihan terhadap apa yang beliau simpulkan, tetapi ia merupakan satu ucapan tajam yang kata-kata dilumuri dengan rasa kecewa dan dukacita yang amat sangat kepada proses perbicaraan kali ini yang dianggap sebagai satu perbicaraan yang sama yang dihadapi sebelum ini dan ia adalah satu frabikasi lengkap dari konspirasi bagi menamatkan karya politiknya. Ketajaman dan kepedihan tikaman ucapan itu sehingga kelima-lima Hakim itu bangun meninggalkan mahkamah tanpa mendengar sehingga habis Anwar berucap setelah mereka memberi peringatan kepada Anwar agar berhenti berucap. Pengucapan akhir Anwar ini saya kira penting dan menjadi satu rangkaian kata-kata bersejarah daripada seorang pesalah kepada Hakim yang menjatuhkan hukuman ke atasnya. Kita tidak dapat mengesahkan siapa yang benar dan siapa yang bersalah, kecuali Allah sang hakim yang maha adil saja mengetahuinya. Tetapi pengucapan yang disepuhi racun yang terbit dari jiwa seorang yang menganggap dianiya ini sangat menikam hati dan pedihnya sampai ke hulu hati kesannya bukan saja kepada Anwar dan seluruh rakyat tetapi kelima-lima hakim itu akan mengambil sebagai sejarah dalam kehidupan mereka sebagai hakim pertama kali ditikam sedemikian rupa oleh orang yang mereka hukum. Dan salah satu rangkaian kata daripada ucapan ini bisa dijadikan hikmah ialah tentang katajanji Anwar yang beliau kekal dengan pendirian tidak bersalah dan menganggap pertuduhan liwat itu jelek dan insiden yang tidak pernah berlaku Beriktu adalah ucapan berkenaan: Saya kekal dengan pendirian tidak bersalah ke atas pertuduhan jelek ini- insiden ini tidak pernah berlaku. Ini merupakan satu fabrikasi lengkap yang terhasil daripada satu konspirasi politik untuk menamatkan kareer politik saya. Kalian tidak langsung memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas fakta kes yang diketengahkan oleh peguam saya sebermula hari pertama lagi – betapa insiden ini tidak pernah berlaku sama sekali. Saya mampu memandang ke hadapan, tetapi melihat kepada kenyataan anda hari ini, nyata sekali ia sia-sia. Kelihatan seperti saya diperlekeh sekali lagi sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Rayuan, dan ia terus dilakukan di sini selepas kami mengharungi ranjau perbicaraan selama 8 hari! Bukan satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri mampu mengeluarkan kenyataan bertulis penuh atas keputusan kalian hanya beberapa minit selepas kalian menyampaikan penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman. Tatkala tunduk patuh pada perintah penguasa politik, kalian telah menjadi sebahagian daripada rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman. Kalian telah menggadaikan jiwa kalian kepada syaitan, menukarganti hati nurani kalian dengan keuntungan materialistik dan kesenangan serta jaminan jawatan. Kalian mempunyai kesempatan terbaik untuk menebus kekhilafan – dengan memperbetulkan kesalahan masa lalu dan meletakkan kehakiman atas paksi yang benar serta mengukir nama kalian untuk anak-cucu kalian kenangi sebagai pembela keadilan yang sebenar-benarnya. Akan tetapi kalian memilih untuk kekal di sisi gelap dan menenggelamkan moral kalian dalam kancah kepalsuan dan tipu muslihat. Apakah kalian tahu betapa kalian kini sedang bergelumang kekotoran dan penipuan lantas ketidakadilan tersebut akan menyelinap di setiap sudut Istana Kehakiman ini, dan saya bersimpati kepada kalian. Benar, kalian telah menghakimi saya – dan saya akan, untuk ketiga kalinya, melangkah ke penjara, tapi ketahuilah yang saya sama sekali tidak akan tunduk. Cahaya kekal menyinari saya. Tetapi kalian yang harus berasa malu tatkala kalian akan dinilai sejarah sebagai pengecut terulung atas nama kemanusiaan. Dengan kedudukan dan kuasa kehakiman yang tinggi, kalian membungkam begitu rendah untuk diperalat oleh penguasa politik. Mahasiswa undang-undang dan kalangan professor jurispruden akan meneliti penghakiman kalian dan di saat mereka membedah alasan serta keputusan kalian, kredibiliti dan integriti kalian akan dicarik halus. Di saat itu kalian akan didedah sebagai perekayasa yang memakai jubah kehakiman hanya untuk memperlekeh keadilan. Jangan sesekali kalian lupa, sebagaimana kita semua, kalian juga harus menjawab kepada Sang Pencipta. Kalian harus menjawab kenapa kalian berpaling daripada prinsip-prinsip yang telah kalian lafaz dan sumpah untuk ditegakkan. Mereka yang datang ke kamar mahkamah perlu menunduk hormat dan memanggil kamu sebagai Yang Arif, tetapi tidakkah kamu tahu bahawa satu hari nanti kamu juga perlu menjawab kepada Yang Maha Arif? Di saat itu kamu memerlukan lebih daripada tunduk hormat untuk menghuraikan mengapa kamu dengan sengaja melanggar perintah Allah melalui Ayat 58 Surah An-Nisa. Melangkah ke penjara, saya anggap sebagai satu pengorbanan buat rakyat Negara ini Saya telah berjuang hampir seluruh kehidupan saya demi rakyat Negara ini – dan demi rakyat jugalah saya bersedia untuk ke penjara dan menghadapi sebarang bentuk akibat. Perjuangan saya akan diteruskan, ke mana saja saya dihantar dan apa jua yang diperlakukan ke atas saya. Kepada sekalian sahabat dan rakyat Malaysia, izinkan saya merakamkan penghargaan jauh dari sanubari saya atas setiap dokongan yang telah diberikan. ALLAH SWT menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah! ANWAR IBRAHIM 10 FEBRUARI 2015 | ||
Pakatan Rakyat bincang 'pengganti' Anwar malam ini - Johari Abdul Posted: 10 Feb 2015 07:21 PM PST Oleh Shuhaniza Said & W. Anis Ilyani W. M. AzharPUTRAJAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul enggan mengulas mengenai calon pengganti yang bakal mengisi jawatan Ketua Pembangkang. Menurutnya, perkara tersebut berkemungkinan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR, malam ini. Beliau juga berkata, keputusan tersebut walaupun pahit, namun tetap diterima dengan hati terbuka. "Ini permulaan.. Ini ibarat dapat bayi baru.. Kehidupan diteruskan," ujarnya ringkas. Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas mensabitkan beliau di atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada tahun 2008. Keputusan itu bermakna Ketua Pembangkang berusia 67 tahun itu terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh, jawatan Ketua Pembangkang serta kedudukannya sebagai Ketua Umum di dalam PKR. Hukuman itu sekaligus akan memberi tamparan hebat kepada masa depan Pakatan Rakyat sendiri yang selama ini bersandar kepada kepimpinan Anwar untuk menyelesaikan pelbagai kemelut. Panel lima hakim diketuai oleh Tun Arifin Zakaria mengekalkan hukuman lima tahun penjara itu yang dikenakankan oleh Mahkamah Rayuan, Mac lalu. Sementara itu, Pengerusi bersama NGO Bersih, Datuk S Ambiga juga meminta penyokong Pakatan Rakyat agar menguatkan semangat dan meneruskan perjuangan walaupun Anwar di dalam penjara. "Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun.. Dan mereka (polis) akan membawa Anwar ke penjara, saya tak tahu penjara yang mana satu. "Anwar ok tapi keadaan keluarganya sangat teruk. Semangat perlu kuat," ujarnya. Penyokong yang marah dengan keputusan tersebut meminta beliau menganjurkan demonstrasi besar-besaran seperti Bersih sebagai tanda protes dan tidak berpuashati dengan institusi kehakiman yang dianggap bobrok. Ambiga bagaimanapun enggan mengulas sebarang tindakan lanjut. | ||
Kakitangan Bernama TV berdemo tuntut tunggakan gaji Posted: 10 Feb 2015 07:16 PM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Hampir dua bulan tidak dibayar gaji, seramai kira-kira 20 kakitangan Bernama TV mengadakan perhimpunan aman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam bagi menuntut bayaran tunggakan gaji daripada majikan mereka. Para peserta tersebut antara lainnya membawa kain rentang dengan slogan 'Mana Shabery', merujuk kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Sebahagian daripada saham Bernama TV dipegang oleh agensi berita nasional Bernama, yang terletak bawah bidang kuasa menteri tersebut. Difahamkan seramai kira-kira 140 kakitangan diarah bercuti kerana Bernama TV tidak mampu menanggung bayaran gaji mereka. Gaji terakhir yang diterima adalah pada 24 Disember. Bernama TV dimiliki oleh Bernama TV Synergy Bhd, dengan pegangan 33 peratus oleh Bernama. Selebihnya dimiliki oleh pemegang saham swasta. Para peserta itu turut membangkitkan isu sama yang dihadapi oleh pekerja separuh masa di stesen penyiar nasional, RTM. Ada di kalangan kakitangan separuh masa RTM itu terpaksa menjual kelapa dan bekerja di restoran makanan segera dan menangguhkan rancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana masalah bayaran gaji. Seorang daripada peserta perhimpunan semalam membawa plakad dengan slogan: "BTV, RTM, Lawan tetap lawan". Selain itu, Astro Production iaitu anak syarikat penyedia televisyen berbayar Astro - juga dilaporkan telah memberhentikan seramai 60 kakitangan mereka dengan notis 24 jam. | ||
PKR anjur perhimpunan di Penjara Sungai Buloh Posted: 10 Feb 2015 07:15 PM PST Oleh Nur Shakira BuangPETALING JAYA: PKR akan memfailkan usul di Parlimen untuk mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes liwat II yang bertindak memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kata isterinya. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR turut menjemput orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti (vigil) di luar penjara Sungai Buloh setiap malam, mulai esok selepas waktu Isyak. Katanya, PKR juga akan mengatur solat hajat pada setiap hari Khamis malam Jumaat bagi seluruh cabang parti itu. "PKR akan memfailkan usul di Parlimen untuk mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes liwat II yang bertindak memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. "PKR juga akan menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti (vigil) di luar penjara Sg Buloh setiap hari bermula malam esok selepas waktu Isyak. "Serta akan mengatur solat hajat pada setiap hari Khamis malam Jumaat bagi seluruh cabang parti itu," katanya dalam sidang media malam ini selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar bersalah dan menjalani hukuman penjara lima tahun. Katanya, ini kerana parti itu mengecam sekeras-kerasnya segala keputusan yang dikenakan terhadap ahli Parlimen Permatang Pauh itu. "PKR mengecam sekeras-kerasnya penghakiman kes Fitnah 2 hari ini kerana mendakwa ia adalah satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari semakin mengancam kedudukan Umno-BN. "Dapatan mahkamah (court finding) bahawa Saiful Bukhari Azlan adalah seorang saksi yang berwibawa jelas bertentangan dan tidak konsisten dengan kesemua bukti yang dibentang dan di hujah pihak pembelaan," ujarnya. Menurut Azizah, PKR istiqomah dan komited untuk tidak mensia-siakan suaminya. "Kita tidak akan menyerah kalah ," tegasnya lagi. | ||
Tiada keperluan tukar Presiden Pas Posted: 10 Feb 2015 07:10 PM PST Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang KUALA TERENGGANU – Tiada keperluan untuk menukar Presiden Pas sedia ada, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada yang baharu. Penolong Setiausaha Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Zaidan Abdullah tidak menolak isu yang didakwa komplot menjatuhkan Abdul Hadi itu timbul berkemungkinan beberapa pihak tidak sabar dalam perjuangan dan tidak menghayati perjuangan Pas selaku sebuah gerakan Islam. "Selalu disebut Tok Guru (Abdul Hadi), dalam jemaah ikut nakhoda yang ada. Tak dinafi kadang-kadang ada yang tak sabar dalam perjuangan. Sedangkan Pas bukan parti politik semata-mata, bahkan merupakan sebuah jemaah dan gerakan dakwah. "Golongan tidak sabar ini mungkin matlamat mereka hanya kekuasaan memerintah sahaja sehingga sanggup lakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat mereka. Matlamat tidak menghalalkan cara," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian mengenai Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim mendedahkan komplot jahat yang didakwa dilakukan untuk menguasai Pas pusat serta menjatuhkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau juga menamakan beberapa pemimpin tertinggi Pas pusat didakwa mendalangi komplot jahat itu melalui kerja-kerja khianat dan di luar batasan Islam. Mengulas lanjut, Muhammad Zaidan yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Setiu menegaskan, pihaknya komited memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Abdul Hadi selaku presiden parti ketika ini. Beliau turut memuji Abdul Hadi dengan menyifatkan pemimpin Pas itu seorang yang berpandangan jauh serta melihat masa depan dari pelbagai sudut. Bagaimanapun, isu terbaharu itu menimbulkan kekecewaan kepada pihaknya jika ia benar-benar wujud sebagaimana dakwaan Pemuda Pas Kuantan. Muhammad Zaidan turut meminta kepimpinan Pas tidak mengambil ringan perkara itu, sebaliknya berharap Jawatankuasa Disiplin Pas mengambil tindakan dengan menyiasat dakwaan secara terperinci. "Kita meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti menyiasat dakwaan tersebut," katanya. | ||
Posted: 10 Feb 2015 07:06 PM PST Balai raya pertama di Kampung Padang Jawa yang diwujudkan untuk aktiviti kampung, sebelum digantikan dengan Dewan MBSA Padang Jawa. PADANG Jawa satu nama yang cukup sinonim bagi rakyat Selangor. Ia satu-satunya kampung tradisi masih kekal di dalam kawasan Bandaraya Shah Alam. Uniknya kampung tradisi ini, ia dibahagikan kepada dua daerah iaitu Petaling dan Klang, malah turut ditadbir dua PBT berbeza iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK). Paling menarik, Padang Jawa turut dikendalikan dua ketua kampung berbeza. Sejarah silam asal usul Padang Jawa yang wujud lebih 160 tahun lalu hampir sama dengan bangunnya Bandar Diraja Klang. Di awal pembukaannya, Padang Jawa merupakan tanah pertanian dan terkenal dengan dusun buah-buahan, manakala sebahagian penduduknya bekerja sebagai penoreh getah. Sebelum Sungai Klang dicemari sisa pembangunan, rata-rata penduduk di Padang Jawa bekerja sebagai nelayan yang menjadikan ikan air tawar, udang galah dan udang belacan sebagai hasil tangkapan. Kisah asal usul Kampung Padang Jawa disingkap Ketua Kampung ketujuhnya, Saian Asmari yang sudah enam tahun mengemudi pentadbiran kampung itu. Wak Kairan peneroka pertama Asalnya Padang Jawa ini diteroka oleh seorang pendekar yang terkenal dengan ilmu persilatan dan gagah berani, malah dikhabarkan memiliki kekuatan yang sukar ditandingi. Wak Kairan yang berasal dari Jawa Tengah adalah individu pertama yang mula menebas, membersihkan hutan dan semak samun, pendek kata beliau yang mewujudkan Padang Jawa ini. Dikhabarkan Wak Kairan mempunyai ilmu persilatan yang sangat tinggi dan memiliki tenaga yang amat luar biasa malah pernah bertarung dengan musuhnya di kawasan stesen kereta api selama tujuh hari tujuh malam tanpa berhenti rehat. Dikatakan juga, beliau mampu menarik dan memberhentikan kereta api yang sedang bergerak. Apabila beliau meninggal dunia, Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan di hujung kampung. Selepas itu kuburnya dipindahkan ke kawasan tanah perkuburan baharu yang terletak berhampiran Lebuh Raya Persekutuan. Asal nama Padang Jawa Merujuk kamus Jawa, Padang membawa maksud membersihkan atau menerangkan kawasan dan kerja-kerja penerokaan itu dilakukan oleh Wak Kairan iaitu seorang Jawa. Susulan itu kampung ini dinamakan Padang Jawa. Setelah era kemerdekaan, kawasan-kawasan ini dijaga di bawah satu jagaan ketua kampung dengan menggunakan nama Kampung Padang Jawa. Bermula tahun 80an, apabila berlaku persempadanan semula daerah, kampung ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Kampung Padang Jawa Daerah Klang dan Kg Padang Jawa Daerah Petaling. Kampung Padang Jawa Daerah Klang dan Kg Padang Jawa Daerah Petaling diketuai masing-masing oleh seorang ketua kampung, manakala sempadannya ialah Jalan Besar Padang Jawa Klang. Padang Jawa juga mempunyai beberapa kisah mitos, salah satunya Batu Gajah yang mengikut dongengnya, seekor gajah cuba berenang untuk merentasi Sungai Klang. Ketika tiba di tengah sungai, gajah itu dihalang oleh sejenis makhluk dipanggil Sang Kelembai. Sumpahan itu menyebabkan gajah tersebut menjadi batu dan terletak betul-betul di tengah sungai. Pada suatu masa dahulu, apabila air sungai surut, batu tersebut akan kelihatan dan menjadi kawasan pusaran air. Sejak itu, kawasan tersebut dikenali dengan nama Batu Gajah iaitu Sungai Seksyen 17, Shah Alam. Batu gajah boleh dilihat ketika bulan mengambang dan hanya akan timbul ketika air sungai surut. Begitu juga kisahnya, dengan masjid asal Padang Jawa yang dikatakan suci pada awal ia dibangunkan. Difahamkan, sekiranya sesiapa tidur di situ dalam keadaan tidak bersih, orang itu akan dipindahkan ke tempat lain misalnya tepi kolam atau dalam keranda, namun kini perkara aneh itu tidak berlaku lagi. Sejarah yang hilang Suatu masa dahulu, Sungai Klang kaya dengan khazanah alam di mana di kiri kanan tebing ditumbuhi pokok nipah dan berembang, malah turut menjadi tempat pembiakan kelip-kelip. Kawasan itu juga terkenal dengan habitat buaya tembaga. Malah ada seorang penduduk di sini yang digelar Karim Buaya kerana hobinya memancing buaya. Karim Buaya terkenal kerana kecekapan dan keberaniannya menangkap haiwan ganas itu. Bagaimanapun, sungai yang menjadi sumber rezeki penduduk itu kini musnah bersama peredaran kemajuan. Mercu tanda Padang Jawa ialah stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang pada era 1940-an kampung itu mempunyai dua stesen kereta api. Satunya, stesen kereta api berhampiran Jambatan Baily Connought Bridge tempat persimpangan kereta api menghala ke Kuala Selangor dan ke Klang. Kini, landasan kereta api yang menghala ke Kuala Selangor ditutup memandangkan tidak diperlukan lagi. Stesen kereta api dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur hari ini diganti dengan sistem baharu yang dikenali sebagai komuter yang mempercepatkan perjalanan. Padang Jawa abad ke-21 Meskipun masih kekal sebagai kampung tradisi, Padang Jawa yang berkeluasan lapan kilometer persegi itu dihuni seramai 25,000 penduduk yang terdiri daripada semua kaum dan warganegara. Kampung itu memiliki kemudahan infrastruktur yang serba lengkap dengan adanya sebuah masjid, sekolah kebangsaan, klinik desa, tanah perkuburan, stesen kereta api, klinik desa termasuk pusat komersial Alam Avenue juga merancakkan lagi pembangunan ekonomi di situ. Bahkan mercu tanda lain Padang Jawa ialah Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). | ||
'Jangan jadi Cameron Highlands' Posted: 10 Feb 2015 07:04 PM PST Keadaan tapak projek yang menjejaskan sungai. RAWANG - Hutan yang dahulunya menghijau dan penuh dengan pokok-pokok kini gondol selepas aktiviti di kawasan itu dijalankan sejak Oktober lalu. Projek di sebalik hutan di Batu 15 itu menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan penduduk berhampiran terutamanya mereka di Taman Setia Jaya. Mereka mempersoalkan kesahihan projek berkenaan kerana tiada sebarang papan tanda atau pemberitahuan dipasang berhampiran tapak berkenaan. Jawatankuasa Penduduk Zon 19, Mohd Shafie Taslim, 47, meminta pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah Daerah Gombak menjalankan siasatan terhadap aktiviti berkenaan. "Kami tak pasti status tanah dan projek itu kerana tak nampak sebarang papan tanda dipasang. Kalau tengok dari aktiviti nampak meragukan dan menjejaskan alam sekitar. "Buktinya mendapan pada tapak projek menjejaskan kelancaran anak sungai yang dilihat semakin sempit dan menjadi keruh setiap kali selepas hujan atau ketika pembuangan sisa dari tapak projek," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, kerja meratakan tanah juga dilihat semakin membimbangkan apabila berlaku mendapan dan menjejaskan struktur rumah penduduk yang turut alami keretakan. "Ketinggian tapak projek dengan anak sungai lebih sepuluh meter. Sekiranya aktiviti berterusan dikhuatiri berlakunya runtuhan yang akan memberikan kesan kepada penduduk setempat. "Harap langkah awal dapat diambil untuk elakkan perkara lebih serius berlaku," katanya. Seorang penduduk, Ahmad Abun, 69, berkata, jarak rumah dengan lokasi aktiviti hanya dipisahkan anak sungai yang saban hari semakin cetek. "Gangguan bunyi bising memang setiap hari didengar dah menjadi perkara biasa tapi soal keselamatan memang tak boleh diambil mudah. "Kalau boleh pihak berwajib turun siasat dan ambil tindakan, jika projeknya sah mohon ciri keselamatan dipertingkatkan untuk elak insiden seperti di Cameron Highland berlaku di sini. "Aktiviti itu dilihat mulai perlahan berbanding dulu selepas pokok hutan menjadi botak dalam masa singkat dan operasinya pernah dijalankan sehingga lewat malam," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan