DIALOG RAKYAT |
- Ustaz Ahmad Awang: Fahami Awlawiyyat Politik, Perkukuhkan Pakatan Rakyat
- Pengawal tergoda seks, 28 banduan lolos
- Ribut kuat landa Senawang
- Azizah: Dia masuk penjara bermaruah
- Polis tahan Zunar bawah Akta Hasutan
- TELCO GERGASI TIDAK ADIL KEPADA RAKYAT.....di mana dan siapa yang bersalah?
- PKR tidak halang penyokong berkhemah luar penjara Sungai Buloh
- Selepas Anwar ke Penjara, Adakah Kedudukan Najib Makin Selamat?
- 'Hari yang mengaibkan buat Malaysia'
- Kes Anwar jadi tumpuan media global
- ADUN PKR ditahan di Putrajaya
- Shafee tetap tak puas hati
- Kelayakan Anwar sebagai MP terlucut
- Walau dipenjara, saya akan terus lawan kerajaan zalim – Anwar Ibrahim
- Penjarakan Anwar: Badan kehakiman sekali lagi disalahguna
- Kononnya saya dipukul dalam mesyuarat Pas Pusat
- Jika betul Hatta dalang guling Hadi, ia benar-benar serius - Suhaizan Kaiat
- Dr Asri mempunyai kelantangan bersuara yang diperlukan sebagai mufti untuk menegakkan syiar Islam
- Hudud hanya ke Parlimen jika Presiden luluskan, kata Amar
- Anwar bersalah, hakim tolak rayuan
- N Gobalakrihnan ditahan polis
- Apa sebab nak sumbat saya ke penjara
- Tanpa Anwar keadaan mungkin lebih baik
Ustaz Ahmad Awang: Fahami Awlawiyyat Politik, Perkukuhkan Pakatan Rakyat Posted: 10 Feb 2015 07:32 AM PST KELAB GREENBOCVeteran PAS tegur 'perosak' Pakatan Saya mengikuti dengan penuh kehairanan dan kebimbangan, perkembangan mutakhir hubungan antara anggota parti-parti Pakatan Rakyat. Ia kelihatan seolah-olah perbalahan antara ketiga-tiga parti lebih diutamakan pemimpin-pemimpin tertentu berbanding dengan berbalah dengan Umno/BN! Sedangkan Umno/BN adalah merupakan musuh bersama, yang mana untuk menghadapi mereka, Pakatan dibentuk. Saya tidak tahu sama ada perbalahan bersama ini ditimbulkan atas sebab adanya agenda tertentu mereka yang berbalah, atau atas sebab mereka menganggap perbalahan adalah cara terbaik untuk mengukuhkan Pakatan. Sekiranya mereka berbalah dengan penuh kesedaran bahawa perbalahan ini akan merosakkan Pakatan, maka saya anggap mereka gagal memenuhi tugasan mereka sebagai pemimpin yang bijak dan berhemah. Sebagai pemimpin tanggungjawab dan kewajipan utama kita, dalam suasana politik semasa, adalah untuk mengukuhkan Pakatan. Ini adalah kerana usaha membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman Umno/BN akan hanya mampu dilaksanakan melalui Pakatan buat masa ini. Ini kerana Pakatan adalah entiti gabungan politik yang mampu mencabar Umno/BN. Kekuatan Pakatan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak dan ia diakui Umno/BN sendiri. Dan membawa perubahan pemerintahan adalah bukan sekadar harapan dan kehendak tetapi keperluan rakyat yang amat mendesak. Cengkaman Umno Saya menyeru semua pimpinan Pakatan untuk menumpukan kepada usaha mengukuhkan Pakatan dan seterusnya menjadi pembela nasib rakyat. Rakyat sentiasa dilaga-lagakan oleh Umno/BN melalui fahaman perkauman mereka sehingga rakyat sentiasa dihantui oleh ancaman perbalahan kaum dan ketidakamanan. Pada tahun 1999 apabila majoriti orang Melayu inginkan perubahan, Umno/BN tanamkan ketakutan di kalangan bukan Melayu dan kekal berkuasa melalui sokongan majoriti bukan Melayu. Pada 2008 dan 2013, apabila bukan Melayu pula inginkan perubahan, Umno/BN pula menakut-nautkan orang Melayu sehingga melalui perasaan ini, mereka sekali lagi mengekalkan kekuasaan. Ini merupakan bukti bahawa soal kaum hanya merupakan alat dalam percaturan politik Umno/BN. Kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan membebaskan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang beragama Islam, dari minda assobiyyah qaumiyyah (perkauman) yang ditolak Rasulullah SAW. Inilah sebabnya PAS selama ini hendak menjatuhkan Umno/BN supaya politik orang Islam tidak lagi berasaskan politik Melayu yang memperalatkan Islam, tetapi politik Islam yang membela nasib Melayu dan seluruh kaum di negara kita! Oleh itu, amat pelik sekiranya ada yang menganggap Pakatan tidak menguntungkan PAS dan perjuangan politik Islam. Sebaliknya saya beranggapan bahawa demi menyemarakkan kefahaman politik Islam di kalangan umat Islam, maka PAS pihak paling beruntung dengan kekalahan Umno/BN. Pada masa yang sama, kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan juga bermakna segala kerosakan yang menimpa negara daripada sudut politik, ekonomi, pendidikan dan sosial akhirnya dapat dibenteras. Menjelang GST Ia tidak dapat diatasi selagi Umno/BN memerintah kerana mereka melaksanakan dasar-dasar yang membawa kerosakan ini. Maka saya menyeru kepada pimpinan Pakatan, dan pimpinan PAS khususnya, untuk utamakan penyelesaian masalah rakyat dengan menggandakan usaha mengukuhkan gabungan itu. Rakyat bakal ditimpa kos kehidupan yang semakin mencengkam dengan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Mereka akan terus kehilangan berbilion-bilion ringgit melalui dasar kronisme dan rasuah – amalan Umno/BN sehingga ekonomi yang sepatutnya memecut pantas ditimpa bebanan, menyebabkan hanya mampu berjalan terhingguk-hingguk. Rakyat akan ditimpa sistem perundangan yang semakin mencekik kebebasan dan hak melalui penggunaan sewenang-wenangnya akta hasutan dan akta antikeganasan. Sambil campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman menjadi semakin ketara hingga Malaysia dijadikan bahan lawak dunia! Rakyat tidak mahu melihat harapan mereka untuk perubahan ini berkecai dan mereka tidak akan memaafkan kita yang diamanahkan sebagai pemimpin sekiranya tindak tanduk kita menjadi sebab utama Pakatan berpecah atau hilang keyakinan rakyat. Mereka semakin bosan dengan perbalahan dan percanggahan antara pimpinan parti-parti Pakatan yang seolah-olah tidak lagi mengutamakan penyelesaian masalah rakyat. Sebaliknya hanya sanggup mengutamakan perbalahan dan percanggahan demi politik jangka masa pendek. Ini yang paling menyeronokkan Umno/BN dan tidak hairanlah bagaimana Umno/BN masuk campur dan berperanan untuk melaga-lagakan kita satu sama lain. PAS sepatutnya menjadi parti yang memahami awlawiyyat atau keutamaan politik dan menzahirkannya kepada rakan-rakan Pakatan. Adab beza pandangan PAS sepatutnya menjadi rakan yang pertama mengenepikan perbalahan dan sengketa sampingan demi mengutamakan persoalan yang perlu diutamakan. Zahirkan kebijaksanaan politik Islam supaya terus membina kekuatan pengaruh dalam Pakatan dan di kalangan rakyat sepertimana dilakukan selama ini sejak tahun 90-an! Melalui kebijaksanaan mengenali keutamaan ini, PAS berjaya berada di arus perdana politik Malaysia dan tidak lagi berperanan hanya di kawasan Pantai Timur semata-mata. Pada masa yang sama, saya ingin menyeru pimpinan PAS untuk membina kembali kesatuan dan semangat ukhuwah dan persaudaraan dalam parti itu sendiri. Tidakkah pimpinan menyedari bagaimana perbalahan dalaman PAS semakin meruncing sehingga menghasilkan suasana berpuak-puak dan saling benci membenci sesama ahli? Perbalahan dalaman PAS ini akan melemahkan dirinya sendiri dan apabila ini berlaku maka Pakatan akan turut terjejas. Apabila Pakatan terjejas maka rakyat akan merasai bahawa PAS adalah punca mereka gagal diselamatkan daripada penindasan dan penganiayaan Umno/BN. Pada masa yang sama kelebihan Islam yang mengutamakan ukhuwah sesama Islam tidak mampu dizahirkan oleh PAS. PAS seolah-olah menjadi parti yang memperjuang 'Islam dan syariatnya' tetapi tanpa adanya akhlak yang mulia di kalangan ahli-ahlinya. Amalan adabul ikhtilaf (adap berbeza pandangan) serta 'berlemah-lembut dan kasih sayang' antara orang-orang yang beriman akan hanya menjadi ungkapan kosong yang tidak mampu dihayati. Perancangan Yusuf Rawa, Fadhil Noor 'Islam tanpa akhlak' sebegini tidak akan mampu memikat hati manusia dan sebaliknya akan menjadi sebagai penghalang kepada manusia lain mengenali kebenaran Islam. Saya harap pimpinan akan bertindak segera membetulkan suasana ini dan mengembalikan akhlak jemaah Islam sepertimana yang pernah wujud dulu. Keadaan ini hasil kemasukan budaya asing selepas 2008. Pengaruh perosak ini perlu dibendung oleh pimpinan PAS supaya PAS boleh terus maju mengikut perancangan yang ditetapkan pimpinan terdahulu, khususnya almarhum Yusuf Rawa dan Datuk Fadhil Mohd Noor. Matlamat dan wawasan mereka untuk menjadikan PAS sebuah jemaah Islam yang kukuh, bersatu padu dan berperanan di tengah-tengah masyarakat membela seluruh rakyat perlu sentiasa diusahakan. Hanya dengan itu akan pengaruh PAS bertambah kukuh dan PAS menjadi parti yang dihormati dan disegani. Kehormatan dan kedudukan mulia di mata masyarakat perlu diusahakan, diperjuangkan bukan dituntut. Saya dengan ini menyeru pimpinan PAS untuk memenuhi kewajipan mereka terhadap PAS dan masyarakat jelata dengan penuh keikhlasan dan bertanggungjawab. Saya juga menyeru semua pimpinan Pakatan, terutamanya pimpinan PAS, berusaha bersungguh-sungguh untuk membina kembali kesatuan dan kekuatan Pakatan demi membela keadilan dan kepentingan rakyat. AHMAD AWANG mantan naib presiden PAS dan mantan presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM). | ||
Pengawal tergoda seks, 28 banduan lolos Posted: 10 Feb 2015 07:15 AM PST MALAYSIAKINI Hampir 30 banduan berjaya melarikan diri apabila tiga pengawal penjara di Brazil meninggalkan tugas mereka gara-gara terpedaya dengan habuan seks. Tiga wanita berjanji mengadakan hubungan seks liar dengan dua pengawal dan penyelia mereka sebelum memasukkan ubat khayal dalam minuman, lapor portal The Independent hari ini. Ketiga-tiga pengawal penjara Nova Mutum, di barat negara itu, kemudiannya ditemui dalam keadaan bogel dengan tangan bergari di kuarters mereka Khamis lalu. Empat botol arak dan sebuah beg mengandungi "pakaian seragam polis" wanita juga ditemui bersebelahan mereka. Rakaman TV pada Jumaat menunjukkan sekurang-kurangnya lapan daripada banduan itu berjaya ditangkap dan dipulangkan ke penjara. Sementara imej pengawal yang bertelanjang dan khayal itu - diambil oleh kumpulan polis yang tiba awal di situ - beredar meluas di media sosial, lapor portal itu lagi. Menurut siasatan polis, kumpulan wanita itu tiba di tempat kejadian pada jam 3 pagi dan minta masuk untuk "minum-minum dan bersembang". Seorang daripada wanita itu rakan banduan 18 tahun yang didapati bersalah merompak, memiliki senjata dan cubaan membunuh. Pengawal penjara itu, yang "tidak ingat apa-apa" selepas mengambil minuman memabukkan, dilaporkan akan didakwa atas kesalahan "bersubahat" melepaskan banduan dan melarikan senjata api. Kumpulan 28 banduan itu mencuri lima pucuk senjata mereka. | ||
Posted: 10 Feb 2015 07:10 AM PST MALAYSIAKINI Sebanyak 17 rumah rosak dilanda ribut di di Taman Satria, Senawang hari ini. Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seremban Emily Mirza Kamsari berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1.40 petang dan kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan pada bahagian bumbung. "Tiada kecederaan dilaporkan, dan kita (JKM) masih jalankan bancian kerosakan. Sehingga kini, 17 rumah mengalami kerosakan termasuk lima yang terjejas teruk pada bahagian bumbung," katanya. Seorang penduduk, Zairina Zailan, 33, berkata beliau sedangmenunaikan solat Zohor apabila terdengar bunyi kuat daripada bahagian atas rumahnya. "Saya terus berhenti solat apabila terdengar bunyi itu. Badan saya menggiggil melihat angin kuat menarik bumbung rumah sehingga tercabut satu per satu. "Kemudian, anak-anak saya yang berumur lapan dan enam tahun menangis, lalu kami sekeluarga segera keluar dari rumah," katanya ketika ditemui. Zairina berkata kejadian seperti itu pernah berlaku dua tahun lepas namun, angin ribut kali lebih teruk berbanding sebelum ini. Suaminya Rusidi Mansor, 40, berkata kos pembaikan bumbung bagi kelima-lima rumah terjejas teruk itu dianggarkan RM3,633 dan dikongsi bersama jiran yang terlibat. "Kalau boleh, pembaikan bumbung itu siap hari ini juga sebab takut hujan nanti, keadaan lebih buruk," katanya. Seorang lagi mangsa, Hatiyah Sulaiman, 69, berkata beliau baharu selesai menunaikan solat Zohor apabila terdengar bunyi kuat dan keadaan di dalam rumahnya tiba-tiba menjadi terang. "Rupa-rupanya atap rumah dah tercabut. Saya tak dapat nak gambarkan perasaan saya pada masa itu. Saya jerit dan ajak suami keluar rumah ikut pintu belakang," katanya. Suaminya Osman Sulaiman, 67, cedera sedikit di bahagian dahi kerana terkena serpihan atap rumahnya dalam ribut itu. - Bernama | ||
Azizah: Dia masuk penjara bermaruah Posted: 10 Feb 2015 07:05 AM PST MALAYSIAKINI Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah menyifatkan hukuman penjara kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "pengorbanan kepada masa depan negara". Azizah yang ditemubual pemberita selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar, berkata keluarganya sekarang mengharapkan "kekuatan rakyat". "Apa yang Anwar kata, sentiasa kuat, inilah pengorbanan kepada masa depan negara. "Anwar kata, mereka boleh penjarakan dia, tapi dia akan masuk penjara dengan bermaruah. "Kita akan sabar melalui keadaan ini. Kami ada air mata," katanya. Azizah berkata, sebarang keputusan mengenai tindakan seterusnya dan siapa ketua pembangkang baru akan diputuskan secara sebulat suara selepas ini. Sementara itu, anak sulungnya, Nurul Izzah berkata keluarganya kini menyerahkan perkara itu kepada "mahkamah rakyat". "(Ia) sehingga rakyat menggulingkan kerajaan secara aman – melalui pilihan raya. "Ya, kami sedih, kami hancur, tetapi kami akan teruskan perjuangan," katanya. | ||
Polis tahan Zunar bawah Akta Hasutan Posted: 10 Feb 2015 07:01 AM PST MALAYSIAKINI Kartunis Zulkiflee SM Anwar UlHaque berkata sepasukan polis muncul di kediamannya di Bangi malam ini untuk menahan beliau mengikut Akta Hasutan. Zulkiflee yang lebih popular dengan nama Zunar berkata, pasukan tersebut tiba ke kediamannya di Pantai Dalam kira-kira jam 9 malam ini. "Saya percaya akan terpaksa tidur di lokap pada malam ini," kata ketika dihubungi Malaysiakini. Operasi itu dijalankan susulan satu arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada pasukannya untuk menyiasat Zunar dan juga dua orang MP. Ia ekoran kenyatan kartunis dan MP berkenaan berhubung kenyataan mereka berhubung pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terdahulu, kartunis itu dalam tulisannya di Twitter menyebut: "Barua berjubah hitam bangga jatuhkan hukuman. Habuan dari tuan politik pasti lumayan." | ||
TELCO GERGASI TIDAK ADIL KEPADA RAKYAT.....di mana dan siapa yang bersalah? Posted: 10 Feb 2015 06:52 AM PST Malaysia seperti juga kebanyakan negara lain yang sedang meningkat maju, juga sedang menghadapi fenomena kebanjiran pekerja-pekerja asing. Hanya perbezaannya dengan sesetengah negara lain, kita dibanjiri oleh jutaan 'unskilled labours' yang bekerja dalam sektor perladangan, sebagai pembantu rumah dan pelbagai lagi bidang yang tidak memerlukan kemahiran yang tinggi dan ini tidak menambah nilai kepada tenaga kerja negara kita, malah ia lebih mendatangkan masalah sosial yang besar kepada negara kita. Di antara rakyat asing yang teramai membanjiri negara kita ialah dari Bangladesh dan jumlahnya ialah dalam jutaan dan kesemuanya adalah pekerja tidak mahir. Inilah perbezaan di antara negara Singapura dengan negara kita misalnya. Singapura menjadi negara idaman bagi pekerja mahir dan profesional sedangkan negara kita mengimport jutaan mereka yang tidak mahir kerana mereka mendapat banyak keistimewaan dan kemudahan di negara ini. Di sebaliknya ramai di antara tenaga kerja mahir negara kita sedang berhijrah keluar negara bagi mendapatkan pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik dari negara kita. Malahan ramai yang tidak lagi merasa canggung untuk menjadi rakyat negara lain dan bertindak meninggalkan negara ini buat selamanya. Mengikut perangkaan seramai lebih dari enam juta rakyat asing membanjiri negara ini tetapi hanya sejumlah lebih dari dua juta yang berada di sini secara halal. Di katakan seramai hampir dua juta rakyat asing dari Bangladesh berada di negara ini dan menikmati hidup yang jauh lebih baik dari berada di negara asal mereka. Malahan dalam beberapa hal mereka lebih istimewa dari rakyat tempatan kita. Selain dari mendapat perlindungan keselamatan yang mereka mendapat keistimewaan yang tidak diperolehi oleh rakyat tempatan. Yang hendak saya sentuh ialah isu yang melibatkan orang ramai dan rakyat biasa yang agak tersinggung dengan keistimewaan yang diperolehi oleh warga Bangladesh ini di atas keresahan rakyat tempatan. Di antara banyak isu yang boleh disebut, saya memilih untuk menyentuh tentang ketidak adilan terhadap rakyat tempatan dalam kos membuat panggilan telefon (mobile) tempatan yang ditanggung oleh pengguna rakyat tempatan berbanding dengan kos panggilan antara bangsa (IDD) rakyat Bangladesh kepada negara mereka. Kadar kos panggilan tempatan jauh lebih tinggi dari seorang rakyat Bangladesh memanggil keluarganya di Dhaka dan ini menghairankan pengguna tempatan. Saya ingin membawa isu ini ketengah dan berharap pihak (Malaysian Communications and Multimedia Commission) MCMC akan meneliti isu ini dengan serius kerana ia melibatkan seluruh rakyat negara ini. Pihak berwajib seperti MCMC disaran mengambil perhatian serius bagaimana setengah syarikat Telco negara ini mampu memberikan perkhidmatan yang murah keterlaluan. Apakah keadaan sebenarnya disebalik berlakunya perkara dan isu ini? Adakah rakyat Bangladesh ini mendapat perkhidmatan yang murah dengan 'cross subsidy' yang diberikan oleh pengguna tempatan yang membayar harga yang tinggi itu? Isu ini penting dan wajar mendapat perhatian pihak yang berwajib. Jika MCMC tidak memberikan apa-apa tindakan maka Kementerian Komunikasi dan Mulitmedia Malaysia (KKMM) berwajib mengambil tahu kerana sesebuah kementerian itu diketuai oleh seorang penggubal undang-undang (Menteri) dalam dalam KKMM ini. Menterinya ialah Ahmad Shabery Cheek. Isu ini bukannya isu yang kecil kerana tidak ada rakyat yang tidak terlibat dalam isu ini. Semua rakyat mempunyai telefon bimbit dan mereka adalah di antara rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah. Bagi mereka yang membayar kos panggilan yang berlipat kali ganda lebih tinggi dari seorang rakyat Bangladesh memanggil negaranya amat tidak adil dan dalam isu ini MCMC dan KKMM wajar mengambil isu ini dengan serius. Mengikut Contohnya:- RM0.06sen/minit panggilan dari Malaysia ke Bangladesh berbanding dengan RM0.36sen/minit panggilan domestik di antara rakyat Malaysia Blog ini akan memberikan ulasan lanjutan tentang harga dan perbandingan-perbandingan di antara kos yang ditanggung oleh pengguna tempatan dan panggilan IDD rakyat Bangladesh ini serta kos panggilan-panggilan tempatan di antara syarikat-syarikat Telco yang ada di negara ini dalam posting saya yang seterusnya (mungkin hari Isnin). Kalau diteliti contoh di atas, perbezaan di antara kos panggilan tempatan dan panggilan IDD ke Bangladesh adalah tidak munasabah. Kepada YB Ahmad Shabery Cheek, isu ini jangan diabaikan kerana wajar mendahulukan rakyat seperti yang dislogankan oleh pemimpin-pemimpin negara. Artikel Bahagian Kedua Lihat Di sini | ||
PKR tidak halang penyokong berkhemah luar penjara Sungai Buloh Posted: 10 Feb 2015 04:30 AM PST OLEH JAMILAH KAMARUDIN PKR tidak akan menghalang mana-mana penyokong yang mahu berkhemah di perkarangan luar Penjara Sungai Buloh bermula malam ini bagi menunjukkan solidariti terhadap bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Chua Tian Chang. Bagaimanapun, naib presiden PKR itu menegaskan, pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika berlakunya perkara tidak diingini atau di luar kawalan kerana itu bukan arahan rasmi parti. "Sesiapa yang mahu turut serta bermalam untuk tunjukkan solidariti depan penjara, saya silakan. "Tetapi ada had, kita sentiasa ingat jangan melampau tahap tindakan kita, sentiasa damai, aman dan tertib. "Jangan kita keluar daripada rangka itu. Selagi dalam rangka ini kita berjaya," katanya ketika menyampaikan taklimat di hadapan kira-kira 100 penyokong di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, petang tadi. Ahli Parlimen Batu itu turut menasihatkan penyokong PKR tidak bertindak di luar batas hanya kerana rasa marah terhadap sistem kerajaan, dan bukannya atas nama perjuangan. Katanya, tindakan provokasi akan menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) hilang sokongan rakyat. Mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, beliau mengingatkan ahli parti bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari akan datang. Katanya, terpulang kepada Anwar dan kepimpinan PKR Pusat memilih bakal calon, dan berharap PRK Permatang Pauh akan menjadi bukti kukuh PR dapat bersatu semula. "Pilihan raya ini akan menjadi bukti kukuh kita sedikit pun tidak akan berganjak. Majlis Setiausaha PR akan bersidang malam ini merancang langkah seterusnya. "Ini adalah satu titik perubahan baharu," katanya. PR akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan memenjarakan Anwar selama lima tahun. Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata mesyuarat majlis setiausaha PR akan diadakan jam 10 malam ini dan turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke serta pemimpin lain dalam sekretariat PR. "Majlis Setiausaha akan bermesyuarat dahulu sebelum majlis presiden yang akan bermesyuarat selepas ini tidak lama lagi," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider. | ||
Selepas Anwar ke Penjara, Adakah Kedudukan Najib Makin Selamat? Posted: 10 Feb 2015 01:29 AM PST Jika sebelum ini, ramai seperti tak kisah mengenainya, barangkali kerana yakin beliau akan dibebaskan, tetapi suasana perbualan amat berbeza sekali selepas hukuman itu dijatuhkan. Di sebuah cawangan bank yang dipunyai oleh adik Najib Razak, beberapa kakitangannya turut meluahkan kesedihan dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya. Mereka terbuka tumpang kasihan dan menyatakan tidak wajar hukuman itu dijatuhkan. Di sebuah kedai buku yang terkenal di ibukota, hukuman yang diterima Anwar turut menjadi perbualan ramai dan rata-rata tidak menyangka hukuman itu bakal diterima oleh Anwar. Di sebuah jabatan kerajaan pula, ramai kakitangannya menyatakan rasa sedih yang sama. Ketika berkunjung ke sebuah cafe kemudiannya, tajuk perbualan juga tertumpu kepada hukuman lima tahun penjara itu. Adalah dipercayai, sejak tengahari tadi, meskipun ada kelompok lain bergembira dengan hukuman keatas Anwar itu, tetapi secara umumnya rakyat dan pengundi biasa berkongsi perasaan yang sama. Luahan rasa sedih dan kasihan atas nasib yang diterima oleh Anwar dan penangguhan oleh keluarganya boleh didengari hampir di mana saja. Kebanyakannya bukan saja menempelak Najib, UMNO dan kerajaan atas hukuman itu, bahkan seperti tidak ternampak tanda-tanda pemenjaraan Anwar menyebabkan kembalinya sokongan rakyat. Meneliti sejak awal kes liwat ini yang terlalu banyak dicemari dengan unsur-unsur politik, ia akhirnya menutup tirainya dengan sesuatu yang bersifat politik juga. Dengan dipenjara selama lima tahun, ia bukan saja menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang turut perlu diganti dengan calon lain, ia juga hampir menutup sama-sekali peluangnya untuk kembali aktif dalam politik. Jika dalam PRU 14 akan datang beliau dijangka masih berada dalam penjara, tidak boleh bertanding selama lima tahun lagi selepas keluar penjara kerana sekatan undang-undang yang turut menyebabkan Anwar terlepas peluang bertanding dalam PRU 15 nanti. Dengan usianya ketika ini 67 tahun, beliau hanya mungkin boleh bertanding semula dalam PRU 16 dan ketika itu usianya barangkali sudah tentu terlalu tua. Dalam hal ini Najib dianggap berjaya "mengkafan" dan "menyemadikan" karier dan cita-cita politik Anwar yang sebelum ini tidak berjaya dilakukan oleh Mahathir Mohamad apabila ketika era kepimpinan Pak Lah, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada penjara kemudiannya. Tetapi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya ialah apakah dengan pemenjaraan Anwar yang kini mengetuai PR dan dianggap sebagai musuhnya, kedudukan Najib, UMNO dan BN akan bertambah kukuh selepas ini? Adakah sokongan rakyat, terutama generasi muda akan berarak berbondong-bondong kepada BN atau menyebabkan kebangkitan serta penolakan lebih gagah lagi? Bagaimana pula dengan kedudukan PR dan PKR, apakah bakal berpecah atau bertambah kukuh? Apakah ungkapan Anwar sebelum ini bahawa jika beliau dipenjara, undi popular rakyat kepada PR akan meningkat daripada 52 peratus dalam pilihanraya lalu kepada 60 peratus benar-benar menjadi kenyataan? Lebih penting dari itu, apakah dengan memenjarakan Anwar ini juga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sebelum ini sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, akan kembali menyokong atau terus mengasak dengan lebih kuat lagi? Jika kembali menyokong, adakah ini bermakna Mahathir sanggup melupakan penentangannya mengenai 1MDB dan BR1M yang menjadi asasnya menarik balik sokongan kepada Najib itu? Jika Mahathir terus mengasak pula, bagaimanakah nasib Najib seterusnya? Siapakah yang akan menyelamatkannya? Mampukah beliau terus bertahan untuk melawan Mahathir bersama barisan kabinetnya yang ada sekarang? Atau adakah selepas ini Najib lebih mudah lagi disingkirkan oleh gerakan yang sudah dimulakan oleh Mahathir sebagaimana yang pernah berlaku kepada Pak Lah dahulu? Sebenarnya begitu banyak persoalan mengenai "apa berlaku selepas ini" berikutan dengan hukuman penjara lima tahun yang diterima Anwar ini. Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan dalam tempoh terdekat dan siapa Ketua Pembangkang yang baru akan menentukan sejauh mana kebangkitan rakyat dapat dilihat dalam menuju PRU 14, manakala pendirian Mahathir selepas ini pula akan menjadi kayu pengukur sejauh mana Najib masih boleh bertahan lagi dalam UMNO. Walaupun Anwar mungkin lebih "damai" dipenjara, Najib sebaliknya belum tentu "aman" juga. | ||
'Hari yang mengaibkan buat Malaysia' Posted: 10 Feb 2015 01:18 AM PST MALAYSIAKINI Para pemimpin Pakatan Rakyat menyambut keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan penuh dukacita. Antaranya, penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap hari ini sebagai "hari paling mengaibkan". "Rayuan Anwar ditolak oleh Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara - satu hari yang mengaibkan buat Malaysia. "Anwar akan dihantar semula ke penjara buat kali keempat," kata Lim menerusi tulisan di Twitter. Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga curiga dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini yang nafi campur tangan dalam keputusan tersebut. Beliau mempersoalkan bagaimana pejabat Datuk Seri Najib Razak dapat mengeluarkan jaminan seperti itu lebih awal daripada keputusan mahkamah disampaikan. "Bagaimana kerajaan BN dapat meyakinkan rakyat Malaysia dan dunia bahawa ia tidak campur tangan dengan keputusan itu dan bahawa wujud kehakiman yang betul-betul bebas dan kedaulatan undang-undang? "Mahkamah Persekutuan sampaikan keputusan menolak rayuan Anwar dan Pejabat Perdana Menteri keluarkan kenyataan dalam tempoh setengah jam, malah sebelum keputusan disampaikan," katanya. Beliau merujuk kepada kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang antara lainnya menyeru kepada semua pihak agar menerima keputusan yang disampaikan ke atas Anwar. "Dalam kes ini, proses yang memenatkan dan komprehensif dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya. Proses berkenaan kini sudahpun tamat, dan kami menggesa semua pihak yang terlibat agar menghormati proses undang-undang dan penghakiman," kenyataan itu dipetik. Ia turut menggariskan bahawa para hakim berkenaan pasti mengambil kira semua bukti yang ada dengan cara adil dan objektif. "Malaysia mempunyai kehakiman yang bebas dan sebelum ini terdapat banyak keputusan dibuat ke atas pegawai kanan kerajaan. "Laporan polis ke atas Anwar Ibrahim dibuat oleh seorang individu – kakitangan Anwar dan pembantu peribadinya – bukan oleh kerajaan. "Sebagai mangsa serangan seksual yang serius, beliau berhak untuk mendengar kesnya di mahkamah," kenyataan itu dipetik. Para personaliti politik Pakatan turut mendoakan agar keluarga ketua pembangan itu tabah dalam menghadapi keputusan berkenaan. Antara yang terawal memberikan ucapan tersebut adalah bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. "Saya berdoa kepada Allah semoga keluarga saudara Anwar Ibrahim diberi kekuatan dalam menempuh dugaan yang mencabar ini," tulis Khalid. | ||
Kes Anwar jadi tumpuan media global Posted: 10 Feb 2015 01:15 AM PST MALAYSIAKINI Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perhatian meluas media utama dunia. Malah, kata kunci "Anwar" dan "DSAI" juga menjadi topik utama dalam perbualan global di Twitter hari ini. Semakan mendapati, ia dimuatkan sebagai laporan utama laman BBC, The Guardian, Reuters, Al-Jazeera, Wall Street Journal dan The Guardian sejurus selepas Anwar disahkan kekal dipenjara. Ia turut menjadi laporan utama di media Australia seperti ABC Australia dan Sydney Morning Herald. | ||
Posted: 10 Feb 2015 01:10 AM PST MALAYSIAKINI Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR ditahan di belakang Istana Kehakiman ketika polis membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim beredar daripada bangunan itu. Tan Kar Hing (Simpang Pulai) ditahan di belakang kawasan mahkamah kira-kira 3.15 petang ini. NGO hak asasi manusia Suara rakyat Malaysia (Suaram) berkata beliau kini ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya dan mengecam tindakan itu. "Oleh itu SUARAM menyeru orang ramai untuk menghubungi IPD Putrajaya di talian 03-88862222 bagi mendesak pembebasan YB Tan Kar Hing dengan segera," menurut kenyataan segera Suaram. Sementara itu, keadaan di sekitar kawasan mahkamah aman walaupun terdapat sedikit ketegangan sebelum ini selepas Anwar diputuskan bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Persekutuan. Keadaan itu memaksa polis antirusuhan FRU mengeluarkan dua kali amaran sebelum penyokong ketua pembangkang itu beredar. | ||
Posted: 10 Feb 2015 01:04 AM PST MALAYSIAKINI Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau tidak berasa "puas hati" walau keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Katanya, beliau melihat bahawa pengadu dalam kes Liwat II, Saiful Bukhari Azlan kini menderita kerana "kehidupannya hancur musnah". "Saya tahu bahawa keadilan sudahpun ditunaikan, maka secara profesional, saya puas hati dengan keputusan hari ini. "Namun ia tidak memuaskan hati saya – kehidupan seorang anak muda kini hancur...," katanya. Saiful mengadu diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu pada tahun 2008. Shafee juga menuduh bahawa tindak tanduk Anwar menjejaskan reputasi negara ketika kes tersebut berlangsung sepanjang tujuh tahun lalu. | ||
Kelayakan Anwar sebagai MP terlucut Posted: 10 Feb 2015 12:57 AM PST SINAR HARIAN Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar keputusan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini lucut kelayakan sebagai seorang ahli Parlimen berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara itu bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya tujuh tahun lalu. Ini adalah kali kedua, Anwar lucut kelayakan sebagai ahli Parlimen setelah didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara melebihi setahun. Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000. Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap sabitan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berusia 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali. Sebelum ini pada 14 April 1999, Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas empat tuduhan rasuah terhadapnya. Anwar, 67, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mula bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum keenam pada April 1982 atas tiket Barisan Nasional dengan mengalahkan calon Pas, Zabidi Ali dengan majoriti 14,352 undi. Beliau telah mempertahankan kerusi itu sehingga dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999, dan kerusi tersebut dimenangi oleh isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRU10 pada November 1999. Dr Wan Azizah telah terus mempertahankan kerusi itu sehingga meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi itu dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos, 2008. Anwar yang dibebaskan daripada penjara pada 2 September 2004, tidak dibenarkan berpolitik selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh pembebasan. Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan memenangi majoriti 15,671 undi. - Bernama | ||
Walau dipenjara, saya akan terus lawan kerajaan zalim – Anwar Ibrahim Posted: 10 Feb 2015 12:53 AM PST Roketkini.com PETALING JAYA: Walaupun menghadapi risiko dipenjarakan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yakin perjuangan Pakatan Rakyat akan terus menyala tanpanya. "Pilihan untuk saya duduk diam ada, tapi saya tidak pilih itu. Saya tidak bersalah, saya akan terus lawan," tegas Anwar. Difahamkan Anwar Ibrahim telah mendapat tawaran Turki dan United Kingdom untuk tinggal di sana bagi mengelak dirinya dipenjarakan oleh institusi yang disifatkan negara itu mempunyai campur tangan kerajaan. "Mereka pujuk saya, tahukah anda kenapa? "Ini kerana mereka tahu institusi kita ada masalah," beritahu Anwar. Dalam ucapannya Anwar berkata, Malaysia sedang menghadapi masalah perkauman dan ketegangan agama yang meruncing di bawah pemerintahan setengah abad Barisan Nasional. "Adakah kita mahu Malaysia ada Taliban, ISIS dan Boko Haram yang guna agama untuk laksana kezaliman? "Hanya dengan keharmonian agama dan kaum saja dapat selamatkan Malaysia, semua agama (bertanggungjawab) selamatkan Malaysia dari korupsi UMNO," ujar beliau sambil dipersetujui hadirin. Justeru itu, Anwar berkata menjadi komitmen seluruh rakyat untuk ubah sistem bobrok di bawah UMNO. "Kalau harga perjuangan ini adalah penjara, saya bersedia dipenjarakan. "Ini sebenarnya hanya sedikit saja pengorbanan yang saya lakukan. "Tidak ada apa yang dapat halang saya walau kerajaan guna institusi untuk penjara saya dan pimpinan pembangkang yang lain. "Saya sanggup terima apa saja untuk sebuah kebebasan," katanya penuh semangat. – Roketkini.com | ||
Penjarakan Anwar: Badan kehakiman sekali lagi disalahguna Posted: 10 Feb 2015 12:50 AM PST -Roketkini.com KUALA LUMPUR: Tindakan memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan bukti nyata bagaimana badan kehakiman sekali lagi disalahguna dan dipersenda oleh kerajaan UMNO-BN, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago. "Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan keadilan dapat diperoleh dalam badan kehakiman negara. Malangnya, kita telah dikecewakan sekali lagi. "Anwar telah ditipu oleh sistem korup, yang telah diamalkan selama beberapa dekad di bawah pemerintahan BN. "Bukan satu rahsia lagi bahawa kerajaan UMNO-BN telah memanipulasi undang-undang untuk membungkam mulut pembangkang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Charles yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menegaskan, keputusan Mahkamah Persekutuan menyumbat Anwar ke dalam penjara selama 5 tahun tersebut turut dengan jelas menunjukkan taktik lama kerajaan menamatkan kerjaya politik Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berjaya. Katanya, Anwar telah dimalukan dan digambarkan sebagai orang jahat selama lebih sedekad dengan tuduhan liwat yang dirancang begitu teliti untuk mencemarkan imej beliau. "Beliau dilihat sebagai ancaman yang boleh menjatuhkan kerajaan dengan Pakatan Rakyat (PR) hampir memerintah negara pada tahun 2013 selepas memenangi undi popular. "Demi mengekalkan kuasa mereka, kerajaan sanggup mengabaikan hak demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan untuk menganiaya Anwar," tegasnya. Tambah beliau, walaupun jentera kerajaan bertungkus-lumus menyerang Anwar tapi beliau pasti tidak akan disabitkan kesalahan jika mahkamah itu bebas. "Hari ni, kita juga dapat ketahui bagaimana gagalnya kita sebagai sebuah negara," ujarnya. -Roketkini.com | ||
Kononnya saya dipukul dalam mesyuarat Pas Pusat Posted: 09 Feb 2015 08:59 PM PST Oleh Mohamed Hanipa Maidin Saya merasa terpanggil untuk membuat kenyataan selepas melihat dan membaca laporan Malaysian Insider yang melaporkan kononnya saya dipukul dalam mesyuarat Pas Pusat pada hari ahad lepas. Saya ingin menyatakan di sini bahawa segala laporan yang wujud di alam cyber yang menjadi viral termasuk laporan Malaysian Insider tersebut adalah spekulasi semata mata yang saya tidak mempunyai sebarang tanggungjawab untuk mengesahkan laporan spekulatif tersebut. Saya juga ingin jelaskan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat adalah tidak wajar untuk saya mendedahkan apa yang berlaku dalam mesyuarat Pas Pusat kerana ia adalah urusan dalaman Pas yang saya dan Pas tidak bertanggungjawab untuk berkongsi dengan sesiapa. Saya dan Pas juga dalam masa yang sama tidak boleh menghalang sebarang spekulasi dibuat oleh mana mana pihak selain menyatakan bahawa spekulasi tidak boleh menggantikan kebenaran. Saya juga ingin jelaskan jika sekalipun ada laporan yang menyatakan saya menegur Presiden Pas dalam mesyuarat itu ia bukan suatu yang luar biasa kerana Pas tidak pernah melarang mana mana ahli jawatankuasa Pas Pusat menegur Presidennya sebagaimana Presiden juga mempunyai hak untuk menegur mana mana orang di bawahnya. Saya percaya "reciprocity" ini suatu yang sudah lama wujud dalam Pas . Berdasarkan pengalaman saya dalam Pas Pusat saya dapati Presiden Pas masih boleh menerima kritikan sepedas sekalipun ke atas dirinya dan saya tidak nampak sikap beliau itu sudah berubah. Jika ada mana mana pihak dalam Pas yang merasakan kritikan kepada mana mana pemimpin setinggi mana sekali pun pangkatnya apatah lagi kritikan yang dibuat di dalam mesyuarat adalah tidak dibenarkan saya percaya ini bukan dari ajaran Islam dan menyimpang daripada konvension yang Pas amalkan selama ini. Jika Presiden Pas boleh menerima kritikan maka adalah tidak masuk akal Presiden Pas akan merestui dan membiarkan amalan memukul ajk Pusat jika kita mengandaikan sekalipun spekulasi yang saya nyatakan di atas adalah betul. Mengenai dakwaan kononnya saya dipukul oleh Pesuruhjaya Pas Perak , Hj Razman Zakaria saya tidak tahu dari mana datangnya sumber berita itu . Hj Razman adalah kawan baik saya jadi mana mungkin dia akan tergamak untuk memukul saya .Maka saya menganggap dakwaan beliau memukul saya adalah hanya spekulasi semata mata. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana disebalik keributan yang berlaku sebelum ini akhirnya mesyuarat majlis tertinggi PR dapat juga diadakan dan mencapai satu keputusan yang melegakan banyak pihak dan meyenakkan musuh Pakatan iaitu Barisan Nasional. Percayalah hanya BN dan mereka yang cenderung kepada BN sahaja yang mahukan PR berpecah kerana mereka tahu perpaduan PR adalah ancaman besar dan bahaya kepada BN. Saya yakin tidak ada pemimpin PR yang naif dan tidak sedar hal tersebut. Sekian, terima kasih Yang benar MOHAMED HANIPA MAIDINAJK PAS PUSATAHLI PARLIMEN SEPANG | ||
Jika betul Hatta dalang guling Hadi, ia benar-benar serius - Suhaizan Kaiat Posted: 09 Feb 2015 08:51 PM PST Oleh Shuhaniza SaidSHAH ALAM: Pemuda PAS tidak menolak kemungkinan parti itu akan dilanda perpecahan sekiranya dakwaan yang mengatakan Pengarah Pilihan Raya Pusat, Dr Hatta Ramli mendalangi komplot menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu benar. Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, dakwaan berkenaan sememangnya serius kerana ia membabitkan bukan calang-calang personaliti di dalam parti berkenaan. Namun kata beliau, untuk berlaku adil kepada pihak yang menuduh dan juga dituduh, dakwaan berkenaan perlu disiasat dengan teliti oleh lembaga disipilin parti berdasarkan bukti yang benar-benar mempunyai kredibiliti. "Bila tuduhan itu melibatkan pimpinan tertinggi di dalam parti, dan kalau benar ia wujud, boleh sebabkan perpecahan di dalam parti. "Jadi bila ia serius, maka kena ada prosedur yang perlu dipatuhi. Bukan begitu saja (serah memorandum)," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi. Ahad lalu, sekumpulan hampir 80 penyokong, yang diketuai Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim hadir di Ibu Pejabat PAS bagi menyerahkan memorandum menuntut Dr Hatta meletakkan jawatan kerana didakwa berkomplot menggulingkan Hadi. Kumpulan itu yang membawa plakad 'pecat Hatta dan konco-konco' dan 'kami dikhianati Hatta Ramli' dalam pada itu turut membawa akuan bersumpah sebagai bukti, yang mengandungi imej paparan (screenshot) Whatsapp perbualan beberapa pemimpin berhubung komplot berkenaan. Mengulas hal berkenaan, Suhaizan menyifatkan imej paparan yang didakwa sebagai bukti itu berkemungkinan besar boleh dipersoalkan kredibilitinya. "Kena dibuat secara betul, hantar betul-betul elok dengan bukti yang sahih. Kalau betul nak hantar, tak boleh hantar dalam bentuk akuan (SD) begitu. Kena hantar telefon bimbit. "Whatsapp yang dicetak itu boleh dibuat.. Itu pun masih boleh dipertikai lagi daripada telefon itu betul atau tidak. Banyak perkara kena buat untuk sahkan," ujarnya lagi. Tindakan menganjurkan demontrasi aman itu juga kata Suhaizan, bukanlah satu tindakan yang molek. Ujarnya, ahli-ahli parti sewajarnya menggunakan mekanisme dalaman untuk menyuarakan sebarang aduan mahupun ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara yang berlaku di dalam parti. "Kalau ada masalah, guna saluran yang betul. Itu sebenarnya penekanan kita. "Bila buat demo begitu, pada saya risiko untuk orang beri persepsi yang salah (kepada parti) adalah lebih besar berbanding masalah yang dibawa itu. Tuduhan itu memang besar tapi kenapa guna saluran begitu rupa," ujarnya lagi. Enggan mengulas sama ada beliau kesal dengan insiden itu, Suhaizan dalam pada itu menyeru agar kepimpinan Pemuda menitikberatkan politik budiman agar lebih bersikap cerdik dan matang dalam mendepani cabaran. "Proses kematangan dalam berpolitik ini memakan masa. Kita kena belajar lebih lanjut tentang berpolitik, mana laluan yang kita nak ambil, bagaimana nak bertindak. "Itu yang saya gariskan politik budiman, iaitu politik yang cerdik, bijaksana dan berbudi. Maksudnya dalam berdepan dengan masalah, kita harus cerdik menguruskan perbezaan itu," ujarnya. | ||
Dr Asri mempunyai kelantangan bersuara yang diperlukan sebagai mufti untuk menegakkan syiar Islam Posted: 09 Feb 2015 08:49 PM PST Oleh Syed Mu'az Syed PutraKUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nasrudin Hassan meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohamad Asri Zainul Abidin untuk mempertahankan serta memartabatkan kedudukan Islam meskipun berdepan cabaran. Ini kerana menurut Nasrudin, Dr Asri merupakan tokoh agama yang tegas serta berani bersuara dalam mendepani isu agama dan kepentingan Islam di negara ini. Justeru melalui kedudukan sebagai mufti, beliau mengharapkan Dr Asri dapat mempergiatkan usaha memartabatkan kedudukan Islam melalui idea dan pemikiran beliau yang mudah diterima umum. "Itu mungkin satu faktor kelebihan yang ada pada beliau iaitu kelantangan bersuara sebab saya lihat rata-rata tokoh agama ataupun mufti dalam negara tidak ramai yang mempunyai ciri-ciri kelantangan bersuara. "Mungkin kerana faktor beliau masih muda dan juga sikap berani bersuara juga ada pada beliau maka saya harap ia digunakan untuk benar-benar menjaga kewibawaan Islam dan umat Islam dan akhirnya dapat mencegah kemungkaran dan menegakkan yang makruf," katanya kepada Antarapos. Kata Nasrudin lagi, senario hari ini memerlukan Dr Asri untuk bertindak tegas tanpa kompromi dalam hal berkaitan Islam sama ada di peringkat negeri atau nasional. "Jangan hanya akur dan tunduk kepada sesuatu keputusan dan arahan mana-mana pihak termasuk kerajaan walaupun ia bertentangan dengan Islam. "Jadi mufti mesti ada ketegasan itulah, saya mengharapkan beliau dapat gunakan kelebihan yang ada untuk Islam," katanya. Untuk rekod, Dr Asri telah dilantik semula sebagai Mufti Perlis bagi menggantikan Dr Juanda Jaya yang tamat perkhidmatannya tahun lepas. Dr Asri, 44, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 Nov 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Juanda. Selepas menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Mufti Perlis, beliau kembali menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau menerima tawaran memegang jawatan itu buat kali kedua selepas mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Ujar Nasrudin lagi, selaku mufti Dr Asri perlu memastikan pendekatan yang sesuai supaya usaha yang dirangka boleh diterima umat Islam selain dihormati masyarakat bukan Islam. "Saya tiada masalah apa-apa sebab pelantikan dan menerima pelantikan itu hak kerajaan negeri dan individu terbabit iaitu Dr Asri. "Pada saya itu tidak menjadi masalah, saya hanya mengharapkan beliau dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik," katanya. Jelas Ahli Parlimen Temerloh ini, Dr Asri telah membawa kedudukan Mufti Perlis ke peringkat nasional melalui peranan dan usaha-usaha yang pernah dilakukan beliau. "Sebab tanggungjawab serta amanah sebagai mufti ini sangat besar, mencabar dan penting terutamanya dalam institusi umat Islam dalam negara kita. "Jadi supaya beliau diberikan kekuatan oleh Allah dan juga diberikan petunjuk untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik demi menjaga nama baik Islam dan umatnya," katanya. Sebelum ini, Dr Asri berkata tawaran tersebut merupakan satu cabaran dalam kerjayanya untuk memastikan syiar agama Islam di negeri ini terus meningkat dengan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Katanya beliau akan melakukan banyak perancangan ke arah mencambahkan ilmu agama kepada rakyat negeri ini termasuk mengadakan kelas agama di masjid sebagaimana telah diamalkannya semasa menjadi mufti sebelum ini. | ||
Hudud hanya ke Parlimen jika Presiden luluskan, kata Amar Posted: 09 Feb 2015 08:48 PM PST Oleh Nur Atiqah Abd SamadSHAH ALAM: Cadangan melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan hanya akan di bawa ke Parlimen jika dipersetujui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Timbalan Menteri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Bagaimanapun pindaan Kanun Jenayah Syariah II akan tetap di bentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan sebagai persediaan untuk pelaksanaan undang-undang syariah itu, kata beliau. Mohd Amar berkata pihaknya tidak keberatan menerima cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mahu undang-undang itu dibincang di Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum dilaksanakan. "Cadangan pindaan ini dia (Guan Eng) minta bentangkan dalam mesyuarat MPPR jadi PAS setuju untuk bentang supaya mereka tahu apa kita nak pinda. Tapi tu tak menghalang Kelantan untuk meneruskan pindaan tu di peringkat negeri sebab undang-undang tu sudah ada. "Nak bawa ke peringkat Parlimen, itu adalah rang undang-undang persendirian itu (dan) kita serahkan kepada presiden PAS untuk buat keputusan dalam mesyuarat tu," kata beliau. "Kalau presiden kata ok boleh bawa (ke parlimen) kita bawa. (Kalau tangguh) ya bergantung kepada presiden yang buat keputusan. Kita ikut arahan saja," ujar beliau kepada Antarapos. Semalam DAP mencadangkan pelaksanaan hudud di Kelantan ditangguhkan sehingga mesyuarat MPPR selesai dan parti itu mengambil pendekatan yang sama bersabit cadangan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan. Mohamad Amar berkata Kelantan mempunyai pendekatan yang jelas dalam komitmen melaksanakan undang-undang hudud. "Untuk kemukakan rang undang-undang pindaan tu kita teruskan juga. "Yang dia (Guan Eng) minta tu untuk bawa ke Parlimen, itu cadangan dia. Tidak sangkut paut dengan Kelantan. Kita teruskan juga sebab di Kelantan undang-undang tu sudah lulus tahun 1993, jadi tak berbangkitlah," jelas beliau lagi. | ||
Anwar bersalah, hakim tolak rayuan Posted: 09 Feb 2015 08:25 PM PST MALAYSIAKINI Semua mata tertumpu kepada Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. Seluruh dunia berdebar-debar sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melangkah keluar sebagai manusia bebas atau kembali merengkok dalam penjara. Keputusan hari ini amat dinanti-nantikan kerana bakal memberi kesan besar kepada perjalanan politik Malaysia. LANGSUNG 12.10pm: Peguam Sri Ram, yang mewakili Anwar, bangun minta penangguhan selama sejam untuk mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya. Mahkamah ditangguh sementara menunggu hukuman. 12.07pm: Hakim berkata terdapat bukti kukuh bahawa Saiful diliwat. Rayuan terhadap sabitan itu ditolak. 11.55am: Hakim berkata Anwar tidak mempertikaikan bahawa beliau berada di kondominium tempat kejadian didakwa berlaku dan dia juga tidak mempertikaikan keberadaan Saiful di situ. Hakim juga berkata dakwaan terdapat konspirasi politik dalam kes itu "tiada merit". "Penafian semata-mata daripada Anwar tidak boleh diterima. (Dakwaan) konspirasi politik kekal tidak berasas," katanya. 11.52am: Hakim sentuh dakwaan bahawa Saiful bertemu Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri, dan pegawai khasnya Khairul Anas. 11.50am: Hakim sentuh tentang saksi pembelaan lain. Ini termasuk keterangan bekas pembantu Anwar yang lain, Najwan Halimi, yang terkejut mendapati Saiful, seorang penyokong BN, berkhidmat untuk ketua pembangkang. 11.45am: Ketika penghakiman dibacakan, di ruang maya ramai mula berspekulasi bahawa Anwar mungkin bersalah. "Menuju ke arah pensabitan kes," tulis ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya di Twitter. 11.43am: Hakim menyentuh soal alibi Anwar. "Anwar mendakwa sampel itu diganggu dan menyalahkan media kerana membuat kenyataan prejudis. "Dia juga mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Saiful seorang saksi boleh dipercayai," katanya. Hakim ulang dakwaan konspirasi yang dibuat Anwar. 11.40am: Hakim berkata tiada ruang boleh berlaku kesalahan (inferiorly fallible) dalam keterangan ahli kimia. 11.31am: Lebih sejam Hakim Arifin membacakan penghakiman kes liwat Anwar. Seorang anak Anwar kelihatan menitiskan air mata. 11.27am: Anwar memandang kepada isterinya, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Dua anggota polis berdiri kiri dan kanan kandang tertuduh tempat Anwar duduk. 11.25am: Hakim memutuskan bahawa tiada gangguan pada penjagaan sampel dan berkata pegawai penyiasat Jude Periera berhati-hati mengendalikannya. Oleh itu beliau memutuskan sampel DNA Anwar tidak tercemar. 11.08am: Hakim memutuskan bahawa barang-barang daripada lokap diperoleh secara sah dan menggelarkannya sebagai "bukti bebas". "Kami (panel) berpandangan bahawa tidak perlu menjalankan perbicaraan dalam perbicaraan (berhubung kebolehterimaan bukti daripada sel)," katanya. 11.05am: Bagi bahan bukti yang diperolehi dari lokap, ketua hakim menyimpulkan Anwar memang menggunakan barang-barang tersebut kerana sel itu sebelumnya kosong. 11.03am: Hakim menyentuh pula keterangan ahli kimia Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon serta bagaimana hakim perbicaraan mempunyai cukup bukti yang saling mengukuhkan antara satu sama lain. Katanya, kes prima facie berjaya dibuktikan dan Mahkamah Rayuan bersetuju dengannya. "Saiful tidak bersekongkol dan tiada cukup bukti saling mengukuhkan untuk menyokong keterangan itu," katanya. 11am: Hakim berkata dalam Akta Keterangan, pentahkikan tidak diperlukan. (Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa keterangan ahli kimia tidak mentahkikkan keterangan Saiful). Hakim berkata keterangan pengadu boleh dipercayai tanpa pentahkikan. 10.50am: Hakim Arifin membangkitkan keterangan mengenai pakaian berjenama Brioni. Bagi permaidani yang dirampas, beliau berkata ia bukanlah bukti yang sangat penting. 10.46am: Berkaitan keterangan terperinci Saiful, hakim berkata pengadu berpegang teguh kepada keterangannya walaupun selepas disoal balas mendalam. Ekoran itu, kata hakim, Mahkamah Rayuan memutuskan keterangannya diterima. 10.45am: Hakim membacakan pembelaan Anwar yang mempersoal tindakan Saiful membawa pelincir KY Jelly dan dakwaan doktor Pusrawi bahawa objek plastik menembusi duburnya. Hakim berkata Saiful mendakwa berlaku hubungan seks dan pasukan pembelaan membangkitkan kenapa dia tidak lari. 10.43am: Hakim kini memberikan tumpuan pada isu kewibawaan keterangan Saiful. 10.42am: Hakim berkata pakar-pakar, yang memberi keterangan bagi pembelaan, sampel itu masih tidak tercemar, maka Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah bahawa wujud keraguan munasabah pada sampel tersebut. 10.39am: Hakim kini membacakan keterangan saksi pembelaan Prof David Wells dan Prof Brian Mcdonalds. Hakim berkata pakar bedah tulang belakang Dr Thomas Hoogland berpendapat bahawa Anwar tidak dapat melakukan aksi seks sebegitu kerana masalah belakang. 10.37am: Hakim berkata bahawa Anwar memberikan kenyataan daripada kandang tertuduh yang mendakwa terdapat konspirasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mempersoal tindakan Saiful. 10.33am: Hakim berkata Anwar ditahan dan dibekalkan dengan tuala, berus gigi dan sebotol air mineral. Barang itu diambil oleh polis pada hari berikutnya dan sampel daripadanya diserah kepada ibu pejabat polis Kuala Lumpur. 10.27am: Selepas membacakan bagaimana Saiful dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur, di mana sampel diambil. Hakim Arifin berkata ahli kimia menemui sel sperma daripada calitan dubur bahagian tinggi dan rendah. Beliau juga berkata dapatan awal bahawa tiada tanda-tanda tembusan. 10.24am: Keadaan di luar Istana Kehakiman ketika ini terkawal. Penyokong Anwar rata-rata duduk di kaki lima dan turut mendengar ceramah yang disampaikan oleh beberapa pemimpin PKR. Pentas ceramah itu dibuat di atas kereta pacuan 4 roda Hilux yang dibawa ke perkarangan mahkamah. Selain itu, penyokong juga diberi makanan percuma seperti buah oren dan karipap serta air minuman. Terdapat juga peniaga yang tidak melepaskan peluang menjual baju T kepada orang ramai. Sementara itu, seorang orang kelainan upaya (OKU) Md Arof Majid, yang hadir ditemani isterinya berkata, beliau berharap supaya Anwar dibebaskan. "Saya harap Anwar dibebaskan. Kerana dia membantu rakyat," katanya. 10.20am: Hakim Arifin menceritakan kembali bagaimana Saiful tiba di kondominium, cara pelincir digunakan dan duburnya ditembusi. Hakim berkata Saiful meletakkan jawatan selepas itu dan ditemani bapa saudaranya ke Hospital Pusrawi. 10.17am: Hakim Ariffin berkata, persetujuan tidak semestinya perlu untuk mensabitkan kesalahan. Ariffin berkata Saiful berkhidmat sebagai sukarelawan dan pembantu peribadi kepada Anwar. Saiful juga membantu Ibrahim Yaacob, ketua kakitangan pejabat Anwar, untuk menyusun jadual Anwar. 10.12am: Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria mula membacakan penghakimannya. 10.08am: Mahkamah mula bersidang seperti diumumkan pendaftar. 9.56am: Seorang penyokong Saiful, yang mahu dikenali sebagai Syafiq pula berkata, kehadirannya pada hari ini sekadar "ikut orang". Selain itu, Syafiq juga berkata, dia juga tidak tahu tujuannya hadir ke Istana Kehakiman pada hari ini. Katanya lagi, dia bersama rakan-rakannya yang lain datang dari Puchong dengan menaiki motosikal. "Saya ikut orang saja. Tak tahu sebab apa. Kami naik motor ramai-ramai," katanya. Ketika ditanya sama ada dibayar, dia hanya ketawa dan berkata: "Adalah sikit. Duit minyak." 9.33am: Sekumpulan 200 penyokong Saiful turut kelihatan berkumpul. Mereka memakai baju bertulis "Liwat tetap liwat". Mereka berkumpul berdekatan Wisma Tani, kira-kira 150 meter daripada penyokong Anwar yang berkumpul di bangunan Auditorium Perbadanan Putrajaya. Mereka juga melaungkan ungkapan "tangkap Anwar" dan :hukum peliwat". Ketua penyelaras penyokong Saiful, Suhaimi Adnan atau dikenali sebagai Suhaimi Taliban, berkata lambat berkumpul kerana melakukanya dengan sukarela dan bukan dibayar. "Mereka (penyokong Anwar) muncul awal pagi 7.00 pagi sebab mereka dibayar, makan gaji, datang dengan bas dan kena duduk sana. "Kita sukarelawan, tak dibayar!" katanya. 9.15am: Sekumpulan penyokong Anwar selesai mengadakan solat hajat dan berdoa di luar mahkamah. Kini kira-kira 1,000 penyokong kini berkumpul sekitar kawasan itu. 9.02am: Anwar sudah tiba di mahkamah. 8.57am: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah masuk ke mahkamah dengan pasukannya. 8.40am: Peguam utama Anwar yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram kini berada di dalam mahkamah. Beliau tampil bertongkat. Gopal ditemani peguam Sangeet Kaur dan Eric Paulsen. Pasukan pendakwaan termasuk timbalan pendakwaraya (DPP) Mohd Hanafiah Zakaria, yang juga timbalan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara juga sudah masuk ke mahkamah. Begitu juga peguam Saiful, Zamri Idrus. Timbalan pengarah bahagian Asia Human Rights Watch Phil Robertson juga kelihatan. 8.30am: Seorang penyokong Anwar jatuh kerana sawan. Kawan-kawannya tampil menolong dengan mengipas dan menteramkannya. "Tenang, kami tunggu kamu," kata salah seorang daripada mereka. Lelaki itu kembali OK selepas 15 minit. 8.20am: Pemberita, pemerhati, anggota parlimen dan sebahagian orang awam dibenarkan memasuki mahkamah. Pemberita duduk di sebelah kiri mahkamah manakala pihak lain di kawasan tengah dan kanan mahkamah. Anggota keluarga Anwar belum kelihatan dalam mahkamah. 8.15am: kira-kira 200 penyokong Anwar berarak ke Istana Kehakiman sambil melaungkan "reformasi" , "lawan tetap lawan" dan "bebas Anwar". Mereka turut membawa sepanduk yang bertulis "rakyat hakim negara". Selepas itu, Dr Badrul Amin kini berselawat dan penyokong yang beragama Islam sedang bersiap sedia untuk solat hajat. Setakat ini, kira-kira seribu penyokong Anwar kini telah berkumpul di perkarangan Mahkamah Persekutuan. 7.55am: kira-kira 200 orang penyokong Anwar berkumpul di depan Masjid Besi berhampiran Istana Kehakiman untuk memberi sokongan. Mereka melaungkan "lawan tetap lawan" dan "hidup Anwar". Naib presiden PKR Tian Chua memberi ucapan kepada penyokong. "Kita berkumpul di sini bukan saja untuk Anwar tetapi untuk menyaksikan sama ada hari ini sistem kehakiman bebas atau tidak," katanya. Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut berucap. Penyokong Anwar kemudian berarak ke Istana Kehakiman dengan laungan "Reformasi". 7.50am: Ramai anggota parlimen Pakatan sudah tiba, termasuk Rafizi Ramli (Pandan), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena). Pasukan peguam dilihat memasuki mahkamah melalui pintu depan dan helikopter polis juga sedang berlegar-legar di angkasa memantau perkembangan. 7.20am : Sebanyak 30 pas masuk dikatakan disediakan kepada anggota keluarga Anwar, 38 pas untuk media dan 20 pemerhati antarabangsa dan 10 lagi untuk pemerhati tempatan. Kawalan keselamatan di mahkamah ketat. 6.10am: Kira-kira 20 bas penyokong Anwar berkumpul di Masjid Sultan Zainal Abidin untuk memulakan solat Subuh. | ||
Posted: 09 Feb 2015 04:11 PM PST Bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu mendakwa ada pegawai polis India lindungi Geng 04. GEORGE TOWN: Bekas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung tweet yang menuduh terdapat pegawai polis berketurunan India di Pulau Pinang melindungi kumpulan kongsi gelap Geng 04 dalam kegiatan dadah. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Abdul Rahman Ahmad berkata, bekas anggota parlimen dari PKR berusia 55 tahun itu ditahan di rumahnya di Kulim, Kedah pada pukul 3.30 petang selepas enggan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan. "Dia dibawa balik ke IPD Timur Laut dan polis akan memohon perintah reman daripada mahkamah esok bagi membolehkan kami merakam keterangan serta melengkapkan siasatan," katanya, lapor Bernama. Gobalakrishnan melalui twitternya pada 6 Feb menulis "Some Penang Indian police officers are strongly backing 04 gang which deals with drugs". Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status akaun twitternya semalam menyifatkan kenyataan itu sebagai tohmahan serius kepada pasukan polis dan pihaknya akan menyiasat perkara itu. Abdul Rahman memberitahu, polis membuka tiga kertas siasatan iaitu menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan. "Polis turut merampas telefon bimbit milik bekas anggota parlimen itu," ujarnya. Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi menafikan dakwaan Gobalakrishnan di dalam tweetnya itu. "Kami telah dapatkan perintah daripada pejabat pendakwa raya untuk merekodkan keterangan Gobalakrishnan," katanya pada sidang akhbar. | ||
Apa sebab nak sumbat saya ke penjara Posted: 09 Feb 2015 03:56 PM PST Anwar yakin akan dibebaskan namun bersedia dengan sebarang kemungkinan. PETALING JAYA: Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diketahui, sama ada beliau dibebaskan atau meringkuk di dalam tirai besi, Ketua Umum PKR itu terus mendakwa dirinya tidak bersalah. Beliau didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. Jelas Ketua Pembangkang itu, sehingga kini beliau masih lagi menaruh harapan agar segala keputusan yang dibuat pihak mahkamah memihak kepada dirinya. "Apa sebab nak sumbat saya ke penjara, saya tak salah jangan hantar saya ke penjara. "Saya masih harapkan keputusan yang waras berdasarkan fakta," katanya ketika berceramah di Padang Timur malam tadi, kira-kira 3,000 penyokong hadir. Ceramah tersebut merupakan jelajah terakhir `Kempen Rakyat Hakim Negara' bagi meraih simpati rakyat sebelum keputusan kes liwat membabitkannya diketahui. Dalam ucapan tersebut Anwar menyatakan pendiriannya sekali lagi bahawa beliau akan terus berjuang sekalipun disumbat ke dalam penjara. "Saya bersedia membayar apa-apa sahaja harganya jika inilah harga yang perlu dibayar untuk reformasi Malaysia dan memperjuangkan hak rakyat," dakwanya. | ||
Tanpa Anwar keadaan mungkin lebih baik Posted: 09 Feb 2015 03:54 PM PST Isu ekonomi seperti harga minyak, kos sara hidup dan juga survival lebih besar dari kes Anwar sendiri. Menjelang penentuan keputusan Kes Liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, beliau berkata, Ketua Umum PKR itu dianggap tidak lagi menjadi penentu kepada nasib Pakatan Rakyat PR pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. Menurut Dr Azizuddin, Anwar tidak lagi menjadi faktor penentu mengenai perjalanan gabungan pembangkang yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP. "Banyak faktor yang akan menentukan PR menang atau kalah, tak ada Anwar mungkin keadaan akan jadi lebih baik. Sebab rakyat sekarang sudah lebih 'celik', khususnya bagi mereka di bandar. "Isu ekonomi seperti harga minyak, kos sara hidup dan juga survival lebih besar dari kes Anwar sendiri," katanya, lapor The Rakyat Post. Menurutnya, kes Anwar ini juga tidak akan memberikan kesan kepada kedudukan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang. Sebaliknya, bagaimana kerajaan yang dipimpin BN ini mampu mengatasi keluhan dan aduan rakyat adalah penentu kepada hala tuju kepimpinan mereka selama 58 tahun sejak merdeka. Beliau menyatakan, "Sebab apa yang lebih penting dan besar ialah prestasi BN yang menyediakan perkhidmatan buat rakyat." "Orang luar bandar mungkin akan ada terkesan sedikit dengan kes ini, tapi tidak bagi mereka yang berada di kawasan bandar, malah orang Cina juga tidak memandang kes Anwar ini sebagai sesuatu yang besar, mereka lebih kepada apa yang kaum mereka dapat," jelasnya, sambil menambah Anwar hanyalah faktor kecil di dalam PRU14 akan datang. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan