DIALOG RAKYAT |
- Cina Muslim perlu lebih agresif berdakwah
- Penguasaan B.Inggeris pelajar perlu dipertingkat
- Isu Pilihan Raya PBT Akan Dibawa Ke Mesyuarat PAS - Mat Sabu
- Palanivel jelajah seluruh negara temui akar umbi MIC
- Angin kencang, laut bergelora dijangka sehingga Selasa
- MB Kelantan minta Guan Eng jaga mulut
- Harga minyak turun, barang juga perlu turun
- Sabah perlu ikut jejak Sarawak turun tarif elektrik
- Dirompak, Badrul Hisham cekal tamatkan jelajah berbasikal UK-Msia
- MB: Selangor banyak lahirkan bintang, Arumugam jadikan inspirasi
- Kurator M'sia pertahan karya imej 'Agong'
- Rafizi: RON95 sepatutnya RM1.62 seliter pada Feb
- Penuntut politeknik maut rempuh lori
- Pelakon Hollywood promosi amalan bertangas
- Dua maut, seorang parah dalam kemalangan di Ipoh
- MP: Pinjaman dari Ananda satu 'penghinaan'
- GST: 2 juta buku panduan harga diedar hari ini
- Kanak-kanak diculik disyaki diberikan dadah
- JDT menang Piala Sumbangsih
Cina Muslim perlu lebih agresif berdakwah Posted: 31 Jan 2015 09:26 PM PST Abdul Naser Abdul Rahman SHAH ALAM – Persatuan Cina Muslim digesa bersikap lebih agresif dalam menjalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam. Tokoh Pendakwah Perak, Abdul Naser Abdul Rahman berkata, ini berikutan sikap mereka yang lebih gemar menyerahkan usaha berdakwah kepada orang Melayu. "Mereka merasakan orang Melayu lebih pandai bab agama dan kami hanya mualaf. Takkan sudah 20 tahun masuk Islam masih mahu dipanggil mualaf lagi. "Mana sikap Cina Muslim yang rajin? Kerajinan bukan setakat dalam perniagaan tetapi Cina Muslim juga perlu tunjukkan kerajinan dalam hal agama," katanya dalam sesi wawancara di Karnival Karangkraf 2015, di sini, semalam. Beliau yang turut dikenali sebagai Xifu Naser berkata, masyarakat Cina Muslim juga perlu sedar peranan penting menentukan keputusan berkaitan hal berkaitan Islam. "Misalnya, mereka boleh menasihatkan atau bermuzakarah dengan pihak berkuasa agama. Jadi, apabila sesuatu fatwa itu diisytiharkan ia bersesuaian dan boleh diterima pelbagai bangsa. "Namun, saya tidak nampak pergerakan Cina Islam ke arah ini. Mereka seharusnya lebih berani ke depan dan menyuarakan pendirian dalam isu semasa," katanya. Dalam pada itu, beliau turut berpandangan agar gelaran mualaf tidak lagi diberikan kepada orang bukan Islam yang telah memeluk Islam lebih lima tahun. "Ramai mualaf yang dibuang keluarga dan hidup sebatang kara. Jadi mualaf akan diberi bantuan sebagai asnaf untuk berdikari dalam tempoh lima tahun. "Tetapi selepas lima tahun, jangan panggil mualaf lagi melainkan pihak berkuasa tidak menolongnya dan beri pendidikan sehingga imannya tergugat. Ini bukan salah dia tapi salah pihak berkuasa yang tidak mendidiknya," katanya. |
Penguasaan B.Inggeris pelajar perlu dipertingkat Posted: 31 Jan 2015 09:21 PM PST SINAR HARIAN Katanya ini kerana beliau mendapati jurang keputusan pelajaran di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bandar dan luar bandar melebihi tiga peratus. "Saya bimbang jika tidak berbuat apa-apa jurang ini semakin besar dari semasa ke semasa dan satu perkara yang amat jelas mengapa sekolah-sekolah di luar bandar tercicir adalah disebabkan satu subjek iaitu Bahasa Inggeris," katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam 'Budi Dikenang, Jasa Disanjung' anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Negeri Sembilan di sini malam tadi. Katanya beliau telah menetapkan satu hala tuju supaya Negeri Sembilan berada di kedudukan lima teratas di peringkat nasional dalam bidang pendidikan selepas prestasi pendidikan aliran agama di negeri ini semakin meningkat apabila keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) baru-baru ini menyaksikan Negeri Sembilan menduduki tempat pertama di peringkat nasional. Sambil melahirkan rasa syukur dengan perkembangan itu, Mohamad berharap agar kejayaan tersebut akan terus dikekalkan. Turut hadir di majlis itu, Presiden Mubarak Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Rahman, Naib Presiden Mubarak Malaysia Datuk Mohd Yazid Baba dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan. Sementara itu, Mohamad mahu para pemimpin di setiap peringkat supaya mengamalkan budaya kerja positif bagi membangunkan negeri ini demi kepentingan penduduk negeri ini. "Banyakkan kerja bukan banyak bercakap. Jadilah pemimpin ukuran, bukan siaran. Pemimpin yang boleh diukur gerak kerjanya daripada menjadi pemimpin siaran yang ke hulu ke hilir namun tak ada apa-apa. Jadi, ini budaya yang saya hendak tanamkan melalui cara berfikir dan bekerja di Negeri Sembilan," katanya. - Bernama |
Isu Pilihan Raya PBT Akan Dibawa Ke Mesyuarat PAS - Mat Sabu Posted: 31 Jan 2015 09:10 PM PST MSTAR ONLINE Beliau berkata selepas selesai dibincangkan di peringkat partinya, isu tersebut akan dibincangkan pula dalam pakatan pembangkang. "Soal parti memberi pandangan masing-masing itu perkara biasa dalam parti politik," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran gabungan impian Kelantan bagi mengumpul sumbangan untuk membantu mangsa banjir di negeri ini, di sini, Sabtu malam. Ketika ditanya tindakan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk berdebat berhubung isu pilihan raya PBT itu yang menjadi kemelut antara PAS dan DAP, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu cuba mengelak dengan berkata "Tak mahu komen apa-apa". |
Palanivel jelajah seluruh negara temui akar umbi MIC Posted: 31 Jan 2015 09:03 PM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel bercadang untuk menemui pengerusi cawangan parti di seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai masalah parti yang dibangkitkan sejak Disember. Menurut Naib Presiden parti, Datuk S Balakrishnan, jelajah itu dijadual bermula pada Ahad (hari ini) di Johor dengan Palanivel menemui pengerusi cawangan dan ahli bahagian negeri. "Presiden membuat keputusan untuk menemui semua pengerusi cawangan untuk memberi taklimat mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Palanivel tidak akan turun padang untuk menyerang sesiapa. Tiada Pemuda, Wanita (sayap) dan samseng. Kami hanya akan menemui pengerusi cawangan. "Beliau (Palanivel) akan mendapat maklum balas daripada peringkat bawahan dan akar umbi," kata beliau pada sidang media di sini semalam. Balakrishnan berkata, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dan tiga Naib Presiden, Datuk S Sothinathan, Datuk M Saravanan dan beliau sendiri akan menyertai lawatan itu. |
Angin kencang, laut bergelora dijangka sehingga Selasa Posted: 31 Jan 2015 09:02 PM PST ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut dan bergelora kategori pertama di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor, Sarawak, Kudat, Sandakan, pantai barat dan pedalaman Sabah dijangka berterusan sehingga Selasa ini. Keadaan sama dijangka melanda Samui, Tioman, Bunguran, Reef North, Kuching, Labuan dan Sulu. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter akan berlaku dalam tempoh itu. "Sementara itu, angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan juga dijangka berterusan sehingga Selasa ini," menurut kenyataan itu di sini, hari ini. Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri. |
MB Kelantan minta Guan Eng jaga mulut Posted: 31 Jan 2015 08:50 PM PST Tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang amat berat. Dia hanya melihat. Melihat dan memikul ini berbeza. Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menegaskan, tuduhan itu cukup berat dan tidak betul memandangkan kerajaan negeri telah memikul tanggungjawab yang sewajarnya ketika berdepan bencana terburuk dalam sejarah itu. Menurut laporan Utusan, Ahmad menjelaskan sebagai rakan dalam pakatan pembangkang, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan tuduhan seperti itu dan sebaliknya perlu menghulurkan bantuan. Beliau menyifatkan tuduhan Setiausaha Agung DAP itu amat berat kerana, "Kita yang memikul segala kerja sebagai kerajaan ketika berhadapan bencana ini. Dia hanya melihat. Melihat dan memikul ini berbeza." "Dia hanya pelawat yang datang ke Kelantan hanya sehari, kita ini pemikul yang memikul tanggungjawab itu. Banjir kali ini luar biasa sememangnya pada peringkat awal kita gagal tangani 100 peratus terutama di kawasan seperti Kuala Krai. "Jadi kalau itu menyebabkan seolah-olah kerajaan tidak buat kerja, ambo (saya) rasa tidak betul lah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Guan Eng dalam laporan akhbar Sin Chew Daily dilapor menggambarkan Kelantan seperti tiada kerajaan termasuk menuduh kerajaan negeri tidak membuat kerja sewaktu bencana banjir. Sementara itu, Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS memberi peringatan tegas kepada Guan Eng supaya 'menjaga mulut' dan berhenti menyerang kepemimpinan parti itu. "Saya tidak tahu apa tujuan dan matlamat dia (Guan Eng). Itu terpulanglah, pada kita, kita akan meneruskan perjuangan dengan pendekatan kita,'' katanya. Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Gerakan Impian Kelantan (GIK) yang dijangka dilancar malam ini, Ahmad berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang makluman rasmi mengenainya. GIK digerakkan oleh pemimpin PAS yang dilihat pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerjasama DAP. |
Harga minyak turun, barang juga perlu turun Posted: 31 Jan 2015 08:47 PM PST Ada pemborong yang menggunakan alasan seperti faktor cuaca dan kekurangan bekalan. KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pemborong dan peniaga menurunkan harga barangan berikutan pengumuman harga baharu minyak malam ini. Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohamad Yusoff Abdul Rahman berkata, keengganan pemborong dan pembekal menurunkan harga barangan akan memberi implikasi terhadap harga jualan peruncit serta menyukarkan pengguna. Katanya, kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pembekal dan pemborong supaya penurunan harga dapat dibuat memandangkan kos operasi yang semakin murah. "Tetapi, ada pemborong yang menggunakan alasan seperti faktor cuaca dan kekurangan bekalan apabila isu penurunan harga barangan timbul selepas harga minyak turun. "Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan semua pembekal dan pemborong untuk mengatasi masalah tersebut sekali gus dapat menurunkan harga barangan mentah," katanya, lapor Utusan Malaysia. Beliau berkata demikian berikutan pengumuman harga baharu bagi petrol RON95 dan RON97 serta diesel yang berkuatkuasa hari ini. |
Sabah perlu ikut jejak Sarawak turun tarif elektrik Posted: 31 Jan 2015 08:41 PM PST Roketkini.com KOTA KINABALU: DAP mencabar Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Raymond Tah melaksanakan segera keperluan yang membawa faedah kepada semua jika bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat meningkatkan taraf hidup. Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, perkara itu termasuk mengurangkan tarif elektrik dan memastikan bekalannya konsisten. "Sabah perlu mengikut jejak langkah Sarawak yang telah mengurangkan tarif sehingga 40 peratus. "Bekalan tenaga elektrik juga perlu konsisten, dan kerajaan negeri harus memastikan bayaran pampasan dibuat kepada penduduk akibat gangguan elektrik tak berjadual," katanya. ADUN Sri Tanjong itu menegaskan, Raymond sebagai Timbalan Ketua Menteri negeri juga harus memansuhkan penswastaan pelabuhan, membuka rangkaian wifi dan membendung harga rumah yang jauh dari harga mampu milik. Tambah Foong Hin, Raymond semasa mengumumkan hasil kaji selidik kos sara hidup di Kota Kinabalu menyarankan semua majikan di Sabah meningkatkan gaji pekerja bagi membantu mereka meningkatkan taraf kehidupan. Namun, kenyataan Raymond itu tiada gunanya jika peniaga sendiri menghadapi kesukaran untuk menjalankan perniagaan mereka di negeri itu. "Tahukah Raymond bahawa kerajaannya sendiri melaksanakan cukai 5 peratus ke atas eksport makanan laut, sekaligus menyusahkan pengendali atau pengusaha industri makanan laut? soalnya. Pendapatan penduduk KK sekadar 'cukup makan' Sementara itu, berdasarkan kaji selidik yang disiarkan dalam Majalah Industri Suku Tahunan Sabah (SIQ), seseorang memerlukan sekurang-kurangnya pendapatan RM3,000 sebulan untuk hidup agak selesa di Kota Kinabalu. Namun, malangnya lebih separuh penduduk di Kota Kinabalu berpendapatan di bawah RM2,500. "Lebih separuh penduduk bergaji kurang dari tahap minimum 'balik modal' dan akhirnya mereka tidak dapat menikmati hidup dengan selesa. "Raymond seharusnya berasa malu atas kegagalan kerajaan negeri meningkatkan pendapatan rakyat. "Perkara yang paling tidak masuk akal ialah beliau menyarankan pengusaha meningkatkan gaji pekerja, "Ini jelas cubaan menyalah dan mengkambing-hitamkan peniaga atas kegagalannya sendiri," kata Foong Hin. – Roketkini.com |
Dirompak, Badrul Hisham cekal tamatkan jelajah berbasikal UK-Msia Posted: 31 Jan 2015 08:38 PM PST Oleh: NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM: Graduan Sarjana Kejuruteraan Mekanikal Universiti Sheffield, Badrul Hisham Burhanuddin, 24, cekal mengejar impian menamatkan kayuhan London – Malaysia walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan. Antara rintangan yang terpaksa dilalui beliau termasuk dirompak dua lelaki Kurdis di lebuh raya tidak jauh sempadan Turki dan Syria. Badrul Hisham berkata pelbagai rintangan yang dilaluinya itu banyak mengajar supaya lebih cekal dalam menempuhi kehidupan. "Pengalaman pertama yang mengubah saya, semasa saya dirompak dua Kurdistan. "Mereka datang tiba-tiba minta duit. Saya terkejut sebab sebelum ini orang Turki baik-baik, datang bagi makanan, minuman dan lain-lain tetapi kali ini dirompak. "Masa itu dalam dompet saya ada RM1,000 dan mereka ambil sendiri duit dalam dompet tetapi tak ambil semua, mereka ambil RM300 sahaja," kata Badrul Hisham ketika dihubungi Selangor Kini. Tambah Badrul Hisham, bagaimanapun dua perompak itu mengubah fikiran mereka dengan memulangkan semula wang RM100. "Mungkin sebenarnya mereka bukan perompak tetapi disebabkan tekanan hidup, tak ada kerja sebab di sempadan Turki – Syria tengah panas dengan kumpulan pejuang Negara Islam (Isis). "Selepas itu dia bagi saya rokok dan kami sempat berbual," kata Badrul Hisham lagi. Peristiwa itu menjadikan Badrul Hisham lebih cekal untuk menghadapi sebarang cabaran demi mencapai impian beliau. "Saya nasihatkan remaja di luar sana agar, fokus dan tak lemah semangat bila ada cabaran mengejar impian. Lakukan sungguh-sungguh. "Saya percaya mengejar impian penting. Ujian dan cabaran itu pasti ada tetapi ketabahan mengejar impian itulah menjadikan kita manusia," kata Badrul Hisham. Badrul Hisham yang berasal dari Klang, Selangor memulakan kayuhan berbasikal dari London untuk pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya di sana. Beliau yang pada awalnya diiringi dua lagi rakyat Malaysia berpecah di Paris disebabkan mempunyai sasaran tempoh yang berbeza. Selepas hampir lima bulan berbasikal dengan jarak perjalanan 11,000 kilometer, Badrul Hisham tiba di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam 27 Disember lalu .EZY |
MB: Selangor banyak lahirkan bintang, Arumugam jadikan inspirasi Posted: 31 Jan 2015 08:33 PM PST Oleh: NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM: Tidak dapat dinafikan lagi, Negeri Selangor banyak melahirkan bintang sukan negara khususnya sukan nombor satu negara iaitu bola sepak. Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata antaranya termasuk penjaga gol terbaik yang pernah dimiliki negara, mendiang Datuk R.Arumugam. "Kita bukan ada Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sahaja tetapi ramai lagi seperti mendiang. "Jasa mendiang kepada negeri, negara wajar kita kenang, angkat menjadi inspirasi bukan sahaja pemain bola tetapi untuk semua golongan masyarakat," kata Mohamed Azmin kepada Selangor Kini selepas melancarkan Program Lambaian Kaabah Selangorku baru-baru ini. Beliau berkata demikian sempena memperingati hari kelahiran Arumugam hari ini. Selain, Arumugam, Mokhtar bintang bola sepak yang juga berasal dari Selangor, Datuk Santokh Singh, Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, Reduan Abdullah, raja bola sepak Malaya – Datuk Ghani Minhat dan ramai lagi. Pasukan Selangor dengan jolokan 'The Red Giants' merupakan pasukan yang paling banyak merangkul kejuaraan Piala Malaysia iaitu 32 kali. Selain bola sepak, Selangor turut melahirkan jaguh sukan lain seperti badminton (keluarga Sidek), Foo Kok Keong dan lain-lain.EZY |
Kurator M'sia pertahan karya imej 'Agong' Posted: 31 Jan 2015 04:15 PM PST MALAYSIAKINI Seorang kurator seni Malaysia mempertahankan karya seorang artis muda negara ini yang mencetus kontroversi kerana menonjolkan imej mirip ketua negara dari sisi belakang. Kurator yang enggan dinamakan itu berkata, pengkritik karya Vincent Leong sepatutnya meneliti keterangan hasil seni tersebut sebelum membuat andaian. Beliau turut mempertahankan peranan Leong, 36, sebagai seorang artis untuk melontarkan kritikan sosial melalui karyanya. "Leong memberi maklum balas terhadap seni kontemporari dan isu semasa, ianya terpulang kepada masyarakat (untuk menerima). "(Masyarakat) Malaysia tidak boleh (menganggap setiap subjek seni) mengganggu sistem (negara), namun setiap pengkarya ada hujah mereka sendiri. "Perlukah kita mempertikaikannya?," kata kurator itu lagi yang telah meneliti karya Leong dalam pameran "Kenapamu Malaysia" di Singapura. Karya berkenaan merupakan cetakan fotografi menunjukkan imej mirip Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam pakaian rasmi diraja – yang dirakam dari sisi belakang, katanya. Pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, ia merupakan rakaman foto menggunakan model, dan bukannya lukisan seperti yang dilaporkan. Siri tersebut turut menggambarkan imej mirip Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, juga dari sisi belakang. Karya berkenaan menerima kecaman, antaranya dari Pemuda PAS dan NGO seperti PERKASA dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Laporan Sinar Harian menyebut, NGO dan aktivis parti berkenaan menganggap karya artis tersebut sebagai satu "penghinaan". Leong dalam keterangan karyanya menjelaskan bahawa beliau cuba melihat sesuatu isu dari sudut pandangan yang berbeza. Ia bertujuan untuk membuatkan pengunjung berfikir bagaimana untuk melihat sesuatu perkara dengan cara yang lain dari biasa, katanya. Beliau memberi contoh, perkara itu boleh dilihat dalam satu lagi karyanya dalam siri sama, yang menunjukkan imej Tugu Negara dari sudut pandang sama - dari belakang. "Sudut gambar tersebut juga menimbulkan persoalan yang lebih luas. "Apa perasaan sekiranya melihat monumen negara daripada belakang," keterangan karyanya dipetik. Leong ketika dihubungi Malaysiakini enggan membuka mulut untuk menjelaskan lagi mengenai karyanya. Karya graduan University of London itu kini antara lainnya dipamerkan di Muzium Seni Guggenheim, New York. |
Rafizi: RON95 sepatutnya RM1.62 seliter pada Feb Posted: 31 Jan 2015 04:12 PM PST MALAYSIAKINI Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata Putrajaya sepatutnya menetapkan harga seliter petrol RON95 pada kadar RM1.62 bagi bulan Februari. Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Rafizi berkata, angka ini akan mencerminkan harga pasaran purata petrol RON95 di Malaysia, seperti yang ditentukan oleh MOPS (Mean of Platts Singapore) Katanya, jika subsidi dipulihkan, seperti yang digesa oleh PKR, maka harga akan hanya menjadi RM1.32 seliter. Terdapat spekulasi bahawa harga minyak akan diturunkan pada 1 Februari, selaras dengan kejatuhan harga minyak mentah. Sumber dalaman industri memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menjangka Putrajaya akan menambat RON95 pada harga RM1.63 seliter dan diesel RM1.62 seliter. Putrajaya telah memansuhkan subsidi petrol dan diesel bulan lalu selepas harga minyak mentah mencecah paras paling rendah dalam rekod. Satu mekanisma harga "apungan terurus" kemudiannya diperkenalkan. Pada masa ini, harga seliter RON95 ialah RM1.91 manakala diesel dijual pada harga RM1.93 seliter. Jika RON95 dijual bawah harga RM1.75 seliter, ia akan menjadi jumlah yang paling rendah sejak 2009. Sementara itu, Rafizi turut mendakwa, Putrajaya telah mengumpul kekayaan sebanyak RM1.15 bilion bagi "cukai bahan api" berikutan petrol yang telah dijual melebihi harga pasaran antara bulan Disember dan Januari. Hujah beliau berdasarkan harga oleh MOPS, kadar pertukaran matawang harian dan data harga penggunaan yang disediakan kerajaan. Pengiraan yang dibuat naib presiden PKR itu juga mengandaikan, harga pasaran yang betul untuk satu liter bahan api RON95 telah berubah-ubah antara RM1.75 dan RM1.49 antara 1 Januari dan 28 Januari. Manakala, harga pasaran untuk satu liter diesel adalah antara RM1.80 dan RM1.55 semasa tempoh sama. Bagaimanapun, menurut Rafizi, Putrajaya telah menetapkan harga RM1.91 seliter bagi RON95 dan RM1.93 seliter bagi diesel pada bulan Januari. Oleh yang demikian, Rafizi yang turut menyediakan pengiraan dari hari ke hari dalam kenyataan akhbarnya itu menegaskan, pengguna juga secara berkesan telah membayar "cukai bahan api" kepada kerajaan. "Oleh kerana rakyat terus membayar pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran (walaupun tanpa subsidi), BN mendapat durian runtuh dengan mengutip cukai petrol tanpa diumumkan kepada rakyat," katanya. Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pandan itu mencabar kerajaan Persekutuan untuk menyangkal dakwaannya dan mendedahkan formula yang digunakan untuk menentukan harga bahan api. Malah, beliau turut mengulangi permintaaannya supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghentikan kutipan "cukai bahan api" dan menubuhkan Tabung Penstabilan Harga Minyak dengan menggunakan cukai tersembunyi yang telah dikutip untuk digunakan semasa harga petrol dan diesel dinaikkan. Beliau turut mencadangkan supaya harga terkini bahan api disemak setiap minggu bagi mengelakkan rakyat terus membayar jauh lebih tinggi daripada harga pasaran dan menghentikan cukai tersembunyi akibat perbezaan harga itu. "Tindakan mencukai rakyat melalui pembelian petrol dan diesel pada ketika ekonomi negara semakin teruk melambangkan keterdesakan kewangan pentadbiran Najib," katanya lagi. |
Penuntut politeknik maut rempuh lori Posted: 31 Jan 2015 04:04 PM PST Mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah selepas rempuh belakang lori. BATU PAHAT – Seorang penuntut Politeknik Merlimau, Melaka maut terlibat kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Arah Selatan jam 2 petang semalam. Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa, Muhammad Shahraff Halim,19, merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di laluan kecemasan akibat rosak. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian, hujan dan mangsa menunggang bersendirian. Katanya, dua lagi rakannya menunggang motosikal berasingan dan dikatakan dalam perjalanan dari Politeknik Merlimau menuju pulang ke rumahnya di Kampung Muhibbah, Paloh. "Mangsa bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah, namun tiba di lokasi, dia melanggar bahagian belakang sebuah lori dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah manakala dua lagi rakannya tidak mengalami kecederaan kerana berjaya mengelak lori berkenaan," katanya. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat. "Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menasihatkan kepada orang ramai supaya dapat berhati-hati di jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya. |
Pelakon Hollywood promosi amalan bertangas Posted: 31 Jan 2015 03:58 PM PST MALAYSIAKINI Buah hati kepada jutawan ranggi Tony Stark dalam filem Iron Man, kini seorang pakar dalam hal alat sulit wanita. Bekas isteri kepada penyanyi Chris Martin dari kugiran Coldplay ini mencadangkan agar wanita bertangas menggunakan sejenis ulam dikenali sebagai ulam baru cina (mugwort). Majalah Independent menyebut, Paltrow mendakwa amalan itu mampu memberikan lonjakan tenaga dan membantu pembersihan dalaman dengan berkesan. Beliau menamakan sebuah spa di Santa Monica - Tikkun Spa - sebagai tempat untuk personaliti di Hollywood mendapatkan perkhidmatan itu. "Tiket keemasan di sini adalah Mugwort V-Wap. "Anda akan duduk di atas satu tempat seperti takhta mini, dan satu kombinasi inframerah dan wap ulam Baru Cina akan membersihkan uterus anda," kata Paltrow. Majalah itu memetik kenyataannya yang disiarkan laman web gaya hidup beliau, www.goop.com. |
Dua maut, seorang parah dalam kemalangan di Ipoh Posted: 31 Jan 2015 03:49 PM PST SINAR HARIAN Keadaan sebuah lori yang membawa muatan tong cat yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan, menyebabkan dua maut dan seorang cedera parah di Kilometer 266.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Terowong Menora di Ipoh tengah malam tadi. - Foto Bernama IPOH - Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah apabila lori yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler di KM266.1 Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan, di sini, tengah malam tadi, kata polis. Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shaharuddin Wan Omar berkata, yang maut ialah pemandu lori M Nagalinggam, 49, dan rakannya dikenali sebagai Yusri, 20, manakala seorang remaja Mohd Saiful Nazri Noor Affandy, 19, cedera parah. Katanya, Nagalinggam meninggal dunua di tempat kejadian manakala rakannya, Yusri, meninggal dunia di wad kecemasan HRPB. Mohd Saiful Nazri dimasukkan ke hospital yang sama, katanya ketika dihubungi Bernama. Wan Shaharuddin berkata, lori itu yang membawa muatan cat dengan sebahagian daripadanya bertaburan di atas jalan berikutan kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas selama beberapa jam dari terowong Menora sehingga ke Km266.1. Ketiga-tiga mereka tersepit di dalam lori dan dibawa keluar oleh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Ipoh dan Kuala Kangsar, kata seorang jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya. - Bernama |
MP: Pinjaman dari Ananda satu 'penghinaan' Posted: 31 Jan 2015 03:47 PM PST MALAYSIAKINI Seorang MP pembangkang kecewa dengan tindakan firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang berhutang dengan jutawan Tan Sri Ananda Krishan untuk melunaskan pinjamannya. MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata tindakan itu satu "penghinaan", apatah lagi apabila syarikat tersebut mendakwa ia telah menebus semula pelaburannya sebanyak RM3.9 bilion di Kepulauan Cayman pada kadar tukaran semasa. "Berita itu penghinaan besar buat 1MDB dan amat memalukan kerajaan Malaysia," kata Pua dalam kenyataan. Laporan Reuters semalam menyebut bahawa Ananda Krishnan akan meminjamkan RM2 bilion kepada 1MDB untuk melangsaikan hutang dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) dan RHB Bank Bhd. 1MDB sebelum ini sudah dua kali tersasar dari jadual pembayaran untuk pinjaman jangka pendek yang dibuat dengan dua bank tersebut. Firma tersebut meraih kontroversi ekoran hutangnya berjumlah RM41 bilion, hasil ratusan juta dolar yang dipungut Goldman Sachs untuk pengendalian pengeluaran bonnya dan dakwaan mengenai isu ketelusan syarikat berkenaan. Pua seterusnyua membangkitkan bahawa pinjaman dari Ananda itu merupakan bukti bahawa 1MDB kini dipengaruhi jutawan berkenaan. MP tersebut turut menimbulkan kebimbangan bahawa 1MDB mungkin terpaksa memenuhi syarat pinjaman yang memihak kepada Ananda. "Terutama sekali memandangkan 1MDB ada rekod yang buruk dalam mendapatkan pinjaman khas," katanya. [Baca berita asal] Sementara itu, naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata perkembangan itu menunjukkan bahawa 1MDB sememangnya berhadapan dengan masalah aliran tunai. "Masalah ini akan menjadi lebih parah dalam tahun 2015 kerana 1MDB telah mengambil beberapa hutang jangka pendek untuk memenuhi komitmen bayaran hutang lain," katanya. Rafizi berkata, salah satu daripada hutang tersebut adalah pinjaman US$1 bilion (kira-kira RM3.6 bilion) yang daripada enam buah bank. Pinjaman daripada enam buah bank tersebut dilaporkan oleh majalah kewangan antarabangsa International Financing Review, katanya. |
GST: 2 juta buku panduan harga diedar hari ini Posted: 31 Jan 2015 03:41 PM PST SINAR HARIAN TANAH MERAH - Sebanyak dua juta naskhah Buku Panduan Harga Pengguna melibatkan 500 jenis barangan selepas sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1 April ini, mula diedarkan di seluruh negara bermula hari ini. Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, buku panduan berkenaan itu menyenaraikan harga barangan sebelum dan selepas GST diperkenalkan. "Data harga adalah berdasarkan harga purata bulan November tahun lepas, purata harga itu kita jadikan asas panduan," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra KPDNKK bersama-sama Penduduk Kampung Kuala Tiga di sini, hari ini. Beliau berkata buku panduan itu akan diedarkan di seluruh negara mengikut Zon Utara, Tengah, Timur, Selatan, Sabah dan Zon Sarawak dan orang ramai juga boleh mendapatkannya menerusi laman web KPDNKK. "Buku panduan ini adalah untuk panduan harga barang sehingga Jun tahun ini dan kita akan kemaskini kemudian dalam laman web rasmi KPDNKK," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Alias berkata walaupun kesedaran pengguna mengenai pelaksanaan sistem GST semakin meningkat namun kementeriannya menjangka bilangan aduan daripada orang ramai berhubung harga barangan selepas GST akan turut meningkat. "Misalnya, negara Australia yang melaksanakan GST pada tahun 2000 dan enam bulan pertama terdapat 68,000 aduan dilaporkan," katanya. Pada majlis itu, sebanyak 230 penduduk yang terjejas akibat banjir di kampung berkenaan bulan lepas menerima bantuan berupa bekalan makanan daripada KPDNKK. Majlis itu turut dihadiri Pengarah KPDNKK Kelantan, Ab Ghani Harun dan Anggota Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisyam Abdul Aziz. - Bernama |
Kanak-kanak diculik disyaki diberikan dadah Posted: 31 Jan 2015 03:39 PM PST SINAR HARIAN Twiiter Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. SHAH ALAM - Polis menyelesaikan kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun di Klang pada 22 Januari lepas, dengan tertangkapnya enam lelaki dalam dua serbuan, awal pagi tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menemui kanak-kanak warga tempatan itu dalam serbuan pertama di sebuah apartmen di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12.05 pagi. Beliau berkata, polis menahan lima lelaki yang berada di rumah berkenaan, dipercayai suspek yang terlibat dalam kes penculikan mangsa. "Kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan khayal dan disyaki diberikan dadah supaya mudah dikawal. Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Bahagian Pediatrik, Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan keadaannya setakat ini stabil malah telah sedar daripada pengaruh dadah. "Ketika dijumpai, tiada sebarang kesan kecederaan pada badan kanak-kanak itu dan mangsa juga tidak diikat cuma berada dalam keadaan khayal namun jenis dadah yang diberi padanya masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki dipercayai saki baki anggota kumpulan penculik terbabit dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Subang Permai, Subang Jaya kira-kira 2.15 pagi. Mohd Adnan berkata, siasatan awal polis mendapati suspek ada menghubungi keluarga mangsa yang terlibat dalam bidang perniagaan untuk meminta wang tebusan hampir RM850,000, malah turut mengugut untuk mencederakan kanak-kanak itu jika wang tersebut gagal diserahkan. "Pada Rabu lepas, keluarga mangsa ada terima satu SMS (sistem pesanan ringkas) melalui telefon bimbit ibu mangsa yang turut dicuri ketika penculikan itu dan meminta keluarga berkenaan menyerahkan wang tebusan sebanyak USD100,000, AUD100,000 dan RM200,000. "Namun, wang tebusan itu tidak sempat diserahkan kepada suspek dan polis percaya penculikan berkenaan tidak terlibat dengan isu lain tapi semata-mata mahukan wang kerana ada sebahagian daripada mereka mengenali mangsa dan keluarganya," kata beliau. Menurut Mohd Adnan, kesemua suspek warga tempatan sedang disoal siasat bagi mengenal pasti dalang utama kes penculikan berkenaan. Kesemua suspek direman sehingga Jumaat depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961. Kanak-kanak itu diculik dua lelaki yang memecah masuk rumahnya di Taman Maznah, Klang dalam kejadian 2.10 pagi pada 22 Januari lepas, ketika mangsa sedang tidur bersama ibu dan adiknya. Kejadian tersebut disedari jiran mereka yang segera menghubungi polis. Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam status twitternya turut mengucapkan syabas kepada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan JSJ Selangor atas kejayaan menyelamatkan kanak-kanak tersebut. - Bernama |
Posted: 31 Jan 2015 03:37 PM PST Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Hariss Harun dicabar pemain Pahang Mohd Razman Roslan, ketika menanduk bola pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya merangkul kejuaraan pertama musim ini selepas menewaskan Pahang 2-0 dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2015, Piala Sumbangsih di Stadium Larkin, malam ini. Gol pertama JDT berjaya dijaringkan oleh Marcos Antonio hasil sepakan sudut pada minit ke-36. JDT kemudiannya, berjaya menggandakan jaringan hasil sepakan dari Luciano Figueroa pada minit ke-58. Kemenangan ini memberi makna kepada JDT yang sebelum ini kalah dengan Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu. Selaku juara Liga Super musim lalu, JDT dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan gelaran mereka musim ini. Kemenangan menentang Pahang ini pastinya akan membakar semangat anak buah Bojan Hodak untuk terus beraksi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia 2015. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan