Nuffnang

Pengikut

SIASAH

sumber :-

SIASAH


Politik global 2014: 5 pemimpin dan penggerak

Posted: 01 Jan 2015 11:13 PM PST

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tahun 2014 ialah tahun kesinambungan dan juga tempoh yang menyaksikan perubahan dan cetusan besar. Tahun 2014 telah meneruskan perkembangan sejak beberapa tahun sebelumnya, melibatkan perkembangan seperti kebangkitan, pendemokrasian dan persaingan kuasa-kuasa di dunia Arab. Turut diperhatikan ialah persaingan Barat dengan kuasa-kuasa baru muncul untuk membentuk orde dunia. Tetapi, 2014 juga menjadi satu tempoh yang menyaksikan beberapa perkembangan baharu yang akan terus mencorakkan hubungan antarabangsa untuk tahun-tahun mendatang. Berikut lima pemain dan penggerak yang menjelaskan perkembangan utama politik dunia sepanjang 2014.

5. Shinzo Abe dan nasionalisme Jepun

Tahun 2014 merupakan tahun yang mencabar bagi Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, yang berdepan pilihan raya mengejut untuk mendapatkan mandat baharu. Abe bangkit bersama nasionalisme Jepun yang semakin agresif, dan membawa agenda meningkatkan keupayaan pertahanan Jepun serta meninggalkan perlembagaan pascaperang yang menghadkan kebebasan Jepun dalam hal pertahanan. Pada era imbangan semula Amerika Syarikat ke Asia Pasifik, Jepun menjadi salah satu pemain pentingnya. Sepanjang tahun, Jepun mengukuhkan pakatan dengan sekutu termasuk India dan Australia.

4. Kebangkitan sayap kanan di Eropah dan Amerika Syarikat

Parti Kemerdekaan United Kingdom, UKIP, pelampau anti-Islam, dan antiimigran di Jerman dan Eropah, Tea Party di Amerika Syarikat menjadi antara nama paling dikenali yang mendepani gelombang konservatisme dan sayap kanan di dunia Barat. Di UK, UKIP mula mencapai kemenangan dan meletakkan ahli dalam Parlimen Inggeris, memberi keyakinan kepada parti itu untuk menghadapi pilihan raya 2015. Hujung Disember, dilaporkan lebih daripada 17,000 orang berkumpul menyokong kempen "anti-Islamisasi" di Dresden, Jerman. Di AS, kelompok konservatif keras Tea Party telah menguasai Parti Republikan, sebagai satu respons kuat terhadap gelombang liberal yang bangkit bersama Presiden Barack Obama. 

3. Narendra Modi dan kebangkitan India 

Narendra Modi, tokoh divisif India menang bersama parti nasionalis Hindunya dan muncul sebagai perdana menteri yang diperhatikan seluruh dunia dan mencetus pelbagai sentimen. Tetapi, Modi kelihatan memperlihatkan usaha mengimbangi sentimen dan kepentingan negara, mengambil sikap lebih realis termasuk memelihara hubungan dengan Pakistan. Modi meningkatkan agenda meluaskan kerjasama India dengan sekutu-sekutu, dan berusaha mengambil tempat di ruang Indo-Pasifik yang menjadi medan persaingan kuasa-kuasa dunia, termasuk China yang cuba menguasai wilayah maritim penting ini.

2. Vladimir Putin dan Rusia

Pertembungan Rusia dengan AS dan Barat mencapai kemuncaknya pada tahun 2014, yang satu pencetus utamanya usaha mengubah rejim oleh AS di Ukraine, dan tindakan Moscow menawan wilayah Crimea. Di bawah Presiden Putin, Rusia berdepan tekanan baharu daripada AS dan sekutu, menjadikan hubungan Rusia dengan AS berada pada tahap paling buruk sejak berakhirnya Perang Dingin. Hubungan keruh ini terus memburuk, dan ditambah lagi dengan insiden serangan ke atas sebuah pesawat penumpang Malaysia di ruang udara Ukraine. Terkini, Putin pada 26 Disember meluluskan doktrin ketenteraan baharu yang menamakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dan AS sebagai ancaman utama.

1. Perluasan pengaruh China 

China menjadi pemain paling aktif di arena antarabangsa, dengan usaha gigih dan konkrit melibatkan ekonomi, diplomasi, dan ketenteraan. China terlibat dalam projek-projek pembangunan infrastruktur di seluruh dunia daripada keretapi laju kepada pelabuhan, dan mencapai kemuncaknya dengan penubuhan bank infrastruktur yang menjadi satu institusi yang mencabar dolar AS dan institusi urus tadbir kewangan didominasi Barat, di samping peranannya menyaingi Dana Kewangan Antarabangsa melalui hubungan dua hala. China pada tahun ini turut mengukuhkan pakatan dengan Rusia melalui perjanjian perdagangan gas bernilai AS$400 bilion, dan menjadi peminjam kepada Rusia yang sedang menyaksikan kejatuhan mata wang ruble. - Disember 28, 2014

Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT