Rabu, 14 Januari 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


KENYATAAN MEDIA YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN

Posted: 14 Jan 2015 02:51 AM PST

1. Mahkamah Persekutuan Malaysia yang bersidang di Putrajaya pada hari Selasa, 13 Januari 2015 bersamaan 22 Rabiul Awal 1436 telah menolak rayuan sebuah syarikat pembalakan iaitu Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd yang merayu terhadap Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia bertarikh 6 Ogos 2012 yang telah membenarkan rayuan Kerajaan Negeri Kelantan sekaligus mengenepikan Penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang membenarkan tuntutan pihak Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd bagi jumlah melebihi RM560 juta ekoran daripada dakwaan perlanggaran Perjanjian Konsesi Pembalakan bertarikh 20 Julai 1964 dan Perjanjian Tambahan bertarikh 6 November 1965.

2. Tindakan menyaman Kerajaan Negeri Kelantan oleh pihak Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd adalah terhalang oleh had masa kerana Perjanjian-perjanjian tersebut telahpun ditamatkan pada 18 Mac 1975 lagi dan sememangnya tidak wujud sebarang Perjanjian Penyelesaian di antara kedua-dua pihak selepas berlakunya penamatan tersebut untuk memberikan sebahagian hak terhadap hasil balak kepada Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd. 

3. Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd sebelum ini telah memfailkan tuntutannya terhadap pihak Kerajaan Negeri pada 10 Oktober 2004 yang lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menuntut di antara lainnya suatu deklarasi bahawa penamatan Perjanjian Konsesi Pembalakan dan Perjanjian Tambahan adalah tidak sah, gantirugi bagi sejumlah RM840 juta, gantirugi khas, gantirugi am, faedah dan kos. Alhamdulillah, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini maka Kerajaan Negeri Kelantan kini adalah tidak lagi bertanggungan untuk membayar jumlah penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut yang kini telah mencecah melebihi RM1 Bilion termasuk faedah. 

4. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa laporan-laporan di dalam beberapa portal berita yang menyatakan bahawa Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd telah gagal di Mahkamah Persekutuan semalam bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan atas sebab-sebab teknikal adalah tidak tepat. Ini adalah kerana Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang telah memihak kepada Kerajaan Negeri Kelantan semalam adalah setelah berlangsungnya pendengaran rayuan penuh dan diputuskan berdasarkan merit sepenuhnya setelah kedua-dua pihak memfailkan hujahan-hujahan bertulis dan berhujah secara lisan selama dua hari di Mahkamah Persekutuan.

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 23 Rabiul Awal 1436 / 14 Januari 2015

Terkini! Badan kapal terbang air asia sudah jumpa

Posted: 14 Jan 2015 02:33 AM PST



Ni gambar terkini. Ya allah, alhamdulillah.

SIDANG MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN TABUNG AMANAH BENCANA BANJIR NEGERI KELANTAN

Posted: 14 Jan 2015 12:09 AM PST

SIDANG MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN TABUNG AMANAH BENCANA BANJIR NEGERI KELANTAN

1. Majlis Pelancaran Tabung Amanah Bencana Banjir ini akan diadakan pada 18 Januari 2015 pada hari ahad bertempat di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Majlis akan bermula pada jam 4.30 petang hingga 6.00 petang.

2. Tabung Amanah Bencana Banjir ini pada asasnya telah ditubuhkan pada 29 Disember 2014 lepas dibawah subseksyen Akta Acara Kewangan 1957. Tabung ini bertujuan untuk mengumpul dana bantuan segera daripada pelbagai sumbangan kewangan seperti Kerajaan Persekutuan, Badan-Badan Berkanun, Syarikat-syarikat Swasta, NGO dan orang ramai. Hasil sumbangan ini akan digunakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir dari sudut bantuan segera berupa makanan, pakaian dan keperluan asas harian termasuklah bagi membina rumah yang telah rosak akibat banjir.

3. Majlis Pelancaran ini akan melibatkan semua termasuk Menteri Besar Kelantan, Timbalan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pengerusi BBC, Ahli-Ahli Dewan Rakyat, pimpinan Kerajaan Negeri dan seluruh pegawai tadbir Kerajan dan kita telah menghubungi lebih daripada 100 penderma yang terdiri daripada Syarikat GLC Kerajaan Persekutuan, GLC Kerajaan Negeri, Syarikat Pelaburan dan Pelabur-Pelabur dari Kelantan, Syarikat Telekomunikasi, Pihak-Pihak Bank dan Anak-anak Syarikat Negeri Kelantan. Kita juga turut membuka kepada semua dermawan-dermawan, orang perseorangan dalam dan luar negara yang ingin berbakti dan menghulurkan derma kepada mangsa banjir Kelantan.

4. Kita di peringkat Kerajaan Negeri telah bersetuju bahawa Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyumbang sebulan gaji kepada Tabung Amanah Bencana Banjir ini dan juga semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri mereka akan menyumbang sebulan elaun mereka termasuklah Ahli Dewan Rakyat dari Kelantan, Ahli Dewan Negara dan YB Dato' Speaker.

5. Disini, Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pelbagai bentuk bantuan serta bekalan kepada semua mangsa-mangsa banjir di Negeri ini. Penghargaan khas kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negara Thailand, Agensi-Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Pasukan Keselamatan, Tentera, Polis, Pertahanan Awam, Bomba, Rela, Pihak Hospital serta Pasukan Perubatan, Ahli-Ahli Korporat, Usahawan-Usahawan, Semua NGO, Pertubuhan-Pertubuhan Profesional, Jabatan Amal, Sukarelawan dari Palestin, Thailand, Singapura, Bangladesh, Emirates, Turki , Para Dermawan dari dalam dan luar Negeri dan juga Orang Perseorangan. 

6. Dan Kepada mana-mana pihak yang terus ingin berbakti dan menyumbang bagi pembangunan semula pasca banjir dan tidak sempat hadir bolehlah menyalurkannya ke:

TABUNG AMANAH BENCANA BANJIR NEGERI KELANTAN
Melalui akaun: Bank Islam Malaysia Berhad 03018010080024
Atas nama penerima: Tetuan Perbendaharaan Negeri Kelantan

USTAZ DATO' HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 23 Rabiul Awwal 1436/14 Januari 2015

Tiada ulasan: