Selasa, 13 Januari 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kenyataan Media: Penjelasan Menteri Dalam Negeri Masih Dinanti

Posted: 12 Jan 2015 07:01 PM PST

Dato' Mahfuz Omar

1. PAS masih menanti penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan surat yang ditulis beliau kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dalam kes warganegara Malaysia Paul Phua, yang didakwa seorang raja judi. Sehingga ke hari ini, beliau masih belum memperjelaskan kepada umum berkenaan tindakan mengutus surat kepada FBI itu.

2. Sungguh memusykilkan kita lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa kabinet sendiri tidak tahu menahu berkenaan surat tersebut. Timbul persoalan besar di sini, adakah tindakan berani Menteri Dalam Negeri itu masih berada di dalam ruang lingkup kuasanya sehingga mengatasi Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Peguam Negara sendiri..?

3. Teka-teki ini sungguh membingungkan masyarakat umum yang risau akan integriti dan ketelusan pemimpin kerajaan kerana perbuatan sebegitu boleh diibaratkan seperti bersekongkol dalam melindungi penjenayah besar yang berkepentingan.

4. PAS juga menuntut Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah perkhidmatan keselamatan yang telah diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan sepertimana yang dinyatakan di dalam surat menteri tersebut. Rakyat berhak untuk mendapatkan penjelasan tersebut kerana ia melibatkan isu keselamatan negara. Sesungguhnya suatu malapetaka dan musibah yang besar sekiranya benar pihak kerajaan sanggup berurusan dengan penjenayah kongsi gelap dalam hal membabitkan keselamatan negara.

5. Jikalau Menteri punya keberanian dalam mengutus surat kepada FBI maka, keberanian yang sama juga ditagih dalam memperjelaskan letakduduknya isu ini secara terang dan nyata kepada rakyat yang menantikan penjelasan beliau.


Dato' Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS
13 Januari 2015

Kes Altantuya: Mahkamah Persekutuan putuskan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul

Posted: 12 Jan 2015 06:26 PM PST

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas membenarkan rayuan mereka.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa kedua- dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Suriyadi berkata, notis alibi yang dikemukakan kepada pendakwaan tidak disokong oleh bukti kukuh oleh kedua responden.

Katanya, mahkamah mendapati kedua responden ada niat bersama untuk melakukan pembunuhan itu yang disokong dengan bukti barangan peribadi milik si mati yang dijumpai bersama responden kedua (Sirul Azhar).

Sementara itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar selepas beliau gagal hadir untuk menerima penghakiman.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, peguam bela, Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad mewakili Azilah selaku responden pertama manakala Kamarul Hisham Kamaruddin bertindak bagi pihak respoden kedua iaitu Sirul Azhar.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu.

Kedua-dua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Berikut kronologi kes pembunuhan Altantuya:

2006:

26 Oktober: Cif Inspektor Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman ditangkap berhubung kehilangan Altantuya.

6 November: Korporal Sirul Azhar Umar dari unit yang sama turut ditangkap.

7 November: Penganalisis politik Abdul Razak Baginda ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

15 November: Azilah dan Sirul dituduh bersama di mahkamah majistret di Shah Alam atas pembunuhan Altantuya. Mereka didakwa telah membunuh wanita itu di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Oktober dan 1.00 pagi hari berikutnya.

16 November: Razak didakwa di mahkamah majistret Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Oktober di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.

2007:

19 Jun: Perbicaraan Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis berkenaan atas pembunuhan Altantuya bermula.

2008:

31 Oktober: Mahkamah Tinggi membebaskan Razak tanpa memerintahnya membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau. Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar dan memerintahkan mereka membela diri.

14 November: Timbalan pendakwa raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan pendakwaan tidak akan merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.

2009:

15 Januari: Azilah dan Sirul Azhar memulakan pembelaan diri. Azilah memberi kenyataan bersumpah dari kandang saksi.

4 Februari: Sirul Azhar memberi kenyataan bela diri dari kandang tertuduh.

9 April: Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dihukum gantung sampai mati.

10 April: Azilah memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

13 April: Sirul Azhar memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

2013:

24 Jun: Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kedua-dua mereka.

23 Ogos: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan oleh Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka dari tuduhan berkenaan. Pendakwaan memfail rayuan pada hari yang sama.

2014:

23 Jun: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan. Perkara itu didengar selama tiga hari.

25 Jun: Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan.

BARAH K-POP 

Posted: 12 Jan 2015 04:02 PM PST



Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

BARAH K-POP 

Sebagai seorang ibu dan pendidik Muslim, berita tentang apa yang berlaku di pentas K-Pop yang melibatkan anak-anak gadis kita baru-baru ini amat dikesalkan. 

Saya tidak fikir kita hanya boleh berkata 'Oh ini adalah fasa seorang remaja dan ia akan berlalu'. Adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita sebagai umat Islam memandang remeh bibit-bibit salah laku yang mula 'dibiasakan' di negara kita. 

Apabila remaja bertudung merelakan diri mereka disentuh, dipeluk dan kembali memeluk, ada sesuatu yang tidak kena di situ. 

Bertudung telah tidak disertai dengan konsep 'haya' atau malu. Malu berbuat dosa kepada Allah. Malu jika dirinya menjadi tumpuan lelaki rambang. Malu jika tudung itu tidak berupaya membuat lelaki hormat kepadanya. 

Bertudung atau tidak bertudung, bukankah bersentuh antara lelaki dan wanita itu haram di sisi Islam? Bercampur gaul antara lelaki dan wanita di dalam konsert bebas itu haram? 

Saya juga ada anak-anak remaja. Saya sedar bukan mudah untuk membesarkan anak-anak remaja di zaman langit terbuka dan di zaman mudahnya anak-anak kita mendekat ikon mereka di zaman twitter, FB dll. Laman sosial ini menjadikan mereka lebih 'attached' atau rapat dengan artis pujaan mereka, mengetahui pergerakan dan kehadiran mereka. 

Untuk itu saya ingin bersama-sama mengajak para ibu-bapa agar bersama-sama dengan saya memperbetulkan beberapa konsep :

1. Sebagai ibubapa yang menyedari gejala K-Pop sekarang ini, cuba bendung kecenderungan anak-anak kita baik lelaki maupun perempuan dari menonton drama Korea atau membeli CD-CD cerita Korea. Saya difahamkan ada remaja atau pelajar berhabisan membeli CD dan menghabiskan masa semalaman - marathon - menghabiskan cerita.

Salurkan anak-anak kita kepada aktiviti yang lebih bermanfaat. 

2. Ibubapa yang bertanggungjawab tidak akan membenarkan anak-anak ke konsert. Jika amat perlu, sekurang kurangnya mereka ditemani ahli keluarga yang faham tentang maruah diri. Rakan-rakan si anak kerap kali tidak membantu dan di dalam keseronokan lebih menggalakkan dari menghalang. Lagu-lagu K-Pop mengiringi setengah babak drama, jadi anak-anak kita terbuai di alam fantasi melakonkan babak tersebut maka diketika ini, mereka mungkin lupa sentuhan fizikal yang merupakan sesuatu yang di larang oleh syarak.

4. Ada satu salah tanggap di kalangan kita yang mungkin mengatakan drama k-pop, artis K-Pop ini tidaklah keterlaluan seperti filem2 atau artis2 Hollywood yang mana adegan cumbuan mereka lebih dasyhat, atau artis Bollywood yang lebih erotis gerak tariannya. Tapi Islam bukan berdiri atas nilai perbandingan sebegitu. Yang haram itu tetap haram. Jika anak-anak kita sehingga sudah 'addicted' kepada cerita Korea hingga menjadikan mereka ikon, maka alasan bahawa kita berkongsi budaya Timur sudah sampai hadnya. Syariat Islam itu yang lebih wajar dipelihara. 

5. Terapkan semula kepada anak-anak kita konsep bertudung dan menutup aurat yang sebenarnya. Tudung bukan sekadar menutup rambut atau kulit tubuh. Bertudung, menutup aurat bermaksud memelihara maruah diri dan maruah keluarga. Menjaga batasan pergaulan lelaki dan wanita. Menjaga mata dan perasaan agar tidak dibuai oleh nafsu sebelum tiba masanya. 

6. Sibukkanlah anak dengan perkara yang boleh meningkatkan rasa pertanggungjawaban diri. Galakkan mereka membaca Quran misalnya sehari sejuzuk. Atau menetapkan target hafalan agar anak-anak lebih dekat dengan Quran. Kecenderungan menonton drama Korea ini bermaksud anak-anak kita punya masa yang banyak. Bantulah mereka mengisi masa ini dengan aktiviti yang lebih baik, agar keremajaan mereka tidak tersia-sia.

Tiada ulasan: