Isnin, 5 Januari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PM diserang kuman E coli

Posted: 05 Jan 2015 03:16 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terkena jangkitan bakteria e-coli semasa lawatan ke kawasan banjir sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Twitter rasmi sebentar tadi.

"Doktor nasihat supaya berehat. Beliau akan kembali bertugas secepat mungkin," menurut tweet itu.

Najib baru pulang daripada lawatan kerja di Bangkok.

E coli boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam danpenyahhidratan yang boleh membawa maut.

Walaupun belum sihat, perdana menteri berjanji akan terus memantau keadaan banjir di seluruh negara.

"Saya akan terus memantau operasi bantuan banjir dari rumah," tulisnya di Twitter sebentar tadi.

Tweet beliau mendapat pelbagai reaksi yang rata-rata berharap kepimpinan utama negara itu cepat sembuh.

Acara pagi diganti TPM


Perdana menteri sepatutnya melepaskan konvoi bantuan banjir sukarelawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pagi tadi.

Bagaimanapun, ekoran masalah kesihatan itu, tempatnya digantikan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib sebelum ini terpaksa pulang awal daripada cuti selepas banjir besar melanda beberapa tempat di semenanjung Malaysia, terutamanya Kelantan.

Beliau juga dikritik hebat selepas gambarnya bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika bencana melanda Malaysia didedahkan media.

'Jet PM ada isu teknikal, tak diguna keluarga'

Posted: 05 Jan 2015 03:14 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Jet kerajaan yang digunakan untuk membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Hawaii, Amerika Syarikat (AS) ditinggalkan di negara itu selepas mengalami isu teknikal.

Ia tidak ditinggalkan untuk kegunaan keluarga perdana menteri atau dibawa ke tempat lain seperti dilaporkan sebelum ini.

"Pesawat itu tidak ditinggalkan untuk digunakan oleh anggota keluarga PM.

"Ia juga tidak berada di Indianapolis," menurut reaksi pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), seperti disiarkan oleh tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu menyiarkannya di ruangan komen pada blog seorang lagi pemimpin media eranya Tan Sri Zainuddin Maidin, yang terus mengulas berhubung isu 'diplomasi golf' Najib.

Penjelasan JPM juga menyebut bahawa perdana menteri pulang bersama pesawat komersial melalui Hong Hong sebelum diambil oleh pasukan tentera udara dan dibawa terus ke Kota Bharu.

Kadir berkata, jawapan di atas diperoleh selepas menghantar SMS kepada pegawai perdana menteri.

'Seperti misteri MH370'

Bagaimanapun, penjelasan itu nampaknya seperti tidak memuaskan hati Kadir.

"Rosak atau flight plan-nya sudah diluluskan yang menunjukkan ia akan terbang ke tanah besar AS selepas Hawaii?

"Kalau isteri PM tak guna pesawat itu, macam mana ia dikesan dari AS hingga Bangkok?" soalnya,

Beliau juga menyifatkan persoalan berhubung pesawat itu seperti "misteri MH370" yang hilang sebelum ini.

"Nampak macam ada pihak yang cuba putar belit hakikat," tulis Kadir (kiri) lagi.

CEO 1MDB dilapor letak jawatan

Posted: 05 Jan 2015 03:10 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman dilapor meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini.

Beberapa media, termasuk Utusan Online dan New Straits Times Online melaporkan perkara itu.

Tempatnya dikatakan akan digantikan oleh ahli perbankan Malaysia yang berpangkalan di Abu Dhabi, Arul Kanda Kandasamy, 38.

MB: RM52.5j bina rumah mangsa banjir di K'tan

Posted: 05 Jan 2015 03:09 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menganggarkan dana sebanyak RM52.5 juta diperlukan sebagai inisiatif membina semula kira-kira 1,500 rumah rakyat yang dikenal pasti telah musnah akibat bencana banjir di negeri itu.

Bersimpati dengan nasib mangsa banjir khususnya di kawasan selatan negeri itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang mencari penempatan dan setakat ini sebanyak 224 khemah penempatan sementara telah disediakan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ketua jajahan di bandar Gua Musang.

"Kerajaan turut memastikan mana-mana bangunan komersial yang belum diguna atau kuarters kerajaan atau perumahan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir negeri dan diselaraskan dengan Jawatankuasa Khas Banjir melalui Timbalan Pengerusinya iaitu Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan," katanya.

Selain inisiatif projek jangka panjang itu, kerajaan negeri menyeru kepada dermawan dan pihak tertentu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membina penginapan sementara seperti rumah transit, membekalkan kanvas dan khemah melalui ketua-ketua jajahan.

"Kerajaan amat prihatin terhadap persekolahan anak-anak bagi sesi 2015," katanya dalam satu kenyataan.

"Dengan itu kerajaan meluluskan melalui YAKIN di bawah bantuan kemiskinan dan persekolahan sejumlah RM50 ribu kepada setiap ADUN dan penyelia DUN bagi meringankan beban anak ke sekolah," katanya.

Selain itu, Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan gerak kerja pembersihan dan memungut sampah sarap yang ada dengan segara.

"Kerajaan negeri telah meluluskan RM50 ribu kepada setiap PBT untuk tujuan tersebut," katanya.

Beliau turut mengingatkan banjir besar di negeri itu seperti berlaku dalam sejarah Islam yang perlu diambil iktibar oleh semua pihak.

'Jet VIP k'jaan bakar minyak hampir RM500j'

Posted: 05 Jan 2015 03:05 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pemuda PKR (AMK) menganggarkan kos minyak pesawat orang kenamaan (VIP) kerajaan, yang didakwa terbang ke pelbagai tempat sebelum ini, menelan belanja hampir RM500 juta.

Ketua Penerangan AMK Lee Chean Chung berkata kiraan mereka menganggarkan sebanyak RM493,304 dibelanjakan untuk mengisi 64,232.36 gelen minyak.

Ini, kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu itu, dengan mengambil kira harga RMRM7.68 untuk segelen minyak jet.

Lee berkata, kos itu belum lagi mengambil kira upah juruterbang, kos pendaratan, kos parkir, kos penyimpanan, kos tanjakan pesawat dan kos penyelenggaraan jet.

Di samping mempersoalkan siapa yang akan menanggung kos itu, AMK juga menegaskan nilai itu boleh digunakan untuk membantu mangsa banjir di negara ini.

"Dengan anggaran harga pemborong beras RM2 sekilo, RM494,404 boleh digunakan untuk membeli 247 tan (247,202kg) beras untuk diagihkan kepada para mangsa banjir.

"Jika digunakan untuk membeli sardin (harga RM2.50 setin), RM494,404 boleh menampung 197,761 tin sardin untuk diagihkan kepada mangsa banjir," katanya.


 

'Isteri saya letak jawatan bukan tekanan BN'

Posted: 05 Jan 2015 03:03 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail berkata peletakan jawatan isterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri sebelum ini bukan kerana tekanan dalaman BN.

Sebaliknya, kata pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) itu, serangan PKR menjadi penyebab utama Sharizat berundur.

Beliau menjawab "tidak setuju" apabila menjawab soalan peguam defendan Joshua Kevin sama ada peletakan jawatan Sharizat akibat tekanan parti komponen BN.

"Saya tidak bersetuju.

"Saya ada tanya (mantan Perdana Menteri Tun) Mahathir (Mohamad), dia juga tidak memberi tekanan kepada Sharizat," katanya.

Salleh menjelaskan, Mahathir hanya berkata mungkin Sharizat harus meletakkan jawatan disebabkan tekanan dan serangan PKR.

Salleh juga menjelaskan, selepas sidang media pemimpin popular PKR Rafizi Ramli berhubung isu itu, terdapat 110 tulisan artikel diterbitkan dan semuanya menyerang keluarganya.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan penuh kes samannya terhadap ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan mantan setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Ia berhubung pembelian lapan unit kondominium di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Penjawat Awam Terlibat Banjir Boleh Tuntut Insurans Bencana Alam

Posted: 05 Jan 2015 03:02 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Penjawat awam terlibat banjir yang menggunakan perkhidmatan pinjaman daripada Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia (BPP) dinasihat segera mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, tuntutan insurans itu boleh meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya, kejadian pecah rumah dan tangki air pecah.

Selain itu mereka juga boleh menuntut insurans terhadap kecederaan orang awam (pihak ketiga) akibat kemalangan dalam rumah serta perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih rumah yang tidak dapat didiami.

BPP berharap mangsa banjir segera mengemukakan tuntutan itu kepada syarikat insurans terlibat iaitu Takaful Malaysia (03-8890 3588), Etiqa Insurans/Takaful (zon Selatan, pantai Timur Sabah dan zon Sarawak 03-4270 7735) (zon Utara dan Tengah 03-7989 0311/03-7989 0310) dan PruBSN Takaful Berhad (03-2053 1119/03-2053 1059).

Selain itu HSBC Amanah Takaful (Malaysia) 03-8888 1240/42 atau 1-800-88-9659), Sun Life Malaysia (03-2692 8188) dan Takaful Ikhlas (03-8890 3100), kata kenyataan itu.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang http://bpp.treasury.gov.my untuk maklumat lanjut atau menghubungi meja bantuan banjir di talian 03-8880 2121/2021/2312/2949/2626.

Mangsa Banjir Peroleh MyKad Dalam Tempoh 24 Jam

Posted: 05 Jan 2015 02:52 AM PST

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Mangsa banjir di Tanah Merah bertungkus lumus membuat pembersihan rumah mereka yang terjejas teruk dengan selut dan lumpur ekoran banjir besar minggu lepas di Taman SL Bunga Raya. -fotoBERNAMA
 
 
 
PETALING JAYA: Ratusan ribu mangsa banjir yang berhadapan masalah kerana kehilangan dokumen peribadi mendapat jaminan akan memperoleh semula kad pengenalan atau MyKad dalam masa 24 jam selepas membuat permohonan.

Bagi memudahkan penduduk yang ditimpa musibah itu, selain menyediakan pasukan sukarelawan Misi Ihsan Banjir Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang beroperasi dalam bas, mangsa banjir juga diberi kelonggaran untuk membuat permohonan di cawangan JPN terdekat atau di 229 cawangan JPN di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendaftaran, Datuk Sulaiman Keling berkata, jumlah mangsa banjir di seluruh negara yang mencecah angka ratusan ribu tidak menghalang JPN untuk berusaha memproses dan menyiapkan setiap permohonan yang dikemukakan oleh mangsa banjir mengikut Piagam Pelanggan.

Katanya, JPN juga sentiasa prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan bersedia memberi kemudahan kepada mereka yang kehilangan dokumen penting dari segi rundingan dan pemprosesan permohonan.

"Kita buat (proses) macam biasa, mangsa-mangsa yang buat aduan kehilangan dokumen peribadi kita akan beri layanan dan dibantu.

"Bila mangsa hantar permohonan, kita akan proses. Tempoh siap tak lama...kad pengenalan misalnya kalau tidak ada masalah dan ikut Piagam Pelanggan JPN siap dalam masa 24 jam," katanya kepada mStar Online, Isnin.


Mangsa banjir, Rejeah Mat Sohor, 81, dan Khairani Iberahim gembira menerima kad pengenalan baharu masing-masing di Pusat Pemindahan SK Sayong, Kuala Kangsar. Kedua-dua mereka kehilangan kad pengenalan ketika banjir besar baru-baru ini. 

Sulaiman berkata, bagi mempermudah dan mempercepatkan proses permohonan, mereka yang terlibat dengan banjir dan kehilangan dokumen penting boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak tertentu terlebih dahulu seperti ketua kampung atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita nak mudahkan rakyat. Bila mangsa mengadu kepada kita, dengan adanya pengesahan daripada ketua kampung, JKM dan sebagainya, kita akan ganti dokumen mereka yang hilang," katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak dapat memastikan jumlah mangsa yang kehilangan dokumen kerana banjir baharu sahaja surut dan mangsa banjir lebih memberi tumpuan terhadap kerja-kerja pembersihan.
"Ada yang belum buat permohonan kerana nak bersihkan rumah, ada yang tak pasti, kemungkinan dokumen mereka masih ada.


"Sebahagian daripada mereka masih berada di pusat penempatan sementara. Mereka akan maklumkan (kehilangan) dari masa ke semasa dan kita akan berterusan melayan serta memberi khidmat kepada mereka," katanya.


 
Beliau berkata, penggantian dokumen seperti kad pengenalan tidak akan dikenakan sebarang bayaran mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Dokumen lain yang diberikan pengecualian pembayaran termasuklah daftar kelahiran, kematian, perkahwinan, perkahwinan bagi bukan Muslim,  anak angkat dan sijil warganegara.


Dalam pada itu, beliau berkata, bas yang digunakan oleh sukarelawann Misi Ihsan Banjir JPN akan terus memasuki kawasan-kawasan yang dilanda banjir bagi memberi peluang kepada mangsa membuat permohonan MyKad dan mendapatkan salinan sijil kelahiran.

Misi berkenaan dijangka mengambil masa seminggu dan sebahagian anggota sukarelawan juga akan membantu mangsa banjir di Perak.

"Kita akan bantu lagi jika tempat itu boleh diakses dan ada kemudahan elektrik kerana urusan kita menggunakan komputer," katanya.

Selain berhenti di beberapa lokasi yang sesuai di Pahang, Terengganu dan Kelantan, misi tersebut juga membawa makanan, peralatan memasak, mencuci dan air mineral.

Unit bergerak itu juga digerakkan bagi membersihkan pejabat-pejabat JPN yang dilanda banjir selain membantu membersihkan kuarters warga kerja JPN dan kediaman penduduk di kawasan sekitar.

Harga Makanan Kekal Walaupun Harga Minyak Turun

Posted: 05 Jan 2015 02:41 AM PST

Oleh: THE STAR 
 
 
 
 
 
PETALING JAYA: Harga makanan di restoran, kedai kopi mahupun gerai masih dikekalkan walaupun kos bahan api berkurangan selepas penuruhan harga minyak.

Ia jelas tidak selari dengan tindakan sesetengah pengusaha kedai makan yang menaikkan harga makanan apabila berlakunya kenaikan bahan bakar sebelum ini.

Mereka seterusnya menuding jari dan menyalahkan pembekal bahan mentah kerana mengenakan kos penghantaran pada kadar yang sama.

Persatuan Pemilik Lori PanMalaysia (PMLOA) menggesa ahli-ahlinya untuk mengikut trend harga minyak semasa dalam mengenakan caj pengangkutan.

Walau bagaimanapun, Presidennya, Jong Foh Jit berkata margin pelarasan tidak dapat ditunjukkan kerana sekatan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC).

"Penurunan harga diesel adalah berdasarkan kepada trend harga minyak mentah dunia, tetapi berapa lama trend ini akan kekal masih tidak diketahui," katanya.

Sebaliknya Jong menggesa kerajaan untuk mengurangkan cukai ke atas alat ganti dan tayar.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, ahli-ahlinya mahu menurunkan harga makanan makanan namun kos perbelanjaan masih tinggi.

"Kami bergantung kepada pembekal yang tidak menyemak semula kadar mereka walaupun selepas harga bahan api jatuh kali pertama pada bulan lepas.

"Kami bersedia untuk menurunkan harga makanan kerana ia akan menarik lebih ramai pelanggan dan menambah keuntungan tetapi kami tidak dapat menampung caj tinggi yang dikenakan pembekal," katanya.

Bermula 1 Januari lalu, harga RON95, RON97 dan diesel telah disemak semula kepada RM1.91, RM2.11 dan RM1.93.

Kerajaan Belanja RM800 Juta Setakat Ini Bantu Mangsa Banjir

Posted: 05 Jan 2015 02:37 AM PST

MSTAR ONLINE


Ahmad Maslan (duduk,tiga dari kiri) sempat melayan kanak-kanak bermain congkak semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Pesagi, Chenor, di Maran pada Isnin. - fotoBERNAMA
 
 
 
MARAN: Kerajaan setakat ini membelanjakan kira-kira RM800 juta menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membantu mangsa di negeri-negeri yang terlibat dalam musibah banjir baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata peruntukan berkenaan digunakan bagi membekalkan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah-rumah mangsa yang terlibat dalam musibah itu.

"Kerajaan juga sedang bersiap sedia mengeluarkan peruntukan luar jangka sekiranya banjir melanda semula, namun setakat ini jumlah peruntukan tersebut belum ditentukan lagi," katanya kepada pemberita pada Program Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir Kementerian Kewangan melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dekat sini, Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pengerusi Yayasan 1MDB Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.

Ahmad berkata kerajaan juga sudah bersedia untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, bagaimanapun agihan itu hanya akan diberikan setelah mendapatkan senarai lengkap nama mereka yang terjejas akibat banjir.

"Kita bersedia, kalau arahan minta selesai bulan Januari, kita selesaikan, namun masalahnya ialah pendaftaran mangsa banjir ... difahamkan ada yang tak berpindah, duduk di lereng bukit, rumah rakit .. .pendaftaran perlu rapi supaya yang layak tu menerima," katanya.

Ahmad berkata kerajaan memerlukan berbilion ringgit bagi memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan memulihkan semula kawasan serta negeri-negeri yang mengalami banyak kemusnahan infrastruktur dan kerugian akibat banjir.

"Sebab itu keputusan kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) (mulai 1 April) adalah satu keputusan yang tepat kerana ia boleh menampung hasil negara akibat kekurangan hasil petroleum.

"Maka saya harap rakyat berlapang dadalah apabila dikenakan CBP kelak kerana sebahagian besar cukai berkenaan digunakan bagi proses pemulihan selepas banjir dan membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai sukarelawan khususnya penuntut institut pengajian tinggi, pelatih Giat Mara dan kolej komuniti turun padang bagi membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan rumah mereka.

Pada program itu, Ahmad turut melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Pesagi di sini bersama-sama sukarelawanan 1MDB dengan menaiki bot manakala Yayasan 1MDB turut menyumbangkan bekalan makanan dan alat membersih kediaman kepada penduduk seperti sabun.

[VIDEO] Raja Shamri - OKU Yang Menjadi WIRA Membantu Mangsa Banjir

Posted: 04 Jan 2015 04:36 PM PST

  KELAB GREENBOC



 
Siapa Sangka Wira Tak Didendang Ini Rupanya Seorang OKU Yang Banyak Membantu Mangsa Banjir

Sewaktu meneliti satu persatu kisah banjir 2014 yang penuh dengan berbagai cerita baru-baru ini, kami tertarik dengan kisah wira tak di dendang ini yang telah dikongsikan oleh Azizah Aling. Sungguh, andai menatap paparan post di wall FB beliau, ramai yang terinspirasi dengan semangat beliau dalam membantu mangsa banjir di Kelantan.

Kita ikuti nukilan Azizah Aling di bawah :

BANJIR 2014 – BAHAGIAN 3 (Wira yang tidak didendang – the unsung hero)

(1) Saya mahu memperkenalkan satu sosok mulia. Barangkali ada antara kalian yang mengenali beliau, dan telah mengikuti perkongsiannya yang bersifat semasa dan mendasar ke lapangan, di halaman FB miliknya. Jika ya, tidak mengapa. Bacalah lagi. Jika belum, selamat berkenalan dengan sosok istimewa dan bijaksana. Mari sama-sama kita berkongsi kesyukuran atas kewujudan hamba Allah yang berhati mulia ini.

(2) Beliau merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang dilahirkan dengan tidak sempurna sifat. Kaki kanannya tiada, dan beliau bergerak menggunakan kaki palsu. Jejari pada tangan kanannya bercantum. Namun, kekurangan itu tidak dijadikan rintangan untuk beliau berbakti kepada masyarakat yang dilanda bencana.

(3) Nama penuh beliau ialah Y.M. Raja Shamri bin Raja Hussin. Mesra disapa dengan panggilan Abang Raja. Pemilik syarikat motivasi yang sedang menapak naik di Kelantan, Golden Minds Consultant yang beroperasi di Pasir Putih ini, telah menjadikan Masjid Ibrahimi, Pasir Putih sebagai tempat operasi untuk dia dan Dr. Hadi menjalankan misi menyelamat dan menghantar bantuan buat mangsa bencana di Kelantan.

(4) Pada asalnya, misi itu hanya dibuat pada skala kecil. Namun, berkat keikhlasan dan kesungguhan yang tidak mengenal lelah dan payah, misi anjurannya menjadi besar. Sukarelawan datang dari pelbagai arah. Bantuan tiba dengan mencurah-curah. Benarlah, saat keikhlasan hati dan kemurnian jiwa mengambil tempat, mudah sahaja Allah membukakan hati manusia untuk berkongsi rezeki dan kudrat.

(5) Bantuan tidak dihantar ke pusat pemindahan banjir, kerana bantuan ke lokasi itu telah diselia dan disedia oleh pihak kerajaan. Pasukan beliau fokus kepada mangsa yang jauh terperosok ke kawasan pedalaman dan tidak berada di pusat pemindahan banjir, atas pelbagai sebab.

Kebanyakannya kerana aliran deras air yang menyukarkan pergerakan, ataupun disebabkan oleh pusat pemindahan ikut tenggelam, yang menyebabkan mangsa lari ke tanah lebih tinggi di perbukitan. Bantuan tiba kepada mangsa yang kelaparan, dan ia memberikan sinar untuk mangsa mencicip makanan buat mengalas perut yang kelaparan.

(6) Antara hal yang menitiskan air mata saya adalah, beliau sanggup memandu dalam lebat hujan selama berjam-jam, semata-mata mencari petrol untuk kegunaan kenderaan bagi menghantar bantuan, meskipun beliau berkaki palsu. Meredah air deras, dengan kekuatan sebelah kaki sahaja, sangatlah sukar. Selalunya, kaki kiri beliau akan cepat berasa lenguh dan perlu diurut. Tidak mengapalah, pasti ada ganjaran besar buat Abang Raja daripada Allah kelak.

(7) Andai dia yang serba kekurangan dari segi sifat dan kudrat bisa menjadi penyelamat, malu juga andai kita yang sempurna segala sifat hanya memandang kosong tanpa mahu berkongsi apa-apa. Ayuh! Kita rancakkan misi bantuan.



Nota kaki :

Masihkah kalian ingat tentang iklan Petronas sempena Hari Kebangsaan pada tahun 2005 mengenai lelaki yang kehilangan kaki dengan tagline "Jalan Mesti ke Depan, Bukannya Ke Belakang" lakonan Othman Hafsham?

Jalan cerita dalam iklan itu adalah buah fikir beliau, dan ia menyentuh sedikit sebanyak tentang perjalanan hidupnya di dunia ini.

Selamat berbakti, Abang Raja! Kami ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian tuan menabur bakti. Tiba masa, para perantau ini akan pulang ke Kelantan untuk menyambung misi Abang Raja, agar ia tidak terhenti!

Credit : Azizah Aling, dengan izin.

Kami percaya ramai lagi 'unsung hero' di luar sana yang berjuang dengan ikhlas membantu mangsa-mangsa banjir tanpa mengharapkan sebarang balasan. Salute buat anda semua!
-thevocket


Lelaki Ini Telah Buktikan Kecacatan Bukannya Satu Penghalang Untuk Berjaya.

Latar Belakang Raja Shamri

Nama lelaki ini telah naik mendadak di media sosial sejak musim banjir besar berlaku di Pantai Timur.

Segala post-post yang dimuatnaik oleh lelaki ini berkenaan banjir mendapat sambutan luar biasa dari pengguna media sosial. Malah artikel mengenai usaha beliau sebagai sukarelawan banjir turut mendapat perhatian yang luar biasa di The Vocket. Siapa beliau sebelum musim banjir? Tonton ini dan anda akan mendapat jawapannya:

Kisah Latar Belakang Raja Shamri dalam slot televisyen, Iktibar:

LIHAT VIDEO DI SINI
         Jika anda rasa kisah ini memberi inspirasi, kongsikannya dengan keluarga dan rakan anda hari ini :)

Contohi sifat amanah Rasulullah dalam pentadbiran – Azizah

Posted: 04 Jan 2015 04:22 PM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru pemimpin Islam di negara ini agar mencontohi sifat amanah yang ditunjukkan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad saw.

Dalam peruntusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, Azizah turut menggesa pemimpin umat Islam supaya menjauhi rasuah yang boleh merosakkan negara.

drwanazizah"Di dalam pemerintahan, kita harus mencontohi sifat Rasulullah iaitu amanah. Kita harus telus, berhemah dan bertangggungjawab.

"Kita juga harus berusaha mengelak dan menghapuskan segala unsur-unsur rasuah yang boleh merosakkan pentadbiran kita," katanya.

Beliau menyifatkan Muhammad sebagai seorang reformis agung yang berjaya mengubah dunia dengan pengembangan dakwah Islam, meliputi dua pertiga dunia.

"Mesej yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w amat jelas, iaitu baginda membawa rahmat kepada seluruh alam, meliputi semua umat manusia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang, bangsa dan agama," jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru pemimpin umat Islam di seluruh dunia agar bermuhasabah dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik yang melanda dunia Islam.

Katanya, umat Islam mutakhir ini menghadapi pertembungan fikrah, apabila masih terdapat mereka yang tidak memahami contoh dan akhlak baik yang dibawa Nabi.

"Akibatnya, peperangan, pembunuhan dan kezaliman terus berlaku di Syria, Iraq, Mesir dan beberapa negara lain.

"Mereka hanya menamakan diri mereka kumpulan Islam, tetapi sayangnya mereka melakukan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w," ujarnya.

Guru diculik 3 lelaki menyamar polis

Posted: 04 Jan 2015 04:20 PM PST


Gambar hiasan Gambar hiasan
 
 
JERTIH - Seorang guru lelaki diculik dan dikurung hampir dua hari oleh tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis yang datang ke chaletnya dekat Pantai Air Tawar, di sini.

Dalam kejadian jam 4 pagi Khamis lalu, tiga penjenayah itu mendakwa guru berumur 54 tahun itu kononnya terlibat dengan pengedaran dadah dan perlu dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, guru itu memberitahu, dua daripada tiga lelaki itu datang ke chaletnya dan memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

Menurutnya, mereka membawa guru itu keluar kononnya untuk ke balai polis dengan menaiki kereta Proton Perdana milik mangsa, namun mangsa sebaliknya dibawa ke sebuah rumah kayu usang milik seorang lelaki lain, dipercayai di Melor, Kelantan.

"Mereka merampas barangan milik mangsa seperti wang tunai RM700, sebuah telefon bimbit dan beberapa dokumen penting.

"Mangsa dikurung di rumah itu dan semalam (kelmarin), dia dibawa dengan keretanya itu, yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Mereka juga meminta guru itu menunjukkan rumahnya dengan alasan mahu menghantar dia pulang, tetapi sebaliknya mereka merampas kunci pendua kereta Toyota Vios milik isteri mangsa serta kunci rumah mereka," katanya.

Khaled berkata, guru itu dibawa ke Kampung Bukit Kenak, kira-kira jam 5 pagi kelmarin, di mana dia diugut akan dicederakan.

Menurutnya, guru itu kemudian sekali lagi dibawa ke sebuah rumah kosong dan dikurung, tetapi dia berjaya melepaskan diri kira-kira jam 1 petang kelmarin.

"Sebaik berjaya melarikan diri, mangsa meminta bantuan penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Melor.

Khaled berkata, setakat ini, kejadian dipercayai bermotifkan samun, tetapi polis masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan punca kejadian dan tempat mangsa dikurung.

"Siasatan awal mendapati, tiga suspek bersenjatakan pisau dan mangsa memaklumkan tidak mengenali suspek," katanya.

Menurut Khaled, guru itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya giat memburu tiga penjenayah itu yang turut melarikan kereta Proton Perdana milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Dewan Ulama Pas: Cukup hanya jalin kerjasama

Posted: 04 Jan 2015 04:17 PM PST


Mohd Khairuddin Aman Razali
 
 
SHAH ALAM – Dewan Ulama Pas Pusat menyifatkan Kelantan tidak memerlukan kerajaan campuran sebaliknya hanya kerjasama antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama itu berlaku antara kedua-dua kerajaan ini berdasarkan ruang lingkup tanggungjawab masing-masing

"Bukan kerajaan campuran yang diperlukan tetapi kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri berdasarkan ruang lingkup tanggungjawab masing-masing.

"Politik damai tidak hanya bererti perkongsian kuasa tetapi bererti berikan hak kepada yang selayaknya mendapat hak dari sudut politik kuasa.

"Berikan pengiktirafan politik kepada kerajaan Kelantan yang diberi mandat oleh rakyat untuk menjadi pemerintah Kelantan menerusi peruntukan kewangan menurut lunas demokrasi," katanya melalui kemaskini status di Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mencadangkan agar Pas dan Umno Kelantan menubuhkan sebuah kerajaan campuran di negeri terbabit bagi membangunkan kembali Kelantan.

Ujarnya sudah 40 tahun orang Kelantan menderita kerana kedua-dua parti itu asyik bermain politik.

Menurut Khairuddin, ketika rakyat sedang dilanda musibah, ia bukan masa yang sesuai untuk politik murahan.

"Inilah masa kesatuan ummah diperlukan bagi membantu mangsa tragedi. Tonjolkan politik budi dan jasa.

"Tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan, kerajaan pusat, seluruh wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang bekerja membantu mangsa banjir khususnya di Kelantan yg terjejas teruk,"katanya.

Luluh hati lihat rumah tinggal tapak

Posted: 04 Jan 2015 04:14 PM PST

MUHAMMAD AFIQ MOHD ASRI



Antara rumah yang musnah di Kuala Krai. (Foto fb HUSAM MUSA)




KUALA KRAI: "Pilu hati saya apabila melihat rumah hanya tinggal tapak kerana dibawa arus deras banjir," luah seorang suri rumah lima anak.

Berlinangkan air mata, Siti Khadijah Mohd Nor, 48, menceritakan detik kehilangan rumahnya di Kampung Manik Urai Lama.

Dia berkata ketika kejadian hujan lebat pada 23 Dis lalu, paras air hanya setakat di kaki dan selepas itu naik ke paras lutut dan akhirnya menenggelamkan rumahnya, kesemuanya berlaku begitu pantas.

Selang seminggu selepas banjir surut, Siti Khadijah dan suaminya kembali ke rumah untuk mencari harta benda yang boleh diselamatkan.

"Perancangan saya ialah untuk membersihkan tapak rumah kami serta mengumpulkan barangan rumah yang masih boleh diguna pakai, selain membuat persiapan untuk anak-anak bersekolah," kata Siti Khadijah.

Ditanya mengenai kepayahan hidup ketika dilanda banjir, Siti Khadijah berkata bantuan tidak putus-putus datang.

"Dari segi bantuan yang diterima adalah lebih daripada mencukupi, di mana bantuan setiap hari datang. Apa yang penting sekarang ialah menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah, selain daripada bekalan makanan dan air bersih.

"Alhamdulillah semua bantuan itu saya dapat...saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup datang dari jauh untuk membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.

Buat masa ini, Siti dan keluarganya mendirikan khemah sementara yang diberi oleh pasukan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sementara menunggu rumah ganti daripada kerajaan disiapkan, saya akan membina penempatan sementara, insya-Allah dengan izin-Nya segalanya akan dipermudahkan," katanya.

Cuaca mendung di Manik Urai sejak pagi tadi dan hujan gerimis sekejap-sekejap.

Keadaan jalan di sini, berdebu akibat kesan lumpur banjir yang kering. - Bernama

Bekalan elektrik di Kota Bharu pulih sepenuhnya

Posted: 04 Jan 2015 04:12 PM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) setakat jam 8.00 pagi tadi telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik ke seluruh kawasan Kota Bharu.

Sehubungan itu, lebih 95 peratus pengguna elektrik di seluruh Negeri Kelantan telah menerima bekalan elektrik setakat waktu yang sama hari ini. Bilangan Pencawang Elektrik (PE) yang telah dipulihkan setakat ini ialah sebanyak 1,864 berbanding 1,960, iaitu jumlah keseluruhan PE yang dipotong semasa banjir.

"Bekalan telah pulih sepenuhnya di kawasan Kota Bharu. Pasukan TNB kini giat menumpukan usaha untuk membaik pulih bekalan kepada baki 5% lagi kawasan yang belum dipulihkan bekalan termasuklah di sebahagian kawasan Kuala Krai , Gua Musang, dan Tanah Merah.

"Sementara itu, semua pusat pemindahan di negeri-negeri yang terlibat banjir telahpun mendapat bekalan elektrik," kata Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB yang juga Ketua Koordinator Pengurusan Banjir TNB, Ir Abdul Aziz Abdul Majid.

Di Pahang, ujar beliau bekalan ke seluruh kawasan terlibat semakin pulih.

Menurutnya, jumlah PE yang masih belum dipulihkan menurun kepada 150 setakat ini berbanding 584, iaitu jumlah keseluruhan PE yang dipotong semasa banjir.

Sementara itu di Perak, sebanyak 47 PE masih belum dipulihkan, jelasnya.

"TNB terus komited untuk memastikan kesemua pengguna di seluruh negeri-negeri terbabit mendapat bekalan elektrik dengan memastikan kesemua infrastruktur elektrik berada dalam keadaan terbaik," tambahnya. - HARAKAHDAILY

Ibu bapa rasa terbeban hadapi sesi persekolahan 2015

Posted: 04 Jan 2015 04:10 PM PST

IZWAN ABDUL HALIM


RUTIN tahunan ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak bagi memasuki sesi baru persekolahan 2015 sememangnya sesuatu yang membebankan.

Namun, kuatnya naluri keibubapaan hinggakan digagahi semampu usaha dalam memastikan anak-anak memperolehi pendidikan terbaik.

Dengan persaingan akademik kian mencabar, titipan kejayaan anak-anak dilihat pencapaian yang wajib diperolehi sekaligus menuntut keperluan berkaitan dipenuhi jua.

Jumlah besar dalam tanggungan untuk anak-anak memulakan sesi baru persekolahan ini menyebabkan ramai dari kalangan ibu bapa berpendapatan sederhana turut melakukan penyelarasan pendapatan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan.

Apatah lagi mereka yang berpendapatan kecil, perbelanjaan harian dikawal semata-mata memenuhi keperluan sekolah anak.

Berkongsi keadaan sepertimana kebanyakan ibu bapa berpendapatan kecil, seorang pesawah dari Kota Sarang Semut, Mohamad Fauzi Mat Khir berkata, beliau menghabiskan lebih RM1,200 untuk tiga anaknya memasuki sesi baru persekolahan.

Menurut beliau, perbelanjaan itu tidak termasuk bayaran yang dikenakan pihak sekolah.

"Kita tak tunjuklah depan anak-anak, tapi anak-anak ni dia macam perasan, bila kita bagi duit pada dia untuk belanja, dia ambik separuh saja," terangnya yang menanggung dua anak bersekolah rendah, seorang di sekolah menengah dan dua di institusi pengajian tinggi.

Terangnya, menjadi kelaziman ibu bapa sepertinya menghadapi sesi baru persekolahan dengan berhutang kepada pihak tertentu.

Beliau yang mengusahakan sawah padi seluas lima relung memperolehi pendapatan purata kira-kira RM1,000 sebulan setelah ditolak sewaan petak sawah dan perbelanjaan untuk pengeluaran padi.

Katanya, pendapatan tersebut sememangnya tidak mencukupi di mana hasil padi adakalanya tidak menentu. Sedangkan perbelanjaan harian persekolahan anak-anak menggunakan 70 peratus dari pendapatan, manakala selebihnya untuk perbelanjaan harian keluarga.

Maka, bagi menampung kekurangan tersebut, Fauzi membuat jualan nira nipah sebagai pendapatan tambahan.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana tidak mampu menghantar anak-anak ke kelas tuisyen tambahan sedangkan perkara itu amat penting pada cabaran hari ini di mana anak-anak akan ketinggalan dalam akademik tanpa mendapat bimbingan tambahan.

Sementara itu bagi surirumah, Noriza Saidin dari Mergong turut mengakui perkara sama.

Menurutnya, perbelanjaan untuk dua anaknya yang berada di sekolah menengah termasuk seorang di sekolah berasrama dan seorang di sekolah rendah, menggunakan belanja sebanyak RM1,530 untuk sesi baru persekolahan ini.

Dengan pendapatannya yang bekerja sendiri hanya sekitar purata RM400 sebulan, perbelanjaan sedemikian sememangnya membebankan.

Menghadapi situasi tersebut, beliau melakukan jualan kecil-kecilan di samping perkhidmatan berbekam.

Selain itu, beliau juga berjimat cermat selain 'bermain kutu' sebagai satu bentuk simpanan dan dua anak Noriza yang sudah bekerja turut membantu beliau seadanya.

Kisah mereka antara secebis nasib dihadapi oleh kebanyakan penduduk di negara ini yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Lantaran itu amat sesuai sekali melihat usaha bantuan persekolahan menjadi persaingan baharu parti-parti politik.

Dalam realiti hari ini, keperluan persekolahan anak-anak memerlukan minimum persalinan asas bagi kegunaan harian.

Bantuan persekolahan sudah tidak berupaya menanggung murid yang ramai dengan nasib sama.

Terkadang murid terus ke sekolah atas ihsan guru tertentu yang bermurah hati menyediakan keperluan. Tetapi berapa ramai guru seperti itu dan berapa ramai mampu dikasihaninya?

Ini tidak termasuk perbelanjaan harian anak-anak ke sekolah. Benarlah menyediakan bekalan makanan merupakan alternatif terbaik, tetapi perlu dipersoalkan juga mengenai harga jualan di kantin sekolah.

Wajarkah dengan pelanggannya dari kalangan mereka yang tidak memiliki pendapatan sendiri dikenakan kadar seperti di tempat jualan lain?

Tahun ini juga ibu bapa menghadapi cabaran caj bas sekolah yang akan ditentukan bersama antara pihak sekolah, ibu bapa dan pengusaha bas.

Biarpun usulan itu nampak seperti harmoni, sebenar yang pasti terjadi ialah pengusaha bas tetap mahukan keuntungan. Wajarnya pula apabila kenaikan kos bahan api yang konsisten untuk meningkat berbanding penurunan.

Demikian itu, selain yuran persekolahan secara percuma, segala bayaran berkaitan sekolah juga mesti ditanggung pihak kerajaan.

Malah, mungkin tidak keterlaluan agar mekanisme khusus diadakan untuk memastikan keperluan asas memasuki persekolahan dapat diadakan ibu bapa berpendapatan rendah menerusi skim atau bantuan tertentu.

Kita percaya, semua kerajaan di dunia mengakui pendidikan adalah perkara sangat penting untuk dijayakan sesebuah negara.

Untuk itu, Malaysia sepatutnya antara yang paling terkehadapan memastikan hal ehwal pelajar untuk melangkah ke alam persekolahan berada dalam keadaan terbaik berbanding negara-negara lain di dunia. - HARAKAHDAILY

PAS lancar Tabung Khas Pemulihan Mangsa Banjir

Posted: 04 Jan 2015 04:08 PM PST

DATUK SERI TUAN GURU 



Presiden PAS menaiki sampan untuk melawat sebuah pusat pemindahan banjir di Pahang.




PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) telah bersetuju untuk melancarkan Tabung Khas Pemulihan Mangsa Banjir di peringkat PAS Pusat bagi memudahkan urusan pengumpulan sumbangan daripada daripada dalam dan luar negara.

Tabung ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan dibantu oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Objektif utama penubuhan tabung ini adalah untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan dan mangsa banjir di seluruh negara khususnya bagi mereka yang telah kehilangan tempat tinggal.

Pihak PAS akan mengumumkan nombor akaun dan bank yang akan digunakan untuk tabung tersebut dalam masa terdekat.

Saya menyeru agar seluruh masyarakat tanpa membezakan warna kulit, kaum, agama dan idelogi politik agar dapat menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada sekalian mangsa banjir.

Sesungguhnya musibah yang melanda ini adalah ujian getir bagi mereka maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu mengurangkan derita dan kesengsaraan yang ditanggung mereka.

Presiden PAS

Hadi: Hulur bantuan banjir secara adil, sama rata

Posted: 04 Jan 2015 03:58 PM PST


Hadi Awang  
Hadi Awang


SHAH ALAM - Misi bantuan kemanusiaan yang digerakkan pelbagai pihak sejak negara dilanda bencana banjir perlu dilakukan tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik.

Gesaan itu dilontarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menyifatkan bantuan kepada mangsa banjir itu sebagai tanggungjawab bersama dan ujian kepada semua lapisan masyarakat.

"Saya menyeru agar seluruh masyarakat tanpa membezakan warna kulit, kaum, agama dan idelogi politik agar dapat menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada sekalian mangsa banjir.

"Sesungguhnya musibah yang melanda ini adalah ujian getir bagi mereka maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu mengurangkan derita dan kesengsaraan yang ditanggung mereka," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata lagi, Pas telah bersetuju melancarkan Tabung Khas Pemulihan Mangsa Banjir bagi memudahkan urusan pengumpulan sumbagan kepada mangsa banjir.

"Objektif utama penubuhan tabung ini adalah untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan dan mangsa banjir di seluruh negara khususnya bagi mereka yang telah kehilangan tempat tinggal.

"Pihak Pas akan mengumumkan nombor akaun dan bank yang akan digunakan untuk tabung tersebut dalam masa terdekat," katanya lagi.

AirAsia sahkan pesawat alami masalah teknikal

Posted: 04 Jan 2015 03:57 PM PST


Air Asia  
Air Asia


SHAH ALAM - AirAsia Indonesia mengesahkan penerbangan  QZ 7633 dari Surabaya ke Bandung yang dijadualkan bertolak pada Sabtu, 9 malam waktu tempatan kembali ke apron atau 'Return to Apron' (RTA) disebabkan masalah teknikal.

Pesawat Airbus A320-200 (PK-AZC) membawa 161 penumpang itu mengalami Auxilliary Power Unit (APU) 'auto shutdown' semasa ditolak ke landasan.

Sehubungan itu, juruterbang pesawat berkenaan telah kembali ke pintu kerana pesawat tersebut perlu menjalani pemeriksaan selanjutnya atas dasar keselamatan.

Ketua Pegawai EksekutifAirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko berkata, juruterbang tersebut telah bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat keputusan kembali ke RTA bagi memastikan keselamatan operasi.

"Semakan lanjut yang lengkap dijalankan oleh pasukan kejuruteraan mengikut SOP.

"Selepas semakan akhir telah siap, pesawat tersebut telah dibenarkan terbang kira-kira sejam kemudian.

"Walaupun dengan liputan yang penuh sensasi, tiada isu keselamatan dan pesawat tersebut selamat mendarat di Bandung," katanya dalam satu kenyataan.

Pihak AirAsia Indonesia turut menyatakan permohonan maaf atas kesulitan yang timbul ekoran perkara itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melalui laman mikro Twitternya seolah-olah melahirkan kekecewaan atas laporan yang disifatkan begitu sensasi terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu.

"Banyak laporan yang sensasi terhadap AirAsia. Kita diam kerana fokus adalah pada keluarga.

"Satu persatu kebenaran akan muncul dan 'membersih' kita," katanya.

Malah beliau sempat memberikan kata-kata semangat kepada semua stafnya sambil mengingatkan agar mereka kekal cekal serta fokus.

Untuk rekod, Auxiliary Power Unit (APU) adalah satu kelengkapan yang terletak pada bahagian ekor pesawat yang memberi jana kuasa bagi kuasa elektrik dan Sistem Pneumatic semasa pesawat berada di darat sebelum enjin dihidupkan.

APU mempunyai sistem perlindungan yang secara automatik mematikan APU apabila ia mengesan sebarang kekurangan fungsi seperti kelajuan terlebih, tekanan minyak rendah, masalah penapisan minyak, atau minyak terlalu panas bagi memastikan operasi yang selamat.

Tiada ulasan: