DIALOG RAKYAT |
- Anwar Sah Tidak Lari Ke Mana-Mana
- Pas dan Umno umpama ketam dalam bakul
- Dihantui isu lalat sepanjang tahun
- Miang mexico makin membiak
- 42,000 Orang Asli terjejas banjir
- Nizar dihadapkan semula ke mahkamah
- Anwar: Pakatan akan terus hidup
- Bekas Setpol MB dihukum penjara tiga bulan
- MH370: RM16.8 juta insurans dibayar kepada waris
- Pemilihan semula MIC lebih kritikal berbanding DAP
- MH370: Makin mencabar, teroka lokasi terpencil
Anwar Sah Tidak Lari Ke Mana-Mana Posted: 30 Jan 2015 04:02 AM PST shahbudindotcomJadual programnya yang sudah tersebar luas itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa Anwar tetap dengan sifat berani serta keyakinan tidak bersalahnya pada hari penentuan 10 Februari nanti. Semalam, NGO Tibai dan peguam Zulkifli Noordin telah membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa melakukan pemerhatian lebih rapi terhadap pergerakan Anwar, termasuk merampas pasport antarabangsanya bagi mengelakkan kemungkinan kononnya Ketua Pembangkang itu melarikan diri ke luar negara. Apa yang berlaku kepada Sirul Azhar Umar, pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang menghilangkan diri pada hari penghakiman dan kemudian didapati melarikan diri ke Australia telah dijadikan rujukan tentang kebarangkalian Anwar juga dikatakan bakal melakukan tindakan yang sama. Namun dengan pihak Anwar sudah mengeluarkan jadual jelajahnya ke seluruh negara mulai semalam, secara langsung menafikan kemungkinan yang dibimbangi itu. Anwar kekal menunjukkan jiwa berani dan mempertahankan pendirian "lawan tetap lawan" yang menjadi pegangannnya selama ini. Didapati bersalah atau tidak, Anwar akan menghadapinya secara berdepan dan jiwa yang kental segala kemungkinannya. Di sebalik bibit-bibit perpecahan yang kian melebar dalam PR, terutama berkaitan hubungan Pas dengan DAP serta Pas dengan Pasma, jelajah Anwar ke seluruh negara ini adalah medan terbaik untuk kembali menyatukan semula elemen itu. Jika Anwar dipenjarakan pula, ia adalah peluang terakhir untuk bertemu dan mendengar ucapan serta amanatnya. Rakyat secara umumnya tetap dahagakan perubahan dan masih kecewa dengan prestasi kerajaan menguruskan pelbagai isu dalam negara sejak PRU 13 lalu. Harapan majoriti rakyat ialah PR yang dirasakan mampu menjadi alternatif kepada BN segera menjernihkan hubungan sesama mereka dan menunjukkan kematangan yang lebih baik lagi. Memang ramai yang mengharapkan Anwar akan dibebaskan agar dapat menyusun dan memperbaiki segala permasalahan antara parti dalam PR, tetapi keinginan kepada perubahan juga sebenarnya tidak berganjak jika Anwar dipenjarakan. Anwar yang telah memberi sumbangan besar dalam membentuk dan mengukuhkan PR selama ini, tidaklah begitu mudah dilupakan segala jasa dan sumbangannya. Kejayaannya membentuk kekuatan pembangkang yang hampir seimbang dengan BN sehingga rakyat memperolehi pelbagai nikmat dan tidak mudah diperlekeh oleh kerajaan yang terlalu dominan adalah sesuatu yang harus diakui oleh semua pihak. Ditambah dengan wajah dan watak Najib yang memimpin negara ketika ini, kalaulah pembangkang tidak kuat dan BN berada dalam kedudukan majoriti dua pertiga, sudah tentu kita boleh membayangkan lebih banyak hal yang mendukacitakan lagi berlaku dalam negara ini. Sekurang-kurangnya dengan adanya pembangkang yang kuat, hak rakyat lebih dijaga dan dipertahankan dan kerajaan tidak sewenang-wenangnya bertindak. Jika dibebaskan, PRU 14 adalah peluang terbaik untuk Anwar mengumpul kembali kekuatannya bersama PR, tetapi kalau takdirnya dipenjarakan pula, ia bukanlah pula zaman senang-lenang untuk BN dan kerajaan menghadapi pilihanraya akan datang. | ||
Pas dan Umno umpama ketam dalam bakul Posted: 30 Jan 2015 03:34 AM PST MSO Empat hari saya meninggalkan laman blog tanpa mengisinya dengan sebarang catatan kerana berada di luar negara, ada beberapa penjengok setia menghantar pesan bertanya kenapa dan apa jadi dengan saya. Ada yang bersinikal apakah saya juga sudah jadi persis Zainuddin Maidin? Yang pertama ada dalam fikiran mereka, apakah saya sakit. Tidak, saya masih sihat dan sengaja tidak mahu mengisinya atau cuba mengisinya dari luar sana walaupun boleh berbuat demikian. Sesekali biarlah saya merihat dan menggamit idea yang lebih baik daripada menulis bahan-bahan seperti terisi sebelumnya. Dalam beberapa pertanyaan yang ditimbulkan, banyaknya pastilah mengenai politik. Mengenai hubungan dan masa depan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, khasnya bagaimana kesudahan kahwin tanpa ijab antara Pas dengan DAP serta PKR. Pergaduhan mulut antara beberapa pemimpin Pas dengan DAP menjadikan ada orang bingung dan menjadi gila. Apakah selepas ini akan ada "cina buta" sekali lagi di antara keduanya? Selebihnya ada yang mahu saya memberi ulasan tentang nasib untung Anwar Ibrahim dengan keputusan rayuan pendakwa di Mahkamah Persekutuan. Apakah Anwar akan "bernasyib" sekali lagi dalam penjara atau dibebaskan untuk beliau menjadi seperti seorang 'utun inji" untuk kali kedua? Sekiranya Anwar dibebaskan di atas pertuduhan sama kali kedua, beliau bolehlah dianggap sebagai manusia keramat. Dan dengan kekeramatan itu melayak dan mewajarkan untuk beliau menjadi perdana menteri. Mengenai Anwar saya sudah membuat ulasan dan ramalan sebelum ini. Berdasar kepada keperluan politik kontemporari tidak ada sebab untuk regim Najib Razak memenjarakannya. Perkembangan muasir ini, serangan oleh regim Mahathir Mohamad kepada Najib bagi saya ia mengukuhkan untuk mengatakan ramalan saya mengenai Anwar kuat dan menjadi kenyataannya. Anwar akan bebas? Dan bagaimana kalau Anwar tetap juga dipenjara. Siapakah yang akan menjadi pemegang panji Pakatan Rakyat atau peta Pakatan Rakyat yang membingkai membentuk empayar akan runtuh begitu sahaja? Pakatan Rakyat selepas ini tidak ada. Tentunya persoalan dan ramalan ini diandaikan memandangkan Anwar adalah mediator licit dan bijak "mendempetkan" Pas dan DAP yang memegang unsur bagaikan api dengan minyak. Ada juga yang bertanya bagaimana nasib Pakatan Rakyat sekiranya Anwar ke penjara. Mereka yang meletakkan kompas dan mata angin perjuangan mereka kepada Anwar, merasakan Pakatan Rakyat akan luyur sekiranya Anwar berada dalam penjara. Bagi mereka yang menjadikan Anwar sebagai teras perjuangan atau pengobor semangat akan lemah bila Anwar dikurung. Sebaliknya bagi mereka yang menjadikan Anwar sebagai pembuka semangat (appetizer) dalam perjuangan, tidak kisah Anwar ada atau tidak, perjuangan mereka yang bertolak dari reformasi menuntut keadilan, kebenaran dan ketelusan akan diteruskan. Perjuangan mengeakkan keadilan tidak berasas dan bersendikan kepada peribadi seseorang, tetapi keyakinan dan iltizam dari pancar budi kita sendiri. Kalau umat Islam berjuang menegakkan agama (ad-den) kerana berteraskan kepada Muhammad s.a.w., sudah lama Islam itu lenyak kerana Muhammad sudah lama mati. Rentetan dari itu semua ada yang bertanya apakah perkembangan politik hari ini dimana ia seolah dirancang, merealisasikan pertemuan dan kerjasama politik antara Pas dengan Umno? Mengenai ini saya boleh mengatakan cita-cita dan harapan boleh digarap bersama, tetapi politik (strategi) tidak boleh digabung. Politik adalah peperangan, ia adalah api, lautan dan gunung ganang yang "rohok" (sukar dan payah) untuk disatu dan dipadukan. Pas dengan Umno hanya boleh disatukan diatas kertas dan wujud daripada pemikiran yang idealis, tetapi sukar untuk menjelma menjadi realiti yang praktis. Ketam boleh dimasukan dalam satu bakul dijunjung dan dipikul sipenjaja, tetapi makhluk dalam bakul itu tetap akan bercakaran dalam bekas itu akhirnya menganggui si pemikul bakul. Kita semua adalah si pemikul bakul itu akan melakukan kerja yang sia-sia untuk melihat kerja kita itu kesampaian. Melainkan ketam-ketam itu, Pas dan Umno dimatikan kemudian dihidupkan semula dalam alam baru. Sekian. | ||
Dihantui isu lalat sepanjang tahun Posted: 30 Jan 2015 03:31 AM PST Bustamin menunjukkan kawasan pertanian yang menggunakan baja najis ayam sehingga menyebabkan bau busuk dan masalah lalat. KLUANG - Hampir 60 keluarga di Taman Desa Sejahtera, di sini, hidup dikelilingi lalat sepanjang tahun, dipercayai berpunca daripada kerja pertanian berdekatan. Ketua Umno cawangan Taman Desa Sejahtera, Bustamin Idris berkata, baja digunakan adalah najis ayam hingga menarik lalat membiak dan menjejaskan kehidupan penduduk di sini. "Jarak taman itu ke kebun sayur tidak sampai 20 meter. Selain diganggu dengan masalah lalat, penduduk di sini terpaksa berdepan bau busuk terutama selepas hujan," katanya. Bustamin berkata, sejak dia berpindah ke taman tersebut kira-kira empat tahun lalu, penduduk telah membuat aduan kepada pihak Pejabat Tanah Daerah Kluang, namun belum ada tindakan diambil. "Difahamkan semua peneroka terbabit telah diberikan tanah ganti di Lot 5156 berhampiran Felda Kahang Barat, namun mereka masih meneruskan kerja pertanian di sini. "Kami harap agar tindakan lebih tegas dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini," katanya. Sementara itu, penduduk, Jamil Hassan, 56, berkata, penduduk mahu aktiviti pertanian di kawasan itu dihentikan segera kerana tidak sanggup terus menghidu bau busuk selain berhadapan masalah lalat yang berpanjangan sejak sekian lama. "Walau apa pun alasannya, kami tak mahu lagi melihat tapak pertanian di sini, kami terpaksa tanggung sengsara sepanjang tahun, namun mereka yang kaut keuntungan," katanya. Sementara itu, Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Mohd Faiz Azman ketika ditemui berkata, pihaknya sedia maklum masalah dihadapi penduduk taman tersebut, dan kompaun dan notis telah dikeluarkan. Menurutnya, pihaknya telah memaklumkan kepada peneroka terbabit untuk berpindah segera selain tidak menggunakan baja yang mengeluarkan bau busuk, seterusnya mengundang lalat. "Kami akan membuat siasatan tentang masalah dihadapi penduduk di sini dalam masa terdekat, selain mengharapkan kerjasama mereka melaporkan apa juga perkara berkaitan kepada kami untuk diambil tindakan," katanya. | ||
Posted: 30 Jan 2015 03:30 AM PST Zulkifli (kiri) dan Kamal melihat tempat rumpai miang mexico yang tumbuh subur selepas diracun di Kuala Johol. KUALA PILAH – Penduduk Kampung Kuala Johol di sini, menggesa pihak berkenaan menghapuskan rumpai miang mexico yang tumbuh lebih subur setelah kerja-kerja pembasmian dilakukan Jabatan Pertanian Kuala Pilah pada Disember lalu. Penduduk, Kamal Mahadi, 71, berkata, pihak berkaitan sudah melakukan kerja-kerja pembasmian rumpai terbabit, namun rumpai itu tetap tumbuh malah merebak ke kawasan lain. "Pakcik bimbang jika tidak ditangani segera, ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk termasuk pelajar yang sering meletakkan motosikal mereka di sini untuk ke sekolah. "Sebelum ini, pakcik juga alami gatal-gatal seluruh badan, namun alhamdulillah kini pakcik beransur pulih selepas mengambil ubat," katanya. Sementara itu, Mohd Zulkifli Mohammad, 58, berkata, selepas Kampung Ulu Yo dan Pekan Johol dikenal pasti ditumbuhi rumpai miang mexico, kini tiba giliran Kampung Kuala Johol pula. "Ketika mula-mula kami menjumpai rumpai ini, kami tidak ambil kisah kerana beranggapan ia sekadar pokok renek biasa dan tidak membahayakan. "Namun, apabila pihak berkaitan datang dan bertemu penduduk menyatakan rumpai ini merbahaya. Kami agak terkejut," katanya. Katanya, kini semua penduduk mula risau kerana rumpai itu semakin hari semakin segar dan membiak dengan banyak. "Kami terkejut kerana rumpai ini tumbuh lagi sedangkan pernah diracun," katanya. Sementara itu, pihak jabatan pertanian daerah memaklumkan, pihaknya sudah melakukan pembasmian rumpai berkenaan di kawasan tersebut bagaimanapun, rumpai ini adalah satu-satunya pokok yang boleh menghasilkan ratusan ribu benih dalam tempoh jangka hayatnya selama empat minggu. "Benih ini boleh bertahan dalam tanah sehingga 10 tahun. Namun pihak kami akan berusaha membasmi rumpai ini daripada terus merebak ke tempat lain," katanya. | ||
42,000 Orang Asli terjejas banjir Posted: 30 Jan 2015 03:28 AM PST SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Sejumlah 42,000 masyarakat Orang Asli dari 261 kampung di seluruh negara dilapor terjejas dalam bencana banjir yang melanda negara, baru-baru ini. Senator Datuk Mohamad Olian Abdullah, wakil masyarakat Orang Asli di Dewan Negara berkata, daripada jumlah itu, penduduk Orang Asli Kelantan adalah yang paling ramai terjejas iaitu 7,995 orang dari 67 buah kampung, khususnya Gua Musang. Sehingga kini Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk menyediakan keperluan makanan dan barangan keperluan asas untuk masyarakat Orang Asli yang terjejas dalam banjir, katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadari majlis melepaskan konvoi program Misi Bantuan Banjir Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Persatuan Orang Asli Prihatin Pahang (POAPP) di sini, hari ini. Program dirasmikan Pengerusi YKN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan turut dihadiri Ketua Unit Jabatan Kecemasan HKL, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Rafek Reshidullah. Konvoi itu disertai 44 sukarelawan, termasuk doktor pakar dan pegawai perubatan dengan menaiki 11 pacuan empat roda, bagi membawa bantuan ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan. Antara barangan bernilai RM90,000 yang dibawa konvoi berkenaan ialah penapis air, tilam dan bantal serta kit kesihatan. Sementara itu, Shahrizat berkata, YKN dalam usaha membantu mangsa banjir, memberi keutamaan terhadap aspek perubatan dan perawatan kepada mangsa. "Sekarang ini kita turun lagi pada pasca banjir dan kita selain daripada memberi peralatan yang diperlukan seperti alat penulenan air yang amat mustahak, kita juga hantar beberapa sukarelawan dan doktor untuk membantu. "Saya harap kita tidak akan menghentikan usaha-usaha membantu mereka (mangsa) walaupun banjir dah surut di banyak tempat," katanya. - Bernama | ||
Nizar dihadapkan semula ke mahkamah Posted: 30 Jan 2015 03:25 AM PST SINAR HARIAN Mohammad Nizar Jamaluddin IPOH - Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen di Ipoh atas pertuduhan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hampir tiga tahun lepas. Ketua Pembangkang Perak dan Adun Changkat Jering itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mat. Mohammad Nizar, 59, yang beralamat di Sungai Rokam, didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012. Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan tersebut akan merosakkan nama baik Najib. Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun peguam Hatem Musa memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan. Hakim Norhayati kemudian membenarkan Mohammad Nizar diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes. Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Mohammad Nizar daripada pertuduhan memfitnah Najib selepas membenarkan bantahan awal pihak pembelaan yang diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berhubung isu pengadu dalam kes itu. Hakim Rihaida Rafie memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes itu cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa yang sebenarnya membuat aduan. - Bernama | ||
Anwar: Pakatan akan terus hidup Posted: 30 Jan 2015 03:20 AM PST MALAYSIAKINI Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berpecah walau beliau dihumban ke penjara. Katanya tiada apa yang perlu dibimbangkan sekalipun jika keputusan kes Liwat II pada 10 Februari ini tidak memihak kepadanya. Beliau juga meminta Menteri Besar Selangor Azmin Ali bertindak "lebih berani" untuk membawa perubahan lebih baik dalam Pakatan. "Tiada ada sesiapapun yang mahu ke penjara. Saya pun tidak mahu ke penjara... Tetapi ada yang mengatakan Anwar berada dalam penjara bermasalah, Anwar di luar pun bermasalah, tapi akhirnya saya lihat dari sudut yang positif. "Rakyat cenderung untuk melupakan bahawa saya sudah berada dalam penjara apabila Pakatan kuat, sudah tentu bukan dengan nama Pakatan Rakyat, tetapi konsep gabungan ini luas, jadi ini bukan sesuatu yang baru. "Ada yang berkata saya masuk penjara mungkin boleh menguat dan mengukuhkan Pakatan, kerana akan menjadi titik menyemarakkan orang ramai. Jadi saya selalu melihatnya dalam positif," katanya. Anwar yang juga ketua umum PKR dilapor berkata demikian dalam wawancara eksklusif disiarkan lidah parti DAP, The Rocket. | ||
Bekas Setpol MB dihukum penjara tiga bulan Posted: 30 Jan 2015 03:10 AM PST PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan ahli perniagaan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga bekas wakil rakyat Barisan Nasional dan SMS fitnah kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, pada 2009. Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi. Ahmad Ramzi, 43, yang merupakan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen sebelum pihaknya merayu ke Mahkamah Tinggi. Setelah mendengar rayuan Ahmad Ramzi yang diwakili peguam Hisham Teh Poh Teik Abdullah dalam prosiding hari ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan untuk setiap pertuduhan dan ia berjalan secara serentak bermula hari ini setelah ketiga-tiga hakim menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman. Dalam penghakiman yang dibacakan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf semasa membuat keputusan melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi pada 29 Dis 2013. Hakim Mohtaruddin berkata Mahkamah Tinggi tidak menilai secara menyeluruh keterangan kesemua saksi dan hanya bergantung kepada keterangan pembelaan Ahmad Ramzi bahawa 'router' (medium penghantaran SMS) milik Ahmad Ramzi mengalami mengalami masalah teknikal ketika itu. Katanya, sejak dari awal prosiding pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Ahmad Ramzi dan mendapati bahawa Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman untuk kesemua pertuduhan. Tambahnya, Mahkamah Sesyen juga telah memenuhi elemen-elemen yang diperlukan dalam kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Ramzi. Pada Jun 2009, Ahmad Ramzi didakwa mengugut bekas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah, bekas Adun Permaisuri Abd Halim Jusoh dan bekas Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid di Kampung Kubang Parit di sini, antara 11.21 malam dan 11.25 malam pada 13 April 2009. Tertuduh juga didakwa memfitnah bekas SUSK menteri besar Terengganu Datuk Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS ugutan berkenaan melalui nombor telefon bimbit milik Wan Ahamad. Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507 dan 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda jika sabit kesalahan. - Bernama | ||
MH370: RM16.8 juta insurans dibayar kepada waris Posted: 30 Jan 2015 03:08 AM PST SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Sejumlah RM16.8 juta bagi tuntutan insurans hayat dibayar kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370. Dalam kenyataan hari ini, Life Insurance Association of Malaysia (LIAM) berkata 185 polisi telah dikeluarkan oleh 14 buah syarikat insurans hayat di Malaysia yang telah diselesaikan dari Mac 2014 sehingga kini. "Syarikat insurans hayat menganggap kemalangan itu sebagai satu keadaan luar biasa dan telah mengenepikan semua bukti kematian seawal Mac 2014 untuk memproses pembayaran tuntutan. "Bagi polisi hayat, jumlah yang dibayar adalah berdasarkan jumlah yang diinsuranskan," katanya dengan menyatakan simpati kepada anggota keluarga dan waris mereka yang berada di dalam pesawat MH370. "Kami memuji kerajaan atas usaha dan komitmen berterusan mereka dengan negara-negara luar iaitu China, Australia dan lain-lain dalam mencari, menyelamat dan menyiasat MH370 untuk mengakhiri tragedi malang ini," katanya. Syarikat insurans hayat yang terlibat ialah AIA Bhd, Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, AmLife Insurance Bhd, AXA AFFIN Life Insurance Bhd, Etiqa Insurance Bhd, Gibraltar BSN Life Bhd, Great Eastern Life Assurance (M) Bhd, Hong Leong Assurance Bhd, Manulife Insurance Bhd, MCIS Insurance Bhd, Prudential Assurance Malaysia Bhd, Sun Life Malaysia Assurance Bhd, Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd dan Zurich Insurance Malaysia Bhd. - Bernama | ||
Pemilihan semula MIC lebih kritikal berbanding DAP Posted: 30 Jan 2015 03:03 AM PST Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin SHAH ALAM - Konflik dalaman MIC antara presiden dan timbalan presidennya lebih kritikal berbanding masalah Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Demikian kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin sambil menyifatkan hubungan pimpinan tertinggi DAP lebih santun dan tidak bercakaran berbanding parti komponen BN itu. "Pihak yang lebih kritikal itu sebenarnya ialah MIC (berbanding DAP) walaupun terdapat campur tangan ROS namun perpecahan dalaman itu nampak ketara. "Bagi MIC ia satu perkara yang sangat berbeza kerana pertikaian itu sudah sampai kemuncak, tiada kompromi antara pasukan presiden dan pasukan timbalan presiden," katanya kepada Sinar Online, hari ini. Pada 5 Disember lepas, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari selepas mendapati wujud salah laku dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada 30 November lalu. Dalam pada itu, Timbalan Dekan Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga berkata, dilema yang dihadapi DAP itu tidak melibatkan pertikaian dalam kalangan pemimpin tertinggi parti itu. "Ia cuma berkisar kepada masalah teknikal antara DAP dan ROS, maknanya persoalan itu tidak sampai boleh memecahbelahkan DAP. "Kalau MIC , bukan saja melibatkan ROS (pemilihan semula) tetapi melibatkan soal perpecahan dalaman parti itu," ujarnya. Mengulas lanjut, beliau berkata, jika Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan sesuatu dengan segera, kelak perpecahan MIC semakin parah dan merugikan BN sendiri. "Walaupun orang India tiada kuasa penentu majoriti dalam Parlimen atau Dun tapi beberapa kawasan mereka sebenarnya memang memberi kesan contohnya Kapar, Kota Raja, Tapah dan Segamat. "Kita lihat prestasi masyarakat India sudah berpecah terlalu banyak sejak pilihan raya 2008, isu Hindraf pada 2007, ia berterusan pada 2008 dan kemudian 2013 MIC masih belum pulih lagi," jelasnya. Ketika ditanya konflik MIC berpunca daripada tindakan Presiden MIC, Datuk Seri G Panalivel yang enggan meletakkan jawatan selepas 'kontrak enam bulan' tamat, Shaharuddin berkata perkara itu sukar dibuktikan. "Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk M.Saravanan, tidak ada sesiapa yang mengesahkannya pun, ia bukan satu dokumentasi, ia berkemungkinan satu persefahaman antara kumpulan A dan kumpulan B. "Ia banyak kali berlaku dalam parti politik, dalam Umno benda ini memang berlaku, persefahaman yang tidak bertulis. "Kenyataan itu bahaya juga sebab Saravanan meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri atau Pengerusi BN, janji kepada ahli-ahli komponen untuk menyelesaikan masalah sementara," katanya lagi. | ||
MH370: Makin mencabar, teroka lokasi terpencil Posted: 30 Jan 2015 03:02 AM PST Penolong Pengarah Sektor Operasi Penerbangan, Kapten Mior Nor Badrishah berkata, pasukan mencari optimis usaha pencarian di dasar laut itu akan berjaya menemui pesawat MH370. "Tetapi harus diakui keadaan agak mencabar bagi pasukan mencari di lokasi terpencil dan belum pernah diterokai. "Kami tetap yakin kawasan tersebut menjadi tempat berakhirnya pesawat MH370 berdasarkan data satelit yang diperolehi," katanya dalam sidang media khas Teknikal Pencarian Pesawat MH370, hari ini. Menurutnya, fasa baharu akan mula digerakkan selepas Mei jika operasi pencarian fasa ketiga tersebut tidak berjaya. "Pakar-pakar termasuk Kerajaan Malaysia akan duduk berbincang menentukan adakah perlu untuk memperluaskan kawasan carian ataupun menukar kawasan pencarian tersebut," katanya. Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing didapati hilang daripada radar pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal, malah sehingga kini Boeing 777-200 itu masih gagal dikesan, walaupun usaha untuk mencarinya di udara dan laut dilakukan secara meluas. Kata Mior, fasa pencarian kini membabitkan dua kapal pakar iaitu Fugro Discovery dan GO Phoenix. Kedua-dua buah kapal itu mampu menghantar sistem sonar canggih kira-kira 5,000 meter di bawah paras laut bagi menjalankan usaha mencari menggunakan gelombang bunyi. Katanya, sistem itu yang disambungkan ke kapal berkenaan oleh kabel tunda sehingga 10 kilometer panjang, diprogramkan untuk mengesan bahagian terbesar daripada pesawat terbabit yang dijangka masih belum berkecai, seperti enjin, peralatan untuk mendarat dan badan pesawat. "Sekiranya ada sesuatu yang tidak normal, kapal berkenaan akan kembali ke kawasan yang dicari itu dan mengemudikan alat pengesan berkenaan dengan lebih perlahan serta lebih dalam serta menggunakan kamera untuk melihat ke dasar laut," katanya. Sehingga kini katanya, sedalam 52,000 kilometer persegi kawasan pencarian telah dilengkapi pasukan mencari. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan