Selasa, 27 Januari 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Perkasa nafi dalangi demo Datum Jelatek

Posted: 27 Jan 2015 06:07 AM PST

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Yang Dipertua Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya menafikan dirinya dan ahli pertubuhan berkenaan terlibat dalam insiden 'ganas' memecahkan tembok zink sewaktu demonstrasi membantah projek pembinaan Datum Jelatek, Ahad lalu.
 
Kata Abu Bakar, kehadiran mereka sewaktu demonstrasi berkenaan hanya sebagai tanda sokongan moral terhadap penduduk Melayu Taman Keramat yang ditindas dan hak mereka dinafikan kerajaan negeri, setelah projek penempatan semula yang dijanjikan pada awalnya bertukar kepada projek mega bernilai ratusan ribu ringgit yang tidak mampu dimiliki penduduk tempatan.
 
Tambah Abu Bakar, ahli pertubuhan berkenaan hanya berdiri jauh daripada tapak projek selepas beliau selesai memberi sedikit ucapan bersama Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Salleh Samad. 
 
"Kami sudah katakan bahawa Perkasa akan berada di mana saja jika penindasan dilakukan terhadap bangsa Melayu.
 
"Saya ke sana pertamanya, saya membantu membela bangsa saya supaya mereka dapat ditempatkan di situ semula. Saya tak mahu ada tindakan dilakukan untuk menghalau orang Melayu keluar daripada bandar," katanya kepada Antarapos.      
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali , yang memberi bayangan bahawa demonstrasi semalam turut didalangi oleh 'orang luar'.
 
Azmin yang ditanya berhubung hal berkenaan semalam juga menyuruh pemberita memastikan adakah benar peserta demonstrasi itu merupakan penduduk tempatan.
 
"(Kalau) dia (Azmin) kata orang luar, tak apalah. Memang saya orang luar dari kawasan Jelatek itu sendiri. Tapi saya orang dalam Selangor. Cubit paha kanan, peha kiri pun terasa," ujar Abu Bakar lagi.    
 
Malah tambah beliau, Perkasa adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai prinsip dan bukan sewenang-wenangnya menyertai sesuatu demonstrasi tanpa melakukan analisa terlebih dahulu. 
 
Sementara itu, Salleh juga menafikan penglibatan Perkasa dalam insiden rempuhan tapak projek berkenaan, sebaliknya menjelaskan ianya dilakukan oleh anak muda penduduk setempat.
 
Secara sinis, Salleh berkata Azmin hanya akan mengenali peserta demonstrasi jika beliau sendiri turun padang bertemu penduduk semalam.
 
"Kalau kita tengok gambar-gambar yang diambil, yang bertindak ganas adalah anak Keramat sendiri. Orang luar tak kan boleh ada semangat macam itu. Ini semangat anak Keramat yang kawasan mereka diceroboh, dizalimi. Naik anginlah mereka," kata Salleh. 
 
Ahad lalu, lebih 200 penduduk Taman Keramat mengadakan demonstrasi membantah projek Datum Jelatek sehingga bertindak menceroboh tapak projek berkenaan, setelah memorandum dan siri bantahan sebelum ini tidak dipedulikan kerajaan negeri.
 
Penduduk mendakwa kerajaan negeri telah mempedayakan mereka kononnya projek berkenaan merupakan projek penempatan semula, namun ianya bertukar kepada projek berstatus mega dengan harga satu unit kondominium bermula dengan RM 700 ribu ringgit.
 
Kata penduduk lagi, projek berkenaan juga bukanlah khas untuk Bumiputera sebaliknya ia dijual kepada warganegara asing seperti Singapura dan China.

"Saya keluar dengan rela bukan dipaksa" - Rohana

Posted: 27 Jan 2015 06:05 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaya (UM) Rohana Yusof menafikan beliau dipaksa berhenti, sebaliknya menjelaskan tempoh perkhidmatannya tamat tahun ini.

"Orang Malaysia mudah tertipu. Perkara (pemberhentian) itu tidak benar," katanya kepada Malaysiakini.

Perkhidmatan Rohana dilaporkan diberhentikan kerana terlalu berlembut dengan pelajar.

Menurutnya, beliau sudah menjaga hal-ehwal pelajar sejak 2010 dan jawatannya sebagai timbalan naib cancelor tamat tahun ini.

"Penggal kedua saya berakhir 7 Ogos 2015. Saya akan berundur dan orang lain akan mengambil alih. Saya gembira dengan kerja saya dan semua perancangan saya sudah lengkap.

"Maka apabila tempoh saya tamat, saya rasa patut berundur," katanya sambil menambah beliau yakin pentadbiran akan mengurus universiti sebagaimana sebuah universiti ulung patut diurus.

Malaysian Insider melaporkan jawatan Rohana akan diambil alih oleh seorang yang lebih keras dengan pelajar dan ketika beliau memegang jawatan ketua pembangkang Anwar Ibrahim memberi ceramah di kampus universiti walaupun ia dilarang.

Pemimpin-pemimpin yang bermasalah besar, mangsanya rakyat

Posted: 27 Jan 2015 05:58 AM PST


Pemuda UMNO meminta peperangan siber di antara puak Dr Mahathir dan Daim yang berlawanan dengan puak Najib perlu diselesaikan dengan baik. Begitulah kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin. Beliau membuat kenyataan selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda itu di PWTC semalam. Apa pun kenyataan Ketua Pemuda itu hanya satu 'poitical statement' yang simplistik yang tidak boleh membawa apa-apa 'consequence' yang positif. Pemuda masih berpolitiking seperti biasa sahaja dan elok diabaikan sahaja.

Sekarang perang proxi yang sudah sampai ketahap menelanjangkan lawan. Masing-masing mempunyai saham dalam melakukan keburukan yang sedang dialami oleh negara sekarang. Semuanya itu tinggal dalam rumah kaca. Apabila salah seorang membaling batu kepada rumah kaca rakan lamanya maka rakan lamanya itu juga boleh membaling kaca kerumah mereka juga.

Yang 'interesting' nya mereka yang menjadi pengikut atau 'foot soldiers' kepada masing-masing pemimpin itu. Mereka ini pula yang lebih hebat menari dengan gendang paluan kedua-dua belah pihak. Justeru seperti yang blog ini selalu sebutkan masalah yang dihadapi negara kita sekarang bukannya masalah dari rakyat asalnya. Masalah dan belahnya parti itu adalah oleh kerana pemimpin-pemimpin ini. Yang terasa miangnya ialah pengikut dan rakyat serta politik negara itu sekali.

Bagaimana puak Najib hendak mengkritik Mahathir atau Daim dengan betul kerana puak Najib itu sendiri merupakan puak yang sedang leka dan lalai dan terus menerus melakukan apa yang tidak disukai rakyat sekarang ini. Dia sebaliknya juga bagai mana puak Mahathir dan Daim pula hendak mengkritik Najib secara 'credible' kerana puak ini merupakan puak yang telah membina budaya 'material' yang sedang menguasai jiwa dan pemikiran ahli-ahli politik dan pemimpin negara kita sekarang ini?

Tidak ada pemimpin yang tidak berniaga dan berlumba-lumba dengan rakyat. Hasilnya berbagai-bagai cara dilakukan untuk memudahkan pemimpin-pemimpin menjadi kaya raya dengan menggunakan kuasa ditangan mereka. Jika sebelum menjadi pemimpin besar dan berkuasa besar mereka masih sibuk menghadapi 'litigations' kerana kegagalan perniagaan, mereka menjadi kaya raya setelah mendapat pangkat dalam kerajaan negara kita.

Sekarang mereka menghadapi tuduhan dan persepsi buruk dengan kekayaan dan perniagaan besar mereka dalam sedang berkelahi dalam usia yang sudah begitu lanjut yang sepatutnya berada dalam ketenangan dalam persaraan. Kita tidaklah kisah dengan pergaduhan mereka tetapi dengan pergaduhan ini kita telah dapat meyakinkan diri kita yang salah laku yang dituduh mereka lakukan semasa berkuasa dahulu semakin hari semakin jelas kerana ada pihak yang berani tampil untuk memberikan keterangan jika dipanggil bagi menyempurnakan penyiasatan.

Yang terlibat dalam pergaduhan ini adalah mereka yang besar-besar bernama dan bergelar. Yang bergelar Tun pun ada, Tan Sri pun ada dan ramai yang datuk-datuk dan nama panggilan yang lain yang semuanya besar-besar belaka.

Dalam situasi ini kita melihat yang berkawan semalam hari ini menjadi musuh dan yang telah bermusuh begitu lama kini sudah menjadi kawan. Masing-masing mempunyai rahsia yang mereka tahu tentang mereka yang berlawanan itu.

Mereka ini jugalah yang bercakap tentang perjuangan untuk Melayu dan kumpulan ini jugalah yang bercakap tentang keresahan terhadap keadaan negara pada hari ini. Mereka jugalah yang bercakap tentang keunggulan kepimpinan tetapi mereka jugalah yang memulakan keadaan ini. Yang lebih menarik lagi kumpulan ini jugalah yang bersuara mahu membetulkan keadaan negara sedang mereka adalah penyumbang kepada keadaan buruk negara sekarang ini.

Dalam keadaan sekarang, Ketua Pemuda nampaknya serba salah dan tidak mahu mengambil ketegasan yang jelas dalam isu ini. Elok Pemuda melihat dari sudut kenapa perkara ini boleh berlaku. Baik dari pihak Daim mahupun Najib masing-masing mempunyai alasan untuk mengkritik pihak yang lain kerana masing-masing mempunyai saham yang membuatkan pertengkaran sekarang ini berlaku.

Pemuda sepatutnya setia kepada UMNO dan bukannya kepada individu dan cuba bermain dengan membawa sentimen perpaduan yang tidak mungkin akan wujud di antara kedua-dua belah pihak ini. Selain tidak mempercayai di antara satu pihak dengan pihak yang lain tetap akan wujud dan tidak mungkin kendur kerana kedua-dua belah pihak tahu dan maklum tentang perkara yang dilakukan oleh pihak yang lain itu.

Keadaan sekarang sudah menjadi seperti perkelahian budak-budak atau kanak-kanak sekolah. Ia seolah-olah memberikan andaian yang 'kau dulu apa kurangnya, pandai-pandai hendak mengkritik aku'. Perkelahian ini tidak disebabkan oleh kepentingan negara dan rakyat.

Tidak ada apa-apa keuntungan untuk orang ramai dalam perkelahian ini. Hanya jika boleh dianggap yang baik timbul, ialah ia telah mengiyakan yang pandangan banyak pihak yang mereka dari kedua-dua belah pihak ini telah melakukan perkara yang setidak-tidaknya tidak bermoral bagi keperluan negara dan rakyat telah mereka lakukan.

Jika ia tidak dilakukan tidak mungkin keadaan seperti ini akan berlaku. Masing-masing hidup da;lam rumah kaca dan mana-mana pihak pun tidak boleh membaling batu terhadap rumah kaca yang lain. Itu sebabnya keadaan negara sekarang menjadi kalut bukannya oleh kerana rakyat tetapi oleh kerana pemimpin dan cara pemulihannya ialah dengan melakukan 'dismantling' terhadap sistem yang ada dan lakukan pemulihan dengan memulakan negara baru seperti yang selalu blog ini sarankan. Keadaan sekarang sudah menjadi begitu kalut dan tidak boleh diperbaiki dengan memberikan pembetulan satu masalah satu lepas satu.

Kita tidak boleh hanya bergantung kepada ubat tahan sakit kerana kesemua anggota tubuh kita sedang sakit. Kita mesti mencari jalan untuk menghilangkan penyakit, bukannya setakat menghilangkan sakit yang terlalu banyak itu. Kalau kita merasa sakit kepala selalu dan sakit tengkok setiap waktu, ia tidak boleh diselesaikan atau diubati dengan memakan panadol sahaja. Ia hanya menghilangkan sakit buat seketika. Mungkin penyakit yang dihidapi seseorang itu ialah penyakit darah tinggi. Darah tinggi inilah yang perlu diubati dan bukannya menghilangkan sakit di kepala atau pun di tengkok.

Negara perlukan 'overhauling'. Orang yang bergaduh tidak boleh mendamaikan keadaan. Ada orang lain yang mungkin boleh membentuk kedamaian ini. Jika pihak yang bergaduh ini hendak di yakini untuk menyelesaikan keadaan negara ia tidak mungkin boleh tercapai sampai bila-bila. Baik dari puak ini mahupun dari puak itu, kedamaian tidak boleh diperolehi jika tanggungjawab itu diberikan kepada mana-mana satu pihak.

Negara memerlukan banyak lagi masalah yang hendak diselesaikan dan diberikan perhatian. Ia bukan setakat masalah dua pihak yang berkelahi ini. Kita ada masalah yang lebih besar seperti untuk menyelesaikan masalah asas penubuhah negara kita seperti isu Persekutaun Malaysia yang melibatkan negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang kian hari kian meruncing.

Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian sebagai negeri-negeri yang 'equal partners' dengan Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung). Perjanjian Persekutuan Malaysia ini ditandatangani oleh 4 pihak (termasuk Singapura) pada tahun 1963 dahulu. Perjanjian itu bukannya ditandatangani oleh 14 negeri-negeri dalam Persekutuan ini. Jika masing-masing pemimpin dari peringkat persekutuan ini menumpukan kepada perkelahian untuk menegakkan benang basah masing-masing, bilakan masalah yang lebih besar untuk masa depan Persekutuan kita ini akan dapat diselesaikan?

Jika pemimpin utama sentiasa berada diluar negara bagaimana beliau hendak memberikan tumpuan kepada keperluan rakyat dan negara. Bagaimana hendak mencari formula untuk menjadikan Persekutuan ini lebih jitu kewujudannya dan mengurangkan rasa tidak puas hati di antara wilayah-wilayah dan persekutuan ini? Najib bukan seorang sahaja Perdana Menteri dalam dunia ini ramai, tetapi PM-PM negara lain tidak pula terbang seantero dunia ini setiap minggu dan bulan.

Kita abaikan sahaja mereka yang bergaduh ini terutamanya mereka yang menganggotai Dewan Legislatif negara. Ahli-ahli Dewan Legislatif negara perlu melakukan perkara yang boleh menyelesaikan isu-isu negara yang bertimbun-timbun dengan kadar yang segera. Mereka (ahli-ahli Legislatif) sebenarnya adalah rakyat kerana mereka mewakili rakyat dalam Dewan Tertinggi Legislatif itu. Mereka ini dipertanggungjawabkan untuk melihat negara kita keluar dari kemelut yang tidak ada penghujungnya sekarang ini. Masing-masing perlu menghentikan 'politicking' yang menjahanamkan negara. Jangan dibiarkan sekumpulan kecil manusia yang tamak dan haloba ini menentukan masa depan negara kita.

Perlu diingat kita tidak mempunyai tempat atau negara lain untuk tinggal. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Mereka yang telah menjadikan keluarga mereka kaya raya boleh mencari bumi lain untuk dipijak dan menjunjung langit ditempat dan wilayah yang lain.

Apa pun Najib perlu bersara dahulu, kalau boleh dalam kadar yang segera. Itu dahulu.

Abim masih berbisa tanpa Anwar

Posted: 27 Jan 2015 05:56 AM PST


Amidi Abdul Manan  
Amidi Abdul Manan


NAMA NGO Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) suatu ketika dahulu cukup disegani semua pihak dalam usaha dakwah di negara ini khususnya ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi presidennya pada awal 70-an.

Namun keadaan itu jauh berbeza pada hari ini apabila banyak NGO Islam muncul bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan dengan pelbagai pendekatan dan matlamat termasuk membawa agenda parti politik dan kepentingan pihak tertentu.

Ikuti wawancara khas wartawan Sinar Online, NIZAM ZAIN bersama PRESIDEN ABIM, AMIDI ABDUL MANAN bagi merungkai peranan NGO Islam itu yang didakwa semakin hilang taringnya khususnya dalam mendepani isu sesama umat Islam di negara ini.

SINAR ONLINE: Abim dilihat semakin hilang taring dan didakwa semakin ke belakang berbanding NGO Islam lain dalam mendepani isu agama yang sering di politik dan dipersendakan oleh banyak pihak. Apa sudah jadi dengan Abim?

AMIDI: Saya menerima dengan berlapang dada dan terbuka bahawa itu merupakan satu kritikan yang mungkin ada asasnya dan dalam masa sama ia bersifat subjektif kepada persepsi masing-masing.

Kalau hendak dimaksudkan apa yang dikatakan hilang taring itu, adakah disebabkan populariti, adakah ia berkait dengan akan ada orang sakit apabila taring itu dikeluarkan ataupun maksudnya kurang menyengat dan sebagainya.

Abim sebagai sebuah gerakan dakwah, sudah tentu kita menyampaikan dakwah itu dalam keadaan yang bukan menyakitkan, kedatangan Islam sebagai memberi rahmat kepada sekalian alam, maka kita terus menyampaikan rahmat tersebut.

Kalau hendak dikatakan Abim hilang taring, saya juga biasa mendengar orang mengkritik sebagai contoh Pemuda Pas Pusat juga kehilangan taringnya. Begitu juga Pemuda Umno Malaysia ada yang mengatakan hilang taring juga, tetapi dalam masa sama apabila kita tanya dengan pimpinan ada, mereka mempunyai persepsi yang berbeza.

Saya kira perkara yang sama berlaku kepada Abim, kita lihat bahawa di manakah peranan yang seharusnya mainkan dan kita tidak perlu untuk terikut-ikut dengan pandangan yang ada sebab kita tahu bahawa tugas dan tanggungjawab mengikut masa itu adalah berbeza-beza.

Dalam masa sama, sebenarnya Abim mendapat kepercayaan daripada banyak pihak termasuk Abim menganggotai banyak jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak sama ada kementerian, jabatan kerajaan mahupun di peringkat negeri, kebanyakan pimpinan Abim terlibat khususnya dalam Jawatankuasa Pembangunan Belia, begitu juga majlis agama.

Baru-baru ini juga kami diminta memberikan pandangan yang berkaitan dengan Gender Identity Disoder (GID) dalam kita membentuk identiti generasi muda. Dalam masa sama, saya melihat bahawa Abim terus diberikan ruang oleh kedua-dua pihak yang menerajui politik negara pada hari ini iaitu pihak BN dan PR, saya kira ia satu perkara yang cukup unik.

Dalam posisi ini, Abim mendapat kepercayaan oleh kedua-dua pihak ini dan dalam masa sama di situ kita menyalurkan nada-nada yang cuba untuk meraih populariti, kalau hendak taring ini, ia mungkin perlukan popular.

Sebagai contoh mengajak bekas Pengerusi Majlis Peguam dan aktivis, Datuk S. Ambiga 'berdating' dengan Abim, saya kira perkara itu tidak perlu (untuk popular) ataupun menghalau orang Islam keluar dari Malaysia, adakah tindakan itu dikira sebagai satu taring atau satu sengat yang berbisa untuk mempertahankan Islam.

Dalam masa sama, Abim sebenarnya sangat percaya Malaysia ini kita perlu terima dengan kepelbagaian yang ada dan dengan ruang lingkup dakwah yang ada pada hari ini, kita perlu menggunakan kesempatan ini untuk menyebarkan Islam sebagai rahmat ke seluruh alam.

SINAR ONLINE: Adakah secara tidak langsung menepis dakwaan mengatakan Abim lebih cenderung menyokong pihak tertentu sahaja?

AMIDI: Saya kira perkara itu betul, sebab ramai yang cuba mengaitkan dengan pihak tertentu, Abim dikatakan senget sebelah, Abim ini pro kepada satu-satu pihak. Sebagi contoh, Abim sendiri apabila berurusan dengan pihak kerajaan, ada menteri yang membukakan ruang, sanggup untuk menerima saranan kita, sanggup bekerjasama untuk kepentingan umat Islam.

Namun ada juga menteri yang menyatakan bahawa sekiranya di polan bin polan ini merupakan anak kepada bekas pimpinan Abim, maka dia tidak akan menerima pengiktirafan sebagai tokoh Maal Hijrah.

Ada menteri bersikap begitu seolah-olah dia cuba untuk meminggirkan Abim, tetapi Alhamdulillah setakat ini, walaupun mereka duduk dalam parti yang sama, tetapi pendirian masing-masing berbeza, faham dan mengetahui di mana Abim boleh memainkan peranannya.

SINAR ONLINE: Adakah Abim sebuah NGO yang ekstremis?

AMIDI: Ekstrem itu mesti dilihat di mana kita berpijak, kalau dari sudut orang barat, sudah tentu ekstremis itu ia akan merujuk kepada fundamentalis agama, iaitu apabila kita bertegas tentang mewajibkan amalan solat, memakai tudung dan sebagainya.

Keadaan itu berbeza dengan masyarakat yang lebih terbuka yang tidak mewajib dan meletakkan bahawa agama itu sebagai hak peribadi semata-mata. Saya kira Islam tidak menggunakan istilah yang begini secara sewenang-wenangnya sebab kita ada asas yang kita perlu terima bahawa amalan agama ini mestilah diamalkan oleh seluruh penganutnya.

Cuma sikap tertentu perlu dielakkan supaya mesej Islam itu dapat disampaikan dengan baik, sebab itu Abim sendiri cuba untuk membendung fahaman sebegini, seawal tahun 70-an kita sendiri telah menerbitkan buku berkaitan dengan ekstremisme bertajuk Pembangunan Islam: Antara Tentangan dan Ekstremis yang ditulis sendiri oleh Dr Yusof Al-Qaradawi.

Kemudian kita sambung usaha itu ketika saya menerajui Abim dengan buku Dr Yusof Al-Qaradawi dengan bertajuk Kebangkitan Rakyat di mana kita boleh lihat bagaimana tokoh Islam terkemuka ini cuba memberikan penjelasan dan penerangan bagaimana kebangkitan rakyat perlu ditangani dengan persepsi Islam.

Sebab itu apabila Interpol mengeluarkan waran tangkap ke atas Yusof Al-Qaradawi baru-baru ini, Abim berasa hairan kerana dalam buku yang dituliskan itu, beliau berpesan kepada pemuda-pemuda di Mesir supaya jangan memecahkan kedai, bila datang berhimpun perlu membawa ubat-ubatan supaya boleh beri rawatan kepada sesiapa yang tercedera dan selepas bersurai kena pastikan kebersihan.

Adakah ini keganasan dan tindakan Interpol itu bagaikan satu fitnah sengaja direka terhadap Yusof Al-Qaradawi sendiri, malah dalam buku itu bukan sahaja memetik ucapan beliau tetapi merakamkan setiap detik bahawa proses demokrasi itu berlaku dapat dilaksanakan dalam ruang lingkup Islam sendiri.

Beliau juga sangat menyakini bahawa proses pilihan raya itu ialah satu proses yang membenarkan satu pertukaran pemerintahan tanpa pertumpahan darah dan kucar-kacir, seharusnya berlaku demikian.

Yusof juga memetik kisah pada zaman Umar Al-Khattab berkaitan dengan tunjuk perasaan, saya kira perkara ini perlu difahami oleh seluruh orang muda kerana Abim menyakini anak muda mempunyai fitrahnya sendiri seperti semangatnya, perasaan keterujaan untuk memperjuangkan sesuatu tetapi mesti ada bimbingan serta panduan dari mereka yang lebih berpengalaman dan veteran.

Saya sendiri pernah mendengar ucapan Yusof Al-Qaradawi bahawa dalam gerakan Islam perlu ada dua elemen, iaitu semangatnya orang muda dan berhikmahnya mereka yang lebih dewasa (veteran), apabila dua elemen ini disepadukan, ia akan menghasilkan keputusan yang cukup baik demi kebangkitan Islam itu sendiri.

SINAR ONLINE: Adakah Abim mempunyai kerjasama atau gabungan dengan NGO Islam lain dalam membantu negara merungkai kekusutan yang timbul khususnya melibatkan isu agama dan dialog antara agama.

AMIDI: Ada pelbagai bentuk dan tujuan sesebuah NGO itu ditubuhkan dan kita menghormati tujuan mereka masing-masing.

Kalau kita lihat banyak NGO kecil yang ditubuhkan yang muncul dengan menggunakan darah ayam, bawa kepala lembu dan sebagainya, malah saya ingin menyeru kepada mereka ini bahawa apabila kita memperjuangkan sesuatu, yang saya cukup risau adalah keghairahan kita yang keterlaluan untuk menjadi wira atau hero yang mana akhirnya nanti akan merosakkan mesej yang ingin kita bawa.

Sebagi contoh pendekatan beberapa NGO yang berlawan mengeluarkan kenyataan, siapa yang mempunyai kata-kata yang lebih berbisa, apabila tidak terkawal ia memberikan natijah yang buruk kepada perjuangan itu sendiri.

Lebih malang lagi apabila Abim berdialog dengan NGO berlainan agama (bukan Islam), kami terpaksa menjelaskan isu dan latar belakang yang membentuk satu-satu perkara yang ada dalam Islam.

Sebagai contoh, isu korban yang dilakukan di kawasan sekolah, tetapi ada NGO yang menimbulkan isu itu dengan unsur-unsur provokasi, sebaliknya tindakan itu sangat malang apabila mahu mempertahankan isu korban tetapi menggunakan perkataan kesat akhirnya ia hanya merosakkan nama baik Islam.

Tambahan pula NGO yang ditubuhkan itu semata-mata untuk memenuhi tuntutan atau keperluan politik pihak tertentu dan kita merasakan amat kesal perkara sebegini, contohnya hasrat sebuah NGO yang mahu membakar Bible yang jelas cuba merosakkan imej Islam itu sendiri dan imej Islam memberi rahmat kepada sekalian alam.

Hubungan Abim dengan NGO-NGO terbabit, istilahnya kami berlapang dada dengan pendekatan mereka sendiri dan kita juga ada perkara yang kita yakini, sebab itu Abim tidak mengambil pendekatan untuk menyerang sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh penggunaan kalimah ALLAH di Pulau Piang baru-baru ini, yang memulakan perkara itu adalah satu parti dalam BN, apabila Ketua Menteri Pulau Pinang memberi respons, beliau sendiri kena serang sedangkan perkara ini mesti dilihat lebih tenang dan bijaksana oleh gerakan Islam.

Kita tidak mahu imej Islam kepada bukan Islam terjejas dan perkara ini dikhuatiri menjadi rutin kepada Abim yang mempunyai hubungan dengan NGO bukan Islam. Perkara ini perlu diperbaiki dan Abim bersedia bekerjasama untuk berkongsi pandangan tetapi masa sama kita perlu bersedia untuk berbeza pandangan kerana kadangkala Abim dilihat lambat memberikan respons atau agak berlembut.

Kadang kala apa yang tersiar dalam media tidak senada yang dimaksudkan oleh pihak tertentu, secara jelas di sini ialah Abim tidak mengejar populariti sebaliknya kami melihat sesuatu isu itu kepada jalan penyelesaian yang lebih bijaksana.

SINAR ONLINE: Adakah Abim bekerjasama dengan parti Pas sebagai sebuah gerakan dakwah Islam di negara ini?

AMIDI: Ya, kita sebagai rakan gerakan Islam atas konsep bertolong-tolongan dalam hal kebaikan itu sentiasa kita lakukan, dan saya sendiri mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa pimpinan Pas malah kita berkongsi pandangan.

Jika Pas memilih usblub pilihan raya sebagai salah satu daripada uslub dakwah atau menegakkan Islam, maka kita berlapang dada dengan perkara itu dan saya fikir kita kena menghormati pendirian tersebut.

Dalam masa sama, Pas juga menghormati pendirian Abim yang bertindak sebagai satu badan dakwah, satu pertubuhan bukan kerajaan yang memberi kefahaman Islam kepada masyarakat.

Kadangkala dalam politik berparti ini dia ada tempat yang pantangnya, ada tempat yang menjadi sempadan yang mana dia tidak boleh terobos, dalam perkara itu Abim akan bekerjasama dengan Pas, kita masuk dan memberikan penerangan.

Hubungan Abim dan Pas sudah tidak menjadi rahsia lagi, mungkin sebelum ini orang melihat Anwar Ibrahim dengan Abim, tetapi kenapa orang tidak melihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan arwah Datuk Abu Bakar Chik dengan Abim.

Sudah tentu juga kita tidak boleh lupakan bahawa arwah Datuk Fadhil Noor juga bekas pimpinan Abim, itu yang membuatkan Abim itu unik dan kita terus berhubung dengan semua pihak.

Begitu juga kepimpinan dalam Umno yang suatu ketika dahulu merupakan pimpinan dalam Abim malah kita berbesar hati apabila Abim menjadi satu pertubuhan yang luas rangkaiannya dan kita terus mengekalkan hubungan itu

Hubungan Pas dengan Abim juga terus dikekalkan contohnya bantuan banjir di Kelantan di mana saya sendiri ke kawasan Parlimen Datuk Kamaruddin Jaafar untuk membantu mangsa banjir di sana setakat mana yang kami mampu.

SINAR ONLINE: Apa pendapat Tuan berhubung Barisan Perpaduan Nasional yang diterajui bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan NGO Islam Melayu lain termasuk Perkasa?

AMIDI:  Kita tidak terlibat secara aktif dengan Barisan Perpaduan Nasional itu, namun kami hanya memberikan input kepada Akta Keharmonian Nasional yang menjadi titik pertemuan dua jawatankuasa itu ditubuhkan sebelum ini.

Kita melihat bahawa Melayu itu mestilah dibina penghayatannya terhadap Islam dan Islam mesti dihayati orang Melayu di rantau ini mestilah Islam yang bersifat sederhana

Kita tahu Islam tersebar di kepulauan Nusantara ini dengan wajah yang ramah. Kita juga tidak pernah mendengar pertumpahan darah besar-besaran ketika Islam disebarkan di seluruh Nusantara ini, malah kita juga tidak pernah mendengar dendam antara Muslim dengan bukan Muslim itu berlanjutan ke hari ini di rantau ini.

Ini menunjukkan bahawa Islam dapat disebarkan dengan begitu ramah. Kita berlapang dada dengan perkara itu dan Barisan Perpaduan Nasional mempunyai pendekatan tersendiri dan Abim juga tersendiri sekali gus ia dapat menguntungkan umat dan kita juga harus menjaga adab perbezaan pandangan.

SINAR ONLINE: Apakah pendirian Abim berhubung isu penghinaan dan konflik agama yang kian menular sejak akhir-akhir ini?

AMIDI: Kita melihat perkara ini kepada dua sudut, yang pertama ialah orang bukan Islam tidak memahami kedudukan ataupun sensitiviti agama yang ada pada orang Melayu dan kita hendak menunjukkan orang Melayu itu adalah Islam, ini adalah satu kegagalan. Sebab itu perkara yang tidak pernah dipertikaikan dahulu, kini perkara itu mula dipertikaikan.

Kedua ialah kejahilan orang Islam sendiri terhadap agamanya dan kejahilan itu bukan sahaja dari sudut konsep bahkan dan falsafah, dalam masa sama kejahilan itu juga perlu dilihat bagaimana orang Islam itu bersikap apabila mendepani sesuatu perkara.

Kita dapat membezakan antara perkara usul dan furuk, sebagai contoh saya sendiri pernah diasak berkaitan dengan isu "I Want To Touch A Dog" yang mana kalau kita tengok isu ini ia berkaitan dengan perbezaan pandangan ulama berkaitan dengan masalah fekah itu sendiri.

Tetapi ada pandangan yang cuba untuk melagakkan perkara ini untuk meragukan keimanan seseorang dengan label yang agak keterlaluan seperti liberal, plural dan sebagainya yang mana jika tidak dikawal, mengakibatkan kita dengan mudah meragui keimanan seseorang.

Perkara ini juga dititikberatkan oleh Rasulullah SAW yang menekankan umat Islam perlu berhati-hati apabila kita ingin melemparkan tuduhan kafir kepada seseorang kerana ia akan mengaitkan banyak perkara termasuk hubungan suami isteri, harta pusaka dan juga persoalan pengurusan jenazah. Kita perlu berhati-hati dengan perkara ini dan jangan terlajak kepada sempadan yang menjerumus kepada sikap yang taksub dan melampau.

SINAR ONLINE: Apa pandangan tuan berhubung keperluan Akta Hasutan apabila Pengarah Eksekutif Lwayer of Liberty, Eric Paulsen mendakwa Jakim mempromosikan keganasan menerusi Khutbah Jumaat?

AMIDI: Abim berpandangan bahawa perkara ini adalah sesuatu yang kabur dan sukar kerana hanya berdasarkan kepada Twitter dengan satu ayat yang pendek.

Kalau kita baca ia bagaikan satu andaian atau tuduhan yang tidak berasas sedangkan kita sendiri hadir untuk menunaikan solat Jumaat seperti tahun lepas 52 kali kita tidak dengar khutbah yang menanamkan kebencian terhadap bangsa lain.

Saya mohon dalam isu ini dikendalikan dengan tidak mementingkan sensasi kerana sekarang ini setiap perkara apabila disensasikan, maka ia akan mudah untuk mendapat perhatian dan kadangkala perhatian itu terlebih dan sebagainya.

Kemudian keperluan terhadap Akta Hasutan ataupun Rang Undang-undang Keharmonian itu, Abim sentiasa melihat perkara itu mestilah berteraskan keadilan dan bagaimana ia dilaksanakan.

Saya kira mereka terdahulu yang menggubal Akta Hasutan, sudah tentu mempunyai niat murni untuk menjaga keharmonian dan memelihara perpaduan dalam negara. Antara perkara yang ditekankan mestilah tidak boleh menyentuh hal keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa kebangsaan dan sebagainya.

Timbul beberapa persoalan apabila pendakwaan yang kita merasakan perkara itu perlu kena tetapi tiada tindakan daripada pihak polis sendiri sekali gus ia menimbulkan kesangsian dalam kalangan masyarakat bahawa Akta Hasutan itu digunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Saya mohon perkara ini dilakukan dengan sebaiknya sebelum masyarakat hilang kepercayaan kepada pelaksana undang-undang, apabila perkara itu terjadi, ketika itu sudah terlambat untuk kita membetulkan keadaan.

Harap penyokong Anwar, Saiful tidak buat kecoh

Posted: 27 Jan 2015 05:52 AM PST

SINAR HARIAN


Logo kes Anwar
 
 
KUALA LUMPUR - Polis meminta penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak mencetuskan kekecohan pada hari keputusan rayuan terakhir Ketua Pembangkang tersebut terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya itu pada 10 Februari ini.

Kedua-dua penyokong yang ingin membuat perhimpunan, disaran membuat permohonan mengikut peruntukan yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim bagaimanapun berkata polis tetap    bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada hari berkenaan.

"Mengenai perhimpunan ini, telah ada cubaan untuk menggerakkannya melalui laman sosial dan untuk itu kekuatan anggota bergantung kepada hasil risikan sama ada perhimpunan berskala besar atau kecil.

"Saya harap perkara ini (perhimpunan) tidak akan berlaku dan saya mohon penyokong Anwar mahupun Mohd Saiful Bukhari Azlan dapat terima sebarang keputusan mahkamah secara rasional," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian dan Penerimaan Bantuan Bencana Banjir Jabatan KDNKA di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah KDN/KA Datuk Amer Awang, Timbalan Pengarah KDN/KA (Pasukan Gerakan Am) Datuk Azman Yusuf dan Komander Briged Utara Datuk Mohammad Nasir Ramli.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Feb untuk keputusan rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu  terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, enam tahun lepas. - Bernama

Nik Nazmi: Hubungan PKR, Abdul Khalid masih baik

Posted: 27 Jan 2015 05:38 AM PST


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
 
SHAH ALAM – Hubungan PKR dengan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih baik dan berjalan seperti biasa.

Ketua Angkatan Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun Abdul Khalid bukan lagi ahli PKR, pihaknya masih menghormati Abdul Khalid sebagai bekas anggota parti.

"Hari itu saya ada jumpa dia di sebuah majlis perkahwinan. Kami bersalaman dan bertegur dengan baik seperti biasa..Dia pun bekas bos (ketua) saya..

"Hubungan kami dengan dia (Abdul Khalid) macam hubungan parti dengan seorang bekas anggota parti. Tidak lebih dan tidak kurang," katanya ketika ditemui Sinar Online selepas mengadakan lawatan di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Mengulas pembabitan Abdul Khalid dalam Sidang Dun, kata Nik Nazmi, setakat ini Abdul Khalid dilihat masih tidak menunjukkan banyak campur tangan dalam persidangan lepas.

"Dalam Sidang Dewan  tempoh hari, dia datang (pada hari pertama) dan berjumpa dengan Menteri Besar baharu (Mohamed Azmin Ali), namun dia didapati tidak hadir sewaktu pembentangan di dalam Dewan tersebut.

"Buat masa ini tidak banyak pembabitan dia yang ditunjukkan di dalam Dewan," katanya lagi.

Dua pegawai tiada kaitan UPSR bocor

Posted: 27 Jan 2015 05:36 AM PST

SINAR HARIAN

Idris Jusoh
 
 
KUALA LUMPUR - Dua pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia yang digantung kerja berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, didapati tiada kaitan dengan kes itu.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kedua-dua mereka, bekas pengarah lembaga itu Dr Na'imah Ishak dan bekas timbalan pengarah operasinya Dr Wan Ilias Wan Salleh masih berkhidmat tetapi tidak lagi memegang portfolio mereka sebelum ini.

"Siasatan telah dilakukan Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam di Malaysia. Jawatankuasa itu telah menyerahkan dapatan mereka dan beliau (Dr Na'imah) didapati tidak bersalah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini, dan menurutnya begitu juga dengan Dr Wan Ilias.

Terdahulu, Idris menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Admissions Testing Service, University of Cambridge.

Keputusan untuk menggantung kedua-dua mereka diambil berikutan kebocoran soalan peperiksaan kertas Bahasa Inggeris dan Sains.

Berikutan kebocoran itu, peperiksaan UPSR bagi kertas 014/1 dan 014/2 Bahasa Inggeris dan kertas 018, 028 dan 038 Sains diadakan semula pada 30 September.

Juga didapati berlaku kebocoran soalan kertas 036 dan 037 Bahasa Tamil dan kertas 015/1, 025/1 dan 035/1 Matematik dan peperiksaan semula diadakan pada 9 Oktober.

Jawatankuasa bebas itu menyerahkan laporan berhubung peperiksaan UPSR 2014 kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan pada 21 Januari.

Dokumen diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa Tun Zaki Azmi itu antara lain mengandungi 15 cadangan untuk menambah baik peperiksaan awam, melibatkan definisi dan proses kerja daripada peringkat penerbitan, operasi dan pengurusan.

Ia juga mengandungi analisis dan penilaian proses kerja dan prosedur operasi standard peperiksaan awam yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Laporan itu menyatakan jawatankuasa bebas itu mengadakan perjumpaan sebanyak 22 kali dan memperoleh input daripada taklimat, temuramah, lawatan kerja dan orang awam.

MoA itu bertujuan menyediakan platform dan perkhidmatan penilaian berkaitan dengan pemilihan pemohon bagi program asasi dan ijazah UTP.

Naib Canselor UTP Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan Simon Beeston, Pengarah Admissions Testing Service, menandatangani perjanjian itu bagi organisasi masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan komited untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah, termasuk menjalin kerjasama dengan Cambridge University.

Beliau berkata 5,000 guru mengikuti latihan bahasa Inggeris tahun lepas.

"Kira-kira 9,500 guru sedang menjalani latihan dan sepatutnya tamat pada pertengahan tahun ini," kata Idris dan menurutnya ini akan disusuli dengan satu lagi kohort terdiri kira-kira 8,000 guru. - Bernama

Rotan: Lihat dari sudut agama, budaya

Posted: 27 Jan 2015 05:34 AM PST


Isu rotan
 
 
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (KKGDPP) membantah sepenuhnya menjadikan tindakan merotan kanak-kanak sebagai satu kesalahan jenayah.

Presidennya, Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad berkata,  pembantahan itu dibuat, kerana tindakan itu tidak  menggambarkan kehendak agama dan budaya kita.

"Kita , suarakan dikaji berdasarkan budaya dan kehendak agama.

"Perbincangan jangan di  Parlimen sahaja. Sebaliknya, kajian perlu dijalankan sebelum dilaksanakan," katanya ketika sidang media selepas Taklimat Bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di sini, hari ini.

Beliau menambah, ulasan pelbagai pihak juga perlu dipertimbangkan dalam isu ini.

"Saya rasa ulasan ahli akademik, mufti, ibu bapa, juga perlu dipertimbangkan," katanya lagi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian halusi cadangan hukuman rotan anak]

Semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan  belum memuktamadkan keputusan tersebut.

Facebook, Instragram terganggu selama sejam

Posted: 27 Jan 2015 05:32 AM PST

MALAYSIAKINI




 
 
 
Facebook dan Instagram tidak dapat diakses kira-kira satu jam hari ini, dari jam 2.10 petang hingga 3.10 petang waktu Malaysia.
 
Sambil memohon atas masalah tersebut, Facebook berkata pihaknya sedang berusaha untuk menanganinya secepat yang boleh.
 
Menurut Reuters, pengguna dari Amerika Syarikat dan India melaporkan mereka tidak dapat log masuk ke laman web itu. Pengguna Malaysia juga melaporkan masalah yang sama.
 
"Tidak jelas apa yang menyebabkan gangguan itu, yang berlaku kira-kira jam 1.10 pagi ET (jam 2.10 petang waktu Malaysia). Bagaimanapun, perkhidmatan pesanan mudah alih milik Facebook - WhatsApp - berjalan seperti biasa," kata laman web dalam talian The Next Web.
 
"Kejadian terakhir Facebook tidak dapat diakses berlaku pada bulan September, apabila rangkaian sosial itu terganggu dua kali pada bulan itu. Gangguan paling terbaru itu berlaku selama kira-kira 15 minit."
 
Wakil-wakil di Facebook tidak segera sedia untuk komen.

'Pihak tolak Pakatan yang patut keluar PAS'

Posted: 27 Jan 2015 05:31 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Pihak tidak bersetuju dengan prinsip Pakatan Rakyat yang sepatutnya keluar daripada PAS.

Begitu reaksi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang mendapat amaran bernada halau daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihak itu harus keluar parti kerana muktamar PAS sebelum ini memutuskan bersama dengan Pakatan.

"Itu keputusan PAS dan muktamar.

"Jadi siapa yang tak bersetuju dengan prinsip (bersama Pakatan), tak bersetuju dengan (keputusan) PAS maka dia kena keluar PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menjawab amaran keras Hadi kepada PasMa, Phahrolrazi berkata tidak bersetuju dengan pendapat pemimpin tidak bermakna tidak bersetuju dengan PAS.

"Tapi kalau tidak bersetuju dengan pendapat pemimpin dan sebagainya itu cuma pendapat sahaja tidak payahlah keluar PAS," ujarnya.

Hadi kelmarin dalam kenyataannya melalui laman Facebook memberi amaran supaya PasMa tidak merosakkan 'bahtera' PAS.

Beliau mengumpamakan NGO yang digerakkan anggota PAS itu seperti "menebuk kapal" sendiri dan meminta ahli pertubuhan itu meninggalkan PAS jika tidak lagi sehaluan.

Phahrolrazi bagaimanapun hari ini menjelaskan kenyataan Hadi terhadap PasMa itu tidak relevan kerana bukan semua anggota PasMa terlibat dengan PAS.

"PasMa ini NGO yang berdiri dibawah entiti berdiri sendiri, jadi tak timbul keluar masuk PAS sebab dia (PasMa) tidak pernah masuk PAS pun.

"Jadi dia (Hadi) nak tuju pada PasMa tidak relevan.

"PasMa tidak ada kena mengena dengan PAS, Hadi tuju pada ahli PAS," katanya lagi.

Sirul tak dapat apa pun, kata ibu

Posted: 27 Jan 2015 05:29 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Keluarga koperal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Altanyuta Shaariibuu menganggap bekas polis itu "dianiaya".

Ibunya Piah Samat, 74, berkata, ini kerana beliau hanya menjalankan tugas sebagai anggota polis, lapor Harakahdaily.

"Tak tahulah, hanya tuhan yang tahu hati makcik, makcik hanya berdoa kepada Allah minta dia selamat," beliau dipetik sebagai berkata.

"Lepas sembahyang makcik berdoa, ingat pada yang Satu (Allah), nak minta tolong pada siapa lagi," beliau dipetik sebagai berkata dengan nada sebak.

Akhbar web PAS itu melaporkan Piah sebagai berkata demikian ketika menerima lawatan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar di kediamannya di Bukit Gantang semalam.

Harakahdaily juga melaporkan Piah sebagai berkata, sejak gambar anak keempat daripada lapan adik beradik itu didedah, penduduk kampung sekitarnya datang memberi sokongan.

"Tapi ada juga yang kata macam-macam, ada yang kata dia kena bayar sedangkan dia tak dapat apa pun hingga makcik jadi malu nak jumpa orang," katanya sambil menitis air mata, lapor Harakahdaily.

Zaidi dakwa gaji 'ditarik balik'

Posted: 27 Jan 2015 05:15 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Bekas juruterbang pesawat pejuang TUDM, Mejar Zaidi Ahmad mendakwa gajinya sebagai seorang tentera untuk bulan Januari 'ditarik balik' oleh pihak tentera selepas didepositkan pada hari sama pada 22 Januari 2015.

Beliau menyedari perkara itu selepas meneliti penyata akaun banknya hari ini.

"Saya sahkan hari ini yang gaji bulan Januari saya tidak dibayar kepada saya.

"Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun saya pada 22 Januari tetapi dikeluarkan pada hari sama," katanya dalam kenyataan yang dilampirkan dengan penyata tersebut.

Zaidi dibuang kerja oleh tentera pada 12 Januari lalu selepas diputuskan bersalah memberi kenyataan media tentang dakwat kekal tanpa izin Majlis Angkatan Tentera.


Menurut Zaidi, tindakan itu dibuat walaupun pihak TUDM masih belum mengeluarkan surat rasmi penamatan khidmatnya sebagai seorang tentera.
 
"Sehingga kini tiada surat rasmi dari tentera udara menyatakan hukuman mahkamah tentera sudah dimuktamadkan.
 
"Tiada juga sebarang surat menyatakan saya dipecat secara rasmi dari tentera udara," katanya.
 
Secara sinis, Zaidi berkata beliau kini perlu menoreh getah untuk menyara hidupnya - satu rujukan kepada komen Facebook yang didakwa dibuat oleh seorang ahli mahkamah yang mengadili kesnya.
 
"Bermula esok, saya mungkin perlu menoreh getah atau menjala ikan untuk menyara keluarga," katanya.

Tiada krisis, kenapa perlu orang tengah?

Posted: 27 Jan 2015 05:11 AM PST


Syed Ali Alhabshee Syed Ali Alhabshee
 
 
SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat tiada keperluan untuk mana-mana pihak menjadi 'orang tengah' dalam menyelesaikan krisis antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ini jelasnya, tiada konflik dan krisis antara kedua-dua pemimpin tersebut, justeru tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Pada hemat saya, kalau tidak ada sebarang krisis, mengapa perlu ada orang tengah," katanya dalam entri terbaru dalam blognya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kesedian Menteri di Jabatan Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim baru-baru ini,  menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan krisis antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Mengulas lanjut, Syed Ali mendakwa, apa yang berlaku antara Mahathir dan Najib hanyalah komplot pihak tertentu bagi menjatuhkan pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.

"Kadangkala teguran Mahathir agak keras sengaja diperbesarkan menerusi media atau laman-laman sosial kononnya Mahathir berbalah dengan Najib.

"Saya tidak nampak berlaku sebarang krisis sepertimana digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak termasuk pihak media, malah ia sengaja digembar-gemburkan oleh pembangkang," katanya.

Menurut beliau, percanggahan pendirian Mahathir dengan Najib juga tidak sepatutnya menjadi perbahasan di kalangan pemimpin Umno, sebaliknya melihat secara positif dan tidak menjadikan laporan media sebagai sumber perbahasan.

Tiada ulasan: