"BERANI KERANA BENAR!" |
Menyelami hikmah di sebalik banjir Posted: 04 Jan 2015 11:05 PM PST Oleh AINI RASYIQAH MOHAMAD ARIP BANJIR yang didakwa sebagai terburuk dalam sejarah negara, kini menyebabkan lebih 100,000 orang terpaksa tinggal di kawasan penempatan sementara di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah. Sebagai orang Islam, kita diseru mencari hikmah daripada apa yang berlaku. Walaupun ia bencana biasa pada musim tengkujuh, sebagai umat Islam, penghayatan diri adalah elemen penting dalam menghadapi bencana alam ini. Sebenarnya banyak perkara yang perlu difikirkan dalam kita menghadapi apa jua bentuk cabaran. Jika kita sedih dengan ujian banjir yang melanda, bermakna ada hikmah lain yang Allah hendak tunjukkan untuk kita merenung kembali hal-hal yang mungkin mengakibatkan kemurkaan Allah. Fikiran yang positif adalah kunci ketenangan. Walau dalam keadaan sukar sekalipun, tidak semua orang merasai kesusahan menghadapi banjir. Itulah hikmah kelainan yang Allah beri tanda kasihnya kepada kita. Ada sebuah kisah yang mana Rasulullah s.a.w. pernah berjalan menghampiri seorang wanita yang menangisi kematian anaknya. Baginda berkata kepada wanita itu, "Takutlah kepada Allah dan bersabarlah. Lalu wanita itu berkata, "Engkau tidak merasakan apa yang aku alami." Ketika Rasulullah berlalu pergi dari situ, seorang sahabat telah berkata kepada wanita tersebut, "orang yang menasihati kamu tadi ialah Rasulullah. Lantas dia terkejut lalu segera pergi ke rumah baginda dan berdiri di pintu rumahnya. Wanita itu berkata,"wahai Rasulullah, tadi aku tidak mengenalmu, sekarang aku sabar. Lalu Rasulullah bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: " Sabar itu di awal musibah." Tidak mudah untuk mendapatkan hikmah daripada segala kesusahan kerana ganjaran pahala Allah adalah sesuatu yang istimewa. Kesabaran yang tinggi dan di awal waktu itulah pintu segala nikmat kesusahan. Hikmah lain di sebalik musibah adalah penghapus dosa. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sungguh pahala yang besar itu bersama dengannya ujian yang besar. Wajar sahaja kita memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan didiklah hati ini supaya mudah terima segala ujian dan dugaan. Apabila Allah menyintai seorang mahkluk-Nya, Dia memberikan ujian kepadanya, barangsiapa yang reda, maka Allah reda kepadanya, dan barang siapa yang murka, maka Allah murka padanya." (Hadis riwayat al-Tarmizi) Jika direnung, ujian itu tidaklah berat daripada apa yang menimpa umat Islam dahulu, contoh seperti Sumayyah seorang srikandi Islam yang ditusuk kemaluannya oleh Abu Jahal adalah kisah yang sangat sedih untuk diteladani. Rasulullah bersabda: "Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah." Rriwayat Muslim) >> Penulis adalah siswi Universiti Sains Islam Malaysia |
Posted: 04 Jan 2015 10:46 PM PST Oleh KHARIUL AZHAR IDRIS PADA umumnya, musibah atau bencana ialah sebarang kejadian yang berlaku secara tiba-tiba dan tanpa diundang serta mendatangkan pelbagai kesusahan dan gangguan, kerugian dan kepayahan, malah juga kecederaan dan kematian. Ia adalah di luar jangkauan pemikiran dan kawalan manusia. Malah, ia juga akan mendatangkan banyak kesan yang negatif, bukan sahaja kepada persekitaran kehidupan, tetapi juga kepada individu dan masyarakat. Hakikatnya, musibah dan bencana akan sering berlaku dalam kehidupan. Inilah sebenarnya takdir dan ketentuan Allah. Allah berfirman dalam surah al Baqarah, ayat 155-157 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, merasai kelaparan, dan berlakunya kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata, sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada-Nya jualah kami kembali." Ayat ini menyatakan bahawa di dalam kehidupan akan terdapat pelbagai musibah sebagai ujian kepada manusia. Malah ujian dan musibah adalah sesuatu yang perlu mereka terima sebagai rencah kehidupan. Mereka juga dituntut untuk menerima dan melaluinya dengan penuh kesabaran. Kesabaran itu perlu sebagai membuktikan bahawa mereka ialah insan lemah, kesabaranlah yang akan memberi kekuatan kepada mereka untuk menjadi hamba Allah yang ikhlas dan bertakwa. Gambaran sabar itu ialah tabah dan tenang ketika ditimpa musibah dengan menyerahkan diri dan urusan kehidupan hanya kepada Allah sahaja tanpa ada rasa menyesal dan duka, ataupun putus asa. Sifat sabar adalah dituntut untuk diamalkan dalam kehidupan, manakala sifat duka lara dan bersedih hati serta gundah gulana adalah amat dilarang. Sifat hati yang mudah luntur dan bersedih ketika ditimpa musibah dan bencana adalah satu sifat yang amat lemah, malah ia akan melemahkan manusia dan menjadikan mereka itu berterusan di dalam keadaan yang lemah dan tidak produktif. Sesuai dengan kejadian setiap manusia, bahawa mereka itu dijadikan amat lemah, tidak tetap pendirian, dan mudah terpedaya pada ketika susah dan senang, serta sentiasa berhajat kepada Allah dalam setiap masa. Lantaran itu, dengan sifat sabar, mereka mampu untuk berserah kepada Allah. Bersabar akan membuatkan mereka memperoleh ketenangan, lalu ketenangan itu akhirnya akan memberi kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dan mampu untuk terus beribadah kepada-Nya. Kajian sains menunjukkan bahawa sifat sabar hanya akan terbentuk dan berkembang sesuai dengan tahap kematangan umur, pemikiran dan pengalaman individu terhadap persekitaran dan perhubungannya dengan masyarakat. Ia juga tidak akan tercapai tanpa pendidikan dan latihan pengukuhan yang sempurna dan teratur. Malah, sejak lahir, tiada istilah sabar dalam diri manusia. Boleh dikatakan, manusia dilahirkan tanpa sifat sabar dalam diri mereka. Oleh itu, dari manakah mereka memperoleh sifat sabar ini? Di manakah mereka perlu belajar untuk menjadi sabar? Bahagian otak manusia yang berkaitan dengan sikap sabar dikenali sebagai lateral prefrontal cortex. Bahagian otak paling hadapan ini memiliki tahap perkembangan dan kematangan yang agak lambat berbanding dengan mana-mana bahagian lain otak manusia seperti bahasa dan persepsi. Oleh yang demikian, ia menjadikan sifat sabar ini merupakan satu sifat yang amat sukar sekali untuk dipelajari, diamalkan dan dilaksanakan oleh mana-mana individu. Namun, manusia boleh belajar dan menerima tazkirah. Atas faktor ini, al Quran seringkali mengingatkan manusia agar sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan, dan mereka perlu belajar untuk menjadi sabar. Tetapi bagaimana untuk menjadi sabar? Junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah kepada umat manusia sebagai pemberi rahmat kepada seluruh alam. Bersesuaian dengan tarikh kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal setiap tahun, terpancar jugalah sikap dan amalan baginda dalam mendidik diri dan tingkah laku sabar dalam kehidupan. Telah terpampang di depan mata kita sikap sabar baginda yang perlu kita contohi dan pelajari serta diamalkan dalam kehidupan kita sendiri, lebih-lebih lagi ketika ditimpa bencana dan musibah. Baginda telah banyak menunjukkan sikap sabar ketika menjalankan dakwah di Kota Mekah, Madinah dan lain-lain. Lebih-lebih lagi bagaimana sikap sabar baginda ketika berhadapan dengan pihak lawan. Selain anjuran untuk bersifat sabar dan menjauhkan diri daripada bersikap sedih serta berputus asa di saat-saat ditimpa musibah dan bencana, manusia juga seringkali diingatkan bahawa musibah dan bencana bukan sesuatu yang kekal lama. Ia hanya sementara. Ia akan sering disusuli dengan rahmat dan keampunan yang bertitik-tolak daripada amalan sikap sabar itu juga. Bersabar akan menjadikan manusia lebih rasional dan matang. Malah bersabar akan menjadikan mereka lebih bekerjasama dan tolong-menolong. Malah, sesuatu yang lebih baik ialah bersabar akan menjadikan mereka lebih hampir dengan janji Allah iaitu balasan syurga. PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM. |
You are subscribed to email updates from BERANI KERANA BENAR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan