Mustafa Ali - Foto Sinar Harian oleh Zulfadli Ahmad Zaki Mustafa Ali - Foto Sinar Harian oleh Zulfadli Ahmad Zaki
 

SHAH ALAM - Semua peringkat kepimpinan Pas digesa menghentikan perbincangan mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan mesyuarat Pas Pusat mengenai perkara itu bulan depan, lapor sebuah portal.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap perkembangan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang mendapat reaksi daripada pelbagai peringkat kepimpinan Pas dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

"Sebahagian daripada reaksi tersebut telah melanggar etika berikhtilaf yang tidak selari dengan etika berbeza pendapat dalam jamaah dan ini menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap parti," katanya.

Terdahulu, analisis senario politik PR di Selangor yang ditulis Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki  di komunikasi Whatsapp grup AJK Pas Pusat bocor kepada umum.

Ekoran pendedahan itu, PKR meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pendirian sama ada akan mengenakan tindakan disiplin ke atas Dr Zuhdi kerana mengutarakan cadangan yang didakwa mengkhianat PR.

Dalam perkembangan berkaitan, DAP turut mengecam tindakan itu dan menyeru pimpinan Pas Pusat mengambil satu pendirian tegas menolak cadangan Dr Zuhdi dan mengambill tindakan sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong PR di seluruh negara terhadap Pas.

Sementara itu, Mustafa berkata,   tidak seharusnya berlaku kenyataan dalam banyak hal yang menyerang peribadi antara satu sama lain dalam kalangan pemimpin Pas.

"Kita harus kembali kepada adab berikhtilaf atau berbeza pendapat yang harus dijurus dan diuruskan mengikut tatasusila kaedah kita berjamaah," ujar beliau lagi.

Justeru, beliau merayu kepada semua peringkat kepimpinan parti supaya perbezaan pandangan dan pendapat tidak diluahkan secara terbuka dan bebas sehingga boleh menjejaskan kredibiliti parti kepada pandangan umum.

"Kita ada saluran-saluran yang telah ditetapkan dalam parti di mana pandangan-pandangan itu boleh disalurkan pada waktu itu," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Mustafa menambah, Pas telah memutuskan isu berkaitan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dalam mesyuarat Pas Pusat pada 10 Ogos nanti.

"Oleh kerana itu, semua pihak harus bersabar menunggu keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat tersebut," katanya lagi