DIALOG RAKYAT |
- Anwar kurang sepucuk surat lagi
- Poll: 62% mahu Khalid dilantik MB semula jika DNS bubar
- MH17: "Ia Adalah Serangan Roket" - PBB
- Jakim tidak lantik pihak ketiga untuk pensijilan halal
- Aliran trafik lancar
- DAP tidak ingin pemimpin rasis seperti Zuhdi dalam PR
- Jika persetujuan itu membawa keburukan, elok jangan di laksanakan
- Pertukaran Khalid: Anwar dedah cerita sebenar
- Pelampau agama, rasis dilarang masuk Sarawak
- Sarawak mahu perhatian seperti Sabah
- Polis Belanda Terima 150 Imej, Video Nahas MH17
- Hamas Tolak Gencatan Senjata Di Gaza
- Azizulhasni hasrat lelong pingat untuk kerja amal
- Kebakaran: 25 rumah setinggan musnah
- Pemandu bot maut langgar batang kelapa
- Berhenti bincang, tunggu mesyuarat 10 Ogos
Anwar kurang sepucuk surat lagi Posted: 29 Jul 2014 10:04 PM PDT Oleh Timmy Say Strategi umum dulu baru cari jalan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu jalan buntu lagi kali ini. Selepas episod September 16, kali ini ialah Langkah Kajang. Di dalam PKR, sebenarnya taktik yang sama juga digunakan, tetapi ia tidak gagal. Ini kerana PKR di bawah kawalan penuh Anwar yang berpangkat Ketua Umum. PRK Kajang Umpamanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang terpaksa diadakan apabila bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Adun secara mengejut. Hendak tak nak, Speaker Selangor Hannah Yeoh menerima peletakan jawatan Lee dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas SPR dimaklumkan. Hanya segelintir sahaja dalam PKR tahu mengenai PRK Kajang yang menjadi loncatan kepada Langkah Kajang. Yang lain terpinga-pinga mencari jawapan, kononnya ini operasi rahsia tertinggi parti. Tiada apa yang boleh dibuat kerana Lee sudahpun meletakkan jawatan. Sudi tidak sudi, PAS dan DAP kena telan bahawa PRK Kajang harus berlaku meskipun rakyat Selangor tidak bersetuju dengan langkah tersebut. Rakan-rakan Pakatan Rakyat dipaksa 'endorse' Langkah Kajang dan memberikan sokongan sepenuhnya, termasuklah jentera pilihan raya. Oleh kerana kerusi itu milik PKR, maka PAS dan DAP menyokong siapa yang dicalonkan PKR. Itu semangat ukhuwah daripada PAS dan DAP. Tetapi jika diberi pilihan samada Lee perlu letak jawatan mahupun tidak, sudah tentu ada yang menyokong Lee untuk kekal sebagai Adun. Tapi PKR tidak mahu melalui proses itu, oleh itu mereka mendapatkan Lee untuk meletakkan jawatan terlebih dahulu. Biarlah seribu yang membantah, PRK Kajang tetap berjalan kerana surat peletakan jawatan Lee sudah ada di tangan. Itu hebatnya taktik politik PKR di sini. Jawatan menteri besar Selangor Dalam percubaan menukar menteri besar Selangor, taktik yang sama cuba digunakan oleh Anwar. Umumkan dahulu, lepas itu baru cari endorsement untuk gantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail – tidak kisahlah pandangan rakyat, pandangan rakan di dalam Pakatan Rakyat mahupun pandangan istana macam mana. Kerusi MB ini milik PKR, itulah tanggapan mereka. Oleh itu, mereka berhak melakukan apa sahaja dan yang lain kena angguk dan jangan banyak soal. Soal kebolehan Wan Azizah langsung tidak dibicara. Apakah benda baru yang boleh dibawa tidak diketahui. Dijanji ekonomi negeri boleh bertambah kukuh dengan pertukaran tersebut, tetapi tidak dimaklumkan bagaimana. Jika Khalid dapat menyimpan lebih RM3 billion dalam 6 tahun, apakah Wan Azizah dapat meningkatkan simpanan itu dengan lebih cepat? Ini juga satu persoalan yang tidak dijawab. Yang penting, tukar dulu. Yang lain fikir kemudian. Kemungkinan Wan Azizah akan jadi lebih hebat daripada Khalid kerana lepas ini wujud pula jawatan de facto Selangor MB ataupun Ketua Umum Selangor yang mengatasi kuasa menteri besar sendiri. Ini cuma barangkali, tapi yang pasti tanggapan ini ada di setiap minda rakyat Selangor yang biasa. Kekurangan satu surat Sehingga kini, strategi politik Langkah Kajang Anwar belum berjaya. Ini kerana Anwar kekurangan sepucuk surat. Iaitu surat peletakan jawatan Tan Sri Khalid. Tanpa surat itu, kerusi MB tidak kosong. Oleh itu, segala perbincangan seterusnya hanya membazir masa termasuklah usaha-usaha mendesak rakan parti untuk menerima cadangan PKR. Tanpa surat tersebut, apa-apa pendirian rakan Pakatan Rakyat sebenarnya tidak bermakna dan tiada impak kerana kerusi MB masih ada tuannya yang sah. Jadi, usah salahkan rakan parti kerana Langkah Kajang masih menemui jalan buntu. Seperti Lee Chin Cheh, Khalid adalah orang PKR. Hanya PKR boleh mendapat surat peletakan jawatan daripada mereka berdua tanpa melalui rakan-rakan lain di Pakatan Rakyat. Kalau PKR dapat surat tersebut, bukan sahaja PAS dan DAP perlu akur, istana Selangor pun kena terima. Dan 'terima' di sini bermaksud bersetuju MB ditukar kerana MB lama dah tidak mahu bekerja – dan bukan 'terima' dalam erti kata disampaikan khabar. Masa itu, tiada siapa lagi yang akan berbicara untuk Khalid kekal sebagai MB kerana Khalid sudah letak jawatan. Yang dibincangkan hanyalah siapa yang harus menggantikan Khalid. Ketika itu, perbincangan antara tiga parti barulah bermakna kerana kerusi MB sudah kosong. Ada satu lagi surat Pada minda rakyat biasa, tertanya-tanya bukankah burung satu di tangan (bekerjasama dengan Khalid sebagai penasihat ekonomi Selangor untuk menguatkan PKR) lebih baik daripada hilang segalanya. Mungkin. Tapi mungkin juga ada benda yang lagi besar akan hilang daripada gengaman Anwar dan PKR sekiranya Khalid terus menjadi MB. Malangnya, bab ini hanya Anwar dan PKR sahaja yang tahu. Langkah Kajang, setahu penulis, masih hidup meskipun Anwar akan gagal mendapat surat peletakan jawatan Tan Sri Khalid. Ini kerana Anwar masih ada pilihan untuk keluarkan surat sendiri untuk menyahkan Khalid dari PKR. Jika Khalid bukan lagi ahli PKR, penulis tidak pasti samada kerusi MB itu masih akan kekal berada di tangan PKR. Meskipun risiko ini terlalu tinggi kerana susah untuk mengagak apa yang bakal berlaku seterusnya, tetapi langkah ini penulis percaya kini menjadi pertimbangan serius para pemikir Anwar. Ini sekadar spekulasi penulis. Fokus Raya dulu. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. | |||
Poll: 62% mahu Khalid dilantik MB semula jika DNS bubar Posted: 29 Jul 2014 09:53 PM PDT Oleh: NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM :61.85 peratus pembaca portal Astro Awani, www.astroawani.com mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor jika mereka diberi mandat semula melalui satu Pilihan Raya Negeri. Undian yang dilancarkan sejak kelmarin itu juga menunjukkan 9.07 peratus memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 4.62 peratus memilih Iskandar Samad (ADUN Cempaka) dan 4.58 peratus lagi Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa). Sementara itu, 19.94 peratus lagi menjawab 'bukan yang di atas' bagi soalan 'siapa patut jadi MB Selangor' (jika DUN Selangor bubar) itu. Bagi soalan 'adakah wajar bagi DUN Selangor dibubar untuk mendapat mandat baru rakyat' sebanyak 65.68 peratus menjawab tidak perlu berbanding 34.32 peratus lagi bersetuju dibubarkan. Sementara itu, bagi soalan ketiga pula 50.52 peratus percaya Pakatan Rakyat (PR) akan berpecah selepas sambutan Aidilfitri kali ini berikutan kemelut Menteri Besar Selangor itu berbanding 31.72 peratus menjawab 'tidak' dan 18 peratus lagi tidak tahu. Undian berkenaan adalah tinjauan umum kedua dijalankan sejak tercetusnya kemelut kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Sebelum ini, kedudukan terkini 'polling' yang dijalankan poll.pollcode.com sejak 23 Julai lalu, seramai 5,758 atau 82 peratus memilih Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor berbanding seramai 661 orang atau sembilan peratus mahukan Wan Azizah menggantikan Abdul Khalid. Keputusan terkini itu menunjukkan peningkatan sokongan terhadap Abdul Khalid apabila 2,983 undi memilih beliau setakat jam 9.00 pagi, pada 24 Julai lalu. Keputusan terkini juga menunjukkan seramai 126 orang atau dua peratus dalam 'polling' sama pula memilih Mohamed Azmin dan 499 (7 peratus) lagi memilih DUN Selangor dibubarkan.-NFN- | |||
MH17: "Ia Adalah Serangan Roket" - PBB Posted: 29 Jul 2014 09:42 PM PDT ANTARAPOS.COM KIEV: Analisis kotak hitam daripada pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 menunjukkan ia terhempas musnah akibat serangan roket yang menyebabkan 'letupan besar-besaran'. Kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serangan itu kini disiasat sebagai jenayah perang. Kiev dan Barat menuduh pemberontak pro-Rusia menembak jatuh kapal terbang berkenaan dan Kesatuan Eropah (EU) merangka sekatan lebih keras terhadap Rusia. Antara sekatan yang dipertimbangkan ialah terhadap sektor ekonomi termasuk sekatan senjata. Moscow, bagaimanapun menyifatkan langkah yang dilakukan EU itu sebagai 'tidak bertanggungjawab'. Ia berkata kerajaan Ukraine perlu bertanggungjawab terhadap serangan ke atas pesawat MH17 yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal. Jurucakap Majlis Keselamatan Ukraine, Andriy Lysenko, pada sidang akhbar di sini berkata, pakar-pakar yang menganalisis perakam dari pesawat itu membuat kesimpulan bahawa serangan roket menjadi punca MH17 terhempas di wilayah pemberontak di timur Ukraine pada 17 Julai lalu. Britain ditugaskan untuk memuat turun data dari kedua-dua kotak hitam yang ditemui di lokasi nahas. | |||
Jakim tidak lantik pihak ketiga untuk pensijilan halal Posted: 29 Jul 2014 09:40 PM PDT ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menjalankan aktiviti pensijilan halal serta konsultasi pensijilan halal. Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata sebarang permohonan sijil halal sama ada untuk produk termasuk premis perniagaan mesti dibuat oleh peniaga sendiri dan hanya Jakim layak mengeluarkan sijil itu. "Kita dapati ada pihak yang mendekati peniaga atau syarikat dan mengaku sebagai pihak ketiga yang dilantik Jakim atau Jain, dan ini tidak betul. "Perlu diingat setiap pemohon bagi sijil halal mesti datang sendiri ke pejabat Jakim atau Jain. Jangan percaya pihak ketiga yang mungkin menipu termasuk dari segi bayaran permohanan," katanya kepada Bernama. Jelasnya pihak tidak bertanggungjawab itu antara lain memperdaya peniaga dan syarikat dengan menyatakan kononnya bayaran permohonan sijil halal Jakim atau Jain mahal berbanding kadar yang dikenakan mereka. Tambah Hakimah bayaran yang dikenakan ialah RM200 bagi industri kecil, RM800 bagi perusahaan kecil dan sederhana, dan RM1,400 bagi syarikat multinasional. Bayaran RM200 pula dikenakan bagi permohonan dari premis makanan atau restoran. "Ini tidak mahal sebab pemohon boleh kemukakan seberapa banyak produk yang mereka mahu pengesahan halal dalam setiap permohonan," katanya. Bagaimanapun, Hakimah berkata sijil halal yang dikeluarkan adalah sah untuk tempoh dua tahun dan tiada pemulangan bayaran dibuat kepada mana-mana peniaga atau syarikat yang gagal dalam permohonan mereka. Dalam pada itu, katanya lagi adalah menjadi satu kesalahan untuk peniaga atau syarikat membuat iklan memaklumkan mereka sedang dalam proses memohon pensijilan halal Malaysia. Tindakan itu salah mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) kerana ia mengelirukan pengguna. Kes seumpama itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan serta tindakan memandangkan Akta 730 terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan. Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala penalti untuk pertubuhan dan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000. Belum ada mana-mana individu atau syarikat setakat ini dikenakan tindakan berhubung iklan seperti itu, katanya sambil menambah pihaknya menerima kira-kira12,000 aduan berkaitan salah laku iklan setiap tahun. | |||
Posted: 29 Jul 2014 09:39 PM PDT ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di semenanjung dilapor lancar setakat jam 9 pagi ini. Jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS Expressway berkata trafik menuju ke selatan dari plaza tol Sungai Besi dilapor bergerak lancar. "Satu kemalangan berlaku di KM 94.9 dari Sungai Petani ke Gurun namun trafik tetap lancar," katanya. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) juga lancar setakat 9 pagi ini. Twitter LLM melaporkan satu kemalangan berlaku di KM 42.8 dari Sedenak ke Simpang Renggam namun aliran trafik lancar selepas insiden itu diselesaikan. | |||
DAP tidak ingin pemimpin rasis seperti Zuhdi dalam PR Posted: 29 Jul 2014 09:38 PM PDT ANTARAPOS.COM SHAH ALAM: DAP menyifatkan pandangan yang dilontarkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS ( PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki melalui mesej WhatsApp yang terdedah dan tersebar di laman sosial sejak kelmarin mempunyai unsur perkauman. Setiausaha Publisiti parti itu Tony Pua mempertikaikan isi kandungan mesej Zuhdi yang berbunyi "DAP, gereja dan non-Muslim melalak isu serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka" dan "Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini". Justeru beliau menggesa Zuhdi yang dianggapnya sebagai berfikiran sempit mengeluarkan kenyataan seperti itu untuk membuat permohonan maaf kepada rakyat secara terbuka. "Isunya bukan sama ada perbincangan Zuhdi dalam WhatsApp adalah sulit, atau "senario", atau pendirian peribadi. "Isunya ialah Zuhdi membongkarkan fikiran dan sifat rasis dan ekstremis beliau dalam analisanya. "Oleh sebab itu, nama beliau masih tidak dapat dibersihkan daripada tanggapan buruk pelbagai golongan," kata Pua menerusi kenyataannya semalam. Pada masa yang sama, Pua mahu PAS mengambil tindakan tegas terhadap pemimpinnya seperti Zuhdi supaya nama baik PAS yang berslogan "PAS for All" tidak tercemar. "Kalau pemikiran yang rasis dan ekstremis tersebut tidak dikesali, kami tidak beringin Zuhdi terus berada dalam Pakatan Rakyat, mahupun beliau mungkin tidak berniat keluar," jelasnya. Zuhdi dalam akaun Facebook menafikan dirinya pencetus cadangan supaya PAS keluar Pakatan Rakyat dan bergabung dengan Umno membentuk kerajaan perpaduan (UG) demi mengekalkan kuasa Melayu-Islam di Selangor. Katanya, analisis senario sebaliknya dibuat berdasarkan permintaan ahli kumpulan WhatsApp itu yang mahu membayangkan kemungkinan jika PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) dan kesannya kepada Selangor. "Untuk melakukan analisis senario ini, selain daripada memerlukan fakta-fakta semasa, daya imaginasi penganalisis juga harus diambil kira," katanya. Zuhdi yang lantang mengkritik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Facebook mendakwa usulnya kemudian disokong kuat lebih 10 orang ahli dalam kumpulan WhatsApp itu yang mana sebahagian besar daripada mereka amat rapat dengan Anwar. Namun penjelasan Zuhdi itu disanggah Pua kerana baginya, apa yang menjadi amarah adalah isi kandungan mesej bukannya pembentangan analisis tersebut. Menurut Pua, walaupun ramai yang akan rasa kecewa jika PAS memutuskan untuk bercerai dengan PKR dan DAP, tetapi pendirian Zuhdi untuk keluar atau kekal dalam PR bukan tumpuan utama kritikan. | |||
Jika persetujuan itu membawa keburukan, elok jangan di laksanakan Posted: 29 Jul 2014 05:03 PM PDT WhatsApp salah seorang pemimpin tinggi PAS yang telah bocor yang mahukan PAS keluar dari Pakatan Rakyat sedang menjadi isu besar yang di gunakan oleh PKR dan DAP terhadap PAS. Isu ini menambahkan kebarangkalian perpecahan dalam Pakatan Rakyat lanjutan dari isu usaha Anwar mahu menukar Menteri Besar Selangpr dengan isterinya sendiri. Ini isu yang agak besar 'consequence' nya jika ia tidak ditangani dengan cepat dan betul. Apakah dia tindakan yang betul dan tepat itu biarlah masing-masing pihak menentukannya kerana perbezaan dan pertelingkahan dikalangan pemimpin dalam Pakatan Rakyat sekarang bertambah besar. Kita tidak tahu apa yang tepat kepada PKR dan PAS mahu pun DAP. Tetapi pandangan yang tidak sepertinya dari orang seperti saya tindakan yang tepat itu ialah dengan membatalkan sahaja niat Anwar meletakan isterinya itu sebagai MB Selangor. Biarkan 'status quo' berjalan seperti biasa. Parti ada hak untuk menentukan siapa Menteri Besar selepas pilihanraya umum yang akan datang. Tetapi keadaan ini payah untuk diperbetulkan lagi kerana setiap pemimpin dalam Pakatan dan yang terakhir sekali ialah serangan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Seremban, Loke terhadap PAS semalam. PKR dan PR sudah tiada masa untuk menumpukan terhadap isu negara. PKR dan DAP sedang menumpukan masa dan tenaga mereka untuk menegakkan benang basah mereka sambil mendesak PAS mengambil tindakan terhadap Mohd Zuhdi Marzuki, pengarah 'operation research centre' PAS yang memberikan respond kepada whatsApp rahsia seorang pemimpin tertinggi PAS. Walaupun Zuhdi tidak menyokong tindakan keluar dari PR tetapi beliau mempunyai imaginasi yang jika PAS keluar dari Pakatan Rakyat, PAS boleh kekal sebagai pemegang kuasa tetapi kali ini bersama UMNO dan Khalid pun diterima oleh UMNO jika dijadikan Menteri Besar terus-terusan. Kenyataan Zuhdi yang ini merupakan cara untuk mengekalkan kuasa politik Melayu dan Islam dan dengan kuasa yang diperolehi dengan undi kemenangan yang simple dalam DUN Selangor itu boleh menyelesaikan banyak masalah orang Melayu Islam. Kuasa ini boleh dikekalkan dengan melakukan perubahan kawasan pilihanraya tahun hadapan yang memberikan keuntungan kepada Melayu, dan ia tentulah memberikan keuntungan kepada PAS juga. Ramai dikalangan pemimpin PKR dan DAP begitu berang dengan kenyataan Mohd Zudi ini dan mahu PAS mengambil tindakan terhadap pengarah operasi 'research Centre' PAS ini. Apa yang disebut oleh pemimpin PAS ini sememangnya perasaan dan pandangan pihak bawahan (rakyat) yang ramai ini. Sesungguhnya PAS sememangnya tidak sesuai dengan DAP kerana banyak perkara yang bersalah-salahan diantara kedua pihak dalam isu agama dan kerajaan Islam yang doperjuangkan oleh PAS itu. Perasaan saling tidak mempercayai diantara satu dengan yang lain itu memangnya wujud selama ini, tetapi kerana keterdesakan masing-masing bekerjasama untuk mendapatkan kuasa kerajaan diPutrajaya. PAS mulai sedar yang mereka telah diperkudakan oleh pihak yang tidak mahu Islam itu diutamakan. Apabila sudah berlaku perselisihan ini secara terbuka maka ramai diantara ahli-ahli PAS dan mungkin pemimpinnya sekali yang kerjasama dengan UMNO itu merupakan jalan yang terbaik, jika tidak dapat melaksanakan hukum islam itu setidak-tidaknya serangan terhadap hukum islam itu akan berkurangan dari UMNO, kerana sebusuk-busuk UMNO mereka adalah Islam yang boleh bercakap tentang isu kerajaan islam itu. Busuk-busuk bau UMNO itu ia adalah bau orang Melayu islam juga. Carik-carik bulu ayam, lama kelamaan bercantum juga akhirnya. Cincang air tidak akan putus. Jika perjuangan untuk islam itu adalah lebih baik dengan UMNO kata setengah orang PAS sekarang ini kerana jika diminta dari DAP untuk membantu usaha PAS dalam hal islam ini tidak mungkin diperolehi. DAP pernah bercakap yang mereka tidak akan menyokong perjuangan Islam PAS itu, dan ada pemimpin parti itu berkata perjuangan islam itu akan hanya boleh dilakukan 'over his dead body' dan berbagai-bagai lagi. Semua perlu ingat penyatuan Melayu itu adalah perkara yang amat di geruni oleh setengah pihak dalam Pakatan Rakyat itu. Apa yang dirasakan oleh setengah pimpinan PAS yang mengekalkaan kuasa di Selangor dengan UMNO itu mungkin jalan yang terpaksa diambil kerana kerjasama dengan PKR, lebih-lebih lagi dengan DAP itu merupakan kerjasama yang tidak mantap kerana terlalu banyak perbezaan dari 'attribute' parti-parti itu yang bertentangan dengan PAS. Tuduhan PKR yang PAS memungkiri janji yang telah secara senyap-senyao dipersetujui diantara parti-parti dalam PR itu tidak perlu dijadikan halangan untuk membuat apa-apa tindakan untuk PAS untuk kepentingan Melayu Islam tadi. Jika ada perjanjian yang boleh memudharatkan keadaan negara dan Islam itu yang belum terlaksana tidak ada sebab PAS tidak boleh mengubahnya jika didapati perjanjian itu adalah perjanjian yang memungkinkan membawa kerosakan bangsanya sendiri, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan agamanya. Jika ada persetujuan unyuk membunuh seseorang misalnya, maka kita boleh menarik balik persetujuan itu kerana membunuh itu adalah kesalahan. Begitu juga dengan PAS jika dilaksanakan perjanjian atau 'understanding' yang belum terlaksana, PAS boleh untuk tidak menghormatinya jika ia membawa mudarat kepada kepada kerajaan dan rakyat Selangor yang sudah tersedia baik sekarang ini. Hanya jika PAS berbincang untuk bersama kepimpinan pusat UMNO hari ini sahaja yang memungkinkan tindakan itu sebagai tindakan yang salah kerana tidak mungkin PAS boleh memperbaiki akhlak pimpinan UMNO terutamanya diperingkat pucuk pimpinannya. PAS boleh memainkan peranan untuk membetulkan UMNO itu sendiri jika parti ini seriius untuk membawa perubahan yang sejati. Alang-alang sudah berada dalam situasi sebegini, PAS boleh membawa perubahan itu kerana parti itu (PAS) merupakan parti yang sangat ber 'consequence' sekarang ini. PAS boleh bersama setengah pimpinan UMNO memainkan peranan untuk melihat 'new politics' di negara kita yang amat memerlukan perubahan ini. Blog ini tidak pernah jemu menyebut isu perubahan yang drastik yang membawa kebaikan hakiki untuk semua bangsa dan negara kita ini. | |||
Pertukaran Khalid: Anwar dedah cerita sebenar Posted: 29 Jul 2014 04:56 PM PDT Pertukaran jawatan Menteri Besar ini merupakan kesinambungan Langkah Kajang yang diputuskan secara muktamad oleh pimpinan PKR sejak 15 Januari lalu. PETALING JAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya semangat muafakat dalam Pakatan Rakyat akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat. Menurutnya, pertukaran jawatan Menteri Besar ini merupakan kesinambungan Langkah Kajang yang diputuskan secara muktamad oleh pimpinan PKR sejak 15 Januari lalu. "Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri telah dimaklumkan semenjak Mac 2014 dan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah telah pun dikemukakan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu," katanya dalam satu kenyataan. Sebelum ini, Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa jawatan Menteri Besar yang baru akan digantikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Walaubagaimanapun, cadangan daripada PKR itu telah mendapat tentangan daripada pucuk pimpinan dalam PAS. Semalam Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada sebab Khalid perlu digugurkan setelah sepenggal beliau memimpin dengan cemerlang dan terus meningkat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu. Katanya, persoalan sama ada Khalid wajar digugurkan kerana kelemahan pentadbiran perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat sebelum isu pengganti dibincangkan. "Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai," katanya yang kecewa bulan Ramadan dijadikan masa untuk berpolemik. | |||
Pelampau agama, rasis dilarang masuk Sarawak Posted: 29 Jul 2014 04:53 PM PDT Kisah-kisah peperangan dan pembunuhan antara sesama agama dan sebangsa di negara-negara luar yang terpampang di kaca televisyen dan surat khabar menginsafkan bahawa betapa bernasibnya rakyat Sarawak di Bumi Kenyalang Ketua Menteri Adenan Haji Satem berkata, pendirian tegas itu bagi memastikan elemen-elemen negatif itu tidak menjejaskan keharmonian agama dan sosial di Sarawak. "Kita mampu mengekalkan keharmonian agama dan sosialnya kerana rakyat mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap rakan-rakan yang tidak seagama dan sebangsa. "Umat Islam hendaklah terus menunjukkan bahawa mereka sentiasa berpegang kepada keserdahaan atau Wassatiyah dalam setiap aspek kehidupan dan pandangan mereka. "Konsep Wassatiyah adalah jalan ke arah masa hadapan yang lebih cerah kepada umat Islam di negeri ini dan juga kepada penganut-penganut agama lain," katanya dalam ucapannya sempena hari raya. Beliau berkata, keharmonian tersebut terus diperkukuhkan dengan sikap keserdahanaan anak-anak Sarawak dalam pelbagai aspek kehidupan harian mereka. Menurut Adenan, kisah-kisah peperangan dan pembunuhan antara sesama agama dan sebangsa di negara-negara luar yang terpampang di kaca televisyen dan surat khabar menginsafkan bahawa betapa bernasibnya rakyat Sarawak di Bumi Kenyalang. "Semangat perpaduan antara rakyat pelbagai agama dan keturunan yang telah dibina bersama di negeri ini menjadi kebanggaan kita. Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi itu bukan bermakna kita tidak mampu mencapai kesepakatan," jelasnya. Usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar Toleran membawa maksud masih terdapat elemen 'terpaksa'. Kita bukan setakat toleran terhadap orang yang berbeza dengan kita tetapi seharusnya menghormati perbezaan mereka dengan kita dari segi pegangan agama, budaya dan latar belakang keturunan, ujarnya. Dari segi ekonomi, kata Adenan, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar, antara orang berada dan kurang berada. "Negeri ini mempunyai banyak sumber asli yang telah dibangunkan secara tersusun untuk mengangkat status ekonomi dan taraf hidup rakyatnya. "Persoalan yang harus dititikberatkan ialah kaedah dan cara pembahagian kekayaan yang akan merapatkan jurang-jurang ini supaya taraf hidup rakyat mampu dipertingkatkan dengan lebih adil dan saksama," katanya. | |||
Sarawak mahu perhatian seperti Sabah Posted: 29 Jul 2014 04:49 PM PDT Miri dan seluruh utara Sarawak seolah-olah tidak mendapat perhatian dari pihak Persekutuan dari segi mempromosikan pelancongan. MIRI: Hartawan terkemuka Lau Siu Wai, 84, menggesa pihak berkuasa pelancongan Persekutuan untuk memberi perhatian kepada Sarawak, terutamanya kawasan utara, seperti mana ia memberikan perhatian kepada Sabah dari segi promosi di luar negara. Lau, yang juga pengerusi Kumpulan Perumahan Miri, berkata berdasarkan maklum balas, ia seolah-olah seperti Sabah telah mendapat "majoriti saham" dalam promosi antarabangsa berbanding dengan apa yang diperuntukkan kepada Sarawak. "Terdapat keperluan untuk memberi perhatian kepada Miri dan seluruh Sarawak dalam ekspo pelancongan antarabangsa," katanya. Beliau mengulas sesi perbincangan beliau yang diadakan baru baru ini tentang cara-cara untuk membuat Miri dan kawasan utara di negeri ini lebih terkenal dan berorientasikan pelancongan. Program tiga jam itu dihadiri oleh pengusaha pelancongan dan pengusaha hotel serta wakil-wakil dari Dewan Perniagaan Cina dan Industri, Pejabat Residen Bahagian Miri, Lembaga Pelancongan Sarawak dan badan-badan pelancongan yang lain. Tapak Warisan Dunia Mulu di utara negeri ini mempunyai gua terbesar di dunia "Miri dan seluruh utara Sarawak seolah-olah tidak mendapat perhatian dari pihak Persekutuan dari segi promosi pelancongan," tegas beliau. "Risalah di Sarawak tidak diedarkan secara meluas kepada badan-badan pelancongan asing. Tapak Warisan Dunia Mulu di utara negeri ini mempunyai gua yang terbesar di dunia. Miri adalah merupakan pintu masuk ke tapak warisan ini. " Lau adalah pemaju projek perumahan komersial pertama di utara Sarawak dan juga pemilik Meritz Hotel Miri. Pada masa ini beliau terlibat dengan pembinaan sebuah taman tema air benilai RM 400 juta berhampiran dengan sempadan Sarawak-Brunei, 35km dari utara Miri. | |||
Polis Belanda Terima 150 Imej, Video Nahas MH17 Posted: 29 Jul 2014 04:39 PM PDT Polis mengemukakan permintaan itu secara dalam talian pada minggu lalu bagi mendapatkan imej lokasi nahas iaitu sebelum, semasa dan selepas kejadian, bagi membantu siasatan. Sejak 'server' di laman web itu dibuka pada Jumaat lepas sehingga Isnin, sebanyak 150 telah dimuat naik menerusi portal dalam empat bahasa iaitu Belanda, English, Rusia dan Ukraine, kata jurucakap, Franki Klarenbeek kepada AFP. Difahamkan, lebih banyak gambar akan dimuat naik di dalam 'server' itu. iklan Menurut laman web tersebut, permintaan yang dilakukan secara dalam talian itu "menyasarkan secara khusus orang di kawasan nahas". Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai lalu di timur Ukraine di mana pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia berlaku. Belanda mengetuai siasatan nahas dan pengecaman mayat mangsa di mana seramai 193 rakyatnya terbunuh dalam kejadian itu. - AFP | |||
Hamas Tolak Gencatan Senjata Di Gaza Posted: 29 Jul 2014 04:36 PM PDT Menurut laporan agensi berita Palestin, WAFA berkata, kepimpinan Palestin menawarkan gencatan senjata selama 24 jam, yang boleh dilanjutkan hingga 72 jam, dan idea tersebut mendapat sokongan Hamas dan pejuang jihad Islam di Gaza. Bagaimanapun jurucakap Hamas di Gaza, Sami Abu Zuhri berkata, laporan WAFA tidak benar dan "tidak berkaitan dengan rintangan", yang "bercakap bagi pihaknya sendiri." "Apabila kita mendapat jaminan daripada pihak Zionis untuk pengantaraan antarabangsa mengenai gencatan senjata kemanusiaan, maka kita boleh mempertimbangkannya," katanya di Hamas TV. iklan Pada Isnin, rakyat di Gaza berharap supaya gencatan senjata dilakukan namun serangan berlaku pada pagi Selasa. - CNN | |||
Azizulhasni hasrat lelong pingat untuk kerja amal Posted: 29 Jul 2014 04:28 PM PDT MALAYSIAKINI Jaguh pecut berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang berhasrat mahu melelongkan pingat gangsa acara keirin yang dimenanginya pada Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow untuk didermakan kepada badan-badan kebajikan. Mohd Azizulhasni mengakui sudah tiba masanya beliau kembali berbakti kepada masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan serta dorongan untuk terus berjaya dalam sukan berbasikal. "Selepas selesai Sukan Asia di Korea Selatan pada September nanti, saya harap ada pihak tampil membantu saya untuk buat lelong pingat ini. "Bagi saya ramai pihak membantu dalam meningkatkan karier saya seperti kerajaan, penaja dan juga media. "Kini saya mahu berbakti kepada masyarakat, terutamanya kepada rakyat Malaysia yang lebih memerlukan tidak kira bangsa dan agama," katanya kepada pemberita di Glasgow, Scotland hari ini. Atlet dari Terengganu itu meraih pingat gangsa pada Ahad di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow di sini.-Bernama | |||
Kebakaran: 25 rumah setinggan musnah Posted: 29 Jul 2014 04:23 PM PDT Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, pihaknya mengambil masa hampir 45 minit untuk mengawal kebakaran selepas tiba di tempat kejadian pada pukul 2.52 petang. Menurut kenyataan itu, Balai Bomba dan Penyelamat Lintas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.37 petang sebelum sampai ke lokasi kejadian 15 minit kemudian. Jabatan itu berkata operasi memadam kebakaran itu turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan pasukan bomba dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kejadian disiasat. - Bernama | |||
Pemandu bot maut langgar batang kelapa Posted: 29 Jul 2014 04:22 PM PDT SETIU - Seorang pemandu bot maut selepas bot yang dipandunya terlanggar batang kelapa di dalam air dalam kejadian berhampiran jeti Merang di sini, hari ini. Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi itu menyebabkan mangsa Rusdi Mohamad, 38, dari Batu Rakit, Kuala Terengganu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Ab Rahman Raja Mohamad, berkata mangsa bersama tujuh pekerja resort dalam perjalanan ke tempat bekerja ke Pulau Redang. Katanya selepas lima minit bot yang dipandu Rusdi berlepas dari jeti Merang secara tiba-tiba bot laju berkenaan hilang kawalan lalu merempuh batang kelapa dalam air berhampiran pantai di jeti berkenaan. "Ekoran insiden itu, mangsa yang bekerja sebagai ketua bot dipercayai telah tercampak keluar dari bot berkenaan dan disahkan mati kerana cedera di kepala dipercayai terhentak pada batang kelapa ketika jatuh ke laut," katanya kepada Bernama di sini. Sementara itu kesemua mangsa yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya diselamatkan manakala mayat mangsa dihantar ke hospital Setiu untuk dibedah siasat. -Bernama | |||
Berhenti bincang, tunggu mesyuarat 10 Ogos Posted: 29 Jul 2014 04:18 PM PDT SHAH ALAM - Semua peringkat kepimpinan Pas digesa menghentikan perbincangan mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali meminta semua pihak bersabar menunggu keputusan mesyuarat Pas Pusat mengenai perkara itu bulan depan, lapor sebuah portal. Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap perkembangan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang mendapat reaksi daripada pelbagai peringkat kepimpinan Pas dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka. "Sebahagian daripada reaksi tersebut telah melanggar etika berikhtilaf yang tidak selari dengan etika berbeza pendapat dalam jamaah dan ini menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap parti," katanya. Terdahulu, analisis senario politik PR di Selangor yang ditulis Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki di komunikasi Whatsapp grup AJK Pas Pusat bocor kepada umum. Ekoran pendedahan itu, PKR meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pendirian sama ada akan mengenakan tindakan disiplin ke atas Dr Zuhdi kerana mengutarakan cadangan yang didakwa mengkhianat PR. Dalam perkembangan berkaitan, DAP turut mengecam tindakan itu dan menyeru pimpinan Pas Pusat mengambil satu pendirian tegas menolak cadangan Dr Zuhdi dan mengambill tindakan sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong PR di seluruh negara terhadap Pas. Sementara itu, Mustafa berkata, tidak seharusnya berlaku kenyataan dalam banyak hal yang menyerang peribadi antara satu sama lain dalam kalangan pemimpin Pas. "Kita harus kembali kepada adab berikhtilaf atau berbeza pendapat yang harus dijurus dan diuruskan mengikut tatasusila kaedah kita berjamaah," ujar beliau lagi. Justeru, beliau merayu kepada semua peringkat kepimpinan parti supaya perbezaan pandangan dan pendapat tidak diluahkan secara terbuka dan bebas sehingga boleh menjejaskan kredibiliti parti kepada pandangan umum. "Kita ada saluran-saluran yang telah ditetapkan dalam parti di mana pandangan-pandangan itu boleh disalurkan pada waktu itu," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Mustafa menambah, Pas telah memutuskan isu berkaitan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dalam mesyuarat Pas Pusat pada 10 Ogos nanti. "Oleh kerana itu, semua pihak harus bersabar menunggu keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat tersebut," katanya lagi |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan