Khalid, jangan sombong sangat... SEREMBAN – "Jangan sombong sangat. Kalau tak nak, tak mengapa," kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menolak tawaran negeri itu untuk menjual 20 juta gelen air sehari kepada Selangor dalam usaha membantu menangani krisis air di negeri itu.

Menurut Mohamad, Negeri Sembilan tidak rugi apa-apa sekiranya Selangor enggan menerima tawaran itu, cuma beliau kasihan melihat rakyat Selangor terpaksa berdepan krisis air yang semakin meruncing.

"Kalau tak hendak tak apa, tapi jangan cakap air yang kita tawarkan itu terlalu sedikit. Fikir dulu sebelum bercakap.

"Saya bagi tahu ini pun atas dasar kemanusiaan, memandangkan rakyat di negeri itu terpaksa angkat baldi dan menunggu air di tepi jalan. Kata negeri maju, takkanlah rakyat terpaksa angkat baldi untuk dapatkan air," katanya.