300 polis kawal konsert 
 Dari kiri: Mhd Amin, Zainuddin dan Mukhzani melihat poster konsert Twin Tower @live 2014.
KUALA LUMPUR - Konsert 'Twin Tower @live 2014' sempena Festival KL Grand Prix City yang bakal diadakan di Menara Berkembar Petronas (KLCC) 28 dan 29 Mac ini, dikawal bagi memastikan peristiwa di konsert Bukit Jalil yang mengakibatkan enam maut kerana penyalahgunaan dadah tidak berulang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, perbincangan telah dilakukan bersama penganjur.

Katanya, semua unit digerakkan sepanjang acara agar ia berlangsung teratur dan aman.

"Seramai 300 anggota termasuk yang berpakaian preman akan ditugaskan.

"Mana-mana pengunjung yang didapati mencurigakan, kita akan ambil tindakan dan buat tangkapan jika perlu," katanya dalam sidang media sempena Kuala Lumpur Grand Prix City 2014, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, semalam.

Pengerusi Sepang International Cercuit (SIC), Datuk Mokhzani Mahathir berkata, kerjasama polis pelbagai unit adalah inisiatif untuk mengekang kejadian tidak diingini.

Beliau percaya jenis muzik yang dipilih dalam sesebuah konsert berperanan penting dalam menghimpunkan jenis penonton yang hadir.
"Apa yang dibawa dalam konsert 'Twin Tower @live 2014' ini berbeza. Kita percaya ia akan berlangsung dengan aman dan penonton dapat berhibur bersama keluarga seperti tiga penganjuran sebelum ini," katanya.