Khamis, 20 Mac 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Spekulasi Najib Ditolak: Kapten Zaharie Wira Yang Bertarung Selamatkan MH370

Posted: 20 Mar 2014 09:42 PM PDT


Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengesahkan bahawa seseorang telah mematikan alat pengesan radar pesawat MH370 dan melakukan pusingan U. Ekoran itu, timbul kemungkinan berlaku rampasan dan sebotaj ke atas pesawat tersebut sehingga mendorong kepada siasatan terhadap Kapten Zaharie. 
Bagaimanapun, Chris Goodfellow yang berpengalaman 20 tahun sebagai juruterbang mempunyai teori sendiri. Menurutnya, isu kehilangan pesawat MH370 terlalu dirumitkan sedangkan jawapannya mungkin mudah iaitu berlaku kebakaran di kokpit.

Dalam catatan akaun Google+ miliknya, Goodfellow, sebaik mendengar berita pesawat itu berpatah balik ke arah Selat Melaka dari Laut China Selatan, dia terus memeriksa peta dan mendapati MH370 mungkin menuju lapangan terbang terdakat di Pulau Langkawi selepas berlaku masalah seperti kebakaran dalam kokpit.

"Kunci utama di sini adalah pusingan kiri dibuat pesawat itu. Juruterbang (Kapten Zaharie Ahmad Shah) adalah kapten yang sangat berpengalaman dengan lebih 18,000 jam penerbangan. Mungkin juruterbang lebih muda yang ditemu ramah (agensi berita) CNN tidak sedar mengenai pusingan kiri.

"Kami juruterbang lama dilatih untuk sentiasa tahu di mana lapangan terbang paling dekat ketika terbang untuk perlindungan selamat jika kecemasan."


Menurut Goodfellow lagi, apabila melihat pusingan kiri dibuat oleh pesawat MH370 dan menuju terus ke arah bertentangan, nalurinya memberitahu juruterbang itu mungkin mahu menuju ke lapangan terbang terdekat.

"(Zaharie) sebenarnya mengambil laluan terus di atas laut ke Pulau Langkawi yang tidak mempunyai banyak halangan. Dia tidak kembali ke Kuala Lumpur kerana dia tahu (laluan itu) merentasi gunung (Banjaran Titiwangsa) setinggi 8,000 kaki. Dia tahu laluan ke Langkawi lebih mudah dan jaraknya lebih dekat."

Goodfellow percaya Zaharie mengambil tindakan betul pada ketika mereka mungkin menghadapi masalah serius yang mendorong kepada tindakan pusingan U untuk menuju ke lapangan terbang terdekat di Pulau Langkawi.

Katanya, terputusnya komunikasi (ACARS) termasuk kesan radar adalah munasabah jika berlaku kebakaran di dalam kokpit.

"Melihat masa kejadian, mungkin berlaku kepanasan melampau pada salah satu tayar hadapan dan ia pecah sebaik pesawat berlepas dan terbakar perlahan-lahan.

"Ya, ini boleh berlaku dengan tayar yang kurang angin. Ingat ini pesawat berat, (dan insiden berlaku) pada malam yang panas dan landasan yang panjang."

Katanya, ada insiden di Nigeria pada 1991 melibatkan Douglas DC-8 yang tayarnya terbakar semasa berlepas menyebabkan asap tebal melemaskan kru dan penumpang.

Katanya, juruterbang memang ada akses kepada topeng oksigen tetapi ia tidak boleh digunakan semasa kebakaran. Sebaliknya, kebanyakan juruterbang ada penutup muka dengan penapis asap tetapi ia hanya boleh bertahan beberapa minit sahaja.

"Apa yang berlaku adalah (kedua-dua juruterbang) lemas akibat asap dan pengsan, menyebabkan pesawat itu terus terbang menggunakan aplikasi sistem autopilot sehingga sama ada kehabisan minyak atau kebakaran memusnahkan papan kawalan dalam kokpit."


Jika itu benar, kata Goodfellow, Zaharie adalah wira yang bertarung situasi mustahil untuk cuba membawa pesawat itu ke Pulau Langkawi.

"Tiada was-was lagi dalam fikiran saya, itulah sebab mengapa pesawat itu berpusing dan mengambil laluan lurus."


Jika berlaku rampasan atau sabotaj (seperti yang dispekulasikan Najib -ed), katanya, ia tidak akan sengaja pusing ke sebelah kiri dan menuju ke arah Pulau Langkawi.

Goodfellow mengakhiri tulisannya dengan kata-kata: "Juruterbang bijak. Cuma tidak mempunyai masa mencukupi."

Apa yang ditulis Goodfellow dan ramai lagi pakar di seluruh dunia tetap kekal menjadi spekulasi selagi pesawat MH370 tidak ditemui. - SUMBER

MH370: Pesawat terbang sendiri dan terhempas apabila kehabisan minyak - The Sydney Morning Herald

Posted: 20 Mar 2014 07:36 PM PDT

Operasi menyelamat pesawat MH370 yang hilang diketuai Australia berakhir malam tadi tanpa sebarang serpihan ditemui, tetapi misi pencarian di kawasan perairan 2,500 km daripada Perth mencadangkan kemungkinan besar berlakunya kecemasan dalam Boeing 777-200ER tersebut, lapor The Sydney Morning Herald (SMH) hari ini.

Pesawat dan kapal melakukan pencarian semalam walaupun cuaca buruk untuk mencari objek termasuk sepanjang 24meter terapung di kawasan perairan Australia.

The Sydney Morning Herald mengatakan lokasi serpihan di Lautan Hindi "akan melenyapkan beberapa teori liar tentang apa yang berlaku dalam pesawat dan kecemasan dalam pesawat menjadi kemungkinan terbesar sekarang."

Pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac dengan 239 penumpang termasuk anak kapal untuk ke Beijing.

Putrajaya mengatakan semalam imej satelit merupakan "petunjuk boleh dipercayai" bagi misi pencarian yang disertai 26 negara itu.

Menurut The Sydney Morning Herald, kecemasan mungkin berlaku dalam pesawat tersebut yang cuba berpatah balik, tetapi komplikasi mungkin menyebabkan kru dan penumpangnya tidak sedarkan diri sehingga pesawat terbang dengan sendirinya dan terhempas apabila minyak habis.

Dengan imej satelit objek besar yang dikatakan Australia dikesan empat hari lalu, The Sydney Morning Herald mencadangkan pesawat MH370 tidak mungkin dirampas.

Tiga polis didakwa merogol dan lakukan seks luar tabii diperintah bela diri

Posted: 20 Mar 2014 07:16 PM PDT

BUTTERWORTH: Tiga anggota polis yang didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita warga Indonesia diperintah untuk membela diri.

Keputusan berkenaan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mendengar hujah pihak pendakwaan beserta keterangan saksi termasuk mangsa pada perbicaraan tahun lalu. 

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh pihak defendan mengemukakan hujah pembelaan selepas mendapati pendakwaan membuktikan kes itu sebagai prima facie. 


Konstabel Remy Anak Dana, 26; Kpl Nik Sin Mat Lazin, 35, dan Konstabel Syahiran Romli, 23, didakwa melakukan perbuatan itu di Berek Balai Polis Perai.

Mereka didakwa merogol wanita berumur 25 tahun di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini, antara jam 6.40 pagi hingga 7.30 pagi, 9 November 2012 mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiganya juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

MH370: MAS sedia bawa keluarga penumpang dan kru ke Australia

Posted: 20 Mar 2014 06:38 AM PDT

SEPANG - Malaysia Airlines (MAS) bersedia membawa keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 ke Australia jika dua objek yang dikesan imej satelit di selatan Lautan Hindi disahkan sebagai milik pesawat yang hilang itu.
    
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, kepentingan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan nasional itu.
    
"Kami memang menjaga waris (para penumpang pesawat ini) dan seandainya  pesawat dikesan berada berdekatan Australia, sudah pasti kami akan menguruskan usaha membawa waris ke sana," kata beliau.
    
Beliau berkata demikian dalam taklimat media harian mengenai perkembangan  terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat pesawat itu di sini, yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.


Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia itu yang hilang pada 8 Mac.
    
Ahmad Jauhari berkata, MAS komited untuk memberikan maklumat yang tepat dan terkini, sehingga dua hingga tiga kali sehari, kepada semua keluarga penumpang.

Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa semua keluarga adalah yang pertama akan dimaklumkan sekiranya ada pengesahan mengenai imej-imej satelit atau sebarang perkembangan terkini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu, yang masuk hari ke-13 hari ini.
    
"Saya rasa berita tergempar yang boleh dipercayai berhubung imej satelit itu hari ini pasti berlegar dalam pemikiran keluarga.
    
"Saya rasa itulah yang akan menjadi perkara pertama yang akan kami sampaikan kepada keluarga apabila maklumat itu diterima," katanya sambil mezahirkan rasa simpatinya yang mendalam kepada keluarga berkenaan.
    
Beliau menyatakan bukan mudah untuk mengendalikan keluarga-keluarga yang  dalam keadaan amat sedih, dan pihak berkuasa negara kini mempelajari cara menangani situasi itu daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA).

"Ini sangat sukar (untuk berurusan dengan pihak keluarga). Saya telah berbincang dengan pasukan Perancis yang perlu berurusan dengan keluarga para penumpang Air France 447 selama dua tahun selepas nahas itu (pada 2009)," kata beliau.
    
Pasukan BEA tiba pada Isnin untuk membantu pasukan penyiasatan antarabangsa yang diketuai Malaysia mencari pesawat itu, dengan tumpuan carian di dasar laut.

Pada 2009, pasukan BEA terlibat dalam usaha mengesan Air France 447 yang terhempas dan mengorbankan kesemua 228 orang yang menaiki pesawat itu, dan kotak hitam pesawat itu hanya ditemui dua tahun selepas tragedi itu.
   
Hishammuddin berkata penyampaian maklumat yang tepat dan terkini kepada keluarga berkenaan juga menjadi keutamaan mereka, hingga mendorong kerajaan menghantar pasukan peringkat tinggi ke Beijing, China petang tadi.
    
"Wakil-wakil kerajaan Malaysia sudah pun menemui keluarga berkenaan yang diketuai utusan khas Perdana Menteri ke China (Tan Sri Ong Ka
Ting).

"Pegawai Kedutaan China juga membantu dengan mengetuai taklimat untuk keluarga-keluarga dari China yang berada di Kuala Lumpur," kata beliau.
    
Pesawat 777-200ER itu, yang menuju ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.
    
Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi   Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. - Bernama

KAPTEN NIK YAKIN SERPIHAN YANG DIJUMPAI OLEH AUSTRALIA ADALAH PESAWAT MH370

Posted: 20 Mar 2014 02:09 AM PDT

Thursday, March 20, 2014




Hari ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot memaklumkan kepada parlimen negara tersebut mengenai penemuan dua imej satelit bersaiz 24 meter yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air berkemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.


Penemuan itu membuatkan kumpulan SAR Malaysia menghantar kapal untuk meninjau tempat dimana serpihan dijumpai.

Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan sewaktu  menerusi temuramah di TV3 berkata jika PM Australia yang berkata 99% kemungkinan adalah benar. Ini disebabkan radar dan satelit yang dimiliki oleh pihak keselamatan negara Australia merupakan radar atau satelit yang paling terkini dan canggih.



Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, juga menjelaskan 24m sepihan itu kemungkinan sebelah sayap kerana lebar keseluruhannya adalah lebihkurang 60m.

Menurut beliau lagi kawasan tersebut merupakan bukan laluan kapal dagang, kapal terbang malah nelayan pun jarang melalui kawasan itu.

Jika benar itu adalah pesawat MH370 pencarian agak sukar kerana kedalamannya lebih 3km

Mencari MH370 : Imej satelit 'tidak jelas'

Posted: 20 Mar 2014 01:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: Imej yang dikesan sebagai dua 'objek' mungkin berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang adalah 'tidak jelas', kata Pengurus Besar Bahagian Respons Kecemasan Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA), John Young.
"Dua objek itu dalam bentuk saiz yang munasabah dan mungkin dihanyutkan oleh air, bergerak turun naik di permukaan," menurut Young seperti yang dilaporkan agensi berita Reuters. 
Agensi berita itu memetik Young dalam sidang akhbar di Sydney, Australia, sebagai berkata bahawa negara itu telah menghantar empat pesawat pencari dan dua kapal ke kawasan di bahagian selatan zon pencarian di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebelumnya minggu ini, untuk mencari objek yang dikesan oleh satelit itu.

Young berkata, air di kawasan pencarian adalah 'beberapa ribu meter dalam' dan penglihatan yang lemah di kawasan itu akan menjejaskan pencarian, walaupun cuaca sederhana, lapor Reuters.





Awal hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Perdana Menteri Australia Tony Abbot menelefon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 10 pagi untuk memberitahu bahawa kemungkinan objek yang berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang telah dikesan di selatan Lautan Hindi.

"Pada peringkat ini para pegawai Australia masih belum dapat memastikan sama ada dua objek itu benar-benar berkaitan dengan pencarian MH370," kata Hishammuddin.

Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Pengumuman Australia itu bersamaan hari ke-13 misi mencari dengan kerjasama pelbagai negara dilakukan terhadap pesawat itu yang menurut data satelit telah melencong dari laluan asal di Laut China Selatan menuju ke Lautan Hindi.

Kawasan mencari juga telah diperbesar untuk meliputi kawasan luas di sebelah barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila diketahui bahawa pesawat itu telah terbang tujuh jam selepas hilang dari radar.

Operasi mencari kemudian ditumpukan kepada dua koridor, iaitu koridor utara yang menjangkaui dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. - Bernama

Mencari MH370 : 24 meter panjang... mungkinkah sayap kapal terbang...?

Posted: 19 Mar 2014 11:51 PM PDT


Selepas 13 hari pencarian... inilah petunjuk terbaik yang ada, dua objek dengan salah satunya sepanjang 24 meter, ada yang kata macam sayap kapal terbang.

Namun tidak ada yang berani sahkan, Australian Maritime Safety Authority (AMSA) sendiri memerlukan imej-imej satelit yang lebih jelas serta analisis pakar buat kesimpulan akhir.

Cuma dari tempat dia dikesan, konsisten dengan maklumat awal yang disahkan bahawa pesawat MH370 berapa di salah satu dia koridor Utara mahupun koridor Selatan.


Penemuan dua objek itu di koridor Selatan.

Menurut Pengurus Besar Jabatan Respon Kecemasan AMSA, John Young berkata, objek terbesar yang dikesan menerusi imej satelit tersebut berukuran kira-kira 24 meter panjang, cukup untuk pasukan pencari dan penyelamat (SAR) mengubah arah pencarian ke kawasan tersebut.

"Dua objek itu dalam bentuk saiz yang munasabah dan mungkin dihanyutkan oleh air, bergerak turun naik di permukaan," kata Young.

Agensi berita itu memetik Young dalam sidang akhbar di Sydney, Australia, sebagai berkata bahawa negara itu telah menghantar empat pesawat pencari dan dua kapal ke kawasan di bahagian selatan zon pencarian di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebelumnya minggu ini, untuk mencari objek yang dikesan oleh satelit itu.

Young berkata air di kawasan pencarian adalah 'beberapa ribu meter dalam' dan penglihatan yang lemah di kawasan itu akan menjejaskan pencarian, walaupun cuaca sederhana, lapor Reuters.

Empat pesawat telah dikerahkan untuk mencari lokasi objek berkenaan walaupun AMSA menyedari ia sebuah misi yang sukar dan mungkin tidak mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Penemuan tersebut merupakan satu petunjuk baharu dan ia mungkin merupakan petunjuk terbaik yang kita pernah temui setakat ini. Tetapi kita masih perlu ke sana, temui objek tersebut dan melakukan kajian terhadapnya.

"Objek-objek tersebut mungkin sangat sukar untuk ditemui dan ia mungkin tidak mempunyai kaitan dengan pesawat berkenaan tetapi nasihat pakar-pakar menyebut bahawa imej tersebut adalah kredibel.

"Jadi saya menasihatkan AMSA untuk melakukan yang terbaik bagi mencari sesiapa sahaja yang mungkin terselamat," katanya semasa sidang media khas di Cranberra, Australia hari ini.

Young berkata, objek tersebut dikesan 2,500 kilometer di barat daya Perth dan sebuah pesawat Orion Royal Australian Air Force telah tiba di kawasan tersebut pada jam 1.50 petang waktu tempatan kemudian tiga lagi pesawat telah dikerahkan ke sana.

Pesawat tentera laut Amerika Syarikat, P8 Poseidon dijangka tiba pada 3 petang manakala pesawat Orion kedua milik Australia dijangka tiba pada jam 6 petang.

Pesawat Orion New Zealand dijangka berlepas pada 8 malam.-20/3/2014

Tiada ulasan: