MH370: Pusingan balik kuatkan 'teori rampasan'  
Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghampiri kapal China Coast Guard di tengah Laut China Selatan bagi mengambil bungkusan mungkin dapat membantu dalam usaha mencari pesawat MH307, semalam.
SHAH ALAM – Pengesahan pesawat MAS MH370 berpatah balik menguatkan lagi kemungkinan pesawat itu dirampas.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Ishak Yeop Hamzah berkata, ia juga berdasarkan lingkungan kawasan pesawat itu boleh pergi, yang menyimpang daripada laluan asalnya ke Beijing, China setelah komunikasi terakhir dengan satelit pada jam 8.11 pagi, Sabtu minggu lalu.

"Ini bermakna ada seseorang yang berjaya masuk ke dalam kokpit dan menyuruh juruterbang pergi ke destinasi dikehendakinya. Teori rampasan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pesawat itu dipandu oleh orang yang arif mengenai penerbangan.

"Individu yang merampas pesawat itu mungkin memberi arahan kepada juruterbang. Ataupun mungkin individu itu sendiri yang membawa pesawat itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama merupakan pesawat MH370 yang telah menyimpang dari laluan asalnya.