Jalan di Desa Pandan merekah 
 Keadaan rekahan yang berlaku di jalan berhampiran tapak projek pangsapuri servis di Desa Pandan kelmarin, sebelum ia ditutup dengan simen oleh pihak kontraktor. - Foto Sinar Harian
 
KUALA LUMPUR - Rekahan besar yang mampu memuatkan tangan orang dewasa berlaku di sebatang jalan, di Desa Pandan di sini menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya dan pengusaha kedai berhampiran.

Ia dipercayai berpunca daripada kerja-kerja projek pembinaan pangsapuri servis 32 tingkat, sejak lima bulan lalu yang terletak di tengah-tengah kawasan rumah kedai di situ.

Tinjauan Sinar Harian petang kelmarin mendapati terdapat rekahan sepanjang kira-kira 30 kaki, di laluan berhampiran pengadang projek di atas tempat letak kereta bahu jalan.

 Keretakan juga dikesan di laluan tengah antara dua-dua hala namun kenderaan masih bebas melalui jalan itu.

Jurulatih terapi berkuda, Muthu, 47, berkata dia menyedari kejadian itu pada pagi kelmarin namun ketika itu rekahan masih tidak besar.

 Menurutnya, bimbang berlaku sebarang perkara tidak diingini, dia bertindak memaklumkannya ke pejabat pemaju yang hanya terletak berhadapan dengan tempat rekahan.

"Saya fikir mereka boleh ambil tindakan awal dengan meletakkan tanda larangan dan menutup kawasan terjejas.

"Namun sehingga waktu petang saya lalu di sini, tiada sebarang tindakan dilakukan malah kereta masih diletakkan di bahu jalan dan laluan masih dibuka kepada awam," katanya.

 Sementara itu pekerja swasta, Ishak Ismail, 46, berkata, dia amat terkejut dengan keadaan itu kerana ia merupakan jalan yang sering dilaluinya lebih 13 tahun menetap di kawasan berkenaan.